19 November 2015

Jangan Khianat Dengan Jama'ah Islam

Hari ini, kita telah menyaksikan berberapa Ahli Parlimen Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengingkari arahan parti untuk berkecuali dalam menolak Belanjawan 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib bin Tun Abdul Razak pada 23 Oktober yang lalu. Mereka meyokong penolakan Belanjawan negara 2016, sekaligus meletakkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ke posisi 'government shutdown', sekaligus menjadikan ia sebagai suatu risiko yang membahayakan rakyat.

Mungkin juga ada di antara kita keliru mengapakah PAS bersikap berkecuali di dalam hal ini, PAS bukanlah sebuah parti politik baru seperti Parti Amanah Negara (PAN). Atas kefahaman kita terhadap keperluan thiqah terhadap pimpinan dan mempercayai pengalaman politik gerakan Islam ini, kita menerima dengan sikap terbuka. Dalam masa yang sama, kita bersyukur kerana pimpinan PAS tidak pernah membiarkan pendokong dan penyokongnya tertanya-tanya dengan keputusan itu, bahkan ia telah diperjelaskan oleh Timbalan Presiden PAS di dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah:

PAS tidak mahu menghantar mesej bahawa kami membantah gaji kakitangan dan pencen pegawai kerajaan dinaikkan dan begitu juga bonus yang diharapkan mereka untuk mengurangkan beban masa ini yang terdapat di dalam Bajet 2016. Begitu juga, hasrat golongan berpendapatan rendah yang kini boleh menikmati gaji minima dan manfaat yang bakal diperoleh warga penoreh getah dan FELDA melalui Bajet 2016.
PAS tidak bersetuju dengan BRIM, tapi pada masa yang sama, PAS dan pembangkang lain tiada kuasa untuk menghalang kenaikan tol dan sebagainya meskipun ia di negeri yang ditadbir pembangkang dan rakyat yang kesempitan memerlukan bantuan ini sehinggalah ada alternatif yang lain di PRU14 nanti. Dan sekiranya pembangkang mendapat cukup sokongan untuk menang usul tidak percaya pada Bajet 2016, apakah yang akan berlaku selepas itu?
Pengalaman Amerika Syarikat, bilamana berlaku "goverment shutdown", selepas bajet Obama ditolak sehingga menyusahkan rakyat serta kakitangan kerajaannya, namun Obama terus berkuasa. "Goverment Shutdown" menyebabkan 800 ribu kakitangan kerajaan persekutuan di Amerika Syarikat terpaksa mengambil cuti sementara dan 1.3 juta lagi terpaksa lapor diri ke tempat kerja tanpa diberitahu bila gaji mereka akan dibayar. Akhirnya, rakyat Amerika menyalahkan pembangkang.
Oleh itu, sekiranya bajet berjaya ditolak, ia hanya memeritkan keadaan urusan harian rakyat tergantung termasuk gaji kakitangannya yang tidak boleh dibayar akibat tindakan itu, akan tetapi langsung tidak mengancam kedudukan perdana menteri mahupun BN yang menjadi fokus untuk ditumbangkan kerana tidak amanah. Percayalah Najib tidak akan meletakkan jawatan walaupun bajetnya ditolak.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Berdasarkan kenyataan yang telah dibuat oleh pimpinan PAS, PAS telah dilihat sebagai sebuah parti yang sangat berprinsip dan berpandangan jauh, selari dengan pandangan Nabi SAW dalam memeterai perjanjian Hudaibiyah lebih kurang 1400 tahun yang lalu. Bezanya, kekesalan Umar r.a. tidak disertakan dengan pengingkaran, tetapi 'disulami' dengan taat. Bagi PAS pada masa kini, kekesalan terhadap keputusan PAS telah disertakan dengan pengkhianatan berberapa ahlinya.

Moga Allah jauhkan kita dari menjadi sebahagian daripada pengkhianat Islam.

Di sini, saya ingin kongsikan sebuah artikel tarbiah yang telah ditulis oleh seorang Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Pusat. Moga bermanfaat, insha Allah.

JANGAN KHIANAT DENGAN JAMAAH ISLAM
Oleh: Al-Fadhil Ustaz Mohd Azmir bin Maideen [Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Pusat]

Khianat ialah perbuatan terkutuk dan jahat yang bertujuan menganiayai atau mendatangkan kecelakaan dan kekecewaan kepada orang lain, dengan melakukan tipu-daya, perbuatan licik, curang, belot atau tidak setia sama ada kepada negara dan seumpamanya. Khianat juga bererti membantu menguatkan musuh untuk melemahkan jamaah Islam, membocorkan rahsia, merosakkan reputasi jamaah Islam agar sokongan berpihak kepada sebaliknya. Secara umumnya khianat itu bererti mengingkari tanggungjawab yang telah dipercayakan terhadap dirinya, baik datangnya daripada orang lain mahupun daripada Allah dan Rasul-Nya. Menurut Raghib al-Asfahaniy, khianat dan nifak adalah dua jenis sikap yang serupa bahkan orang khianat itu boleh dianggap munafik. Perbezaannya, khianat memiliki konotasi sabotaj terhadap janji (bai'ah) sesama manusia, sedangkan nifak memiliki konotasi sabotaj terhadap agama Allah. Justeru nifak mempunyai erti yang lebih luas dan umum.

Sabda Rasulullah SAW:
 آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا ائْتُمِنَ خَانَ 
“Tanda kemunafikan ada tiga; apabila berkata dusta, apabila berjanji memungkirinya dan apabila diberi amanah khianat.”
(Riwayat al-Bukhari)
Berkata Imam al-Baidhawi di dalam tafsirnya, khianat adalah lawan kepada sikap amanah. Firman Allah di dalam Surah al-Anfal, ayat 27:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَخُونُواْ اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُواْ أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
Dalam ayat ini Allah membicarakan mereka yang berlaku khianat itu jelas sebenarnya beriman kepada-Nya (yakni mengetahui perintah-perintah Allah dan rukun-rukun agama-Nya), justeru di akhir ayat ini disebut {وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ} yakni kamu mengetahui bahawa yang demikian itu adalah amanah tanpa ragu-ragu lagi. Bertepatanlah makna “Mukmin” itu sendiri yang juga bermaksud mereka yang memegang panji amanah (yakni amanah kepercayaan terhadap Allah dan Rasul).

Perkataan mengenai khianat di dalam ayat ini diulang sebut sebanyak dua kali, sebahagian mufassirin menyatakan bahawa ia menandakan terdapat dua bentuk pengkhianatan di sini, iaitu pengkhianatan terhadap Allah dan Rasul-Nya, dan juga pengkhianatan kepada amanah yang telah dipercayakan manusia ke atasnya. Mereka yang khianat kepada Allah dan Rasul akan diadili di mahkamah Allah di akhirat kelak, mereka yang khianat kepada amanah orang lain akan diadili di dunia lagi apatah lagi di akhirat nanti.

Oleh kerana itu, merujuk situasi hari ini ada di antara gerakan-gerakan Islam seperti Ikhwan al-Muslimin, HAMAS termasuklah PAS yang mensyaratkan sighah (lafaz) baiah terutamanya kepada saff kepimpinan yang telah ditaklifkan untuk beriltizam bersama ketua sama ada senang atau susah, selama tidak menyuruh kepada mungkar, dan semata-mata untuk menegakkan syariat Allah. Bahkan mensyaratkan suatu hukuman yang boleh dijatuhkan di dunia lagi dalam kandungan baiah kifa’iyah {بيعة كفائية} (janji khusus untuk sebahagian) bagi menangani situasi kritikal andainya berlaku pengkhianatan terhadap Gerakan Islam.

Hal itu dilakukan sebagai peringatan kepada saff kepimpinan bahawa dosa pengkhianatan adalah sangat terkutuk apalagi ia dilakukan bukan sekadar berdepan dengan pengadilan Allah tetapi juga seluruh umat Islam yang dikhianatinya. Menurut Syaikh Dr. Abd al-Rahman al-Barr, Baiat al-Ridhwan adalah salah satu contoh baiah kifa’iyah kerana ia tidak sekadar melibatkan perintah untuk dengar dan taat arahan Rasulullah saw, tetapi juga ada di kalangan sahabat yang menuturkan sighah baiahnya untuk mati mempertahankan Islam.

Pengamalan PAS terhadap bai'ah adalah kesinambungan kepada salah satu Sunnah Anbiya’, dan PAS Kelantan antaranya yang telah mengaplikasikan ‘keharusan’ sighah khusus itu, iaitu baiah kifa’iyah ketika rata-rata PAS negeri majoritinya mengamalkan baiah ‘ainiyah {بيعة عينية}, untuk sighah umum. Ini kerana PAS Kelantan memiliki sejarah pengkhianatan yang tragis apabila wujudnya pimpinan-pimpinan yang ‘lompat parti’. Justeru, untuk mengelakkan pengkhianatan demi pengkhianatan, sighah khusus ‘talak tiga’ dicadangkan oleh al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengelakkan tragedi pengkhianatan jijik berulang.

Tanpa paksaan dan desakan, wakil-wakil rakyat PAS yang dicalonkan di negeri Kelantan rela berikrar sepenuh hati melafazkan sighah khusus tersebut. Kini, apabila berlaku pengkhianatan tiba-tiba wakil rakyat yang ‘lompat parti’ bertempik-teriak mengatakan ‘talak tiga’ itu tidak betul! Sesungguhnya PAS tidak ada masalah untuk menerima dengan lapang dada hujjah-hujjah kalian itu, sesungguhnya PAS juga tidak rela meruntuhkan mana-mana institusi rumah tangga, bahkan jika ada ruang agar ia dipertahankan, pertahankanlah dengan cara yang benar-benar menunjukkan kalian sayangkan keluarga iaitu dengan tidak mengkhianati baiah yang telah kalian lafazkan.

Iya, 1001 macam alasan dan tuduhan boleh kalian kemukakan terhadap PAS, tetapi tanyalah kepada hati kalian dengan ‘jujur’; apakah jawaban pengkhianatan kalian nanti di hadapan Allah swt setelah berikrar dan melafazkan janji? Apakah kalian yakin bahawa rakyat yang pergi mengundi redha dengan pengkhianatan kalian?

Imam al-‘Alusiy berkata dalam Ruh al-Ma‘ani:
 أَصْلُ الْخَوْنِ النَّقْصُ كَمَا أَنَّ أَصْلَ الْوَفَاءِ الْإِتْمَامَ، وَاسْتِعْمَالُهُ فِي ضِدِّ الْأَمَانَةِ لِتَضَمُّنِهِ إِيَّاهُ 
"Dasar perkataan khianat itu ialah kekurangan sebagaimana asalnya menyempurnakan janji (melaksanakan kepercayaan orang lain dengan penuh dedikasi) kemudian perbuatannya bersalahan dengan sifat amanah yang patut olehnya (yakni tidak beramal dengan apa yang disuruh).”
Sebahagian mufassirin berkata bahawa ayat ini (surah al-Anfal, ayat 27-28) diturunkan ke atas Abu Lubabah Ibnu ‘Abd Munzir, seorang sahabat Nabi ketika beliau diutus Rasulullah saw kepada suku kaum Bani Quraizhah setelah mereka menyerah kalah dan dikepung selama 21 malam (riwayat lain menyebut 25 malam) oleh tentera Muslimin.

Pada awalnya Rasulullah SAW mensyaratkan agar Bani Quraizhah patuh dengan hukuman yang akan dikendalikan Sa’ad ibnu Mu’az, tetapi Bani Quraizhah enggan lantas mencadangkan kepada Rasulullah saw agar dikirimkan Abu Lubabah kepada mereka kerana harta, kaum keluarga dan anak-anak Abu Lubabah ada bersama mereka. Rasulullah SAW bersetuju, lantas mengutuskan Abu Lubabah agar bertemu dengan Bani Quraizhah.

Di perkampungan Bani Quraizhah, kaum Yahudi yang terkepung bertanya kepada Abu Lubabah:
يَا أَبَا لُبَابَةَ، مَا تَرَى أَنَنْزِلُ عَلَى حُكْمِ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ
“Wahai Abu Lubabah apakah pendapatmu, kalaulah tadi hukuman ini diputuskan sahaja oleh Saad bin Muaz?”
Lalu Abu Lubabah menunjukkan tangan ke batang lehernya, maksudnya bahawa Saad bin Muaz ra tetap akan memutuskan hukum bunuh ke atas kamu wahai kaum Yahudi, yakni janganlah kalian buat begitu. Walaupun perbuatan itu hanyalah berbentuk isyarat pergerakan tangan, perbuatan Abu Lubabah itu jelas dinyatakan Allah swt sebagai pengkhianatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Sebelum ayat dari surah al-Anfal; 27-28 diturunkan, Abu Lubabah telahpun menyedari kesilapannya dan berkata:
وَاللَّهِ مَا زَالَتْ قَدَمَايَ عَنْ مَكَانِهِمَا حَتَّى عَرَفْتُ أَنِّي قَدْ خُنْتُ اللَّهَ تَعَالَى وَرَسُولَهُ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ
“Demi Allah, belum sempat aku mengangkat kedua kakiku dari tempat itu, aku telah sedar bahawa perbuatanku tadi sebenarnya adalah pengkhianatan terhadap Allah dan Rasul-Nya SAW.”
Para mufassirin menyebutkan bahawa pengkhianatan Abu Lubabah yang tidak disengajakan itu berlaku kerana menjaga maslahah syakhsiah (maslahah peribadi), justeru ayat seterusnya daripada ayat 28 surah al-Anfal ini berbunyi:
وَاعْلَمُوا أَنَّمَآ أَمْوَلُكُمْ وَأَوْلَـدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.”
Diriwayatkan selepas daripada itu Abu Lubabah tertunduk menyesal dan bertaubat sehingga beliau kurus kering kerana mengikat dirinya di tiang masjid mengharapkan pengampunan daripada Allah. Abu Lubabah tidak makan dan minum sampai tujuh hari (ada riwayat mengatakan enam hari dan sembilan hari), kemudian baharulah Rasulullah SAW memberitakan kepada Abu Lubabah bahawa Allah telah menerima taubatnya, beliau gembira lantas berazam untuk menyedekahkan seluruh hartanya kepada fakir miskin dan memulaukan kaum kerabatnya. Mendengar kesungguhan itu Rasulullah SAW melarang Abu Lubabah menyedekahkan seluruh hartanya dan mensyaratkan hanya 1/3 sahaja. Kepada orang yang melakukan khianat, selama ia tidak bertaubat dan kembali kepada kebenaran, atau tidak menyesali perbuatannya yang jijik itu bahkan terus angkuh dan sombong, Allah melarang wujudnya daya umat Islam untuk membela dengan hujjah bagi melindungi orang-orang yang berbuat khianat, atau bermusuh dengan orang yang tidak bersalah semata-mata kerana mengasihani orang yang melakukan khianat:
وَلاَ تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
“Dan janganlah kamu menjadi pembela orang-orang yang khianat.”
(surah al-Nisa’: 105)
وَلاَ تُجَادِلْ عَنِ الَّذِينَ يَخْتَانُونَ أَنفُسَهُمْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ مَن كَانَ خَوَّانًا أَثِيما
“Dan janganlah kamu berbantah-bantah (untuk membela) orang-orang yang mengkhianati dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat lagi bergelumang dosa.”
(surah al-Nisa’: 107)
Kesimpulannya, perbuatan khianat tidak hanya dikutuk sebagai maksiat dalam hukum agama tetapi juga mengandungi bahaya terhadap kehidupan sosial manusia. Hal ini kerana perbuatan khianat boleh menimbulkan sikap curiga dan permusuhan dalam masyarakat, dan hubungan sesama individu menjadi retak akibat kekacauan yang ditimbulkan oleh sikap khianat.

Abdullah bin Ubai adalah watak yang popular dalam siri-siri pengkhianatan terhadap perjuangan Rasulullah SAW. Bahaya yang ditimbulkan Abdullah bin Ubai sangat jelas ketika menjelang Perang Uhud, dia menghasut jamaah Muslimin agar keluar dari barisan jihad dan berhujjah kononnya itulah kehendak Nabi saw pada asalnya. 1000 pasukan Muslimin di Uhud, menjadi berkurang sehingga 700 orang. 

Peranan mereka sewaktu peristiwa Uhud membuktikan pengkhianat sering wujud dalam kehidupan jamaah Muslimin. Nabi Adam dikhianati Iblis, Nabi Musa dikhianati Samiri, Nabi Isa dikhianati Bani Israel, dan Nabi Muhammad dikhianati kaum munafik! Moga kita semua dikurniakan Allah jiwa yang istiqamah untuk menegakkan agamanya.

18 Oktober 2015

Maka Beristiqamahlah Kamu Di Jalan Allah !

Beristiqamah dengan agama Allah Ta'ala menjadi KEWAJIPAN bagi semua Muslim. Dalam konteks Fiqh Haraki, definisinya tidak terbatas dalam ruang lingkup amal islami secara Fardi (individu) semata-mata, ia juga merangkumi amal islami secara Jama'ie (berorganisasi) dan Ijtimai'e (beramai-ramai).

Firman Allah Ta'ala:
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Maksudnya: "Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa ISTIQAMAH (tetap teguh di atas jalan yang betul) sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan."
(Surah Hud: Ayat 112)
Bagi orang kebanyakan, fokus istiqamah bukan sekadar merujuk kepada penyertaan masyarakat ke dalam Parti PAS semata-mata, tetapi haruslah dilihat sebagai salah satu cara menjadi rakyat Malaysia yang berprinsip, tegas, dan mempunyai pendirian yang benar. Maka tidak hairanlah jika PAS, sebagai sebuah parti dominan kedua Melayu Islam (selepas UMNO) bersetuju dengan mana-mana Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang mempunyai pendirian yang selari dengan syariat Allah Ta'ala dalam memperjuangkan hak-hak rakyat.

Bagi ahli PAS pula, asas istiqamah di atas perlu ditambah dengan berberapa elemen ikrar (rukun bai'ah) sebagaimana disusun oleh Imam Hassan Al-Banna rh.a. Ini adalah penting bagi memastikan Islam terus cemerlang dan gemilang, selain melahirkan satu organisasi harakah Islam yang konsisten dan sistematik, serta mampu memimpin ummah di masa akan datang.

Semoga kita semua akan terus berjuang hingga Islam diletakkan ke aras yang paling tertinggi. Semoga kita semua akan terus-menerus beristiqamah hingga kemenangan, insha Allah!

-----------------------

Segala Puji bagi Allah Ta'ala, saya telah dapat menghadirkan diri ke program Himpunan Fastaqim 60K Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Kota Bharu, Kelantan semalam.

19 September 2015

Bai'ah Dan Sumpah Dari Sudut Siyasah Syar'iyyah

Mutakhir ini, isu Bai’ah wakil rakyat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah dirungkaikan oleh para asatizah yang kurang faqih dengan siyasah syar’iyyah. Bahkan, komen yang dibuat oleh para asatizah ini seolah-olah untuk menjaga kepentingan tertentu, hanya menyentuh tentang kifarah sumpah dan ia dilihat ‘menghalalkan’ perpindahan wakil-wakil rakyat yang diberi mandat atas tiket PAS ke parti-parti lain.

Saya berpendapat, lafaz bai’ah ini adalah satu KEPERLUAN dalam memastikan wakil rakyat PAS berkhidmat untuk Partinya, bukan untuk orang-orang lain yang berkepentingan. Bahkan, jika tidak berbai’ah sekalipun, ia tetap menjadi tanggungjawab wakil rakyat PAS untuk berkhidmat kepada PAS, demi meletakkan Islam di peringkat yang tertinggi, Insha Allah.

Bagi merungkaikan persoalan di atas, saya kongsikan penulisan Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi bin Awang untuk manfaat kita bersama:

FAHAMI MAKNA BAI'AH DAN SUMPAH
Oleh: Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang [Presiden PAS]

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran :
"Sesungguhnya orang-orang yang membeli perjanjian mereka dengan Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian di Hari Akhirat, Allah tidak berkata-kata Rahmat terhadap mereka, tidak juga menilik secara Kasihan kepada mereka, tidak juga memandang untuk memberi kesayangan terhadap mereka pada Hari Qiamat nanti dan tidak membersihkan mereka daripada dosa dan bagi mereka azab yang pedih. Dan sesungguhnya ada kalangan (ulamak ahli kitab itu) mereka yang mempermainkan lidah-lidah mereka dengan kitab (Allah) supaya menganggapnya hukum daripada kitab Allah, pada hal bukan daripada kitab Allah, dan mereka berkata lagi ini daripada Allah, pada hal bukan daripada Allah. Sebenarnya mereka berbohong terhadap Allah dalam keadaan mereka mengetahuinya."
(Surah Ali-Imran, ayat 77 - 78)
Ditafsirkan ayat ini oleh para ulamak salaf dan khalaf, yang perlu diketahui mafhumnya oleh ahli PAS yang istiqamah bersama Islam, supaya mengerti tujuan bai’ah dan sumpah. Ayat ini menggabungkan kedua-duanya, walaupun perkara bai’ah dan sumpah pada asalnya berbeza dan berasingan dan dilakukan dalam keadaan yang tidak sama. Namun, boleh dilakukan kedua-duannya bagi menambah keteguhannya dalam perkara yang besar dan mencabar, seperti perkara jihad dan amanah ummat, bahkan kadang-kadang dimasukkan pula laknat supaya tidak memandang mudah dalam perjuangan dan amanah itu, seterusnya supaya menjaga istiqamah apabila menghadapi cabaran yang besar.

Walaupun ayat ini sebabnya berkait dengan kisah golongan ahli kitab dengan nabi-nabi mereka yang meminta supaya mereka beriman dengan Nabi akhir zaman dan berjanji untuk berjuang bersamanya, namun pengajarannya wajib diikuti oleh kumpulan Islam yang berjuang menegakkan Islam. Maka Bai’ah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW bagi pengukuhan seseorang yang berada dalam saf perjuangan atau ditugaskan jadi pemimpin atau memegang jawatan penting. Di zamannya berlaku beberapa kali bai’ah yang berbeza keadaan dan mereka yang terlibat . Di antaranya ada Bai’ah ‘Aqabah, Bai’ah Nisaa dan Bia’ah Riduan (Hudaibiyyah) dan diteruskan selepasnya pula di zaman para sahabat dan tabi’ein. Ada pula ditambah dengan sumpah, bahkan digabungkan lagi di zaman mutaakhir dengan nazar, tolak dan laknat kerana dirasakan generasi kemudian lemah imannya dalam perkara yang ghaib saperti perhitungan dosa dan pahala atau berkat dan celaka, maka diikat lagi dengan perkara yang nyata di alam dunia seperti taklik, talak isteri dan sebagainya.

Maksud perjanjian dalam ayat tersebut ialah bai’ah yang berasal daripada perkataan bahasa arab "باع" (bermaksud menjual), kerana Allah membandingkan perjuangan menegakkan agamanya seperti membeli janji yang dijual oleh Allah dengan pahala yang besar. Laksana sesuatu yang dijual oleh Allah dengan bayaran pahala yang besar kerana besar pengorbanannya, sehingga Allah mengukuhkan janjinya saperti perjanjian menjual dan berhutang yang wajib dibayar, dengan janji pada Hari Qiamat yang merupakan ujian beriman kepada Allah, perkara Ghaib dan urusan Akhirat. Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang yang beriman itu diri mereka dan harta mereka."
(Surah At-Taubah, ayat 111)
Tujuannya, supaya dikorbankan bagi menegakkan Islam. Seterusnya Allah berfirman lagi:
"Barangsiapa yang menunaikan bai’ah (perjanjian jual belinya daripada Allah, maka bergembiralah dengan bai’ah yang kamu meteraikan itu. Itulah kemenangan yang sangat besar."
(Surah At-Taubah, ayat 111)
Allah juga berfirman dalam ayat yang lain berkaitan dengan perjuangan Islam juga laksana berhutang:
"Siapakah yang bersedia memberi hutang (pinjaman ) kepada Allah, pinjaman paling baik. Maka Allah berjanji membayarnya dengan berlipat kali ganda yang sangat banyak. Dan Allah boleh memegang dan membuka seluasnya dan kepadanya kamu dipanggil kembali (mengadapnya pada Hari Kiamat)."
(Surah Al-Baqarah, ayat 245)
Di atas perjanjian inilah maka diadakan bai’ah yang bermaksud perjanjin dengan Allah dalam perkara yang berkait dengan perjuangan Islam, di mana Allah yang menjual dan seseorang yang berjuang itu membelinya, seterusnya Allah membeli semula dengan keuntungan yang berlipat kali gandanya.

Ada pun sumpah yang disebut "يمين أيمان" (Aiman atau Yamin) daripada makna tangan kanan bermaksud mengukuhkan janji seperti memegang dengan tangan kanan yang terkuat, mengikut hukum Syarak dengan menyebut nama Allah (Demi Allah). Kebiasaannya dalam perkara kehakiman, sehingga diluaskan dalam perkara pergaulan hidup bermasyarakat yang wujudnya perselisihan biasa, sehinggalah bagi menegaskan janji membuat sesuatu atau meninggalkannya dilafazkan sumpah, sehingga akhirnya dimudah-mudahkan dalam perbualan dan gurauan , lalu Allah memberi amaran:
"Dan janganlah kamu jadikan Allah dipergunakan untuk bersumpah bagi menghalang kamu melakukan perkara kebajikan dan bertaqwa dan melakukan islah dikalangan manusia, dan Allah itu Maha mendengar lagi Maha Mengetahui)."
(Surah Al-Baqarah, ayat 224)

Maka Allah memberi kelonggaran supaya melanggar sumpah sekiranya lebih berkebajikan. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengharamkan perkara-perkara yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah kepada kamu dan janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang melampau. Dan makanlah daripada apa-apa yang Allah halalkan kepada kamu daripada yang baik-baik dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepadanya. Allah tidak menjadikan dosa dalam sumpah yang songsang (yang tidak berniat sumpah dalam perbualan biasa). Namun Allah mempertanggungjawabkan keatas kamu dalam sumpah yang kamu ucapkan bagi penegasan (niat sumpah) . Maka kaffarahnya (dendanya) ialah memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan yang sederhana yang menjadi kebiasaan kamu , atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan hamba sahaya . Barang siapa yang tidak mampu hendaklah berpuasa tiga hari. Itulah kaffarah terhadap sumpah yang kamu lakukan . Begitulah Allah menerangkan kepada kamu akan ayat-ayatnya supaya kamu bersyukur."
(Surah Al-Maidah, ayat 87 - 89)
Ayat-ayat ini sebab nuzulnya, berkaitan dengan adanya kalangan para sahabat yang bersumpah untuk jadi seperti paderi dan sami, beribadat selama-lamanya, bersembahayang, berpuasa dan lain-lain sehingga tidak mahu berkahwin, meninggalkan makanan yang baik dan lain-lain yang dihalalkan oleh Allah. Bahkan teguran Allah terhadap Rasulullah SAW di dalam Al-Quran :
"Wahai Nabi ! Mengapa kamu haramkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah kepadamu kerana semata-mata mahu merelakan hati isteri-isteri mu. Pada hal Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Allah telah menyatakan kepadakamu cara melepaskan diri daripada sumpah itu (menunaikan kaffarah). Allah sahaja Tuhan yang memelihara kamu. Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."
(Surah At-Tahrim, ayat 1 - 2)
Apabila digabungkan semuanya, yakni bai’ah, sumpah dan laknat, menjadikan berbeza dengan tujuan bersumpah sahaja, kerana bertujuan menguat bai’ah dan bertanggungjawab berkait di antara satu sama lain yang tidak boleh dipisahkan dan disamakan hukumnya secara bersumpah sahaja. Asasnya ialah bai’ah yang bertujuan perjanjian dengan Allah yang tidak boleh selesai dengan sumpah yang dibayar kaffarahnya.

Imam Ibnu Kathir menyebut dalam kitab karangannya "Al-Bidayah Wan Nihayah" dan Imam At-Tobari dalam kitabnya "At-Tarikh", "Bahawa bai’ah, sumpah, cerai taklik dan nazar, digabungkan semuannya, pernah dilakukan di zaman kerajaan Abbassiyah dengan pengesahan para ulama dizamannya”. Para Fuqaha Mazhab Hanafi pula menyebut perkara sumpah yang dimasukkan taklik talak, tetapi dalam perkara sumpah yang tidak ada kaitan dengan Bai’ah. Begitu juga Imam Ibnu Taimiyyah dan Imam Ibnu Qayyim serta juga ulamak mutaakhir saperti Mahmud Shaltut, Sayed Sabiq dan Al-Qardawi menyatakan hukum khilaf dalam perkara sumpah sahaja yang berasingan dengan bai’ah.

PAS telah mensyaratkan bai’ah yang dimasukkan di dalamnya sumpah dan laknat dengan penegasan lafaz Allah menjadi saksinya. Ada negeri yang memasukkan tolak tahlil, bukan bermakna merendahkan isteri, sebaliknya meninggikan kedudukannya sehingga dimasukkan bersama kecintaan kepada Allah walau pun tidak menyamainya. Bahkan para Sahabat RA bersumpah dengan menyebut "Demi Ayah dan Ibu" (kecintaan terhadap kedua-duannya tidak melebihi dengan kecintaan kepada Allah dan Rasul). Merupakan seni sastera arab bagi mengukuhkan ucapan dan ikrar.

Maka lafaz bai’ah dalam parti yang berjuang menegakkan Islam saperti PAS adalah beramal dengan Al-Quran, As-Sunnah dan Ijtihad para ulamak muktabar yang disahkan oleh Ahli Majlis Syura Ulamak yang sangat dihormati oleh semua pemimpin, ahli dan penyokong PAS yang istiqamah, walaupun pihak lain tidak berminat bukan sahaja bai’ahnya bahkan dasar Islamnya juga, sehingga ada pula yang meletakkan talak taklik mencerai isteri lebih utama daripada berjanji dengan Allah. Maka Tahaluf Siyasi dengan pihak lain yang temasuk dalam perkara strategi, tidak boleh mengatasi bai’ah kesetiaan kepada Aqidah, Dasar dan Matlamat perjuangan Islam.

Walaupun PAS berkali-kali menerima kekalahan pilihanraya, kerana kemenangan Aqidah dan matlamat Islam memimpin Negara, Syariat Allah didaulatkan tidak boleh tunduk kepada hala tuju yang dikehendaki oleh semua pihak walaupun rakan paling akrab. Firman Allah di dalam Al-Quran:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa kamu, saudara-saudara dan rakan-rakan kamu, wali-wali yang diberi kepercayaan (sehingga tidak berbelah bahagi dan tidak boleh dirungkai hubungannya), jika mereka meletakkan kecintaan terhadap kekufuran lebih daripada keimanan. Maka sesiapa yang berwalikan mereka dikalangan kamu, merekalah orang-orang yang zalim . Katakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) ! Jika sekiranya ayah-ayah kamu, anak-anak kamu, suadara mara dan sahabat handai, isteri-isteri dan keluarga kamu, harta benda yang kamu cari, perniagaan yang kamu bimbang melesetnya dan rumah kediaman yang kamu sayang, kamu anggap lebih penting daripada Allah dan Rasul dan jihad (perjuangan dengan pengorbanan) menegakkan agama Allah, maka tunggulah sehingga Allah menentukan perintah (hukumannya) dan Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang fasik."
(Surah At-Taubah, ayat 23 - 24)
Ahli-ahli PAS yang ditarbiyah dan menerima hakikat tasawwurnya daripada ayat-ayat tersebut terus beristiqamah di atas landasan yang ditetapkan kepada mereka. Bai’ah lebih mewajibkan PAS tidak menukar Aqidah perjuangan Islamnya atau dicabar kedudukan islam yang wajib memimpin negara, pelaksanaan syariat boleh dihalang atau dipertikai sewenang-wenang, jati diri ummat Islam dicalarkan, walaupun beberapa pelaksanaannya berkait dengan perkara cabang syariat, memerlukan masa dan jadual yang panjang.

PAS memahami semuanya tidak terpisah daripada Aqidah, dasar dan matlamat Islam yang menyeluruh. Maka semua hubungan dan kerjasama PAS dengan semua pihak haram menjual perkara asas tersebut dengan segala harga dialam dunia ini, kerana kita percaya semuanya tidak laku di alam akhirat kelak. Sejarah PAS mencipta Dr Burhanudin Al-Helmy yang mencerai isterinya daripada Singapura kerana tidak bersedia datang ke semenanjung, bersamanya menjadi pemimpin, PAS mencipta Profesor Ahmad Ibrahim meninggalkan jawatan besar di Singapura, datang berkhidmat di Semenanjung dan lain-lain. Menunjukkan pegangan mereka kepada Bai’ah, yang tidak ada kepada kalangan yang berwawasan dunia tanpa akhirat, atau yang berpegang kepada konsep "Political Animal".

Ahli PAS yang terdahulu melihat semua akibat di alam dunia sebelum akhirat, sesiapa yang mengkhianati bai’ah yang lebih penting atau melanggar sumpah yang dianggap kecil tidak penting. Semuanya menjadi peristiwa yang menjadikan kami semua lebih beristiqamah di atas landasan perjuangan Islam dan matlamatnya. Kepada mereka yang niatnya bersama PAS sekadar bermalam di hotel atau jambatan pendek menyeberangi cita-cita dunianya atau sekadar menjadi penonton, diucapkan selamat tinggal. Jangan beratkan bahtera kami dan membazirkan tenaga ahli PAS yang besar dan kecil dan bekalan kami yang dibekalkan oleh kalangan yang termiskin lebih ramai daripada yang kaya-raya.

Ada pun yang berpura-pura dengan bai’ahnya, ketahuilah bahawa kami beriman kepada kalam Allah SWT :
"Sesungguhnya mereka yang berbai’ah denganmu (wahai Muhammad), sebenarnya mereka berbai’ah dengan Allah, tangan Allah (yang tidak sama dengan makhluknya) di atas tangan-tangan mereka (yang melafazkan bai’ah itu). Maka sesiapa yang mengkhianatinya maka dia menanggung akibat menimpa dirinya, dan sesiapa yang setia menunaikan janjinya (daripada bai’ah itu), maka Allah mengurniakan kepadanya ganjaran yang besar."
(Surah Al-Fath, ayat 10)
Perkara talak taklik sahaja mungkin boleh diusahakan di Mahkamah Qadi dengan sistem yang memisahkan politik daripada agama. Ada pun hukuman terhadap mereka yang mengkhianati bai’ah terserah kepada mahkamah Allah Yang Maha Adil lagi Bijaksana, sama ada hukuman dunia atau akhirat terserah kepada-Nya. Bukannya di mahkamah ciptaan manusia yang ramai peguamnya, ada yang baik dan ada yang buruk. Akhirnya, marilah bersama kita menghayati satu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Ahmad :

"Tiga orang, aku menjadi musuhnya di Hari Akhirat. Seorang yang membuat perjanjian atas namaku, lalu dia memungkirinya. Seorang lagi menjual orang merdeka (bukan hambanya), lalu dia memakan harganya dan seorang lagi mempekerjakan orang lain, lalu tidak membayar gajinya."

18 September 2015

Nilai Sebuah Janji Yang Dipegang

Berbicara tentang janji, bai'ah atau ta'at setia, tidaklah ia terlepas daripada melihat pandangan sisi Allah Ta'ala dan ibrah dari Sirah Nabi SAW. Janji bukanlah sesuatu perkara yang boleh dibuat sesuka hati, bahkan, ia boleh dituntut sekiranya tidak ditunaikan. Itulah nilai bagi sebuah janji yang telah dibuat.

Saya memetik sedikit penulisan daripada Sohibussamahah Al-Fadhil Dr. Ust. Zulkifli bin Mohammad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan, tentang perihal janji ini.

Kata beliau, antara perkara yang terpenting nilai manusia adalah prinsip dan mauqifnya yang tidak boleh digugat sementelahan lagi apabila mereka benar-benar di atas jalan yang lurus. Mereka cuba mencari mardhatillah melalui ilmu, hikmah dan juga ibadat serta iman yang tinggi kepada Tuhannya. Mereka beristiqamah dalam agama Islam dan kefahaman iman yang sebenar yang diresapi dengan keyakinan yang jitu. Dengan sebab itulah tidak pelik apabila mereka sanggup berjanji (melalui bai’ah) kepada Rasulullah SAW dalam apa jua keadaan sekalipun.

Pada zaman Nabi Muhammad SAW, apabila seseorang memeluk Islam, dia menghulurkan tangannya kepada baginda SAW dan berjanji untuk mendengar dan taat kepada baginda sebagai seorang Nabi dan pemerintah. Mungkin kita semua masih ingat Perjanjian Aqabah yang pertama dan kedua di Makkah, Perjanjian Bai'ah al-Ridhwan, begitu juga perjanjian taat setia beberapa orang sahabat kepada Nabi SAW ketika mereka memeluk Islam. 

Contohnya, ucapan Ubadah bin al-Somit ra yang berkata;
بَايَعْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِى الْعُسْرِ وَالْيُسْر،ِ وَالْمَنْشَطِ وَالْمَكْرَهِ، وَعَلَى أَثَرَةٍ عَلَيْنَا، وَعَلَى أَنْ لاَ نُنَازِعَ الأَمْرَ أَهْلَهُ، وَعَلَى أَنْ نَقُولَ بِالْحَقِّ أَيْنَمَا كُنَّا، لاَ نَخَافُ فِى اللَّهِ لَوْمَةَ لاَئِمٍ 
"Kami mengikat janji taat setia kepada Rasulullah saw untuk mendengar dan patuh ketika susah dan senang, ketika suka dan tidak suka, mengutamakan orang lain, tidak akan merampas kuasa daripada orang yang layak dan mengatakan yang benar walau di mana kami berada. Kami tidak akan rasa takut kepada celaan manusia dalam melaksanakan perintah Allah.”
- riwayat al-Bukhari (6774), Muslim (1709), Malik (2/445-446), al-Nasaie (7/137-138) dan Ibn Majah (2866)
Dalam buku Fi al-Diini al-Khalis, 3/137 Sadiq Hussin Khan mengatakan:
“Dalam hadis ini terdapat bukti yang menunjukkan bahawa meminta para sahabat melakukan baiah adalah sunnah, demikian juga bai'ah yang diberikan oleh para sahabat adalah sunnah. Menunaikan sunnah bai'ah adalah wajib dan mencabulinya dengan sengaja adalah maksiat.”
Dalam mentafsirkan hadis berkenaan Ibn Hajar mengatakan:
“Dalam keadaan yang kita sukai atau kita benci, yakni dalam keadaan kita cergas dan dalam keadaan kita lemah untuk melakukan apa yang diperintahkan.”
Al-Daudi pula mengatakan:
“Maksudnya ialah sesuatu yang kamu benci.”
Ibn al-Tin pula berkata:
“Yang jelas maksud beliau ialah pada waktu malas dan kesusahan.”
Ibnul Juzi al-Makki pula mengatakan:
“Kita tidak harus menentang kerajaan (maksud beliau kerajaan Islam) sekalipun mereka zalim hinggalah ternyata pada mereka itu kekufuran yang jelas. Ketaatan wajib diberikan kepada mereka baik dalam perkara yang digemari atau dibenci, kecualilah mereka memerintahkan perkara maksiat. Dalam keadaan ini tidak wajib taat kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah.”
Setelah kewafatan Nabi SAW, orang ramai mestilah menyatakan perjanjian taat setia kepada orang yang menjadi pengganti Baginda dalam menguruskan hal ehwal umat Islam, menjaga kepentingan mereka dan menjalankan urusan pentadbiran negara Islam. Ia adalah untuk menggambarkan bahawa mereka terus berjanji setia kepada Nabi Muhammad SAW dan terus mentaati Baginda melalui ketaatan kepada para khalifah yang dilantik selepas baginda.

Justeru, marilah sama-sama kita menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah yang mempunyai prinsip yang jelas dan sikap dengan watak sakhsiyyah Islamiyyah yang mithali.

PENUTUP

Kesimpulannya, dalam apa jua janji yang kita materikannya dengan kerelaan hati hendaklah kita tunaikan seperti:

1. Dalam janji kita sebagai pemimpin atau ketua jabatan.
2. Dalam janji kita sebagai penjawat awam.
3. Dalam janji kita sebagai pekerja.
4. Dalam janji kita sebagai suami atau isteri.
5. Dalam janji kita sebagai ibu bapa.
6. Dalam janji kita sebagai orang Islam dan beriman.

Semoga dengan semangat yang tinggi dalam menunaikan janji sudah tentu memberi pengenalan yang jelas bahawa orang yang dithiqahi oleh masyarakat dan diredhai oleh Allah. Ingatlah bahawa lembu dipegang dengan talinya sedangkan manusia dipegang dengan janjinya. Semoga amanah janji yang kita lafazkan dan azamkan itu kita ‘wafa’kan dan tunaikannya dalam kehidupan kita yang layak menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk dan hidayat kepada kita.

31 Julai 2015

Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) : Masalah Besar Bagi Sebuah Negara Berdaulat

Saya merujuk kepada mesyuarat peringkat Menteri dan ketua-ketua perunding berkenaan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) yang diadakan di Maui, Hawaii sejak 24 Julai 2014 dan berakhir pada hari ini. Difahamkan, TPPA adalah merupakan perjanjian perdagangan bebas multilateral yang sedang dirundingkan bersama 11 negara anggota, iaitu: Australia, Brunei, Canada, Chile, Japan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapore, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Namun, perjanjian yang terlalu berahsia ini bakal menimbulkan banyak tanda tanya, hingga menimbulkan berberapa persepsi negatif kepada rakyat. Ini ditambah pula dengan kritikan-kritikan penganalisis ekonomi tempatan, menyebabkan perjanjian yang bakal ditandatangani pada bulan Oktober atau November nanti bertukar menjadi 'mimpi ngeri' buat rakyat Malaysia.

Disebabkan kefahaman terhadap TPPA yang terlalu terhad, ditambah pula bahawa saya bukanlah seorang pakar dalam mengkaji 75 'garis merah' (red line) perjanjian tersebut, izinkan saya memetik berberapa penulisan dan artikel mengenai Perjanjian ini di dalam sebuah laman sesawang. Moga artikel yang saya kongsi di bawah sedikit sebanyak memberi manfaat, insha Allah.

Perjanjian TPPA: Sebuah Perjanjian 'Berat Sebelah' !

Perjanjian yang dikatakan ‘yang pertama seumpamanya’ ini, malangnya dilihat terlalu menyebelahi negara maju seperti Amerika, yang diterajui syarikat-syarikat konglomerat mereka. Ini sekaligus meminggirkan kepentingan negara-negara membangun seperti Malaysia. Di samping itu, dokumen serta perincian rundingan yang selama ini dirahsiakan, langsung tidak memberi peluang kepada kerajaan dan rakyat untuk menilai sejauh mana TPPA itu memberi manfaat secara keseluruhan.

Sebaliknya, hasil daripada analisa Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang lampau serta maklumat daripada beberapa dokumen TPPA yang bocor telah jelas menunjukkan, betapa banyaknya kekangan kepada mewujudkan perdagangan yang benar-benar bebas. Fakta yang lebih membimbangkan lagi ialah, apabila TPPA bakal menggunapakai sistem Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara atau dikenali dengan 'Investor to State Dispute Settlement' (ISDS), iaitu sebagai suatu kuasa mutlak 'mengatasi' kuasa Mahkamah Persekutuan sesuatu negara seperti Malaysia, yang akan menghukum mana-mana negara yang ingkar mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian TPPA tersebut.

Maka, tidak hairanlah apabila daripada 29 bab yang dirundingkan, hanya 6 bab sahaja yang benar-benar melibatkan isu-isu perdagangan, sekaligus mengukuhkan pandangan bahawa TPPA tidak ikhlas untuk memperjuangkan kesaksamaan dalam berdagang. Sebaliknya, ia hanya mahu memperkukuh kedudukan Amerika sebagai kuasa ekonomi dunia melalui sebuah perjanjian yang terancang. Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, dengan lebih 30 juta penduduk yang berbilang kaum, keputusan Malaysia untuk meneruskan rundingan TPPA tanpa justifikasi yang kukuh dan telus merupakan satu tindakan yang cukup besar risikonya.

Dengan bersandarkan kepada fakta bahawa sudah begitu banyak negara yang menjadi mangsa kepada perjanjian perdagangan versi Amerika, Malaysia sepatutnya tidak perlu terus berdegil untuk meneruskan rundingan. TPPA terbukti sebagai sebuah perjanjian yang zalim, yang akan membunuh berjuta nyawa apabila harga ubatan-ubatan (melalui perjanjian ini) bakal menjadi terlalu mahal. TPPA juga bakal membunuh jutaan lagi peniaga kecil, yang bakal kecundang dan berkubur di tangan syarikat-syarikat transnasional dengan keistimewaan tersendiri dan keupayaan modal berkali ganda. TPPA juga hanya akan meletakkan negara ini terjerumus jauh ke belakang apabila akses kepada maklumat dan ilmu disekat sewenang-wenangnya.

Pada akhirnya, rakyat Malaysia sendirilah yang akan terpaksa menanggung beban kegagalan TPPA, samada melalui kos sara hidup yang menjulang tinggi atau risiko negara disaman berbillion ringgit sekiranya tidak dapat memenuhi tuntutan-tuntutan melampau yang bakal dikuatkuasakan sebaik rundingan ini ditamatkan tidak berapa lama lagi. Malaysia tidak perlu kepada perjanjian zalim seperti TPPA untuk maju dan makmur, dan kita telah melakukannya sebelum ini dengan begitu berjaya.

Mana-mana petisyen yang dibuat sebagaimana di laman sesawang ini (#janganjualnegara) bakal menjadi testimoni penting kepada para perunding TPPA serta kerajaan Malaysia bahawa rakyat Malaysia tidak akan membiarkan kedaulatan negara ini dijualbeli dan mereka menolak TPPA sekeras-kerasnya!

Malaysia, Usah Ikut Telunjuk Pelabur Asing !

Antara 29 bab yang sedang dirundingkan dalam TPPA oleh Malaysia dan 11 negara lain, bab Pelaburan boleh dikatakan antara yang paling ‘mengerikan'. Ini adalah kerana peraturan di bawah bab ini memberi kelebihan melampau kepada pelabur luar sehingga membenarkan mereka mencabar dasar sesebuah kerajaan walaupun dasar itu dibuat bagi kepentingan awam, seperti peraturan dalam sektor kesihatan atau penjagaan alam sekitar.

Kita perlu belajar daripada Mexico yang telah melalui pengalaman ngeri ini daripada pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA), iaitu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang hampir serupa dengan TPPA, dan ditandatangani oleh negara Amerika Selatan itu, Kanada dan Amerika Syarikat (AS). 

Setakat ini, Mexico berdepan 14 kes saman bernilai berbilion ringgit daripada pelabur luar yang difailkan di bawah Bab 11 dalam NAFTA, iaitu peruntukan untuk melindungi pelabur luar dan memudahkan penyelesaian dalam pertelingkahan pelaburan. Satu contoh kes difailkan terhadap kerajaan Mexico melibatkan syarikat pengurusan sisa AS, Metalclad Corporation. Metalclad pada 1996 mengemukakan saman di tribunal NAFTA selepas kerajaan negeri San Luis Potos di Mexico enggan memberi kebenaran untuk syarikat itu membuka semula sebuah kilang pengurusan sisa selepas audit geologi menunjukkan kilang itu akan mencemarkan bekalan air penduduk tempatan.

Menurut Metalclad, tindakan kerajaan Mexico itu melanggar Bab 11 dalam NAFTA dan ‘merampas keuntungan syarikat’ atau ekspropriasi. Syarikat itu menuntut AS$90 juta (RM330 juta) pampasan. Tribunal itu membuat keputusan menyebelahi Metalclad dan mengarahkan Mexico membayar pampasan AS$16.7 juta (RM61 juta). Dan kini, bab Pelaburan yang diusulkan dalam TPPA oleh AS menggunakan acuan sama seperti NAFTA, iaitu memberikan perlindungan melampau kepada pelabur luar. Kerajaan Australia pula disaman British American Tobacco (BTA, pengeluar rokok jenama Dunhill) pada 2012 kerana memperkenalkan undang-undang - berdasarkan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia - yang mengharuskan syarikat tembakau menggunakan pembungkusan biasa (plain packaging) tanpa iklan dan jenama untuk menghalang lebih ramai rakyatnya meninggal dunia akibat tabiat merokok.

Bagaimanapun, tindakan kerajaan Australia itu dianggap BTA sebagai melanggar hak mereka di mana harta intelektual (iaitu jenama dan tanda dagangan atau ‘trademark’) mereka seolah-olah dirampas tanpa pampasan. Walaupun tewas di mahkamah Australia, syarikat gergasi itu masih meneruskan kempen untuk menghalang negara lain dari melakukan perkara sama seperti Australia. Dengan menggunakan kes ini sebagai rujukan, Philip Morris International pula memfailkan saman terhadap kerajaan Australia, bukan di mahkamah Australia, tetapi di mahkamah antarabangsa dengan menggunakan mekanisma ISDS.

Mekanisma ini membolehkan syarikat antarabangsa mendapatkan pampasan besar dari sesebuah negara yang memperkenalkan undang-undang yang dirasakan merugikan pihaknya. Kes ini masih berjalan. Jadi, jika Malaysia menandatangani TPPA, kita juga mungkin menerima kesan sama seperti Mexico dan Australia. Dasar afirmatif seperti keistimewaan kepada Bumiputera yang diamalkan Malaysia juga boleh dipertikaikan di bawah TPPA. Selain itu, bab pelaburan yang dicadangkan AS juga memberikan pelabur asing hak untuk mencabar negara TPPA yang cuba atau telah memperkenalkan kawalan modal atau peraturan kewangan lain yang tujuannya semata-mata untuk memastikan kestabilan ekonomi kepada negara.

Malaysia memperkenalkan kawalan modal selepas kegawatan ekonomi pada 1997 apabila Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyedari krisis kewangan itu berpunca daripada konspirasi penyangak matawang sehingga hampir meruntuhkan ekonomi negara. Di bawah TPPA, jika kita menandatangani versi yang sedang dirundingkan kini, tidak mungkin kita dapat melindungi ekonomi kita menggunakan cara sama jika ia sekali lagi diserang penyangak mata wang, sekali gus mendedahkan negara kepada manipulasi dunia kewangan yang semakin canggih hari ini.

Kebimbangan terhadap perkara ini menyebabkan lebih 100 pakar ekonomi dari sekitar Asia Pasifik dalam surat pada 2012 memberi amaran kepada kerajaan masing-masing mengenai bahaya peruntukan dalam perjanjian itu terutama isu kawalan modal. Dalam bab Perkhidmatan Kewangan di bawah TPPA pula, terdapat kebimbangan yang peruntukannya akan memaksa Malaysia membenarkan kemasukan bank luar tanpa sebarang kekangan.

Mengikut kertas kerja Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 2006, kehadiran bank gergasi di negara membangun akan menyebabkan penurunan dalam pinjaman kepada sektor swasta kerana bank besar lebih gemarkan syarikat multinasional dan firma besar daripada memberikan pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana. Jadi akhirnya, kehadiran bank asing mempunyai akan memburukkan lagi ketidaksamaan dalam kebajikan rakyat.

Bagi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), bab Pelaburan ini tidak perlu ada sama sekali dalam TPPA. Jika ada pun, definisi ‘pelaburan’ itu perlu diperjelaskan, dan perlu terhad kepada sesetengah projek sahaja. Selain itu, TPPA juga tidak patut menentukan peraturan dalam aliran modal di mana-mana negara, dan kita juga perlu dibenarkan menentukan sendiri cara kerajaan melayan pelabur luar dan syarikat domestik. Peruntukan untuk layanan adil dan sama rata juga tidak perlu ada dalam TPPA.

Perlu diakui pemain industri dalam negara memerlukan perlindungan kerajaan daripada diratah hidup-hidup oleh firma gergasi antarabangsa yang hanya menunggu masa untuk menerkam kita! Duit atau daulat: Mana pilihan kita? Minggu lalu, kita telah bercakap mengenai bab Pelaburan di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), termasuk bagaimana Malaysia boleh disaman oleh syarikat luar di tribunal antarabangsa jika kerajaan kita bertegas mahu menyertainya. ‘Keistimewaan’ diberikan TPP kepada pelabur untuk memfailkan saman terhadap negara di mana mereka beroperasi diletakkan di bawah peruntukan ISDS.

Tidak hairanlah jika syarikat multinasional kini berusaha ingin memastikan ISDS dimasukkan dalam teks akhir TPP yang akan ditandatangani negara peserta termasuk Malaysia. ISDS membenarkan pelabur luar mencabar mana-mana tindakan kerajaan walaupun ia adalah undang- undang, peraturan atau keputusan mahkamah yang dibuat demi kepentingan awam jika apa yang diputuskan kerajaan itu telah atau akan menjejaskan pelaburan atau keuntungan syarikat. Perbicaraan kes di bawah ISDS pula akan dibuat di tribunal antarabangsa, di mana undang-undang dan sistem kehakiman Malaysia tidak dapat diguna pakai. Mungkin contoh paling sesuai dan mudah difahami mengenai ISDS dalam konteks Malaysia ialah kes di antara kerajaan Afrika Selatan dan sekumpulan syarikat Eropah.

Sama seperti Dasar Ekonomi Baru di Malaysia, Afrika Selatan juga mempunyai dasar afirmatif digelar Pemerkasaan Ekonomi Rakyat Kulit Hitam (Black Economic Empowerment, BEE), susulan penamatan dasar aparteid di negara itu pada awal 1990-an. Program BEE ini menjadi fokus paling penting dalam mana-mana dasar untuk menyeimbangkan ketidaksamaan antara kaum dalam ekonomi negara itu, sama seperti dasar Bumiputera di Malaysia.

Pada 2004, kerajaan negara itu menguatkuasakan Akta Pembangunan Sumber Petroleum dan Mineral yang memerlukan semua syarikat perlombongan mendapatkan semula lesen mereka. Untuk mendapatkan lesen baharu di bawah akta ini, kerajaan negara itu menetapkan supaya lebih banyak pegangan saham dalam syarikat perlombongan dipindahkan kepada pelabur kulit hitam serta perlu ada usaha daripada syarikat luar untuk meningkatkan peratusan rakyat kulit hitam Afrika Selatan dalam jawatan pengurusan.

Namun, kerajaan Afrika Selatan terheret dalam kes ISDS di mahkamah antarabangsa apabila sekumpulan syarikat Eropah yang terlibat dalam industri perlombongan di negara itu memfailkan tuntutan kepada Pusat Antarabangsa untuk Penyelesaian bagi Pertelingkahan Pelaburan pada 2007. Kumpulan syarikat itu menuduh Afrika Selatan mencabuli hak perlindungan terhadap pelabur asing seperti terkandung dalam perjanjian antara negara itu dengan Itali, Belgium dan Luxembourg.

Menurut mereka, syarat untuk mendapatkan lesen baharu yang dikenakan Afrika Selatan melanggar kewajipan Afrika Selatan untuk memberikan layanan adil dan sama rata kepada semua pelabur luar seperti ditetapkan dalam perjanjian perdagangan itu. Kes itu selesai pada 2010 dengan Afrika Selatan terpaksa memberi kelonggaran yang besar kepada pelabur untuk tidak mengikut sepenuhnya syarat ditetapkan di bawah program BEE. Mengambil teladan dari kes ini, kerajaan Afrika Selatan mula menilai kembali perjanjian-perjanjian lain yang didapati tidak menguntungkan rakyat dan negara mereka dan bertindak untuk lebih berhati-hati di masa hadapan.

Mengikut amalan biasa, pelabur perlu membawa kes mereka ke pelbagai peringkat mahkamah domestik terlebih dahulu dan jika gagal, barulah mereka boleh membawanya ke tribunal antarabangsa; tetapi di bawah TPPA, kes boleh dibawa terus ke tribunal antarabangsa. Bukan itu sahaja, sistem yang ingin digunakan di bawah ISDS juga berat sebelah apabila tribunal antarabangsa hanya membenarkan pelabur membawa kes itu ke mahkamah manakala kerajaan sesebuah negara tidak boleh membawa tuntutan ISDS ke tribunal itu jika ada pelabur melanggar peraturan kerajaan.

Selain itu, sistem ISDS yang membolehkan pelabur luar dianugerahkan pampasan bernilai berbilion ringgit oleh tribunal antarabangsa akan menimbulkan ‘kegerunan’ di pihak kerajaan yang memikirkan mereka mungkin terpaksa membayar wang yang banyak kepada syarikat luar. Pengkritik sistem ini berpendapat, ISDS akan menyebabkan ada kerajaan sanggup mengetepikan dasar untuk kepentingan awam dan tidak mahu mengubah dasar sedia ada semata-mata kerana takut disaman oleh pelabur luar. Lebih membimbangkan, kemenangan dan ganjaran diputuskan tribunal antarabangsa ini tidak boleh disemak semula (selain jika terdapat kesilapan dalam penghakiman atau ketidakadilan yang serius dari segi prosedur) sama ada oleh tribunal itu sendiri atau oleh mahkamah di mana-mana negara.

Dasar kerajaan Malaysia untuk meningkatkan daya ekonomi rakyatnya berdasarkan realiti kepelbagaian kaum di negara ini bertujuan untuk membina suasana yang harmonis agar syarikat antarabangsa dapat membuat pelaburan di negara ini dengan aman. Malaysia tidak perlu mengikut telunjuk negara luar. Di dalam proses perundingan TPP, pihak kerajaan perlu tegas dalam mempertahankan dasar-dasar yang unik kepada Malaysia. Kumpulan perunding bagi pihak Malaysia perlu memastikan mekanisma ISDS tidak dimasukkan di dalam Bab Pelaburan kerana ia akan menyebabkan kerajaan terdedah kepada tindakan mahkamah oleh pelabur luar dari negara TPP, terutama AS, yang akan menghalang kerajaan dari melaksanakan dasar bagi kepentingan awam yang dirasakan akan menyusahkan mereka.

Kepentingan rakyat perlu diutamakan, terutama sekali di dalam perlaksanaan dasar afirmatif untuk mengimbangi keadaan sosio-ekonomi kaum- kaum di Malaysia. Oleh itu, kerajaan perlu memilih mana yang lebih penting: Kemasukan pelaburan yang banyak melalui firma asing atau kedaulatan serta hak negara untuk menentukan sendiri dasar yang terbaik bagi rakyat Malaysia.

Hak Cipta

Pihak Amerika sedang mencadangkan bahawa hak intelek seperti penulisan buku dilanjutkan tempoh hak ciptanya dari 50 tahun ke 140 tahun!

Ini bermaksud sesebuah buku yang ditulis oleh penulis asal tidak boleh dicetak semula/difotostat semula tanpa kebenaran pemegang hakcipta asal tersebut dengan membayar royalti untuk karya tersebut. Jika pemegang hakcipta (penulis) merupakan seorang individu, tempoh hakcipta akan berlangsung untuk tempoh hayatnya tambah 70 tahun selepas kematian individu tersebut. Ini bermaksud hasil tulisan tersebut hanya dapat digunakan oleh pelajar (tanpa apajua royalty) selepas 140 tahun! (iaitu 70 tahun tempoh hayat seseorang + 70 tahun lanjutan hakcipta).

Kini Perbadanan Harta Intelek Malaysia hanya memperuntukkan 50 tahun tempoh hakcipta sah selepas kematian pengarang /pencipta asal sesebuah karya. Jika TPPA ditandatangani, maka Malaysia juga akan dipaksa untuk mengubah tempoh hakciptanya ke 70 tahun selepas kematian pengarang . Jika hakcipta dipunyai oleh sesebuah badan swasta (bukan individu) tempoh hakciptanya ialah 95 tahun selepas penerbitan yang pertama !

Jika perjanjian TPPA ini ditandatangani oleh Malaysia maka akses maklumat akan terbantut kerana pemerolehan buku-buku teks rujukan pelajar sekolah dan university tidak boleh diperolehi dari sumber ketiga . Ianya akan dihalang daripada dicetak semula atau difotostat dengan kos yang murah . Para pelajar sekolah dan mahasiswa terpaksa membeli buku sedemikian dengan harga tinggi beratusan ringgit daripada penerbit asal. Tuntutan sedemikian oleh TPPA hanya memberikan hak ekslusif kepada pemilik hakcipta untuk mengaut keuntungan daripada karya-karya kreatif .

Biasanya hak ini disalahgunakan dimana ia menyekat penyebaran informasi ,budaya dan pengetahuan umum yang penting daripada rakyat . Lanjutan tempoh hakcipta melebihi hayat pencipta karya tidak sebenarnya menjaga kepentingan pencipta tersebut ataupun mengalakan beliau menghasilkan lebih banyak karya. Ia hanya untuk menguntungkan syarikat-syarikat penerbit yang mengeluarkan hasil karya tersebut secara berterusan walaupun penulis tersebut tidak ada lagi dimuka bumi ini .

Rujukan perpustakaan juga bakal terjejas. Perlanjutan tempoh hakcipta ini juga akan memberi kesan kepada program pendigitalan di perpustakaan, yang boleh menyebabkan banyak hasil kerja yang telah di digitalkan untuk akses orang awam dibuang dari simpanan data, menghadkan penggunaan semula atau penggunaan kerja yang sepatutnya bebas hakcipta Meningkatkan harga barangan perpustakaan; sekaligus kepada pengurangan pembelian buku-buku oleh perpustakaan. Bukan sahaja perpustakaan yang akan menerima kesannya, malah yang turut terjejas sama adalah orang awam serta para pelajar, misalnya mereka yang mahu membuat salinan fotokopi untuk buku teks.

Pada tahun 2012 , pertubuhan The International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA) , sebuahbadan antarabangsa yang mewakili kepentingan perpustakaan dan informasi dari seluruh dunia juga membidas perjanjian TPPA ini . IFLA berpendapat bahawa walaupun hak pencipta karya asal harus di jaga tetapi ianya perlu diimbangi oleh kebolehan rakyat jelata untuk mengakses maklumat tersebut tanpa apajua sekatan IFLA amat risau tentang implikasi TPPA keatas hak asasi ini , dengan lanjutan tempoh hakcipta . Dengan jelas ianya tidak mengimbangi keperluan akses maklumat untuk rakyat jelata.

Perjanjian Rahsia !

Oleh kerana segala dokumen perbincangan rundingan TPPA/FTA ini diantara Malaysia dan Amerika diadakan dalam bilik tertutup dan dikawal oleh persefahaman rahsia , maka rakyat Malaysia langsung tidak mengetahui samada bab Hak Cipta Intelek ini telah dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia dalam perjanjian ini . Kami hanya menerima makluman melalui beberapa teks yang dibocorkan daripada rundingan ini, dimana ianya jelas menyatakan hasrat Amerika Syarikat menuntut lanjutan tempoh hak cipta.

Dengan menandatangani perjanjian ini, maka syarikat-syarikat penerbit akan diberikan lebih kuasa untuk menyaman sesiapa yang fotostat, muatnaik dalam internet atau membuat salinan dalam apajua cara sekali pun suatu buku atau hasil karya tanpa kebenaran penerbit hak cipta terpelihara tersebut . Perjanjian ini juga boleh diperluaskan untuk menghalang kemasukan buku dari negara ketiga . Iaitu suatu buku yang ditulis dan diterbitkan di Amerika tidak juga boleh diimport jika ianya dicetak semula di Vietnam contohnya. Justeru itu kami para mahasiswa, pelajar dan anak muda membantah apajua lanjutan tempoh hak cipta intelek sepertimana yang dituntut oleh Amerika dalam perjanjian TPPA ini. Kerajaan harus menyatakan dengan telus apakah perkara yang dibincangkan dalam TPPA ini dan memaklumkan kepada rakyat Malaysia isu –isu yang telah dipersetujuinya sehingga kini.

Kami menuntut semua anak muda dan pelajar untuk bangkit membantah rundingan ini yang akan menjejaskan masa depan para pelajar di negara ini. Siapa mahu bayar ubat mahal? Tiada siapa dapat nafikan kos sara hidup di Malaysia sejak kebelakangan ini melonjak tinggi disebabkan pelbagai faktor. Apa yang membimbangkan, kos ini mungkin terus meningkat jika kerajaan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dikhabarkan akan dimuktamadkan tahun ini. Ini disebabkan bab Hak Harta Intelek (IPR) yang dimasukkan dalam TPPA oleh Amerika Syarikat (AS), arkitek utama perjanjian itu. Begitu serius impak bab IPR ini sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pernah menyebutnya semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Bali, Indonesia pada Oktober 2013 seperti dilaporkan media:
“Apabila (rundingan TPPA) mula memasuki bab hak harta intelek, penyelesaian pelabur-negara, syarikat milik kerajaan, alam sekitar dan buruh, secara asasnya ada kesan kepada hak negara berdaulat untuk membuat peraturan dan dasar,”
Beliau juga turut mengakui TPPA bukanlah perjanjian normal seperti ditandatangani Malaysia sebelum ini.

Ubat-ubatan Yang Mahal

Antara kesan terbesar IPR adalah pada harga ubat-ubatan. Pada masa ini, setiap ubat dikeluarkan syarikat farmasi mempunyai tempoh hak cipta atau paten selama 20 tahun. Hak cipta ini memberikan kuasa eksklusif atau monopoli kepada syarikat farmasi untuk mengeluarkan dan mengimport ubat sekali gus memastikan keuntungan disalurkan kepada mereka. Ya kita faham syarikat farmasi melaburkan wang yang banyak untuk menghasilkan setiap jenis ubat. Tetapi adakah syarikat farmasi benar-benar ingin mendapatkan pulangan munasabah daripada pelaburan mereka atau hanya mahukan keuntungan melampau apabila sebuah syarikat farmasi popular AS mencatatkan margin keuntungan 42 peratus pada 2013, iaitu tertinggi bagi mana-mana sektor dalam ekonomi, seperti dilaporkan BBC.

Malah margin keuntungan industri farmaseutikal juga dua kali ganda lebih tinggi daripada sektor minyak dan gas pada 2013, menurut kajian Forbes. Syarikat farmasi AS dilihat mahu terus memastikan mereka mendapat keuntungan melampau ini dengan meminta kerajaan AS memastikan tempoh paten dipanjangkan di bawah TPPA bagi mengelakkan syarikat kecil lain menghasilkan dan menjual ubat mereka dengan murah. Ini kerana sebaik tempoh paten tamat, syarikat tempatan boleh mengambil ‘resipi’ ubat itu daripada pihak berkuasa kesihatan dan menghasilkan ubat generik dengan komposisi kimia dan kualiti sama seperti ubat asal.

Ubat generik dapat dijual dengan murah kerana syarikat tempatan tidak perlu lagi menjalankan penyelidikan yang memakan kos jutaan ringgit seperti dilakukan syarikat asal. Penghasilan ubat generik dipersetujui masyarakat antarabangsa bagi memastikan semua orang terutama yang berpendapatan rendah mempunyai akses kepada ubat yang murah. Jadi lebih cepat versi generik sejenis ubat itu dapat dikeluarkan, lebih ramai orang yang akan mendapat manfaatnya kerana pakar kesihatan di Malaysia mendapati ubat yang dipatenkan boleh mencecah 1,044 peratus lebih mahal berbanding versi generiknya di Malaysia.

Kajian MTEM menunjukkan TPPA akan menaikkan harga ubat-ubatan 60 hingga 80 peratus lebih tinggi berbanding sekarang. Harga ubat yang semakin mahal akan menyebabkan lebih ramai orang ke hospital kerajaan, menyebabkan kesesakan melampau dan melonjakkan kos pembelian ubat oleh kerajaan Malaysia sendiri. Ketidaksenangan terhadap bab IPR dalam TPPA pernah disuarakan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menentang pelanjutan tempoh paten dan meminta kerajaan lebih telus dalam memaklumkan kepada rakyat mengenai kesan TPPA.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam pula pada Mac lalu di Parlimen menegaskan Malaysia tidak boleh menyokong sebarang langkah yang akan menghalang akses rakyat kepada ubat generik yang selama ini telah melindungi rakyat dan memastikan harga ubat terkawal. Kemasukan bab IPR yang mengikat secara undang-undang dalam perjanjian perdagangan ini adalah isu yang sangat kontroversi dan pakar ekonomi termasuk penerima Hadiah Nobel, Prof Joseph Stiglitz menentang keras tindakan ini. Dalam satu forum di New York awal tahun ini, Stiglitz berkata negara membangun seperti Malaysia yang terlibat dalam TPPA akan menanggung lebih banyak kerugian di bawah bab IPR jika cadangan yang diusulkan AS diterima.

Katanya, cadangan itu akan memberi kuasa melampau kepada syarikat farmasi gergasi untuk menghalang pengeluaran dan bekalan ubat daripada pesaing mereka, iaitu syarikat ubat generik. Katanya juga:
“Kami (AS) negara kaya tetapi banyak negara TPPA lain tidak begitu kaya dan jika (perjanjian) ini diteruskan, orang akan mati dan bajet (kesihatan) akan melonjak. Jadi masalah ini lebih besar kepada mereka (negara membangun dalam TPPA) berbanding AS,”
Namun AS, negara asal banyak syarikat farmasi gergasi, tidak kisah sama ada rakyat kita mampu membeli ubat atau tidak. Berdasarkan draf rundingan bab IPR dalam TPPA yang dibocorkan sebelum ini, AS mencadangkan tempoh hak cipta itu dipanjangkan selain ingin memperkenalkan 12 langkah yang akan menaikkan harga ubat di pasaran. Objektif mereka hanya satu iaitu memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada syarikat farmasi AS yang sudah pun merekodkan untung berbilion ringgit. Ini meletakkan nyawa jutaan rakyat Malaysia terutama yang berpendapatan rendah dalam bahaya. Adakah ini perjanjian yang kerajaan ingin tandatangani, yang memberi risiko kepada rakyat Malaysia?

Peluang Pekerjaan

Adalah lebih baik sekiranya Malaysia keluar dari Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) sebelum terikat dalam perjanjian yang bakal mengancam generasi masa hadapan.

Justeru, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dalam satu kenyataan menggesa kerajaan menilai kembali penglibatan negara dalam TPPA. “Ini adalah untuk melindungi kepentingan graduan dan anak muda. Ianya juga dapat mengelakkan berlakunya gejala sosial yang meruncing kerana pengangguran anak muda,” tambah kenyataan itu, sebagaimana di bawah. PKPIM mengikuti secara minat mengenai penglibatan Malaysia dalam TPPA.

Penglibatan negara sejak tahun 2010 bakal melalui siri rundingan yang ke-18 di Sabah dan dijangka akan ditandatangani seawal bulan Oktober ini. Kami melahirkan kebimbangan kerana perjanjian yang penting ini tidak dibincangkan isi kandungannya kepada masyarakat awam. Kami tidak bersetuju dengan pendekatan ‘kerajaan sentiasa betul’ dan memaksakan kepada rakyat Malaysia satu perjanjian yang sangat diragui. Ini kerana kami sudah menyelidik pelbagai bantahan baik dari dalam atau luar dan ternyata TPPA ini lebih banyak mendatangkan keburukan baik dari sudut ekonomi, politik dan sosial. PKPIM mahu kerajaan memberi perhatian berkenaan klausa dalam perjanjian di mana rakyat negara asing yang juga terlibat dalam TPPA boleh bekerja di Malaysia tanpa sekatan. Malah syarikat antarabangsa juga boleh mengambil pekerja asing tanpa perlu memenuhi kuota pekerja tempatan seperti yang dikenakan kepada mereka sebelum ini.

Perjanjian ini bakal memburukkan lagi situasi pengangguran di Malaysia di kalangan graduan universiti. Ini kerana sukar bagi mereka bersaing dengan pekerja asing yang sanggup dibayar gaji yang lebih murah. Malah pekerja asing yang lebih mahir dan berpengalaman dari negara maju dalam TPPA juga bakal merampas peluang pekerjaan daripada pekerja mahir tempatan. Kami juga tidak bersetuju dengan pandangan bahawa orang Malaysia juga boleh bekerja di negara lain kerana hakikatnya majoriti graduan mahu bekerja di dalam negara dan mahu berkhidmat demi kemajuan negara tercinta ini. Oleh itu, PKPIM menggesa kerajaan menilai kembali penglibatan negara dalam TPPA. Ini adalah untuk melindungi kepentingan graduan dan anak muda. Ianya juga dapat mengelakkan berlakunya gejala sosial yang meruncing kerana pengangguran anak muda.

Adalah lebih baik sekiranya Malaysia keluar dari TPPA sebelum terikat dalam perjanjian yang bakal mengancam generasi masa hadapan. Siapa patut dapat kontrak kerajaan? Adakah tender untuk membekalkan barang dan perkhidmatan kepada kerajaan serta kontrak untuk membina kemudahan awam di negara ini perlu dibuka sepenuhnya kepada syarikat luar negara? Ini antara perdebatan utama mengenai bab Perolehan Kerajaan di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang kini dirundingkan Malaysia bersama-sama Amerika Syarikat (AS) dan 10 negara lain. Perolehan kerajaan adalah isu amat sensitif kerana ia sebenarnya satu bentuk perniagaan yang bernilai trilion ringgit, menjadikannya lubuk pendapatan kepada mana-mana syarikat.

Sebahagian besar pendapatan negara membangun secara puratanya adalah daripada perbelanjaan kerajaan pusat yang membeli barangan, membayar pelbagai jenis perkhidmatan dan membiayai bermacam-macam projek daripada membina sekolah dan jalan raya kepada empangan mega dan kompleks industri bernilai berbilion ringgit. Sebab itulah negara maju seperti AS kini memasukkan bab Perolehan Kerajaan dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang diusulkan mereka, bagi menetapkan peraturan dalam bidang perolehan kerajaan bagi memudahkan mereka menyelusup masuk ke dalam bidang lumayan itu. Ini jugalah yang sedang berlaku dalam TPPA. Perjanjian bercita-cita tinggi itu mahu menentukan apa jenis syarat yang boleh dan tidak boleh dikenakan kepada pembekal yang berminat mahu membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada kerajaan.

Malah banyak prosedur baru perlu diikuti kerajaan di bawah TPPA, contohnya menetapkan jenis prosedur tender yang perlu diikuti dan mewajibkan negara menubuhkan institusi penilaian bebas untuk membolehkan pembekal mencabar keputusan kerajaan dalam penganugerahan kontrak. TPPA mengikut acuan AS juga memberikan definisi meluas terhadap perolehan kerajaan termasuk pelbagai peringkat kerajaan seperti pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan serta pelbagai jenis perniagaan milik kerajaan.

Contohnya, FTA antara AS-Chile menyebut salah satu daripada matlamat bab Perolehan Kerajaan ialah untuk memberikan akses menyeluruh tanpa diskriminasi kepada syarikat luar negara untuk menembusi pasaran perolehan kerajaan dengan membuang halangan terhadap syarikat luar negara untuk membekalkan barang dan perkhidmatan, termasuk perkhidmatan pembinaan kepada kerajaan. Selalunya syarikat antarabangsa hanya akan dipelawa untuk membuat bidaan bagi kontrak kerajaan jika barangan dan perkhidmatan yang diperlukan tidak ada di dalam negara. Mungkin ada yang berpendapat keterbukaan dalam tender kerajaan adalah sesuatu yang baik, kerana kita selalu dengar cerita-cerita tender dan kontrak kerajaan ini diperdebat dalam Parlimen atau dikritik pembangkang serta NGO.

Namun dalam banyak kritikan yang kita dengar termasuk dari pembangkang, tiada siapa pun yang menafikan sistem perolehan kerajaan adalah hak kita sendiri sebagai negara berdaulat untuk tentukan.Hakikatnya, perolehan kerajaan merupakan alat ekonomi, sosial dan politik paling penting dalam sesebuah dasar kerajaan dan perlu dikawal ketat bagi mencapai matlamat negara itu sendiri, sama ada dari sudut ekonomi atau sosial. Sebab itu kebanyakan negara mempunyai garis panduan yang melebihkan penganugerahan projek kepada syarikat tempatan. Selain itu, perolehan kerajaan juga digunakan untuk memperluaskan peluang kepada perniagaan tempatan, seperti penggunaan bank tempatan di dalam perniagaan kerajaan. Malaysia juga menggunakan perolehan kerajaan sebagai alat penting dalam meningkatkan peluang komuniti Bumiputera, terutama dalam kontrak pembinaan seperti tertakluk di bawah Dasar Ekonomi Baharu dan dasar serupa selepasnya bagi menjamin kestabilan sosial dan politik.

Namun di bawah FTA yang diusulkan AS, semua ini akan berubah kerana AS mahu memastikan tiada sebarang kelebihan diberikan kepada syarikat tempatan atau mana-mana kaum di dalam negara ini. Dalam FTA antara negara maju dan membangun seperti TPPA, sudah tentu negara maju boleh mengambil lebih kesempatan daripada akses kepada pasaran perolehan kerajaan ini kerana mereka mempunyai kemampuan lebih tinggi. Adakah syarikat Malaysia boleh menembusi pasaran kerajaan AS pada tahap yang sama syarikat AS boleh menembusi pasaran kerajaan Malaysia, secara logiknya? Jadi peraturan dalam TPPA itu sendiri akan menimbulkan ketidakstabilan antara negara peserta.

Apa yang kami cadangkan ialah tidak perlu dimasukkan sama sekali bab Perolehan Kerajaan ini di dalam TPPA. Namun jika kerajaan tetap mahu ia dimasukkan, ia mesti mengandungi peruntukan atau pengecualian yang membolehkan Malaysia mengekalkan dasar membenarkan layanan lebih kepada syarikat tempatan dan kaum tertentu, mengikut matlamat negara.Nilai ambang (threshold) yang ditetapkan untuk sesuatu projek pula perlu cukup tinggi bagi memastikan projek-projek kecil yang menjadi sumber pendapatan perniagaan kecil dan sederhana di Malaysia tidak dilahap oleh syarikat luar.

Perolehan kerajaan di tahap kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan syarikat milik kerajaan (GLC) tidak patut disentuh langsung dalam TPPA dan jumlah kontrak kerajaan yang perlu dibuka oleh Malaysia mestilah kurang daripada negara maju. Disebabkan perolehan kerajaan adalah alat penting untuk pembangunan ekonomi dan negara, adalah amat mustahak bagi negara membangun untuk mengekalkan kuasa autonomi penuh dan memiliki fleksibiliti terhadap dasar berkaitan perolehan kerajaan.

13 Julai 2015

Sikap Ahli PAS Terhadap Krisis Dalaman

Sejarah telah lama memberi ibrah (pengajaran) mengenai krisis dalaman sesuatu Jama'ah Islam. Malah, ia bukanlah sesuatu perkara kontemporari, tetapi, ia telah wujud sejak zaman Nabi SAW lagi. Sebagai seorang amilin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang ditarbiyah secara sistematik, permasalahan yang berlaku tidak mampu menggugat istiqamah kami sedikitpun atas kehendak Allah Ta'ala. Moga kita semua tetap teguh dengan pendirian kita, demi meletakkan Islam di tempat yang tertinggi, insha Allah.

Isu penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Mohamad bin Sabu, bekas Timbalan Presiden PAS, merupakan sebuah krisis yang telah lama 'tidur', tetapi 'dikejutkan' oleh segolongan 'umat'. Bahkan, bagi mereka yang mengetahui perancangan ini sejak sekian lama, permasalahan ini memberi kegembiraan kepada ahli PAS yang terus beristiqamah dan mendokong kepimpinan ulamak. Mana tidaknya, kewujudan GHB ini dilihat satu proses pemutihan secara besar-besaran, yang semestinya berlaku dengan takdir yang ditentukan oleh Allah Ta'ala.

Di sini, saya kongsikan sebuah artikel tarbiyah ditulis oleh Al-Fadhil Ustaz Marwan bin Shukrimun, seorang ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus untuk renungan kita bersama. Moga ada sedikit kefahaman sirah nubuwwah dan sirah zaman sahabat Nabi SAW kepada kita dalam menyelusuri isu yang berlaku pada hari ini.

SIKAP PENGIKUT DALAM KRISIS JAMA'AH ISLAM
Oleh: Al-Fadhil Ustaz Marwan bin Shukrimun [Exco Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus]

Mehnah dan tribulasi sering wujud dalam perjuangan para Nabi dan Rasul. Persoalannya, bagaimanakah sejarah perjuangan mereka itu turut mengajar kita tentang sikap yang sepatutnya dipamerkan sebagai pengikut sekaligus mewarisi perjuangan mereka.

Krisis Perang Tabuk

Selepas Perang Tabuk, tiga orang sahabat Nabi iaitu Murarah bin Rabi’, Hilal bin Umayyah dan Ka’ab bin Malik dijatuhkan hukuman pulau oleh Rasulullah SAW kerana tidak mematuhi arahan untuk keluar berperang.

Walaupun ketiadaan mereka tidaklah memberi kesan besar dalam peperangan tersebut, bahkan peperangan tersebut sebenarnya tidak pun berlaku, tetapi keberangkatan tentera Muslimin adalah bertujuan untuk berjaga-jaga andainya benar musuh-musuh Islam sedang menunggu di Tabuk. Kepulangan tentera Islam dari Tabuk ke Madinah dalam situasi tidak berperang, namun hukuman tetap dikenakan terhadap tiga orang sahabat ini bertujuan untuk mendidik para sahabat lain bahawa pentingnya soal mematuhi arahan.

Apabila Rasulullah SAW memerintahkan mereka bertiga dipulaukan dari Jama'ah Islam, semua sahabat akur tanpa bantahan. Walaupun ada di kalangan mereka adalah rakan karib, teman rapat dan seumpamanya, tetapi arahan Rasulullah SAW tetap dipatuhi. Ketiga-tiga orang itu langsung tidak ditegur oleh sesiapa. Mereka ke pasar, tiada yang mahu berurus niaga. Apabila bertemu, senyuman pun tidak diberikan. Rasulullah SAW juga enggan bersemuka dengan mereka setiap kali terserempak, termasuklah arahan agar mereka berjauhan dengan isteri sebagai hukumannya. Hubungan antara manusia, bahkan suami isteri sekalipun tidak dianggap lebih tinggi daripada arahan sebuah kepimpinan Islam yang ditunjangi Rasulullah SAW.

Walaupun ada yang merasa sedih, rasa keterlaluan dengan sikap pemulauan itu, arahan tetap arahan. Kemudian turunlah wahyu supaya pemulauan tersebut ditamatkan. Allah mengetahui mereka sudah insaf dengan perbuatannya. Para sahabat yang mendapat tahu berita pengampunan itu pantas berlari berjumpa ketiga-tiga orang sahabat yang dihukum itu untuk memaklumkan khabar gembira tersebut. Justeru kepatuhan para sahabat, maka anasir-anasir gangguan seperti melanggar keputusan pimpinan berjaya dirawat, seterusnya jamaah Islam berjaya dipertahankan.

Krisis Pengingkar-pengingkar Zakat

Zaman kekhalifahan Abu Bakar al-Siddiq r.a., timbul pula kumpulan umat Islam yang enggan membayar zakat. Mereka berpendapat, zakat hanya perlu dibayar kepada Rasulullah SAW sahaja. Wafatnya baginda, mereka mula menunjukkan taring penentangan terhadap syariat Islam. Mereka mendakwa tiada lagi keperluan untuk zakat selepas Rasulullah SAW wafat. Khalifah Abu Bakar mengambil keputusan tidak popular, iaitu berperang menghadapi pengingkar-pengingkar zakat. Pada mulanya Umar menyatakan ketidaksetujuan kerana berijtihad dengan pesanan Rasulullah SAW, bahawa sesama Islam tidak boleh diperangi.

Tetapi Abu Bakar ada hujjah syarak dan sebagai ketua, dia berhak menentukan tanpa dipengaruhi pendapat majoriti. Akhirnya Saidina Umar al-Khattab akur dan turut sama berperang. Walaupun Umar mempunyai pandangan peribadinya sendiri, beliau tahu sebagai pengikut, adalah lebih baik patuh daripada ingkar. Memerangi golongan yang benar-benar rosak kefahamannya terhadap Islam dan boleh mempengaruhi orang lain untuk turut serta dengan kepercayaan sesat mereka, lebih utama daripada berbantah-bantah tentang kebenaran sehingga mengakibatkan perpecahan dalam jama'ah Islam. Walaupun Nabi SAW pernah menyatakan:
Jika ada Nabi lagi selepasku nescayalah dia Umar al-Khattab.
(riwayat Ahmad, al-Tirmidzi, al-Hakim di dalam Mustadrak)
Tetapi, hal itu tidaklah menjadi alasan untuk Umar al-Khattab “syok sendiri”, mendakwa dia-lah sahaja penerus “legasi Rasulullah SAW” atau menentang keputusan Abu Bakar al-Siddiq. Sebaliknya mengenepikan pendapat peribadi dan kembali kepada keputusan pimpinan yang diterajui Abu Bakar.

Dengan kepatuhan umat Islam kepada Khalifah untuk memerangi penjenayah zakat, tidak sampai setahun kumpulan itu menyerah kalah dan kembali mengikut syariat Islam. Abu Bakar meninggalkan pemerintahan dalam keadaan berjaya menyelesaikan krisis murtad dan onar pengingkar zakat yang melanda jamaah Muslimin.

Krisis Pertelingkahan Para Sahabat Nabi

Di Zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib, ketika beliau baru sahaja dilantik sebagai khalifah, beliau berpandangan supaya difikirkan dahulu soal menyatukan kembali umat Islam yang bertelingkah. Namun sahabat-sahabat Nabi antaranya Muawiyah r.a., Talhah r.a., ibnu al-Zubair r.a. termasuklah isteri Nabi, Saydatina Aisyah r.ah tidak bersepakat dengan pandangan Saidina Ali. Mereka berijtihad, urusan qisas ke atas pembunuh Uthman mestilah dilaksanakan terlebih dahulu.

Keputusan Saidina Ali iaitu mengutamakan kesatuan umat Islam sebenarnya positif jika dilihat daripada situasi fitnah yang berlaku, lebih-lebih lagi apabila para pengikut Abdullah bin Saba’ (Saba’iyah) menyebarkan propaganda bahawa Khalifah Ali tidak bertanggungjawab terhadap isu pembunuhan Khalifah Uthman al-Affan di Madinah. Lagi pula mencari pembunuh Khalifah Uthman bukanlah mudah kerana ia dilakukan tidak secara individu, tetapi dirancang sulit oleh satu kumpulan jahat yang masing-masing mengaku sebagai pembunuh Khalifah. Benar, pembunuhan terhadap Khalifah Uthman adalah suatu mafsadah yang wajib ditangani, tetapi dalam soal umat Islam berpecah-belah sehingga menyukarkan keadilan itu ditegakkan maka maslahah penyatuan umat Islam mestilah dilakukan terlebih dahulu.

Justeru, situasi yang sebenar berlaku bukanlah kerana kebencian di antara sahabat-sahabat Rasulullah SAW, tetapi peristiwa fitnah yang melangkaui fikiran manusia untuk berfikir secara waras. Kerana itu baginda Nabi SAW pernah mengingatkan sebelum kewafatannya:
“Sesungguhnya akan berlaku fitnah orang yang duduk ketika itu lebih baik daripada orang berdiri. Manakala orang berdiri lebih baik daripada orang berjalan dan orang berjalan lebih baik daripada orang berlari (riwayat lain menunggang/ berkenderaan).”
(riwayat al-Tirmidzi)
Kata Saidina Ali bin Abi Talib (dalam Bidayah wa al-Nihayah, Ibnu Kathir):
“Sesungguhnya Allah telah memuliakan kita dengan Islam, diangkat martabat kita dan dijadikan kita semua bersaudara selepas fasa kehinaan, kekurangan (minoriti), kebencian dan permusuhan. umat manusia kekal dalam fasa kehinaan tersebut sampailah waktu yang ditentukan Allah (ikut Islam mulia, jauhi Islam hina). Islam adalah agama mereka dan kebenaran itu tegak di kalangan mereka, al-Quran pimpinan (panduan) mereka, sehinggalah musibah menimpa lelaki ini (Uthman Ibn Affan) yang didalangi suatu komplot syaitan untuk menghembuskan api permusuhan di tengah masyarakat umat. Ketahuilah, umat ini pasti berselisih sebagaimana perselisihan yang menimpa umat terdahulu. Kita berlindung kepada Allah dari keburukan yang akan terjadi.”
Jelasnya lagi:
“Sedarilah umat ini akan berpecah-belah menjadi 73 golongan. Golongan yg paling buruk adalah golongan yang menisbahkan kecintaan kepadaku, tetapi tidak mengikuti amal perbuatanku. Kalian telah menemukan dan melihat sendiri. Teguhlah di atas ajaran agama Islam, terokailah petunjuk Nabi dan teladanilah sunnah Nabi. Tinggalkan perkara sukar di atas diri kalian (menyebabkan kalian berbantah-bantah) sehinggalah kalian dapati penyelesaiannya di dalam al-Quran. Justeru, ambillah petunjuk al-Quran, apa jua perkara yang ditegakkan tegakkan, yang diingkari maka tolaklah, redhailah Allah sebagai tuhan (pemutus masalah kalian), Islam sebagai agama, Muhammad sebagai Nabi dan al-Quran sebagai sumber hukum dan dokongan.”
Kerana ingkar arahan kepimpinan, perpecahan umat Islam semakin dahsyat. Dari titik perselisihan antara pemimpin dan pengikut itulah akhirnya memunculkan kumpulan Khawarij dan Syiah. Kata ulama sirah, sejak pembunuhan Saidina Uthman, dunia Islam tidak pernah aman daripada fitnah. Ketidakpatuhan membiakkan lagi bahana fitnah ini.

KESIMPULAN

Daripada ketiga-tiga kisah di atas, syarak mengajar kita bagaimana umat Islam perlu patuh dengan keputusan pimpinan. Bukan soal lembut atau kasar, bukan soal peribadi siapapun yang memberikan arahan, tetapi soal prinsip ketaatan. Tiada lagi ijtihad apabila ketua pimpinan telah meletakkan satu keputusan.

Menurut kaedah fiqh; <حكم الحاكم يرفع الخلاف> yakni, keputusan pemimpin mengangkat atau menutup segala khilaf. Dalam isu Gerakan Harapan Baru (GHB), saff kepimpinan PAS telah menetapkan supaya ahli tidak menyertai GHB. Apabila ia adalah arahan, ia wajib dipatuhi. Untuk menyelesaikan kocakan yang berlaku mutakhir ini, ahli-ahli PAS mesti bersikap teguh mendokong keputusan presiden.

Walaupun pahit untuk ditelan, walaupun ketidakstabilan itu ditimbulkan oleh sahabat karib sendiri, kaum kerabat, keluarga atau orang tersayang, semua itu tidak boleh mendahului keputusan pimpinan demi maslahah yang lebih besar iaitu keberjayaan Islam. Jika tidak, akan berulanglah kisah pertelingkahan di zaman Saidina Ali. Perpecahan akan terus berlaku dan membarah sehingga menimbulkan firqah-firqah yang pelbagai.

Maka, ambillah panduan sirah yang telah diatur Allah. Ia panduan buat semua umat Islam terkemudian. Ini kerana, keutuhan Jamaah Islam bukan hanya bergantung kepada pimpinan, tetapi juga bergantung kepada tahap sikap para pengikut. Krisis jamaah di zaman Saidina Ali bukanlah kerana kelemahan peribadi khalifah (ketua), Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf Ali sebagai sahabat yang paling faqih. Saidina Umar ra juga pernah mengungkapkan sebagaimana riwayat Ibnu Abd al-Barr, “Jika tiada Ali, nescaya binasalah Umar”.

Krisis zaman perpecahan umat Islam berpunca daripada sikap para pengikut yang tidak mahu patuh kepada kepimpinan dan suka mengambil keputusan sendiri. Insafilah sabdaan Rasulullah SAW:

“Aku mewasiatkan kamu (umat Islam) agar bertakwa kepada Allah, dengar dan taat (kepada pimpinan) sekalipun perintah itu datang dari hamba Habshiy. Sesungguhnya sesiapa yang hidup (selepas kewafatan Rasulullah SAW) akan berlaku khilaf yang pelbagai, justeru wajiblah kamu menuruti Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ al-Rasyidin selepasku. Genggamlah erat-erat sekuatnya dengan gerahammu. Berwaspadalah terhadap perkara yang baharu...” (riwayat al-Hakim dalam Mustadrak)

21 Jun 2015

Bagaimana Kita Berintima' Dengan PAS ?

Saya merujuk kepada penulisan Yang Berhormat Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi di laman sesawang Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS baru-baru ini berkenaan Penggabungan Diri dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Berikut adalah penulisan beliau yang saya kongsikan kepada para pembaca untuk renungan kita bersama.

BAGAIMANAKAH INTIMA’ YANG KUKUH ?
Oleh : Al-Fadhil Ustaz Nasruddin Hassan at-Tantawi [Ketua Penerangan PAS Pusat]

Definisi Intima’ memberi makna ‘menyertai dengan satu ikatan’. Dalam ertikata yang lain, berintima’ dengan PAS bermaksud: menyertai PAS dengan satu ikatan. Namun, terdapat intima’ yang salah dan rapuh dengan maksud, mereka menyertai PAS dengan intima’ yang tidak kukuh dan mampu terputus bila-bila masa apabila diminta. Hanya terdapat satu sahaja jenis intima’ yang betul-betul benar, kukuh dan utuh.

INTIMA’ YANG SALAH

Intima’ yang rapuh, longgar dan salah ini sekurang-kurangnya ada 4 jenis :

1. Intima’ Syakhsi (إنتماء شخصي)

Menyertai PAS kerana ketokohan individu tertentu. Intima’ ini rapuh kerana hakikat seorang individu atau tokoh tertentu boleh hadir dan pergi. Jika tokoh yang menjadi idolanya meninggalkan PAS, maka ia juga akan turut meninggalkan PAS. Perjuangannya tidak mantap dan utuh. Pendiriannya juga tidak kukuh. Mungkin bertahan beberapa tahun mengikut ketahanan tokoh yang menjadi asbab kenapa ia menyertai PAS. Ada sepanjang hayatnya bersama PAS tetapi penghujung usianya berakhir di luar PAS.

Situasi ini pernah ditegaskan oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a.:
“Barangsiapa yang mengabdikan diri kepada Muhammad SAW maka sesungguhnya Muhammad SAW telah mati, dan barangsiapa yang mengabdikan diri kepada Allah SWT maka sesungguhnya Allah SWT hidup dan tidak mati.”
Saidina Abu Bakar al-Siddiq ra meneruskan membaca ayat Allah Ta’ala :
“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul. Apakah sekiranya ia mati atau terbunuh, kamu akan berpaling tadah memusing tumit kamu? Sesiapa yang berpaling memusingkan tumitnya, maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, sebaliknya Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur.”
(Surah Aali-Imran: Ayat 144)
2. Intima’ Maslahi (إنتماء مصلحي)

Menyertai PAS kerana kepentingan peribadi atau kelompok, dan ia mempunyai agenda tertentu yang ingin dicapai. Apabila gagal mencapai kepentingan yang diingini dan tidak berjaya melunaskan agenda yang dirancang, mereka akan mencari tapak yang lain untuk pelan ‘B’ dan seterusnya meninggalkan PAS. Ketahanan mereka berdasarkan sejauh mana atau selama manakah mereka perolehi kepentingan dan memiliki peluang menjayakan agenda mereka.

3. Intima’ Irtijaali (إنتماء ارتجالي)

Menyertai PAS secara spontan tanpa asas dan sebab yang kukuh. Ia sendiri tidak mengetahui kenapa ia menyertai PAS. Bakanya adalah baka PAS. Ayah dan ibunya PAS serta persekitaran ia membesar juga PAS. Justeru, ia tidak mempunyai jawapan yang konkrit kenapa ia menyertai PAS selain dari menyedari bahawa ia telah ‘PAS’ sejak awal. Pendirian mereka akan cepat goyang apabila PAS dilanda krisis dan mereka seperti ini tidak mempunyai jawapan yang mantap kenapa ia mesti terus berada dalam PAS yang sedang bergoncang dilanda gelombang. Akhirnya, ia lari meninggalkan PAS kerana tidak sanggup berdepan dengan apa jua kemungkinan.

4. Intima’ A’fawi (إنتماء عفوي) 

Menyertai PAS berasaskan kecenderungan dan simpati terhadap apa yang diperjuangkan oleh PAS yang juga teruk dibelasah oleh musuh. Intima’ jenis ini longgar serta rapuh kerana kecenderungan dan simpatinya akan berakhir terutama apabila didapati PAS tidak lagi menepati kemahuan dan kehendaknya. Tiada lagi simpati malah boleh bertukar menjadi benci. Tatkala benci menguasai diri, maka mereka akan mengangkat kaki meninggalkan PAS.

INTIMA’ YANG BENAR

Intima’ yang benar, kukuh, utuh dan mantap hanya satu iaitu:

Intima’ Aqidi - (إنتماء عقيدي)

Menyertai PAS berdasarkan tuntutan Aqidah al-Islamiyyah. Berdiri atas Iman kepada Allah Ta’ala dan Kitab-Nya yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW. Menunaikan perintah Allah SWT dengan penuh yakin dan optimis supaya berjuang menegakkan Syariat Allah SWT dengan harta dan jiwa raga.

Firman Allah Ta’ala:
“Pergilah kamu segera untuk berjuang pada jalan Allah, sama ada dengan keadaan ringan ataupun berat dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 44)

Intima’ yang kukuh ialah apabila kita meletakkan diri berjuang hanya untuk meninggikan kalimah Allah swt, menegakkan syariat dan segala syiar-Nya, mencari keredhaan Allah swt di dunia dan di akhirat. Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa terdapat A’rabi datang bertanya Nabi Muhammad SAW:
“Seorang pemuda (tokoh) yang berjuang kerana mahu memiliki harta rampasan, ada tokoh yang berjuang supaya namanya disebut-sebut, ada yang berjuang supaya dirinya berketerampilan dan terpandang. Maka siapa yang diiktiraf berjuang di jalan Allah SWT?”
Dalam riwayat yang lain:
“Ada yang berjuang kerana tunjuk berani, ada yang berjuang kerana mahu mendapatkan pelindungan, ada yang berjuang kerana semata-mata benci kepada musuh, maka siapa yang benar-benar diiktiraf sebagai pejuang dijalan Allah SWT?”
Lalu, Rasulullah SAW menjawab:
“Sesiapa yang berjuang untuk meninggikan kalimah Allah SWT (mengatasi ideologi ciptaan manusia) maka ia berada pada Jalan Allah SWT (fi Sabilillah).”
(muttafaqun ‘alaihi)

Mereka yang menyertai PAS dengan Intima’ yang rapuh pasti sahaja tidak akan mampu bertahan bersama PAS sebagai sebuah Gerakan Islam yang berjuang untuk menegakkan Kalimah (syariat) Allah SWT. Ujiannya terlalu getir, khasnya ujian dalaman yang boleh membawa kekecewaan dan patah hati. Hanya mereka yang menyertai PAS kerana aqidah sanggup berjuang dan mampu bertahan hingga ke denyut nadi yang terakhir. Sama ada menang atau syahid, namun untuk memalingkan tumit meninggalkan perjuangan adalah tidak sama sekali.

-------------
HARI INI, berikutan krisis yang berlaku kepada PAS dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), seorang aktivitis PAS, telah meninggalkan PAS dan mengumumkan penyertaannya ke parti sosialis itu. Amat malang meninggalkan Jama’ah Islam yang masih berada di atas landasan Al-Quran dan As-Sunnah, kemudian melantik pula orang-orang kafir sebagai pemimpin bagi perjuangan mereka. Moga saya dan keluarga sentiasa thabat bersama Jama’ah Islam PAS yang saya cintai.

Moga Allah sentiasa mengampuni kita atas sifat kejahilan dan kealpaan sebagai seorang manusia.