06 September 2016

06 September 1952 : Cawangan Pertama PAS Kedah Ditubuhkan Di Bukit Besar

Pada hari ini dalam tahun 1952, PAS telah berjaya dikembangkan ke Kedah apabila PAS Cawangan Bukit Besar ditubuhkan dalam satu pertemuan umat Islam di Madrasah an-Nahdah, Bukit Besar, Kedah. Dalam pertemuan ini, mereka telah bersetuju menubuhkan Cawangan PAS dengan diketuai oleh Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi, Mudir Madrasah an-Nahdah, manakala Ustaz Ahmad Shukri Abdul Syukur sebagai Setiausaha dan Tuan Guru Haji Ahmad Yusof sebagai Penolong Setiausaha. PAS Cawangan Bukit Besar adalah antara 13 Cawangan PAS terawal ditubuhkan sepanjang tahun 1952 di samping PAS Cawangan-cawangan Bandar Pulau Pinang, Bukit Mertajam, Perak (Kuala Kangsar), Krian, Perlis, Kuala Lumpur, Rembau, Hilir Perak, Bayan Lepas, Sentul, Sungai Penchala dan Pokok Sena (Seberang Perai), manakala PAS Cawangan Singapura tidak luluskan.

Semenjak PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 dan pembentukan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 24 November 1951, tokoh ulamak Kedah, Tuan Guru Haji Hussin Che Dol, Yang Dipertua Persatuan Ulamak Kedah (PUK) (yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kedah), telah dilantik sebagai Naib Yang Dipertua PAS bagi kawasan Utara. Turut dilantik ialah seorang lagi tokoh Umno Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid (Setiausaha PUK) sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Atas usaha mereka, pada 2 Februari 1952, satu Majlis Penerangan PAS telah diadakan kepada PUK oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Ahmad Maliki. Dalam majlis ini, telah timbul cadangan supaya PUK menjadi ahli gabungan PAS, tetapi cadangan ini ditangguhkan. Walaupun cadangan ini ditangguhkan, beberapa tokoh ulamak di kaki Gunung Jerai ini iaitu Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi (Madrasah an-Nahdhah, Bukit Besar), Tuan Guru Haji Yahya Junid (Madrasah Khairiyah, Padang Lumat), Tuan Guru Haji Hussin Che Dol (Madrasah al-Akhlak as-Salam, Guar Chempedak), Tuan Guru Haji Pak Mid Ibrahim Bukit Besar, Tuan Guru Haji Ahmad Yusof dan lain-lain mengambil inisiatif menubuhkan cawangan PAS di Kedah, terutama setelah Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 3 April 1952 memutuskan supaya PAS menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh Tanah Melayu, dan pada 8 Mei 1952 PAS Cawangan Perlis telah berjaya ditubuhkan.

Kejayaan ulamak-ulamak menubuhkan PAS Cawangan Bukit Besar pada 6 September 1952 ini bukan sahaja membolehkan mereka menyertai Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953, tetapi juga telah meluaskan pengaruh PAS di Kedah. Antara cawangan yang awal menyusuli PAS Cawangan Bukit Besar ialah PAS Cawangan Bukit Aping (Bandar Baharu) dan PAS Cawangan Sungai Korok, Alor Setar yang ditubuhkan pada 1953. Cawangan-cawangan PAS yang lain ialah Kupang (1955), Kodiang (1955), Pinang Tunggal (1955), Alor Ganu (1956) dan Sik (1957). PAS Kedah juga berkembangan melalui sayap pelajarnya, Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK) yang berpusat di Maktab Mahmud, Alor Setar. KPAK menjadi anggota gabungan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) yang sejak 1954 dipimpin oleh Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Di atas kekuatan ini, PAS Kedah mula menyertai Pilihan Raya Umum pada 27 Julai 1955 dengan cadangan meletakkan dua calon iaitu di Kota Star dan Kedah Selatan. Walau bagaimanapun, PAS hanya bertanding di kawasan Kedah Selatan melalui Ustaz Mohd Salleh Shafie, tetapi tewas dengan majoriti 19,487 undi. PAS menarik diri di Kota Star kerana menghormati Tunku Kassim Sultan Abdul Hamid, Tengku Laksamana Kedah yang menjadi calon Perikatan. Mulai 26 November 1954, Yang Dipertua PAS Cawangan Bukit Besar, Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah yang pertama selama sembilan tahun, sebelum diganti oleh Ustaz Dato' Abu Bakar Umar (1963-1975 dan 1977-1982), Ustaz Ismail Kassim (1975-1977), Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor (1982-1987 dan 1991-2000), Ustaz Azahari Abdul Razak (1987-1991), Ustaz Tan Sri Azizan Abdul Razak (2000-2013), Dato' Mahfuz Omar (2013-2015) dan Ustaz Dr Ahmad Fakharuddin Sheikh Fakhurazzi sejak 2015.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: