29 April 2016

29 April 1966 : Kursus Politik Ahli PAS Di Pantai Timur Di Adakan Di Kota Bharu

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1966, PAS telah berjaya menamatkan kursus politik untuk ahli-ahlinya di Kawasan Pantai Timur yang berlangsung selama lima hari sejak 25 April 1966 di Kota Bharu. Kursus ini merupakan sebahagian dari rancangan yang disusun oleh PAS untuk membangunkan ahli-ahlinya bukan sahaja untuk memahami dasar-dasar perjuangan PAS, tetapi juga untuk memahami aspek pembangunan dan pentadbiran kerajaan. Sebenarnya kursus-kursus tak berkala ini adalah program tarbiyah PAS pada peringkat awal dalam konteks pembinaan ahli PAS, sebelum sistem tarbiyah haraki diperkenalkan pada pertengahan 1970-an.

Pada peringkat awal, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menyusun satu rancangan menyeluruh pada 13 Ogos 1965 bagi mengadakan siri-siri kursus ini kepada seluruh ahli PAS mengikut zon. Beberapa zon tarbiyah telah dibentuk iaitu Kawasan Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Seberang Perai dan Perak Utara), Kawasan Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan Kawasan Selatan (Perak Selatan, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor). Namun begitu, rancangan tarbiyah yang telah disusun untuk sepanjang tahun 1966 ini terbantut ekoran beberapa pilihan raya kecil yang berlaku iaitu di Jitra, Kedah (19 Ogos 1965), Krian Laut, Perak (12 Mac 1967), Sungai Baru, Melaka (19 Mac 1966) dan Bruas, Perak (4 Jun 1966) yang mana PAS telah bertanding di semua kerusi tersebut.

Ekoran daripada kesibukan pilihan raya kecil ini, PAS terpaksa menangguhkan semua kursus yang telah dirancang dan akhirnya berjaya melaksanakan kursus untuk Kawasan Pantai Timur bermula 25 hingga 29 April 1966. Dalam kursus ini, sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan termasuk kertas bertajuk 'Dasar Perjuangan PAS' oleh Ustaz Amaluddin Darus. Pembentang lain yang terlibat ialah Ustaz Abdullah Nakula, Wan Mustapha Ali, Ustaz Khaidir Khatib, Ustaz Baharuddin Abdul Latif dan Haji Ahmad Abdullah Perai. Para peserta juga turut diberikan taklimat tentang lawatan Dato' Mohd Asri Haji Muda dan Ustaz Abu Bakar Hamzah ke Asia Barat, selain turut di bawa melawat tanah-tanah rancangan yang dibangunkan oleh Kerajaan PAS Kelantan di Ulu Kelantan.

Ekoran kejayaan kursus yang berakhir pada 29 April 1966 ini dalam meningkatkan kefahaman ahli-ahli PAS terhadap perjuangan, maka Dewan Pemuda PAS Pusat telah menyusun beberapa siri kursus lanjutan sepanjang 1965-1966 untuk memperkenalkan sejarah dan kandungan al-Quran dan hadis, perbezaan demokrasi Islam dan Barat, sistem politik dan pemerintahan Islam, masyarakat dan kebudayaan Islam, falsafah Islam serta kefahaman terhadap Perlembagaan Persekutuan. Setelah itu diadakan secara tersusun kursus-kursus yang dikenali sebagai Gerakan Insaf (1968), Gerakan Syuhada (1969) dan Gerakan Seksi (section) Pembinaan Mental (SPEM) pada 1970 untuk memperkenalkan cita-cita perjuangan politik Islam.

Tiada ulasan: