31 Disember 2016

31 Disember 1988 : PAS Ambil Kesempatan Rampas Kelantan Dalam Krisis Politik BN

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1988, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah bersetuju untuk mengembleng secara besar-besaran isu krisis politik Kelantan yang melibatkan Menteri Besar, Tan Sri Mohamed Yaacub dengan pihak Istana Kelantan sebagai strategi untuk merampas semula Kelantan dari tangan BN. Kelantan yang diperintah oleh PAS sejak 1959, telah jatuh ke tangan BN pada 1978 ekoran permainan politik Umno yang melagakan kepemimpinan PAS. Dengan perpecahan Umno dan krisis mereka dengan Tuanku Ismail Petra, Sultan Kelantan, ia telah membuka ruang terbaik untuk PAS kembali menguasai Kelantan.

30 Disember 2016

30 Disember 1972 : Rombakan Kerajaan Kelantan Bentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1972, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah melakukan satu rombakan besar-besaran terhadap pimpinan Kerajaan PAS Kelantan bagi membolehkan sebuah Kerajaan Campuran PAS-Perikatan ditubuhkan di Kelantan. Rombakan ini melibatan jawatan Menteri Besar Kelantan ekoran perlantikan Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Haji Muda sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas mulai 1 Januari 1973. Ia turut melibatkan pengosongan dua kerusi Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Kelantan, di mana ia akan diisi oleh wakil Perikatan dari Umno dan satu kerusi Exco untuk Setiausaha PAS Kelantan, Ustaz Salahuddin Abdullah yang menjadi ADUN Kota Bharu Tengah menggantikan Dato’ Mohd Asri Haji Muda.

29 Disember 2016

29 Disember 1964 : Karya Hassan Al-Banna Jadi Teks Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Pusat

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1964, Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah memutuskan supaya karya tokoh mujaddid gerakan Islam, as-Syahid Ustaz Hassan al-Banna dijadikan sebagai teks tarbiyah rasmi Dewan Pemuda PAS, sekali gus merasmikan hubungan tarbiyah antara PAS dan Ikhwanul Muslimun yang berpusat di Mesir. Dua karya Ustaz Hassan al-Banna iaitu Nizam al-Usar dan Risaalah at-Taalim telah diterjemahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Hamzah dengan judul “Peraturan dan Arahan.” Buku ini pada asalnya diterbitkan oleh Pustaka Islam, Kota Bharu pada 1963, sebelum ia dicetak semula oleh Ustaz Yazid Jaafar pada 1976 sebagai rujukan tarbiyah kepada ahli-ahli PAS di seluruh negara. Sebelum 1964, gerakan pentarbiyahan ahli-ahli tidak mempunyai rujukan secara rasmi.

28 Disember 2016

28 Disember 1959 : PAS Desak Majlis Raja-raja Supaya Agama Islam Ditadbir Oleh Persekutuan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1959, PAS telah mengambil satu ketetapan untuk memohon kepada Majlis Mesyuarat Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu bagi menyama dan menyeleraskan pentadbiran agama Islam di seluruh Persekutuan Tanah Melayu dengan menubuhkan Majlis Agama Islam Pusat. Resolusi yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kelapan pada 26-28 Disember 1959 bertempat di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur ini merupakan salah satu dari 12 usul yang diluluskan pada hari terakhir mesyuarat agung tersebut. Pendirian PAS dalam soal penyelarasan pentadbiran agama ini merupakan isu yang telah berbangkit semenjak selepas Perang Dunia Kedua lagi, tetapi tidak dapat diselesaikan menerusi rundingan kemerdekaan kerana kuasa agama adalah satu-satunya kuasa yang berbaki di tangan Raja-raja Melayu.

27 Disember 2016

27 Disember 1958 : Mesyuarat Agung Tahunan PAS Putuskan Kewajipan Menegakkan Negara Islam

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1958, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketujuh yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur telah meluluskan satu usul yang mempertegaskan kewajipan untuk menegakkan Negara Islam. Usul yang asalnya diangkat oleh Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat pada 25 Disember 1958 telah diterima sebagai pendirian rasmi PAS berkait dengan kewajipan umat Islam di negara ini untuk memperjuangkan tertegaknya sebuah Negara Islam di Tanah Melayu, kerana sesiapa yang tidak menegakkan Negara Islam adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang fasik, zalim dan kafir. Pendirian PAS ini adalah bertolak dari ketidakpuasan hati PAS terhadap kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 yang dianggap oleh PAS sebagai “masih kosong” kerana Islam tidak ditegakkan di atas runtuhan penjajah.

26 Disember 2016

26 Disember 1955 : YDP Agung PAS Pertegas Kedudukan Melayu Dan Islam Dalam Rundingan Kemerdekaan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1955, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias telah mendesak supaya Rombongan Kemerdekaan ke London bertegas dalam mempastikan kedudukan hak ketuanan orang Melayu dan kebangsaan Melayu serta kedaulatan Islam menjadi tuntutan asas kemerdekaan negara ini. Gesaan ini dibuat oleh Dr Haji Abbas Alias di dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Keempat di Madrasah Ahmadiyah (Pondok Bunut Payung), Kota Bharu pada 26-28 Disember 1955. Ucapan Dasar yang dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang ini telah mengemukakan beberapa tuntutan yang paling tegas dalam merangka hala tuju PAS terhadap perjuangan kemerdekaan.

25 Disember 2016

25 Disember 1977 : PAS Adakan Muktamar Khas Selepas Dipecat Dari Barisan Nasional (BN)

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1977, PAS telah mengadakan satu Muktamar Khas PAS kerana membincangkan kedudukan PAS dalam meghadapi pergolakan politik semasa setelah PAS dipecat dari BN. Pergolakan politik yang bermula dengan krisis politik Kelantan ini, telah berkemuncak dengan pemecatan keahlian Dato’ Mohamad Nasir sebagai ahli PAS pada 10 Oktober 1977, diikuti oleh usul undi tidak percaya ke atas beliau sebagai Menteri Besar pada 15 Oktober 1977, di mana ia membawa kepada rusuhan politik di Kota Bharu. Ekoran itu, Kerajaan Pusat telah mengemukakan Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 pada 8 November 1977, tetapi ditentang oleh PAS. PAS kemudiannya enggan mengambil tindakan tatatertib terhadap Ahli Parlimennya, sehingga menyebabkan PAS dipecat dari BN pada 13 Disember 1977.

24 Disember 2016

24 Disember 1999 : Kerajaan BN Ugut Pengharaman Harakah Kerana Tonjolkan Kezaliman BN

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1999, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membuat satu ancaman untuk mengambil tindakan tegas terhadap lidah rasmi PAS, Harakah, yang dikatakan telah melanggar syarat penerbitannya, iaitu hanya dijual kepada ahli-ahli PAS sahaja. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri ini adalah berkaitan dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang merampas sejumlah 2,630 naskah Harakah pada 23 Disember 1999 atas alasan ia dijual secara terbuka. Para pemimpin BN dalam kenyataan-kenyataan mereka sejak 26 Disember 1999 cenderung mendesak Kerajaan BN supaya mengharamkan Harakah.

23 Disember 2016

23 Disember 1988 : Ustaz Fadzil Noor Bertemu Tengku Razaliegh Hamzah Di Majlis Makan Malam Pemikir Ummah

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1988, satu majlis makan malam anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat telah diadakan di Kelana Jaya, Selangor untuk mempertemukan tokoh-tokoh politik dan pimpinan masyarakat dengan pemimpin PAS dalam merangka agenda perubahan politik negara pasca perpecahan Umno. Majlis yang dinamakan sebagai majlis Makan Malam Pemikir Ummah ini telah disertai oleh Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor dan bekas Naib Presiden Umno yang juga pemimpin Team B Umno, Tengku Razaliegh Hamzah. Pertemuan antara dua pemimpin utama ini telah merintis kerjasama politik di antara PAS dengan serpihan Umno yang menubuhkan parti Semangat 46 (S46) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan yang dijangka berlaku pada 1989 atau 1990.

22 Disember 2016

22 Disember 2002 : PAS Anggap Sekatan Ke Atas Sekolah Agama Rakyat Sebagai Agenda Barat

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2002, Pemangku Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyifatkan tindakan Kerajaan BN mengenakan sekatan ke atas Sekolah Agama Rakyat (SAR) sebagai satu tindakan yang dipengaruhi oleh agenda Barat yang mahu melemahkan kebangkitan Islam. Pada pandangan PAS pendirian yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 25 Oktober 2002 untuk menghentikan bantuan kepada SAR adalah perbuatan yang mencabul hak asasi manusia. Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataannya pada 15 Disember 2002 menegaskan soal pencabulan hak asasi ini, sebelum Pemangku Presiden PAS mengaitkan tindakan ini dengan agenda Barat yang turut melakukan tindakan serupa ke atas sekolah agama di Pakistan dan Mesir.

21 Disember 2016

21 Disember 1972 : Mesyuarat Agung Khas Lulus Pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1972, Mesyuarat Agung Khas PAS telah memutuskan bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran PAS-Perikatan di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. Hasil dari keputusan ini, PAS telah menyertai Kerajaan Pusat dengan menduduki beberapa kerusi kabinet, selain membuat rombakan Kerajaan Kelantan bagi membolehkan beberapa pemimpin Perikatan dilantik ke dalam kerajaan pada 30 Disember 1972. Keputusan Mesyuarat Agung Khas PAS yang mengharuskan percampuran ini telah dicapai dengan 190 undi menyokong, 94 undi membangkang dan 19 undi berkecuali.

20 Disember 2016

20 Disember 1988 : PAS Jadikan Agihan Kerusi Sebagai Syarat Kerjasama Dengan Angkatan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1988, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya kelangsungan kerjasama politik dengan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) boleh diteruskan dengan syarat pengagihan kerusi dilakukan mengikut ketetapan dengan PAS menguasai majoriti di beberapa negeri. PAS telah bersetuju supaya ia menguasai jumlah kerusi DUN yang ditandingi di negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah serta mengetuai kerajaan di negeri-negeri tersebut jika kerjasama politik PAS-Angkatan berjaya memerintah, selain PAS menuntut diberikan sekurang-kurangnya 38 dari 192 kerusi Parlimen untuk ditandingi, di mana Kerajaan Pusat boleh diketuai oleh parti Semangat 46 (S46).

19 Disember 2016

19 Disember 1999 : Pemimpin BN Buat Ramalan Negatif Terhadap Belanjawan Terengganu Di Bawah PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1999, para pemimpin BN Terengganu telah mula membuat ramalan-ramalan negatif terhadap Belanjawan Terengganu 2000 yang akan dibentangkan semula oleh Kerajaan PAS Terengganu setelah belanjawan asal tidak terpakai kerana pembubaran DUN Terengganu pada 10 November 1999. Menteri Besar Terengganu yang baru, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dijangka akan membentangkan Belanjawan Terengganu 2000 pada 21 Disember 1999 setelah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu Penggal Ke-10 mengangkat sumpah pada 20 Disember 2000. Satu kebimbangan besar pemimpin BN Terengganu ialah Kerajaan PAS Terengganu akan memanfaatkan dana besar kerajaan hasil royalti petroleum untuk kebajikan rakyat. Sebelum ini, pada 1 Disember 1999, Kerajaan PAS Terengganu telah mengumumkan untuk menghapuskan serta-merta tol di Jambatan Sultan Mahmud dan juga cukai pintu yang melibatkan kehilangan hasil kerajaan sebanyak RM16.6 juta.

18 Disember 2016

18 Disember 1971 : PAS Arahkan Rangka Semula Perlembagaan Parti Mengikut Kehendak Pendaftar (RoS)

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1971, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya pindaan Perlembagaan PAS dirangka semula bagi menepati arahan yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) Malaysia selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969. Arahan yang dikeluarkan ini berkait secara khusus tentang perubahan nama dan dasar PAS yang dikatakan mengandungi elemen sensitif mengikut Akta Hasutan (Pindaan) 1970. RoS telah mengeluarkan arahan supaya beberapa aspek dalam Perlembagaan PAS dipinda terutama melibatkan perjuangan ketuanan Melayu dan agama Islam, yang didakwa oleh Peguam Negara di Dewan Negara pada 9 Mac 1971 sebagai mengandungi unsur sensitif yang bercanggah dengan Akta Hasutan.

17 Disember 2016

17 Disember 1985 : Polis Menarik Balik Sekatan Ceramah Politik Ke Atas PAS Pasca Tragedi Memali

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1985, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan penarikan balik larangan ceramah politik yang dikenakan ke atas PAS selepas tragedi Memali. PAS dikenakan sekatan ceramah politik melibatkan enam buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak Utara dan Pulau Pinang sebaik sahaja tercetusnya tragedi Memali pada 19 November 1985. Tujuan utama sekatan ceramah politik ini adalah untuk menghalang PAS dari memberikan penerangan kepada rakyat tentang peristiwa pembunuhan 14 orang ahli PAS termasuk Ustaz Ibrahim Mahmud atau Ustaz Ibrahim Libya, bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah.

16 Disember 2016

16 Disember 1971 : PAS Bertemu Pendaftar Pertubuhan (RoS) Bincang Isu Nama Parti

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1971, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abu Bakar Hamzah telah mengadakan pertemuan dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk membincangkan kedudukan nama PAS yang telah menjadi isu. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 23 April 1971 telah dimaklumkan bahawa RoS telah mengarahkan supaya PAS meminda namanya, berikutan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Kadir Yusof di Dewan Negara yang mengancam tindakan ke atas PAS kerana namanya dikatakan tidak bersemangat Malaysia dan melibatkan isu sensitif. Isu nama ini telah menyebabkan nama PAS bertukar dari berbau Melayu kepada berbau Malaysia.

15 Disember 2016

15 Disember 1992 : Menteri Besar Kelantan Umum Pendirian Sultan Kelantan Mahu Ikut Al-Quran Dalam Tugas Raja

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1992, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mendedahkan persetujuan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra bahawa Baginda hanya tertakluk kepada etika al-Quran dalam menjalankan tugas-tugas Baginda. Sebelumnya, Menteri Besar Kelantan itu telah mempertegaskan bahawa raja-raja bukan sahaja tidak mempunyai kekebalan ke atas undang-undang, bahkan terikat dengan hukum Islam. Sultan Ismail Petra yang mendapat nasihat Menteri Besar Kelantan itu telah bersetuju supaya Baginda tidak terikat dengan Kod Etika Raja-raja, sebaliknya terikat sepenuhnya dengan akhlak Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

14 Disember 2016

14 Disember 1956 : Dr. Burhanuddin Al-Helmy Sertai PAS Secara Rasmi

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1956, tokoh pejuang kemerdekaan tersohor, Dr Burhanuddin al-Helmy telah menyertai PAS secara rasmi dengan menyerahkan borang keahlian PAS kepada Setiausaha Agung PAS, Ustaz Othman Abdullah. Borang keahlian yang diserahkan melalui Pengerusi Tetap PAS, Ustaz Haji Hassan Adli Mohd Arshad merupakan keahlian daftar terus PAS di Pejabat Agung PAS, tanpa menyertai mana-mana ranting atau cawangan PAS. Sebelum menyertai PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy telah berkelana dalam politik antara 1937-1956 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM), Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS), Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). Beliau juga terlibat memimpin gabungan PUTERA-AMCJA dan mengasaskan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), Hizbul Muslimin (HM) dan Parti Rakyat Malaya (PRM).

13 Disember 2016

13 Disember 1977 : PAS Dipecat Dari Menjadi Anggota Barisan Nasional (BN)

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1977, Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) telah memutuskan supaya PAS memecat Ahli-ahli Parlimennya yang menentang keputusan Ketua Whip BN di Dewan Rakyat pada 8 November 1977 atau PAS akan terpecat dari menjadi anggota BN dengan sendirinya jika gagal berbuat demikian sebelum 17 Disember 1977. Keputusan asal Majlis Tertinggi BN pada 5 Disember 1977 yang mahu PAS memecat wakil rakyatnya itu telah ditolak oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 6 Disember 1977, yang mendorong Majlis Tertinggi BN memaksa PAS dengan alternatif PAS terpecat dari BN. Dengan terpecatnya PAS dari BN ini, terputuslah hubungan antara PAS dengan parti-parti komponen BN yang wujud sejak PAS menyertai Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1 Januari 1973, sebelum BN ditubuhkan pada 1 Jun 1974.

12 Disember 2016

12 Disember 1970 : Samad Idris Mencadang Penubuhan Kerajaan Campuran PAS dan Perikatan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1970, Menteri Muda Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Datuk Abdul Samad Idris telah mencadangkan supaya PAS membentuk kerajaan campuran dengan Perikatan di Kelantan dan Terengganu demi kepentingan politik orang Melayu. Cadangan yang diutarakan ini adalah bagi menyelesaikan krisis politik dan perkauman yang berlaku pasca tragedi 13 Mei 1969. Melalui kerajaan campuran yang diwujudkan antara PAS dan Perikatan akan dapat mengukuhkan perpaduan orang Melayu Islam, selain mereda kekecohan politik yang timbul sebelumnya.

11 Disember 2016

11 Disember 2000 : Media Memanipulasi Isu Perpaduan Melayu Agar PAS Dan PKN Bersama BN

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2000, isu perpaduan Melayu telah mula digembar-gemburkan oleh media massa arus perdana sebagai strategi baru menghadapi pembangkang setelah BN tewas dalam Pilihan Raya Kecil Lunas pada 29 November 2000. Isu perpaduan Melayu ini telah dibangkitkan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 10 Disember 2000 yang kononnya sangat bimbang dengan perpecahan bangsa Melayu dan orang Islam selepas berlaku gerakan Reformasi pada September 1998. Isu ini dihangatkan oleh pemimpin Umno dengan sokong media arus perdana pro BN dalam rangka memperkasakan semula parti perkauman itu setelah orang Melayu mula beralih kepada PAS sejak 1998, yang kemudiannya dimanfaatkan oleh PAS untuk mendesak Umno memulihkan kepincangan politik, ekonomi dan agama yang berlaku.

10 Disember 2016

10 Disember 1985 : PAS Kelantan Pertahan Fatwa Kesyahidan Mangsa Memali

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1985, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah memutuskan untuk mempertahankan pendirian Dewan Ulamak PAS Kedah dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS bahawa mangsa tragedi Memali adalah mati syahid. Sebalik sahaja tragedi pembunuhan berlaku di Kampung Memali pada 19 November 1985, Dewan Ulamak PAS Kedah yang diketuai oleh Tuan Guru Haji Yahya Junid yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Kedah, telah mengeluarkan fatwa bahawa 14 orang yang terbunuh di Memali itu adalah syahid, sebelum fatwa ini dipertegaskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 8 Disember 1985. Bagi menegaskan lagi kedudukan dan status mereka, Badan Perhubungan PAS Kelantan yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memperakukan status mangsa Memali sebagai syahid.

09 Disember 2016

09 Disember 1982 : PAS Pusat Ke Perlis Terangkan Isu Perletakan Jawatan Dato' Asri Muda

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengadakan lawatan kerja ke Perlis kerana menerangkan isu perletakan jawatan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982. Siri-siri lawatan kerja Jawatankuasa Kerja Agung PAS ke negeri-negeri dalam isu ini diaturkan ke semua negeri dalam dua peringkat iaitu antara 4-12 Disember 1982 dan 8-23 Januari 1983. Tujuan utamanya adalah untuk menjelaskan secara lisan tentang krisis kepemimpinan yang timbul selepas muktamar tersebut.

08 Disember 2016

08 Disember 1960 : Keahlian Ustaz Azzam Hanapiah Diterima Semula Bagi Menghadapi Krisis Politik Terengganu

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1960, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menerima semula keahlian bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah setelah beliau keluar dari PAS pada 15 Julai 1960. Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah yang juga ADUN Jeram merangkap bekas anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu telah bertindak keluar dari PAS ekoran beberapa desakan beliau berkait dengan kedudukan jawatan Timbalan Menteri Besar Terengganu, penyusunan semula Kerajaan Negeri Terengganu dan pemecatan keahlian ADUN Marang yang juga Speaker DUN Terengganu, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar. Dengan keluarnya Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah dari PAS, Kerajaan PAS Terengganu telah kehilangan majoriti sehingga terpaksa berhadapan dengan usul undi tidak percaya pada 6 Ogos 1960.

07 Disember 2016

07 Disember 1976 : PAS Memandang Serius Terhadap Pemimpin BN Yang Memburukkan PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1976, Dewan Harian PAS Pusat telah mengambil pendirian bersetuju untuk memberikan perhatian berat terhadap tindakan sesetengah pemimpin BN yang cuba memburuk-burukkan pemimpin PAS sepanjang PAS bersama BN sejak 1 Jun 1974. Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Haji Muda menyifatkan tindakan pihak tertentu yang memburuk-burukkan pemimpin dan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sebagai membahayakan perpaduan yang telah wujud, selain boleh menjejaskan aqidah kerana mengkritik perjuangan untuk menegakkan Islam. Dewan Harian PAS Pusat juga turut mengarahkan supaya Badan-badan Perhubungan PAS Negeri membuat laporan tentang rasa tidak puas hati mereka terhadap perjalanan BN di negeri masing-masing.

06 Disember 2016

06 Disember 1984 : MCA Tangguhkan Dialog Dengan PAS Kerana Krisis Kepimpinan MCA

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1984, Persatuan Cina Malaysia (MCA), sebuah parti perkauman Cina telah bertindak menangguhkan tawaran yang dikemukakan oleh PAS sejak 15 Oktober 1984 bagi mengadakan dialog PAS-MCA untuk menyelesaikan beberapa isu perkauman di negara ini. Surat yang dijawab oleh Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chew Hock Thye kepada Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad telah meletakkan syarat supaya beberapa persoalan asas yang dikemukakan oleh MCA dijawab oleh PAS sebelum sesi dialog kedua-dua parti yang berlainan ideologi ini dapat diadakan. Dialog PAS-MCA ini kemudiannya ditangguhkan kerana pihak MCA bertegas supaya PAS menjawab secara bertulis semua persoalan yang dibangkitkan oleh mereka, sedangkan PAS mahu ia dijawab secara lisan dalam pertemuan-pertemuan yang diadakan sebelum dialog tersebut berlangsung.

05 Disember 2016

05 Disember 1977 : Majlis Tertinggi BN Arahkan PAS Memecat Ahli Parlimen PAS Yang Melawan Ketua Whip

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1977, Majlis Tertinggi BN telah membuat keputusan dengan suara majoriti supaya PAS memecat Ahli-ahli Parlimennya yang bertindak menentang arahan Ketua Whip BN di Dewan Rakyat pada 8 November 1977. 12 orang daripada 14 Ahli Parlimen PAS telah bertindak menentang Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn pada 8 November 1977 di Dewan Rakyat, kerana mengikuti keputusan PAS pada 6 November 1977 untuk menentang rang undang-undang tersebut. Ekoran tindakan PAS ini, Majlis Tertinggi BN menganggap bahawa Ahli-ahli Parlimen PAS telah melanggar Fasal 14 Perlembagaan BN tentang disiplin wakil-wakil rakyat BN di dewan perundangan.

04 Disember 2016

04 Disember 1976 : PAS Sertai Rundingan Akhir Dengan Perikatan Bagi Membentuk Kerajaan Campuran

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1972, PAS telah menyertai rundingan peringkat terakhir dengan Perikatan dalam rangka membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pasca Tragedi 13 Mei 1969. Rundingan yang bermula sejak 16 Ogos 1972 ini telah menetapkan enam garis dasar yang dijadikan asas bagi pembentukan kerajaan campuran, enam tuntutan jawatan di peringkat Pusat dan Negeri, empat perjanjian mengenai pilihan raya dan dua perjanjian am. Hasil rundingan ini kemudiannya diterima dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 5 Disember 1972.

03 Disember 2016

03 Disember 1961 : PAS Bincang Pendirian Dan Sikap Terhadap Penubuhan Malaysia

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1961, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengadakan mesyuarat panjang selama tiga hari berakhir 5 Disember 1961 bagi membincangkan sikap dan tindakan PAS terhadap cadangan penubuhan Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra pada 27 Mei 1961. Mesyuarat ini sangat penting dalam menentukan langkah dan tindakan PAS bagi menghadapi usaha Kerajaan Perikatan yang dilihat oleh PAS sebagai akan menghancurkan masa depan orang Melayu. Terdahulu, pada 15 Oktober 1961, PAS telah mengambil sikap untuk menolak percantuman Tanah Melayu dengan Singapura, sebaliknya mencadangkan penubuhan Melayu Raya.

02 Disember 2016

02 Disember 1960 : PAS Sokong Dato' Onn Supaya Melayu Dijadikan Rupa Bangsa Rakyat Tanah Melayu

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1960, PAS telah menyokong usul yang dikemukakan oleh tokoh pembangkang, Dato' Onn Jaafar (Parti Negara - Kuala Terengganu) di Dewan Rakyat yang mencadangkan supaya Melayu dijadikan rupanya bangsa rakyat negara ini. Usul yang mencadangkan "bahawa rupa bangsa Persekutuan Tanah Melayu hendaklah dikenali sebagai Melayu" ini dikemukakan kali yang kedua oleh Dato' Onn Jaafar setelah melihat konsep hak-hak istimewa orang Melayu sebagai menjerat masa depan bangsa Melayu dan rupa bangsa rakyat negara ini sebagai sebuah negara milik orang Melayu tidak terjamin pada masa hadapan. PAS sejak proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan pada 1956 telah menolak konsep hak-hak istimewa orang Melayu yang dicadangkan oleh Perikatan (Umno-MCA-MIC), kerana PAS memperjuangkan konsep ketuanan Melayu.

01 Disember 2016

01 Disember 1956 : Pejabat Agung PAS Berpindah Kekal Ke Kuala Lumpur

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1956, Pejabat Agung PAS telah berpindah ke ibu kota, Kuala Lumpur setelah enam tahun berpusat di Seberang Perai, khususnya di Kepala Batas. Perpindahan ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan lagi kecekapan pentadbiran PAS dengan kedudukan yang lebih strategik di ibu kota, tetapi juga untuk membolehkan PAS menampilkan diri sebagai sebuah parti yang bertaraf nasional menjelang kemerdekaan negara. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 13 Oktober 1956 telah memutuskan supaya Pejabat Agung PAS dipindahkan sepenuhnya ke Kuala Lumpur setelah ia beroperasi di Seberang Perai semenjak penubuhan PAS pada 1951 dan memindahkan urusan pentadbirannya ke Kuala Lumpur mulai September 1955.

30 November 2016

30 November 1999 : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Dilantik Sebagai Menteri Besar Terengganu

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1999, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Menteri Besar Terengganu yang keenam sejak 1959 ini adalah ADUN Rhu Rendang semenjak 1986, setelah menjadi ADUN Marang (1982-1986) dan juga Ahli Parlimen Marang (1990-1999). Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu kemudiannya dinamakan sebagai Menteri Besar Terengganu ekoran kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum Kesepuluh pada 29 November 1999.

29 November 2016

29 November 1999 : PAS Catat Kejayaan Cemerlang Dalam Pilihan Raya Umum Ke-10

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1999, PAS telah mencatatkan kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 dengan dapat menguasai dua buah negeri dan menjadi pembangkang utama di Dewan Rakyat. Antara faktor utama kejayaan PAS dalam pilihan raya ini adalah akibat krisis politik dalaman Umno yang berlaku pada 1998 dan kejayaan PAS memimpin pakatan pembangkang, Barisan Alternatif (BA). Ekoran kemenangan ini, tiga pemimpin utama PAS telah memegang jawatan-jawatan penting iaitu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato'Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan, Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor sebagai Ketua Pembangkang dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar Terengganu.

28 November 2016

28 November 1996 : UMNO Arah Empat Exco PMS46 Letak Jawatan Untuk Selesaikan Krisis Politik Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1996, Majlis Tertinggi Umno telah mengarahkan empat orang Ahli Majlia Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kelantan dari bekas Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyertai semula Umno supaya meletakkan jawatan. Krisis politik Kelantan yang tercetus sejak selepas Pilihan Raya Umum 1995 telah membawa kepada putusnya kerjasama politik PAS-PMS46 mulai 14 Julai 1996. Walaupun PMS46 telah menjadi pembangkang, namun empat Ahli Exco mereka telah bertindak untuk tidak melepaskan jawatan sehingga menimbulkan krisis politik di Kelantan.

27 November 2016

27 November 1978 : Muktamar Mahu PAS Amalkan Konsep Syura Dalam Pemilihan Parti

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1978, Muktamar Tahunan PAS Ke-24 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur telah memutuskan satu syor supaya PAS mengamalkan konsep syura yang lebih kolektif dalam pemilihan parti. Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung antara 25-27 November 1978 ini adalah yang pertama diadakan selepas PAS mengalami krisis politik sehingga dipecat dari BN, yang antara lain kerana faktor kepemimpinan yang dilihat mulai mengamalkan politik perpuakan selepas PAS menyertai Kerajaan Campuran pada 1 Januari 1973. Muktamar Tahunan PAS Ke-24 ini telah memberikan perhatian terhadap isu-isu dalaman parti termasuk kegagalan PAS menyediakan rancangan jangka panjang, strategi politik yang berkesan dan tidak mempunyai garis pergerakan politik yang jelas.

26 November 2016

26 November 1981 : Peraturan Pemilihan Calon Cetuskan Krisis Terbuka Antara Asri Muda Dengan Ulamak

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1981, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan dua isu yang kemudiannya kedua-dua isu ini menjadi punca pergolakan antara Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dengan golongan ulamak dalam PAS, termasuk Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dua isu tersebut ialah cadangan yang diangkat oleh Dewan Ulamak PAS Pusat untuk menggubal Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS 1981 dan cadangan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mengadakan muktamar tahunannya bagi tahun 1982 berasingan daripada Muktamar Tahunan PAS. Kedua-dua isu ini dikatakan telah menyebabkan Dato' Mohd Asri Haji Muda merajuk dan mula berkrisis secara terbuka dengan golongan ulamak sehingga akhirnya beliau berundur dari kepemimpinan PAS setahun kemudian.

25 November 2016

25 November 1993 : DUN Kelantan Luluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedua 1993

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1993, Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN Kelantan) telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 dengan sebulat suara oleh 37 daripada 39 ADUN. Rang Undang-undang yang dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 24 November 1993 ini menerima sambutan positif daripada semua ADUN, termasuk dua ADUN pembangkang, Nordin Yaakob (BN - Sungai Pinang) dan Wan Najib Wan Mohamad (BN - Limbongan). Dengan sokongan sebulat suara di DUN Kelantan ini, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 menjadi undang-undang jenayah Islam yang pertama digubal di negara selepas merdeka.

24 November 2016

24 November 1951 : Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya Rasmikan Penubuhan PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1951, para ulamak dan persatuan-persatuan umat Islam telah bersidang dalam Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya di Kelab Melayu Bagan, Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Perai untuk menubuhkan persatuan ini secara rasmi. Dua agenda utama persidangan ini adalah untuk meluluskan Undang-undang Tubuh Persatuan Ulamak Se-Malaya dan melantik ahli jawatankuasa kerja persatuan tersebut. Persidangan ini pada asalnya dijadualkan akan dibuka oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Putra tetapi telah dibuka oleh Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Sheikh Haji Abdullah Fahim.

31 Oktober 2016

31 Oktober 1987 : PAS Pertegas Pendirian Terhadap Salah Guna ISA Oleh Kerajaan BN

Pada hari ini dalam tahun 1987, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri telah membuat satu kenyataan kepada akhbar untuk menjelaskan sikap PAS terhadap tindakan zalim Kerajaan BN yang menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mengekalkan kekuasaan regim BN. Kenyataan ini dikeluarkan ekoran tindakan zalim Kerajaan BN yang memperalatkan ISA bagi menahan pemimpin politik, aktivis sosial dan ahli akademik dalam Operasi Lalang sejak 27 Oktober 1987. Seramai 106 orang telah ditahan dalam operasi ini, termasuk 15 orang ahli PAS.

Kedudukan BN telah terjejas dengan teruk selepas Pilihan Raya Umum 1986 ekoran perpecahan dalaman yang berlaku dalam Umno dan juga pergeseran politik secara terbuka antara Umno dan MCA. Umno juga melanjutkan isu Memali yang tercetus pada 19 November 1985 sebagai akibat isu kafir-mengkafir sehingga ada ahli PAS terlibat dengan gerakan bawah tanah, Jundullah. Beberapa pendedahan Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa tentang kegiatan Kritianisasi juga dijadikan asas kononnya PAS telah terlibat dalam isu-isu perkauman, sedangkan Majlis Syura Ulamak PAS pada 20 Oktober 1987 telah memutuskan bahawa PAS tidak boleh terlibat dengan mana-mana gerakan atau perhimpunan yang bersifat perkauman.

Isu sebenar di sebaliknya krisis ini ialah perpecahan Umno setelah Team A berjaya mengalahkan Team B dalam pemilihan Umno pada 27 April 1987, di mana Team B telah membawa kes ini ke mahkamah. Melihat perpecahan besar dalam Umno, orang-orang Cina telah menjadikan isu guru besar Melayu di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) sebagai isu perkauman dengan dimotori oleh MCA, Gerakan dan DAP, selain Dong Jiao Zhong dan Dong Zhong yang mempertikaikan hak istimewa orang Melayu dan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bersama pada 8 Oktober 1987. Pada 11 Oktober 1987, mereka mengadakan himpunan orang Cina di Tokong Thean Hou. Kemuncak pertembungan ini ialah Pergerakan Pemuda Umno yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dan Datuk Mohd Najib Abdul Razak telah merancang perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur pada 17 Oktober 1987 untuk mempertahankan hak istimewa orang Melayu.

Pertembungan besar antara Team A dan Team B Umno, yang diikuti oleh pergeseran Umno dengan MCA telah hampir memecahkan BN. Bagi menangani isu ini, Menteri Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah menyalahgunakan ISA untuk menahan pemimpin pembangkang, sedangkan pemimpin Umno dan MCA yang ditahan beberapa kerat sahaja. Semua pemerhati politik mengatakan isu sebenar dalam soal ini ialah perbalahan kaum yang hanya melibatkan Umno dan pemimpin Cina dari MCA, Gerakan dan DAP sahaja. Ahli-ahli akademik, aktivis sosial dan pemimpin PAS tidak terlibat, tetapi mereka ditahan atas alasan-alasan yang diadakan. Beberapa media massa seperti The Star, The Sunday Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan telah ditarik balik permit penerbitannya dalam isu ini, selain mengharamkan semua perjumpaan politik. Kerajaan BN kemudiannya menjadikan isu ini sebagai sebab untuk mewujudkan Akta Percetakan dan Mesin Cetak 1987.

Ekoran manipulasi yang dilakukan oleh BN dalam menahan pemimpin pembangkang, aktivis sosial dan ahli akademik yang tidak terlibat dalam perkauman ini, pada 31 Oktober 1987, PAS menerusi Setiausaha Agungnya telah menegaskan pendiriannya yang menentang penahanan zalim ini dan menuntut semua tahanan dibebaskan tanpa syarat atau didakwa di mahkamah terbuka. PAS turut mendakwa bahawa para pemimpin BN dari Umno dan MCA sengaja menimbulkan isu perkauman yang membawa kepada ketegangan kaum bagi membolehkan pemimpin pembangkang ditahan, kegiatan politik disekat dan media massa dikawal, yang menatijahkan pengekalan kuasa BN ketika mereka sedang berpecah. Ekoran itu juga, pada 19 November 1987, PAS telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri untuk menjelaskan sikap PAS dalam soal ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

30 Oktober 2016

30 Oktober 1961 : Kerajaan PAS Terengganu Tumbang Dengan Usul Undi Tidak Percaya

Pada hari ini dalam tahun 1961, Kerajaan PAS Terengganu telah tumbang dalam satu usul undi tidak percaya yang dikemukakan di Dewan Undangan Negeri Terengganu setelah berlaku krisis kepemimpinan yang berpanjangan dalam PAS Terengganu sejak 1959. Usul undi tidak percaya yang dikemukakan oleh ADUN Parti Negara, Wan Daud Wan Ahmad telah berjaya menjatuhkan Kerajaan PAS Terengganu yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad selaku Menteri Besar sejak 29 Jun 1959. PAS membentuk kerajaan di Terengganu pada 1959 ekoran kejayaan PAS menguasai 13 daripada 24 kerusi DUN Terengganu dalam Pilihan Negeri Terengganu pada 16 Mei 1959.

Kerajaan PAS Terengganu terbentuk dengan Mohd Daud Abdul Samad menjadi Menteri Besar dan beberapa ADUN PAS mengangkat sumpah pada 29 Jun 1959 sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri yang terdiri daripada Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah (Jeram), Abu Bakar Salleh (Sura), Ismail Yusof (Ulu Terengganu Dengan), Omar Abdul Rahman (Ulu Terengganu Barat), Ustaz Omar Shukri Embong (Ulu Dungun) dan Mohd Senari Yunus (Kampong Raja). Ekoran keluarnya Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah dan pemecatan keahlian PAS ke atas Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar oleh PAS Cawangan Dungun, pada 6 Ogos 1960, satu usul undi tidak percaya telah dibuat ke atas Kerajaan PAS Terengganu, tetapi ia digagalkan oleh Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah yang menyokong Kerajaan PAS. Bagi mengukuhkan kerajaan, pada 8 Oktober 1960, ADUN Langkap, Ismail Abbas yang menyertai PAS dari Parti Negara telah dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Krisis kepemimpinan yang berpanjangan dalam PAS Terengganu kemudiannya menjelaskan Kerajaan PAS ekoran keluar masuk ADUN Jeram dan Marang dalam PAS. Ketika keadaan politik sedang bergolak ini, pemimpin Parti Negara yang marah dengan penyertaan ADUN Langkap ke dalam PAS telah bertindak membawa tiga ADUN Parti Negara menyertai Umno. Dalam pada itu, pada 19 Jun 1961, dua ADUN PAS, Tuan Guru Haji Wan Said Mohd Noor (Kuala Besut) dan Tuan Guru Haji Abdul Kadir Mohamad (Kuala Terengganu Tengah) dilaporkan hilang diculik. Pada 21 Jun 1961, akhbar melaporkan tiga ADUN PAS dari Kuala Besut, Kuala Terengganu Tengah dan Marang telah menyertai Umno bersama tiga bagi ADUN Parti Negara.

Dengan penyertaan tiga ADUN PAS dan tiga ADUN Parti Negara ke dalam Umno, komposisi ADUN telah berubah di mana Perikatan mempunyai 13 ADUN, sedangkan PAS hanya mempunyai 11 ADUN. Ini menyebabkan PAS tidak lagi mempunyai majoriti untuk memimpin kerajaan negeri. Dalam sidang DUN Terengganu pada 30 Oktober 1961, ADUN Parti Negara yang menyertai Umno, Wan Daud Wan Ahmad telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dan Kerajaan PAS Terengganu Dengan disokong oleh ADUN Perikatan, Tengku Mohsien Abdul Kadir. Dalam undian ini, usul tersebut mendapat 13 sokongan iaitu tujuh Perikatan, tiga Parti Negara, dua bekas ADUN (Kuala Besut dan Kuala Terengganu Tengah) dan satu ADUN PAS (Jeram). Dua lagi ADUN PAS iaitu Ustaz Hussin Jusoh dan Muhammad Ismail telah berkecuali, sedangkan anggota Exco, Omar Abdul Rahman telah diperintahkan keluar Dewan ketika pengundian dijalankan. Dengan hanya mendapat sokongan lima undi, Kerajaan PAS Terengganu telah tumbang pada 30 Oktober 1961 dan pada 8 November 1961, Mohd Daud Abdul Samad telah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Disusun oleh: Arkib PAS

29 Oktober 2016

29 Oktober 1984 : MCA Sedia Terima Tawaran Berdialog Dengan PAS Dengan Syarat

Pada hari ini dalam tahun 1984, PAS telah menerima surat jawapan daripada MCA tentang tawaran dialog yang dikemukakan oleh PAS kepada parti Parlimen Cina itu sebelumnya. Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chew Hock Thye dalam surat jawapannya kepada Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad telah menyatakan kesediaan bersyarat MCA untuk berdialog dengan PAS dalam isu-isu politik dan agama di negara ini. Terdahulu, pada 15 Oktober 1984, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad yang juga Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat melalui sepucuk surat telah mengajak MCA berdialog dengan PAS.

Isu dialog PAS-MCA ini timbul ekoran keputusan Muktamar Tahunan PAS Ke-29 pada 29 April - 1 Mei 1983 yang mahu PAS mendekati orang bukan Islam secara langsung sebagai strategi dakwah yang baru. Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa dalam ucapan dasarnya pada muktamar itu turut menyeru supaya PAS memecahkan tembok yang menghalangi PAS dari mendekati orang bukan Melayu, khususnya orang Cina. Pendirian PAS ini mempunyai kaitan yang rapat dengan kegagalan pendekatan politik melalui BN pada dekad 1970-an dan keengganan PAS berkerjasama dengan parti cauvenis seperti DAP yang telah berbangkit semasa Pilihan Raya Umum 1982. Gerakan dakwah secara langsung dengan orang bukan Islam adalah lebih berkesan bagi PAS, berbanding pendekatan melalui kerjasama politik sebelumnya.

Atas asas ini, pada 6 Oktober 1983, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya usaha dibuat untuk mendekati orang bukan Islam, termasuk mengadakan seminar-seminar berkaitan. Pada 15 Oktober 1984, Ustaz Nakhie Ahmad telah membuat tawaran bertulis kepada MCA untuk berdialog dengan PAS, sedangkan dalam satu tindakan politik yang lain, PAS mencabar Umno berdebat dalam isu-isu negara Islam. Mengambil langkah berhati-hati terhadap pelawaan PAS ini, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chew Hock Thye pada 29 Oktober 1984 telah menjawab tawaran dialog tersebut dengan memberikan persetujuan bersyarat. Antara syarat yang ditetapkan oleh MCA sebelum berdialog ialah PAS mesti menyatakan sikap dan pendirian dalam perkara berikut:

I. Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara sekular;
II. Kedudukan Malaysia sebagai negara perlbagai kaum;
III. Jaminan pemeliharaan hak dan kepentingan setiap kaum;
IV. Penerusan sistem perlembagaan beraja dan demokrasi berparlimen; dan
V. Keperluan melandaskan perubahan dan pembangunan mengikut iklim Malaysia.

Menjawab syarat-syarat MCA yang mahu mengetahui terlebih dahulu pendirian PAS dalam soal tersebut, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad pada 10 November 1984, menyatakan lebih baik semua persoalan itu dijawab dalam sesi dialog yang akan diadakan kelak. Pada 6 Disember 1984, Setiausaha Agung Pemuda MCA dalam jawapan balasnya bertegas bahawa dialog dengan MCA hanya dapat diadakan jika PAS terlebih dahulu menyatakan pendiriannya terhadap perkara berbangkit. Walaupun proses mempertemukan kedua-dua parti terus berlangsung, namun krisis kepemimpinan yang melanda MCA kemudiannya telah menggagalkan rancangan dialog kedua-dua parti ini. Kegagalan mendapatkan persetujuan MCA bagi membolehkan PAS berdialog dengan mereka dalam soal politik dan agama, jelas tidak melemahkan PAS.

Sebaliknya PAS telah mengambil langkah proaktif pada tahun 1985 apabila ia memulakan hubungan dengan orang Cina menerusi Chinese Consultative Council (CCC). Pada 10 Februari 1985, PAS menganjurkan simposium "Islam dan Persoalan Perpaduan Negara" di Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Daripada simposium inilah, PAS membuka langkahnya mendekati orang bukan Islam sehingga terbentuknya CCC.

Disusun oleh: Arkib PAS

28 Oktober 2016

28 Oktober 1988 : Dewan Ulamak PAS Pusat Mengadakan Seminar Tentang Perpaduan Ummah

Pada hari ini dalam tahun 1988, Dewan Ulamak PAS Pusat telah menganjurkan Seminar Perpaduan Ummah di Masjid Pulau Melaka, Kota Bharu sebagai satu langkah menghimpunkan para ulamak bagi merumuskan formula mengatasi perpecahan umat Islam di negara ini. Seminar sehari ini telah dihadiri oleh bekas-bekas pemimpin Umno yang terlibat secara lansung dalam perpecahan politik setelah Umno diharamkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 8 Ogos 1988. Konflik politik yang tercetus di antara Umno dan PAS pasca Tragedi Memali pada akhir 1985, telah diburukkan lagi oleh perpecahan dalaman Umno ekoran pergeseran di antara Team A dan Team B Umno pada pemilihan parti nationalis itu pada 1987.

Pergolakan dalaman Umno sebagai parti politik Melayu terbesar di negara ini ketika itu telah mewujudkan Team A Umno yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Team B Umno yang diketuai oleh Tengku Razaliegh Hamzah. Dalam pemilihan Umno pada 27 April 1987, Team B Umno telah tewas dan bertindak membawa kes mereka ke mahkamah, sehingga akhirnya Umno diharamkan. Team B Umno kemudiannya telah menubuhkan Semangat 46 dan mengadakan kerjasama dengan serpihan PAS, Berjasa di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan).

Perpecahan Umno dilihat sebagai satu perpecahan besar umat Islam, dan PAS segera mengambil langkah menangani fenomena ini. PAS telah menganjurkan Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam di Kuala Lumpur pada 21 Ogos 1988 dan diikuti oleh Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Rusila pada 9-10 September 1988. Tujuan utama kedua-dua persidangan perpaduan ini diadakan adalah untuk membolehkan PAS memimpin usaha mewujudkan semula perpaduan umat Islam setelah ia terpecah ekoran pengharaman Umno.

Pada 28 Oktober 1988, Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengadakan Seminar Perpaduan Ummah di Masjid Pulau Melaka untuk merumuskan formula-formula bagi menyatukan semula umat Islam. Beberapa pemimpin serpihan Umno seperti Ibrahim Ali (Ketua Pemuda Semangat 46), Ustaz Ibrahim Azmi Hassan (Ahli Parlimen Kuala Nerus), Dato' Ariffin Saleh (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan) dan Wan Omar Wan Abdul Majid (Ahli Parlimen Pasir Puteh) telah hadir dalam seminar ini mewakili Semangat 46. Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor ketika merasmikan seminar ini mempertegaskan bahawa hanya dengan Islam seluruh perpecahan umat dapat diselesaikan dan perpaduan ummah dapat diwujudkan. Beliau menyeru para ulamak supaya memainkan peranan sebagai pembimbing ummah dalam mewujudkan perpaduan berasaskan al-Quran dan Sunnah.

Mengambil semangat daripada agenda perpaduan dalam seminar ini, PAS telah mengadakan siri-siri taklimat kepada PAS Negeri-negeri antara 22 November hingga 7 Disember 1988 untuk menjelaskan hasrat PAS mengembalikan perpaduan ummah dengan mengadakan kerjasama politik dengan Berjasa dan Semangat 46. Pada 23 Disember 1988, satu Majlis Makan Pemikir Ummah telah diadakan di Kelang Jaya yang mempertemukan Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan Tengku Razaliegh Hamzah, pemimpin Semangat 46. Kerjasama antara PAS-Angkatan kemudiannya membawa keuntungan politik kepada PAS apabila Kelantan dapat dikuasai semula dalam Pilihan Tata Umum pada 21 Oktober 1990.

Disusun oleh: Arkib PAS

27 Oktober 2016

27 Oktober 1987 : 15 Pemimpin PAS Ditahan Bawah ISA Dalam Operasi Lalang

Pada hari ini dalam tahun 1987, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melancarkan gerakan Operasi Lalang bagi menangani isu perkauman yang sedang hangat diperkatakan ketika itu. Dalam operasi ini, seramai 106 orang pemimpin politik, aktivis sosial, ahli akademik dan pejuang hak asasi manusia, termasuk 15 orang pemimpin PAS telah ditahan di bawah ISA. Krisis perkauman yang timbul ini adalah ekoran perpecahan dalam Umno sejak pertembungan Team A dan Team B dalam Umno pada April 1987, yang diikuti oleh isu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) yang digerakkan oleh Dong Jiao Zong, yang akhirnya membawa kepada pergeseran antara Umno dan MCA.

Isu asal yang membawa kepada krisis perkauman ini ialah arahan Kementerian Pendidikan supaya dua guru Melayu bertugas sebagai guru besar di SRJKC. Bantahan Dong Jiao Zong kemudiannya didukung oleh MCA, Gerakan dan DAP melalui Jawatankuasa Bertindak Bersama yang dianggotai oleh 18 pertubuhan Cina. Bertindak balas terhadap gerakan orang Cina ini, Pergerakan Pemuda Umno yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dan Datuk Mohd Najib Razak telah mengaturkan perhimpunan Melayu di Stadium TPCA, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru dengan seruan membawa 'pisau' dan 'mancis.' Sultan Selangor pula telah bertindak menarik balik gelaran Dato' daripada Presiden MCA, Lee Kim Sai, sedangkan dalam masa yang sama berlaku amukan Prebet Adam yang menembak mati dua orang Cina di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang membatalkan perhimpunan yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno Ke-41 tidak menamatkan krisis ini. Sebaliknya ia bertukar menjadi alasan untuk menahan musuh-musuh politik Umno-BN dalam menangani perpecahan dalaman mereka. PAS sendiri pada 19 Oktober 1987, telah membuat pendirian bahawa semua pimpinan dan ahlinya tidak akan terlibat dalam mana-mana himpunan yang berasaskan asobiyah dan perkauman yang sempit. Pendirian ini disahkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 20 Oktober 1987. Namun begitu, pendirian PAS ini tidak dapat melepaskan ahli-ahlinya dari menjadi mangsa keganasan ISA setelah Operasi Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987. Seramai 15 orang pimpinan dan ahli PAS yang ditahan, di mana sebahagiannya dituduh terlibat dengan "Jundullah," sebuah pergerakan bawah tanah yang tiada kaitan dengan PAS.

Antara pemimpin PAS yang ditahan ISA dalam Operasi Lalang ini ialah Ustaz Abdul Halim Arshat (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Abdul Khalid Samad (Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat), Mohamad Sabu (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat), Mahfuz Omar (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat), Suhaimi Said (Penasihat Undang-undang PAS), Tuan Guru Haji Mohd Arif Yaakob (Dewan Ulamak PAS Perak), Ustaz Abdul Latif Mohamad (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat), Mohd Yusof Husein (Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah), Mohd Ali Hanafiah Ismail dan Nawawi Yusof. Yang ditahan atas tuduhan terlibat dengan Jundullah ialah Ustaz Buniyamin Yaakob, Zainuddin Abdullah, Tengku Shukri Tengku Zainal, Kamarulzaman Ismail dan Ustaz Omar Khalid.

Ekoran penahanan ISA yang dibuat tanpa dibuktikan bersalah ini, pada 21 November 1987, PAS Pusat telah menghantar rombongan terdiri daripada Pak Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Wan Muttalib Embong, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Haji Ahmad Subky Abdul Latif untuk menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Hanif Omar. Setelah dua bulan Operasi Lalang dijalankan, semua pempinan PAS yang ditahan telah ditempatkan di Kem Tahanan Kemunting untuk tahanan selama dua tahun kecuali Ustaz Abdul Halim Arshat, Tuan Guru Haji Mohd Arif Yaakub, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Mohd Ali Hanafiah Ismail dan Nawawi Yusof yang dibebaskan selepas ditahan selama dua bulan.

Disusun oleh: Arkib PAS

26 Oktober 2016

26 Oktober 2009 : Setiausaha Agung PAS Cadang Muktamar Khas PAS Bincang Isu Kerajaan Perpaduan

Pada hari ini dalam tahun 2009, Setiausaha Agung PAS, Dato' Haji Mustafa Ali telah mengumumkan bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan mengadakan satu mesyuarat khas atas permintaan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi membincangkan keperluan PAS mengadakan muktamar khas. Isu muktamar khas ini timbul ekoran satu kenyataan yang dibuat oleh Mursyidul Am PAS yang mengkritik "dua tiga kerat" pemimpin PAS yang dikatakan bermasalah dan ia perlu diselesaikan melalui Muktamar Khas PAS. Isu ini adalah berlanjutan daripada kekalahan PAS dalam Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan pada 11 Oktober 2009.

Beberapa pemimpin PAS telah mengaitkan kekalahan dalam pilihan raya kecil tersebut dengan usaha yang dibuat oleh Exco Kerajaan Selangor, Dato' Dr Hassan Mohd Ali untuk mengawal premis yang menjual arak di negeri tersebut, selain isu siasatan Selcat. Mereka kemudiannya mengaitkan isu Dato' Dr Hassan Mohd Ali dengan isu Kerajaan Perpaduan (UG) yang telah pun ditutup sebelumnya oleh Mursyidul Am PAS dan Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 22 Jun 2009. Keadaan menjadi lebih parah apabila kolumnis Sinar Harian, Prof Dr Abdul Aziz Bari pada 19 Oktober 2009 telah membuat ulasan dengan menyebut nama Dato' Dr Hassan Mohd Ali bersama Ustaz Nasharudin Mat Isa (Timbalan Presiden PAS) dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) sebagai individu yang terbabit dalam isu kawalan arak di Selangor, yang kemudiannya memberi kesan terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang.

Isu UG asalnya digagaskan oleh Presiden PAS dalam temuramahnya pada Februari 2009 dan disiarkan oleh Siasah keluaran 1-7 Mac 2009 setelah Kerajaan 16 September '08 tajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal. Presiden PAS itu mencadangkan sebuah kerajaan tanpa pembangkang diwujudkan, di mana semua parti termasuk pembangkang terlibat dalam kerajaan tanpa menyertai BN, tetapi timbul fitnah bahawa Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mahu membawa PAS menyertai BN. Oleh kerana isu UG tidak difahami oleh sesetengah pimpinan dan ahli PAS, pada 21 April 2009, ia telah ditarik balik oleh Presiden PAS. Isu ini berbangkit semula dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-55 di Shah Alam apabila Presiden PAS pada 5 Jun 2009 membuat kenyataan bahawa UG adalah cara terbaik menstabilkan politik negara. Walaupun ia dibantah oleh Dato' Husam Musa, Naib Presiden PAS, tetapi pada 7 Jun 2009, Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menyambut baik cadangan tersebut. Pada 10 Jun 2009, 10 orang ahli Parlimen PAS telah membantah UG, dan Mursyidul Am PAS telah membuat kenyataan mengkritik keras Timbalan Presiden PAS dalam isu ini. Akhirnya, pada 22 Jun 2009, dalam pertemuan antara Mursyidul Am PAS dengan Jawatankuasa Harian PAS Pusat, satu persetujuan untuk menutup isu UG telah dibuat.

Namun begitu, dengan mengambil kesempatan daripada tulisan Dr Abdul Aziz Bari ini, ada pihak yang memperalatkan Mursyidul Am PAS untuk membuat kenyataan pada 21 Oktober 2009 yang mengkritik pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden PAS, Timbalan Presiden PAS dan Setiausaha Agung PAS, selain Dato' Dr Hassan Mohd Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor sebagai individu-individu yang bermasalah dalam PAS. Mereka disifatkan "dua tiga kerat" pemimpin yang bermasalah dan telah menjatuhkan populariti PAS sehingga perlu diadakan satu Muktamar Khas PAS bagi menggugurkan mereka daripada kepemimpinan tertinggi PAS. Alasan yang digunakan oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ialah teguran-teguran Allah terhadap Rasulullah SAW yang menunjukkan pemimpin perlu ditegur. Oleh kerana isu "pemimpin yang pro-Umno" yang ditimbulkan oleh Dr Abdul Aziz Bari, Mursyidul Am PAS itu menyebut beberapa nama yang dikatakan mahu PAS bekerjasama dengan Umno ke arah UG. Beliau mahu Muktamar Khas PAS yang dicadangkan ini membersihkan PAS dari pimpinan yang dikatakan "bermasalah" tersebut.

Ekoran kenyataan terbaru Mursyidul Am PAS ini, Setiausaha Agung PAS pada 26 Oktober 2009 telah mengumumkan bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas pada 28 Oktober 2009 bagi membincangkan keperluan mengadakan Muktamar Khas PAS. Dalam mesyuarat pada 28 Oktober 2009 itu, tiga keputusan telah diambil, iaitu:

I. Memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Satu seminar memperkasakan PAS akan diadakan menggantikan Muktamar Khas PAS;
II. Jawatankuasa Tatatertib yang diketuai oleh Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man akan menyiasat dakwaan terhadap pemimpin PAS Selangor; dan
III. Isu UG ditutup sepenuhnya dan tidak berbangkit lagi.

Disusun oleh: Arkib PAS

25 Oktober 2016

25 Oktober 1969 : Prof Dr. Burhanuddin Al-Helmy Mohd Noor Meninggal Dunia

Pada hari ini dalam tahun 1969, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy Mohd Noor telah meninggal dunia setelah lebih empat tahun menderita sakit dan berulang-alik ke hospital akibat deraan yang dialami ketika ditahan ISA sejak awal 1965. Menurut Dr Burhanuddin al-Helmy sendiri lewat surat-surat peribadinya, beliau telah menerima tekanan, seksaan dan deraan fizikal dan mental sepanjang tahanan tersebut yang menyebabkan beliau menderita sepanjang hayat. Beliau dituduh tanpa bukti bahawa terlibat dalam satu rancangan menubuhkan sebuah kerajaan dalam buangan di Karachi yang menyebabkan beliau ditahan ISA pada awal 1965, walaupun beliau berulang-ulang kali menafikannya.

Prof Dr Burhanuddin al-Helmy dilahirkan di Changkat Tualang, Perak pada 29 Ogos 1911 dengan campuran Minang-Arab. Bapanya seorang ulamak lulusan Mekah yang berasal dari Tanah Datar, Sumatera Barat. Beliau mendapat pendidikan tinggi di India, Singapura, England, Pakistan, Bangladesh dan Kanada dalam bidang falsafah Islam dan perubatan homeopathy sehingga diberikan gelaran profesor oleh California Homeopathic Medical College bagi mengiktiraf sumbangan beliau dalam memgembangkan ilmu homeopathy di Tanah Melayu. Beliau adalah doktor homeopathy berbangsa Melayu yang pertama dan telah membuka kolej homeopathy di Singapura, Kuala Lumpur dan Gunung Semanggol selepas 1952, selain menjadi Yang Dipertua-Pengasas Persatuan Homeopathy Malaya (PHM). Nama beliau mulai terkenal kerana menulis sebuah buku, "Asuhan Kesihatan" ketika berusia 18 tahun pada 1929.

Dalam dunia politik, beliau mula terlibat dengan politik kiri bersama Sarekat Islam ketika belajar di Indonesia pada 1924, kemudian mengikuti gerakan Liga Muslim ketika berada di Aligarh Muslim University, India pada 1929-1930. Beliau juga pernah ditahan oleh British di Palestin pada 1936 kerana terlibat dalam bantahan isu Perjanjian Belfour, sebelum aktif sebagai Setiausaha Jam'iyatul Dakwah Singapura yang dipimpin oleh Sheikh Abbas Taha. Pada 1937, beliau terlibat dalam debat isu jilatan anjing di Kelantan sehingga beliau mula dikenali sebagai tokoh kaum muda. Pada 1938, beliau terlibat dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM), tetapi dipenjara oleh British di Singapura kerana tulisannya, "Taman Bahagia." Ketika menyiapkan tesis PhD-nya di Fakulti Psikologi, Aligarh Muslim University (1942-1943), beliau mula mendalami ilmu tasawuf sehingga terkenal beliau sebagai tokoh tasawuf di negara ini.

Ketika Perang Dunia Kedua sedang tercetus, beliau telah dilantik sebagai Penasihat Adat Istiadat Melayu di Gunseikanbu, Markaz Tentera Jepun Singapura pada 1943, sebelum berpindah ke Markaz Besar Tentera Jepun di Taiping pada 1944. Selain menyusun Persidang Majlis Agama Malai-Sumatera di Kuala Kangsar, beliau juga telah menggubal draf perlembagaan Tanah Melayu merdeka "Piagam Taiping," pada 1945, tetapi kemerdekaan gagal diisytiharkan. Menerusi Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS) beliau memimpin pergerakan politik bersama Ibrahim Haji Yaakob pada akhir zaman Jepun, dan kemudiannya memimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), mengetuai Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan mempengerusikan kerjasama PUTERA-AMCJA antara 1946-1948. Pada 1950, beliau memimpin Jawatankuasa Bertindak Isu Natrah yang menyebabkan beliau ditahan selama 18 bulan di Singapura, sebelum beliau terlibat mengasaskan Parti Rakyat Malaya (PRM) pada 1955.

Penglibatan beliau dalam gerakan politik Islam di Indonesia dan India sebelum ini, telah mendorong beliau mengatur penubuhan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 sebelum ia menubuhkan Hizbul Muslimin pada 1948. Ketika PAS ditubuhkan, Dr Burhanuddin al-Helmy berada dalam tahanan British. Selepas dibebaskan pada 1952, beliau tidak menyertai mana-mana parti politik, tetapi menerima perlantikan sebagai Ahli Kehormat PAS Johor Bahru pada 1954, sebelum menjadi ahli PAS secara rasmi pada 14 Disember 1956. Pada 25 Disember 1956, beliau diangkat sebagai Yang Dipertua Agung PAS ketiga menggantikan Dr Haji Abbas Alias. Ahli Parlimen Besut (1959-1964) ini memimpin PAS sehingga beliau ditahan ISA pada 28 Januari 1965. Tokoh yang dikenal sebagai "Putera Setia Melayu Raya" ini kemudiannya hanya menjadi pemimpin de jure PAS kerana sekatan politik yang dikenakan ke atasnya sejak 14 Mac 1966 sehingga 22 September 1969. Pembebasan ini ada sebahagian dari strategi Perikatan untuk mendekati PAS selepas Tragedi 13 Mei 1969. Tetapi, sebulan kemudian, iaitu pada 25 Oktober 1969, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah meninggal dunia dan Dato' Mohd Asri Haji Muda memangku jawatan beliau sehingga krisis politik berakhir pada 1971.

Disusun oleh: Arkib PAS

24 Oktober 2016

24 Oktober 1977 : 'Formula Mahathir' Cadangkan Pak Nik Lah Sebagai Menteri Besar Kelantan Baru

Pada hari ini dalam tahun 1977, Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan satu pelan yang dikenali sebagai "Formula Mahathir" untuk menyelesaikan krisis politik Kelantan. Formula ini dikemukakan dalam satu pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri itu dengan wakil PAS, Dr Haron Din, Dr Haji Abbas Alias dan Dr Daeng Sanusi Mariok yang diadakan di kediaman Ketua Polis Kelantan. Formula ini mencadangkan supaya kerajaan Dato' Mohamad Nasir meletakkan jawatan dan sebuah kerajaan baru diketuai oleh Ustaz Nik Abdullah Arshad ditubuhkan.

Krisis politik Kelantan tercetus sejak PAS menyertai BN pada 1 Jun 1974, di mana selepas Pilihan Raya Umum 1974, Pengerusi BN, Tun Abdul Razak Hussein yang juga Perdana Menteri telah menolak calon Menteri Besar yang dinamaka oleh PAS, Wan Ismail Ibrahim. Tun Abdul Razak Hussein yang dipengaruhi oleh Tengku Razaliegh Hamzah sebaliknya melantik Dato' Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan. Hal ini telah menimbulkan krisis kepemimpinan yang berpanjangan sehingga PAS Kelantan mendesak Dato' Mohamad Nasir meletak jawatan. Konflik ini berakhir dengan pemecatan keahlian PAS ke atas Menteri Besar Kelantan itu pada 10 Oktober 1977 dan diikuti oleh usul undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977. Kemudian berlaku rusuhan yang berkemuncak pada 22 Oktober 1977 di mana 5,489 orang anggota keselamatan dikerahkan untuk bertugas di Kelantan ketika ini.

Usaha menyelesaikan konflik ini telah dibuat dengan diadakan rundingan antara Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn dengan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 13 Oktober 1977, tetapi rundingan ini gagal. Kemudian, Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengemukakan Formula Mahathir untuk menyelesaikan krisis ini dalam rundingan pada 24 Oktober 1977. Antara formula yang dicadangkan ialah:

I. Kerajaan Dato' Mohamad Nasir meletakkan jawatan dan DUN tidak perlu dibubarkan;
II. Sebuah kerajaan baru dibentuk dengan syarat semua Exco PAS ditukar, dengan Dato' Ishak Lotfi Omar dan Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad tidak boleh terlibat, tetapi semua Exco Umno boleh dikekalkan; dan
III. Ustaz Nik Abdullah Arshad dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru.

Ustaz Nik Abdullah Arshad (1934-1996) adalah salah seorang tokoh awal PAS Kelantan yang menjadi ADUN Kota Bharu Pantai (1959-1974) dan ADUN Sering (1974-1982), yang juga merupakan bekas Speaker DUN Kelantan (1972-1974). Beliau yang pernah ditahan ISA pada 1964-1966 adalah Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (1962-1964), Yang Dipertua PAS Kota Bharu (1966-1971), Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan (1968-1971) dan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa sejak 1975. Beliau dinamakan oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai calon yang paling sesuai menjadi Menteri Besar untuk menamatkan krisis politik Kelantan, tetapi PAS Kelantan menolaknya pada 29 Oktober 1977 kerana tidak mahu sebuah "kerajaan patung" dibentuk di Kelantan seperti yang berlaku pada zaman Dato' Mohamad Nasir.

Dalam pada itu, Dr Mahathir Mohamad 'mengancam,' jika formula ini tidak diterima, satu pentadbiran darurat atau mageran akan diwujudkan dengan diketuai oleh seorang pegawai MCS yang bertanggungjawab kepada Perdana Menteri. Di sebalik penolakan PAS Kelantan terhadap formula ini, ia juga ditolak oleh PAS Pusat ketika Dr Haron Din melaporkan rancangan tersebut kepada Dato' Mohd Asri Haji Muda. Akhirnya, cadangan Dr Mahathir Mohamad untuk mendaruratkan Kelantan menjadi kenyataan apabila Rang Undang-undang Darurat (Kelantan) 1977 dibawa ke Dewan Rakyat pada 8 November 1977.

Disusun oleh: Arkib PAS


23 Oktober 2016

23 Oktober 1983 : Dato' Mohd Asri Muda Letak Jawatan Yang Dipertua Agung PAS

Pada hari ini dalam tahun 1983, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah meletakkan jawatannya sebagai pemimpin tertinggi PAS, yang sekali gus menamatkan krisis kepemimpinan dalam PAS yang tercetus sejak 1981. Perletakan jawatan ini juga menjadi batu tanda permulaan era kepemimpinan ulamak dalam PAS apabila Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi memangku jawatan tertinggi PAS.

Dato' Mohd Asri Haji Muda merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan kepemimpinan PAS iaitu semenjak 1965 hingga 1971 sebagai Pemangku Yang Dipertua Agung PAS dan mulai 1971 hingga 1982 sebagai Yang Dipertua Agung PAS. Dato' Mohd Asri Haji Muda yang memulakan karier politiknya bersama PAS sejak 1953 sebagai Setiausaha Kerja PAS, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Kewangan PAS (1954-1955), Pesuruhjaya PAS Pantai Timur (1954-1955), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1955-1962), Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu (kemudian Kelantan sahaja) (1956-1962), Naib Yang Dipertua Agung PAS (1962-1964) dan Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (1964). Ketika beliau sedang memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS (1964-1971), pada 28 Januari 1965, Dato' Mohd Asri Haji Muda yang juga Menteri Besar Kelantan terpaksa memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS kerana Prof Dr Burhanuddin al-Helmy ditahan ISA. Selepas Dr Burhanuddin al-Helmy dibebaskan dengan dikenakan sekatan politik 1966, beliau terus memangku jawatan utama PAS sehingga berakhirnya sekatan politik ke atas Dr Burhanuddin al-Helmy, iaitu sebulan sebelum kematian Yang Dipertua Agung PAS itu. Sejak 1971, Dato' Mohd Asri mengambil alih kepemimpinan tertinggi secara rasmi.

Krisis kepemimpinan dalam PAS mula terserlah apabila Pak Yusof Rawa mengalahkan Dato' Abu Bakar Umar sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dalam pemilihan parti 1981. Dato' Mohd Asri Haji Muda kemudiannya melantik Dato' Abu Bakar Umar dan Haji Hassan Mohammad masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung PAS yang mendatangkan kritikan daripada kebanyakkan pimpinan PAS. Di Kelantan, perlantikan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan pada 1981 telah bertukar menjadi konflik dalam soal pemilihan calon ketika menghadapi Pilihan Raya Umum 1982 apabila Pesuruhjaya PAS Kelantan itu tidak dilantik dalam Jawatankuasa Pemilihan Calon bagi negeri Kelantan. Kemuncak kepada konflik ini, Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengadakan Muktamar Tahunannya lebih awal di Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam pada 31 Julai hingga 2 Ogos 1982. Ia dianggap sebagai satu usaha untuk meminggirkan Dato' Mohd Asri Haji Muda. 

Dalam majlis pembukaan Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada pagi 22 Oktober 1982, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah bertindak untuk tidak hadir menyampaikan ucapan dasarnya atas alasan ia tidak lagi mustahak kerana Dewan Pemuda PAS telah bermuktamar. Pada keesokannya (23 Oktober 1982), Dato' Mohd Asri Haji Muda telah menyampaikan satu ucapan dasar tanpa tema (kemudian diberikan tema oleh pengikutnya sebagai "Ukhuwah Bukan 'Adawah"), yang memuji dasar Islamisasi BN dan mengkritikan golongan ulamak dalam PAS. Ini telah menyebabkan beliau menerima kritikan dan di"boo" oleh sesetengah ahli PAS. Beliau mendakwa ada pihak tertentu yang melaung slogan "Marakbar Asri!" Bertolak dari kritikan keras ke atas kepemimpinan beliau ini, pada petang 23 Oktober 1982, dengan dorongan beberapa pengikut utamanya, beliau telah mengemukakan surat perletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS.

Surat perletakan jawatan yang dibacakan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Abu Bakar Umar ini telah disambut dengan laungan takbir oleh para perwakilan, walaupun pada awalnya Dato' Mohd Asri Haji Muda menjangkakan satu usul untuk memberikan semula mandat kepada beliau akan dibuat oleh satu perwakilan dari Kelantan, tetapi ia tidak berlaku. Oleh kerana tidak ada perwakilan yang membantah perletakan jawatan Yang Dipertua Agung PAS ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang mengadakan mesyuarat khas pada hari itu juga telah memutuskan untuk menerima perletakan jawatan tersebut, sekali gus menamatkan era kepemimpinan Dato' Mohd Asri Haji Muda sejak awal 1965.

Disusun oleh: Arkib PAS

22 Oktober 2016

22 Oktober 1990 : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Kelantan

Pada hari ini dalam tahun 1990, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru, setelah BN gagal mempertahankan Kerajaan Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990. Dengan perlantikan Menteri Besar Kelantan yang baru ini, ia telah mengembalikan semula Kerajaan Kelantan ke tangan PAS setelah ia jatuh ke tangan BN dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan pada 12 Mac 1978. Menteri Besar Kelantan dari BN, Tan Sri Mohamed Yaacub telah memimpin Kelantan selama 12 tahun mulai 1978 hingga 1990.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang tokoh agama lulusan Darul Ulom, Deoband dan Universiti al-Azhar, Mesir adalah ADUN Semut Api sejak 1986. Sebelum itu beliau merupakan Ahli Parlimen Kelantan Hilir (1967-1974) dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (1974-1986). Sejak 1986, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang di DUN Kelantan, sebelum menjadi Ketua Kerajaan selaku Menteri Besar mulai 22 Oktober 1990. Beliau adalah Menteri Besar Kelantan yang keenam selepas merdeka mengikuti pendahulunya Ustaz Dato' Haji Ishak Lotfi Omar (1959-1964 dan 1973-1974), Dato' Mohd Asri Haji Muda (1964-1972), Dato' Mohamad Nasir (1974-1978) dan Tan Sri Dato' Haji Mohamed Yaacub (1978-1990).

Kedudukan Kerajaan BN di Kelantan telah tergugat sejak tercetusnya krisis kepemimpinan Umno pada 1987. Kekalahan Tengku Razaliegh Hamzah dalam pemilihan Umno pada 27 April 1987 telah menyebabkan parti itu berpecah dan diharamkan oleh mahkamah. Serpihan Umno atau Team B Umno yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah telah menubuhkan Semangat 46 sebelum mereka membentuk pakatan politik dengan serpihan PAS, Berjasa di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). PAS sendiri pada 12 Mac 1988 telah mengemukakan usul undi tidak percaya melalui ADUN Banggol, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman terhadap Kerajaan BN Kelantan ekoran pengharaman Umno ini, tetapi ia tidak mendapat sokongan ADUN BN yang pro Team B Umno. Sejak akhir 1988 juga, PAS mulai membentuk persefahaman politik dengan Angkatan, di mana PAS telah diberikan hak untuk mentadbir Kelantan jika kerjasama PAS-Angkatan berjaya menguasai Kelantan.

Hasil daripada persefahaman politik yang dibentuk bersama antara PAS dengan Angkatan yang dianggotai oleh Berjasa, Semangat 46 dan Hamim, dalam Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990, gabungan politik ini berjaya menguasai Kelantan. Persefahaman PAS-Angkatan telah menyapu bersih kesemua 13 kerusi Parlimen dan 39 kerusi DUN, di mana PAS memenangi sebanyak 24 kerusi, Semangat 46 mendapat 13, Berjasa satu dan Hamim satu (atas tiket Semangat 46). Dengan kemenangan ini, pada 22 Oktober, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru. Turut mengangkat sumpah selepas itu ialah Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (Banggol), Ustaz Idris Ahmad (Tawang), Ustaz Yahya Othman (Banggol Judah) dan Dato' Abdul Halim Mohamad (Bunut Payung) sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco).

Disusun oleh: Arkib PAS

21 Oktober 2016

21 Oktober 1961 : Tiga ADUN PAS Terengganu Keluar Parti Setelah Diculik

Pada hari ini dalam tahun 1961, tiga orang ADUN PAS dari Terengganu telah mengumumkan keluar parti dan menyertai Umno, sekaligus mengakhirkan krisis politik Terengganu dengan kejatuhan Kerajaan PAS Terengganu yang dibentuk pada 29 Jun 1959. Konflik kepemimpinan yang bertukar menjadi krisis politik ini berpunca dari kemenangan tipis PAS dalam Pilihan Raya Negeri Terengganu 1959 di mana PAS hanya menguasai 13 daripada 24 kerusi DUN. Pergolakan yang berlaku sejak proses melantik Menteri Besar Terengganu itu telah menyebabkan ADUN Jeram, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah dan ADUN Marang, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar keluar masuk PAS sejak Jun 1960, selain tindakan Senator Tuan Guru Haji Abbas Mohamad yang turut keluar parti pada 22 Julai 1960.

PAS telah mengambil beberapa langkah untuk mengukuhkan parti dan kerajaan setelah Kerajaan PAS Terengganu dikenakan usul undi tidak percaya pertama kali pada 6 Ogos 1960, di mana Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah, bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu yang sudah keluar parti, mengundi mempertahankan Kerajaan PAS. Antara langkah yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS ialah sama ada membentuk sebuah kerajaan campuran dengan Parti Negara yang mempunyai empat ADUN atau menarik mana-mana ADUN Parti Negara menyertai PAS. Ketika proses perundingan pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Parti Negara berada di peringkat terakhir, ADUN Langkap dari Parti Negara, Ismail Abbas telah mengumumkan penyertaannya dalam PAS, sekali gus menggagalkan proses rundingan kerajaan campuran.

Kegagalan rundingan kerajaan campuran dan penyertaan ADUN Langkap ke dalam PAS ini telah menyebabkan PAS menghadapi dua musuh serentak iaitu Perikatan dan Parti Negara. Perikatan yang dipimpin oleh Ibrahim Fikri Mohamad telah menyusun langkah mensabotaj kerajaan PAS, termasuk menculik ADUN PAS sehingga kerajaan dapat dijatuhkan. Sedangkan pemimpin Parti Negara, Wan Daud Wan Ahmad pula berusaha menarik dua lagi ADUN Parti Negara supaya menyokong Perikatan. Dua ADUN PAS, Tuan Guru Haji Wan Said Mohd Noor (Kuala Besut) dan Tuan Guru Haji Abdul Kadir Mohamad (Kuala Terengganu Tengah) telah hilang kerana diculik, setelah tersiar di akhbar-akhbar sejak 19 Jun 1961 bahawa ADUN Marang, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar akan keluar parti. Jika PAS kehilangan tiga ADUN ini bersama Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah, kerusi PAS di DUN Terengganu akan berkurang dari 14 (termasuk ADUN Langkap yang menyertai PAS), kepada 10 dari 24 kerusi DUN.

Di sebalik misteri kehilangan dua ADUN dan desas-desus keluarnya ADUN Marang dari PAS, pada 21 Oktober 1961, media massa telah menyiarkan berita bahawa enam ADUN Terengganu telah menyertai Umno, iaitu tiga ADUN PAS (Kuala Besut, Kuala Terengganu Tengah dan Marang) dan tiga ADUN Parti Negara, sekali gus menjadikan jumlah ADUN Perikatan bertambah dari tujuh kepada 13 orang. Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 21 Oktober 1961 telah menerima laporan kehilangan ADUN PAS dan pengumuman mereka menyertai Umno, dan telah mengambil keputusan supaya pimpinan tertinggi PAS diketuai Mohd Asri Haji Muda segera ke Terengganu untuk menyelesaikan masalah ini sebelum DUN Terengganu bersidang pada akhir Oktober 1961. Akibatnya, pada 30 Oktober 1961, Kerajaan PAS Terengganu pimpinan Mohd Daud Abdul Samad selaku Menteri Besar Terengganu telah tumbang dalam satu usul undi tidak percaya.

Disusun oleh: Arkib PAS

20 Oktober 2016

20 Oktober 1987 : Mesyuarat Pertama Majlis Syura Ulamak PAS Memulakan Era Kepimpinan Ulamak

Pada hari ini dalam tahun 1987, Majlis Syura Ulamak PAS telah mengadakan mesyuarat pertamanya sejak ia ditubuhkan dengan membuat beberapa keputusan penting berkait dasar dan perjawatan parti. Majlis Syura Ulamak PAS adalah institusi terbaru yang dibentuk oleh PAS selepas krisis kepemimpinan dalam tahun 1982. Institusi yang telah berusia 29 tahun ini menjadi rujukan dan pemutus segala dasar PAS supaya ia sentiasa mematuhi sumber-sumber hukum PAS iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias, sekali gus membentuk institusi kepemimpinan ulamak secara rasmi dalam PAS.

Majlis Syura Ulamak PAS merupakan institusi kepada kepemimpinan ulamak dalam PAS telah ditubuhkan hasil dari keputusan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982. Usul Dewan Pemuda PAS Pusat yang diterima oleh Muktamar PAS itu menghendaki PAS menginstitusikan kepemimpinan ulamak. Hasilnya, satu kajian untuk meminda Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977 telah dibuat bagi memperkasakan semula organisasi PAS dan pada 31 Ogos 1983, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah meluluskan cadangan-cadangan yang dikemukakan, termasuk cadangan menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS. Majlis Syura Ulamak PAS yang dianggotai oleh 12 orang ulamak dengan diketuai oleh seorang Mursyidul Am adalah bertanggungjawab mengawal dasar dan tatatertib parti, selain berkuasa menafsirkan Perlembagaan PAS. Cadangan ini telah diluluskan kemudiannya oleh Muktamar Tahunan PAS Ke-29 pada 30 April - 1 Mei 1983.

Setelah cadangan pindaan ini diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Ke-29, pada 18 Mac 1987, Pendaftar Pertubuhan telah mengesahkan pindaan tersebut, sekali gus membolehkan PAS mewujudkan Majlis Syura Ulamak PAS. Pada 21 Jun 1987, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah bersetuju supaya PAS menubuhkan segera Majlis Syura Ulamak PAS dan melantik empat orang Ahli Majlis Syura Ulamak PAS iaitu Ustaz Haji Yusof Rawa, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad. Kemudian, Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat telah melantik empat lagi Ahli Majlis Syura Ulamak PAS iaitu Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Tuan Guru Haji Azhari Abdul Razak dan Ustaz Yahya Othman. Dengan perlantikan lapan daripada 12 orang Ahli Majlis Syura Ulamak PAS ini, badan tertinggi PAS tersebut telah mulai boleh berfungsi menjalankan tugas-tugas yang digariskan oleh Perlembagaan PAS (Pindaan) 1987.

Pada 20 Oktober 1987, Majlis Syura Ulamak PAS yang mempunyai lapan anggota ini telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama. Antara keputusan yang ditetapkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS ialah melarang PAS terlibat dengan perhimpunan perkauman dan asobiyah yang dianjurkan oleh mana-mana pihak sekalipun. Keputusan ini adalah berkaitan pergeseran politik antara Umno dan MCA yang menyebabkan kedua-dua parti mengadakan perhimpunan perkauman, dan ia berakhir dengan penahanan 106 orang ahli politik di bawah ISA dalam Operasi Lalang. Umno sendiri yang sedang menghadapi perpecahan antara Team A pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dengan Team B yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah telah masing-masing cuba menjuarai perjuangan kebangsaan Melayu.

Selain menetapkan dasar PAS berkait isu perkauman tersebut, mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak PAS telah membuat tiga perlantikan iaitu:

I. Melantik empat lagi Ahli Majlis Syura Ulamak PAS terdiri daripada Ustaz Haji Harun Taib, Ustaz Dr Daeng Sanusi Mariok, Ustaz Idris Omar dan Ustaz Mohd Akhir Yaakub;
II. Melantik Ustaz Haji Hassan Shukri sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS; dan
III. Melantikan Jawatankuasa Tatatertib PAS yang terdiri daripada Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor sebagai pengerusi, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Haji Wan Muttalib Embong, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Ustaz Haji Hassan Shukri sebagai ahli-ahlinya.

Walaupun keseluruhan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS telah dilantik pada 20 Oktober 1987, namun perlantikan ini tidak melibatkan jawatan Mursyidul Am PAS. Mursyidul Am PAS yang pertama, Ustaz Haji Yusof Rawa hanya dilantik pada 16 November 1987, iaitu dalam mesyuarat mereka yang kedua. Pada 30 Oktober 1988, Majlis Syura Ulamak PAS telah menerima perletakan jawatan oleh Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad, dengan Prof Dr Haji Haron Din telah dilantik menggantikan beliau. Paling menarik dalam mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak PAS ini ialah kerana ia diadakan bertepatan dengan ulang tahun kelahiran Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kali ke-40. Dan sehingga kini, beliaulah satu-satunya Ahli Majlis Syura Ulamak PAS yang kekal menduduki majlis tersebut selama 29 tahun berturut-turut.

Disusun oleh: Arkib PAS

19 Oktober 2016

19 Oktober 1953 : Pejabat Agung PAS Berpindah Dari Bukit Mertajam Ke Kepala Batas

Pada hari ini dalam tahun 1953, Pejabat Agung PAS yang terletak di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam telah berpindah ke pejabat yang baru di Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas, Pulau Pinang. Ini adalah kali keempat ia berpindah setelah menumpang sementara di rumah Sheikh Abdullah Fahim sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 24 November 1951. Pejabat Agung PAS kemudiannya beralamat di No. 721, Kepala Batas (sekarang Jalan Kedah) iaitu menumpang di rumah Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Ahmad Maliki. Selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953, Cikgu Ahmad Awang dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS, dan Pejabat Agung PAS ditempatkan di Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam, iaitu sekolah agama milik Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, Yang Dipertua Agung PAS.

PAS tidak menghadapi sebarang masalah dengan Pejabat Agungnya di Bukit Mertajam kerana Yang Dipertua Agung PAS adalah mudir madrasah tersebut. PAS juga mempunyai Setiausaha Kerja sepenuh masa di sini iaitu bekas pemimpin Hizbul Muslimin, Mohd Asri Haji Muda. Namun begitu, dalam usaha PAS menuntut kemerdekaan melalui tuntutan pilihan raya segera, telah timbul krisis kepemimpinan. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan cenderung untuk membawa PAS mendukung tuntutan National Conference tajaan 16 orang kenamaan, sedangkan sebahagian pimpinan PAS yang lain mahu PAS bersama National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA. Akhirnya pada 26 September 1953, Mesyuarat Agung Khas PAS di Madrasah al-Masriyah telah memutuskan supaya PAS bersama National Convention.

Keputusan Mesyuarat Agung Khas PAS ini kemudiannya telah menyebabkan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan meletakkan jawatan dan keluar dari PAS kerana beliau berpendapat keputusan PAS tidak selari dengan pendiriannya. Setelah beliau berundur dari PAS, beliau telah meminta supaya PAS tidak lagi berpejabat agung di madrasahnya. Ekoran itu, pada 8 Oktober 1953, Jawatankuasa Tadbir PAS telah membincangkan kedudukan Pejabat Agungnya. Mudir Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah telah menawarkan supaya Pejabat Agung PAS menumpang di madrasahnya sementara mendapat pejabat yang lebih baik. Perpindahan ini ditetapkan akan dibuat dalam tempoh 10 hari dan mulai 19 Oktober 1953, Pejabat Agung PAS yang baru adalah bertempat di Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas.

Perpindahan yang berkuatkuasa mulai 19 Oktober 1953 ini telah menyebabkan proses pendaftaran PAS yang dikendalikan oleh Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias telah menamakan madrasah ini sebagai Pejabat Agung PAS yang berdaftar. Walaupun selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketiga pada 12-14 Ogos 1954 yang memutuskan isu disiplin parti, di mana Ustaz Haji Ahmad Badawi telah memilih kekal bersama Umno dan memaksa Pejabat Agung PAS berpindah lagi ke sebuah rumah kedai berhampiran, namun nama madrasah ini kekal dalam pendaftaran PAS. Ketika pendaftaran PAS sebagai parti politik diluluskan pada 31 Mei 1955, ia mencatatkan alamat PAS ialah Arabic School, Kepala Batas dengan merujuk kepada Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah.

Disusun oleh: Arkib PAS

18 Oktober 2016

18 October 1999 : Timbalan Presiden PAS Kemuka Rang Undang-Undang Persendirian Tangani Murtad

Pada hari ini dalam tahun 1999, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang telah mengemukakan lima usul rang undang-undang persendirian ahli bukan kerajaan di Dewan Rakyat bagi menangani gejala murtad yang sedang berlaku. Ini adalah kali kedua rang undang-undang tersebut dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul setelah ia dilakukan kali yang pertama pada 12 Julai 1999, tetapi gagal dibentangkan. Dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Kesembilan yang bermula 18 Oktober hingga 10 November 1999, usul-usul tersebut diangkat kali yang kedua.

Isu murtad telah menggemparkan negara sejak 1996 apabila berlaku kes pertukaran agama kepada bukan Islam secara terbuka. Kes yang paling terkenal ialah kes Hartina Kamaruddin yang memeluk agama Hindu pada Mac 1996 dan kes Nor Aishah Bokhari yang memeluk agama Kristian pada November 1997. Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Shaari Bustamah dalam satu kenyataannya menyebutkan terdapat 4,776 kes permohonan menukar nama kepada nama bukan Islam dan 516 kes murtad di Wilayah Persekutuan sehingga 1998. Gejala ini telah menular di kalangan umat Islam kerana tidak ada undang-undang yang mengawal penyebaran agama lain ke atas umat Islam.

Bertindak terhadap gejala ini, PAS bukan sahaja menubuhkan jawatankuasa khas menangani isu murtad dan mewakili keluarga di mahkamah, tetapi pada 21 Mac 1998, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah memutuskan supaya Ahli Parlimen Marang membawa usul persendirian untuk mewujudkan undang-undang kawalan murtad. Pada 25 Mac 1998, Timbalan Presiden PAS itu telah mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat untuk membincangkan isu murtad, tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Zahir Ismail. Lanjutan dari itu, pada 18 April 1998, PAS telah menghantar delegasi terdiri daripada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Marang), Dr Daeng Sanusi Mariok (Rantau Panjang), Ustaz Wan Mohd Jamil Mahmood (Tumpat), Ustaz Mohd Amar Abdullah (Pengkalan Chepa) dan Senator Jamilah Ibrahim bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan masalah murtad ini.

Setelah usaha-usaha PAS tidak mendapat sambutan yang memuaskan daripada Kerajaan BN, pada 12 Julai 1999, Timbalan Presiden PAS telah mencadangkan rang undang-undang persendirian bagi maksud tersebut, tetapi ia gagal dibentangkan sehingga sesi sidang tersebut berakhir. Pada sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Kesembilan yang berlangsung mulai 18 Oktober 1999 hingga 10 November 1999, sekali lagi usul rang undang-undang persendirian ini dikemukakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Lima usul rang undang-undang persendirian ini bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan, meminda Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan), meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), meminda Akta Kesalahan Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) dan mencadangkan Rang Undang-undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) sebagai undang-undang baru.

Kelima-lima usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Marang adalah bertujuan mewujudkan peraturan untuk mengawal perbuatan murtad dan menghalang agama bukan Islam disebarkan kepada orang Islam. Walaupun usul ini telah diangkat kepada Dewan Rakyat pada 18 Oktober 1999, tetapi ia gagal dibentangkan kerana pada 11 November 1999, Parlimen telah dibubarkan yang menyebabkan persidangan Dewan Rakyat terhenti pada 10 November 1999. Pada tahun 2011, telah tercetus pula isu Lina Joy yang mendorong PAS menerusi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mengemukakan usul rang undang-undang persendirian untuk mengawal murtad pada 9 Ogos 2011, tetapi juga gagal dibentangkan.

Disusun oleh: Arkib PAS