08 September 2016

08 September 1988 : PAS Luluskan Perletakan Jawatan Ustaz Nakhaie Ahmad

Pada hari ini dalam tahun 1988, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menerima permohonan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad untuk meletakkan semua jawatan beliau dalam PAS ekoran pergeseran peribadi beliau dengan Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa. Ustaz Nakhaie Ahmad yang mengemukakan perletakan jawatan kepada Yang Dipertua Agung PAS pada 20 Ogos 1988, ketika itu sedang memegang beberapa jawatan utama PAS antaranya Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ketua Penerangan PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan. Menurut Ustaz Nakhaie Ahmad, beliau meletakkan jawatan dalam PAS kerana berkecil hati dengan kenyataan Pak Yusof Rawa yang kononnya membawa maksud bahawa sumbangan beliau tidak memberikan apa-apa makna kepada PAS.

Sebelum menyertai PAS pada 1977, Ustaz Nakhaie Ahmad yang berkelulusan dari Universiti al-Azhar dan Darul Ulum, Kaherah adalah Penasihat Agama Institut Teknologi Mara (ITM). Beliau aktif dalam ABIM sejak ia ditubuhkan pada 1972 dan jawatan tertinggi beliau dalam ABIM ialah Ketua Dakwah ABIM, dan menyertai PAS atas arahan Pak Natsir, bekas pemimpin Masyumi, Indonesia. Di dalam PAS, beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat (1977-1979), Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1979), Setiausaha Agung PAS (1979-1981), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1981-1982), Ketua Penerangan PAS Pusat (1983-1984 dan 1987-1988), Naib Yang Dipertua Agung PAS (1983-1988), Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan (1985-1988) dan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS sejak 1987. Beliau juga merupakan bekas Ahli Parlimen PAS Kawasan Baling (1978-1982). Antara sumbangan besar beliau dalam PAS ialah menerokai hubungan politik dengan orang Cina menerusi Chinese Consultative Council (CCC) (1985-1986), memberikan nama kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) (1985), mengemukakan gagasan tahaluf siyasi (1986) dan mengasaskan Harakah (1987).

Konflik antara Ustaz Nakhaie Ahmad dengan pemimpin PAS dikatakan bermula dengan Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987, di mana beliau dikatakan berjaya meloloskan diri keluar negara lebih awal untuk mengelakkan diri dari ditahan. Dalam bulan November 1987, beliau mengumumkan strategi untuk menubuhkan Barisan Jemaah Islamiyah yang menyatukan seluruh pertubuhan dan parti politik orang Islam dalam satu barisan. Pada Januari 1988, beliau mengemukakan cadangan ini secara rasmi kepada PAS, tetapi hanya dibincangkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 8 Mac 1988. Namun begitu pada 4 Julai 1988, beliau menarik balik cadangannya. Ustaz Nakhaie Ahmad pada asasnya mencadangkan supaya PAS membuat pakatan dengan Umno (Baru) pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, sedangkan pemimpin PAS ketika itu cenderung untuk membentuk kerjasama dengan Team B Umno (Semangat 46) yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah.

Ekoran itu, pada 20 Ogos 1988, Ustaz Nakhaie Ahmad telah memohon untuk melepaskan semua jawatan beliau dalam PAS. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 8 September 1988 kemudiannya telah meluluskan permohonan ini dan melantik Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Pemangku Ketua Penerangan PAS Pusat, sebelum Haji Ahmad Subky Abdul Latiff dilantik mengisi jawatan tersebut pada 9 Oktober 1988. Berlanjutan dari itu, beliau kemudiannya menyertai Umno pada 1989 dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Penerangan Umno Malaysia, sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua YADIM dan Naib Yang Dipertua PERKIM. Turut menyertai Umno bersama beliau ialah beberapa pemuda PAS seperti Saifuddin Nasution Ismail, Mohd Fuad Zarkashi, Zulkifli Ahmad (bekas Presiden MISG) dan Che Borhan Che Pa. Walaupun beliau meninggalkan PAS, tetapi adik-beradik beliau kekal berjuang bersama PAS seperti Ustaz Zawawi Ahmad (bekas Ahli Parlimen Padang Tetap dan bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah), Ustaz Suhaimi Ahmad (bekas ADUN Kupang dan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah), Ustaz Dato’ Najmi Ahmad (calon PAS Parlimen Baling, 2013) dan Ustaz Musoddaq Ahmad (Setiausaha PAS Kedah).

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: