14 Oktober 2016

14 Oktober 1984 : PAS Anggap Malaysia Adalah Negara Sekular Dan Bukan Sebuah Negara Islam

Pada hari ini dalam tahun 1984, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan dengan panjang lebar tentang status dan kedudukan negara Malaysia mengikut kaca mata politik Islam, dan memutuskan Malaysia bukanlah sebuah negara Islam, sebaliknya adalah sebuah negara sekular. Sejak mencapai kemerdekaan, secara undang-undang, Malaysia adalah sebuah negara sekular kerana Perikatan (Umno, MCA dan MIC) dalam memorandum mereka kepada Suruhanjaya Reid telah menuntut supaya Malaysia dikekalkan sebagai "negara keduniaan (secular state)" walaupun Islam menjadi agama bagi Persekutuan. Inilah pendapat yang dipegang oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu. Atas sebab itu PAS menolak Penyata Reid pada 2 Mei 1957 dan Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy menganggap kemerdekaan yang dicapai adalah masih kosong.

Isu status Malaysia adakah sebagai sebuah negara Islam atau tidak telah timbul kerana kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 25 Ogos 1984 yang mahu berdebat dengan PAS tentang status negara ini. Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam Asiaweek keluaran 24 Ogos 1984. Dalam temuramahnya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, Umno tidak bersedia untuk bersemuka dengan PAS bagi menyelesaikan masalah perpecahan orang Melayu-Islam. Kenyataan ini berkait dengan isu penahanan ISA ke atas tiga pemimpin Dewan Pemuda PAS Pusat pada 10 Julai 1984, yang dianggap oleh PAS sebagai usaha untuk menyekat perjuangan PAS menubuhkan negara Islam. Dalam memorandum kepada Menteri Dalam Negeri pada 14 Ogos 1984, PAS mendakwa Umno yang menganut sekular menjadi punca perpecahan umat Islam. Sementara itu, pimpinan PAS seperti Ustaz Nakhaie Ahmad pula menganggap fahaman kebangsaan yang dibawa oleh Umno adalah bertentangan dengan Islam.

Menyahut cabaran Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang juga Presiden Umno ini, pada 25 Ogos 1984, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah menyatakan kesediaan PAS untuk berdebat dengan Umno. PAS mencadangkan supaya lima pemimpin tertinggi kedua-dua parti bertemu dan Umno perlu membuktikan kebenaran terhadap tuduhan mereka bahawa PAS memutarbelitkan ayat-ayat al-Quran. Walau bagaimanapun cadangan PAS ini tidak mendapat maklum balas daripada Umno, sehinggalah Presiden Umno itu pada 15 September 1984 mengulangi cabaran kepada PAS untuk berdebat, dan Umno hanya menunggu kesediaan PAS untuk berbuat demikian. Kali ini, Umno mengalihkan isu perdebatan mereka dari isu perpecahan orang Melayu kepada isu PAS mengkafirkan ahli-ahli Umno. Sedangkan PAS masih mengekalkan asas yang sama iaitu faham kebangsaan sekular yang dianut dan diamalkan oleh Umno yang menjadikan negara ini sebagai bukan sebuah negara Islam, sekali gus menjadi punca perpecahan umat. Media massa pula menjadikan isu fatwa 'orang Umno kafir' sebagai asas perdebatan Umno-PAS. Cabaran Umno kali ini dijawab oleh PAS pada 17 September 1984 yang menyatakan kesediaan PAS berdebat dengan Umno.

Ekoran daripada cadangan Debat Umno-PAS ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14 Oktober 1984 telah mengambil pendirian bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, bukannya sebuah negara Islam. Pendirian ini sangat penting sebagai asas kepada semua persoalan yang berbangkit dalam perdebatan nanti, sama ada soal perpecahan Melayu atau fatwa mengkafirkan ahli Umno. PAS juga mengarahkan sebuah jawatankuasa kecil terdiri daripada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ustaz Harun Taib, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Hassan Saleh dan Syed Ibrahim Abdul Rahman bagi menyusun hujah-hujah wakil PAS dalam perdebatan tersebut. Pada 15 Oktober 1984, surat PAS telah dijawab oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Sanusi Junid yang mencadangkan debat diadakan di atas isu PAS mendakwa ahli Umno adalah kafir dan barang siapa yang menentangnya, jika mati, adalah syahid. Kedua-dua pihak kemudiannya bersetuju debat diadakan pada 11 November 1984 dengan PAS diwakili oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Ustaz Harun Taib, manakala Datuk Wan Mokhtar Ahmad, Anwar Ibrahim dan Ustaz Ibrahim Azmi Hassan mewakili Umno. Pada 8 November 1984, debat ini dibatalkan oleh Majlis Raja-raja dan pandangan PAS kekal bahawa negara ini bukan sebuah negara Islam.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: