21 November 2011

Dialog Suami Isteri Di Malam Pertama Perkahwinan

Di satu malam yang hening, ini adalah merupakan malam pertama bagi sepasang suami isteri, dirasakan mereka seolah-olah malam ini adalah malam penentuan pertarungan hak dan batil. Bagi orang kebanyakan, malam seperti ini adalah yang dinanti-nantikan oleh sepasang mempelai yang baru hangat diraikan di dalam majlis kenduri tengahari tadi. Alam bagaikan mengerti, hujan rintik-rintik dan sejuk yang nyaman di perkampungan seperti ingin membasahkan kehangatan suami isteri malam itu. Inilah kali pertama pasangan suami isteri ini bersua muka, menatap wajah pasangan dengan lebih dekat, menyentuh kulit mulus isteri yang dicintai. Inilah juga satu debaran malam pertama bagi mereka, sebagaimana pasangan-pasangan lain yang baru berkahwin.

Sebelum ini, jarak antara mereka tidaklah pernah sedekat ini, jika adapun, ia berlaku di hadapan keluarga masing-masing, jika adapun, ia berlaku ketika bertemu bersama kawan-kawan. Tidak pernah pula mereka berjalan beriringan, tidak pernah pula mereka menjangka bahawa satu perkenalan yang singkat terus membawa mereka ke jinjang pelamin. Alam pernikahan ini begitu asing bagi mereka.

Malam semakin larut, si suami membasahkan tubuhnya menyucikan diri. Si isteri melihatnya aneh sekali. Lebih aneh selepas itu, suaminya masuk ke bilik belakang yang kosong agak lama, sehingga memaksa isterinya mengintip di celahan pintu bilik itu.

Alangkah terkejutnya, suaminya seakan mati, kaku dalam gerakan sujud. Terdengar juga suatu esakan kecil umpama merintih. Dia tahu, apa yang dilakukan oleh suaminya, dan dia akur, itulah Cinta suaminya yang sejati. Dia tidak perlu cemburu dengan cinta itu, ataupun dia pernah berfikir walaupun segunung cintanya pada suaminya, tidak akan sama dengan cinta suaminya di bilik kosong itu. Dia menunggu, berehat-rehat di atas taburan bunga mawar diatas katil empuk itu.

Si suami keluar dan memandang tepat ke arah isterinya, isterinya menunduk malu.

Isteri: Mengapa awak pilih saya?

Suami : Kerana awak berniqab (memakai purdah).

Isteri: Ramai kan yang berniqab?

Suami : Kerana awak ada agama.

Isteri : Ramai kan yang ada agama?

Suami : Kerana awak adalah jodoh ketentuan dari Allah SWT.

Isteri kehabisan soalan, dia tahu jawapan itu tidak ada persoalan lain yang perlu dirungkaikan lagi.

Suami : Saya jumpa awak yang saya nampak hanya dua biji mata, saya tak tahu wajah awak dan selepas itu saya terus tidak melihat wajah awak, tetapi saya melihat di rumah awak, di hadapan ibu bapa awak. Ketika mereka menyaksikan hasrat saya untuk memiliki awak dan ketika awak membuka niqab, saya tidak perlu tahu selanjutnya wajah awak kerana itu bukan tujuan utama saya memiliki awak.

Isteri : Saya tidak cantik.

Suami : Lebih baik beristerikan perempuan yang berkulit hitam, berbibir tebal tetapi mempunyai agama dalam dirinya. Ini adalah nikmat yang paling cantik daripada memiliki isteri yang berkulit mulus, tetapi tiada agama dalam dirinya. Tetapi jika cantik dan ada agama, itu adalah anugerah Allah kepada saya. Tetapi adakah perempuan sedar, mereka yang menampakkan kecantikan yang haram didedahkan, akhirnya mereka adalah bahan bakar di neraka kelak. Wana’uzubillah.

Isteri : Saya juga ingin cantik.

Suami : Sayang, kecantikan awak tak akan kekal. Awak akan dimakan usia. Tetapi mahukah awak kekal cantik selamanya?

Isteri: Itu yang saya mahukan! (sambil teruja)

Suami : Mahukah awak menjadi secantik bidadari, malah lebih dari itu?

Isteri: Perempuan di dunia ini sehabisnya menyolek diri mereka umpama bidadari, tetapi adakah mereka berjaya?

Suami : Ada caranya, malah tidak perlu berhabis ribuan ringgit!

Isteri: Yakah? tunjukkan caranya, abang!

Suami : Rasulullah pernah bersabda, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.

Isteri : Saya kurang faham, di mana alat-alat make-up nya?

Suami : Rasulullah pernah bersabda: “Jika perempuan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, nescaya dia akan masuk syurga.” (HR. Al-Bazaar).

Isteri : Bagaimana cantiknya saya di dalam syurga nanti?

Suami : Tolong ambilkan Al-Quran atas meja tu dan Tafsir Ibnu Kathir yang kawan awak hadiahkan tu. Awak ada wudukkah?

Isteri : Ada. Nanti sekejap. (isteri mengambil Al-Quran dan Tafsir Ibnu Kathir yang diletakkan di atas meja)

Suami : Lihat Surah Al-Waqiah, “Sesungguhnya kami akan ciptakan mereka secara langsung.” (Ayat 35 ), Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa wanita baik mereka itu tua atau tidak mereka akan dibangkitkan dengan ciptaan yang baru. Dalam keadaan mereka itu muda dan perawan. Ini dikuatkan lagi dengan ayat yang berikutnya “Dan Kami jadikan mereka itu gadis perawan.” (ayat 36).

Isteri : Saya belum dapat bayangkan macam mana cantiknya saya nanti.

Suami : Dalam ayat yang seterusnya, Allah berfirman lagi “(Tentang wanita) penuh cinta (kepada suami mereka) lagi sebaya umur.” (ayat 37). Dalam Ayat ini, Allah menerangkan mereka ini (wanita) terlalu asyik mereka hanya kepada suami mereka sahaja manakala suami mereka juga asyik kepada mereka. Cinta mereka hanya kepada suami mereka sahaja (Tafsiran Ibn Abbas).

Isteri : Sahih tu bang, tapi saya nak bayangkan macam mana cantiknya saya dalam syurga nanti.

Suami: Baiklah, tunggu sekejap saya ambil kitab hadith, lihat ini ada Riwayat dari Hadis Tabhrani, sambungan dari yang zahir lebih baik dari yang batin yang saya ceritakan tadi, ingatkah?

Isteri : Oh! ada, saya ingat.

Suami : Maka bertanya lagi Ummu Salamah: “Dengan apa yang menyebabkan mereka lebih baik”, Baginda pun bersabda: “Dengan solat mereka, puasa mereka dan ibadat mereka kerana Allah. Malah Allah memakaikan pada muka mereka cahaya, pada badan mereka sutera, kulit mereka berwarna putih, pakaian mereka berwarna hijau, malah mereka dipakaikan dengan perhiasan berwarna kuning (yakni emas) rantai mereka daripada permata, sikat mereka daripada emas. Lalu mereka berkata: Kami kekal (di dalam syurga) dan kami tidak akan mati lagi, kami memperolehi nikmat dan kami tak akan bersedih lagi, kami akan kekal di dalam syurga dan kami tidak akan berpindah, kami adalah orang yang redha dan kami tidak akan marah, beruntunglah sesiapa yang kami (dijadikan) untuknya dan (dijadikan) dia untuk kami.”. Lalu Ummu Salamah bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, ada di kalangan kami yang berkahwin dengan dua orang lelaki, atau tiga orang lelaki atau empat orang lelaki (bukan dikumpulkan sekali tetapi merupakan perkahwinan yang kedua selepas kematian, cerai atau lainnya), kemudian perempuan itu mati dan dapat masuk kedalam syurga begitu juga bekas-bekas suaminya juga masuk syurga, maka siapa yang akan menjadi suaminya (di dalam Syurga)?”. Baginda menjawab: “Dia akan memilih yang terbaik di kalangan mereka dari segi akhlak.”. Nah! Hadith ini dengan jelas menampakkan kelebihan orang wanita daripada bidadari.

Isteri : Alhamdulillah, baru saya faham. Maksudnya, jika saya berjaya menjadi wanita solehah dengan ciri-ciri dari firman Allah dan hadith, maka saya akan masuk syurga dan menjadi lebih cantik dari bidadari!

Suami : Wanita yang merupakan ahli syurga juga mendapat nikmat yang tak ternilai banyaknya. Dan nikmat yang diperolehi oleh wanita atau lelaki di dalam syurga adalah sesuai dengan fitrah kejadian kejadian mereka. Cubalah kita renungi baik awak atau pun saya, apakah yang amat dihajati oleh kita dan sekiranya kita diberi peluang nescaya kita akan mendapatkannya? Pada pandangan saya, orang lelaki lebih berhajat kepada wanita manakala wanita pula di samping berhajat kepada suami, akan tetapi kecantikan dan kejelitaan lebih menjadi tumpuan pada mereka. Bukankah semua ini terdapat di dalam syurga?

Isteri : Saya tahu sedikit dari ilmu yang saya kutip, tetapi ada yang saya lupa, eloklah saya mendengar sendiri dari suami saya!

Suami : Ya. Saya juga muzakarah dengan awak, lagi satu, bidadari syurga yang bukan dari kalangan isteri saya akan memarahi awak juga!

Isteri : Hah! Bidadari marah saya? Kenapa? Macam mana awak tahu?

Suami : Buka kitab hadith tadi, baca “Janganlah seorang perempuan menyakiti suaminya di dunia, jika tidak, maka bidadari-bidadari isterinya di syurga akan berkata kepadanya: Janganlah kamu menyakitinya, sesungguhnya ia adalah tamu bagimu yang sebentar lagi akan meninggalkanmu untuk berkumpul bersama kami.” (H.R. Ahmad dan Tirmidzi dari Mu’adz bin Jabal r.a)

Isteri : Wah! Saya amat takut jika awak meninggalkan saya di dunia lebih menyedihkan jika saya tidak dapat berjumpa awak di syurga!

Suami : “Harta yang utama adalah lisan yang senantiasa berzikir, hati yang senantiasa bersyukur dan isteri beriman yang membantu suami dalam menegakkan bangunan imannya.” (H.R. Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Isteri : Alhamdulillah! Baru saya faham sejelasnya, terima kasih abang. Tetapi itukan banyak persoalan tentang saya, bagaimana saya dalam keluarga yang taat kepada perintah Allah, yang menghidupkan sunnah Rasulullah dan akan mendapat nikmat syurga. Bagaimana dengan diri abang?

Suami : Oh itu masa tidak mengizinkan, biarlah kita berbicara satu bab dengan teliti. InsyaAllah esok malam kedua kita bicarakan soal itu ya.

20 November 2011

Aku Terima Nikahnya

Segala Puji bagi Allah Ta’ala serta Salawat dan Salam kepada Nabi Muhammad S.A.W, saya telah bergelar seorang suami kepada insan yang saya cintainya kerana Allah. Moga Allah sentiasa meredhai saya dan isteri yang tercinta, Nur Hazirah binti Tarmizi, moga Allah jugalah yang memberkati kami dan meletakkan kebaikan ke atas kami sehingga hujung nyawa, Insha Allah.

Malam Pra-Nikah

Terminologi ‘Mak’ mula menggantikan perkataan ‘Makcik’ yang biasanya saya tulis di dalam Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Emak mertua saya ini peramah orangnya. Saya bersyukur dipertemukan ibubapa mertua yang sangat baik hati dan penyayang.

“Ya, mak?”, saya memulakan perbualan telefon dengan nada malu-malu. Ibu tersenyum, kebetulan mendengar perbualan kami tatkala membantu saya menyiapkan hantaran perkahwinan untuk keesokannya.

“Fariq, ayah dan ibu esok datang sebelum pukul 10 ya..” sapa emak dengan nada ceria, menelefon bakal menantunya yang akan beliau jumpa pada hari ini. Saya mengesahkan dengan sapaan lembut, berlapik senyuman seindah wajah ibu saya yang melahirkan. Debaran makin terasa di hati sejak malam semalam, menandakan hari yang ditunggu bakal tiba. Hinggakan pada malam itu, saya tidak pasti, adakah mampu saya melelapkan mata dengan bunga indah yang terlalu mekar. Pesan murabbi saya, cantaslah kelalaian itu dengan berzikir pada Allah. Mudah-mudahan, semuanya baik-baik belaka. Lantas, saya beristighfar agar kelalaian naluri manusia diampuni Allah Yang Maha Pemaaf.

20 November 2011 : Hari Pernikahan

Seusai solat Subuh, saya bergegas menyemak perkara yang hendak dibawa. Alhamdulillah, ketelitian ibu dan ayah menyebabkan kesemuanya telah disusun atur dengan baik. Pada pagi itu, ketibaan berberapa ahli keluarga saya dari jauh datang ke Setiawangsa. Kerana debaran yang tidak henti sejak semalam, hampir keseluruhan tetamu rombongan dipandang sebelah mata tanpa sapaan akrab, hingga sesetengahnya tidak sempat untuk saya bertanya khabar. Lebih kurang pukul 8.30 pagi, kami pun memulakan perjalanan dengan Basmalah.

Sepanjang perjalanan kami ke Putrajaya, berberapa penunjuk jalan tertera nama FARIQUE & HAZIRAH telah ‘menakluki’ bahu-bahu jalan dan simpang lebuhraya. Susun aturnya agak strategik, perjalanan kami menjadi lebih mudah, apatah lagi apabila lokasi Presint 16 itu sendiri terletak berhampiran Alamanda Putrajaya, satu-satunya kompleks membeli belah yang terdapat di bandar elit ini. Lebih kurang 20 minit memasuki bandar ini melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya, kami pun sampai ke destinasi.

“Kita tak cukup ahli rombongan perempuan,” kata ibu saya, memandangkan adat Melayu yang mengkehendaki kaum wanita untuk mengangkat dulang-dulang hantaran. Ibu tidak membenarkan adik lelaki saya, Asyraf mengangkat hantaran yang terletak di dalam kereta. Asyraf meletakkan kembali di tempat duduk kereta, memandangkan tiada calon yang sesuai untuk mengangkat dulang itu. Saya agak resah. Jam telah menunjukkan pukul 9:55 pagi, waktu yang dijanji adalah pukul 10 pagi. “Apa kata jika kali ini kita langgar kebiasaan?” Saya mencadang. Bukan mahu melanggar adab Melayu, tetapi bertujuan untuk memelihara hak bakal isteri dan ibu bapa mertua, iaitu menepati masa.

Belum sempat ibu dan ayah menyatakan sokongan secara ‘mahu tidak mahu’ terhadap cadangan saya itu, sahabat-sahabat muslimat dari UiTM Melaka hadir melalui pintu rombongan lelaki. Kebetulan, pakaian mereka hampir kepada warna tema rombongan kami, warna ungu dan biru. Lantas, bantuan terus dipohon dan dipersetujui. Shuhada dan Khadijah, dua sahabat muslimat yang kiranya telah saya anggap sebagai ‘penyelamat’ masa, telah membantu ibu saya mengangkat dua dulang hantaran kami.

Alhamdulillah, rombongan kami telah lengkap dan bersedia menuju ke Surau Ar-Raudhah, satu-satunya surau yang terletak di antara blok-blok Apartment Presint 16 dan bakal menyaksikan acara yang gilang-gemilang, Insha Allah.

Aku Terima Nikahnya!

Ustaz Hafiz Idris diberi kepercayaan untuk mendaftarkan pernikahan kami. Beliau hadir dengan berberapa borang yang perlu diisi bagi melengkapkan tugas beliau sebagai seorang Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persektuan (JAWI), Putrajaya. Selesai beliau berkhutbah, kami diminta ‘berlatih’ dengan menggunakan teks yang telah disediakan. Gugup juga saya dibuatnya, termasuk wali bakal isteri, yang akan menjadi bapa mertua saya dalam berberapa minit lagi. Apatah lagi, jawapan Qabul yang ‘diterimapakai’ di kariah Wilayah Persekutuan memerlukan jawapan yang panjang, tidak sekadar lafaz penerimaan nikah semata-mata.

Setelah semuanya bersedia dan memastikan lidah tak kelu melafazkan kabul, dengan disaksikan oleh Encik Fadlillah Don dan Encik Ab Ghaffar, bakal abah mertua melafazkan Ijab. Abah memegang tanganku dengan gengaman amanah.

“Muhammad Farique bin Zubir Albakri….” Abah memanggil saya, sebagai satu isyarat atas penyerahan amanah. Saya menyahut dengan suara, tanda menyambut panggilan abah. “Aku nikahkan dikau dengan anak ku, Nur Hazirah Tarmizi dengan maskahwin sebanyak RM80 ringgit tunai”. Tanganku digoncang abah menyebabkan saya sedikit gementar. Saya cuba bertenang dan memlafazkan qabul dengan cermat kerana tempoh masa juga mampu membatalkan ijab jika mengikut prosedur Jabatan Agama Islam di Malaysia.

“Aku terima untuk menikahi Nur Hazirah binti Tarmizi dengan maskahwin sebanyak RM80 ringgit tunai…”. Saksi-saksi mengangguk, tanda ijab qabul yang dimeterai adalah merujuk kepada satu ikatan yang sah. Ustaz Hafiz lantas membaca doa kesyukuran tanda keberkatan ikatan nikah yang termeterai dan mendoakan kami sentiasa diberkati Allah, insha Allah.

Setelah doa selesai di’amin’kan, saya meminta izin untuk mengerjakan solat sunat. Seusai solat, saya diminta membacakan lafaz talak ta’liq, salah satu prosedur Jabatan Agama di Malaysia bagi memudahkan ‘pemisahan’ suami isteri apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada saya. Ustaz Hafiz menyerahkan sekeping nota lafaz yang difotokopi untuk tujuan pembacaan secara ‘jahar’ (kuat) dan perlu didengari tetamu yang hadir. Tulisannya kabur, memberikan saya sedikit kesukaran untuk membaca.

Sewaktu lafaz tersebut dibaca, berberapa kesilapan berlaku memandangkan ‘kepekatan’ tulisannya yang agak mengecewakan. Ketika ayat ini dibaca dengan yakin, “…. Atau dia meninggalkan saya selama empat ‘tahun’ qamariah berturut-turut atau lebih…”. Ustaz Hafiz menyampuk, “Bukan ‘tahun’ lah, tapi ‘bulan’, lama sangat tu..”, semua para hadirin ketawa. Saya diam sebentar. Malu. Ini adalah kali pertama tersasul. Nur Hazirah tersipu-sipu mengenangkan suaminya yang agak ‘tidak sabar’. Entah apa yang dikejar saya pun, saya sendiri buat-buat tidak tahu.

Moga Allah sentiasa merahmati kami hingga ke Syurga Nya, insha Allah!