30 September 2016

30 September 2011 : PAS Pertegas Pendirian Hudud Bagi Menghadapi Tentangan DAP

Pada hari ini dalam tahun 2011, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengeluarkan satu kenyataan untuk mempertegaskan pendirian PAS yang mahu melaksanakan hukum hudud setelah isu ini kembali menjadi polemik. Ternyata isu hudud yang dibangkitkan semula oleh media sejak 21 September 2011 telah menggugat kestabilan Pakatan Rakyat (PR) yang ditubuhkan pada 1 April 2008.

Isu hudud bukan sahaja menarik perhatian rakan-rakan dalam PR terutama DAP, tetapi juga para pemimpin Umno yang turut menghangatkan lagi polemik ini. Isu hudud ini timbul semula ekoran satu kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada media sempena Sambutan Hari Hududullah di Kota Bharu pada 20 September 2011. Ekoran kenyataan Mursyidul Am PAS yang bertegas mahu Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah itu, ia telah mendapat reaksi negatif dari Pengerusi DAP, Karpal Singh. Menjawab sikap keras pemimpin DAP yang tidak mahu mengiktiraf kewujudan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu (Hudud dan Takzir) 2003, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bertegas bahawa DAP boleh keluar dari PR jika mereka tidak mahu menerima undang-undang Islam itu. Para pemimpin DAP sebaliknya mendesak PAS supaya berpegang dengan Platform Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan Buku Jingga.

Turut memberi respon terhadap ketegasan PAS dalam melaksanakan hukum Allah ini ialah para pemimpin Umno. Bagi para pemimpin Umno, mereka berpegang bahawa hudud adalah hukum Allah, tetapi berpendapat ia belum sesuai dilaksanakan di negara ini. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hudud tidak sesuai dilaksanakan kerana faktor masyarakat majmuk, sedang Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, masyarakat perlu terlebih dahulu diberikan kefahaman sebelum undang-undang syariat dilaksanakan. Manakala bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat keadaan Malaysia belum kondusif untuk melaksanakan hudud.

Disebabkan oleh pendirian pelbagai pihak, terutama komponen PR yang masih berkeras tidak mahu menerima perlaksanaan hudud ini, PAS pada 30 September 2011 telah mempertegaskan pendiriannya, iaitu:

I. Perjuangan PAS tetap akan berlangsung dalam kerangka demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan jaminan kekebasan mengamalkan agama;
II. Komitmen PAS untuk melaksanakan perubahan dalam negara ini berdasarkan Platform Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan Dokumen Buku Jingga;
III. PAS kekal berpegang dengan prinsip negara berkebajikan yang menuntut perlaksanaan keadilan Islam, dan menolak segala bentuk kezaliman;
IV. Penafsiran terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah antara PAS dan DAP adalah relatif, dan ia perlu ditentukan oleh mahkamah; dan
V. Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu telah wujud sebelum wujudnya PR, dan negeri-negeri tersebut berhak mengkanunkannya setelah Kerajaan Pusat bersedia membenarkan perlaksanaannya. Rakyat Kelantan yang memilih PAS yang beradasarkan Islam juga berhak mengamalkan segala ajaran agamanya.

Disusun oleh: Arkib PAS

29 September 2016

29 September 1977 : Dato' Mohamad Nasir Dipecat Dari PAS Kerana Tindakan Merugikan Parti

Pada hari ini dalam tahun 1977, Jawatankuasa Kerja Agung PAS dalam satu mesyuarat khasnya telah mengambil keputusan untuk memecat keahlian Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohamad Nasir kerana gagal memenuhi arahan parti supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan. Tindakan Jawatankuasa Kerja Agung PAS memecat Dato’ Mohamad Nasir ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan krisis politik Kelantan setelah Menteri Besar itu bertindak merugikan kepentingan parti. Setelah beberapa kali memberi peluang kepada Dato’ Mohamad Nasir untuk menyelesaikan krisis ini secara baik, akhirnya PAS terpaksa memecat keahlian beliau dalam PAS.

Isu Dato’ Mohamad Nasir tercetus sebaik sahaja berakhir Pilihan Raya Umum 1974 di mana PAS yang mengetuai BN di Kelantan telah menamakan Wan Ismail Ibrahim (Sungai Rasau) sebagai calon Menteri Besar Kelantan menggantikan Dato’ Haji Ishak Lotfi Omar, tetapi kerana peranan yang dimainkan pemimpin Umno, Tengku Razaliegh Hamzah dan Abdullah Ahmad, telah menyebabkan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein menolak calon PAS. Tun Abdul Razak Hussein sebaliknya menamakan Dato’ Mohamad Nasir (Tendong) sebagai Menteri Besar Kelantan, dan PAS terpaksa menerimanya demi keharmonian BN. Dato’ Mohamad Nasir yang menganggap dirinya sebagai “Menteri Besar BN” bukan “Menteri Besar PAS” pada 7 Mei 1975 membuat satu kenyataan yang menimbulkan kemarahan pimpinan PAS Kelantan sehingga timbul desakan supaya beliau meletakkan jawatan.

Setelah beberapa tindakan yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS, krisis ini berjaya dipulihkan dan keadaan menjadi reda. Pada 20 November 1976, Dato’ Mohamad Nasir telah memaklumkan secara bertulis kepada Dato’ Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS tentang hasratnya untuk meletakkan jawatan mulai 31 Ogos 1977 atas alasan kesihatan. Pihak Istana Kelantan juga telah dimaklumkan tentang hasrat Dato’ Mohamad Nasir untuk melepaskan jawatan, tetapi perkara ini diketahui oleh pemimpin Umno, lalu mempengaruhi beliau supaya jangan berbuat demikian. Sebaliknya Dato’ Mohamad Nasir bertindak menyerang pemimpin PAS Kelantan dengan pelbagai tuduhan penyelewengan dan salah laku. Sedangkan ketika itu, PAS Kelantan sedang membuat persiapan untuk melantik Menteri Besar Kelantan yang baru.

Pada 31 Ogos 1977, ternyata Dato’ Mohamad Nasir bukan sahaja gagal memenuhi janji untuk meletakkan jawatan, bahkan mula menyerang PAS secara terbuka. Ini menimbulkan kemarahan ADUN-ADUN PAS sehingga mereka pada 8 September 1977 telah mendesak Menteri Besar Kelantan itu meletakkan jawatan sebelum 28 September 1977 atau satu usul tidak percaya akan dibuat ke atas beliau. Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 10 September 1977 mengesahkan pendirian wakil-wakil rakyat tersebut dan mahu satu tindakan tataterbib diambil jika Dato’ Mohamad Nasir terus berdegil sehingga 20 September 1977. Dato’ Mohamad Nasir sebaliknya pada 18 September 1977 telah bertindak menolak kata dua PAS Kelantan terhadapnya. Pada 26 September 1977, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Haji Ishak Lotfi Omar telah mengemukakan laporan krisis Kelantan ini kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS, yang diikuti oleh persetujuan supaya Menteri Besar itu melepaskan jawatannya.

PAS Pusat juga memutuskan supaya PAS Kelantan menarik balik kertas kerjanya tentang krisis tersebut dan ADUN-ADUN menarik balik usul undi tidak percaya yang dicadangkan, serta Dato’ Mohamad Nasir diarahkn supaya tidak membuat sebarang kenyataan kepada media sepanjang krisis ini. Di sebalik kesediaan semua pihak mematuhi keputusan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 September 1977 itu, Dato’ Mohamad Nasir bukan sahaja tidak melepaskan jawatannya pada 28 September 1977, tetapi berterusan membuat kenyataan kepada media. Atas sebab tersebut, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 29 September 1977 telah mengambil keputusan untuk melucutkan keahlian beliau dari PAS. Walaupun keputusan ini menghadapi isu teknikal kemudiannya, namun pemecatan ini telah disahkan semula oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 10 Oktober 1977 dan diikuti oleh usul undi tidak percaya ke atas beliau di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977.

Disusun oleh: Arkib PAS

27 September 2016

27 September 1998 : Ustaz Fadzil Mohd Noor Lancarkan Pengisytiharan GERAK

Pada hari ini dalam tahun 1998, Pengerusi Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK), Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor telah melancarkan Perisytiharan GERAK dalam satu perhimpunan terbesar di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar untuk mendesak kerajaan mengembalikan keadilan kepada rakyat. Perisytiharan GERAK ini dibuat adalah ekoran dari tindakan Kerajaan BN menyalahgunakan ISA untuk menahan musuh-musuh politik mereka dalam krisis politik 1998. Majlis perisytiharan yang dihadiri oleh lebih 200,000 rakyat ini sebenarnya adalah pelancaran penubuhan GERAK itu sendiri.

GERAK telah ditubuhkan pada 22 September 1998 dalam satu pertemuan parti-parti politik, NGO dan individu-individu ternama yang diinisiatifkan oleh PAS di Markaz Tarbiyah PAS Pusat. Dalam pertemuan ini mereka bersetuju agar ditubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang kemudiannya melantik Presiden PAS, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor sebagai Pengerusi GERAK dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar sebagai Ketua Sekretariat GERAK, manakala setiap badan yang menyertai GERAK melantik dua orang wakil sebagai Ahli Jawatankuasa GERAK. GERAK disertai oleh PAS, PRM, DAP, PUM, JIM, ISMA, ABIM, PKPIM, SUARAM, CAP, TERAS, PKPIM, GAMIS, URUS, PPIK dan YATIM, selain tiga individu iaitu Dato’ Ishak Baharum (bekas Mufti Selangor), Prof Emeritus Shahnon Ahmad (Sasterawan Negara) dan Dr Abdul Aziz Bari (pensyarah UIAM).

Isu kezaliman dan penyalahgunaan ISA ini bermula dengan krisis kepemimpinan Umno apabila Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkrisis sehingga membawa kepada pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 dan pemecatan beliau sebagai ahli Umno keesokkannya. Ekoran itu, pada 8 September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan gerakan Reformasi dan melakukan jelajah untuk menerangkan kepada rakyat tentang tuduhan liwat dan rasuah yang ditujukan ke atas beliau. Pada 20 September 1998, beliau mengadakan perhimpunan besar-besaran di Masjid Negara dan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebagai kemuncak jelajah ini. Akibatnya, pada malam tersebut beliau ditahan di bawah ISA, diikuti oleh penahanan 16 orang lagi penyokong utama beliau di bawah ISA.

Mengambil langkah politik daripada tindakan zalim tersebut, PAS telah berjaya mempelopori penubuhan GERAK pada 22 September 1998 dan diikuti oleh pelancaran GERAK pada 27 September 1998. Dalam majlis pelancaran GERAK ini, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mengemukakan Perisytiharan GERAK yang mengandungi beberapa tuntutan, antaranya ialah mendesak Kerajaan BN hendaklah menghentikan operasi penahan ISA serta-merta, menuntut supaya semua tahanan tidak dizalimi dan dianiaya serta mendesak semua tahanan dibebaskan dengan segera atau didakwa di mahkamah terbuka, sekali gus menghapuskan ISA. GERAK juga telah menyusun beberapa tindakan politik termasuk akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, menghantar surat tuntutan, membuat petisyen bantahan, menemui media dan wakil kedutaan asing serta mengadakan kempen-kempen kepada rakyat bagi mengembalikan keadilan kepada mereka.

Walaupun GERAK bukanlah sebuah kerjasama politik pilihan raya antara parti-parti pembangkang, sebaliknya adalah kerjasama kemanusiaan dan menentang kezaliman, PAS telah menerima dampak yang besar daripada penubuhan GERAK. Kemasukkan keahlian besar-besaran sehingga mencecah 15,000 orang sebulan dan pertumbuhan cawangan-cawangan PAS secara mendadak telah berlaku. Dalam konteks politik, GERAK telah menjadi perintis kerjasama pembangkang, terutama kerjasama PAS-DAP yang membawa kepada tertubuhnya Barisan Alternatif (BA) pada 28 April 1998 yang menghasil kemenangan kepada PAS di Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999, sekali gus membolehkan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Disusun oleh: Arkib PAS

26 September 2016

26 September 1953 : Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan Letak Jawatan Yang Dipertuan Agung PAS

Pada hari ini dalam tahun 1953, Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah meletakkan jawatan sebagai pemimpin tertinggi PAS dalam Mesyuarat Agung Khas PAS di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam. Beliau berbuat demikian setelah Mesyuarat Agung Khas PAS tersebut memutuskan supaya PAS bersama National Convention dan keluar dari National Conference. Ketika mengumumkan perletakan jawatannya, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan menegaskan bahawa beliau tidak dapat memimpin PAS yang mempunyai keputusan yang berbeza dengan pendirian peribadinya yang mahu PAS bersama National Conference.

Penglibatan PAS dalam politik nasional mulai menonjol apabila PAS menjadi parti Melayu tunggal yang menyertai National Conference tajaan 16 orang kenamaan termasuk tujuh Menteri Besar yang dikepalai oleh Dato’ Onn Jaafar pada 27 April 1953. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan selaku Yang Dipertua Agung PAS telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa National Conference. Menangani pengaruh Dato’ Onn Jaafar ini, Yang Dipertua Agung Umno, Tunku Abdul Rahman Putra telah menubuhkan National Convention dan turut menjemput PAS menyertainya dalam perhimpunan pada 23 Ogos 1953. PAS kemudian turut menyertai National Convention anjuran Perikatan Umno-MCA serentak. Kedua-dua badan tersebut adalah bertujuan untuk menuntut pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri, di mana National Conference mahu pilihan raya umum diadakan dalam tahun 1956, sedangkan National Convention menuntut ia diadakan pada 1954.

Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan yang dilahirkan pada 1910 di Ulu Piol, Manong, Perak merupakan bekas pelajar di Madrasah Idrisiah dan berguru dengan Sheikh Abdullah Fahim, sebelum menamatkan Qismu Ali di Maahad Il Ihya as-Syariff di bawah Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Mekah dan berguru Sheikh Hassan Said Yamani. Pulang dari Mekah pada 1938, beliau mengajar di Madrasah Idrisiah sebelum berhijrah ke Terengganu untuk mengikuti gurunya, Sheikh Hassan Said Yamani yang dilantik sebagai Mufti Terengganu. Selain belajar dengan Sheikh Hassan Said Yamani di Terengganu, beliau dilantik dengan pelbagai jawatan kerajaan termasuk Pemangku Pesuruhjaya Agama Terengganu pada zaman Jepun, di mana beliau pernah menyertai dua persidangan ulamak anjuran Gunseikan Bu. Selepas Perang Dunia Kedua, beliau menjadi Setiausaha Persatuan Kebajikan Islam Terengganu (PERKASA) yang mula aktif dalam Umno sejak 1950.

Pada awal 1951, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatakuasa Penasihat Agama Umno merangkap Pengerusi Bahagian Agama Umno. Beliau juga adalah ulamak yang pertama dilantik menduduki Majlis Undangan Persekutuan pada 1951, sebelum beliau memimpin Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 23 Ogos 1951 untuk menubuhkan PAS. Dalam persidangan Persatuan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kechil pada 24 November 1951, beliau telah dipilih sebagai Yang Dipertua PAS yang pertama, sebelum dilantik semula dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama di Kepala Batas pada 3 Januari 1953 dan lantikan ketiga pada 27 Ogos 1953 iaitu dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua di Bagan Datoh. Walau bagaimanapun, dalam mesyuarat agung di Bagan Datoh ini, beliau dikritik keras kerana tindakan PAS menyertai kedua-dua badan yang berlainan sikap secara serentak, dan didesak untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas PAS.

Pada 11 September 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya PAS mengadakan Mesyuarat Agung Khas PAS pada 26 September 1953 bagi menentukan sama ada PAS bersama National Conference atau National Convention. Dalam mesyuarat agung khas ini, beliau telah mencadangkan supaya PAS bersama National Conference, tetapi Haji Ahmad Badawi Abdullah mencadangkan supaya PAS bersama National Convention. Apabila Mesyuarat Agung Khas PAS membuat keputusan supaya PAS bersama National Convention, beliau mengumumkan untuk meletak jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS sekali gus keluar dari PAS. Pada 27 September 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membuat rayuan supaya ia ditarik balik, tetapi beliau memberi syarat dengan PAS mengubah keputusannya. Oleh kerana syarat beliau ditolak oleh PAS, beliau memilih untuk kekal dengan keputusannya dan menyertai Parti Negara yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn Jaafar pada 28 Februari 1954.

Disusun oleh: Arkib PAS

25 September 2016

25 September 1994 : Semangat 46 Cadang PAS Bertanding Sekadar Di DUN Ditolak

Pada hari ini dalam tahun 1994, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil pendirian untuk menolak cadangan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) agar PAS memberikan fokus untuk bertanding di kerusi DUN sahaja dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan yang dijangka berlangsung dalam tahun 1995. Menurut cadangan PMS46, iaitu sekutu PAS dalam kerjasama politik PAS-Angkatan, PAS sewajarnya bertanding di kerusi DUN di negeri-negeri Melayu sahaja iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, sedangkan semua kerusi Parlimen perlu diserahkan kepada PMS46. Cadangan ini telah dikemukakan oleh PMS46 dalam satu rundingan pengagihan kerusi antara kedua-dua parti pada 14 September 1994.

Kerjasama PAS-PMS46 yang asalnya terbentuk sejak 1988 kerana wujudnya kerjasama PAS-Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990. Angkatan yang dianggotai oleh Berjasa, Hamim, PMS46 dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) telah berjaya membentuk kerajaan di Kelantan setelah menyapu bersih semua kerusi Parlimen dan DUN dalam Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990. Antara strategi penyusunan kerusi pada 1990 ialah PAS diberikan kerusi DUN yang lebih banyak di Kelantan, sedang PMS46 mendapat lebih kerusi Parlimen, kerana PMS46 akan memimpin Kerajaan Pusat, sedangkan PAS akan memimpin Kerajaan Negeri. Atas sebab itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan pada 22 Oktober 1990.

Sepanjang tempoh antara 1990 hingga 1994, PAS telah menyertai lima pilihan raya kecil iaitu DUN Serkam, Melaka (14 Disember 1991), DUN Jerlun, Kedah (19 Disember 1991), Parlimen Jerai, Kedah (4 Mac 1992), DUN Batu Talam, Pahang (28 Ogos 1993) dan DUN Sementa, Selangor (5 Februari 1994), sedangkan PMS46 hanya bertanding dalam satu kerusi sahaja iaitu DUN Kampung Raja, Terengganu (13 Oktober 1993). Sementara menghadapi siri-siri pilihan raya kecil yang memperlihatkan dominasi PAS walaupun kedua-dua parti tewas kepada BN di kesemua kersi tersebut, parti-parti pembangkang sebenarnya sedang berhadapan dengan polemik baru ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 30 Jun 1994. Parlimen mendapat tambahan 12 kerusi, sedangkan DUN Kelantan mendapat tambahan empat kerusi DUN.

Dalam rundingan-rundingan pengagihan kerusi antara kedua-dua parti pembangkang utama ini, khususnya di Kelantan selepas persempadanan baru, kedua-dua parti menuntut untuk diberikan kerusi-kerusi yang baru diwujudkan itu iaitu Parlimen Jeli serta DUN Pasir Pekan, Tanjung Mas, Pergau dan Kemahang di Kelantan. Bagi menyelesaikan rundingan dan membentuk strategi baru di mana PMS46 akan menguasai Kerajaan Pusat dan PAS menguasai negeri-negeri Melayu (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis), PMS46 pada 14 September 1994 telah mencadangkan supaya PAS menyerahkan semua kerusi Parlimen kepada mereka, sedangkan semua kerusi DUN di empat buah negeri tersebut diserahkan sepenuhnya kepada PAS. Sedangkan pada 12 Mac 1994, Dewan Harian PAS Kelantan dimaklumkan bahawa PMS46 telah bersetuju untuk bertanding di Parlimen Jeli dan DUN Kemahang, manakala DUN Pasir Pekan dan DUN Tanjung Mas diserahkan kepada PAS.

Berasaskan cadangan yang dikemukakan oleh PMS46 dalam rundingan pada 14 September 1994 tersebut, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 25 September 1994 telah memutuskan untuk menolak cadangan tersebut kerana berpandangan suara PAS tetap perlu ada di Parlimen. Selain menolak cadangan PMS46 tersebut, PAS Pusat juga telah memutuskan agar kedua-dua parti mengeluarkan manifesto berasingan dan semua rundingan berkaitan agihan kerusi Parlimen diserahkan kepada kepemimpinan kedua-dua parti di peringkat pusat, sedangkan agihan kerusi DUN akan dirunding oleh kedua-dua parti di peringkat negeri. Dengan pendirian PAS ini, pengagihan kerusi Parlimen dan DUN dalam Pilihan Raya Umum 1995 kekal dengan formula sebelumnya.

Disusun oleh: Arkib PAS

23 September 2016

23 September 1973 : Ustaz Abu Bakar Hamzah Tewas Dalam Pemilihan Yang Dipertua Agung PAS

Pada hari ini dalam tahun 1973, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Senator Ustaz Abu Bakar Hamzah telah gagal dalam percubaannya untuk merebut jawatan Yang Dipertua Agung PAS apabila tewas kepada Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas, Dato’ Mohd Asri Haji Muda dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-19 pada 21-23 September 1973. Ini adalah kali pertama jawatan tertinggi PAS ditandingi sejak Dr Burhanuddin al-Helmy mengalahkan Prof Zulkifli Mohamad pada 25 Disember 1956 dan ia adalah kali terakhir dalam sejarah PAS sehingga hari ini. Perebutan jawatan Yang Dipertua Agung PAS ini berlaku ekoran krisis peribadi kedua-dua tokoh kanan PAS ini setelah Dato’ Mohd Asri Haji Muda bertindak memecat Ustaz Abu Bakar Hamzah yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Perikanan dari jawatan Setiausaha Agung PAS pada 26 Julai 1973.

Ustaz Abu Bakar Hamzah merupakan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1958-1962 dan 1964-1966), sebelum terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS pada 1971 dan dilantik menjadi Setiausaha Agung PAS serentak (1971-1973). Beliau dicalonkan oleh PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Bachok pada 1964 menggantikan Prof Zulkifli Mohamad dan beliau memainkan peranan penting dalam pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan sepanjang 1972. Apabila Kerajaan Campuran terbentuk pada 1 Januari 1973, beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dan memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, sebelum bertukar ke Kementerian Pertanian dan Perikanan pada 10 September 1973. Tokoh yang berasal dari Perlis dan terkenal sejak awal 1950-an kerana menubuhkan Perintis Akademi Islam ini merupakan bekas Ketua Pemuda Umno Perlis dan Yang Dipertua Parti Nahdatul Ulamak sebelum menyertai PAS pada 1955. Antara sumbangan terbesar beliau kepada PAS ialah membentuk hubungan rasmi PAS dengan Ikhwanul Muslimin, Mesir dan merangka tarbiyah PAS menggunakan sukatan Ikhwanul Muslimin sejak 1958.

Ketika berada di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, pada 28 Mac 1973, beliau menghadiri satu seminar anjuran Commonwealth Parliamentary Association di United Kingdom, diikuti oleh lawatan beliau ke Negara-negara Eropah dan Afrika Utara. Tempoh lawatan yang digunakan oleh beliau adalah bermula 24 Mac hingga 29 Julai 1973 yang dianggap oleh PAS sebagai satu tempoh yang terlalu lama memandangkan beliau adalah Setiausaha Agung PAS, di mana banyak kerja kepartian telah terabai. Ekoran itu, pada 25 Julai 1973, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memberhentikan beliau sebagai Setiausaha Agung PAS, dan menolak rayuan beliau pada 11 Ogos 1973. Pemecatan beliau dari jawatan Setiausaha Agung PAS ini telah menimbulkan krisis peribadi antara beliau sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS dengan Yang Dipertua Agung PAS.

Dalam pemilihan parti sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-19 pada 21-23 September 1973, Ustaz Abu Bakar Hamzah telah mendapat beberapa pencalonan sebagai Yang Dipertua Agung PAS, selain Dato’ Mohd Asri Haji Muda dan Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Ketika Ustaz Hassan Adli mengambil keputusan menarik diri, Ustaz Abu Bakar Hamzah bertindak menandingi jawatan tertinggi tersebut, di samping turut mempertahankan jawatan Naib Yang Dipertua Agung PAS. Dalam pengumuman keputusan pemilihan pada 23 September 1973, Ustaz Abu Bakar Hamzah yang mendapat 34 undi telah gagal mengatasi Dato’ Mohd Asri Haji Muda yang memperoleh 261 undi untuk jawatan Yang Dipertua Agung PAS, tetapi beliau terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS. Berlarutan dari krisis ini, kedua-dua tokoh ini terus berkonflik dan akhirnya pada 25 April 1974, Ustaz Abu Bakar Hamzah dipecat dari PAS dan terpaksa melepaskan jawatan beliau di Kementerian Pertanian dan Perikanan pada 14 Mei 1974.

Disusun oleh: Arkib PAS

22 September 2016

22 September 1998 : PAS Asaskan Penubuhan GERAK Bagi Membela Keadilan Rakyat

Pada hari ini dalam tahun 1998, PAS telah mengambil satu inisiatif untuk menganjurkan pertemuan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik yang akhirnya membawa kepada penubuhan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK). Tujuan utama GERAK ialah untuk menghentikan penindasan dan kezaliman politik dengan menyalahgunakan ISA setelah tercetusnya krisis politik pada 2 September 1998 ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno. GERAK kemudiannya melantik Presiden PAS, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor sebagai Pengerusi GERAK dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar sebagai Ketua Sekretariat GERAK.

Isu kezaliman politik ini tercetus daripada krisis kepemimpinan Umno yang berkemuncak dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Umno pada 18 Jun 1998 di mana ketuanya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi telah mendakwa wujudnya amalan kronisme dan nepotisme dalam pengagihan projek kerajaan, sehingga ia menimbulkan kemarahan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang kemudiannya bertindak menyiarkan senarai projek kerajaan yang dibolot oleh kroni Datuk Seri Anwar Ibrahim. Isu ini kemudiannya membawa kepada kekalahan BN dalam Pilihan Raya Kecil Arau pada 4 Julai 1998. Pergolakan ini telah menimbulkan semula isu salah laku seks Timbalan Perdana Menteri yang didakwa meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar dan mempunyai hubungan sulit dengan Shamsidar Taharin, isteri Setiausaha Sulitnya, Mohd Azmin Ali. Isu seks Datuk Seri Anwar Ibrahim ini asalnya dibangkit dalam Perhimpunan Agung Umno pada 5-7 September 1997. Menjelang Perhimpunan Agung Umno pada 20-22 Jun 1998, seorang penulis, Abdul Khalid Jafri telah menulis sebuah buku, “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM”.

Bertolak daripada buku tulisan Abdul Khalid Jafri, Dr Mahathir Mohamad telah bertindak memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 Sepember 1998, diikuti oleh pemecatan beliau sebagai ahli Umno pada 3 September 1998. Pada 8 November 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan gerakan Reformasi untuk membersihkan nama beliau, yang berkemuncak dengan perhimpunan besar-besaran di Masjid Negara dan Dataran Merdeka pada 20 September 1998. Pada malam yang sama, beliau telah ditahan di bawah ISA, diikuti oleh penahanan secara berperingkat 16 orang penyokong kuat beliau, termasuk Datuk Ahmad Zahid Hamidi. Penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini telah mendorong pemimpin PAS mengambil inisiatif mengatur satu pertemuan parti-parti pembangkang dan NGO Islam dan hak asasi manusia pada 22 September 1998 bagi membincangkan langkah-langkah membendung kezaliman politik yang sedang berlaku.

Dalam pertemuan pada 22 September 1998 ini, 18 orang pimpinan PAS telah hadir bersama dua wakil PRM dan dua wakil DAP. Wakil-wakil NGO pula ialah PUM (seorang), ABIM (tiga orang), JIM (lima orang), SUARAM (seorang), PPIM (seorang), ISMA (seorang), CAP (dua orang), TERAS (empat orang), PKPIM (seorang), serta dua orang individu iaitu Dr Abdul Aziz Bari (pensyarah UIAM) dan Tan Sri Abdul Samad Ismail (tokoh wartawan). Hasil daripada pertemuan dan perbincangan ini, sebuah Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) telah berjaya ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Presiden PAS, Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor dan sebuah Sekretariat GERAK ditubuhkan berpusat di Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat. GERAK kemudiannya dilancarkan secara rasmi pada 27 September 1998.

Disusun oleh: Arkib PAS

21 September 2016

21 September 1990 : Dr. Mahathir Dakwa Semangat 46 Mahu 'Bunuh' PAS

Pada hari ini dalam tahun 1990, Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah membuat satu tuduhan mengejut dengan menuduh Tengku Razaliegh Hamzah, Presiden Semangat 46 (S46) sebagai membuat rancangan sulit bersama pimpinan S46 yang lain untuk “membunuh” PAS. Dakwaan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ini adalah usaha terakhirnya untuk memecahbelahkan kerjasama PAS-S46 sebelum Parlimen dibubarkan. Presiden Umno itu mendakwa memiliki satu pita rakaman tentang ucapan sulit Presiden S46 di hadapan pimpinan S46 yang bermaksud mahu menghapuskan pengaruh PAS dan DAP sekali gus dalam Pilihan Raya Umum Kelapan yang dijangka bila-bila masa akan berlaku.

S46 adalah sebuah parti serpihan Umno yang dibentuk oleh Team B Umno setelah parti itu diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988, setelah pemilihan Umno yang berlangsung pada 24 April 1988 membawa perpecahan besar kepada parti kebangsaan sekular itu. Ekoran itu, Team A Umno yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah menubuhkan Umno (Baru), manakala Team B Umno pimpinan Tengku Razaliegh Hamzah menubuhkan S46. Tengku Razaliegh Hamzah kemudiannya membawa S46 membentuk pakatan politik di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang melibatkan oleh PAS, HAMIM dan BERJASA, dalam masa yang sama S46 membentuk kerjasama di bawah payung Gagasan Rakyat (GR) yang disertai oleh DAP, PRM, IPF, MSP dan PBS. PAS dan DAP adalah sekutu utama S46 dalam kedua-dua pakatan politik yang mesti dipecahkan oleh BN.

Walaupun sebelum ini Umno/BN telah menggunakan pelbagai helah untuk memecahkan PAS dari S46 seperti menawarkan rundingan PAS-Umno, menuduh DAP anti-Melayu, mendakwa PAS membentuk kerjasama dengan DAP melalui S46 dan sebagainya, namun ia gagal memecahkan hubungan PAS-S46. Satu lagi strategi Umno ialah dengan membuat fitnah bahawa S46 berniat jahat terhadap PAS dan DAP. Atas dasar strategi ini, pada 21 September 1990, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah membuat satu dakwaan yang tidak pernah dibuktikan iaitu S46 merancang untuk “membunuh” PAS bersama DAP dengan mendakwa memiliki pita rakaman ucapan Presiden S46 di hadapan pimpinan parti tersebut. Selepas membuat dakwaan ini, pada 4 Oktober 1990, Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat, diikuti oleh penamaan calon pada 11 Oktober 1990 dan pengundian pada 21 Oktober 1990.

Namun begitu, strategi BN ini tidak berkesan apabila Ustaz Fadzil Mohd Noor, Yang Dipertua PAS Pusat pada 22 September 1990 mendakwa kenyataan Presiden Umno itu sebagai satu fitnah yang diada-adakan untuk memecahbelahkan kerjasama PAS-S46. PAS secara terbuka menganggap pita tersebut adalah tidak wujud dan menganggap mustahil PAS boleh dihapuskan oleh S46. Tengku Razaleigh Hamzah sendiri mencabar Dr Mahathir Mohamad pada 26 September 1990 supaya menunjukkan bukti pita tersebut, diikuti oleh satu saman malu yang dikemukakan oleh Presiden S46 terhadap Presiden Umno pada 6 Oktober 1990 kerana berkomplot untuk menyiarkan fitnah dan kenyataan palsu terhadap Tengku Razaleigh Hamzah. Sehingga berlangsungnya Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990, ternyata Presiden Umno yang juga Pengerusi BN gagal menunjukkan bukti pita tersebut.

Disusun oleh: Arkib PAS

20 September 2016

20 September 1999 : Sambutan Perayaan 40 Tahun PAS Dirasmikan Oleh Yang Dipertua PAS Pusat

Pada hari ini dalam tahun 1991, Majlis Perasmian Sambutan Perayaan 40 Tahun PAS di Muassasah Darul Ulum, Kuala Nerang, Kedah yang diadakan selama dua hari pada 20-21 September 2001 telah dibuka dengan rasminya oleh Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor. Acara Sambutan Perayaan 40 Tahun PAS ini diadakan di seluruh negara dengan sambutan peringkat kebangsaan ini diadakan di Muasassah Darul Ulum sebagai memperingati 40 tahun perjuangan PAS sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951. Sambutan yang jatuh pada 12 Rabiul Awal 1412 yang serentak dengan sambutan Maulid Nabi SAW ini, menurut Pengarah Sambutan, Ustaz Hassan Shukri yang juga Naib Yang Dipertua PAS Pusat, sebagai simbol usia matang bagi perjuangan PAS kerana pada usia 40 tahun juga Rasulullah SAW diangkat menjadi rasul.

Sejarah perjuangan PAS telah bermula dengan penubuhan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948 tetapi ia dilumpuhkan melalui Ordinan Darurat 1948 yang digunakan untuk menahan pemimpin-pemimpin utamanya pada 29 Julai 1948, yang menyebabkan para ulamak terpaksa bergerak dalam Bahagian Agama dan Pelajaran Umno sejak 1949. Melalui Bahagian Agama Umno, pada 20-21 Februari 1950, para ulamak mengadakan Persidangan Alim Ulamak Malaya kali pertama di Muar, Johor. Dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya kali kedua di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, para ulamak telah menubuhkan Persatuan Ulamak Malaya yang bebas dari Umno. Persatuan ulamak ini kemudiannya mengadakan persidangan di Bagan Tuan Kechil, Seberang Perai pada 24 November 1951 untuk menggubal undang-undang tubuh dan melantik pegawai-pegawainya. Dalam persidangan pada 24 November 1951 ini, mereka memutuskan nama bagi persatuan ini ialah Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Demikianlah sejarah PAS bermula 40 tahun sebelumnya.

Dalam Sambutan Perayaan 40 Tahun PAS ini, acara kemuncak bermula dengan Ekspo Perdagangan Umat Islam dan Pameran 40 Tahun Perjuangan PAS yang bermula sejak 18 September 2001. Pada 20 September 1991, sambutan ini dibuka dengan rasminya oleh Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Fadzil Mohd Noor, diikuti oleh pidato khas yang disampai oleh pensyarah sains politik UKM, Wan Abdul Rahman Abdul Latif yang bertajuk “PAS 1951-1991: Cabaran, Pemantapan dan Visi.” Turut memberikan pidato ialah tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa yang turut dijemput, selain pemimpin parti politik dan NGO Islam yang turut hadir. Ustaz Fadzil Mohd Noor dalam amanatnya berkata, “usia 40 tahun yang dilalui oleh PAS hendaklah dijadikan oleh semua pendukung PAS sebagai masa untuk merenung, menilai dan melakukan muhasabah demi meneruskan perjuangan yang memerlukan ketahanan dan pengorbanan…”

Turut menyampaikan ucapan tahniah kepada PAS sempena sambutan 40 tahun ini ialah Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Syed Husin Ali; Presiden Parti Semangat 46, Tengku Razaliegh Hamzah; Setiausaha Agung Jemaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin dan Yang Dipertua Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Ustaz Ahmad Awang. Dalam kenyataannya, Ustaz Ahmad Awang menyatakan, “PAS adalah harakah Islam yang mempunyai tempat yang sangat penting dalam sejarah perjuangan Islam di negara ini. Cabaran dan halangan yang dihadapinya selama ini tidak menumpulkan sedikitpun semangat perjuangan pemimpin dan pendukungnya.” Sempena dengan sambutan ini juga, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah melancarkan logo rasmi PASTI yang direka oleh Raja Abdul Aziz Raja Ailan dari Kuala Lumpur, yang menjadi logo pra sekolah Islam isu sehingga hari ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

19 September 2016

19 September 2002 : Maklumat Belanjawan Alternatif Diancam Dengan Tindakan Undang-undang

Pada hari ini dalam tahun 2002, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah membuat satu ancaman untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pemangku Presiden PAS yang juga Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ekoran kenyataan beliau bahawa Belanjawan Alternatif 2003 yang dikemukakan oleh pembangkang adalah berasaskan maklumat dari pegawai tinggi kerajaan. Barisan Alternatif (BA) pada 17 September 2002 telah mengemukakan Belanjawan Alternatif yang dibentangkan oleh pakar ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram di Parlimen yang menyaingi Bajet 2003 yang dikemukakan oleh kerajaan. Semenjak pembentukan pakatan pembangkang, BA pada 1999, pembangkang telah mengemukakan Belanjawan Alternatif di Parlimen sebagai bayangan kepada bajet sebenar.

Pembentangan Belanjawan Alternatif menjadi persoalan kerana ia telah mendedahkan maklumat-maklumat ekonomi negara sehingga pembangkang dapat mencadangkan dasar fiskal yang lebih baik untuk negara bagi tahun 2003. Antara cadangan menarik belanjawan ini ialah kenaikan gaji sebanyak RM100 sebulan untuk tempoh 2003-2004 bagi sejuta kakitangan awam. Dalam satu kenyataan Pemangku Presiden PAS itu, cadangan yang dibuat oleh BA yang menggabungkan PAS, PKN dan PRM ini adalah berasaskan maklumat ekonomi yang diberikan oleh pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Pendedahan ini telah menyebabkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 18 September 2002 membuat kenyataan bahawa pegawai kerajaan yang mendedahkan maklumat dan pihak yang menggunakan maklumat tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Pihak polis sendiri pada 19 September 2002 membuat satu kenyataan untuk menyiasat kebocoran maklumat ini kepada pembangkang.

Bertolak dari kenyataan Datuk Seri Dr Rais Yatim ini, pada 19 September 2002, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno membuat kenyataan ancaman bahawa Pemangku Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang boleh diambil tindakan undang-undang jika didapati sengaja menghasut pegawai kerajaan bagi mendapatkan maklumat sulit kerajaan. Beberapa pihak yang berkait dengan BN kemudiannya membuat laporan polis terhadap pemimpin utama PAS itu lanjutan ancaman yang dibuat oleh pemimpin tertinggi Umno. Pada 21 September 2002, Umno terus meningkatkan tekanan dengan desakan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu Ketua Pembangkang itu mendedahkan siapakah sumber yang memberikan maklumat kerajaan kepada BA. Tekanan Umno ini dilakukan serentak ke atas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS yang dikaitkan dengan isu ‘Tuhan samseng’ sejak 26 Julai 2002 dan isu Dr Mahathir tidak tahu membaca al-Quran pada 23 September 2002.

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga Menteri Besar Terengganu walau bagaimanapun, dalam kenyataannya pada 23 September 2002 menjelaskan bahawa penyediaan Belanjawaan Alternatif itu adalah berdasarkan maklumat Bank Negara Malaysia (BNM), Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Bank Pembangunan Asia (ADB) dan ahli-ahli korporat. Pada akhir September 2002, pihak polis kemudiannya bertindak mengambil keterangan daripada Pemangku Presiden PAS, yang diikuti oleh siasatan yang dibuat terhadap dua lagi pemimpin PAS, Dr Mohd Hatta Ramli dan Dr Rosli Yakob pada awal Oktober 2002. Isu ini walau bagaimanapun berakhir apabila siasatan yang dibuat oleh polis gagal menemui sebarang bukti yang boleh disabitkan di bawah mana-mana undang-undang dan ia berakhir tanpa sebarang pendakwaan.

Disusun oleh: Arkib PAS

18 September 2016

18 September 1994 : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Dilantik Sebagai Mursyidul Am PAS

Pada hari ini dalam tahun 1994, Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS yang kedua setelah Pak Yusof Rawa enggan dilantik semula kerana keuzuran. Dalam satu kenyataan tahniah Pak Yusof Rawa kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disiarkan oleh Harakah pada 14 Oktober 1994, bekas Mursyidul Am PAS itu menjelaskan bahawa keuzuran yang dihadapinya telah menghalang beliau berfungsi sebagai Mursyidul Am PAS, melainkan hanya pada jawatan sahaja. Perlantikan Menteri Besar Kelantan ke jawatan tertinggi PAS ini dibuat dalam mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak PAS bagi sesi 1994-1997 yang diadakan pada 18 September 1994.

Semenjak keuzuran Pak Yusof Rawa pada akhir 1988 yang memaksa beliau meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 15 Februari 1989, telah secara tidak rasmi menjadikan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS yang menjalankan tugas-tugas beliau ketika beliau keuzuran sejak 8 September 1988. Mulai 1991, tugas Timbalan Mursyidul Am PAS dijalankan secara tidak rasmi oleh Ketua Dewan Ulamak PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Untuk menangani masalah ini, pada 8 November 1992, satu pindaan Perlembagaan PAS telah dibuat dalam Muktamar Khas PAS yang antara lain untuk mewujudkan jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS yang berfungsi untuk “membantu tugas-tugas Mursyidul Am PAS dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS semasa ketiadaan Mursyidul Am PAS.” Apabila pindaan ini diluluskan pada awal 1993, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi tokoh pertama dilantik sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah seorang tokoh ulamak terkemuka dalam PAS yang dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sejak 1968 dan Pesuruhjaya PAS Kelantan sejak 1981 serta masih memegang jawatan-jawatan tersebut ketika dilantik sebagai Mursyidul Am PAS. Anak kepada Tuan Guru Haji Nik Mat Alim ini merupakan ulamak lulusan Darul Ulom, Deoband dan Universiti al-Azhar yang juga merupakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (dahulunya Kelantan Hilir) (1967-1986) dan ADUN Semut Api (1986-1994), sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan pada 1990. Dengan pengalaman politik beliau yang luas sejak 1967, beliau menjadi pemimpin PAS yang paling senior selain Pak Yusof Rawa dalam saf kepemimpinan PAS pada dekad 1990-an.

Ekoran perlantikan beliau sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS pada awal 1993, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi tokoh pertama dilantik ke jawatan tersebut secara rasmi dan menjalankasn tugas-tugas Mursyidul Am PAS ketika Pak Yusof Rawa keuzuran. Setelah dua penggal (1987-1991 dan 1991-1994) Pak Yusof Rawa memimpin PAS, beliau enggan dilantik semula untuk sesi 1994-1997. Atas dasar itu, dalam mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak PAS bagi sesi 1994-1997 pada 18 September 1994, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dilantik sebagai Mursyidul Am PAS, dan keputusan ini telah dimaklumkan kepada mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 25 September 1994, sebelum ia disiarkan kepada umum oleh Harakah keluaran 10 Oktober 1994. Beliau telah memegang jawatan ini selama enam penggal iaitu sesi 1994-1997, 1997-2000, 2000-2004, 2004-2007, 2007-2010 dan 2010-2015, sehingga beliau meninggal dunia pada hujung sesi 2010-2015, iaitu pada 12 Februari 2015. Beliau kemudiannya digantikan oleh Tuan Guru Profesor Dato’ Dr Haron Din mulai 8 Mac 2015.

Disusun oleh: Arkib PAS

17 September 2016

17 September 1984 : PAS Sedia Berdebat Dengan UMNO Dalam Isu Takfir

Pada hari ini dalam tahun 1984, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri telah mengirimkan surat kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Sanusi Junid untuk menyatakan kesediaan PAS berdebat dengan Umno dalam isu kafir-mengkafir yang ditimbulkan parti sekular kebangsaan itu sejak 1980. Pada mulanya Umno mendakwa Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar telah mengkafirkan Umno lalu beliau dihadap ke Mahkamah Syariah Besut pada 9 Februari 1980. Pada 11 Ogos 1983, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Wan Mokhtar Ahmad menimbul isu Amanat Haji Hadi di Dewan Undangan Negeri Terengganu, sehingga isu kafir-mengkafir menjadi panas dan mewarnai perkembangan politik dekad 1980-an.

Ekoran isu ini, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982 telah mencabar Umno untuk bermuzakarah berkaitan isu-isu tuduhan Umno yang mendakwa PAS telah menyalahgunakan agama untuk kepentingan politik, PAS memecahbelahkan masyarakat dan menyelewengkan agama dan dakwaan Umno bahawa Islam sebenar ialah Islam model Umno. Pak Yusof Rawa dalam Ucapan Dasarnya pada 30 April 1983 telah menyifatkan program Islamisasi Umno sebagai manipulasi untuk membendung kebangkitan Islam, sedangkan seruan muzakarah oleh PAS tidak bersahut. Pada 14 April 1984, Pak Yusof Rawa sekali lagi dalam Ucapan Dasarnya menyifatkan program Islamisasi Umno sebagai strategi Masjid Dhirar oleh golongan munafikin yang berfahaman asobiyah sekular.

Pada 10 Julai 1984, tiga pemimpin Dewan Pemuda PAS iaitu Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Bunyamin Yaakub dan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Chik telah ditahan ISA, yang menyebabkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Yang Dipertua Agung PAS menyelar tindakan Umno dan mengajak mereka bersemuka dengan PAS. Dalam respon awal Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyatakan keengganan Umno bersemuka dengan PAS, tetapi pada 25 Ogos 1984, beliau menyatakan Umno bersedia untuk berdebat dengan PAS di televisyen. Pada hari yang sama, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah menyambut tawaran Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan kesediaan PAS berdebat dengan Umno dengan memfokuskan kepada penghayatan al-Quran. Walau bagaimanapun tawaran PAS ini tidak dijawab oleh Umno, sebaliknya pada 15 September 1984, Dr Mahathir Mohamad mengulangi kesediaan berdebat dan menunggu persetujuan PAS.

Ekoran kenyataan Dr Mahathir Mohamad ini, pada 17 September 1984, PAS telah mengirimkan surat persetujuan berdebat secara rasmi kepada Setiausaha Agung Umno. Pada 15 Oktober 1984, Setiausaha Agung Umno memaklumkan bahawa Umno sedia berdebat atas isu “PAS mendakwa Umno kafir dan barang siapa yang menentangnya, jika mati, adalah mati syahid,” dan mencadangkan perdebatan diadakan pada 11 November 1984. Kedua-dua parti bersetuju menghantar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Ustaz Harun Taib bagi pihak PAS dan Dato’ Seri Wan Mokhtar Ahmad, Anwar Ibrahim dan Ustaz Ibrahim Azmi Hassan mewakili Umno. Walau bagaimanapun, pada 8 November 1984, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Ahmad Zainal Abidin Yusof telah mengisytiharkan bahawa Majlis Raja-raja telah membatalkan Debat Umno-PAS ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

16 September 2016

16 September 1970 : PAS Terima Surat Pembatalan Sekatan Politik Dari Kementerian Dalam Negeri

Pada hari ini dalam tahun 1970, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Baharuddin Abdul Latif telah menerima surat makluman daripada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Dr Ismail Abdul Rahman yang memaklumkan secara rasmi kepada PAS tentang pembatalan larangan berpolitik ekoran tragedi perkauman berdarah pada 13 Mei 1969. Dengan penarikan balik larangan berpolitik ini, seluruh kegiatan politik PAS sebagai sebuah parti politik yang sah dapat dijalankan semula setelah terhenti lebih dari setahun. Aktiviti politik rasmi PAS boleh dikatakan terhenti sebaik sahaja Pilihan Raya Umum Ketiga diadakan pada 10 Mei 1969.

Tragedi 13 Mei 1969 tercetus kerana api perkauman sempit yang ditiupkan oleh parti-parti politik tertentu, terutama setelah Perikatan gagal mempertahan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum 1969. PAS berjaya memenangi 12 kerusi Parlimen, sedangkan parti-parti bukan Melayu iaitu DAP memenangi 13 kerusi, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) lapan dan PPP empat, manakala Perikatan hanya menguasai 66 kerusi sahaja daripada 103 kerusi di Semenanjung. Perikatan juga kehilangan kerajaan Pulau Pinang ke tangan PGRM, selain gagal membentuk kerajaan di Perak dan Selangor. Parti-parti pembangkang bukan Melayu meraikan kemenangan mereka melalui perarakan-perarakan di bandar-bandar utama sambil menghina orang Melayu sehingga ia bertukar menjadi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Tragedi yang mengorbankan 169 nyawa ini telah menyebabkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pada 15 Mei 1969, menggubal satu ordinan untuk menggantung pilihan raya Parlimen dan DUN yang belum selesai dan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada 17 Mei 1969. Mageran yang diketuai oleh Tun Abdul Razak Hussein telah menggantung seluruh kegiatan yang berhubung dengan politik dan pilihan raya. PAS sendiri pada 20 Julai 1969 telah mengambil sikap menyokong langkah-langkah Mageran untuk mengembalikan keamanan dan keharmonian negara, termasuk menerima perlantikan dalam Majlis Perundingan pada 5 November 1969 dan dalam Jawatankuasa Muhibbah Negara pada 25 November 1969.

Dengan kerjasama yang diberikan oleh PAS, pada 30 Ogos 1970, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah mengumumkan penarikan balik larangan berpolitik dan mengisytiharkan prinsip-prinsip Rukun Negara serta mengumumkan pindaan Akta Hasutan 1948 bagi menghalang kegiatan subversif yang mempersoalkan isu-isu sensitif seperti kerakyatan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Tunku Abdul Rahman Putra juga mengumumkan bahawa beliau akan bersara dari jawatan Perdana Menteri mulai 21 September 1970. Ekoran dari pengumuman oleh Perdana Menteri untuk menarik balik larangan berpolitik mulai 1 September 1970, pada 16 September 1970, PAS telah menerima pemakluman rasmi dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negari, sebelum ia dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS kepada seluruh organisasi parti pada 27 September 1970. Sejak itu, kegiatan politik PAS kembali bergerak secara terbuka dalam kerangka undang-undang.

Disusun oleh: Arkib PAS

15 September 2016

15 September 2003 : Ustaz Haji Hassan Shukri Dipilih Sebagai Timbalan Presiden PAS

Pada hari ini dalam tahun 2003, Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Haji Hassan Shukri telah dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS dengan mengalahkan seorang lagi Naib Presiden PAS, Dato' Haji Mustafa Ali. Seorang lagi calon, Tuan Guru Dato' Dr Haji Haron Din yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS telah menarik diri pada saat akhir pemilihan tersebut. Pemilihan Ustaz Hassan Shukri diumumkan pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-53 pada 11-15 September 2003.

Jawatan Timbalan Presiden PAS kosong ekoran kematian Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor pada 23 Jun 2002, yang menyebabkan Timbalan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang terpaksa memangku jawatan utama PAS itu. Ini adalah kali pertama jawatan Timbalan Presiden PAS dipertandingkan sejak 1981. Dalam pemilihan tahun 1981, Pak Yusof Rawa mengalahkan Dato' Abu Bakar Umar, kemudian jawatan tersebut dipegang oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor (1982-1989) dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (1989-2002) tanpa bertanding.

Ustaz Hassan Shukri adalah ahli PAS sejak 1952 yang memegang nombor keahlian PAS 12,016. Beliau dilahirkan di Sabak Bernam pada 1937 dan mendapat pendidikan di Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas sebelum lulus ijazah Syariah dan Bahasa Arab dari Universiti Baghdad pada 1968. Beliau mula aktif dalam KPAS dan menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Perak pada 1963-1964. Selepas pulang dari Baghdad, beliau menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1968-1971) dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1971-1973), sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS (1973-1979 dan 1982-1989), Ketua Penerangan PAS Pusat (1979-1981) dan Naib Presiden PAS (1989-2003). Di peringkat antarabangsa, beliau adalah Ahli Jawatankuasa Pengasas WAMY pada 1972-1973, selain turut mengetuai Sekretariat Gerakan Islam di Amman dalam isu Perang Teluk pada 1989.

Pemilihan Ustaz Hassan Shukri ini telah mengakhiri spekulasi yang mengatakan kepemimpinan ulamak telah ditolak dalam PAS. Sebaliknya, ia adalah pengiktirafan terhadap peranan Ustaz Hassan Shukri sebagai pentadbir parti yang berpengalaman dan berpengaruh sehingga dianggap sebagai "Perlembagaan bergerak" dan "Arkib PAS." Ustaz Hassan Shukri juga berjaya meneruskan tradisi timbalan presiden sebagai pembantu utama presiden seperti yang telah dilaksanakan oleh Ustaz Haji Ghazali Abdullah (1951-1953), Ustaz Haji Mansor Hassan JP (1953), Dr Haji Abbas Alias (1953), Cikgu Ahmad Awang (1954-1956), Prof Zulkifli Mohamad (1956-1964), Dato' Mohd Asri Haji Muda (1964-1971), Ustaz Dato' Hassan Adli Mohd Arshad (1971-1977), Ustaz Dato' Abu Bakar Umar (1977-1981), Pak Yusof Rawa (1981-1982), Ustaz Fadzil Mohd Noor (1982-1989) dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (1989-2002). Ustaz Hassan Shukri memegang jawatan Timbalan Presiden PAS selama dua tahun sehingga 2005, sebelum ia diambil alih oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Disusun oleh: Arkib PAS

14 September 2016

14 September 1963 : Pemohonan PAS Kelantan Bagi Menghalang Penubuhan Malaysia Gagal

Pada hari ini dalam tahun 1963, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Kerajaan PAS Kelantan untuk mengisytiharkan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 dan Akta Malaysia 1963 sebagai “null and void, or alternatively, not binding the State,” sekali gus menamatkan perjuangan PAS untuk menentang penubuhan Malaysia. Pendirian PAS untuk menentang penubuhan Malaysia ini adalah berasaskan keputusan Mesyuarat Agung Khas PAS pada 15 Oktober 1961 yang menolak penubuhan Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di Singapura pada 27 Mei 1961. Sebaliknya PAS bersetuju supaya sebuah Persekutuan Melayu Raya yang dianggotai oleh Tanah Melayu, Singapura, Berunai, Sarawak, Sabah, Republik Indonesia dan gugusan Kepulauan Melayu termasuk Filipina.

Penentangan PAS ke atas penubuhan Malaysia adalah berasaskan kepada beberapa faktor yang sifatnya “membahayakan orang Melayu,” antaranya:

I. Percantuman Malaysia ini akan melibatkan kemasukan seramai 1,384,100 orang bukan Melayu dari Singapura dan sekitar 500,000 orang bukan Melayu dari Borneo, berbanding 227,300 orang Melayu dari Singapura dan 750,000 orang Bumiputera dari Borneo. Sedangkan ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan bilangan orang bukan Melayu seimbang dengan bukan Melayu, ditambah lagi dengan dasar kerakyatan jus soli yang akan menambahkan kerakyatan bukan Melayu dengan cepat;
II. Malaysia akan menenggelamkan orang Melayu yang berjumlah 3.2 juta orang, berbanding 4.7 juta orang bukan Melayu secara keseluruhan;
III. Malaysia akan membahayakan kedudukan bangsa Melayu dan orang Melayu akan sedikit demi sedikit tenggelam di dalam tanah airnya sendiri;
IV. Malaysia adalah bertentangan dengan kepentingan Tanah Melayu dan rakyat Melayu yang menjadi tunggak dalam negara ini.

Atas sebab-sebab untuk menjamin hak ketuanan bangsa Melayu ke atas negara ini, pada 16 Oktober 1961, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah mencadangkan pindaan ke atas usul Perdana Menteri di Dewan Rakyat supaya memasukkan “Republik Indonesia dan Filipina serta gugusan Pulau-pulau Melayu yang lain” dalam cadangan Malaysia. Kerana usul ini ditolak, Prof Zulkifli Mohamad, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS menentang usul Malaysia yang dianggap bertentangan dengan kepentingan Tanah Melayu dan orang Melayu. Pada 1 Mei 1962, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah mengemukakan usul persendirian untuk memasukkan “didalam rancangan Melayu Raya itu daerah-daerah Indonesia dan Filipina,” tetapi usul ini dikalahkan di Dewan Rakyat. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14 Julai 1963 kemudiannya mengambil pendirian menentang penubuhan Malaysia dengan beberapa strategi termasuk menentangnya di Dewan Rakyat, mengirim memorandum kepada Indonesia, Filipina, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Raja-raja, Negara Arab dan Negara Afro-Asia dan ahli-ahli PAS tidak menyambut kelahiran Malaysia.

Salah satu pendirian penting PAS ialah supaya Kerajaan Kelantan menolak pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menubuhkan Malaysia. Hasilnya, Kerajaan PAS telah mengemukakan saman terhadap Kerajaan Persekutuan dalam kes The Government of The State of Kelantan v. The Government of The Federation of Malaya and Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj untuk memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan penubuhan Malaysia sebagai tidak sah. Walau bagaimanapun, pada 14 September 1963, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Kerajaan PAS Kelantan yang dengan sendirinya menamatkan perjuangan PAS menentang penubuhan Malaysia.

Disusun oleh: Arkib PAS

13 September 2016

13 September 2003 : Pemuda PAS Desak PAS Pusat Kemukakan Segera 'Blueprint' Negara Islam

Pada hari ini dalam tahun 2003, perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Mohd Nazri Chik Zain telah membuat desakan kepada PAS Pusat supaya mengemukakan dengan segera blueprint Memorandum Negara Islam kepada rakyat setelah ia diwar-warkan sejak era Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor lagi. Wakil Dewan Pemuda PAS Pusat itu membuat desakan tersebut ketika membahaskan Ucapan Dasar Pemangku Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-49 pada 12-14 September 2003. Desakan Dewan Pemuda PAS ini adalah berlanjutan daripada cabaran yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 21 Julai 2001 supaya PAS mengemukakan secara bertulis konsep Negara Islam PAS yang mendorong Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 13 Oktober 2001 memutuskan untuk menggubal satu Memorandum Negara Islam.

Terdahulu, dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-47 pada 1-3 Jun 2001, Presiden PAS, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor dalam Ucapan Dasarnya telah mempertegaskan tentang matlamat PAS untuk menegakkan Negara Islam, dengan kerjasama BA sebagai strategi ke arah perlaksanaannya. Penegasan PAS ini menimbulkan respon negatif DAP, tetapi Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 7 Julai 2001 bertegas bahawa PAS tidak akan tunduk kepada DAP dalam mencapai tujuan Negara Islam, yang menyebabkan DAP keluar dari BA pada 22 September 2001. Mengambil kesempatan di atas krisis PAS-DAP dalam BA ini, pada 7 Julai 2001, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah mendakwa bahawa Malaysia boleh disifatkan sebagai sebuah Negara Islam, diikuti oleh keputusan Muzakarah Daulah Islamiyah yang diadakan di Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2001, di mana bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh membentangkan kertas bertajuk “Malaysia Adalah Sebuah Negara Islam.” Kemuncaknya, pada 29 September 2001, Presiden Umno itu telah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam dalam Perhimpunan Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM).

Di sebalik polemik Negara Islam yang ditimbulkan oleh Umno ini, pada 21 Julai 2001, Dr Mahathir Mohamad telah mencabar PAS supaya memperincikan secara bertulis bentuk Negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS supaya rakyat dapat menilainya, dan Umno mula bergerak menjelaskan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam. Presiden PAS pada 30 September 2001, kemudiannya mencabar Presiden Umno supaya mengisytiharkan secara rasmi Malaysia sebagai sebuah Negara Islam dalam Parlimen. Dalam PAS sendiri, pada 15 Julai 2001, Dato’ Fadzil Mohd Noor telah mencadangkan supaya PAS mengadakan muzakarah tentang konsep Negara Islam dalam dunia moden dan akhirnya pada 12-13 Oktober 2001, telah dianjurkan Majlis Muzakarah Penghayatan Pemerintahan Islam dalam Demokrasi Abad Ke-21 di Kuala Terengganu, dan sebuah panel dibentuk oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 13 Oktober 2001 untuk mengemukakan sebuah Memorandum Negara Islam. Pada 16 Oktober 2001, PAS telah mengumumkan secara rasmi bahawa sebuah Memorandum Negara Islam akan dikemukakan kepada Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, draf memorandum ini hanya dapat dibentang kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 9 Februari 2002 dan ia disentuh dalam Ucapan Dasar Presiden PAS pada 31 Mei 2002 dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-48. Kemudian proses penggubalannya terhenti sehingga Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 11 Ogos 2002 mendesak ia disegerakan, selepas kematian Ustaz Fadzil Mohd Noor pada 23 Jun 2002. Kerana beberapa isu besar yang berlaku seperti perlaksanaan hudud di Terengganu, isu kehadiran Menteri Besar Terengganu dalam peresidangan Islam di Makasar yang turut dihadiri oleh Ustaz Abu Bakar Basyir, isu geran perkapita sekolah agama rakyat dan lain-lain, telah menenggelamkan isu Memorandum Negara Islam, sehingga ia dibangkitkan semula oleh wakil Dewan Pemuda PAS Pusat dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-49 pada 13 September 2003. Hasil dari desakan ini, pada 12 November 2003, PAS melancar dokumen Negara Islam sebagai model Negara Islam PAS.

Disusun oleh: Arkib PAS

12 September 2016

12 September 1974 : PAS Kelantan Calonkan Haji Wan Ismail Sebagai Menteri Besar Kelantan

Pada hari ini dalam tahun 1974, PAS Kelantan telah menamakan Bendahari Agung PAS, Haji Wan Ismail Wan Ibrahim sebagai calon Menteri Besar Kelantan yang keempat menggantikan Dato’ Ustaz Haji Ishak Lotfi Omar yang tidak dilantik semula selepas Pilihan Raya Umum 1974. Pencalonan Haji Wan Ismail Ibrahim ini dibuat dalam Mesyuarat Khas Badan Perhubungan PAS Kelantan setelah Barisan Nasional (BN) berjaya menyapu bersih semua kerusi DUN Kelantan dalam Pilihan Raya Umum pada 24 Ogos 1974, di mana PAS memenangi 24 kerusi, Umno 13 dan MCA satu. BN Kelantan membentuk Kerajaan Negeri Kelantan dengan diketuai oleh PAS dengan jawatan-jawatan utama dipegang oleh PAS dan Umno diperuntukan dua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kelantan.

Isu pertukaran Menteri Besar Kelantan ini telah timbul semenjak perubahan politik berlaku pada awal 1973 apabila PAS membentuk Kerajaan Campuran dengan Perikatan pada 1 Januari 1973. Datuk Ishak Lotfi Omar yang dilantik semula sebagai Menteri Besar Kelantan menerima kritikan daripada pimpinan PAS Kelantan yang tidak bersetuju dengan kepemimpinannya. Datuk Ishak Lotfi Omar adalah Menteri Besar Kelantan yang pertama (1959-1964) selepas merdeka, sebelum Datuk Mohd Asri Haji Muda menjadi Menteri Besar Kelantan kedua (1964-1972), tetapi melepaskan jawatannya pada akhir 1972 kerana dilantik sebagai Menteri Kerajaan Pusat. Ekoran itu, Datuk Ishak Lotfi Omar dilantik kali kedua mulai 1973 hingga Pilihan Raya Umum 1974. Pada Mac 1974, tercetus Gerakan Revolusi 14 Mac 1974 yang dipimpin oleh Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah yang membawa kepada terbentuknya Barisan Bebas Bersatu (BBB) disebabkan oleh ketidakpuasan hati terhadap Datuk Ishak Lotfi Omar.

Selepas Pilihan Raya Umum 1974 berakhir, PAS telah menamakan tokoh baru untuk memimpin Kerajaan Kelantan sekali gus menamatkan krisis kepemimpinan yang tercetus lebih awal. PAS telah menamakan adik kepada bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim iaitu Haji Wan Ismail Ibrahim sebagai calon Menteri Besar. Tokoh yang berasal dari Kampung Dalam Kemunting, Pasir Puteh ini merupakan seorang lulusan undang-undang dari England. Beliau adalah ADUN Sungai Rasau sejak 1974. Sebelum itu, selepas pulang dari England pada 1970, beliau dilantik oleh Kerajaan Kelantan sebagai Pendaftar Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), Nilam Puri. Selain turut menjadi Ahli Badan Perhubungan PAS Kelantan, sejak 1973 beliau yang memenangi pemilihan parti sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, telah dilantik sebagai Bendahari Agung PAS sejak 1973. Tokoh yang rapat dengan Dato’ Mohd Asri ini merupakan Naib Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sesi 1964-1965, selain turut menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat sebelum ke England.

Dalam Mesyuarat Khas Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 12 September 1974, PAS telah menamakan calon-calon pentadbir utama Kerajaan Kelantan dengan Wan Ismail Ibrahim sebagai Menteri Besar, Ustaz Salahuddin Abdullah sebagai Timbalan Menteri Besar serta Haji Mohd Nor Yusoff, Ustaz Abdul Rahman Awang Sulong, Nik Mustapha Shafie, Hassan Yaakob dan Hashim Omar sebagai anggota Exco, manakala dua lagi kerusi Exco diserahkan kepada Umno. Walaupun pencalonan ini telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra, tetapi ia tidak dipersetujui oleh Umno Kelantan, khususnya Tengku Razaliegh Hamzah dan Abdullah Ahmad (Tan Sri Dollah Kok Lanas), yang mempengaruhi Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein supaya menolak pencalonan Wan Ismail Ibrahim, sebaliknya mereka mencadangkan Dato’ Mohamad Nasir, ADUN Tendong sebagai calon Menteri Besar Kelantan.

Pada peringkat awal, tindakan Umno mencampuri urusan dalam PAS ini telah menimbulkan kemarahan Dato’ Mohd Asri Haji Muda, tetapi akhirnya PAS bersetuju menerima cadangan Tun Abdul Razak supaya Dato’ Mohamad Nasir, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan (1959-1964) dilantik sebagai Menteri Besar yang baru, dengan Wan Ismail Ibrahim bertindak sebagai Timbalan Menteri Besar dan Umno diperuntukan tiga kerusi Exco untuk menjaga perpaduan BN. Pada 22 September 1974, Dato’ Mohamad Nasir telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru, sedangkan Timbalan Menteri Besar, Haji Wan Ismail Ibrahim bersama barisan Exco yang lain telah mengangkat sumpah jawatan pada 28 September 1974 dengan beberapa perubahan di mana Ustaz Salahuddin Abdullah dan Haji Mohd Yusoff Nor dilantik sebagai anggota Exco bersama Ustaz Abdullah Ahmad dan Mohd Amin @ Abdul Hamid Salleh, sedangkan semua senarai asal yang lain digugurkan. Tiga wakil Umno yang dilantik ialah Dato’ Hussein Ahmad, Dr Nik Hussain Abdul Rahman dan Che Lat Kassim.

Disusun oleh: Arkib PAS

11 September 2016

11 September 1953 : PAS Setuju Adakan Mesyuarat Agung Khas Bincang Tuntutan Pilihanraya

Pada hari ini dalam tahun 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas PAS bagi membincangkan pendirian PAS dalam menuntut pilihan raya segera ke arah kemerdekaan sama ada akan menyokong National Conference atau National Convention. Keputusan PAS diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS dalam mesyuarat pertama mereka selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953 di Bagan Datoh, Perak, di mana dalam mesyuarat agung ini para perwakilan telah mempersoalankan tindakan PAS menyertai kedua-dua badan tersebut dalam tuntutan pilihan raya segera sedangkan kedua-dua badan itu berlainan dasar dan tuntutannya. Bagi menentukan sikap PAS sama ada bersama-sama dengan National Conference atau National Convention, PAS akan mengadakan Mesyuarat Agung Khas pada 26 September 1953 di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam.

National Conference adalah sebuah gabungan politik yang ditaja oleh 16 orang kenamaan termasuk tujuh Menteri Besar. Badan yang dikuasai oleh bekas Yang Dipertua Agung Umno yang menubuhkan IMP, Dato’ Onn Jaafar ini dikatakan telah ditubuhkan dengan pengaruh Pesuruhjaya Tinggi British bagi Asia Tenggara, Sir Malcolm McDonald. Ia ditubuhkan pada 12 Februari 1953, tetapi Umno menarik diri daripadanya kerana Yang Dipertua Agung Umno, Tunku Abdul Rahman Putra tidak mahu tenggelam dalam pengaruh Dato’ Onn Jaafar. Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan yang mewakili PAS menyertai National Conference pada 27 April 1953 telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja National Conference. Bagi menyaingi pengaruh Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra telah menubuhkan National Convention bersama MCA dan mengadakan perhimpunan pertama pada 23 Ogos 1953, di mana PAS turut menyertainya dan Ahli Jawatankuasa Agung PAS, Muhammad Hanif dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja National Convention, tetapi beliau kemudiannya menarik diri.

Disebabkan oleh tindakan PAS menyertai kedua-dua badan yang saling bertentangan dan berebut pengaruh ini, para perwakilan dari PAS Cawangan Hilir Perak dan Bukit Besar telah mempersoalkan tindakan PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua. Yang Dipertua Agung PAS dalam penjelasannya telah menegaskan bahawa tindakan Jawatankuasa Kerja Agung PAS adalah berdasarkan Undang-undang Tubuh PAS 1951 yang memperuntukan antara tujuan PAS ialah “bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negeri ini yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran-ajaran agama Islam di dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan peri kemanusiaan.” Sebelum itu, pada 20 April 1953, Yang Dipertua Agung PAS telah membuat penjelasan kepada semua cawangan PAS bahawa PAS tidak terikat dengan pertubuhan yang disertai oleh mereka, sebaliknya PAS berusaha untuk mengambil tindakan yang paling berkesan dalam mencapai kemerdekaan.

Di sebalik penjelasan yang dibuat oleh Yang Dipertua Agung PAS dan tindakan Muhammad Hanif menarik diri dari menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja National Convention, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua itu tetap berpendapat bahawa sebarang perkara yang penting dan besar, Jawatankuasa Kerja Agung PAS perlu mendapatkan persetujuan Mesyuarat Agung PAS, terutama dalam perkara melibatkan politik rakyat dan negara. Satu usul telah dipersetujui, berbunyi “Bahawa Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PAS Yang Kedua yang bersidang pada hari ini tanggal 26.8.1953 mengambil keputusan dan ketetapan supaya perkara-perkara besar, utamanya yang mengenai politik negara dan rakyat hendaklah diperbincangkan di dalam mesyuarat agung khas menurut Undang-undang Tubuh PAS Nombor 10 Cawangan (3) sebelum dijalankan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS.” Usul yang diluluskan sebulat suara ini telah mendorong Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 11 September 1953 mengambil ketetapan supaya satu Mesyuarat Agung Khas PAS pada 26 September 1953 untuk memutuskan sama ada PAS bersama menyokong National Conference atau National Convention.

Disusun oleh: Arkib PAS

10 September 2016

10 September 1988 : Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Perkukuh Umat Islam Seluruh Dunia

Pada hari ini dalam tahun 1988, Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang berlangsung selama dua hari pada 9-10 September 1988 telah berjaya merangsang perpaduan dan persaudaraan Islam di seluruh dunia. Demikian ditegaskan oleh wakil Jamaat Islami Pakistan, Maulana Khalilul Hamidi ketika berucap dalam Ceramah Penutup pada malam terakhir Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Masjid Rusila, Marang, Terengganu. Selain wakil Pakistan tersebut, turut berucap ialah Timbalan Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Fadzil Mohd Noor, Naib Yang Dipertua PAS Pusat, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang serta wakil MILF dari Filipina, Ustaz Mohamad Ali. Ijtimak dua hari yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Terengganu ini telah dihadiri oleh wakil-wakil dari Arab Saudi, Indonesia, Mesir, Aceh, Singapura, Filipina, Palestin, Kashmir, Afghanistan, Pakistan dan Iran, selain wakil Team B Umno, Berjasa dan Persatuan Ulamak Malaysia (PUM).

Dalam kata-kata aluan Mursyidul Am PAS yang juga Yang Dipertua PAS Pusat, Pak Haji Yusof Rawa, beliau menegaskan bahawa usaha untuk mengembalikan perpaduan ummah mesti dipikul oleh semua aktivis Islam di seluruh dunia, sehingga dapat mewujudkan ukhuwah Islamiyah yang tulus ikhlas. Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Fadzil Mohd Noor menjelaskan bahawa umat Islam pada masa ini sedang berhadapan dengan pelbagai tekanan daripada musuh-musuh Islam. Kerana itu, semangat umat Islam mesti dipulihkan dengan perpaduan supaya mereka dapat menegakkan daulah Islam dan keluar dari cengkaman musuh-musuh Islam. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Mustasyar Ijtimak pula menerangkan bahawa perpecahan umat Islam ketika ini adalah hasil usaha penjajah yang menerapkan fahaman perkauman, memasukkan faham keduniaan (sekular) dan memunculkan aliran-aliran ideologi sehingga berjaya menjatuhan kekhalifahan Islam.

Ketika merasmikan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah pada 9 September 1988, Pak Haji Yusof Rawa menggesa umat Islam supaya bersatu-padu untuk membebaskan diri dari belenggu musuh. Ucapan beliau yang dibacakan oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor ini adalah berkait rapat dengan tekanan-tekanan politik tempatan yang sedang berlaku seperti Peristiwa Memali (1985), Operasi Lalang (1987), Operasi Kenari (1988), rampasan tanah Muassasah Darul Ulum, Kedah (1987) dan juga perpecahan Umno (1988). Sedangkan di peringkat antarabangsa, bermula pertengahan dekad 1980-an telah menyaksikan penubuhan Hamas di Palestin oleh Sheikh Ahmad Yassin (1987), penangkapan pemimpin an-Nahdhah Tunisia oleh regim Habib Bourgiba (1988), penubuhan Barisan Penyelamat Islam (FIS) di Algeria oleh Dr Abasi Madani (1988) dan juga kejayaan Mujahiddin Afghanistan mengalahkan tentera Soviet Union yang menjajah sejak 1979.

Bersempena dengan ijtimak antarabangsa ini, tokoh-tokoh gerakan Islam luar negara telah hadir menyampaikan ucapan mereka seperti Saiful Islam Hassan al-Banna dari Mesir, Maamoon Hassan Hudhaibi dari Mesir, Sheikh Rashid Turabi dari Kashmir, Dr Mukhlis dari Indonesia, Dr Amanyar dari Afghanistan, Ustaz Mahmood Mehdi dari Iraq mewakili Mujahiddin Afghanistan, Maulana Khalilul Hamidi dari Pakistan, Ustaz Mohamad Ali mewakili MILF dari Filipina, Drs Abdullah Yusof dari Aceh dan lain-lain. Rata-rata ucapan wakil-wakil antarabangsa ini, selain memberi fokus kepada isu umat Islam di negara masing-masing, mereka telah menyeru supaya umat Islam membina kekuatan melalui perpaduan. Ijtimak antarabangsa ini telah dihadiri oleh lebih 100,000 orang peserta, termasuk wakil keluarga syuhada’ Memali. Tokoh-tokoh tempatan yang hadir ialah Ustaz Ahmad Awang, Yang Dipertua PUM, Ustaz Ibrahim Azmi, ahli Parlimen Kuala Nerus yang memimpin kumpulan serpihan Umno (Team B Umno) dan Ketua Pemuda Parti Berjasa, Drs Abdul Jalil Ahmad.

Majlis penutup Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ini kemudiannya disempurnakan oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor. Manakala Mustasyar Ijtimak, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang berucap dalam Ceramah Penutup pada 10 September 1988 itu, berkongsi pengalaman umat Islam yang dihina dan menjadi bangsat di tanah air sendiri akibat perbuatan mereka menolak syariat Islam. Selepas dijajah, umat Islam diperintah oleh penguasa sekular yang gagal mengembalikan kekuatan umat dan membela maruah umat Islam. Menurut ahli Parlimen Marang itu, pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini lebih sayangkan telaga-telaga minyak dan kekayaan negara berbanding dengan nasib umat Islam yang dibunuh di seluruh dunia. Hasil kejayaan ijtimak ini, PAS telah menganjurkan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kedua pada 30-31 Ogos 1993 dan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ketiga pada 19-22 Mac 2015.

Disusun oleh: Arkib PAS

09 September 2016

09 September 1952 : Tuan Guru Haji Hussin Che Dol Kembangkan PAS Di Kelantan

Pada hari ini dalam tahun 1952, Naib Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Haji Hussin Che Dol telah memulakan program penerangan PAS di Kelantan dalam rangka meluaskan pengaruh PAS di negeri Tok Kenali ini, setelah berjaya menubuhkan PAS Cawangan Bukit Besar, iaitu cawangan PAS pertama di Kedah pada 5 September 1952 dannjuga PAS Cawangan Perlis pada 8 Mei 1952. Tuan Guru Haji Hussin Che Dol adalah Naib Yang Dipertua PAS Zon Utara yang bertanggungjawab terhadap negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Semenjak PAS mengambil pendirian pada 3 April 1952 untuk membuka sekurang-kurangnya 20 cawangan PAS di seluruh Tanah Melayu sebelum Mesyuarat Agung Tahunan PAS yang pertama pada awal 1953, PAS telah berjaya menubuhkan cawangan-cawangannya di Pulau Pinang, Seberang Perai, Perak, Perlis, Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan, tetapi PAS melihat Kelantan adalah antara prospek terbaik.

Antara faktor yang menyebabkan PAS yakin dengan kepentingan Kelantan dalam meluaskan pengaruh PAS ialah kerana banyaknya pondok dan ramainya ulamak di Kelantan. Ternyata perkembangan PAS di Seberang Perai, Perak, Kedah dan Perlis pada tahap ini adalah hasil dukungan para ulamak pondok. Untuk tujuan tersebut, PAS telah memutuskan supaya usaha mengembangkan PAS di Kelantan dibuat segera. Kedudukan Tuan Guru Haji Hussin Che Dol sebagai Naib Yang Dipertua PAS yang bertanggungjawab terhadap Kelantan mempunyai kelebihan dalam usaha ini. Pertama, kerana Tuan Guru Haji Hussin Che Dol adalah seorang ulamak yang mempunyai hubungan ilmu dengan ulamak-ulamak Kelantan dan Pattani, kerana ayahnya, Tuan Guru Haji Che Dol Gajah Mati (Sheikh Wan Ismail Wan Mustafa) adalah berasal dari Pattani, negeri yang menjadi tumpuan pelajar Kelantan. Tuan Guru Haji Che Dol juga merupakan mertua kepada Tuan Guru Haji Wan Ibrahim Wan Abdul Kadir (Pak Chu Him Gajah Mati), iaitu adik kepada Sheikh Wan Ismail (Pak Da Eil al-Fathani) dan sepupu kepada Sheikh Wan Ahmad al-Fathani yang sangat terkenal di Mekah.

Di Kelantan, saat ini hampir semua ulamaknya mempunyai hubungan ilmu dengan Tok Kenali, murid kanan Sheikh Wan Ahmad al-Fathani, terutama Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad. Tuan Guru Haji Abdullah Tahir sendiri adalah murid Tok Kenali yang mempunyai pondok terbesar di Kelantan selepas Perang Dunia Kedua. Kedua, adik Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad, Qadhi Bachok adalah bekas Ketua Hizbul Muslimin Kelantan ketika Tuan Guru Haji Hussin Che Dol memimpin Hizbul Muslimin pada 1948. Ketiga, Pondok Bunut Payung yang dibangunkan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Tahir menjadi pusat kegiatan Jabhah ad-Diiniah al-Islamiyah Kelantan yang ditubuhkan pada 1934 sebagai persatuan ulamak pertama di Malaya yang bertujuan untuk menyatukan para ulamak Kelantan. Tuan Guru Haji Hussin telah memanfaatkan semua kelebihan ini untuk beliau mengembangkan pengaruh PAS di Kelantan.

Pada 6 September 1952, Tuan Guru Haji Hussin Che Dol telah bertolak ke Kelantan dengan tujuan untuk mengadakan penerangan tentang dasar dan tujuan PAS di Kelantan. Beliau bermalam di Madrasah Ahmadiyah (Pondok Bunut Payung) beberapa hari dalam melaksanakan misi tersebut, terutama untuk bermuzakarah dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir tentang perjuangan PAS. Pada 9 September 1952, program pertama di adakan di rumah Ustaz Adam Kamil di Pasir Puteh. Kemudian, pada 10 September 1952, Imam Che Muda Yusof dari Masjid Pasir Mas telah menyusun majlis penerangan serupa selepas solat Jumaat di Masjid Pasir Mas, diikuti oleh majlis penerangan di rumah Mohd Nor Senik, Pasir Mas pada malam 11 September 1952. Tuan Guru Haji Hussin Che Dol walau bagaimanapun berkeuzuran untuk memenuhi program pada 11 September 1952 itu. Hasil dari program penerangan ini, Ustaz Abdul Rahman Awang Sulong (Imam Masjid Mukim Beta) telah tampil sebagai ahli PAS pertama di Kelantan.

Selepas sesi penerangan dibuat oleh Tuan Guru Haji Hussin Che Dol ini, PAS telah berkembang di Pasir Mas, Machang dan Pasir Puteh, sebelum ia mula diterima oleh masyarakat Kota Bharu. Antara tokoh awal yang menggerakan pengaruh PAS di Kelantan ialah Ustaz Amaluddin Darus dan Ahmad Yatim di Pasir Mas, Ustaz Adam Kamil dan Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim di Pasir Puteh serta Haji Mohd Nor Yusof di Machang. Penyertaan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir ke dalam PAS pada 1954 telah menyebabkan ulamak-ulamak pondok mulai menyertai PAS secara besar-besaran selepas 1955. PAS juga berjaya membuka cawangan-cawangan di Kelantan dengan penubuhan PAS Cawangan Pasir Mas (23 Julai 1953), Machang (21 September 1953), Pasir Puteh (1 Oktober 1954) dan Kota Bharu (18 November 1954). Pada 26-28 Disember 1955, PAS telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keempat di Pondok Bunut Payung, yang memberi isyarat bahawa Tuan Guru Haji Abdullah Tahir telah bersama perjuangan PAS, sekali gus mempercepatkan perluasan pengaruh PAS di Kelantan.

Disusun oleh: Arkib PAS

08 September 2016

08 September 1988 : PAS Luluskan Perletakan Jawatan Ustaz Nakhaie Ahmad

Pada hari ini dalam tahun 1988, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menerima permohonan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad untuk meletakkan semua jawatan beliau dalam PAS ekoran pergeseran peribadi beliau dengan Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa. Ustaz Nakhaie Ahmad yang mengemukakan perletakan jawatan kepada Yang Dipertua Agung PAS pada 20 Ogos 1988, ketika itu sedang memegang beberapa jawatan utama PAS antaranya Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ketua Penerangan PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan. Menurut Ustaz Nakhaie Ahmad, beliau meletakkan jawatan dalam PAS kerana berkecil hati dengan kenyataan Pak Yusof Rawa yang kononnya membawa maksud bahawa sumbangan beliau tidak memberikan apa-apa makna kepada PAS.

Sebelum menyertai PAS pada 1977, Ustaz Nakhaie Ahmad yang berkelulusan dari Universiti al-Azhar dan Darul Ulum, Kaherah adalah Penasihat Agama Institut Teknologi Mara (ITM). Beliau aktif dalam ABIM sejak ia ditubuhkan pada 1972 dan jawatan tertinggi beliau dalam ABIM ialah Ketua Dakwah ABIM, dan menyertai PAS atas arahan Pak Natsir, bekas pemimpin Masyumi, Indonesia. Di dalam PAS, beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat (1977-1979), Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1979), Setiausaha Agung PAS (1979-1981), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1981-1982), Ketua Penerangan PAS Pusat (1983-1984 dan 1987-1988), Naib Yang Dipertua Agung PAS (1983-1988), Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan (1985-1988) dan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS sejak 1987. Beliau juga merupakan bekas Ahli Parlimen PAS Kawasan Baling (1978-1982). Antara sumbangan besar beliau dalam PAS ialah menerokai hubungan politik dengan orang Cina menerusi Chinese Consultative Council (CCC) (1985-1986), memberikan nama kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) (1985), mengemukakan gagasan tahaluf siyasi (1986) dan mengasaskan Harakah (1987).

Konflik antara Ustaz Nakhaie Ahmad dengan pemimpin PAS dikatakan bermula dengan Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987, di mana beliau dikatakan berjaya meloloskan diri keluar negara lebih awal untuk mengelakkan diri dari ditahan. Dalam bulan November 1987, beliau mengumumkan strategi untuk menubuhkan Barisan Jemaah Islamiyah yang menyatukan seluruh pertubuhan dan parti politik orang Islam dalam satu barisan. Pada Januari 1988, beliau mengemukakan cadangan ini secara rasmi kepada PAS, tetapi hanya dibincangkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 8 Mac 1988. Namun begitu pada 4 Julai 1988, beliau menarik balik cadangannya. Ustaz Nakhaie Ahmad pada asasnya mencadangkan supaya PAS membuat pakatan dengan Umno (Baru) pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, sedangkan pemimpin PAS ketika itu cenderung untuk membentuk kerjasama dengan Team B Umno (Semangat 46) yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah.

Ekoran itu, pada 20 Ogos 1988, Ustaz Nakhaie Ahmad telah memohon untuk melepaskan semua jawatan beliau dalam PAS. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 8 September 1988 kemudiannya telah meluluskan permohonan ini dan melantik Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Pemangku Ketua Penerangan PAS Pusat, sebelum Haji Ahmad Subky Abdul Latiff dilantik mengisi jawatan tersebut pada 9 Oktober 1988. Berlanjutan dari itu, beliau kemudiannya menyertai Umno pada 1989 dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Penerangan Umno Malaysia, sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua YADIM dan Naib Yang Dipertua PERKIM. Turut menyertai Umno bersama beliau ialah beberapa pemuda PAS seperti Saifuddin Nasution Ismail, Mohd Fuad Zarkashi, Zulkifli Ahmad (bekas Presiden MISG) dan Che Borhan Che Pa. Walaupun beliau meninggalkan PAS, tetapi adik-beradik beliau kekal berjuang bersama PAS seperti Ustaz Zawawi Ahmad (bekas Ahli Parlimen Padang Tetap dan bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah), Ustaz Suhaimi Ahmad (bekas ADUN Kupang dan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah), Ustaz Dato’ Najmi Ahmad (calon PAS Parlimen Baling, 2013) dan Ustaz Musoddaq Ahmad (Setiausaha PAS Kedah).

Disusun oleh: Arkib PAS

07 September 2016

07 September 2003 : Menteri Besar Terengganu Perjelas Isu Melabel Polis Sebagai 'Syaitan Bisu'

Pada hari ini dalam tahun 2003, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah membuat penjelasan tentang satu kenyataannya yang diputar-belit oleh media sehingga menuduh beliau melabelkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai syaitan bisu. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga Pemangku Presiden PAS telah mengulaskan tindakan beberapa pihak termasuk PDRM yang enggan memberi kerjasama dalam usaha Kerajaan PAS Terengganu menggubal undang-undang jenayah syariah di negeri itu, ketika beliau berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu seminggu sebelumnya. Kerana kesal di atas sikap yang tidak bersama dalam menegakkan hukum Allah ini, Menteri Besar Terengganu itu menggelarkan mereka sebagai "syaitan-syaitan bisu."

Kenyataan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di DUN Terengganu itu kemudiannya dimanipulasikan oleh media-media pro kerajaan, kononnya Pemangku Presiden PAS itu menujukan kenyataan tersebut kepada PDRM. Ini mengundang beberapa kenyataan negatif daripada beberapa pegawai polis, termasuk Datuk Othman Talib, Ketua Polis Pulau Pinang yang merupakan bekas Ketua Polis Terengganu. Turut mengkritik kenyataan Ketua Pembangkang Malaysia berdasarkan laporan media ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menganggap ia satu kenyataan yang melampau dan tidak bertanggungjawab. Kenyataan beliau turut mendapat perhatian daripada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Terdahulu, Kerajaan PAS Terengganu telah membentangkan Rang Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu di DUN pada 7-9 Julai 2002. Enakmen ini kemudiannya telah mendapat perkenan Sultan Terengganu pada 2 September 2002 dan diwartakan pada 25 September 2002. Walau bagaimanapun, Ketua Polis Terengganu membuat kenyataan untuk tidak akan memberi kerjasama kepada Kerajaan Terengganu dalam perlaksanaan hukum hudud, qisas dan takzir. Dalam sidang DUN Terengganu pada 3 September 2003, semasa menjawab soalan Dato' Abdul Rashid Ngah (BN - Seberang Takir), Menteri Besar Terengganu menjelaskan tentang penglibatan PDRM dalam menganjurkan maksiat dan enggan bekerjasama melaksanakan undang-undang syariat. Beliau kesal dengan sikap pihak tertentu yang mendiamkan diri terhadap maksiat seumpama "syaitan bisu."

Media massa pro BN keesokannya mendakwa Menteri Besar Terengganu anggap PDRM sebagai syaitan bisu, sehingga ia menarik perhatian para pemimpin negara. Menjawab manipulasi media dan serangan yang dibuat oleh para pemimpin Umno dalam isu syaitan bisu ini, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tampil pada 7 September 2003 menjelaskan kekeliruan tersebut. Menurut beliau, analogi syaitan bisu itu bukan ditujukan kepada polis, tetapi kepada ahli-ahli agama dalam Umno yang berdiam diri terhadap maksiat yang berlaku, termasuk tidak menyokong perlaksanaan undang-undang syariat. Pemangku Presiden PAS itu memberi contoh perbuatan maksiat yang didiamkan oleh "syaitan bisu" dalam Umno termasuklah membiarkan judi kasino, menganjurkan konsert dan memecat Mufti Selangor, Dato' Ishak Baharum.

Disusun oleh: Arkib PAS

06 September 2016

06 September 1952 : Cawangan Pertama PAS Kedah Ditubuhkan Di Bukit Besar

Pada hari ini dalam tahun 1952, PAS telah berjaya dikembangkan ke Kedah apabila PAS Cawangan Bukit Besar ditubuhkan dalam satu pertemuan umat Islam di Madrasah an-Nahdah, Bukit Besar, Kedah. Dalam pertemuan ini, mereka telah bersetuju menubuhkan Cawangan PAS dengan diketuai oleh Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi, Mudir Madrasah an-Nahdah, manakala Ustaz Ahmad Shukri Abdul Syukur sebagai Setiausaha dan Tuan Guru Haji Ahmad Yusof sebagai Penolong Setiausaha. PAS Cawangan Bukit Besar adalah antara 13 Cawangan PAS terawal ditubuhkan sepanjang tahun 1952 di samping PAS Cawangan-cawangan Bandar Pulau Pinang, Bukit Mertajam, Perak (Kuala Kangsar), Krian, Perlis, Kuala Lumpur, Rembau, Hilir Perak, Bayan Lepas, Sentul, Sungai Penchala dan Pokok Sena (Seberang Perai), manakala PAS Cawangan Singapura tidak luluskan.

Semenjak PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 dan pembentukan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 24 November 1951, tokoh ulamak Kedah, Tuan Guru Haji Hussin Che Dol, Yang Dipertua Persatuan Ulamak Kedah (PUK) (yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kedah), telah dilantik sebagai Naib Yang Dipertua PAS bagi kawasan Utara. Turut dilantik ialah seorang lagi tokoh Umno Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid (Setiausaha PUK) sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Atas usaha mereka, pada 2 Februari 1952, satu Majlis Penerangan PAS telah diadakan kepada PUK oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Ahmad Maliki. Dalam majlis ini, telah timbul cadangan supaya PUK menjadi ahli gabungan PAS, tetapi cadangan ini ditangguhkan. Walaupun cadangan ini ditangguhkan, beberapa tokoh ulamak di kaki Gunung Jerai ini iaitu Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi (Madrasah an-Nahdhah, Bukit Besar), Tuan Guru Haji Yahya Junid (Madrasah Khairiyah, Padang Lumat), Tuan Guru Haji Hussin Che Dol (Madrasah al-Akhlak as-Salam, Guar Chempedak), Tuan Guru Haji Pak Mid Ibrahim Bukit Besar, Tuan Guru Haji Ahmad Yusof dan lain-lain mengambil inisiatif menubuhkan cawangan PAS di Kedah, terutama setelah Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 3 April 1952 memutuskan supaya PAS menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh Tanah Melayu, dan pada 8 Mei 1952 PAS Cawangan Perlis telah berjaya ditubuhkan.

Kejayaan ulamak-ulamak menubuhkan PAS Cawangan Bukit Besar pada 6 September 1952 ini bukan sahaja membolehkan mereka menyertai Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953, tetapi juga telah meluaskan pengaruh PAS di Kedah. Antara cawangan yang awal menyusuli PAS Cawangan Bukit Besar ialah PAS Cawangan Bukit Aping (Bandar Baharu) dan PAS Cawangan Sungai Korok, Alor Setar yang ditubuhkan pada 1953. Cawangan-cawangan PAS yang lain ialah Kupang (1955), Kodiang (1955), Pinang Tunggal (1955), Alor Ganu (1956) dan Sik (1957). PAS Kedah juga berkembangan melalui sayap pelajarnya, Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK) yang berpusat di Maktab Mahmud, Alor Setar. KPAK menjadi anggota gabungan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) yang sejak 1954 dipimpin oleh Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Di atas kekuatan ini, PAS Kedah mula menyertai Pilihan Raya Umum pada 27 Julai 1955 dengan cadangan meletakkan dua calon iaitu di Kota Star dan Kedah Selatan. Walau bagaimanapun, PAS hanya bertanding di kawasan Kedah Selatan melalui Ustaz Mohd Salleh Shafie, tetapi tewas dengan majoriti 19,487 undi. PAS menarik diri di Kota Star kerana menghormati Tunku Kassim Sultan Abdul Hamid, Tengku Laksamana Kedah yang menjadi calon Perikatan. Mulai 26 November 1954, Yang Dipertua PAS Cawangan Bukit Besar, Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah yang pertama selama sembilan tahun, sebelum diganti oleh Ustaz Dato' Abu Bakar Umar (1963-1975 dan 1977-1982), Ustaz Ismail Kassim (1975-1977), Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor (1982-1987 dan 1991-2000), Ustaz Azahari Abdul Razak (1987-1991), Ustaz Tan Sri Azizan Abdul Razak (2000-2013), Dato' Mahfuz Omar (2013-2015) dan Ustaz Dr Ahmad Fakharuddin Sheikh Fakhurazzi sejak 2015.

Disusun oleh: Arkib PAS