30 Mei 2018

30 Ramadhan 1330 Hijrah : Sarekat Islam Sebagai Badan Hukum - Perintis Gerakan Islam Moden

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pergerakan Islam dalam bentuk jemaah muncul pada abad ke-20M setelah runtuhnya daulah-daulah Islam, iaitu selepas 1,342 tahun menguasai politik dunia. Berbeza dengan wilayah lain, Nusantara yang dijajah sejak 1511M, merupakan rantau yang paling mencabar dan menjadi tumpuan kuasa emperial Kristian. Selepas kejatuhan Melaka (1511M), Sunda Kelapa (Jakarta) mulai diduduki oleh Belanda pada 1695, kemudian British menduduki Pulau Pinang pada 1876, sebelum Singapura turut dikuasai pada 1819.

Perang Napoleon di Eropah kemudiannya membawa kepada Konvensyen London 1814 dan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang menandakan pecahnya kerajaan-kerajaan Islam seperti Kerajaan Aceh dan Kerajaan Johor-Riau yang menguasai Selat Melaka. Lanjutan dari itu, berlakunya Perjanjian Siak 1858 dan Perjanjian Pangkor 1874 yang melumpuhkan kuasa politik Islam di Nusantara. Memasuki abad ke-20, kerajaan-kerajaan terakhir mulai runtuh dengan jatuhnya Pattani (1902M), Aceh (1903M), Tidore (1904M) dan Banjar (1905M), serta Perjanjian Inggeris-Siam 1902 dan Perjanjian Bangkok 1909 yang membawa kepada penguasaan Inggeris ke atas negeri-negeri Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Johor.

Perjuangan Politik Islam: Dari Daulah Kepada Harakah

Kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara telah membuka langkah para ulamak dalam perjuangan Islam di rantau ini. Ketika Daulah Othmaniyah masih berkuasa, sudah banyak negeri Melayu jatuh ke tangan penjajah Barat, kerana itu, sehingga abad ke-18 Alam Melayu diwarnai oleh perperangan mempertahan Islam seperti gerakan Adipati Yunus di Melaka (1517 dan 1521M), gerakan Sunan Fatahillah di Sunda Kelapa (1522M), gerakan Sultan Agung Mataram (1628-1633), gerakan Sultan Hassanudin Makasar (1666-1669), gerakan Sheikh Yusof Makasari di Banten (1682-1683) dan gerakan Raja Haji di Melaka (1784M). Penentangan besar-besaran untuk mempertahankan tanah air berlaku sepanjang abad ke-19 di seluruh Nusantara.

Setelah lebih 200 tahun para ulamak bergerak mempertahankan Kerajaan Islam, menjelang akhir abad ke-19, para ulamak Nusantara memulakan langkah baru melalui pembentukan jemaah-jemaah Islam bagi menuntut pengembalian daulah. Bermula dengan penubuhan Jam’iyatul Fathaniyah di Mekah (1873M), ditubuhkan pula di Pulau Penyengat, Riau badan-badan Islam iaitu Jam’iyatul Rusyidiyah (1880M) dan Jam’iyatul Khairiyah (1884M). Setelah itu berkembang organisasi Islam di Singapura sepanjang 1890-an seperti Persekutuan Darul Adab, Persekutuan Jawi Masakin dan Harbab Askadan, sebelum ia berkembang di Tanah Melayu dan Jawa. Pengaruh Jam’iyatul Khairiyah kemudian berkembang di Betawi sehingga tertubuhnya Jami’at Kheir (atau Djamiat Choir) pada 1901. Dari pembentukan Jam’iat Kheir inilah terinspirasinya penubuhan Sarekat Dagang Islam (SDI) di Solo pada 16 Oktober 1905.

Sarekat Islam Pelopor Gerakan Islam Moden

SDI yang ditubuhkan pada 1905 oleh Haji Samahundi untuk menyatukan gerakan ekonomi Islam, telah bertukar menjadi pergerakan politik Islam apabila ia mula dikenali sebagai Sarekat Islam (SI) mulai 1906. Perkembangan SI dalam organisasi yang tersusun dilihat sebagai ancaman oleh Belanda. Belanda bukan sahaja menyekat perkembangannya, tetapi turut menubuhkan Sarikat Dagang Islamiyah pimpinan R.M Tirtoadisurjo pada 1909. Haji Omar Said (HOS) Cokroaminoto yang memimpin SDI Surabaya kemudiannya bergabung dengan Haji Samahundi pada 1912 dan mengambil alih kepemimpinan SI. Bagi mengukuhkan perjuangan SI, pada 10 September 1912, HOS Cokroaminoto telah mendaftarkan SI sebagai badan hukum yang bergerak dalam bidang politik dan agama, selain ekonomi di seluruh Indonesia, tidak terhad di Pulau Jawa sahaja.

Pendaftaran SI kepada notaris B. Ter Kuile di Solo ini telah menetapkan tujuan untuk memperjuangan ekonomi umat Islam, mengembangkan pendidikan Islam, menyatukan pendapat-pendapat orang Islam dan membentuk kehidupan berdasarkan agama Islam. Dengan tujuan baru ini, ia telah mengubah SI daripada sebuah badan ekonomi, berkembang menjadi badan agama dan politik Islam. Pendaftaran SI telah diluluskan dua hari kemudian, iaitu pada 30 Ramadhan 1330H bersamaan 12 September 1912M, dan pada 14 September 1912, pemerintah Belanda telah mengesahkan perubahan tujuan dasar SI, lalu menjadilah SI sebagai gerakan politik Islam yang pertama di dunia. Setelah itu, ia bermetamorfosis dengan membentuk Central Sarekat Islam (CSI) pada 1916M, sebelum berkembang menjadi Partai Sarekat Islam (PSI) (1920M), Partai Sarekat Islam Hindia Timur (PSIHT) (1923M), Partai Sarekat Islam Indonesia (PSII) (1929M), Syarikat Islam (PSII) (1973M) dan kini dikenali sebagai Syarikat Islam (SI) mulai 2003.

Kemunculan SI di pentas politik gerakan Islam telah mendahului semua gerakan Islam lain di dunia. Dalam masa yang cepat, pengaruh SI telah berkembang di seluruh Indonesia. Jumlah keahliannya meningkat dari 4,500 anggota pada 1912M, kepada 800,000 pada 1916M. Di Tanah Melayu, cawangan-cawangan SI telah ditubuhkan di Singapura, Johor Bahru, Beserah, Kuala Nerus, Marang, Kota Bharu, Pattani dan Pulau Pinang antara 1920-1928M. Perkembangan ini telah menyebabkan SI disabotaj oleh penjajah dengan isu khilafiyah dan komunis pada pertengahan 1920-an yang menyebabkan ia berpecah. Selepas munculnya SI, barulah muncul Ikhwanul Muslimin di Mesir (1928M), Hizbul Istiqlal di Moroko (1936M), Jamaat-e-Islami di India (1941M) Masyumi di Indonesia (1943M), Hizbul Muslimin di Tanah Melayu (1948M) dan PAS (1951M). Ternyata kejayaaan mendaftarkan SI pada akhir Ramadhan 1330H telah membawa kepada perkembangan gerakan Islam moden pasca kejatuhan khalifah.

29 Mei 2018

29 Ramadhan 9 Hijrah : Masjid Dhirar Dibakar - Penghancuran Gerakan Munafik

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada saat Nabi SAW sedang bersiap menuju ke Tabuk untuk memerangi pasukan Rom yang mengancam Islam dari utara, orang-orang munafik di Madinah diketuai oleh Abu Amir ar-Rahib dan anak saudaranya, Abdullah bin Ubai telah mengadakan pakatan sulit dengan Kaisar Rom, Heraclius untuk memerangi Islam. Dalam masa yang sama, mereka telah mendirikan sebuah masjid untuk menyaingi Masjid Quba’ yang dibangunkan oleh Rasulullah SAW. Menjelang bertolaknya Nabi SAW ke Tabuk, orang-orang munafik telah menjemput Nabi SAW untuk bersolat di masjid tersebut sebagai pengiktirafan terhadap masjid tersebut. Pada mulanya, Nabi SAW bersetuju dengan pelawaan mereka, tetapi Baginda SAW telah menangguhkannya kerana kesibukan persiapan perang sehingga selesai Perang Tabuk.

Masjid yang dinamakan oleh al-Quran sebagai Masjid Dhirar ini telah menjadi simbol pergerakan golongan munafik di Madinah. Mereka bertujuan memecah-belahkan umat Islam, melemahan kekuatan Islam dan menentang Allah dan Rasul-Nya dari masjid tersebut. Pendiri masjid ini ialah Abu Amir ar-Rahib, seorang pembesar Khazraj yang beragama Nasrani. Dia tidak pernah memeluk Islam, bahkan terlibat bersama musyrikin Mekah dalam Perang Badar (2H), Perang Uhud (3H) dan Perang Khandak (5H) untuk memerangi Islam. Abu Amir ar-Rahib mengajarkan orang Madinah tentang Nasrani dan mempengaruhi mereka menentang Islam. Oleh kerana gerakannya gagal, dia akhirnya menerobos masuk dalam kalangan orang Islam untuk mengkhianati Islam dari dalam.

Masjid Dhirar: Markaz Munafik Melawan Islam

Sebagaimana yang telah didedahkan oleh al-Quran bahawa Masjid Dhirar yang didirikan oleh golongan munafik adalah penzahiran sikap mereka yang selama ini menerangi Allah dan Rasul-Nya. Masjid ini dijadikan markaz untuk memecahkan-belahkan umat Islam, mengembangkan kekafiran, mendatangkan kemudharatan kepada Islam dan menjadi tempat berkumpul musuh-musuh Allah. Mereka membentuk pergerakan anti-Islam atas nama masjid dan cuba memperalatkan Nabi SAW supaya bersolat di masjid mereka sebagai pengiktirafan, sekali gus mengelirukan orang mukmin terhadap pergerakan jahat mereka.

Selain bersekongkol dengan orang musyrikin Mekah untuk melawan Islam, Abu Amir ar-Rahib telah menemui Kaisar Heraclius untuk memujuknya memerangi Nabi SAW dan umat Islam. Raja Rom itu bersetuju dengan gesaan Abu Amir ar-Rahib untuk memerangi Islam, lalu membuat gerakan di Dumah dan mengatur tentera yang membawa kepada Perang Tabuk. Abu Amir ar-Rahib pula berusaha mempengaruhi orang-orang munafik. Ibnu Kathir menyebutkan bahawa Abu Amir ar-Rahib mengarahkan orang munafik membina kubu-kubu pertahanan, dan dia akan membawa tentera Rom bersama senjata untuk memerangi Islam dan menghalau umat Islam dari Madinah. Hal ini terjadi sepanjang tahun 9H.

Allah Melarang Nabi SAW di Masjid Dhirar, Lalu Ia Dibakar

Ketika Nabi SAW dalam perjalanan pulang dari Tabuk, beberapa hari sebelum tiba di Madinah, Allah SWT telah menurunkan ayat 107-110 Surah ar-Taubah yang mendedahkan pergerakan jahat orang munafik di Masjid Dhirar. Ketika Nabi SAW singgah di Dzu Awan, Baginda SAW berhasrat untuk singgah di masjid munafik tersebut untuk bersolat di sana, lalu Allah SWT melarangnya dan mendedahkan rancangan jahat mereka terhadap Islam. Maka tahulah umat Islam tentang kedudukan sebenar masjid yang selama ini didakwa dibina untuk memudahkan orang-orang tua, orang lemah dan orang sakit bersolat, walhal sebenarnya mereka merancang untul menyaingi Masjid Quba.

Dengan larangan Allah SWT tersebut, maka Rasulullah SAW tidak ragu-ragu lagi bahawa masjid tersebut adalah pusat gerakan menentang Islam. Lalu Baginda SAW memerintahkan supaya ia dibakar segera. Nabi SAW telah mengutuskan Malik bin Dukhsyum, Ma’an bin Adi, Amir as-Sakan dan Wahsyi untuk membakar masjid tersebut. Arahan dibuat selepas Baginda tiba di Madinah pada 26 Ramadhan 9H, iaitu ketika Madinah sibuk dikunjungi oleh kabilah-kabilah Arab yang mahu memeluk Islam. Pada 29 Ramadhan 9H, Malik Dukhsyum telah membawa pelepah tamar dan api dari rumahnya, lalu membakar masjid tersebut, sehingga ia bertukar menjadi tempat pembuangan sampah. Dengan musnahnya masjid ini, maka gerakan munafik pun menjadi lemah, dan Abu Amir ar-Rahib melarikan diri dan mati di Istana Rom.

28 Mei 2018

28 Ramadhan 91 Hijrah : Pembukaan Kota Andalus - Penguasaan Islam Ke Atas Eropah

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kemasukan Islam ke Afrika (Mesir) pada tahun 21H (644M) telah membuka kepada penguasaan Islam ke atas bangsa Amazig atau Barbar, sehingga akhirnya seluruh utara Afrika sampai ke Maghribi jatuh ke tangan Islam pada 86H (705M). Perluasan Islam di utara Afrika ini digerakkan oleh Musa bin Nushair bin Abdul Rahman, panglima Daulah Umayyah. Walau bagaimanapun, menjelang tahun 90H, dua pelabuhan penting, Cueta (Sabath) dan Tangier (Tanjah) masih dikuasai oleh kuasa politik Kristian dari Eropah. Setelah menguasai Tanjah, Musa bin Nushair telah melantik panglima berbangsa Barbar, Thariq bin Ziyad sebagai Gabenor Tanjah.

Panglima Musa bin Nushair sebenarnya berkeyakinan bahawa “Constantinople hanya dapat ditakluki dari arah laut, dengan menakluki Andalusia” seperti mana yang ditegaskan oleh Khalifah Othman bin Affan sebelumnya. Bagi mencapai maksud ini, Musa bin Nushair telah membangunkan beberapa pelabuhan dan membina armada laut Islam, memperkukuhkan kefahaman Islam kepada suku Barbar yang menjadi tenteranya, melantik Thariq bin Ziyad sebagai panglima Islam dan menakluk Pulau Balyar untuk mengelakkan serangan Kristian dari belakang. Dengan empat persiapan utama ini, pasukan tentera Islam mempunyai kedudukan terkuat untuk mara ke Andalusia, tinggal lagi pelabuhan utama, Sabath masih dikuasai Raja Roderic dari Andalusia.

Penguasaan Sabath Dengan Kerjasama Gabenor Kristian

Pelabuhan Sabath yang menjadi laluan untuk melintasi selat sempit antara Afrika dan Eropah (kini dikenali sebagai Selat Gibraltar) pada saat ini sedang menghadapi konflik kerana gabenornya, Julian sedang bermasalah dengan Raja Roderic yang telah membunuh Witiza, sahabat rapat Julian dan merogol puteri Julian. Di atas konflik ini, Julian mula cenderung membuka jalan kepada Islam sebagai balas dendam terhadap Rodheric. Beliau mendorong gabenor Tanjah, Thariq bin Ziyad untuk menakluk Andalusia. Julian mengemukakan beberapa tawaran kepada pasukan Islam.

Tawaran yang dikemukakan ialah untuk menyerahkan Sabath kepada Islam tanpa perperangan dan sanggup membantu memberikan informasi tentang Andalusia kepada tentera Islam. Sebagai balasannya, Islam hendaklah mengembalikan semula 3,000 properti milik Witiza yang dirampas secara zalim oleh Rodheric. Thariq bin Ziyad telah memaklumkan hal ini kepada Musa bin Nushair di Qairuwan, sebelum mereka memperoleh izin khalifah, al-Walid bin Abdul Malik di Damsyik. Dengan kebenaran khalifah, mereka menyusun persiapan untuk membuka Andalusia.

Operasi Menakluk Andalusia: Eropah Dibuka Oleh Islam

Gerakan penaklukan Andalusia telah dimulakan pada Ramadhan 91H, di mana satu pasukan kecil inteligen seramai 500 tentera diketuai oleh Tharif bin Malik telah mendarat di Andalusia dan menguasai sebuah pulau yang dinamakan sebagai Pulau Tharif. Beliau kemudiannya membuat laporan kepada Musa bin Nushair tentang keadaan Andalusia, sebelum satu persiapan seramai 7,000 tentera selama setahun dibuat untuk menyerang Andalusia. Pasukan yang dipimpin oleh Thariq bin Ziyad ini bergerak ke Andalusia pada bulan Syaaban 92H menggunakan perahu-perahu dan mendarat di kawasan gunung di sebarang Andalusia yang kemudiannya dinamakan sebagai Jabal Tariq (Gibraltar). Musa bin Nushair kemudiannya mengirimkan lagi 5,000 tentera untuk membantu Thariq sehingga jumlah mereka menjadi 12,000 orang.

Setelah menyeberang ke Andalusia, mereka berhadapan dengan pasukan Kristian di Jaziah al-Khadra’ yang dipimpin oleh Tedmore. Tedmore kemudiannya meminta bantuan kepada Roderic di Toledo, ibu kota Andalusia ketika itu. Roderic mengirimkan tentera yang diketuai oleh Vinceu untuk membantu Tedmore, tetapi dalam setiap pertempuran, kedua-dua pasukan Kristian sering tewas. Roderic kemudiannya mengetuai 100,000 tentera berkuda untuk menghadapi 12,000 tentera Islam. Kedua-dua pasukan bergerak ke Lakka (Lacca) dan bertembung di Lembah Barbate (Rio Barbate). Pertempuran pun tercetus pada 28 Ramadhan 92H. Perang ini berlangsung seminggu hingga 5 Syawal 9H, di mana akhirnya Rodheric berjaya dibunuh, pasukan Kristian ditewaskan serta 3,000 tentera Islam telah syahid. Sejak itu, Andalusia telah berjaya dibuka oleh Islam.

Dengan kemenangan ini, tentera Islam dapat memasuki kota Toledo, Castille, Leon dan berhenti di Bascunia di tepi Lautan Atlantik. Pada akhir pembukaan ini, hampir seluruh kawasan Portugal dan Sepanyol hari ini dikuasai oleh Islam dalam masa dua tahun. Kemudian Islam memajukan tamadun ilmu di Andalusia, terutama di Cardova sehingga mengubah keseluruhan Eropah untuk melepaskan diri dari Zaman Gelap, mencapai kemajuan sains dan teknologi serta bertukar menjadi sebuah benua yang moden hari ini.

27 Mei 2018

27 Ramadhan 9 Hijrah : Kesyahidan Urwah Ibnu Mas'ud - Pengislaman Bani Thaqif

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kepulangan Nabi SAW dari medan Tabuk disambut meriah oleh orang yang beriman, tetapi menjadi penghinaan kepada orang munafik yang bersekongkol dengan Rom untuk menyerang Islam. Ketibaan Nabi SAW rupanya ditambahi keberkatannya oleh Allah SWT kerana ia segera didatangi oleh Bani Thaqif, salah satu kaum yang menghina Baginda SAW sedekad yang lalu, ketika dakwah dikembangkan di Taif. Kerana gagalnya dakwah di Taif inilah, Nabi SAW berhijrah ke Yathrib, kota yang kini dikenali sebagai Madinah.

Taif, sebuah kota pertanian yang bersuhu rendah di tenggara Mekah menjadi pilihan Rasulullah SAW dalam misi dakwahnya. Ia berpunca daripada seorang pemimpin Bani Thaqif di Taif telah berkahwin dengan wanita Quraisy, manakala moyang Baginda SAW sendiri, Hasyim bin Abdul Manaf, juga mempunyai seorang isteri dari Bani Salim yang tinggal di Taif. Mereka diharapkan oleh Baginda SAW supaya dapat menerima Islam. Bani Thaqif ialah anak cucu kepada Amr bin Umair bin Auf bin Aqdah bin Ghirah bin Auf bin Thaqif. Mereka adalah pemimpin utama penduduk Taif.

Gagalnya Dakwah ke Taif: Allah Makbulkan Doa

Selepas kematian Abu Talib bin Abdul Mutallib dan Khadijah binti Khuwailid, Nabi SAW berasa sangat sedih, dalam masa yang sama orang Quraisy mulai mengganggu kerja-kerja dakwah setelah himayah (perlindungan) dari Abu Talib telah tiada. Baginda SAW cuba mendapatkan pertolongan dari Bani Thaqif di Taif, sekali gus melebarkan dakwahnya ke sana. Tetapi usaha Nabi SAW gagal apabila pemimpin Taif tiga bersaudara, Abdu Yalil, Mas’ud dan Habib bin Amr bin Umair bin Auf telah menolak dakwah Nabi SAW. Mereka sebalik merancang untuk berbuat jahat kepada Nabi SAW tetapi bimbang orang Quraisy membalas dendam, lalu diupah orang-orang bodoh untuk menghalau dan mencaci Nabi SAW sehingga Baginda SAW keluar dari Taif. Dalam peristiwa inilah Baginda SAW bertemu dengan seorang pemuda Nasrani bernama Addas di kebun milik Utbah bin Rabiah.

Ketika berada di kebun ini, Nabi SAW didatangi Jibrail yang meminta izin untuk bertindak ke atas penduduk Taif, tetapi Nabi SAW menolaknya kerana mengharapkan dari sulbi mereka lahir orang-orang beriman. Sebalik Nabi SAW berdoa, “Ya Allah berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” Diriwayatkan bahawa, selain Addas yang beriman dengan Nabi SAW, turut beriman ialah delegasi Jin Nashibin yang bertemu dengan Baginda SAW di Nakhlah. Mereka telah beriman dan menyeru kaum jin untuk turut beriman kepada Nabi SAW. Selepas 10 hari di Taif, Nabi SAW kembali semula ke Mekah dengan harapan Bani Thaqif akan beriman kepada Allah suatu hari nanti.

Bani Thaqif Mendatangi Nabi SAW dan Menerima Islam

Ibnu Ishak mencatatkan bahawa ketika Nabi SAW menuju ke Madinah dari Tabuk, Baginda SAW didatangi oleh pemimpin Bani Thaqif, Urwah bin Mas’ud as-Tsaqafi. Beliau adalah anak kepada Mas’ud bin Amr bin Umair at-Tsaqafi yang pernah menolak dakwah Nabi SAW di Taif sebelumnya. Setelah beliau memeluk Islam, beliau diperintahkan mengajak kaumnya kepada Islam. Pada 27 Ramadhan 9H, Urwah bin Mas’ud tiba di Taif dan mengajak kaumnya kepada Islam, tiba-tiba dia dipanah ketika sedang menyeru kepada Islam, lalu syahid. Kerana syahidnya Urwah bin Mas’ud ini, penduduk Taif telah bermesyuarat dan bersetuju untuk masuk Islam. Mereka mengirimkan Abdu Yalil bin Amr bersama pemimpin Bani Malik, Bani Yasar, Bani Salim dan Bani al-Harith untuk menemui Rasulullah SAW dalam bulan Ramadhan itu juga.

Bermula dengan Islamnya Bani Thaqif dan penduduk Taif, maka dalam tempoh selepas kepulangan dari Tabuk menyaksikan kabilah-kabilah Arab berbondong-bondong memeluk Islam sehingga turunnya Surah al-Fath, dan tahun 9H dinamakan Tahun Delegasi kerana banyaknya delegasi kabilah Arab datang memeluk Islam. Antara kabilah yang penting memeluk Islam ialah Bani Tamim, Bani Saad bin Bakr, Bani Abdul Qais, Bani Khanifah, Suku Thayyi, Kabilah Hamdan, Bani Zubaid, Bani Kindah, Bani Jurasy, gabenor Rom Farwah bin Amir, penduduk Najran dan raja-raja Himyar. Sehingga wafar Nabi SAW pada Rabiul Awal 10H, seluruh wilayah Tanah Arab telah tunduk kepada Islam.

26 Mei 2018

26 Ramadhan 9 Hijrah : Perang Tabuk - Perang Penutup Kerasulan Dan Menang Ke Atas Rom

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kejayaan membuka Mekah yang diikuti oleh kemenangan Perang Hunain dalam tahun kelapan Hijrah telah melonjakkan kedudukan Islam sebagai kuasa politik baru yang mengancam Rom dan Parsi. Namun begitu, ketika kabilah-kabilah Arab mulai masuk Islam, Kaisar Rom, Heraclius dengan sombong menjadikan kegagalan tentera Islam mengalah Rom dalam Perang Mu’tah pada 5 Jamadil Awal 8H sebagai alasan bahawa Rom adalah kerajaan terkuat, dan merancang untuk meluaskan wilayahnya di Tanah Arab yang telah dikuasai oleh Islam. Bahkan, Rom telah bersekongkol dengan penduduk Dumah dan juga orang munafik di Madinah untuk menghancurkan Islam.

Melihat kepada kebiadaban Empayar Rom Timur ini, Rasulullah SAW telah mengarahkan satu persiapan tentera untuk menghadapi kemaraan tentera Rom. Baginda SAW telah membuat persiapan awal dengan mengumpulkan infak fi sabilillah dan membuat penyertaan tentera sehingga mencecah 30,000 tentera. Terdahulu, Nabi SAW telah menghantar Khalid al-Walid ke Dumah untuk menghapuskan pemberontakan Ukaidir bin Abdul Malik yang dibantu oleh Rom. Ketika ini, orang-orang munafik yang diketuai oleh Abu Amir ar-Rahib telah mengadakan pakatan sulit dengan Rom dan mendirikan Masjid Dhirar untuk menghancurkan Islam. Rasulullah SAW juga telah bertindak menghalang pemimpin munafik, Abdullah bin Ubai daripada menyertai ekspedisi ke Tabuk.

Medan Tabuk: Kemenangan Tanpa Pertempuran

Dalam bulan Rejab 9H, setelah kegagalan pasukan Islam mengalahkan Rom di Mu’tah, sejumlah 30,000 tentera Islam, termasuk 10,000 tentera berkuda telah bergerak ke Tabuk dengan dipimpin sendiri oleh Nabi SAW. Perjalanan sejauh 800 km ini mengambil masa 20 hari untuk sampai di Tabuk. Pasukan Rom yang dipimpin oleh Satria Hercules bergerak ke kawasan tersebut dengan 40,000 tentera dan dibantu oleh Bani Ghassan. Kedua-dua pasukan walau bagaimanapun tidak bertembung ekoran tindakan pasukan Rom berpatah ke utara setelah menyedari kekuatan pasukan Islam.

Perjalanan yang sangat panas ini dibantu oleh Allah dengan hujan lebat. Ketika sampai di Tabuk, Allah mendatangkan rasa takut di hati musuh sehingga mereka tidak berani menghampiri pasukan Islam kerana dikatakan melihat 100,000 tentera malaikat dalam pasukan Islam. Setelah itu, pemimpin Ilyah, sebuah kota berdekatan Tabuk, Yuhana bin Ru’bah telah datang kepada Rasulullah SAW untuk berdamai, diikuti oleh penduduk Jarba dan Azruh. Mereka bersedia membayar jizyah dan tunduk kepada Islam. Dengan bertambahnya kekuatan Islam, pasukan Rom telah berundur dan kemenangan dicapai 27 Syaaban 9H tanpa sebarang pertempuran.

Kembali ke Madinah Dengan Kemenangan Yang Menutup Kerasulan

Setelah pasukan Rom berpatah balik dan pasukan Islam mencapai kemenangan tanpa berperang, Nabi SAW bertahan di Tabuk selama 10 hari. Kesempatan ini digunakan untuk memperkukuhkan pengaruh Islam. Banginda SAW menemui kabilah-kabilah untuk berdakwah atau mengadakan perjanjian damai yang menyebabkan mereka membayar jizyah kepada Kerajaan Islam di Madinah. Banyak kabilah Arab telah melepaskan diri daripada pengaruh Rom, sebaliknya tunduk kepada Islam pula. Ia sekali gus membentuk benteng yang kuat bagi menghalang Empayar Rom menyerang wilayah Islam di selatan, di samping menjadi laluan untuk Islam membuka Syam kemudiannya. Sebelum Nabi SAW pulang, satu rombongan pendita Nasrani dari Lembah Sinai telah datang dan mengadakan perjanjian damai dengan Islam, seperti mana Yahudi berdamai dalam Sahifah Madinah.

Selepas 10 hari di Tabuk dengan kejayaan besar, pada 6 Ramadhan 9H, Nabi telah bertolak pulang ke Madinah. Baginda SAW tiba di Madinah pada 26 Ramadhan 9H dengan membawa kemenangan besar dalam perang yang menutup kenabian ini. Perang Tabuk adalah perang terakhir bagi Rasulullah SAW sekali gus perang terakhir dalam sejarah kenabian. Selepas tiba di Madinah dengan kejayaan besar, orang-orang munafik mulai ketakutan, terutama apabila melihat kunjungan-kunjungan kabilah Arab untuk menyerah diri dan menyatakan ke-Islaman mereka. Antara tindakan yang dilakukan oleh Nabi SAW sebaik sahaja tiba dari Tabuk ialah membakar Masjid Dhirar.

25 Mei 2018

25 Ramadhan 658 Hijrah : Perang Ain Jalut - Islam Hentikan Kemaraan Tentera Monggol

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Semenjak pemimpin Tatar atau Mongol (Mughaliyah), Genghis Khan memulakan ekspedisi meluaskan Empayar Mongol ke barat pada 1206M, kerajaan Islam yang memanjang dari Baghdad ke Transoxiana (Asia Tengah) menjadi hadangan pada perluasan kuasa mereka, sekali gus menjadi pesaing utama Mongol dalam menguasai politik dunia. Kerana itu, sepanjang abad ketujuh Hijrah, menyaksikan pertembungan di antara Empayar Mongol dan Daulah Abbasiyah sehingga membawa kepada jatuhnya Baghdad pada 656H (1258M). Sebenarnya telah berlaku tiga serangan besar Empayar Mongol ke daulah Islam iaitu pada 617-620H yang dipimpin sendiri oleh Genghis Khan dan pada 628H pimpinan anaknya, Ogadei Khan dengan panglimanya, Syurmajan.

Dua serangan pertama ini telah menyebabkan menguasai Dinasti Khawarizmiyah (Turkmenistan, Tajikistan, Afghanistan, Pakistan dan sebahagian Iran sekarang) jatuh ke tangan Mongol. Ogadei Khan yang menyerahkan wilayahnya di kawasan timur (China, Mongolia dan Manchuria) kepada anaknya, Kublai Khan, sedang kawasan Parsi diserahkan kepada seorang lagi anaknya, Hulagu Khan, sedangkan Khan Agung dipegang oleh Manku Khan. Hulagu Khan yang berjaya dalam misinya meruntuhkam Baghdad pada 656H, mengatur langkah seterusnya untuk menguasai Syam yang diperintah oleh Dinasti Saljuk, selain pusat baru Daulah Abbasiyah di Kaherah, Mesir.

Kejatuhan Baghdad dan Pemulihan Semula Daulah Islam

Kekalahan Daulah Abbasiyah dalam serangan Mongol pada 1258M telah meruntuhkan kekhalifahan Islam. Kerajaan-kerajaan Islam yang wujud di Syam dan Mesir pula terpaksa berhadapan dengan serangan Salibiyah dan ancaman Mongol sekali gus. Di Syam, beberapa kerajaan kecil seperti Mosul, Anatol, Halab dan Damsyik telah tunduk kepada Hulagu Khan. Kerajaan Miyafarqin yang enggan bersekutu dengan Mongol telah diserang dan ditakluk, sehingga akhirnya Mongol menuju ke Palestin pada 1260M.

Di Mesir, ketika Dinasti Ayubiyah (1171-1341M) yang melemah, telah membangkitkan Dinasti Mamalik pada 1250M dengan pembunuhan Sultan al-Muazzam Turan Syah dan perkahwinan Izzuddin Aybak (1254-1257M) dengan Sultanah Sajaratul Dur. Dinasti Mamalik sendiri menghadapi krisis setelah Mamalik Bahri yang mengambil alih kerajaan dari keluarga Ayubiyah pada 1250M, bergeser dengan Mamalik Muizziyah, penguasa baru pada 1257M. Pada 1259M, Sultan Saifuddin al-Qutuz mengambil alih kerajaan daripada Sultan Mansur Ali (1257-1259M). Baginda telah mengatur gerakan untuk mengukuhkan sokongan keluarga Ayubiyah kepada Mamalik dan menarik sokongan bekas jajahan di Syam yang kini tunduk kepada Mongol, demi untuk mempertahan Palestin dan Mesir daripada serangan panglima Mongol, Kitbuga.

Pertempuran di Ain Jalut: Penjajahan Mongol Terhenti

Tiga langkah awal diambil oleh Sultan Saifuddin al-Qutuz dalam mengukuhkan kerajaannya ialah mengembalikan kestabilan pentadbiran, memberi pengampunan kepada pengikut Mamalik Bahriyah dan penyatuan semula Mesir dengan Syam. Penyelesaian konflik dalam tempoh tiga bulan ini telah membolehkan Mamalik menghadapi tentera Mongol yang sudah menguasai Palestin yang berjarak 35 km dari sempadan Mamalik. Hulaqu Khan telah menawarkan Mamalik supaya menyerah kalah, tetapi Sultan Saifuddin al-Qutuz berkeras untuk mempertahankan maruah Islam.

Setelah menyelesaikan masalah kewangan, Sultan Saifuddin al-Qutuz mengisytiharkan perang ke atas Mongol, bukan bertahan di Mesir. Pada Syaaban 658H, tentera Mamalik mula bergerak ke Akka dan mengadakan perjanjian damai dengan tentera Salib sebelum menuju ke Palestin dalam dua pasukan, salah satunya dipimpin oleh panglima Ruknuddin Baibars. Ketika pasukan Ruknuddin Baibars tiba di Gaza pada akhir Julai 1260M, tentera Mongol masih berada di Lubnan. Kitbuga mengantar pasukan kecil untuk menyekat tentera Islam, tetapi mereka tewas. Ini adalah kekalahan pertama pasukan Mongol di tangan tentera Islam sejak 617H.

Kekalahan tentera Mongol ini bukan sahaja menjadi penghinaan kepada mereka, bahkan membakar semangat tentera Islam. Kedua-dua pasukan Islam menuju ke Nablus, dan tiba di sana pada 24 Ramadhan 658H dan memilih kawasan mata air Ain Jalut sebagai medan perang. Tentera Islam bersedia menunggu ketibaan tentera Kitbuga. Ketika pasukan Mongol tiba pada 25 Ramadhan 658H, mereka diserang oleh dua ketumbukan, bermula dengan pasukan Ruknuddin Baibars, kemudian datang pula kepungan pasukan Sultan Saifuddin al-Qutuz. Akhirnya, Kitbuga yang meruntuhkan Baghdad pada 656H telah berjaya dibunuh sehingga tentera Mongol berpecah dan akhirnya dikalahkan. Kerana kekalahan ini, tentera Mongol tidak lagi menyerang Islam sehingga Timurlane menyerang Daulah Othmaniyah pada 1402M.

24 Mei 2018

24 Ramadhan 1236 Hijrah : Perang Palembang-Belanda - Islam Dipertahan Hingga Akhir

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Penjajahan barat ke atas Nusantara untuk mencapai tujuan Gareja Katholik Rom – 3G (gospel, glory and gold) – telah membawa kepada runtuhnya Melaka pada 1511M. Selepas kedatangan Portugis, pelayar Belanda telah datang ke Nusantara dengan menduduki Banten di Jawa Barat pada 1596M. Melalui Serekat Hindia Timur Belanda (VOC), Belanda mula menduduki Jakarta (yang dinamakan Batavia) pada 1619M, sebelum Maluku, Surabaya dan Melaka dikuasai oleh mereka menjelang 1650M. Gerakan VOC telah ditentang oleh Sultan Agung Mataram pada 1628-1629M dan Sultan Hassanuddin Makassar pada 1663-1667, yang mengakibatkan kerugian besar kepada VOC.

Proses penjajahan Belanda di Nusantara bermula apabila VOC bangkrap pada 1796M, dan seluruh harta VOC menjadi milik negara Belanda mulai 1800M. Secara kebetulan, kebangkitan Napoleon Bonaparte (1799-1814M) yang menyebabkan Belanda jatuh ke tangan Perancis (1795-1815M), telah menyebabkan wilayah Belanda di Nusantara dikuasai oleh Perancis (1806-1811M), sebelum diserah kepada Inggeris (1811-1816M). Dalam Konvensyen London 1814M dan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824M, seluruh kawasan Nusantara (Indonesia sekarang) diserah kepada Belanda. Kedatangan Belanda di pulau-pulau Nusantara ini telah menimbulkan penentangan rakyat sejak awal abad ke-19.

Kebangkitan Rakyat: Islam Menentang Penjajahan di Nusantara

Kedatangan Belanda untuk menjajah dan menguasai ekonomi Nusantara telah mendapat tentangan hebat daripada penduduk dan kerajaan-kerajaan Nusantara. Abad ke-19M diwarnai sepenuhnya oleh perjuangan mempertahankan tanah air bagi menghadapi penjajahan. Ia adalah lanjutan daripada perjuangan Sultan Agung (1613-1646M) dan Sultan Hassanuddin (1631-1670M) yang menentang VOC pada abad ke-17. Yang terawal bangkit ialah menentang Belanda ialah orang Sulawesi Utara dan Maluku. Mereka mencetuskan Perang Tondano (1808-1809M) dan Perang Maluku (1817M) yang merupakan kebangkitan terawal yang meletus selepas runtuhnya VOC.

Usaha Belanda menguasai pulau-pulau rempah, pelabuhan-pelabuhan dan laluan perdagangan telah membawa kepada penjajahan ke atas Jawa dan Sumatera. Kerana itu, secara bersiri berlaku kebangkitan kerajaan dan umat Islam. Antara yang terpenting ialah Perang Diponegoro di Jawa (1825-1830M), Perang Paderi di Sumatera Barat (1821-1837M), Perang Banjar di Kalimatan Selatan (1859-1863M) dan Perang Aceh (1873-1904M). Belanda mengadakan beberapa perjanjian dengan Inggeris dan kerajaan-kerajaan Melayu untuk membolehkan mereka memperluaskan pengaruh. Penentang terhadap Belanda turut dilakukan oleh orang bukan Islam dalam Perang Bali (1846-1868M) dan Perang Batak (1870-1907M).

Perang Palembang: Kegigihan Ulamak-Umarak Mempertahankan Islam

Sebagaimana usaha Belanda menguasai Laut Jawa dan Selat Sunda, Belanda juga mahu menguasai Selat Melaka yang berada di tangan Kerajaan Aceh, Johor-Riau dan Palembang. Sultan Palembang Darussalam, Sultan Mahmud Badaruddin II (1803-1819M) yang dikenali sebagai penjihad yang kental dikatakan seorang ulamak dan hafiz al-Quran. Baginda begitu keras mempertahankan kedaulatan wilayahnya daripada jatuh ke tangan Inggeris dan Belanda, sehingga terpaksa menghadapi siri-siri perperangan selama 10 tahun sejak 1811M. Perang pertama dihadapinya pada 1811M untuk menghalang kemasukan semula Belanda ke Palembang bagi menguasai loji Sungai Aur yang diduduki oleh mereka sejak 1742M.

Kejayaan Palembang mengalahkan Belanda telah menggagalkan penjajah itu menguasai lombong timah Pulau Bangka, tetapi timbul pula konflik dengan Inggeris yang membawa kepada perang baru pada 1812M, di mana Sultan Mahmud Badaruddin II yang berundur ke Sungai Musi sebelum menyerang balas dan menghalau Inggeris dari Palembang. Disebabkan kekuatan Kerajaan Palembang, Inggeris gagal menyerahkannya kepada Belanda selepas Konvensyen London 1814M. Hanya pada 1816M, Inggeris baru dapat berbuat demikian, tetapi Sultan Palembang berjaya menghalau Belanda dalam Perang Menteng pada 1819M. Belanda yang tidak berpuas hati dengan kekalahan ini, menyerang lagi dua bulan kemudian, dan sekali lagi mereka ditewaskan.

Pada 16 Mei 1821M, sekali lagi Belanda memasuki Sungai Musi dan tercetus perperangan besar. Pada saat kekalahan Belanda, mereka minta berdamai kerana menghormati Ramadhan dan berjanji tidak akan berperang pada hari Jumaat dan Ahad untuk menghormati agama masing-masing. Tetapi Belanda telah berkhianat kerana membuat serangan mengejut pada pagi Ahad waktu sahur 24 Jun 1821M. Pertempuran sengit berlaku pada keesokannya dan pada 24 Ramadhan 1236H bersamaan 25 Jun 1821M, perjuangan rakyat Palembang telah berakhir dengan kekalahan dan Sultan Mahmud Badaruddin II dapat ditangkap oleh Belanda selepas 10 tahun berjihad. Baginda dibuang negeri ke Ternate, dan Palembang secara rasmi jatuh ke tangan Belanda mulai 1 Julai 1821. Sultan Mahmud Badaruddin II mangkat di Ternate pada 26 September 1852M.

23 Mei 2018

23 Ramadhan 1270 Hijrah : Tamatnya Kepungan Di Selestriya - Russia Gagal Kalahkan Othmaniyyah

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Persaingan pengaruh dua mazhab Kristian – Orthodoks dan Katholik – telah mempertembungkan kuasa-kuasa besar dunia pada pertengahan abad ke-19M, yang dikenali sebagai Perang Crimea atau Perang Timur (Oriental War). Perang yang tercetus di Semenanjung Crimea dan Laut Baltik ini disebut oleh British sebagai Perang Russia yang tercetus antara 1853M hingga 1856M. Ia melibatkan Empayar Russia di satu pihak dengan Daulah Othmaniyah, Perancis, Britain dan Sardinia di satu pihak yang lain. Perang ini dianggap permulaan bagi perang moden yang mempengaruhi bentuk perperangan masa depan, di mana teknik perang telah berubah melalui penggunaan keretapi dan telegraf untuk komunikasi, sistem perawatan tentera dan juga dokumentasi foto secara meluas. Russia yang menggerakan lebih 800,000 tentera telah bertempur dengan gabugan 600,000 tentera lawannya, termasuk 165,000 tentera Daulah Othmaniyah.

Perang ini tercetus akibat kudeta politik di Perancis oleh Napoleon III (1852-1870M) pada akhir 1851M. Napoleon III telah menuntut kepada Daulah Othmaniyah supaya Perancis diiktiraf sebagai penguasa berdaulat ke atas Tanah Suci (Baitul Maqdis) bagi penganut Kristian, sedangkan sebelumnya Russia adalah penguasa berdaulat melalui Perjanjian 1757M dan 1774M. Tindakan Daulah Othmaniyah mengakui kedaulatan Russia sebagai pelindung orang Kristian dalam wilayah Othmaniyah telah menyebabkan Perancis menghantar kapal perang ke Laut Hitam. Selain berdiplomasi dan mengenakan tekanan kewangan, kedatangan kapal perang Charlemagne Perancis telah memaksa Sultan Abdul Majid I menerima penjanjian yang mengiktiraf penguasaan Gareja Katholik Rom ke atas tanah suci, menggantikan Gareja Orthodoks Yunani.

Persaingan Pengaruh Mazhab Kristian Mengundang Perang

Berang dengan tindakan Napolean III, raja Russia, Tsar Nicholas I telah mengirimkan dua batalion tentera di sepanjang Sungai Danube, di samping menghantar menteri luarnya, Count Karl Nasselrode berundingan dengan Sultan Abdul Majid I, sebelum membawa hal yang sama kepada duta Britain di St Petersburg, George Hamilton Seymour. Pergolakan telah melibatkan tiga mazhab utama Kristian iaitu Orthodoks (Russia), Katholik (Perancis) dan Protestant (Britain) dalam menentukan siapakah penguasa berdaulat Kristian di tanah suci yang dikuasai oleh Daulah Othmaniyah itu. Russia mempertahankan hak tradisi mereka yang diwarisi sejak zaman Rom Timur, yang dikini telah diserahkan kepada Perancis melalui tekanan politik.

Britain yang cuba menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah ini, gagal berbuat apa-apa apabila Daulah Othmaniyah menuntut pindaan kepada pelan perdamaian Britain, yang kemudiannya menimbulkan kemarahan Nicholas I. Dengan sokongan Britain dan Perancis, Daulah Othmaniyah mengisytiharkan perang terhadap Russia pada Oktober 1853M. Sebenar perang telah tercetus di Balkan (Romania sekarang) pada Julai 1853M apabila tentera Russia menduduki sepanjang Sungai Danube. Perang meletus secara rasmi pada 16 Oktober 1853M dan berakhir pada 30 Mac 1856, dengan melibatkan kawasan Balkan, Semenanjung Crimea, Laut Baltik, Laut Hitam dan Caucacus.

Pengepungan Russia Gagal: Perjanjian Paris Sebagai Penyelesaian

Kemarahan Russia terhadap Daulah Othmaniyah semakin memuncak sebaik sahaja perang meletus di lembangan Danube, yang merupakan wilayah naungan Daulah Othmaniyah. Bagi menghadapi serangan ini, jeneral Othmaniyah, Omar Pasya telah membuat pertahanan di kawasan Selestriya, dalam wilayah Qorum dengan15,000 tentera untuk menghadapi serangan Russia, selepas kalah di Sinop. Russia kemudian bertindak membuat pengepungan dengan 60,000 tentera selama 35 hari. Oleh kerana tentera Othmaniyah menghadang Russia dalam wilayah sendiri, mereka mendapat kelebihan, sedangkan tentera Russia semakin kehabisan bekalan. Tentera Othmaniyah kemudiannya dibantu oleh Perancis dan Britain di Gallipoli dan bergerak ke Varna pada Jun 1854M, membuatkan Russia mulai terdesak. Pada 23 Ramadhan 1270H, Marsyal Barnes yang memimpin kepungan ini terpaksa mengaku kalah dan menghentikan kepungan ke atas kota Selestriya.

Kesan daripada kekalahan ini, Russia turut kalah dalam Perang Sevastopol, Perang Alma dan Perang Balaclave yang menyebabkan Russia menyerah kalah pada Mac 1856M. Russia yang kehilangan 500,000 tentera kemudiannya telah kehilangan beberapa kepentingan lain dalam Perjanjian Paris pada 30 Mac 1856M termasuk kehilangan pengaruh di Laut Hitam, terlepas Romania (Wallachia dan Moldavia) yang dimerdekakan, dan penganut Kristian dari semua mazhab mendapat hak sama rata terhadap tanah suci.

22 Mei 2018

22 Ramadhan 933 Hijrah : Sunan Fatahillah Halau Portugis Di Sunda Kelapa - Kekang Penjajahan Katholik

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kejayaan Sultan Mohamad al-Fateh membuka kota Constantinople pada 1453M telah membangkitkan tindak balas besar dari gereja Kristian di Vatican. Antara langkahan besar yang diambil ialah menyatukan dua kerajaan Katholik di Sepanyol – Castilian dan Aragon – yang membolehkan mereka meruntuhkan Granada pada 1492. Selepas Christopher Columbus berjaya tiba di Amerika pada 12 Oktober 1492M, Paus Alexander VI telah mengaturkan Perjanjian Tordesilas pada 7 Jun 1494M yang memberi wewenang kepada Portugis menjajah bahagian timur dunia, sedangkan Sepanyol bergerak ke barat, bagi menjayakan agenda Kristian – 3G (gospel, glory and gold). Pada hakikatnya, gerakan ini adalah bertujuan untuk menghancurkan dunia Islam pimpinan oleh Daulah Othmaniyah yang telah berjaya meruntuhkan kuasa politik Kristian Ortodoks di timur Eropah.

Ekoran perjanjian yang atur oleh gereja Vatican ini, mereka memanfaatkan sekolah pelayaran di Lisbon dengan diketuai oleh Putera Hendry The Navigator. Pada 1488, pelayar Portugis, Vasco da Gama telah tiba di Tanjung Harapan, kemudian menguasai Goa, India pada 1497. Dalam tempoh ini juga, mereka telah menduduki Hurmuz dan pantai Hijaz dengan bantuan kerajaan Syiah Ismailiyah, Dinasti Shafawi. Atas sebab menyekat pengaruh Portugis ke atas tanah suci ini, Daulah Othmaniyah telah meruntuhkan Daulah Mamalik dan mengambil alih kekhalifahan daripada Daulah Abbasiyah pada 1517M. Pada 1511M, Portugis telah berjaya menguasai Melaka.

Penjajahan Portugis di Nusantara: Langkah Awal Kristianisasi

Kekalahan Kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis pada 29 Ogos 1511M telah menbolehkan “Benggali Putih” ini menguasai pusat perdagangan terbesar di Asia ini. Tetapi yang lebih penting bagi Portugis ialah mereka dapat melemahkan kekuatan ekonomi umat Islam dan Daulah Othmaniyah, sekali gus menyebarkan agama Kristian. Masjid Besar Melaka telah diruntuhkan dan didirikan Gereja St Paul di atas tapaknya (Bukit St Paul sekarang), di samping membina Kolej Khatolik St Xavier di situ. Melaka yang dahulunya adalah pusat pengembangan Islam, kini menjadi pusat Kristian Khatolik.

Dalam masa yang sama, Portugis terus bergerak menguasai Amagau (sekarang Macau) di muara Sungai Sikiang, yang juga dijadikan pusat Khatolik seperti Melaka. Untuk menguasai ekonomi, Portugis mula bergerak ke wilayah-wilayah rempah di Nusantara, bagi melemahkan ekonomi Daulah Othmaniyah. Kejayaan pelayar Sepanyol, Ferdinand Magellan tiba di Kepulauan Visaya yang dikuasai Kesultanan Sulu pada 1521M, telah menggugat Portugis sehingga mereka mulai membina benteng di Sunda Kelapa, mengadakan kerjasama perdagangan dengan Kesultanan Ternate dan Kesultanan Maluku pada 1522M.

Kesultanan Demak Halau Portugis dan Kuasai Sunda Kelapa

Penjajahan Portugis di Melaka sebenarnya mendapat perhatian besar daripada beberapa kerajaan Islam seperti Kesultanan Aceh, Kesultanan Demak dan Kesultanan Johor-Riau. Pada ketika ini, Kesultanan Demak dengan dibantu oleh Sultan Ceribon dan Sultan Banten, telah menghantar 375 buah armada laut yang diketuai oleh Adapati Yunus pada 1521M untuk membebaskan Melaka. Gerakan yang disusun oleh Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah) dan Sunan Fatahillah (Fatalehan) ini walau bagaimanapun gagal membebaskan Melaka, sebagai mana gagalnya ekspedisi pertama pada 1517M. Selepas gagal membebaskan Melaka pada 1521M, Portugis bertindak menduduki pantai Kelapa, iaitu pelabuhan utama wilayah Sunda Padjajaran (dipanggil Sunda Kelapa) pada 1522M sehingga ia menjadi ancaman baru kepada Kesultanan Demak. Ia bermula dengan kedatangan Tome Pires, orientalis Portugis di Jawa pada 1514M yang melaporkan kedudukan strategik Sunda Kelapa sebagai pelabuhan yang sibuk. Saki-saki kerajaan Hindu Sunda yang terancam oleh Kesultanan Demak menjemput Portugis ke sana, dan Gabenor Melaka, Alfonso de Albuquerque telah menghantar Hendrique Leme untuk membuka pejabat dan benteng Portugis di situ pada 21 Ogos 1522M. Bimbang dengan perkembangan ini, Kesultanan Demak telah bertindak balas. Para ulamak di kalangan Wali Songo seperti Sunan Gunung Jati dan Sunan Fatahillah yang berpengaruh dalam Kraton Demak, telah menyusun langkah untuk membebaskan Sunda Kepala daripada pengaruh Portugis. Pada 22 Ramadhan 933H bersamaan 22 Jun 1527M, Sunan Fatahillah dengan kerjasama Sultan Ceribon telah menyerang benteng Portugis di Sunda Kelapa dan berjaya menghalau penjajah Katholik itu dari pulau Jawa. Dengan kejayaan ini, Sunda Kelapa mula dikenali sebagai Jaya Karta (kota kejayaan). Pada zaman Belanda, Jaya Karta disebut sebagai Niew Hoorn, sebelum dikenali sebagai Betawi (atau Batavia) mulai 1619M. Kota ini kemudiannya dinamakan semula sebagai Jaya Karta (Jakarta) pada 1942M. Tarikh 22 Jun, iaitu hari kejayaan Sunan Fatahillah menghalau Portugis dirayakan sebagai tarikh penubuhan Jakarta.

21 Mei 2018

21 Ramadhan 10 Hijrah : Saidina Ali Ke Yaman - Perluas Islam Di Wilayah Himyar

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kemenangan Islam dalam peristiwa Fathu Mekah pada 8H telah membuka mata seluruh penduduk Tanah Arab. Quraisy sebagai bangsa terkuat telah tunduk kepada Islam dan seluruh berhala yang disyirikkan dengan Allah telah dihancurkan. Sepanjang tahun 9H pula, telah menyaksikan gerombolan manusia masuk Islam dari kalangan kabilah-kabilah Arab sehingga turunnya Surah al-Fath. Keadaan ini didorong oleh kejayaan Islam dalam Perang Hunain, Perang Thaif dan Perang Tabuk yang berlaku dalam tahun 9H. Siri-siri perperangan ini telah memberikan kekuatan yang besar kepada Islam, di mana bukan sahaja Mekah dapat ditawan, bahkan Rom juga telah ditewaskan.

Namun begitu, Baginda SAW tidak berpuas hati kerana masih terdapat banyak kabilah Arab yang belum masuk Islam, khususnya yang tinggal di selatan Mekah ke Yaman. Antara usaha yang dibuat oleh Nabi SAW ialah mengutuskan Khalid al-Walid kepada Bani Jadzimah untuk berdakwah dan mengajak mereka masuk Islam. Selepas itu, Baginda SAW mengirimkan lagi pasukan pendakwah terdiri dari Saidina Ali bin Abi Talib ke San’a, Muaz bin Jabal ke Taiz Abu Musa Ashaari ke Zabid. Tujuan utama pengiriman mereka adalah untuk mengajak orang-orang Yaman memeluk Islam setelah Mekah telah ditakluki.

Perkembangan Islam di Yaman Selepas Fathu Mekah

Selepas tamatnya Perang Tabuk, Rasulullah SAW tiba di Madinah pada hujung Ramadhan 9H, dan Baginda SAW mulai didatangi oleh kaum-kaum yang diseru kepada Islam selepas Fathu Mekah. Yang terawal datang kepada Nabi SAW ialah Shurad al-Azdi yang memeluk Islam dan diperintah berdakwah di kota Jurays yang didiami oleh kabilah Yaman. Setelah dikepung dan sebahagian dibunuh kerana menentang, orang Yaman akhirnya masuk Islam. Kemudian, raja-raja Himyar iaitu al-Harith bin Abdul Kulal dan Nu’aim bin Abdul Kulal serta Nu’man (raja Dzu Ru’ain, Ma’afir dan Hamdan) telah memeluk Islam. Mereka semua menyambut seruan yang dibuat oleh Rasulullah SAW kepada seluruh penduduk dan kabilah Arab melalui pengutusan surat dan wakil-wakil.

Perkembangan ini, walau bagaimanapun belum dapat memuaskan hati Rasulullah SAW. Ini sebabkan kerana masih banyak kabilah Arab di daerah Najran yang belum memeluk Islam. Sebelumnya, Bani Abdul Qais yang beragama Nasrani telah mulai menerima Islam, seperti mana Islamnya sesetengah kabilah Arab Nasrani di Syam. Bagi mengukuhkan perkembangan Islam di selatan Tanah Arab, dalam bulan Rabiul Awal 10H, Nabi SAW telah mengutuskan Khalid al-Walid untuk berdakwah kepada Bani al-Harith bin Kaab supaya memeluk Islam. Setelah berjaya di-Islamkan, Khalid al-Walid berada di sana untuk mengajar Islam sehingga menjelang Ramadhan 10H.

Perlantikan Ali Abi Talib Sebagai Qadhi Yaman 

Banyak riwayat menyebutkan bahawa Khalid al-Walid hanya berjaya meng-Islamkan Bani al-Harith bin Kaab sahaja, sedangkan dalam masa enam bulan, tidak ada kabilah lain yang menerima Islam. Untuk mengatasi masalah ini, Rasulullah SAW yang memanggil Khalid al-Walid pulang dan melantik Amr bin Hazam untuk mengajar agama kepada Bani al-Harith bin Kaab. Melengkapi usaha untuk meng-Islamkan seluruh daerah Yaman ini, pada 21 Ramadhan 10H, Ali bin Abi Talib telah dikirim ke Najran untuk menjadi pemungut zakat, dan seterusnya menjadi qadhi di Yaman.

Tujuan utamanya adalah untuk meluaskan dakwah Islam kepada pendudukan Yaman tanpa perperangan. Kedatangan Ali Abi Talib sebagai pahlawan Quraisy yang terkenal diterima oleh orang Yaman, di mana Bani Hamdan telah masuk Islam kesemuanya, sehingga mendapat doa khusus dari Nabi SAW. Kemudian, kerana peranan Ali Abi Talib sebagai qadhi di Yaman iaitu di tengah-tengah bangsa yang bertamadun, beliau didoakan oleh Rasulullah SAW supaya diberikan ilmu dalam bidang kehakiman kepadanya. Sejak peristiwa ini, bukan sahaja Yaman dikuasai oleh Islam, tetapi Ali Abi Talib sendiri menjadi tokoh kehakiman yang terkenal pada zaman Khualafa ar-Rasyidin.

19 Mei 2018

19 Ramadhan 1213 Hijrah : Daulah Othmaniyyah Kalahkan Tentera Napeleon Di Mesir

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Meletusnya Revolusi Perancis pada 1789 telah menimbulkan persaingan politik di antara Perancis dengan Empayar Britain yang sedang menguasai perdagangan di India dan Tanah Melayu ketika itu. Napoleon Bonaparte, pemimpin terbesar Perancis mengatur strategi untuk melemahkan British dengan menguasai Mesir. Dalam konteks politik dan ekonomi, Mesir adalah negara yang sangat strategik kerana ia menghubungan Afrika, Eropah dan Asia. Bagi maksud mengukuhkan kedudukan Perancis dalam persaingan dengan British ini, Napoleon mengatur langkah untuk menjajah Mesir.

Mesir sejak menerima Islam pada tahun 21H, telah menjadi wilayah Daulah Umaiyah, sebelum jatuh ke tangan Daulah Abbasiyah pada 750M. Pada zaman Daulah Abbasiyah, Mesir terlepas total apabila Daulah Fatimiyah menguasainya pada 362H (969M), sebelum Sultan Salahuddin al-Ayubi mengembalikan ia kepada Daulah Abbasiyah pada 1171M. Selepas 1260M, Kesultanan Mamalik yang menguasai Mesir mengangkat semula Khalifah Abbasiyah sehingga ia jatuh ke tangan Daulah Othmaniyah pada 1517M. Memasuki abad ke-19, Daulah Othmaniyah mulai melemah dan menerima banyak pengaruh Perancis, sehingga Napolean mengambil kesempatan di atas kelemahan ini untuk mereka menguasai Mesir.

Penguasaan Perancis ke Atas Mesir

Kelemahan Daulah Othmaniyah dan pergolakan politik Mamalik di Mesir telah mendorong Napoleon bertindak menguasai Mesir. Pada Julai 1798M, Napolean dan tenteranya telah mendarat di Iskandariah bagi menguasai Mesir. Dengan alasan kaum Mamalik sebagai muslim yang tidak baik, Napoleon melancarkan propaganda kepada orang Mesir, di samping meneruskan serangan ke atas kedudukan Mamalik di Iskandariah, sehingga mereka berundur ke Kaherah. Dalam Perang Piramid pada 21 Julai 1798, rakyat Mesir tidak menyokong Mamalik yang menyebabkan mereka tewas dan Mesir jatuh ke tangan Perancis.

Napoleon yang menutup Universiti al-Azhar dan membuka Institut d’Egypte telah memperkenalkan pendidikan barat dan moden kepada Mesir, selain budaya percetakan dan undang-undang Perancis. Namun begitu, di sebalik gerakan kebudayaan Perancis yang begitu berkesan, tentera Perancis tidak dapat bertahan di Mesir. Pada awal Ogos 1798, tenteta Perancis kalah di Teluk Aboukir, diikuti oleh tindakan Napoleon meninggalkan Mesir pada 18 Ogos 1798. Beliau digantikan oleh Jeneral Kleber sehingga 1801, sebelum Panglima Mohamad Ali Pasya menghalau Perancis pada 31 Ogos 1801.

Kekalahan Perancis di Tangan Othmaniyah: Kemerdekaan Semula Mesir

Kejayaan Napoleon menguasai Mesir telah menghentikan sementara perbalahan antara Othmaniyah dengan Russia dan Britain. Kebimbangan Britain terhadap penguasaan Perancis terhadap negara-negara Eropah dan utara Afrika telah menyebab tiga kuasa politik (Othmaniyah, Britain dan Russia) bersatu dan dapat menyekat Napoleon dari menguasai Akka pada 1799M, setelah Gaza, Ramallah dan Jaffa dikuasai oleh Perancis. Jeneral Othmaniyah, Ahmad Pasya al-Jazzar telah berjaya menyekat Napoleon dengan bantuan Britain, kemudian satu gerakan diatur di Iskandariah pada Februari 1799 untuk melumpuhkan tentera laut Perancis dengan bantuan Britain.

Perperangan yang tercetus pada 19 Ramadhan 1213H (24 Februari 1799M) ini akhirnya berjaya menghancurkan kekuatan tentera Perancis di Iskandariah. Kejayaan mengalahkan Perancis ini telah menyebabkan pemberontakan rakyat di seluruh Mesir terhadap Perancis. Akhirnya satu pemberontakan besar berlaku pada 1800M (1215H) yang membawa kepada pembunuhan Jeneral Kleber. Ekoran itu, pada 31 Ogos 1801, dengan masuknya tentera Othmaniyah dan Britain ke Kaherah, Perancis telah menyerah kalah dan meninggalkan Mesir.

18 Mei 2018

18 Ramadhan 21 Hijrah : Kewafatan Khalid Al-Walid - Perginya "Pedang Allah", Penakluk Islam Teragung

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Rom dan Parsi adalah dua kuasa besar zaman pra-Islam yang bersaing di pentas politik Asia Barat sejak sekian lama sehingga dizahirkan Nabi Muhammad SAW. Nabi SAW kemudiannya menjanjikan penguasaan Islam ke atas empayar Nasrani (Rom) dan Majusi (Parsi) ini. Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab (623-633M), kedua-dua empayar ini, khususnya di Syam dan Iraq telah jatuh ke tangan Islam dengan Khalid al-Walid sebagai panglina utamanya.

Khalid al-Walid yang terkenal dengan gelaran “Saifullah al-Maslul” atau “Pedang Allah Yang Terhunus” adalah anak kepada tokoh terkemuka Mekah pemimpin Bani Makhzum, al-Walid bin Mughirah. Beliau dilahirkan di Mekah pada 585M dan merupakan sepupu kepada Khalifah Umar al-Khattab, sekali gus anak saudara kepada Saidatina Maimunah binti al-Harith, isteri Nabi SAW. Beliau merupakan seorang pahlawan yang gagah berani dan panglima perang yang tidak pernah tewas dalam semua perperangan, termasuk zaman jahiliyahnya.

Islamnya Khalid al-Walid Selepas Hudaibiyah

Sebagai seorang panglima yang handal dan bijaksana, Khalid al-Walid adalah antar tokoh Mekah yang diharapkan oleh Rasulullah SAW supaya memeluk Islam. Rasulullah SAW memberitahu abangnya, al-Walid bin al-Walid bahawa orang yang bijak seperti Khalid al-Walid pasti akan masuk Islam, sehingga menyebabkan abangnya mengajak beliau memeluk Islam. Beliau kemudian mengajak Ikrimah bin Abu Jahal memeluk Islam tetapi dibantah oleh Abu Sufian bin Harb. Selepas Perjanjian Hudaibiyah, pada 1 Safar 8H, beliau mengunjungi Nabi SAW di Madinah bersama Amru al-Ash dan Uthman bin Talha untuk memeluk Islam. Peng-Islaman beliau menjadi kekuatan baru untuk Islam.

Sebelum memeluk Islam, Khalid al-Walid adalah panglima Quraisy dalam Perang Uhud (3H) dan beliaulah yang bertanggungjawab menghancurkan pasukan pemanah Islam yang menyebabkan Islam tewas dalam perang itu. Beliau turut terlibat dalam Perang Ahzab (5H) dan Perjanjian Hudaibiyah (6H) dalam menyekat kemaraan Islam. Selepas Perjanjian Hudaibiyah inilah, Khalid al-Walid mulai cenderung kepada Islam dan menjadi panglima agung selepas memeluk Islam.

Setelah memeluk Islam, Khalid al-Walid memimpin ketumbukan Islam yang masuk ke Mekah melalui kota al-Lith dalam peristiwa Fathu Makkah (8H), diikuti oleh Perang Mu’tah (8H). Perang Mu’tah yang mempertembungkan 30,000 tentera Islam, berhadapan dengan 200,000 tentera Rom telah membunuh tiga panglima Islam (Zaid Harithah, Jaafar Abi Talib dan Abdullah Rawahah), lalu Khalid al-Walid diangkat sebagai Panglima Islam yang baru. Beliau juga terlibat dalam Perang Khaibar, Perang Hunain dan Perang Bani Thaqif di Taif pada tahun itu. Selepas Nabi SAW, pada tahun 11H, beliau menyertai Perang Riddah dan berjaya menguasai Bani Asad, Bani Tamim dan Bani Khanifah.

Pedang Allah: Penakluk Islam Teragung

Gelaran sebagai Pedang Allah yang diberikan oleh Nabi SAW kepada beliau, menjadikannya panglima dan penakluk paling agung dalam Islam. Beliau menyertai lebih 50 perperangan sejak memeluk Islam dan tidak pernah tewas. Beliau bertanggungjawab membuka Iraq melalui selatan dari Yamamah ke Ubullah, sebelum menguasai al-Hirah, kemudian mara ke Musayyakh. Selepas menguasai Iraq, tentera Khalid al-Walid terus bergerak ke utara menuju Suwa, kemudian menguasai Arak (di Syria), terus ke Damsyik dan tiba di kota perdagangan, Busra pada 23 Rabiul Awal 13H. Dengan jatuhnya Busra, Khalid al-Walid telah berjaya membuka Iraq dan Syam dalam satu gerakan ketenteraan yang mengambil masa setahun (12-13H).

Antara perang utama yang lain turut disertai oleh beliau ialah Perang Buzakhah (11H), Perang Zat as-Salasil (12H), Perang Walajah (12H), Perang al-Mazar (12H), Perang Ullais (12H), Perang Amghishiyah (12H), Perang al-Maqr (12H), Perang Anbar (12H), Perang Ain at-Tamar (12H), Perang Dumah al-Jandal (12H), Perang az-Zumail ar-Radab (13H), Perang al-Ghassan (13H), Perang Ajnadain (13H), Perang Marj as-Suffar (13H), Perang Fahl Baisan (13H), Penaklukan Damsyik (14H), Penaklukan Balbek (15H), Penaklukan Homs (15H) dan Perang Yarmuk (15H).

Kejayaan-kejayaan besar Khalid al-Walid dalam siri-siri pembukaan wilayah (futuhat) ini telah membimbangkan Khalifah Umar al-Khattab. Beliau bimbang umat Islam mula bergantung kepada Khalid al-Walid dalam setiap perperangan, tidak lagi bergantung kepada Allah, lalu pada 13H, Khalid al-Walid dipecat sebagai Panglima Islam dan diganti oleh Abu Ubaidah al-Jarrah. Selepas Perang Yarmuk, khalifah mengentikan tugasnya sebagai tentera atas sebab yang sama. Setelah berehat dari medan perang beberapa tahun, pada 18 Ramadhan 21H, Khalid al-Walid telah wafat dalam usia 55 tahun dengan meninggalkan legasi yang besar terhadap perluasan wilayah Islam.

17 Mei 2018

17 Ramadhan 2 Hijrah : Perang Badar - Pertembungan Iman Dan Kufur

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah pada tahun 622M tidak menghentikan permusuhan golongan musyrikin Mekah terhadap orang-orang yang beriman. Kejayaan Nabi SAW menubuhkan negara Islam pertama di Madinah dan termaterinya Piagam Madinah tahun pertama Hijrah telah memberikan kekuatan politik kepada Islam. Penyatuan kaum Muhajirin dari Mekah dan Ansar dari Madinah telah mengukuhkan lagi Islam. Masyarakat Yahudi di Madinah terpaksa mengiktiraf kedudukan Nabi SAW sebagai pemimpin tertinggi Madinah, sekali gus memberi kemenangan moral kepada Islam ke atas orang-orang Mekah.

Bagi menuntut hak kaum Muhajirin yang dirampas oleh orang Mekah, beberapa siri gerakan hendap (sariyah) telah dibuat oleh umat Islam di Madinah terhadap rombongan perdagangan Mekah yang berulang-alik ke Syam melalui kawasan Madinah. Beberapa pertempuran dan rampasan yang kecil berlaku di antara orang Islam dengan pedagang Mekah pada tahun pertama Hijrah (623-624M), tetapi tidak tercetus perperangan. Gerakan sariyah lebih kerap berlaku pada tahun kedua Hijrah kerana umat Islam ingin mengambil semula hak mereka yang dirampas. Keadaan ini menyebabkan orang-orang Quraisy mulai terancam, lebih-lebih lagi Madinah (dahulunya Yathrib) telah dikuasai oleh Nabi SAW yang dihalau oleh mereka dua tahun sebelumnya.

Sekatan Yang Menjadi Perang di Badar

Dalam musim bunga 624M, Nabi SAW telah menerima maklumat bahawa rombongan pedagang Mekah yang dipimpin oleh Abu Sufian bin Harb akan melalui Madinah dari Syam. Rombongan yang dibiayai dengan harta umat Islam yang ditinggal di Mekah ini disertai sekitar 40 orang pengawal. Nabi SAW telah menggerakkan 313 orang terdiri daripada 82 orang Muhajirin dan 231 orang Ansar ke Badar untuk menyekat kafilah Quraisy tersebut dan merampas semula harta mereka yang digunakan untuk membiayai rombongan perdagangan tersebut. Abu Bakar, Umar al-Khattab, Ali bin Abi Talib dan Hamzah bin Abdul Mutallib adalah antara tokoh utama dalam gerakan ini. Mereka hanya membawa tiga ekor kuda dan beberapa ekor unta, dengan tidak membawa maksud untuk berperang.

Berita tentang pergerakan pasukan Islam untuk membuat serbuan terhadap rombongan Quraisy telah sampai ke pengetahuan Abu Sufian. Dia telah mengarahkan Damdam bin Amru al-Ghafiri untuk meminta bantuan dari Mekah. Mereka segera dikirimkan oleh orang Mekah dengan 1,000 tentera dengan dipimpin oleh bangsawan utama Mekah termasuklah Amru bin Hisham (Abu Jahal), Walid bin Utbah, Syaibah bin Utbah dan Umaiyyah bin Khalaf. Tujuan mereka menyertai ketumbukan ini adalah pelbagai termasuk untuk membalas dendam dan mempertahankan harta mereka dalam rombongan Abu Sufian. Dengan jumlah tentera yang ramai beserta kelengkapan perang, ketumbukan ini bermaksud untuk bertempur dengan umat Islam di Madinah.

Iman dan Kufur Bertembung di Badar

Abu Sufian telah bertindak melencong ke Yanbu, sedangkan beberapa dari mereka tiba di Badar tepat seperti yang dijangkakan oleh Nabi SAW. Informasi tentang kedatangan tentera Quraisy dari Mekah telah sampai kepada Nabi SAW, lalu Baginda SAW telah menanggil Majlis Perang untuk membincangkan hal tersebut, dan akhirnya bersetuju untuk berperang dengan musyrikin Qurausy. Umat Islam sebenarnya berusaha untuk mengelakkan perang, tetapi jika orang Mekah bertujuan untuk berperang, mereka akan menghadapinya.

Pada 15 Ramadhan 2H, dalam jarak sehari perjalanan ke Badar, umat Islam telah menahan dua orang pembawa air dari Mekah yang disangka rombongan pedagang, tetapi mereka adalah daripada kumpulan tentera Mekah. Nabi SAW kemudian segera bergerak ke Badar dan menguasai sumber air di Lembah Yalyal sebelum pasukan Mekah tiba. Strategi menguasai telaga sebagai sumber air telah mengukuhkan orang Islam. Ketika Abu Jahal tiba di Juhfah, dia telah diberitahu oleh Abu Sufian bahawa mereka telah selamat dan pasukan Mekah boleh bergerak pulang.

Beberapa puak Quraisy berhasrat untuk berpatah balik, tetapi Abu Jahal memutuskan untuk terus berperang dengan tentera Islam demi kepentingan politik dan pengaruhnya. Abu Sufian kemudian menyertai kumpulan tentera ini melawan Islam. Pada 17 Ramadhan 2H, tercetus perperangan antara kumpulan orang beriman dengan kumpulan musyrikin bermula dengan pertarungan antara Ali bin Abi Talib, Hamzah bin Abdul Mutallib dan Abu Ubaidah al-Jarrah melawan tiga pahlawan Quraisy yang kemudiannya berjaya dibunuh oleh mereka.

Seramai 70 orang musyrik berjaya dibunuh termasuk Abu Jahal, sedangkan 70 yang lain ditawan. Sedangkan di sebelah orang mukmin, 14 orang telah syahid. Kejayaan Islam memenangi perang ini telah melonjakkan Nabi SAW sebagai pemimpin besar dan Islam menjadi kuasa politik Arab yang baru sehingga orang Arab Badwi mulai berduyung-duyung masuk Islam. Yahudi Bani Qainuqak yang mengkhianati perjanjian turut menerima kesan, selain melumpuhkan pasukan munafik di Madinah yang diketuai oleh Abdullah bin Ubaiy. Di pihak Quraisy, kematian Abu Jahal telah membolehkan Abu Sufian menjadi ketua orang Mekah yang baru.

16 Mei 2018

16 Ramadhan 5 Hijrah : Menggali Parit Perang Khandaq - Permulaan Kemenangan Islam

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kekalahan umat Islam dalam Perang Uhud pada tahun 3H telah menaikkan semangat kaum musyrikin Mekah dan orang-orang Yahudi Madinah untuk menghancurkan Islam. Bagi mereka inilah peluang terbaik untuk melemahkan umat Islam melalui gabungan semua kekuatan untuk mengepung Madinah. Di pihak umat Islam pula, kekalahan ini telah memberikan pengajaran yang besar setelah mereka berhasil mengalahkan Arab Quraisy dalam Perang Badar pada tahun 2H, dan kekalahan di medan Uhud mesti ditebus segera. Sejak tercetusnya Perang Badar pada tahun 2H yang dimenangi oleh umat Islam, ada dua siri perperangan berlaku pada dua tahun berikutnya iaitu Perang Uhud (3H) dan Sariyah Badar (4H). Walau bagaimanapun, dalam gerakan Rasulullah SAW di Badar pada tahun 4H, tidak tercetus perperangan.

Di sebelah kaum musyrikin Quraisy, mereka telah membuat pakatan dengan pelbagai pihak membentuk tentera ahzab (gabungan), kerana itu perang ini dikenali dengan nama Perang Ahzab. Pasukan Ahzab terbentuk apabila pemimpin Yahudi Bani Nadhir dari Madinah berjaya menghasut musyrikin Quraisy untuk menghancurkan Islam. Mereka kemudiannya berjaya menarik penyertaan badwi Najd terdiri dari Bani Ghatafan, Bani Asad, Bani Sulaim, Bani Murrah dan Bani Shujah. Bani Quraizah, iaitu Yahudi Madinah menyertai mereka kemudiannya. Bani Khuzaah dan Bani Amir enggan menyertainya kerana mempunyai perjanjian dengan Nabi SAW. Jumlah tentera Ahzab ini adalah 10,000 infantri, 600 tentera berkuda dan 1,500 penunggang unta.

Menggali Parit: Strategi Pertahanan Islam

Berita tentang persiapan musyrikin Mekah ini telah sampai kepada Rasulullah SAW melalui seorang pemuda Bani Khuzaah. Maklumat ini telah menyebabkan persiapan menghadapi perang dibuat segera kerana pergerakan musuh dijangka tiba sekitar seminggu daripada maklumat itu diterima. Ketika ini, umat Islam sedang berpuasa Ramadhan dan tidak mempunyai apa-apa persiapan menghadapi perang. Dalam Perang Badar, mereka mengambil strategi menguasai sumber air dengan mengepung perigi, sedangkan dalam Perang Uhud mereka menguasai bukit-bukit untuk pertahanan pasukan pemanah. Kali ini, umat Islam mengambil strategi bertahan dalam kota untuk menghadapi serangan musuh.

Cadangan bertahan dalam kota ini adalah saranan Salman al-Farisi berdasarkan strategi perang zaman Empayar Sasan di Parsi. Mereka menggali parit sebagai kubu pertahanan untuk menghalang kemaraan musuh, dan musuh terpaksa mengepung di luar kota – satu pendekatan perang yang belum pernah dialami oleh orang Arab Quraisy sebelumnya. Sepakat dengan cadangan Salman al-Farisi, kerja-kerja menggali parit dilakukan oleh Rasulullah SAW bersama para Sahabat bermula 16 Ramadhan 5H. Mereka mengambil masa 20 hari untuk menyiapkan parit ini, walaupun ada pendapat mengatakan enam hari.

Parit yang digali pada bahagian utara Madinah melibat dua parit berhadapan dengan Bukit Sala’. Keadaan muka bumi Madinah yang berbukit dan ditumbuhi ladang-ladang kurma, menyukarkan pergerakan tentera. Maka, kawasan terbuka di bahagian utara Madinah digalikan parit, menyebabkan tentera musuh hanya boleh menyerang dari arah utara yang berparit itu sahaja. Umat Islam membuat persiapan dengan memetik makanan lebih awal, manakala kanak-kanak dan wanita berada dalam kota.

Perang Tercetus: Pasukan Ahzab Kalah Tektikal

Setelah parit selesai digali yang mengambil masa antara enam hingga 20 hari, pasukan Ahzab tiba utara Madinah pada awal bulan Syawal. Mereka mengepung Madinah dengan seluruh kekuatan, tetapi kuda-kuda mereka tidak dapat memasuki kota Madinah disebabkan oleh parit tersebut. Tentera Islam menunggu di seberang parit dengan bekalan makanan yang dituai lebih awal, sedangkan kuda, unta dan tentera Quraisy mulai kehabisan makanan. Mereka tidak mempunyai pengalaman mengepung musuh, kerana orang Arab berperang dengan cara berhadapan untuk tempoh satu atau dua hari sahaja. Kepungan mereka mengambil masa selama 27 hari, yang menyebabkan bekalan makanan terputus, kuda dan unta mati kelaparan serta memberi tekanan dan kebosanan kepada tentera musyrikin.

Selain berusaha melintasi parit tersebut, termasuk waktu malam, mereka membuat strategi menghasut Bani Quraizah supaya menyerang Madinah dari arah selatan, sedangkan Nabi SAW berusaha memujuk Bani Quraizah supaya jangan mengkhianati Piagam Madinah sehingga menerima akibat seperti Bani Nadhir dan Bani Qainuqak. Ketika Bani Quraizah mulai berpihak kepada tentera Ahzab, pasukan Islam berjaya melaga-laga sesama pasukan Ahzab sehingga mereka bergeser sesama sendiri, termasuk perbalahan Quraisy dan Yahudi akibat perperangan pada hari Sabtu. Akhirnya berlaku perlawanan berdepan antara Ali bin Abi Talib dengan Amru bin Abu Wud sebelum pemimpin Quraisy itu dibunuh. Tentera Bani Makhzum yang cuba melintasi parit juga berjaya dibunuh. Dalam tempoh penyerangan selama 15 hari, Allah telah mengkucar-kacirkan mereka dengan pergeseran. Kemudian, mereka didatangi oleh angin kencang yang dingin, sehingga Abu Sufian mengarahkan tentera Quraisy berundur ke Mekah. Perang ini tamat pada 7 Zulqaedah 5H dengan umat Islam menguasai rampasan perang.

15 Mei 2018

15 Ramadhan 1294 Hijrah : Islam Menang Ke Atas Russia Dalam Perang Yakhliz

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Perlantikan Sultan Abdul Hamid II sebagai khalifah baru Daulah Othmaniyah pada 1293H (1876M) telah memberi nafas baru kepada umat Islam setelah beberapa lama berada dalam zaman kemunduran, termasuk munculnya aliran-aliran moden sejak awal 1800M yang menggugat kestabilan daulah ini. Walau bagaimanapun, ia adalah satu beban yang sangat berat bagi khalifah Othmaniyah ke-34 ini untuk memulihkan semula kekuatan kerajaan Islam yang bukan sahaja mengalami kerosakan dalaman, tetapi menghadapi pemberontakan tanah jajahan dan serangan musuh-musuh Islam.

Di dalam kerajaan sendiri, kemunculan kelompok sekular dalam gerakan Ittihad wat Taraki yang membawa masuk pemikiran Eropah dan juga gerakan Wahabi sebagai separatis Islam telah menjadi punca kelemahan. Di Eropah, wilayah-wilayah Balkan mulai memberontak, Russia pula melakukan perluasan ke atas wilayah Othmaniyah sehingga Wallachia, Moldova dan Serbia terlepas dari tangan Othmaniyah.

Konflik Othmaniyah-Russia: Pergeseran Politik Yang Panjang

Semenjak jatuhnya pusat Kristian Orthodoks, Constantinople ke tangan Othmaniyah pada 1453M, orang-orang Kristian telah memindahkan pusat kegiatan mereka ke Moscow. Sejak itu, Russia sentiasa menjadi musuh Othmaniyah dan dalam tempoh 300 tahun, tidak kurang 10 pertempuran telah berlaku antara kedua-dua empayar. Kejayaan Othmaniyah menguasai wilayah-wilayah Orthodoks di timur Eropah seperti Balkan, Bulgaria, Romania, Hungary, Poland, Wallachia, bahkan Moscow juga, telah menjadikan ia satu konflik politik yang panjang.

Dalam konteks ini, siri-siri perperangan besar berlaku antara kedua-dua empayar ini bermula dengan Perang Russia-Othmaniyah I (1568-1570M), Perang II (1676-1681M), Perang III (1686-1700M), Perang IV (1710-1711M), Perang V yang turut disertai oleh Austria (1735-1739M), Perang VI (1768-1774M), Perang VII (1787-1792M), Perang VIII (1806-1812M), Perang IX (1828-1829M) dan Perang Crimea (1853-1856M). Walaupun Othmaniyah memenangi perang yang terakhir ini, konflik dengan Russia tidak berakhir kerana permusuhan Russia terhadap Islam tetap wujud.

Perang Othmaniyah-Russia 1877-1878: Kemenangan di Yakhliz

Keadaan politik Othmaniyah yang tidak stabil ekoran permainan kelompok Yahudi Donma, golongan sekular dan gerakan freemanson telah membuka ruang pemberontakan wilayah-wilayah. Russia dan Austria telah menghasut supaya Serbia dan Montenegro memberontak. Austria ingin menguasai Bosnia dan Herzegovina, manakala Russia mahu mengambil Wallachia, Moldova dan Bulgaria dari Othmaniyah. Kerana pemberontakan ini, akhirnya tercetus perang besar pada 24 April 1877M (10 Rabiul Awal 1294H) di Balkan. Ia berlanjutan hingga 3 Mac 1878M.

Dalam perperangan di Balkan, pasukan Islam dipimpin oleh Uthman Pasya. Beliau dengan 50,000 tentera menghadapi 150,000 tentera gabungan Russia-Rumania dan hampir berjaya mengalahkan Russia. Hanya saja kerana Uthman Pasya tercedera parah, pasukannya menjadi kucar-kacir dan Russia berjaya menguasai mereka. Uthman Pasya ditawan dan dibawa ke Moscow.

Di Anatolia, pasukan Islam dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Pasya. Dengan hanya 34,000 tentera, mereka pada awalnya berjaya mengusir Russia dengan 740,000 tentera. Russia mengalami enam kekalahan, termasuk berkemuncak dalam Perang Yakhliz pada 15 Ramadhan 1294H, di mana Russia telah dikalahkan dan Ahmad Mukhtar Pasya mendapat pujian khalifah. Walau bagaimanapun, pada 1295H (1878M), Russia membuat serangan balas selepas kejayaan mereka di Balkan dan berhasil mengalahkan Othmaniyah. Bimbang dengan semangat juang tentera Islam di Balkan dan Anatolia, kuasa-kuasa Eropah mengambil kesempatan di atas kemenangan kecil Russia dia Balkan dan Anatolia ini untuk memaksa Othmaniyah mengaku kalah dan mengadakan perjanjian.

Campur tangan mereka telah memberikan kemenangan moral kepada Russia, terutama dalam Perjanjian San Steveno pada 15 Februari 1876M yang merugikan Othmaniyah sebagai pihak yang kalah. Serbia dan Montenegro dimerdekakan, Wallachia dan Moldova digabungkan sebagai Rumania yang dimerdekakan juga, kemerdekaan administratif kepada Bulgaria serta Russia mendapat ganti rugi perang dan boleh belayar di laut Othmaniyah. Kemudian satu lagi perjanjian, iaitu Perjanjian Berlin 1876M mengukuhkan lagi perjanjian sebelumnya. Kerana perjanjian inilah, Othmaniyah dikenali sebagai “orang sakit Eropah”.

14 Mei 2018

14 Ramadhan 13 Hijrah : Ma'rakah Buwaib - Kebangkitan Islam Ke Atas Parsi

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kejayaan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq (10-13H) menyesaikan pemberontakan golongan riddah dan nabi palsu pada zamannya, telah membolehkan Khalifah Umar al-Khattab (13-23H) meluaskan wilayah Islam di luar Jazirah Arab. Antara sasaran Khalifah Umar al-Khattab ialah dua kuasa besar iaitu Rom di barat dan Parsi di timur Tanah Arab. Gerakan pembukaan wilayah telah dibuat dengan beberapa ketumbukan tentera bergerak ke utara terutama wilayah Iraq iaitu Kufah dan Basrah, setelah Khalid al-Walid berjaya membuka Syam pada era Khalifah Abu Bakar. Khalifah Umar al-Khattab telah menemui Mutsanna bin Harithah, Abu Ubaid ats-Tsaqafi dan Sulaith bin Qais al-Ansari untuk menggerakkan cadangannya menakluk Iraq.

Rancangan menguasai Iraq ini sangat penting dalam sejarah Islam kerana ia menjadi pintu masuk bagi menghancurkan Parsi. Bahkan ia menjadi perlaksanaan terhadap janji Nabi SAW kepada Suraqah bin Malik untuk memakaikan gelang Kisra Parsi kepadanya. Selepas Pasri jatuh dalam Perang Qadisiyah pada tahun 14H, Islam segera berkembang ke Asia Tengah dan juga India dalam masa yang relatifnya sangat cepat. Pada zaman Khalifah Ali bin Abu Talib (56-60H), pusat pentadbiran kerajaan dipindahkan dari Madinah ke Kufah di Iraq, kemudian Baghdad menjadi pusat kekhalifahan Daulah Abbasiyah sehingga tahun 656H (1258M). Pandangan Khalifah Umar al-Khattab tentang kepentingan umat Islam menguasai Iraq adalah satu cetusan yang besar dalam sejarah tamadun Islam.

Tentera Islam Menuju ke Iraq: Mendepani Kekuatan Parsi

Khalifah Umar al-Khattab telah melantik Abu Ubaid ats-Tsaqafi sebagai panglima untuk membuka Iraq bersama Sulaith bin Qais al-Ansari. Pasukan awal bergerak ke Iraq dengan 7,000 tentera, kemudian bergabung dengan pasukan Khalid al-Walid yang datang lebih awal, Hasyim bin Utaibah pula memimpin 10,000 tentera yang lain, sedangkan 4,000 tentera lagi dikirim di bawah Jarir Abdullah al-Bajalli. Ketika ini, Ratu Buron baru dilantik sebagai Kisra Parsi dan negara mereka dalam keadaan berkrisis. Rustum pula diangkat oleh Kisra Parsi sebagai panglima perang mereka.

Dalam perjalanan untuk menakluk Parsi ini, telah berlaku beberapa perperangan iaitu Ma’rakah Namariq, Ma’rakah Saqathiyah dan Ma’rakah Parosma yang melibatkan penaklukan terhadap pasukan Parsi. Pertempuran (ma’rakah) yang lebih sengit berlaku di Sungai Furat yang dikenali sebagai Pertempuran Jambatan (Ma’rakah Jisr). Tentera Parsi dipimpin oleh Bahman Jadzawih dengan pasukan bergajah, sedangkan 10,000 tentera Islam tidak pernah berhadapan dengan gajah sebelum ini menghadapi masalah kerana kuda-kuda perang Islam ketakutan dengan suara loceng pada gajah-gajah tersebut. Dalam perang ini, Abu Ubaid ats-Tsaqafi dan enam panglima penggantinya telah syahid bersama 6,000 tentera yang lain. Mutsanna bin Harithah yang menjadi panglima kelapan telah berjaya mengundurkan tentera Islam.

Ma’rakah Buwaib: Islam Bangkit Semula ke Atas Parsi

Berita kekalahan tentera Islam dalam Ma’rakah Jisr telah menyebabkan Khalifah Umar al-Khattab segera mengirimkan beberapa ketumbukan tentera ke Iraq untuk membantu Mutsanna bin Harithah. Sedangkan komamdan Parsi, Mahran al-Hamdzani dikirimkan oleh Kisra Parsi untuk membantu tentera mereka. Mutsanna bin Harithah mengarahkan tenteranya berkumpul di Buwaib dan mereka bertemu dengan pasukan Parsi di situ dengan dipisahkan oleh sebatang sungai. Pertempuran ini terjadi pada 14 Ramadhan 13H, apabila pasukan Parsi pimpinan Mahran menyeberangi sungai menghadapi tentera Islam. Mutsanna bin Harithah bertakbir tiga kali sebagai persiapan perang, dan takbir keempatnya membuatkan pasukan Islam mula menyerang Parsi.

Perperangan tercetus dalam pelbagai penjuru, sehingga ada tentera Islam berjaya masuk dalam pasukan Parsi. Komandan-komandan Islam telah berjaya memainkan peranan masing-masing di bawah Panglima Mutsanna bin Harithah, yang menyebabkan pasukan Parsi mula berpecah dan mundur. Kejayaan Mutsanna bin Harithah memutuskan jambatan di Sungai Furat telah menyebabkan tentera Parsi tersepit dan dapat dibunuh oleh tentera Islam. Seramai 100,000 tentera Parsi terbunuh dalam Ma’rakah Buwaib ini dan memberi kejayaan besar kepada Islam.

Sebaik tamat pertempuran di Buwaib ini, pasukan Islam terus bergerak menguasai wilayah-wilayah Parsi dan akhirnya menguasai pasar di Khanafis, kemudian menguasai pasar Baghdad. Sesudah itu, Shifin pula jatuh ke tangan Islam. Siri-siri kekalahan Parsi ini telah membolehkan pengaruh Islam melebar cepat ke wilayah Majusi itu sehingga membawa kepada Perang Qadisiyah pada tahun 14H yang dipimpin oleh Saad bin Abi Waqqas, di mana kerajaan Kisra Parsi berjaya ditumbangkan. Kemenangan Islam dalam Ma’rakah Buwaib ternyata menjadi titik penting dalam perluasan wilayah Islam ke tengah Asia kemudiannya.

13 Mei 2018

13 Ramadhan 791 Hijrah : Pembukaan Balkan Oleh Sultan Murad I - Islam Kuasai Eropah Timur

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kebangkitan Othmaniyah sebagai kuasa politik yang baru bermula sebaik sahaja jatuhnya Daulah Abbasiyah di Baghdad pada 1258M (656H). Pada 1299M (699H), Kerajaan Othmaniyah didirikan di barat Anatolia, di perbatasan wilayah Byzantine. Disebabkan kedudukannya yang bersempadan dengan kerajaan Romawi ini, Dinasti Othmaniyah bukan sahaja memainkan peranan besar dalam membawa Islam ke Eropah dari arah timur, bahkan akhirnya berjaya meruntuh kota Constantinople yang sangat kukuh itu pada 1453M.

Sejarah kemasukan Islam ke Eropah bermula dengan kejayaan tentera Panglima Musa bin Nushair memasuki Andalus menerusi Gibraltar pada tahun 92H. Kemudian, selepas kejayaan Dinasti Alghlabiyah membuka Sicilia pada 212H, Sultan Ibrahim II Aghlabiyah telah berjaya memasuki semenanjung Itali dan menguasai kota Bari dan Toranto pada 232H, tetapi ia dapat ditawan semula oleh Kerajaan Rom tiga tahun kemudian. Adapun penguasaan lain terhadap wilayah Eropah hanya berlaku ke atas pulau-pulau di Mediterranean seperti Cyprus, Rhodes dan Crete yang ditawan oleh Muawiyah Abu Sufian pada tahun 29H, iaitu zaman Khalifah Othman al-Affan.

Sultan Murad I: Pemacu Kebangkitan Othmaniyah

Sultan Murad I (761-791H) adalah sultan Othmaniyah yang ketiga, sekali gus cucu kepada pengasas daulah ini, Othman bin Ertughul (656-726H). Sebagaimana ayahnya, Sultan Orkhan bin Othman yang merupakan seorang sultan yang sangat berambisi dalam meluaskan wilayah Islam ke atas kawasan-kawasan Kristian Byzantine di sekitarnya, Murad I mulai masuk ke bumi Eropah secara meluas sehingga Constantinople dapat dikepung dari arah barat. Bahkan, beliau telah memindahkan ibu negara Othmaniyah ke Eropah pada 1362M sebagai langkah untuk meluaskan pengaruh Islam ke atas benua itu.

Sultan Murad I adalah seorang pemimpin yang terkenal kerana adil, mencintai jihad, sangat pemberani, dermawan dan kuat beragama, sehingga beliau mendapat syahid pada 1389M (791H). Kejayaan terbesar dalam jihad beliau ialah penguasaan ke atas Adrianople (Edirne) pada 1360M, yang merupakan kota kedua terbesar bagi Byzantine, dan menjadi pintu masuk ke Eropah, khususnya Balkan. Pada 1363M, Adrianople dijadikan ibu negara Othmaniyah menggantikan Bursa. Dari kota ini, Sultan Murad I bergerak menguasai Tenggara Eropah termasuk Balkan, Serbia dan Bulgaria sehingga dapat memaksa Kaisar Byzantine, John V Palaiologos membayar pampasan kepada Daulah Othmaniyah. Beliau kemudiannya mewujudkan dua pusat pentadbiran Othmaniyah iaitu di Rumelia bagi Balkan dan Adrianople bagi Asia Kecil.

Perang Serbia: Pembukaan Bosnia dan Syahidnya Sultan Murad I

Kejayaan Daulah Othmaniyah menguasai Adrianople pada 1360M telah mewujudkan tiga kuasa politik di timur Eropah iaitu Constantinople, Daulah Othmaniyah dan Empayar Serbia. Kematian Raja Serbia, Stefan Uros V pada 1371 tanpa putera telah menyebabkan empayar ini melemah. Sebelumnya, kejayaan Sultan Murad I menguasai Philippoupolis telah menyebabkan wilayah Othmaniyah membesar lima kali ganda, dan mendorong Paus Urban V menghasut raja-raja Kristian bangkit melawan Othmaniyah. Raja Serbia, Bosnia dan Falakh telah berpakat menyerang Andrianople pada 1363M tetapi tewas dalam serangan hendap Othmaniyah. Pada awal 1371M, mereka tewas lagi dalam perang di Maritsa. Sultan Murad I kemudiannya menguasai Samakov, Sofia, Monatsir, Nice dan Salonika sehingga Raja Serbia dan Bulgaria terpaksa membayar ufti.

Walau bagaimanapun, tentera Othmaniyah telah tewas dalam dua pertempuran iaitu dalam Perang Plocnik (1386M) dan Perang Bileca (1388M) yang menyebabkan pasukan Kristian bersemangat semula. Sultan Murad I memindahkan tenteranya ke Ihtiman dari Philippoupolis pada 1388M melalui Velbudz dan Kratovo (Macedonia) serta menyerang wilayah Kristian di utara Serbia seperti Kumanovo, Presvo dan Gnjilane dalam pergerakan ke Prestina. Keadaan ini telah mengakibatkan berlakunya Perang Kosovo pada 15 Jun 1389M.

Sultan Murad I bersama dua puteranya, Bezayid dan Yaakob dengan 40,000 tentera berhadapan dengan tentera gabungan Serbia dan Bulgaria yang dibantu oleh tentera Bosnia, Falakh, Albania, Herzegovina dan Poland yang berjumlah 30,000 orang. Perperangan ini telah membolehkan Daulah Othmaniyah menguasai wilayah Balkan iaitu negara-negara Bosnia, Herzegovina dan Kosovo hari ini pada 13 Ramadhan 791, di mana panglima perang Kristian, Lazar telah berjaya dibunuh. Namun begitu, setelah pasukan Islam, Sultan Murad I telah ditikam oleh seorang perajurit Kristian yang berada dalam gelimpangan mayat tentera yang terbunuh. Dengan syahidnya Sultan Murad I, usaha meluaskan pengaruh Islam di timur Eropah ini diteruskan oleh Sultan Yildirim Beyazid.

12 Mei 2018

12 Ramadhan 584 Hijrah : Pengepungan Kota Safed - Penguasaan Islam Ke Atas Bumi Syam

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kejayaan Sultan Salahuddin al-Ayubi mengambil alih Daulah Fatimiyah pada 1171M dan kembalinya Baitul Maqdis ke tangan Islam pada 1187M telah membuka ruang untuk Islam menguasai bumi Syam sepenuhnya. Kejayaan ini bermula dengan kemenangan dalam Perang Salib II atau Perang Hittin pada 583H, diikuti oleh pembukaan Baitul Maqdis pada 27 Rejab 583H. Kejayaan Sultan Salahuddin al-Ayubi merampas semula Baitul Maqdis setelah kota suci itu dijajah oleh Kristian dalam Perang Salib I pada 1099 (490H) telah menggemparkan Eropah.

Ekoran itu, kebanyakan raja dan panglima perang Kristian seperti Fredrick Barbossa (Raja Jerman), Richard The Lion Heart (Raja England), Philips Augustus (Raja Perancis), Leopold (Austria), Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Sultan Salahuddin al-Ayubi yang mengetuai tentera Islam. Gerakan Kristian ini telah mencetuskan Perang Salib III yang berlaku selama lima tahun, berakhir dengan Perjanjian Ramallah pada 588H (1192M), di mana Sultan Salahuddin al-Ayubi telah diakui sebagai penguasa Baitul Maqdis dan semua wilayah menjadi milik Islam, kecuali Acre.

Sultan Salahuddin al-Ayubi: Panglima Terbesar Islam

Salahuddin al-Ayubi (533-589H) adalah antara pemimpin Islam terkemuka dalam sejarah kerana kejayaannya mengambil alih Mesir daripada kerajaan Syiah Fatimiyah serta keberhasilan baginda mengalahkan tentera Salib, merampas Baitul Maqdis dan menjadikan seluruh wilayah Syam dikuasai oleh Islam. Beliau yang dilahirkan di Damsyik merupakan anak kepada Gabenor Balbek, Najmuddin al-Ayubi. Beliau kemudian dilantik sebagai Panglima Saljuk di Mesir menggantikan bapa saudaranya, Shirkuh. Pada awalnya, beliau adalah tentera Sultan Mahmud Nuruddin Zanki, Raja Saljuk Aleppo yang diarahkan menguasai Mesir pada 1160M, sebelum menjadi panglima pada tahun 1969M.

Selepas menguasai Mesir, baginda telah berperanan mempertahankan Mesir dari tentera Salib Baitul Maqdis yang dipimpin oleh Almaric I. Sebagai panglima tentera, Salahuddin al-Ayubi ketika saat kewafatan Khalifah Daulah Fatimiyah, al-Aidid pada September 1171M, telah mengarah para imam menyebut nama Khalifah al-Mustadi’ Li Amrillah (1170-1780M) iaitu Khalifah Abbasiyah di Baghdad, sekali gus mengembalikan Mesir kepada umat Sunni. Setelah kewafatan Sultan Mahmud Nuruddin Zanki pada 1174M pula, Salahuddin al-Ayubi mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Mesir, sebelum bergerak ke Baitul Maqdis bagi menghadapi Perang Salib II pada 583H (1187M).

Menawan Kota Safed: Penguasaan ke Atas Bumi Syam

Selepas berjaya mengalahkan tentera Kristian dalam Perang Hittin dan menguasai Baitul Maqdis, Sultan Salahuddin al-Ayubi menyedari saki baki kekuatan tentera Kristian masih berpusat di kota-kota Kristian sekitar Syam, dan ia menjadi ancaman kepada Baitul Maqdis. Pada Mac 1183M, baginda bergerak dari Acre menuju ke kubu-kubu lawan di Kawkab, Karak dan Safed, iaitu pusat-pusat pengikut Templer dan Hospitaler, panglima-panglima Kristian. Beliau yang bertujuan menguasai wilayah Kristian itu, bergerak menuju ke Hins al-Akrad, benteng Kurdis, sekali gus menghampiri Antioch, kota pemerintahan Byzantine di Syam.

Gerakan Sultan Salahuddin al-Ayubi telah menawan kota Jabala pada 18 Jamadil Akhir 538H dan memaksa pemimpin Kristian, Bohemond membebaskan tawanan Islam. Pada 24 Jamadil Awal pula, kota Lattakia telah tewas, diikuti oleh kota Sahyun yang jatuh pada 27 Jamadil Awal bersama kota Balatunus, Aydhu dan Jamahiriyah. Kota Bakas pula tumbang ke tangan Islam pada 6 Jamadil Akhir, diikuti oleh kota Shugr 3 hari kemudian, sekali bergerak menghampiri Antioch. Dalam tempoh antara 16 Jamadil Akhir hingga 2 Syaaban, kota-kota Sarminiyah, Barziyah, Darbsak dan Baghras telah tidak dapat dipertahankan lagi oleh tentera Kristian. Akhirnya pada 3 Syaaban, Aleppo daoat dikuasai oleh Islam.

Baginda memasuki Damsyik pada 11 Syaaban dan singgah di Ma’arat al-Ni’man sehingga Ramadhan 584H. Kota Kristian yang masih berbaki ialah Kawkab, Karak dan Safed. Baginda menghantar Panglima al-Adil dan Sa’adudin Kamshabah ke Karak, sekali gus menguasai benteng-benteng kecil seperti Shawbak, Wu’ayra, Sila’ dan Hurmuz. Dengan kejayaan ini, Sultan Salahuddin al-Ayubi membebaskan Raja Humpery IV yang ditawan dalam Perang Hittin. Setelah itu, beliau menghantar Qaymaz an-Najmi untuk menguasai Kawkab, sedangkan Sultan Salahuddin al-Ayubi sendiri bergerak ke Safed pada 12 Ramadhan 584H dan terus dapat menguasai kota itu, sekali gus menghabiskan semua kota dan benteng Kristian di bumi Syam.

11 Mei 2018

11 Ramadhan 222 Hijrah : Penawanan Kota Al-Badz - Hapus Pemberontakan Kumpulan Ajaran Sesat

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pengaruh ajaran Majusi, agama penyembah api di Parsi merupakan ancaman besar terhadap Islam di dalam Daulah Abbasiyah. Pada saat ini, aqidah Islam mulai terancam dengan munculnya beberapa aliran ilmu kalam seperti Syiah, Khawarij, Murjiah, Qadariah, Jabariah dan juga Muktazilah. Daulah Abbasiyah sendiri, telah menerima Muktazilah sebagai mazhab rasmi kerajaan, termasuk zaman Khalifah al-Mu’tasim (218-227H). Kufah pula menjadi pusat gerakan Syiah, sedangkan di barat Afrika telah muncul kerajaan-kerajaan bukan Sunni seperti Idrisiyah (172-375H) yang berfahaman Syiah dan Rustumiyah (144-296H) yang berfahaman Khawarij.

Perkembang Syiah dan Muktazilah di Parsi walau bagaimanapun masih dalam kerangka agama Islam, namun di Kota Al-Badz di utara Parsi (sekarang Azerbaijan) telah berkembang semula di kalangan umat Islam dua aliran berasaskan agama tradisi Parsi iaitu Majusi dan Mazdak. Pelopor utama gerakan ajaran sesat ini ialah Babak al-Khurmi yang mulai memberontak terhadap kerajaan sejak zaman Khalifah al-Makmum (198-218H) lagi, iaitu sejak 201H. Perkembangan semula fahaman Majusi dan Mazdak yang kemudiannya menjadi gerakan pemberontakan bukan sahaja mengancam kestabilan daulah Islam, tetapi turut mengundang gerakan ketenteraan oleh Kaisar Byzantine ke atas umat Islam.

Ajaran Sesat Yang Dikembangkan dan Pemberontakan Babak

Babak al-Khurmi atau Babak Khorramudin (795-838M) adalah seorang penganut Majusi yang mana keluarga bapanya berbangsa Parsi dari selatan Baghdad, sedangkan ibunya berasal dari Azerbaijan. Ketika berumur 18 tahun, dia telah menganut ajaran Mazdak, iaitu satu serpihan Majusi dan mula bergerak agresif melawan khalifah sejak 816M. Dia berkeinginan untuk merebut jawatan khalifah dari orang Arab Islam dan mengembalikan kekuasan orang Parsi yang beragama Majusi. Gerakan ini mempunyai antara 100,000 hingga 300,000 orang pengikut.

Gerakan yang dibuat atas nama Majusi Mazdak dan semangat kebangsaan Parsi ini mula bergerak menentang Khalifah al-Makmun dan melakukan pemberontakan. Dalam masa yang sama, mereka menyebarkan ajaran sesat kepada umat Islam dengan menolak ibadat solat, puasa, zakat dan haji, serta menghalalkan arak, zina dan perbuatan haram yang lain. Gerakan ini telah menggugat kedudukan Islam di utara, terutama wilayah Armenia dan Azerbaijan. Babak membentuk pusat gerakannya di kota al-Badz (Badd) dengan dipengaruhi oleh seorang pelampau Majusi, Javidan Shahrak. Tujuan utama mereka ialah untuk menghidupkan semula kerajaan Parsi Sassanid dan menghapuskan kekhalifahan Islam.

Menghapuskan Pemberontakan Babak

Tindakan Babak mengadakan pemberontakan terhadap Khalifah al-Makmun pada 201H telah menyebabkan Daulah Abbasiyah bertindak balas terhadap gerakan ajaran sesat tersebut. Dengan pengikut dan tentera yang berjumlah 300,000 orang ini, usaha menghapuskan gerakan Babak bukanlah suatu yang mudah.

Bagi mengatasi pemberontakan ini, Khalifah al-Makmun telah menghantar beberapa ketumbukan tentera di antara 817-837M (201-222H). Gerakan yang pertama dibuat pada 818-820M dipimpin oleh Yahya bin Muaz, diikuti oleh gerakan kedua pada 822M diketuai oleh Mahmud Abi Khalid, tetapi kedua-dua gerakan ini gagal menewaskan pemberontakan Babak. Pada 824-825M, khalifah telah menghantar pasukan yang ketuai oleh Ahmad Junaid, diikuti oleh gerakan yang diketuai oleh Mahmud al-Humaid pada 827-828M, akan tetapi kedua-dua gerakan ini tetap gagal mengalahkan Babak.

Setelah kewafatan Khalifah al-Makmun pada 218H, adiknya, Khalifah al-Mu’tasim telah memberikan perhatian serius kepada pemberontakan Babak. Baginda telah menghantar tentera pada 835-837M untuk mengepung Babak di pusat gerakan mereka di al-Badz. Kepungan dan serangan selama dua tahun di bawah Panglima Haydar Kaus Afsyin ini akhirnya berjaya merobek kota al-Badz pada 9 Ramadhan 222. Hasil dari kejayaan ini, Babak telah meminta bantuan Kaisar Byzantine, Thoefile untuk menghancurkan tentera Islam. Sebelum bantuan Byzantine sampai, Babak telah berjaya ditangkap dan dibunuh pada 11 Ramadhan 222 sekali gus menamatkan pemberontakan kaum Majusi Mazdak ini.