10 Oktober 2016

10 Oktober 1967 : Warna Hijau Ganti Kalimah 'Allah' Dan 'Muhammad' Pada Bendera PAS

Pada hari ini dalam tahun 1967, PAS telah mengambil keputusan supaya semua kalimah "Allah Muhammad" pada bendera dan pingat PAS dipadamkan dan digantikan dengan berwarna hijau pada bulatan di bendera dan pingat itu. Bendera asal PAS yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953, ialah bendera Sang Saka Merah Putih dengan hujung di sebelah atas warna merah mempunyai satu bulatan hijau yang tertulis kalimah "Allah Muhamad" berwarna putih. Bendera dan pingat ini juga telah ditetap oleh Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1956 dan Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1963. Fasal 38(a) Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1963 mencatatkan "bendera PAS ialah berwarna merah terletak di atas warna putih yang sama lebarnya dan di pangkal sebelah atas terletak satu bulatan warna hijau yang bertulis kalimah 'Allah Muhamad' dengan warna putih."

Dalam menyekat kemaraan PAS yang memperjuangkan tertegaknya Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan negara, Perikatan berusaha menghalang PAS menggunakan Islam dalam perjuangannya. Memanipulasikan isu kafir-mengkafir yang tercetus sejak 1964, penggubalan Akta Pertubuhan 1966 cuba menghalang agama dari menjadi asas perjuangan politik. Dengan alasan yang berbau sekular, bahawa "agama hendaklah tidak dimasukkan ke dalam politik, teristimewanya di dalam Malaysia yang mengandungi rakyat daripada berbagai-bagai agama," Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Chin Hon Hian pada 24 Ogos 1967 telah mengarahkan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah supaya PAS memadamkan kalimah "Allah Muhamad" pada bendera PAS. Bahkan, bendera Sang Saka Merah Putih yang kosong juga tidak dibenarkan untuk digunakan oleh PAS kerana menyerupai bendera negara asing (Indonesia), kecuali ada tambahan seperti bendera asal yang mempunyai bulatan hijau. Arahan pengharaman kalimah "Allah Muhamad" yang kemudiannya diikuti oleh pengharaman simbol "Bulan Bintang" adalah bertujuan supaya PAS dapat dipisahkan daripada unsur-unsur ke-Islaman.

Tekanan yang dikenakan ke atas PAS ini mempunyai kaitan dengan kejayaan PAS bertahan di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum 1964 walaupun pelbagai usaha memburukkan PAS telah dibuat. Perikatan cuba memgaitkan PAS dengan Konfrantasi Indonesia dan menuduhkan PAS mengkhianati negara sehingga Yang Dipertua Agung PAS ditahan ISA pada 28 Januari 1965. Sedangkan sebelum itu mereka mendakwa Prof Dr Burhanuddin al-Helmy di mahkamah sehingga beliau hilang kelayakan sebagai ahli parlimen semata-mata kerana satu kesalahan teknikal dalam pentadbiran sebuah syarikat perkapalan. Peningkatan sokongan para ulamak kepada PAS dan isu kafir-mengkafir yang timbul pada 1964 pula telah membawa sejumlah ulamak PAS ke dalam ISA, sedangkan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Pasir Mas Hulu pada 19 Ogos 1967, PAS masih mampu mempertahankan kerusi yang kosong akibat pembunuhan Abdul Samad Ghul Ahmad Mianji, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Salah satu kekuatan PAS ialah perjuangan Islam yang didukungnya. Mengambil ruang dari Akta Pertubuhan 1966 ini, Perikatan telah bertindak mengharamkan kalimah "Allah Muhamad" pada bendera dan pingat PAS. Ekoran itu, pada 10 Oktober 1967, PAS telah mengambil keputusan untuk mengarahkan semua peringkat parti untuk memadamkan kalimah tersebut. Dalam surat Setiausaha Agung PAS yang bertarikh pada 11 Oktober 1967 kepada Setiausaha Perhubungan PAS Negeri-negeri dan Setiausaha PAS Cawangan-cawangan, telah mengarahkan supaya "menghapuskan (kalimah) itu dari papan-papan tanda masing-masing" dengan cara "catkan warna hijau dahulu sebagai ganti tempat yang dipadamkan itu." Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-15 dan 16 pada 19-22 April 1968, telah diputuskan bahawa tempat kalimah "Allah Muhamad" pada bendera dan pingat PAS dikosongkan sahaja dengan tidak diganti oleh suatu yang lain sehingga PAS mencapai kemenangan.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: