04 April 2016

04 April 1997 : PAS Anjur Demonstrasi Bantah Pasukan Kriket Israel Ke Malaysia

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1997, Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengadakan perhimpunan kemuncak untuk membantah kehadiran pasukan kriket dari negara haram Israel ke kejohanan kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) di Kuala Lumpur. Perhimpunan yang disertai oleh lebih 2,000 demonstran ini diadakan di depan Masjid ar-Rahman, Universiti Malaya sebaik sahaja selesai solat Jumaat.

Isu pasukan kriket Israel ini timbul apabila Kerajaan Malaysia pada 21 Mac 1997 meluluskan visa untuk membenarkan pasukan kriket Israel datang Malaysia. Sebelum ini, isu hubungan Malaysia-Israel telah dibangkitkan ekoran kenyataan Pengerusi Kumpulan Melewar Corp. Sdn Bhd, Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman pada 6 Julai 1994 bahawa beliau telah berkunjung ke Israel, iaitu rakyat Malaysia pertama ke Israel sejak 1957. Pada 6-9 Julai 1994, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed ketika berada di Paris, dilaporkan menemui pemimpin Zionis, Yitzhak Rabin dan Shimon Peres, iaitu masing-masing adalah Perdana Menteri dan Menteri Luar Israel.

Berlanjutan dari kelulusan visa kepada pasukan kriket Israel ini, Dewan Pemuda PAS telah melancarkan siri-siri bantahan bermula dengan demonstrasi dan perarakan membantah Israel di Dataran Merdeka pada 25 Mac 1997 yang diketuai Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Chik mengetuai pemuda-pemuda bersama Haji Mohamad Sabu (Naib Ketua), Haji Mahfuz Omar (Setiausaha), Salahuddin Ayub (Ketua Penerangan) dan Dr Mohd Hatta Ramli (Ketua Pemuda Selangor). Kemudian siri-siri bantahan dibuat di peringkat negeri di Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Perak. Mahasiswa Islam dari UM, UPM, UKM, UTM, UIAM dan ITM turut menyertai bantahan ini, di mana mahasiswa juga membuat demonstrasi berasingan di depan UM pada 28 Mac 1997, sedangkan Dewan Pemuda PAS mengadakan bantahan di negeri masing-masing pada hari yang sama.

Kemuncak kepada bantahan ini dibuat di Masjid ar-Rahman pada 4 April 1997 dengan dipimpin oleh Haji Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan Ustaz Misbahul Munir Masduki, di mana para demonstran telah diserbu oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan bom asap dan semburan asid yang mengakibatkan 250 orang ditahan di lokap Balai Polis Brickfield. Selain ditahan, ramai peserta bantahan ini yang turut mengalami kecederaan. 44 orang daripada mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1998.

Setelah hampir tiga bulan dibicarakan, pada 20 Oktober 1997, empat orang telah dipanggil membela diri, manakala 40 yang lain dibebaskan. Mereka yang dipanggil membela diri ialah Haji Mahfuz Omar (Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Salahuddin Ayub (Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat), Ustaz Minghat Mahmud (Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka) dan Jamaluddin Abdul Manaf (Pak Amjal) (Ketua Cawangan PAS Flat UDA, Lembah Pantai). Mereka didapati bersalah pada 10 November 2000 dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 atau penjara sebulan. Ustaz Minghat yang uzur ketika itu memilih untuk membayar denda, sedangkan tiga yang lain memilih dipenjara. Mereka kemudiannya dibebas pada 8 Disember 2000 setelah sebulan ditahan di Penjara Kajang.

Tiada ulasan: