12 September 2016

12 September 1974 : PAS Kelantan Calonkan Haji Wan Ismail Sebagai Menteri Besar Kelantan

Pada hari ini dalam tahun 1974, PAS Kelantan telah menamakan Bendahari Agung PAS, Haji Wan Ismail Wan Ibrahim sebagai calon Menteri Besar Kelantan yang keempat menggantikan Dato’ Ustaz Haji Ishak Lotfi Omar yang tidak dilantik semula selepas Pilihan Raya Umum 1974. Pencalonan Haji Wan Ismail Ibrahim ini dibuat dalam Mesyuarat Khas Badan Perhubungan PAS Kelantan setelah Barisan Nasional (BN) berjaya menyapu bersih semua kerusi DUN Kelantan dalam Pilihan Raya Umum pada 24 Ogos 1974, di mana PAS memenangi 24 kerusi, Umno 13 dan MCA satu. BN Kelantan membentuk Kerajaan Negeri Kelantan dengan diketuai oleh PAS dengan jawatan-jawatan utama dipegang oleh PAS dan Umno diperuntukan dua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kelantan.

Isu pertukaran Menteri Besar Kelantan ini telah timbul semenjak perubahan politik berlaku pada awal 1973 apabila PAS membentuk Kerajaan Campuran dengan Perikatan pada 1 Januari 1973. Datuk Ishak Lotfi Omar yang dilantik semula sebagai Menteri Besar Kelantan menerima kritikan daripada pimpinan PAS Kelantan yang tidak bersetuju dengan kepemimpinannya. Datuk Ishak Lotfi Omar adalah Menteri Besar Kelantan yang pertama (1959-1964) selepas merdeka, sebelum Datuk Mohd Asri Haji Muda menjadi Menteri Besar Kelantan kedua (1964-1972), tetapi melepaskan jawatannya pada akhir 1972 kerana dilantik sebagai Menteri Kerajaan Pusat. Ekoran itu, Datuk Ishak Lotfi Omar dilantik kali kedua mulai 1973 hingga Pilihan Raya Umum 1974. Pada Mac 1974, tercetus Gerakan Revolusi 14 Mac 1974 yang dipimpin oleh Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah yang membawa kepada terbentuknya Barisan Bebas Bersatu (BBB) disebabkan oleh ketidakpuasan hati terhadap Datuk Ishak Lotfi Omar.

Selepas Pilihan Raya Umum 1974 berakhir, PAS telah menamakan tokoh baru untuk memimpin Kerajaan Kelantan sekali gus menamatkan krisis kepemimpinan yang tercetus lebih awal. PAS telah menamakan adik kepada bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim iaitu Haji Wan Ismail Ibrahim sebagai calon Menteri Besar. Tokoh yang berasal dari Kampung Dalam Kemunting, Pasir Puteh ini merupakan seorang lulusan undang-undang dari England. Beliau adalah ADUN Sungai Rasau sejak 1974. Sebelum itu, selepas pulang dari England pada 1970, beliau dilantik oleh Kerajaan Kelantan sebagai Pendaftar Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), Nilam Puri. Selain turut menjadi Ahli Badan Perhubungan PAS Kelantan, sejak 1973 beliau yang memenangi pemilihan parti sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, telah dilantik sebagai Bendahari Agung PAS sejak 1973. Tokoh yang rapat dengan Dato’ Mohd Asri ini merupakan Naib Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sesi 1964-1965, selain turut menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat sebelum ke England.

Dalam Mesyuarat Khas Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 12 September 1974, PAS telah menamakan calon-calon pentadbir utama Kerajaan Kelantan dengan Wan Ismail Ibrahim sebagai Menteri Besar, Ustaz Salahuddin Abdullah sebagai Timbalan Menteri Besar serta Haji Mohd Nor Yusoff, Ustaz Abdul Rahman Awang Sulong, Nik Mustapha Shafie, Hassan Yaakob dan Hashim Omar sebagai anggota Exco, manakala dua lagi kerusi Exco diserahkan kepada Umno. Walaupun pencalonan ini telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra, tetapi ia tidak dipersetujui oleh Umno Kelantan, khususnya Tengku Razaliegh Hamzah dan Abdullah Ahmad (Tan Sri Dollah Kok Lanas), yang mempengaruhi Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein supaya menolak pencalonan Wan Ismail Ibrahim, sebaliknya mereka mencadangkan Dato’ Mohamad Nasir, ADUN Tendong sebagai calon Menteri Besar Kelantan.

Pada peringkat awal, tindakan Umno mencampuri urusan dalam PAS ini telah menimbulkan kemarahan Dato’ Mohd Asri Haji Muda, tetapi akhirnya PAS bersetuju menerima cadangan Tun Abdul Razak supaya Dato’ Mohamad Nasir, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan (1959-1964) dilantik sebagai Menteri Besar yang baru, dengan Wan Ismail Ibrahim bertindak sebagai Timbalan Menteri Besar dan Umno diperuntukan tiga kerusi Exco untuk menjaga perpaduan BN. Pada 22 September 1974, Dato’ Mohamad Nasir telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru, sedangkan Timbalan Menteri Besar, Haji Wan Ismail Ibrahim bersama barisan Exco yang lain telah mengangkat sumpah jawatan pada 28 September 1974 dengan beberapa perubahan di mana Ustaz Salahuddin Abdullah dan Haji Mohd Yusoff Nor dilantik sebagai anggota Exco bersama Ustaz Abdullah Ahmad dan Mohd Amin @ Abdul Hamid Salleh, sedangkan semua senarai asal yang lain digugurkan. Tiga wakil Umno yang dilantik ialah Dato’ Hussein Ahmad, Dr Nik Hussain Abdul Rahman dan Che Lat Kassim.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: