Segala Puji bagi Allah Ta'ala, berikutan Revolusi Rakyat Mesir bermula 25 Januari tahun lepas, Parti Kebebasan dan Keadilan (Freedom and Justice Party, FJP) telah memenangi Pilihanraya Parlimen pada 28 November 2011 dan juga Pilihanraya Presiden pada 24 Jun yang lepas. Pilihanraya tersebut sekaligus menjadi pilihanraya terbersih dan bebas yang pertama sejak daripada zaman Firaun. Dengan kemenangan itu, Dr. Mursi yang merupakan ahli Ikhwanul Muslimin telah mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir semalam.
Saya mengikuti perkembangan Mesir melalui siri Usrah bersama sahabat-sahabat, ada berberapa persoalan timbul berikutan penubuhan FJP sebagai 'proksi' kepada gerakan Islam Ikhwanul Muslimin di sana. Mereka tidak secara langsung menggunakan Ikhwan sebagai Parti, tetapi membentuk suatu organisasi tambahan (yang memisahkan) dalam usaha memperbaiki politik di tanah air mereka. Barangkali, nama Ikhwan dilihat agak ekstrimis bagi sebilangan rakyat Mesir, lantaran itu, mereka menubuhkan FJP sebagai satu nama yang lebih sejahtera.
GERAKAN ISLAM: PERLUKAH JAMA'AH DAN PARTI DIPISAHKAN?
Oleh: Dr. Abdul Fattah Yusof [Koordinator Kluster Perundangan, Pusat Penyelidikan PAS Pusat]
Ada pandangan bahawa model gerakan Islam yang bergerak atas identiti parti politik seperti PAS adalah tidak sesuai. Mereka berpandangan model pengasingan antara jamaah atau gerakan Islam dan parti politik adalah lebih mantap dan praktikal. Contoh yang diberi ialah Ikhwan dan sayap politiknya Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP). Alasannya, model penggabungan akan menyebabkan berlaku pertembungan antara bahasa dakwah dan bahasa siasah, lantas ia boleh menjejaskan sokongan politik. Selain itu wujud pertembungan antara keperluan untuk mempelopori kebebasan bersuara dalam jamaah melalui konsep demokrasi dengan keperluan untuk patuh kepada parti mengikut konsep amal jamai.
Pandangan ini mempunyai asas dan hujah yang perlu ditelitikan.
Namun persoalan pokok yang perlu dilihat ialah: Apakah model gerakan Islam yang paling sesuai dari aspek entiti dan identity gerakan itu? Adakah gerakan Islam perlu wujud sebagai payung kepada organisasi-organisasi dalam bidang pelbagai seperti parti politik, badan pendidikan, badan kebajikan dan lain-lain? Atau lebih baik gerakan Islam itu sediri wujud sebagai satu organisasi yang menggabungkan semua urusan di dalam satu organisasi. Dalam konteks perbincangan ini persoalan lebih menjurus kepada entiti gerakan Islam dan entiti politik yang dinaunginya, adalah perlu berasingan atau bergabung.
Perlu diingat setiap model ada kebaikan dan kelemahan. Dan sesuatu model mungkin sesuai di sesebuah negara, tetapi tidak sesuai di nagara lain. Selain itu tidak ada model yang sesuai sepanjang zaman. Masa dan persekitaran boleh mengubah fakta kesesuaian model gerakan Islam dalam menerajui gerakan siasah. Namun dalam konteks Malaysia, saya berpandangan model yang diamalkan oleh PAS sekarang iaitu penggabungan entiti antara gerakan Islam dan badan siasah adalah model yang paling praktikal untuk mendepani politik semasa.
Konsep pengasingan memang satu konsep yang ideal. Nampak cantik dan lancar. Namun ia mendatangkan masalah yang lain. Misalnya konflik yang lebih dahsyat akan timbul dalam menentukan tahap kawalan gerakan Islam ke atas parti itu. Jika terlalu longgar, ia membawa risiko pemisahan mutlak. Jika terlalu ketat, ia akan dianggap tidak demokratik.
Saya percaya Ikhwan dan FJP sedang berdepan dengan masalah ini.
Bukan itu sahaja, rakyat pun boleh mempertikaikan ketelusan parti yang dibawah kawalan gerakan Islam itu. Jika parti terikat dengan sebuah organisasi lain yang lebih induk, tergambar kepada rakyat bahawa terdapat satu kuasa luar yang tidak tertakluk kepada pentas politik yang mengawal segala-galanya. Tentunya parti ini tidak digemari. Lebih teruk lagi jika parti itu memimpin kerajaan. Entiti yang mengawal parti akan dianggap campur tangan dalam urusan pemerintahan, dalam keadaan mereka tidak pernah terjun dalam pentas politik.
Melihat kepada hipotesis ini, maka kewujudan gerakan Islam dan parti politik secara tercantum seperti PAS adalah lebih meyakinkan rakyat dan lebih telus dari sudut pandangan demokrasi.
Selain itu, pemisahan entiti gerakan Islam dan parti politik juga mendatangkan risiko masalah dan konflik dalam konteks pengurusan bakat dan kepimpinan pelapis. Gerakan Islam tentunya diberi berperanan untuk melahirkan pelapis kepada parti politik, namun pemimpin parti pula tentunya mempunyai kecenderungan tersendiri dalam menentukan pelapis mereka. Keadaan akan menjadi lebih kompleks jika ditetapkan bahawa anggota parti dilatih dan dilahirkan melalui satu entiti yang berasingan pula.
Perlu diingat bahawa setiap entiti atau organisasi mempunyai budaya atau sub-budaya masing-masing.
Setiap peneraju dalam entiti yang berbeza pula mempunyai kecenderungan dan penilaian yang berbeza-beza. Hal ini akan membawa kepada konflik berpanjangan dalam menguruskan pertalian antara gerakan Islam selaku entiti induk dan parti politik serta badan latihan selaku entiti khusus. Walau pun kelihatan cantik di atas kertas, namun hakikat sebenar tidak lah seindah yang disangkakan.
Selain itu penglibatan petugas Islam dalam demokrasi merupakan satu cabaran dunaiwi yang hebat. Orientasi demokrasi yang kadang-kadang boleh menyebabkan petugas Islam terpesong dari cita-cita perjuangan sebenar. Antara cabaran demokrasi yang boleh membawa pemesongan ialah:
- Orientasi pertembungan (adversarial) yang boleh menghakis jatidiri petugas Islam sebagai pendakwah;
- Orientasi mengejar kuasa yang boleh menggalakkan penyakit hub riyasah;
- Orientasi mengutamakan kebebasan dalam demokrasi boleh mendorong kepada perjuangan kebebasan yang melampau sehingga mengenepikan citra Islam dalam falsafah hak dan kebebasan;
- Orientasi propaganda politik yang boleh mengikis sikap mengakui kelemahan sendiri dan menghargai kebaikan pihak lawan; dan
- Orientasi mengejar populariti yang boleh menjejaskan kejernihan hati.
Oleh itu model penggabungan seperti yang diamalkan PAS tentunya lebih bulat, utuh dan senang untuk mencapai muafakat. Dua kelemahan iaitu konflik antara bahasa dakwah dan bahasa siasah, serta masalah konflik antara demokrasi dan ketaatan, tidak dinafikan wujud. Namun kedua-dua kelemahan ini adalah cabaran yang perlu ditangani, bukannya penyebab untuk meninggalkan perjuangan PAS.
Secara peribadi kunci kepada penyelesaian masalah ini ialah kejujuran. Politik Islam berasaskan kejujuran—iaitu tidak bercakap semata-mata untuk meraih sokongan, tetapi bercakap untuk menyatakan kebenaran disamping untuk mendidik rakyat. Memang terkadang gerak politik Islam kelihatan janggal dari kaca mata pertimbangan politik sekular, kerana politik sekular berpusatkan undi dan populariti.
Pendirian dan kenyataan pemimpin gerakan Islam dibuat berasaskan prinsip Islam, untuk tujuan dakwah dan siasah jangka panjang, kadang kala mendatangkan kesan buruk kepada undi dan populariti. Namun, inilah sebahagian dari pada cabaran yang perlu ditangani. Hakikat ini tidak bermakna undi dan populariti langsung tidak diambil peduli. Undi dan populariti penting dalam penglibatan demokrasi, namun ia tidak boleh mengatasi agenda besar perjuangan Islam untuk menyebarkan rahmat Islam kepada seluruh manusia.
Selain itu pertembungan antara kebebasan bersuara dalam sesebuah organisasi yang menjadi teras kepada fahaman demokrasi, dan ketaatan kepada organisasi serta kepimpinan mengikut fahaman amal jamaie bukanlah satu pertentangan yang serius.
Asas kepada penyelesaian pertembungan ini ialah kebijaksanaan dalam menentukan garis ketaatan yang sesuai dengan prinsip Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahualaihi wasallam.
Apabila gerakan Islam menerima demokrasi, ia tidak bermakna fahaman demokrasi itu yang mengatasi prinsip berorganisasi secara Islam. Bahkan demokrasi itu sendiri terlalu longgar untuk dianggap satu ‘prinsip’. Garis ketaatan dan kebebasan yang ada dalam sistem organisasi Islam sudah cukup untuk dijadikan sandaran dalam menentukan akhlak dan tatacara ahli serta pemimpin gerakan Islam. Tentunya kita yakin, prinsip Islam ini lebih adil, lebih tepat dan lebih berkesan berbanding apa sahaja sistem yang diberi nama oleh manusia.
Masalah yang wujud hari ini ialah kewujudan individu yang cenderung kepada pendekatan melampau yang menjejaskan keindahan sistem kepimpinan dan ketaatan dalam Islam. Masalah sikap yang melampau ini bukan sahaja wujud dalam kelompok Islam, bahkan juga ada di mana-mana organisasi termasuk yang dianggap sebagai badan demokratik. Ringkasnya, masalah sebenar bukanlah pertembungan antara pendekatan demokrasi dan prinsip amal jamaie, tetapi ia berkaitan dengan sikap dan kelemahan manusia yang memerlukan usaha pembetulan yang berterusan.
Kesimpulannya, kedudukan PAS sebagai sebuah gerakan Islam sekaligus berdaftar sebagai sebuah parti politik dan terlibat secara langsung dengan pilihan raya merupakan satu pilihan yang terbaik dalam realiti yang ada ini. Model ini mempunyai kelemahan dan cabaran yang tersendiri, namun ia tetap menjadi model yang paling berkesan dan mudah untuk ditangani. Bahkan model ini lebih serasi dengan sifat Islam yang bersifat syumul apabila kesyumulan Islam itu diterjemahkan dalam bentuk kesyumulan tanzim.
Mungkin juga perbahasan dari sudut sirah perjuangan Rasulullah juga dapat menyokong kebaikan model penggabungan ini. Rasulullah sallallahualaihi wasallam – begitu juga khulafa’ al-rasyidin selepasnya – adalah pemimpin politik, dan dalam masa yang sama menjadi pemimpin utama umat Islam. Namun demikian, penilaian berterusan, pembaharuan dan penambahbaikan model gerakan Islam ini tetap perlu bagi memastikan gerakan Islam sentiasa dapat bersaing mengikut perubahan zaman dan suasana.