19 November 2025

Belanjawan Selangor 2026 : Rakyat Terbeban, Kerajaan Terus Beretorik

Ketika rakyat Selangor bergelut setiap hari dengan harga barang yang melambung, pendapatan yang tidak mencukupi dan tekanan hidup yang semakin menghimpit, Belanjawan Selangor 2026 yang dibentangkan baru-baru ini sebenarnya menonjolkan jurang ketara antara retorik kerajaan dan realiti rakyat.

Sama ada kita sedari ataupun tidak, Selangor kini merekodkan inflasi 1.8%, lebih tinggi daripada purata kebangsaan, dengan kenaikan harga makanan, minyak masak, sayur, ikan serta perkhidmatan harian yang semakin mahal sehingga ada kategori barangan meningkat hampir 50%. Cukai Jualan & Perkhidmatan (“SST”) dengan kadar 5–10% pula terus memburukkan harga barangan bukan keperluan asas. Ironinya, Kerajaan Selangor tidak membentangkan sebarang pelan konkrit untuk menurunkan harga atau meningkatkan kemampuan rakyat menghadapi lonjakan kos sara hidup.

Selangor juga menjadi negeri tertinggi bilangan rakyat yang gagal membayar bil elektrik, menandakan isi rumah berada dalam tekanan kewangan yang kritikal. Gaji median RM2,900 jauh tertinggal di belakang kos sara hidup sebenar RM5,854 untuk hidup selesa di Selangor. Pendapatan sebenar rakyat merosot hampir RM3,000 akibat inflasi, kuasa beli jatuh, dan kemiskinan bandar semakin meningkat. Tekanan hidup ini turut menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental, termasuk kemurungan yang semakin membimbangkan. Malangnya, Belanjawan Selangor 2026 terus mengabaikan semua faktor ini dan gagal mengemukakan strategi pemulihan yang menyentuh akar masalah.

Sementara itu, beban hutang rakyat naik mendadak. Hutang isi rumah negara kini mencecah RM1.65 trilion. Penggunaan ‘Buy Now Pay Later’ (“BNPL”) meningkat 31% kerana rakyat tidak lagi mampu membeli barangan asas secara tunai. Lebih membimbangkan, KWSP Akaun 3 yang sepatutnya menjadi simpanan kecemasan digunakan untuk membayar hutang bulanan. Namun, Kerajaan Selangor terus tenggelam dalam naratif ekonomi global seolah-olah tidak menyedari rakyat Selangor sedang menanggung tekanan kehidupan yang makin menghimpit.

Dalam isu perumahan pula, kegagalan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (“PKNS”) terlalu ketara untuk dinafikan. Rumah Selangorku masih tidak mencukupi untuk B40 dan belia, projek rumah mampu milik terus tertangguh, malah ada yang diserahkan kepada pemaju swasta tanpa kawalan harga. PKNS pula menyimpang jauh daripada mandat asalnya. Bukannya membina rumah kos rendah di kawasan seperti Paya Jaras dan Saujana Utama, PKNS lebih rancak membina rumah mewah serta mencadangkan projek padang golf di atas tanah industri yang boleh menempatkan sehingga 20,000 unit rumah mampu milik. Komitmen PKNS hanya 10,000 unit menjelang 2030 berbanding sasaran negeri 200,000 adalah bukti kelemahan luar biasa. Tambahan pula, tindakan menjual hak pembangunan (‘development rights’) PJ Sentral pada nilai rendah hanya menambah keraguan terhadap integriti pengurusan.

Kelemahan tadbir urus Kerajaan Selangor semakin terserlah apabila konsesi tempat letak kereta Selmax cuba diklasifikasikan tanpa pendedahan maklumat tender dan struktur saham. Dalam masa yang sama, kegagalan mengurus isu SACC Mall dan projek Aneka Walk lewat bertahun, akses ditutup setahun sehingga ramai penyewa gulung tikar, permohonan diskaun sewa 80% tidak diurus, semua ini menunjukkan Kerajaan Selangor lebih memilih untuk menutup kelemahan sendiri daripada mempertahankan nasib rakyat.

Lebih mendukacitakan, masalah turut meresap ke sektor pendidikan Islam. Pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (“JAIS”) semakin sukar, dengan pelbagai syarat ketat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (“PBT”) yang tidak selaras dengan realiti operasi sekolah-sekolah swasta bersifat komuniti. Kebimbangan memuncak apabila lebih 20 buah sekolah swasta dilaporkan ditamatkan pendaftarannya baru-baru ini, menyebabkan ratusan anak-anak Selangor terkesan tanpa sebarang jalan penyelesaian yang jelas. Tindakan penutupan ini bukan sahaja menjejaskan akses pendidikan Islam rakyat Selangor, tetapi juga mencerminkan kegagalan Kerajaan Selangor memastikan ekosistem pendidikan Islam berjalan dengan tertib, tersusun dan mesra masyarakat.

Rakyat yang bijak mampu membuat satu kesimpulan bahawa: Belanjawan Selangor 2026 tidak lebih daripada pentas retorik yang dihiasi nama Schumpeter, Piketty dan Umberto Eco, tetapi kosong daripada penyelesaian yang mengisi perut rakyat. Selagi Kerajaan Selangor enggan mengakui dan menangani isu sebenar seperti harga barang, pendapatan, perumahan dan tadbir urus, Selangor tidak akan pernah mencapai status “Juara” yang dibanggakan oleh YAB Menteri Besar.

Tiada ulasan: