30 November 2016

30 November 1999 : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Dilantik Sebagai Menteri Besar Terengganu

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1999, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Menteri Besar Terengganu yang keenam sejak 1959 ini adalah ADUN Rhu Rendang semenjak 1986, setelah menjadi ADUN Marang (1982-1986) dan juga Ahli Parlimen Marang (1990-1999). Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu kemudiannya dinamakan sebagai Menteri Besar Terengganu ekoran kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum Kesepuluh pada 29 November 1999.

29 November 2016

29 November 1999 : PAS Catat Kejayaan Cemerlang Dalam Pilihan Raya Umum Ke-10

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1999, PAS telah mencatatkan kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 dengan dapat menguasai dua buah negeri dan menjadi pembangkang utama di Dewan Rakyat. Antara faktor utama kejayaan PAS dalam pilihan raya ini adalah akibat krisis politik dalaman Umno yang berlaku pada 1998 dan kejayaan PAS memimpin pakatan pembangkang, Barisan Alternatif (BA). Ekoran kemenangan ini, tiga pemimpin utama PAS telah memegang jawatan-jawatan penting iaitu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato'Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan, Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor sebagai Ketua Pembangkang dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar Terengganu.

28 November 2016

28 November 1996 : UMNO Arah Empat Exco PMS46 Letak Jawatan Untuk Selesaikan Krisis Politik Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1996, Majlis Tertinggi Umno telah mengarahkan empat orang Ahli Majlia Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kelantan dari bekas Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyertai semula Umno supaya meletakkan jawatan. Krisis politik Kelantan yang tercetus sejak selepas Pilihan Raya Umum 1995 telah membawa kepada putusnya kerjasama politik PAS-PMS46 mulai 14 Julai 1996. Walaupun PMS46 telah menjadi pembangkang, namun empat Ahli Exco mereka telah bertindak untuk tidak melepaskan jawatan sehingga menimbulkan krisis politik di Kelantan.

27 November 2016

27 November 1978 : Muktamar Mahu PAS Amalkan Konsep Syura Dalam Pemilihan Parti

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1978, Muktamar Tahunan PAS Ke-24 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur telah memutuskan satu syor supaya PAS mengamalkan konsep syura yang lebih kolektif dalam pemilihan parti. Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung antara 25-27 November 1978 ini adalah yang pertama diadakan selepas PAS mengalami krisis politik sehingga dipecat dari BN, yang antara lain kerana faktor kepemimpinan yang dilihat mulai mengamalkan politik perpuakan selepas PAS menyertai Kerajaan Campuran pada 1 Januari 1973. Muktamar Tahunan PAS Ke-24 ini telah memberikan perhatian terhadap isu-isu dalaman parti termasuk kegagalan PAS menyediakan rancangan jangka panjang, strategi politik yang berkesan dan tidak mempunyai garis pergerakan politik yang jelas.

26 November 2016

26 November 1981 : Peraturan Pemilihan Calon Cetuskan Krisis Terbuka Antara Asri Muda Dengan Ulamak

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1981, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan dua isu yang kemudiannya kedua-dua isu ini menjadi punca pergolakan antara Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dengan golongan ulamak dalam PAS, termasuk Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dua isu tersebut ialah cadangan yang diangkat oleh Dewan Ulamak PAS Pusat untuk menggubal Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS 1981 dan cadangan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mengadakan muktamar tahunannya bagi tahun 1982 berasingan daripada Muktamar Tahunan PAS. Kedua-dua isu ini dikatakan telah menyebabkan Dato' Mohd Asri Haji Muda merajuk dan mula berkrisis secara terbuka dengan golongan ulamak sehingga akhirnya beliau berundur dari kepemimpinan PAS setahun kemudian.

25 November 2016

25 November 1993 : DUN Kelantan Luluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedua 1993

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1993, Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN Kelantan) telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 dengan sebulat suara oleh 37 daripada 39 ADUN. Rang Undang-undang yang dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 24 November 1993 ini menerima sambutan positif daripada semua ADUN, termasuk dua ADUN pembangkang, Nordin Yaakob (BN - Sungai Pinang) dan Wan Najib Wan Mohamad (BN - Limbongan). Dengan sokongan sebulat suara di DUN Kelantan ini, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 menjadi undang-undang jenayah Islam yang pertama digubal di negara selepas merdeka.

24 November 2016

24 November 1951 : Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya Rasmikan Penubuhan PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1951, para ulamak dan persatuan-persatuan umat Islam telah bersidang dalam Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya di Kelab Melayu Bagan, Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Perai untuk menubuhkan persatuan ini secara rasmi. Dua agenda utama persidangan ini adalah untuk meluluskan Undang-undang Tubuh Persatuan Ulamak Se-Malaya dan melantik ahli jawatankuasa kerja persatuan tersebut. Persidangan ini pada asalnya dijadualkan akan dibuka oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Putra tetapi telah dibuka oleh Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Sheikh Haji Abdullah Fahim.

23 November 2016

23 November 2000 : DAP Kekal Dalam Barisan Alternatif (BA) Walaupun Berkrisis Dengan PAS Dan PKN

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2000, Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP telah mengambil pendirian untuk terus kekal bersama pakatan pembangkang, Barisan Alternatif (BA) walaupun parti cauvenis Cina itu menghadapi krisis dengan rakan-rakan pakatannya. Terdahulu, DAP telah berkrisis dengan PAS ekoran pengumuman Kerajaan PAS Terengganu pada 4 Disember 1999 untuk melaksanakan syariat termasuk mengenakan cukai kharaj ke atas orang bukan Islam, kemudian berkrisis pula dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) kerana isu calon dalam Pilihan Raya Kecil DUN Lunas, Kedah ekoran pembunuhan ADUN Lunas, Joe Fernandez pada 5 November 2000. Ekoran itu, BA berada dalam keadaan tidak stabil setelah mencapai kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Umum pada 29 November 1999.

22 November 2016

22 November 1987 : PAS Berjumpa Ketua Polis Negara Runding Isu Salah Guna Kuasa Operasi Lalang

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1987, sejumlah enam orang pemimpin utama PAS diketuai oleh Pak Haji Yusof Rawa, Yang Dipertua Agung PAS telah mengadakan rundingan dengan Ketua Polis Negara, Dato' Hanif Omar di Bukit Aman kerana isu penyalahgunaan ISA. Sejak 27 Oktober 1987, Menteri Dalam Negeri telah menahan seramai 106 orang tokoh politik, ahli akademik, aktivis masyarakat dan orang perseorangan di bawah Seksyen 8 dan 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang. Pada pandangan PAS, penahanan 106 orang termasuk 15 orang ahli PAS adalah satu bentuk salah guna kuasa dan kezaliman ke atas rakyat.

Operasi Lalang yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 ini adalah berpunca daripada perbalahan kaum antara Umno dan MCA. Pada asalnya ia berkait dengan isu penempatan guru Melayu di sekolah Cina, kemudian merebak menjadi isu perkauman. MCA, Gerakan dan DAP telah mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu, sehingga mendorong Pergerakan Pemuda Umno yang diketuai Dato' Mohd Najib Abdul Razak mengatur himpunan Melayu besar-besaran di Kuala Lumpur pada 17 Oktober 1987. Ekoran daripada itulah, maka Operasi Lalang dilancarkan sehingga ramai pemimpin politik, termasuk pimpinan PAS telah ditahan di bawah ISA.

Antara pemimpin dan ahli PAS yang turut ditahan ialah Ustaz Abdul Halim Arshad (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Abdul Khalid Samad (Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat), Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Suhaimi Said, Tuan Guru Haji Mohd Arif Yaakob, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Mohd Yusof Hussein, Mohd Ali Hanafiah Ismail dan Nawawi Yusof. Manakala beberapa lagi ditahan kerana didakwa terlibat dengan kegiatan Jundullah iaitu Ustaz Buniyamin Yaakob, Ustaz Omar Khalid, Zainuddin Abdullah, Tengku Shukri Tengku Zainal dan Kamarulzaman Ismail. Kesemua mereka telah ditahan minimum dua tahun di Kem Tahunan Kemunting, kecuali Ustaz Abdul Halim Arshat, Tuan Guru Haji Mohd Arif Yaakob, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Mohd Ali Hanafiah Ismail dan Nawawi Yusof yang dibebaskan selepas siasatan selama 60 hari. PAS menganggap penahanan ini adalah satu kezaliman dan mendesak supaya mereka dibebaskan.

Dalam memorandum PAS kepada Perdana Menteri pada 19 November 1987, PAS mendakwa ia tidak terlibat dengan isu perkauman ini, sebaliknya ia adalah angkara parti-parti komponen BN dan DAP, selain merupakan satu rancangan kerajaan untuk menghancurkan gerakan Islam. PAS juga bertegas bahawa konflik ini membuktikan kegagalan nasionalisme dalam mewujudkan perpaduan, sedangkan perpaduan sebenar hanya wujud atas nama Islam. Majlis Syura Ulamak PAS pada 20 Oktober 1987 telah melarang ahli-ahli PAS terlibat dalam perhimpunan perkauman, sedangkan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 19 Oktober 1987 telah memutuskan supaya PAS menemui pihak Ketua Polis Negara. 

Ekoran itu, pada 22 November 1987, satu rombongan pimpinan PAS Pusat terdiri daripada Pak Haji Yusof Rawa (Yang Dipertua Agung PAS), Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor (Timbalan Yang Dipertua Agung PAS), Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat), Syed Ibrahim Abdul Rahman, Wan Abdul Muttalib Embong dan Haji Ahmad Subky Abdul Latif telah menemui Dato' Hanif Omar, Ketua Polis Negara di Bukit Aman. Rombongan ini telah menegaskan bahawa PAS bukan sahaja tidak terlibat dalam isu perkauman tajaan BN ini, bahkan ahli-ahli PAS juga tidak terlibat dalam kegiatan Jundullah seperti yang didakwa. PAS mendesak supaya mereka dibebaskan atau satu pendakwaan terbuka di mahkamah dibuat, selain menegaskan bahawa isu perkauman ini sengaja ditimbulkan bagi membolehkan pemimpin pembangkang ditangkap dan kelangsungan kuasa BN dapat dipertahanan ketika BN menghadapi krisis ekoran perpecahan dalaman Umno dan MCA.

21 November 2016

21 November 2000 : Media Dedah Rancangan Kerajaan PAS Terengganu Bawa Isu Royalti Ke Mahkamah

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2000, media massa arus perdana telah mendedahkan rancangan Kerajaan PAS Terengganu untuk membawa kes royalti petroleum ke mahkamah. Sebelumnya, Kerajaan PAS Terengganu telah melakukan beberapa tindakan politik bagi mengembalikan royalti petroleum tersebut, tetapi tidak memberikan sebarang kesan. Hal ini telah menyebabkan Kerajaan PAS Terengganu telah mengambil pendekatan undang-undang dengan membawa kes tersebut ke mahkamah, termasuk merujuk kes ini ke Queen Counsel di London.

Isu royalti petroleum Terengganu ini menjadi hangat selepas Terengganu jatuh ke tangan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999. Dengan hasil royalti petroleum, Kerajaan PAS Terengganu telah memperkenalkan pelbagai dasar berkebajikan kepada rakyat sehingga Umno semakin lemah. Dalam Perhimpunan Agung Umno Ke-54 pada 11-13 Mei 2000, Umno Terengganu telah melahirkan kebimbangan sekiranya royalti petroleum disalahgunakan oleh PAS. Dakwaan ini kemudiannya mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 26 Jun 2000 untuk mendakwa bahawa Terengganu tidak berhak ke atas royalti petroleum. Ia disusuli pula oleh tindakan Kementerian Kewangan pada 5 September 2000 yang mengumumkan bahawa pembayaran royalti petroleum kepada Terengganu dihentikan dan ia disalurkan terus kepada rakyat Terengganu melalui Program Pembiayaan Wang Ehsan (PPWE).

Walaupun terdapat pelbagai cadangan supaya isu royalti ini dirujuk ke mahkamah, PAS telah memilih untuk menggunakan saluran politik dengan membawa isu ini ke Parlimen pada 16 Oktober 2000, tetapi usul berkait royalti ini telah ditolak oleh Dewan Rakyat. Antara langkah politik lain yang telah diambil termasuklah membatalkan status 'rahsia rasmi' bagi tiga dokumen royalti, menyerahkan memorandum bantahan kepada Kementerian Kewangan dan membuat penjelasan kepada rakyat. Sebelum itu, Kerajaan PAS Terengganu telah menyatakan bahawa pihak kerajaan terpaksa memikirkan langkah-langkah kontigensi bagi menghadapi pemotongan bajet ekoran ketiadaan sumber utama yang dijangka mencecah nilai RM840 juta. Di pihak Umno dan Kerajaan Pusat, mereka sejak 16 Oktober 2000 telah mencabar Kerajaan PAS Terengganu untuk membawa isu ini ke mahkamah sebagai membuktikan bahawa Terengganu berhak ke atasnya.

Walaupun isu ketelusan mahkamah sedangkan hangat dipersoalkan ketika itu, PAS pada akhir Oktober 2000 telah menggambarkan kemungkinan membawanya ke mahkamah sebagai mana yang dicabar oleh Umno. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 18 November 2000 telah bersetuju supaya kes ini bukan sahaja perlu dibawa ke mahkamah, tetapi juga perlu rujuk kepada Queen Counsel di London untuk mendapat pandangan dari sudut undang-undang. Keputusan PAS kemudiannya telah diketahui oleh media massa dan Berita Harian pada 21 November 2000 telah mendedahkan rancangan PAS untuk menjadikan isu royalti petroleum ini sebagai kes di mahkamah. Namun begitu, setelah tiga bulan melalui pelbagai proses, Kerajaan PAS Terengganu hanya memfailkan saman ke atas Petronas dan Kerajaan Pusat pada 8 Mac 2001, dan kes ini masih berlarutan hingga sekarang.

20 November 2016

20 November 1976 : Dato' Mohamad Nasir Serah Surat Letak Jawatan Menteri Besar Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1976, Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohamad Nasir telah menyerahkan surat perletakan jawatan beliau sebagai ketua kerajaan Kelantan kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda. Perletakan jawatan beliau atas sebab-sebab kesihatan ini telah diterima dengan positif oleh pemimpin PAS khususnya di Kelantan kerana ia dijangka akan menyelesaikan krisis kepemimpinan yang tercetus sejak isu perlantikan Menteri Besar Kelantan selepas Pilihan Raya Umum 1974. Walau bagaimanapun, surat perletakan jawatan ini hanya berkuat kuasa mulai 31 Ogos 1977, dan ia bersifat satu notis awal kepada PAS bagi membuat persiapan untuk melantik Menteri Besar yang baru.

Dato' Mohamad Nasir, Menteri Besar Kelantan yang keempat selepas merdeka merupakan seorang lulusan Kolej Pertanian Serdang (sekarang Universiti Putra Malaysia - UPM) dan berkhidmat sebagai Pegawai Pertanian sehingga 1959. Beliau kemudiannya menjadi ADUN Machang Utara pada 1959 dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan (1959-1964). Ekoran kekalahan beliau dalam Pilihan Raya Umum 1964, beliau dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) (1964-1969), sebelum beliau memenangi kerusi DUN Tendung dalam Pilihan Raya Umum 1969. Selepas Pilihan Raya Umum 1974, nama beliau telah dipilih oleh Perdana Menteri atas cadangan Umno Kelantan untuk menjadi Menteri Besar Kelantan, sedangkan PAS mencalonkan ADUN Sungai Rasau, Wan Ismail Ibrahim. Kerana pergolakan dalam memilih Menteri Besar Kelantan ini, krisis politik Kelantan telah berlarutan beberapa tahun.

Krisis awal yang tercetus pada Mei 1975 akibat satu kenyataan beliau kepada media tentang pentadbiran kerajaan yang merugikan parti dan kerajaan sehingga menimbulkan desakan yang kuat daripada PAS Kelantan supaya Menteri Besar ini meletakkan jawatan. Namun begitu, isu ini reda apabila PAS Pusat mengambil langkah untuk menyelesaikan isu ini secara positif. Walau bagaimanapun, beberapa pergolakan kecil yang berlaku dalam kepemimpinan Kerajaan BN Kelantan dijangka akan selesai apabila Dato' Mohamad Nasir telah menyerahkan surat makluman perletakan jawatan beliau kepada PAS Pusat melalui Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 20 November 1976, dengan memaklumkan bahawa beliau akan melepaskan jawatannya mulai 31 Ogos 1977. Cadangan beliau untuk melepaskan jawatan ini juga telah dipersembahkan sendiri oleh beliau untuk mendapat perkenan Sultan Yahya Perta, Sultan Kelantan yang juga Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Pihak Istana Kelantan juga telah menitahkan supaya PAS menamakan calon Menteri Besar yang baru, sedangkan PAS Kelantan telah membuat persiapan dengan mencadangkan satu jawatan lain yang sesuai untuk Dato' Mohamad Nasir meneruskan khidmatnya kepada Negeri Kelantan dalam tempoh peralihan sebelum akhir Ogos 1977.

Walau bagaimanapun, surat perletakan jawatan Yang diserahkan kepada PAS Pusat pada 20 November 1976 ini telah bocor ke tangan Umno, sehingga satu rancangan lain disusun untuk menggagalkan perletakan jawatan ini dan menimbulkan krisis politik yang baru di Kelantan. Di sebalik rancangan yang diaturkan ini, pada 31 Ogos 1977, Dato' Mohamad Nasir bukan sahaja gagal meletakkan jawatan beliau, bahkan beliau mula bertindak menyerang pimpinan PAS Kelantan, mempersoalkan dasar-dasar Kerajaan PAS terdahulu dan mendakwa dirinya adalah Menteri Besar BN, bukannya Menteri Besar PAS. Hal ini menimbulkan kemarahan ADUN-ADUN PAS Kelantan sehingga mereka pada 8 September 1977 telah mendesak supaya Menteri Besar itu meletakkan jawatan sebelum 28 September 1977. Pada 10 September 1977, PAS Kelantan pula membuat desakan supaya perletakan jawatan itu berlaku sebelum 10 September 1977. Ekoran kedegilan Dato' Mohamad Nasir, akhirnya pada 10 Oktober 1977 beliau dipecat dari PAS, disusuli oleh usul undi tidak percaya terhadap beliau di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977.

19 November 2016

19 November 1985 : Keganasan Polis Dalam Tragedi Memali Korbankan 14 Syuhada'

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1985, seramai 14 orang ahli PAS, termasuk bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ibrahim Mahmud telah syahid dalam satu serangan ganas yang dilakukan oleh pihak polis atas arahan Kerajaan BN. Serangan ganas yang dilancarkan bermula 18 November 1985 ini pada asalnya diwar-warkan untuk menyerbu sebuah kem komunis dengan arahan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Musa Hitam. Walau bagaimanapun, serangan ini sebenarnya ditujukan kepada sekumpulan ahli PAS diketuai oleh Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih terkenal sebagai Ustaz Ibrahim Libya yang tinggal di Kampung Memali, Baling, Kedah.

Ustaz Ibrahim Libya yang merupakan bekas pegawai dakwah di Pusat Islam, telah membuka pondok di Kampung Memali sejak 1977. Beliau berkelulusan daripada Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri, sebelum memasuki Darul Uloom Deoband, Universiti al-Azhar dan Maahad Tinggi Dakwah, Libya. Dengan latar belakang akademik yang sangat baik ini, beliau telah menjadi pendakwah yang terkenal dan berpengaruh di Utara Semenanjung sejak akhir 1970-an hingga 1985. Beliau pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Baling dan dua kali bertanding dalam pilihan raya sebagai calon PAS pada 1978 dan 1982 di DUN Bayu. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi ABIM Baling.

Ketegangan politik akibat kebangkitan Islam pada awal 1980-an bukan sahaja diwarnai oleh isu kafir-mengkafir, tetapi juga keganasan ke atas pendakwah dan ulamak seperti pendakwaan Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar pada 1981, isu Amanat Haji Hadi, Debat Umno-PAS dan juga penahanan ISA ke atas pimpinan Pemuda PAS pada 10 Julai 1984. Tiga pemimpin Dewan Pemuda PAS yang ditahan ialah Mohamad Sabu, Ustaz Abu Bakar Chik dan Ustaz Buniyamin Yaakob. Sedangkan Ustaz Ibrahim Libya juga turut tersenarai untuk ditahan, tetapi beliau enggan menyerah diri terhadap kezaliman BN. Pada 2 September 1985, satu usaha untuk menangkap beliau telah dibuat, tetapi gagal. Ekoran itu, Ustaz Ibrahim Libya telah dikawal ketat selama dua bulan, sehingga beliau hanya boleh bertahan di Kampung Memali sahaja.

Pada 18 November 1985, pihak polis telah dikerahkan untuk berhimpun di Sungai Petani, sebelum menerima arahan daripada Datuk Musa Hitam untuk bergerak ke Kampung Memali pada malamnya dan melakukan serangan menjelang waktu subuh pada 19 November 1985. Menurut Kertas Putih Kerajaan, sejumlah 576 anggota polis terlibat dalam operasi yang mengorbankan seramai 14 orang syuhadak termasuk Ustaz Ibrahim Libya, sedangkan pihak polis kehilangan empat nyawa. Menurut pihak Kerajaan BN, serangan ini adalah bertujuan untuk menangkap Ustaz Ibrahim Libya dan dua yang lain di bawah ISA, tiga orang yang telah dikeluarkan waran tangkap dan 32 orang pengikut yang didakwa sebagai penjenayah tetapi berlindung di rumah Ustaz Ibrahim Libya.

Serangan yang membunuh 14 orang syuhadak dan mengakibatkan 32 orang lain ditahan ISA ini telah mendapat bantahan keras daripada PAS. Pada 22 November 1985, Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa telah mendesak supaya sebuah Suruhanjaya Bebas ditubuhkan untuk menyiasat pembunuhan ini, diikuti oleh keputusan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 8 Disember 1985 telah menuntut siasatan bebas dilakukan, selain mendakwa ia adalah tragedi yang dirancang oleh Kerajaan BN, Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Pemangku Ketua Polis Negara telah menyalahgunakan kuasa dan melakukan jenayah, sedangkan Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya bukan penjenayah serta tidak terlibat dengan ajaran sesat seperti yang didakwa. Bahkan PAS kemudiannya menganggap kesemua 14 mangsa tragedi Memali telah syahid akibat serangan ganas tersebut.

18 November 2016

18 November 1982 : Penyokong Datuk Asri Muda Ambil Tindakan 'Pecahkan' PAS Dari Dalam

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1982, satu himpunan besar-besaran yang diadakan oleh sekumpulan penyokong bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa dan di kediaman bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad telah memulakan perpecahan dalam PAS selepas Muktamar Tahunan PAS Ke-28. Perhimpunan yang bertujuan memberikan solidariti kepada Dato' Mohd Asri Haji Muda ini sebenarnya mahu mengangkat semula tokoh tersebut sebagai pemimpin utama PAS. Ia ditaja oleh penyokong-penyokong Dato' Mohd Asri Haji Muda di Kelantan dengan diketuai oleh Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad, Pesuruhjaya Jawatankuasa Bertindak Isu Asri.

Krisis kepemimpinan PAS yang tercetus sejak 1981 telah menyebabkan Dato' Mohd Asri Haji Muda telah meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 23 Oktober 1982, selepas beliau menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982. Ekoran itu, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa telah dilantik sebagai Pemangku Yang Dipertua Agung PAS dan memulakan era kepemimpinan ulamak dalam PAS. Pada 4 November 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengarahkan supaya seluruh peringkat kepemimpinan dan ahli-ahli diperjelaskan bahawa perubahan kepemimpinan ini tidak mengubah dasar, tujuan, matlamat, hukum dan kekuasaan PAS, sebaliknya ia akan diperkukuhkan. Ahli-ahli PAS diperingatkan supaya menetapkan pendirian bahawa perjuangan Islam adalah semata-mata kerana Allah, bukan kerana tokoh tertentu. Sepanjang tempoh antara 4 Disember 1982 hinggalah 23 Januari 1983, telah diatur program-program di seluruh negara untuk menerangkan isu ini.

Walau bagaimanapun, di kalangan penyokong Dato' Mohd Asri Haji Muda, mereka mendakwa perletakan jawatan Yang Dipertua Agung PAS ini berpunca daripada sikap radikal golongan tertentu dalam PAS dan peranan ulamak dan pemuda dalam memberikan tekanan kepada pemimpin tersebut sehingga beliau meletakkan jawatan. Mereka telah menjadikan Kelantan sebagai 'tapak kebangkitan semula' Dato' Mohd Asri Haji Muda kerana enam orang Yang Dipertua PAS Kawasan iaitu Ustaz Salahuddin Abdullah (Kota Bharu), Haji Mohd Zahari Awang (Kuala Kerai), Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad (Pasir Mas), Cikgu Mohd Zain Abdullah (Bachok), Haji Hassan Mohamad (Rantau Panjang) dan Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim (Pasir Puteh) adalah penyokong kuat bekas Yang Dipertua Agung PAS itu. Mereka telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak Isu Asri yang diketuai oleh Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad sebagai Pesuruhjaya, Mohd Amin @ Abdul Hamid Salleh (Timbalan Pesuruhjaya), Mohamad Mahmud (Setiausaha), Dato' Ishak Lotfi Omar (Bendahari) dan Ustaz Abdul Rahman Simpol (Ketua Dewan Ulamak).

Jawatankuasa Bertindak Isu Asri ini telah merancang untuk menyambut kepulangan Dato' Mohd Asri Haji Muda ke Kelantan pada 18 November 1982 sebagai menunjukkan kekuatan pengaruh bekas Menteri Besar Kelantan itu dan merancang untuk mengembalikan beliau sebagai pemimpin utama PAS. Dua himpunan diadakan pada 18 November 1982 iaitu di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa dan di kediaman Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad. Memberi tindak balas terhadap usaha mereka mewujudkan "parti dalam parti" ini, Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa telah mengancam untuk mengambil tindakan tatatertib ke atas mereka. Akhirnya, pada 23 Januari 1983, 13 orang pemimpin PAS yang terlibat dengan Jawatankuasa Bertindak tersebut telah dikenakan pelbagai tindakan tatatertib termasuk dipecat, digantung keahlian dan diberikan amaran. Berlanjutan daripada itu, para penyokong Dato' Mohd Asri Haji Muda telah keluar PAS dan menubuhkan Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) pada 24 Mac 1983.

17 November 2016

17 November 1994 : Perhimpunan Agung UMNO Desak Pengharaman Nama 'Islam' Pada PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1994, Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno telah membuat desakan kepada Kerajaan BN supaya mengharamkan penggunaan nama agama oleh mana-mana parti politik, khususnya nama Islam yang didakwa telah disalahgunakan oleh PAS. Desakan yang ditujukan kepada Pendaftar Pertubuhan ini adalah lanjutan daripada pergeseran PAS-Umno dalam isu penolakkan Umno terhadap Islam menjelang Pilihan Raya Umum Kesembilan yang dijangka pada 1995. Bagi membendung isu aqidah yang ditimbulkan oleh PAS atas penolakkan Islam oleh Umno, mereka telah menuduh PAS sebagai menyalahgunakan Islam untuk kepentingan politik.

Pergeseran antara PAS dan Umno ini adalah berpunca daripada tindakan DUN Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 pada 24 November 1993. Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang sejak awal telah menolak perlaksanaan hudud, mulai Mac 1994 telah mempertikaikan hukum hudud Kelantan yang didakwa sebagai "Hudud PAS." PAS kemudian mengaitkan penolakkan hukum syariat ini dengan tindakan Presiden Umno itu mengkritik ulamak dan menyarankan al-Quran ditafsir semula. Isu ini telah dibahas hangat oleh PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-40 pada 10-12 Jun 1994. Muktamar Tahunan PAS itu menganggap cadangan Pengerusi BN itu sebagai "perancangan musuh Islam" dan mendesak para ulamak bangkit menghadapi "pembaharuan yang menyeleweng yang dipelopori oleh pemimpin BN."

Bertindak balas terhadap usaha PAS membendung gerakan anti syariat, anti ulamak dan anti al-Quran yang dicetuskan oleh Presiden Umno ini, Pergerakan Pemuda Umno pada 29 September 1994 mendakwa PAS telah menyalahgunakan perkataan Islam dan mendesak tindakan dari Kerajaan BN. Pada 2 Oktober 1994, Pergerakan Pemuda Umno mula membuat tekanan secara khusus supaya perkataan Islam pada nama PAS dihapuskan. Isu ini menjadi semakin hangat apabila ia menjadi tajuk perbahasan dalam Perhimpunan Agung Umno 1994. Umno mengharapkan dengan dakwaan-dakwaan bahawa penyalahgunaan Islam untuk perjuangan politik PAS yang dibangkitkan ini akan menutup isu Umno menolak hudud, Umno anti ulamak dan Umno mahu al-Quran ditafsir semula, sekali gus memudahkan Umno menghadapi Pilihan Raya Umum Kesembilan.

Dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno pada 17 November 1994, isu desakan supaya perkataan Islam pada nama PAS telah dibangkitkan, dan ia telah mendapat ulasan daripada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mendesak PAS supaya menggugurkan perkataan Islam pada namanya. Dalam Perhimpunan Agung Umno Ke-48 pada 18-19 November 1994, Presiden Umno dalam ucapan dasarnya telah menuduh bahawa PAS adalah bom jangka penjajah untuk memecahkan orang Melayu dengan menyalahgunakan Islam. Mereka kemudiannya membuat ketetapan supaya perkataan Islam pada nama PAS perlu digugurkan. Bagi menangani serangan baru Umno ini, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 26 November 1994 telah mengarahkan ahli-ahli PAS supaya mengadakan solat hajat dan munajat untuk meminta pertolongan Allah dalam menyelamatkan PAS. Isu ini kemudian terhenti apabila berlaku kes tangkapan khalwat ke atas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohamad Sabu pada 31 Januari 1995.

Namun begitu, ia timbul semula pada 14 April 1998 apabila Ahli Parlimen Yan, Datuk Badaruddin Amiruddin mendesak Dewan Rakyat supaya perkataan Islam pada nama PAS dihapuskan. Selepas Pilihan Raya Umum 1999 yang menyaksikan kemerosotan pengaruh Umno, sejak 30 Januari 2000, pemimpin Umno mula menuduhkan PAS mengeluarkan fatwa-fatwa politik dan memperalatkan Islam, sehingga mereka mendesak perkataan Islam dihapuskan pada nama PAS. Walau bagaimanapun, pada 31 Mac 2000, Majlis Fatwa Kebangsaan membenarkan penggunaan perkataan Islam pada parti politik, diikuti oleh keputusan Mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-188 pada 22 Mac 2001 yang membenarkan parti politik menggunakan nama Islam.

16 November 2016

16 November 1987 : Pak Yusof Rawa Dilantik Sebagai Mursyidul Am PAS Pertama

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1987, Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi atau lebih dikenali sebagai Pak Yusof Rawa sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama. Pak Yusof Rawa yang mula menduduki kepemimpinan PAS sejak 1956 sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dilihat sebagai tokoh yang paling berwibawa untuk menduduki jawatan tertinggi PAS yang baru diwujudkan itu. Jawatan Mursyidul Am PAS diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan PAS pada 1983 untuk mengetuai Majlis Syura Ulamak PAS, dan ia mula dikuatkuasakan selepas pindaan tersebut diluluskan pada 1987. Kewujudan Majlis Syura Ulamak PAS merupakan perlaksanaan terhadap konsep Kepemimpinan Ulamak PAS yang diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982.

Pindaan Perlembagaan PAS yang dibuat pada 1983 adalah bertujuan untuk menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS sebagai badan tertinggi yang bertanggungjawab untuk mengawal dasar PAS, menjaga tatatertib PAS dan menafsirkan Perlembagaan PAS. Majlis Syura Ulamak PAS yang dianggotai oleh 12 orang ulamak ini diketuai oleh Mursyidul Am PAS, iaitu jawatan tertinggi dalam heirarki kepemimpinan PAS. Pak Yusof Rawa, seorang ulamak dan ahli perniagaan yang terkenal di Pulau Pinang adalah lulusan Maahad al-Falah, Mekah pada 1942. Beliau dilahirkan di Lebuh Aceh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922 dalam sebuah keluarga Rao (Rawa). Beliau mendapat pendidikan Inggeris di Pulau Pinang, belajar agama di Mekah dan mengikuti kursus perniagaan ketika berkhidmat dengan syarikat Mesir.

Beliau menyertai PAS sejak 1951 dan mula menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang pada 1956, sebelum menduduki Jawatankuasa Kerja Agung PAS selama lebih dua dekad dan dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pada 1981, seterusnya mengetuai PAS sejak 1983, sebelum diangkat menjadi Mursyidul Am PAS. Pembentukan Majlis Syura Ulamak PAS untuk sesi pertama bermula pada akhir 1987 setelah pindaan Perlembagaan PAS diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Setelah Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat masing-masing melantik empat orang Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, pada 30 Oktober 1987, badan tertinggi PAS ini telah bermesyuarat kali yang pertama dan melantik empat orang lagi Ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Dalam mesyuarat kedua Majlis Syura Ulamak PAS pada 16 November 1987, Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik Pak Yusof Rawa sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama. Beliau memegang jawatan tertinggi PAS ini sehingga 18 September 1994 dan digantikan oleh Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

15 November 2016

15 November 1996 : UMNO Nyatakan Kesediaan Bentuk Kerajaan Dengan PAS Di Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1996, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa telah menyatakan kesediaan Umno Kelantan membentuk kerajaan campuran dengan PAS bagi menyelesaikan krisis politik Kelantan. Politik Kelantan telah bergolak sejak selepas Pilihan Raya Umum 1995 ekoran tindakan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menimbulkan pelbagai isu dalam pentadbiran kerajaan sehingga melibatkan hubungan yang tegang dengan Istana Kelantan. Keadaan ini telah menjejaskan kekukuhan kerajaan kerana PAS tidak menguasai dua pertiga kerusi DUN Kelantan.Dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan pada 25 April 1995, kerjasama PAS-Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) telah berjaya menguasai 36 kerusi DUN di Kelantan, sedangkan BN menguasai tujuh kerusi berbaki.

PMS46 yang mewakili 12 kerusi DUN telah bertukar menjadi pembangkang apabila PAS memutuskan hubungan dengan parti serpihan Umno itu pada 14 Julai 1996, diikuti oleh pembubaran parti itu pada 6 Oktober 1996 untuk membolehkan mereka memohon menyertai semula Umno pada 8 Oktober 1996. Di sebabkan krisis yang tercetus ini, kedudukan kerusi DUN Kelantan telah berubah di mana PAS menguasai 24 kerusi sebagai kerajaan, sedangkan pembangkang yang terdiri dari BN dan PMS46 mempunyai 19 kerusi. PAS pada asasnya masih mempunyai kekuatan untuk memerintah kerana masih menguasai majoriti. Namun begitu keadaan menjadi tidak stabil ekoran krisis pentadbiran berlaku apabila empat anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan dari PMS46 yang telah menjadi pembangkang enggan meletakkan jawatan dalam Exco, dan dalam masa yang sama Kerajaan PAS Kelantan terpaksa berhadapan dengan Istana Kelantan yang tidak memberi kerjasama dalam menyelesaikan krisis ini.

Antara isu yang hangat dalam hubungan dengan Istana Kelantan ini ialah isu pembangunan tebing Sungai Kelantan oleh syarikat Adorna Holding Sdn Bhd yang tercetus sejak Mei 1996 sehingga PAS pada 17 November 1996 mengarahkan Kerajaan Kelantan menolak projek yang dianggap berisiko tinggi itu. Di sebalik keadaan politik yang tidak menentukan ini, pada 15 Oktober 1996, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah membuat kenyataan yang mengejutkan bahawa PAS bersedia menerima kerjasama dengan Umno. Ini adalah kali pertama PAS menyatakan kesediaan membentuk kerjasama politik dengan Umno sejak PAS ditendang keluar dari BN pada 13 Disember 1977. Mursyidul Am PAS itu menyebutnya sekali lagi pada 21 Oktober 1996 bahawa PAS bersedia untuk berkompromi dengan Umno dan beliau mengulangi kenyataan tentang kesediaan PAS untuk bersama Umno ini pada 28 Oktober 1996.

Keterbukaan Mursyidul Am PAS untuk membentuk kerjasama politik dengan Umno di Kelantan ini adalah untuk mengukuhkan semula Kerajaan PAS Kelantan, selain memerangkap pemimpin PMS46 yang telah memohon menyertai Umno pada 8 Oktober 1996 tetapi keahlian mereka belum diterima oleh Umno. Memberikan respon terhadap kesediaan PAS ini, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar pada 15 November 1996 telah menyatakan kesediaan Umno untuk membentuk kerajaan campuran PAS-UMNO di Kelantan. Pada 16 November 1996, Menteri Besar Kelantan pula menyatakan kesediaan PAS untuk mempertimbangkan cadangan Pengerusi BN Kelantan itu. Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya juga bersetuju dengan cadangan tersebut jika PAS tidak meletakkan sebarang syarat.

PAS Pusat pada 17 November 1996 telah melantik Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman dan Cikgu Mustafa Ali untuk memulakan rundingan Umno demi kepentingan Islam. Kesediaan PAS Pusat pada 17 November 1996 untuk berunding dengan Umno bagi membentuk kerajaan campuran walau bagaimanapun menemui jalan buntu. PAS yang menghendaki kerjasama ini berlaku tanpa penyertaan mereka dalam BN, telah menyatakan akan mempertimbangkan syarat-syarat Umno, tetapi Umno juga perlu mematuhi syarat PAS, sedangkan bekas Presiden PMS46, Tengku Razaliegh Hamzah berusaha menghalanginya. Akhirnya, pada 28 November 1996, isu kerajaan campuran ini tamat apabila Majlis Tertinggi Umno tidak bersetuju membentuk kerajaan campuran dengan PAS di Kelantan dan mengarahkan bekas ahli PMS46 yang menyertai Umno meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri.

14 November 2016

14 November 2008 : PAS Kedah Umum Menteri Besar Potong Gaji RM10 Ribu Sebulan Untuk Rakyat

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2008, PAS Kedah telah mengumumkan kepada PAS Kawasan-kawasan di Kedah bahawa Menteri Besar Kedah yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak telah memotong elaunnya sebagai Menteri Besar Kedah kebanyakkan RM10,000 sebulan dan ia disalurkan kepada agensi-agensi kerajaan untuk dikembalikan kepada rakyat. Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Haji Hassan Abdul Razak pada 20 November 2008 telah memaklumkan kepada media bahawa pengumuman tersebut telah dibuat kepada pimpinan PAS Kawasan-kawasan dalam program taklimat dasar-dasar Kerajaan PR Kedah.

Pengumuman ini telah dibuat ekoran fitnah yang tersebar mengatakan Menteri Besar Kedah itu hidup bermewah-mewah selepas menjawat jawatan ketua kerajaan itu. Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, bekas pensyarah kanan UKM merupakan seorang lulusan syariah dan undang-undang dari Universiti al-Azhar, Mesir dan memiliki ijazah sarjana dalam bidang undang-undang dari University of Kent. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah pelawat di Mindanao State University dan pensyarah sambilan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sebelum menjadi Menteri Besar Kedah selepas Pilihan Raya Umum 2008, beliau adalah ADUN Sala sejak 1996, sebelum menjadi ADUN Sungai Limau mulai 2004. Bekas Naib Presiden PAS yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak PAS ini kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-10 pada 9 Mac 2008 menggantikan Dato' Seri Mahadir Khalid setelah Barisan Alternatif (BA) yang menggabungkan PAS dan PKR berjaya menguasai DUN Kedah dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Setelah itu, kerajaan Kedah dikenali sebagai Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah ekoran penubuhan PR pada 1 April 2008 yang turut disertai oleh DAP. Setelah beberapa bulan menjadi Menteri Besar, tersebar fitnah bahawa Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak telah hidup bermewah-mewah selepas menjawat jawatan tersebut, iaitu satu usaha musuh untuk memburuk-burukan nama beliau, sekali gus merosakkan imej Kerajaan PR Kedah. Menurut Ustaz Haji Hassan Abdul Razak, sejak mula dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada 9 Mac 2008, Ustaz Azizan Abdul Razak telah memutuskan supaya elaun bulanannya sebagai Menteri Besar Kedah dipotong sebanyak RM10,000 daripada RM14,100 sebulan yang dibayar oleh kerajaan.

Elaun yang dipotong itu kemudiannya telah diagih-agihkan kepada agensi-agensi kerajaan bagi membolehkan ia dikembalikan untuk kepentingan rakyat, selain disalurkan kepada parti untuk menggerakkan aktiviti politik, dakwah dan tarbiyah. Sebelum itu, pada 17 Mac 2008, Menteri Besar Kedah itu telah mengumumkan kepada media bahawa Kerajaan BA Kedah akan melaksanakan pemotongan elaun Menteri Besar dan anggota Exco Kerajaan Kedah pada kadar yang akan ditetapkan kemudian. Cadangan ini adalah berdasarkan janji dalam Manifesto PAS Kedah yang mahu melaksanakan dasar berjimat-cermat dalam perbelanjaan awam dengan memotong elaun dan keistimewaan yang tidak munasabah. Namun begitu, Ustaz Azizan Abdul Razak tidak pernah mendedahkan kepada media bilakah dasar baru ini akan dilaksanakan dan berapakah potong elaun yang dibuat, kerana ketika ini ia masih di peringkat kajian. Namun begitu, dasar tersebut telah dilaksanakan sejak bulan pertama PAS memimpin Kerajaan Kedah.

Menteri Besar Kedah itu dikatakan bertindak demikian kerana mengikuti jejak langkah Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah memotong 45 peratus daripada gaji untuk disalurkan kepada parti dan juga rakyat sejak tahun 1990. Begitu juga dengan tindakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang tidak mengambil elaun-elaun keistimewaan ketika menjadi Menteri Besar Terengganu antara 1999-2004. Memandangkan fitnah yang tersebar ini, dalam satu program taklimat dasar-dasar Kerajaan PR Kedah kepada PAS Kawasan-kawasan pada 14 November 2008, Pesuruhjaya PAS Kedah itu telah mendedahkan tindakan berjimat-cermat beliau yang sekali gus menolak fitnah yang tersebar sebelum ini. Menurut beliau, sebelum ini beliau merahsiakannya kerana "(hendak) berbuat baik tidak perlu dihebah-hebahkan."

13 November 2016

13 November 1964 : Pertemuan PAS Kelantan Dengan Wakil Rakyat Berhubung Lawatan Tun Abdul Razak

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1964, satu majlis pertemuan di antara Badan Perhubungan PAS Kelantan dengan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen PAS telah diadakan kerana membincangkan isu lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein ke Kelantan. Pertemuan antara Mohd Asri Haji Muda, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS yang juga Menteri Besar Kelantan dengan Timbalan Presiden Umno itu telah menimbulkan isu dalaman kepada parti dan kerajaan kerana Mohd Asri Haji Muda bukan mengadakan pertemuan dengan Tun Abdul Razak Hussein tanpa pengetahuan parti, tetapi juga telah bersetuju menerima bantuan kewangan dari Kerajaan Pusat dari sumber syubhah. Bagi menyelesaikan kekusutan ini, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah mengada pertemuan dengan wakil-wakil rakyat untuk membincangkan isu tersebut.

Mohd Asri Haji Muda yang menjadi Menteri Besar Kelantan selepas Pilihan Raya Umum 1964 menggantikan Ustaz Dato' Haji Ishak Lotfi Omar telah mengambil kesempatan dari lawatan Tun Abdul Razak Hussein ke Kelantan untuk menyelesaikan beberapa masalah pentadbiran dan pembangunan Kelantan. Timbalan Perdana Menteri itu dalam rangka lawatannya ke Kelantan antara 5-8 November 1964 selepas berlangsungnya Pilihan Raya Kecil DUN Tumpat Tengah pada 10 Oktober 1964. Sempena lawatan ini, Tun Abdul Razak Hussein telah mengambil kesempatan untuk mengunjungi Menteri Besar Kelantan pada 5 November 1964. Menteri Besar Kelantan pula mengambil kesempatan daripada pertemuan ini untuk menyampaikan hasrat Kelantan dalam menyelesaikan isu-isu pembangunan.

Pertemuan ini telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Kelantan bersama pegawai-pegawai utama Kelantan, selain pegawai-pegawai Persekutuan yang mengiringi Timbalan Perdana Menteri. Antara isu-isu pembangunan utama yang dibincangkan dalam pertemuan ini ialah tuntutan Kelantan supaya Persekutuan meningkatkan jumlah bantuan tahunan Kerajaan Pusat kepada Kelantan, supaya Persekutuan menyiapkan pembinaan jalan-jalan raya yang terbengkalai dan memperbanyakkan pembinaan jalan-jalan raya yang baru di Kelantan dan supaya Persekutuan membiayai pembinaan dua buah rancangan parit dan tali air di Kelantan dalam tempoh Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970). Selain itu juga, Kelantan telah bersetuju untuk menerima bantuan kewangan bagi pembangunan masjid dan surau jika disalurkan melalui Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Negeri dan bersetuju untuk menerima skim rancangan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) jika Persekutuan menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Namun begitu, di sebalik kejayaan rundingan kedua-dua pihak ini sehingga Mohd Asri Haji Muda dikatakan oleh media sebagai berjaya "menyihir Tun Abdul Razak," Menteri Besar Kelantan itu menerima kritikan keras daripada sebahagian pimpinan PAS Kelantan. Ada pemimpin PAS Kelantan menganggap apa yang ditawarkan oleh Persekutuan itu adalah "gula yang mengandungi racun" sehingga ia dipandang negatif. Ada juga yang mempersoalkan percubaan merapakat hubungan Negeri-Pusat sebagai kerjasama politik PAS-Umno. Untuk menyelesaikan kekusutan ini, satu pertemuan antara ahli-ahli Badan Perhubungan PAS Kelantan dan wakil-wakil rakyat PAS telah diadakan pada 13 November 1964 untuk membolehkan Menteri Besar Kelantan itu memberikan penjelasan dan menjawab persoalan-persoalan yang ditubuhkan, sekali gus merungkai kekusutan tersebut.

12 November 2016

12 November 1983 : PAS Anjurkan Seminar Tarbiyah Dan Kepimpinan Perjelas Konsep 'Hizbullah'

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1983, PAS Pusat telah menganjurkan satu Seminar Tarbiyah dan Kepemimpinan PAS selama dua hari di Masjid Rusila, Terengganu untuk memperjelaskan konsep 'hizbullah' dan 'hizbussyaitan' kepada pimpinan dan ahli-ahli PAS. Dua pembentang utama dalam seminar ini ialah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Yang Dipertua Agung PAS dengan tajuk "Parti Allah dan Parti Syaitan" dan Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad, Naib Yang Dipertua Agung PAS yang membawa tajuk "Sikap dan Pendirian PAS Terhadap Beberapa Masalah Semasa." Seminar ini adalah antara langkah awal PAS untuk mengukuhkan dalamannya setelah berjaya mengasaskan kepemimpinan ulamak dan menangani krisis perpecahan parti selepas perletakan jawatan oleh bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda.

Seminar selama dua hari yang disertai oleh pimpinan PAS pelbagai peringkat dari seluruh negara ini telah didedahkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tentang ciri-ciri 'hizbullah.' Antara ciri-ciri utama 'hizbullah' ialah mereka redha kepada Allah dan Allah redha kepada mereka, bersikap lemah-lembut terhadap orang mukmin, bertegas dengan orang kafir dan berjihad di jalan Allah tanpa rasa takut terhadap golongan yang mencela. Matlamat 'hizbullah' pula adalah untuk menegakkan daulah dan khalifah Islam iaitu negara yang menegakkan hakimiyah Allah dan dipimpin oleh orang yang benar-benar beriman. Naib Yang Dipertua Agung PAS itu juga telah mempertegaskan bahawa menjadi kewajipan bagi setiap ahli PAS untuk menubuhkan cawangan hizbullah di setiap daerah atau tempat supaya perjuangan menegakkan agama Allah dapat dilaksanakan. 

Menurut beliau juga, usaha melaksanakan hukum-hukum Allah dalam semua aspek kehidupan, menyatukan umat Islam dan berjihad di jalan Allah hanya dapat dibuat dengan tertegaknya khilafah Islam. Tentang kewujudan hizbullah, beliau menegaskan, di setiap negara umat Islam hanya perlu wujud satu sahaja parti Islam, namun beliau tidak menolak kemungkinan mengadakan kerjasama dengan parti-parti Islam yang lain bagi menghadapi golongan nasionalis sekular "yang tidak bersedia menegakkan Islam sebagai ad-diin" dalam usaha menegakkan negara Islam. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang turut menjejaskan bahawa hubungan darah, keluarga dan bangsa walaupun dibenarkan oleh Islam, tetapi jika ia memisahkan antara 'bendera Allah' dengan 'bendera syaitan,' maka hubungan tersebut tidak bererti lagi.

Dalam pada itu, seorang lagi Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad dalam pembentangannya telah menjelaskan sikap PAS terhadap isu-isu semasa ketika itu termasuk isu penglibatan PAS dalam demokrasi dan pilihan raya, Revolusi Iran yang berlaku pada 1979, penyelewengan dan skandal Bumiputera Malaysian Finance (BMF) dan krisis Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kedudukan Raja-raja Melayu. Beliau menegaskan bahawa PAS memilih jalan pilihan raya untuk menegakkan cita-cita Islamnya dan PAS tidak boleh menerima undang-undang yang tidak berdasarkan syariat Allah, kerana itu PAS wajib berjuang menegakkan negara Islam. Seminar yang berlangsung pada 12-13 November 1983 ini telah berjaya membentuk kefahaman ahli-ahli dan pimpinan PAS tentang isu-isu semasa politik negara, konsep perjuangan Islam melalui hizbullah dan juga perbezaan antara hizbullah dengan hizbussyaitan.

11 November 2016

11 November 1984 : Debat UMNO-PAS Dalam Isu Takfir Tidak Menjadi Kenyataan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1984, cadangan Debat Umno-PAS yang dibincangkan sejak akhir Ogos 1984 dan sepatut berlangsung pada hari ini telah tidak menjadi kenyataan kerana Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengisytiharkan pembatalannya. Pembatalan atas arahan Majlis Raja-raja yang diumumkan pada 8 November 1984 ini telah menggagalkan satu usaha untuk bermuzakarah secara akademik tentang isu aqidah umat Islam yang hangat diperkatakan ketika itu. Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa ketika mengulas tentang pembatalan ini menyifatkan ia sebagai tindakan Umno untuk memastikan isu kafir-mengkafir ini tidak menemui penyelesaian dan Umno dapat terus menjadikannya sebagai modal politik dalam menghadapi PAS.

Isu Debat Umno-PAS ini adalah lanjutan isu kafir-mengkafir yang berlaku sejak awal 1980-an. Beberapa tindakan yang dikenakan ke atas pemimpinan PAS seperti pendakwaan di mahkamah, penahanan ISA dan tuduhan mengkafirkan Umno, termasuk manipulasi isu Amanat Haji Hadi telah mewarnai hubungan politik PAS-Umno selepas 1980. Ekoran itu, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam satu interview dengan Asiaweek telah mendakwa Umno enggan bertemu PAS untuk menyelesaikan masalah ini. Ekoran itu, pada 25 Ogos 1984, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan kesediaannya berdebat dengan PAS. Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri pada hari sama juga telah menyatakan kesediaan PAS untuk berdebat dengan Umno dengan bersyarat.

Syarat yang dikemukakan oleh PAS ialah perlu ada pertemuan pertama melibatkan lima pemimpin tertinggi kedua-dua parti. Setiap orang daripada mereka mestilah membaca dan menghuraikan makna Surah al-Fatihah dan ayat 1-16 Surah al-Baqarah untuk menentukan kebenaran tuduhan Umno bahawa PAS memutarbelitkan agama. Syarat PAS ini telah menyebabkan Umno berdiam diri sehingga Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan pada 15 September 1984 bahawa Umno sedia berdebat dengan PAS dalam isu tuduhan PAS mengkafirkan Umno dan hanya menunggu persetujuan PAS sahaja. Pada 17 September 1984, PAS telah mengirimkan surat kepada Umno kerana persetujuan debat ini, dan ia dijawab oleh Datuk Sanusi Junid, Setiausaha Agung Umno pada 15 Oktober 1984 dengan mencadangkan debat ini atas tajuk "PAS mendakwa ahli Umno kafir, dan menentangnya jika mati, adalah mati syahid."

PAS yang bersetuju dengan cadangan tajuk oleh Umno itu telah bersepakat supaya debat diadakan pada 11 November 1984. PAS telah melantik wakilnya dalam debat tersebut terdiri dari Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad dan Ustaz Harun Taib, sedangkan Umno diwakili oleh Dato' Wan Mokhtar Ahmad, Ustaz Ibrahim Azmi Hassan dan Anwar Ibrahim. Ketika PAS sedang membuat persiapan rapi tentang dalil dan hujah bagi menghadapi Umno, pada 8 November 1984, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Ahmad Zainal Abidin Yusof telah mengisyharkan bahawa Yang di-Pertua Agong dengan perkenan Majlis Raja-raja telah mengarahkan pembatalan Debat Umno-PAS atas alasan isu kafir-mengkafir ini hanya boleh diputuskan oleh Majlis Raja-raja dan debat ini hanya boleh memecahkan umat Islam. PAS percaya pembatalan ini dibuat dengan kehendak Umno. Kerana pembatalan ini, Debat Umno-PAS yang dijadualkan pada 11 November 1984 ini tidak menjadi kenyataan.

10 November 2016

10 November 1984 : Ustaz Haji Fadzil Noor Jawab Tuduhan Kertas Putih Kerajaan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1984, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor telah menjawab dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Kerajaan Pusat tentang penglibatan PAS dalam isu kafir-mengkafir yang didakwa berlaku semula sejak awal 1980-an. Tuduhan Kerajaan Pusat ke atas PAS terdapat dalam Kertas Putih Kerajaan yang bertajuk "Ancaman Kepada Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara." Kertas Putih Kerajaan yang bertarikh pada 8 November 1984 dan dibentang oleh kerajaan di Dewan Rakyat pada 9 November 1984 ketika beberapa isu berkait dengan agama hangat diperkatakan.

Memasuki dekad 1980-an yang merupakan permulaan abad ke-15 Hijriyah (1980M bersamaan 1400H) telah membangkitkan kesedaran Islam di seluruh dunia terutama pasca Revolusi Iran pada 1979. Tuntutan umat Islam supaya Islam kembali memerintah telah menyebabkan berlakunya pertembungan pemikiran di antara ahli-ahli PAS yang memperjuangkan negara Islam dengan ahli-ahli Umno yang mendukung nasionalisme dan sekularisme. Atas faktor asas inilah, maka tercetusnya isu kafir-mengkafir yang sebenarnya bukan tuduhan kafir atau mengkafirkan, tetapi penjelasan tentang sikap menolak Islam syumul, menganut pemisahan agama dari kehidupan (sekular), mengamalkan peraturan manusia dengan menolak hukum Allah, penganutan ideologi ciptaan manusia dan seumpamamya sebagai mempunyai kesan ke atas aqidah. Bahkan, istilah-istilah asobiyah dan mutadh'afin-mustakbirin menjadi begitu popular. Gelombang kesedaran inilah yang mempertembungkan antara Islamis dan sekularis.

Pertembungan ini mula berlaku secara terbuka apabila kes Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar dibawa ke Mahkamah Syariah Besut pada 10 Februari 1980, diikuti oleh terbitnya buku "Islam dan Politik: Hasil Kajian Ilmiah Ulamak PAS" pada September 1980, kemudian pada 1981 timbul pula isu Amanat Haji Hadi. Di pihak Umno/BN, Perdana Menteri baru, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah memperkenalkan dasar-dasar yang berbau Islam bagi menangani kebangkitan Islam ini seperti menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Bank Islam, melaksanakan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih Cekap Amanah dan Dasar Kepimpinan Melalui Teladan. Pemimpin muda PAS melihat pendekatan Islamisasi Umno sebagai kosmetik, sedang sejak Pilihan Raya Kecil DUN Kemumin dan Selising sepanjang September 1983, Umno memanipulasikan isu Amanat Haji Hadi.

Ekoran dari konflik ini, pada 14 Julai 1984, tiga orang pemimpin Dewan Pemuda PAS, Mohamad Sabu, Ustaz Buniyamin Yaakob dan Ustaz Abu Bakar Chik telah ditahan ISA, dan diikuti pula oleh isu Debat Umno-PAS sejak 25 Ogos 1984 atas isu kafir-mengkafir dan dijadualkan akan diadakan pada 11 November 1984. Ketika semua isu ini berada di kemuncak, tiba-tiba pada 9 November 1984, Kerajaan Pusat telah membentangkan Kertas Putih Kerajaan dan Majlis Raja-raja pula mengarahkan pembatalan debat tersebut. Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa menyifatkan pembatalan debat ini kerana Umno tidak mahu isu kafir-mengkafir ini diselesaikan dan mahu ia terus menjadi modal politik Umno. Kertas Putih Kerajaan itu antara lain telah mendedahkan gerakan subversif yang dilakukan oleh anasir-anasir komunis, gerakan bawah tanah yang dilakukan oleh kumpulan Jundullah dan P.A.S yang dikaitkan dengan PAS serta kegiatan pimpinan PAS yang didakwa membuat kenyataan-kenyataan yang menyifatkan negara ini bukan negara Islam serta isu kafir-mengkafir. Bagi menjawab tuduhan-tuduhan ini, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor dalam kenyataannya pada 10 November 1984 mendakwa semua tuduhan itu hanya catatan-catatan mengenai ucapan pemimpin Pemuda PAS yang wajar dibuat dalam masyarakat yang terbuka dan demokratik, serta ucapan-ucapan itu tidak menyimpang dari ajaran Islam, di mana ia menyatakan kepentingan umum dan kesan keburukan yang dilakukan secara terbuka.

09 November 2016

09 November 1977 : Undang-Undang Darurat Kelantan Menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1977, Parlimen telah meluluskan Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 bagi membolehkan negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS sejak 1959 didaruratkan dan diambil alih pentadbirannya oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran). Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 ini telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn pada 8 November 1977 atas alasan untuk menyelesaikan krisis politik Kelantan yang tercetus sejak 1975. PAS yang menolak cadangan mendaruratkan Kelantan ini telah menentang rang undang-undang tersebut, termasuk mengarahkan semua penjawat awamnya meletakkan semua jawatan dalam kerajaan pada 6 November 1977 bagi membolehkan wakil-wakil rakyat PAS menentangnya.

Krisis politik Kelantan yang tercetus sejak 1975 apabila ADUN-ADUN PAS pada 13 Mac 1975 telah melahirkan ketidakpuasan hati terhadap Dato' Mohamad Nasir selaku Menteri Besar Kelantan. Pada 8 Mei 1975, telah tersiar beberapa kenyataan Menteri Besar Kelantan itu dalam media yang dianggap merugikan parti dan kerajaan sehingga beliau didesak meletakkan jawatan. Setelah keadaan reda seketika, pada 20 November 1976, Dato' Mohamad Nasir telah menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada parti berkuat kuasa mulai 31 Ogos 1977. Namun begitu, pada tarikh tersebut beliau tidak berundur dari jawatannya kerana dipengaruhi oleh anasir Umno, sehingga menimbulkan kemarahan pimpinan PAS Kelantan. PAS Kelantan kemudiannya mengarahkan Menteri Besar itu untuk bertindak demikian sebelum 20 September 1977, tetapi turut ditolak oleh Dato' Mohamad Nasir.

Krisis ini telah membawa kepada pemecatan Dato' Mohamad Nasir sebagai ahli PAS pada 10 Oktober 1977 dan diikuti oleh usul undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977. Dato' Mohamad Nasir kemudiannya disokong oleh sebuah badan, Barisan Bertindak Rakyat Kelantan yang dipimpin oleh Ibrahim Ali. Badan ini telah menganjurkan siri-siri demonstrasi yang kemudiannya bertukar menjadi rusuhan dan keganasan yang berkemuncak pada 22 Oktober 1977 dan perintah berkurung diisytiharkan. Pada 22 Oktober 1977 itu, wakil PAS telah berunding dengan Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di mana Formula Dr Mahathir dicadangkan, tetapi ditolak oleh PAS Kelantan keesokkannya. Pada 25 Oktober 1977, Dr Mahathir Mohamad telah mencadangkan supaya Kelantan didaruratkan, dan seorang pegawai MCS dilantik sebagai pentadbir yang bertanggungjawab kepada Perdana Menteri.

Idea darurat ini mendapat tentangan kuat daripada PAS Kelantan, dan pada 29 Oktober 1977 ditubuhkan Jawatankuasa Perunding untuk berunding dengan Kerajaan Pusat. Dalam perjumpaan pada 2 November 1977, Perdana Menteri telah menyatakan cadangannya untuk mendaruratkan Kelantan dan memberi tempoh sehingga 7 November 1977 untuk PAS membuat pendirian. Tetapi pada 4 November 1977, Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan cadangan ini di Parlimen, diikuti perinciannya oleh Dato' Hussein Onn pada 6 November 1977, sehingga pendirian PAS pada 7 November 1977 tidak bererti lagi. Pada 6 November 1977, PAS mengarahkan semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen PAS meletak jawatan untuk membantah cadangan mendaruratkan Kelantan itu.

Perdana Menteri kemudiannya pada 8 November 1977 telah mengemukakan Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 di Dewan Rakyat. PAS dan DAP telah membantah rang undang-undang ini, tetapi ia diluluskan dengan 118 undian menyokong berbanding 18 undian membangkang. Dua wakil rakyat PAS yang menyokong undang-undang ini ialah Dato' Hassan Adli Mohd Arshad dan Ustaz Lokman Abdul Kadir. Pada 9 November 1977, Dewan Negara pula telah meluluskannya dengan 46 undi menyokong dan satu undi membangkang. Dengan kelulusan oleh Dewan Negara pada 9 November 1977 ini, Akta Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 telah berkuat kuasa dengan Hashim Aman menjadi Pengarah Mageran. Kesan dari isu ini, PAS telah dipecat dari BN pada 13 Disember 1977 dan tewas dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan pada 11 Mac 1978.

08 November 2016

08 November 1992 : Muktamar Khas PAS Lulus Usul Wujudkan Jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1992, Muktamar Khas PAS telah meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan PAS (Pindaan) 1987 yang membolehkan satu jawatan baru diwujudkan dalam memperkemaskan organisasi PAS iaitu jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS. Sebelum ini, ketika pindaan Perlembagaan PAS dibuat pada 1983 untuk menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS, jawatan tersebut tidak diwujudkan, sebaliknya hanya mempunyai jawatan Mursyidul Am PAS sahaja sebagai ketua majlis. Dengan kewujudan jawatan baru ini, Majlis Syura Ulamak PAS menjadi lebih perkasa kerana peranannya adalah untuk membantu tugas-tugas Mursyidul Am PAS, selain mempengerusikan mesyuarat Majlis Syura Ulamak ketika ketiadaan Mursyidul Am PAS.

Keperluan PAS kepada jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS ini timbul ekoran keuzuran Mursyidul Am PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi sejak akhir 1988, iaitu setahun selepas tertubuhnya Majlis Syura Ulamak PAS. Beliau telah melepaskan jawatan Yang Dipertua Agung PAS pada 15 Februari 1989, sedangkan sejak 8 September 1988 beliau telah berkeuzuran untuk memimpin mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS. Disebabkan oleh ketiadaan 'orang nombor dua' dalam Majlis Syura Ulamak PAS, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS sejak tarikh tersebut, sekali gus bertindak sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS secara tidak rasmi. Setelah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 2 April 1989, tugas ini diambil alih secara tidak rasmi oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pak Yusof Rawa yang memegang jawatan Mursyidul Am PAS sehingga 18 September 1994 sebenarnya tidak dapat berfungsi dengan berkesan ekoran keuzurannya, sedangkan beliau tidak mempunyai timbalan untuk membantu beliau. Atas sebab ini, ketika cadangan meminda Perlembagaan PAS dibuat pada 6 September 1992 dan diluluskan draf pindaan tersebut oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 11 Oktober 1992, mereka telah memasukkan jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS sebagai salah satu pindaan untuk memperkasakan organisasi PAS, selain menambah bilangan ahli Majlis Syura Ulamak PAS dari 12 kepada 15 orang dan mewujudkan jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS. Antara pindaan lain yang turut dibuat ialah menukar nama jawatan Yang Dipertua PAS Pusat, Timbalan Yang Dipertua PAS Pusat dan Naib Yang Dipertua PAS Pusat masing-masing menjadi Presiden PAS, Timbalan Presiden PAS dan Naib Presiden PAS, selain memberi semula kuasa kepada Presiden PAS untuk melantik di dalam mesyuarat bagi jawatan Setiausaha Agung, Bendahari PAS Pusat dan satu pertiga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bilangan perwakilan untuk PAS Kawasan yang mempunyai lebih 2,000 ahli.

Draf pindaan Perlembagaan PAS ini kemudiannya diluluskan oleh Muktamar Khas PAS pada 8 November 1992, sebelum ia berkuat kuasa pada pertengahan 1993. Selepas Perlembagaan PAS (Pindaan) 1993 diluluskan, Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik secara rasmi Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS yang pertama untuk membantu Mursyidul Am PAS, sebelum beliau menggantikan Pak Yusof Rawa pada 18 September 1994. Sejak itu, jawatan Timbalan Mursyidul Am beralih pula kepada bekas Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Haji Idris Omar (1994-2006); bekas Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, Prof Datuk Dr Haji Haron Din (2005-2015); dan Menteri Besar Kelantan yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato' Haji Ahmad Yakob (2015-sekarang).

07 November 2016

07 November 1992 : Majlis Syura Ulamak PAS Luluskan Draf Undang-Undang Hudud Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1992, Majlis Syura Ulamak PAS telah meluluskan draf awal rang undang-undang kanun jenayah syariah bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan seperti yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kecil Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat di bawah Jawatankuasa Pemandu Kerajaan PAS Kelantan. Perlaksanaan hukum jenayah syariah termasuk hudud adalah salah satu dari janji PAS yang telah dinyatakan dalam Manifesto PAS Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1990. Bagi menggubal draf undang-undang ini, Kerajaan PAS Kelantan telah mengambil masa dua tahun untuk membuat kajian, terutama pada aspek perlaksanaan dan kedudukannya dalam Perlembagaan Negeri Kelantan.

Setelah setahun PAS memerintah Kelantan, tumpuan awal yang diberikan oleh PAS adalah mewujudkan sistem pentadbiran Islam, tanpa menumpu kepada perlaksanaan syariat. Dalam soal perlaksanaan syariat, kajian telah dibuat oleh Jawatankuasa Kecil tersebut ke atas Perlembagaan Negeri Kelantan untuk menyelaraskannya dengan prinsip-prinsip Islam, sekali gus memudahkan perlaksanaan syariat. Setelah kajian ke atas Perlembagaan Negeri Kelantan telah selesai pada 17 Mac 1991, kajian untuk menggubal undang-undang syariat mula dibuat terutama mulai 1992. Pada 18 Oktober 1991, Jawatankuasa Pemandu Kerajaan PAS Kelantan telah menerima cadangan daripada Jawatankuasa Semakan dan Perlaksanaan Undang-undang Negeri Kelantan berkait cadangan pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan, yang dianggap langkah awal ke arah perlaksanaan syariat.

Sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Payung, Terengganu antara Mac-April 1992, isu perlaksanaan hudud mula menjadi panas kerana kenyataan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan pada 1 April 1992 bahawa PAS akan meminda Perlembagaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan hudud, telah mendapat reaksi negatif dari pemimpin Umno. Memandangkan PAS bertegas untuk melaksanakan hudud, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 16 April 1992 menyatakan pendirian Kerajaan Pusat untuk tidak menghalangnya, yang menyebabkan ia disambut baik oleh Menteri Besar Kelantan. Kerajaan Pusat kemudiannya berubah pendirian setelah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menentangnya. Bagi menghentikan suara-suara yang menentang hudud ini, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 10 Mei 1992 telah mengingatkan bahawa perbuatan menolak hukum Allah boleh menyebabkan seseorang itu murtad.

Di sebalik polemik yang berlarutan sepanjang 1992 ini, Jawatankuasa Kecil yang dianggotai oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Harun Taib, Ustaz Hussin Awang, Wan Abdul Muttalib Embong dan Tun Mohd Salleh Abas telah berjaya menyiapkan draf undang-undang syariat tersebut. Pada 7 November 1992, Majlis Syura Ulamak PAS yang bermesyuarat bersama Lajnah Undang-undang dan Guaman PAS Pusat telah menerima pembentangan draf undang-undang syariat yang dilaksanakan di Kelantan, dan meluluskannya. Pada awalnya Kerajaan PAS Kelantan bercadang untuk membentangkannya di DUN Kelantan pada November 1992, tetapi ia tertangguh beberapa kali kerana masalah teknikal, sehinggalah akhirnya ia berjaya dibentang pada 24 November 1993 dan diluluskan keesokkannya.

06 November 2016

06 November 1996 : Sultan Kelantan Gagal Hadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ekoran Krisis MB Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1996, Sultan Kelantan, Sultan Ismail Perta telah gagal menyertai mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-174 di Istana Negara, Kuala Lumpur kerana tidak diiringi oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat atau wakilnya. Menurut peraturan mesyuarat Majlis Raja-raja, seseorang sultan perlu diiringi oleh Menteri Besar atau timbalannya yang diwakilkan secara bertulis untuk membolehkan Baginda menyertai mesyuarat tersebut. Keengganan Menteri Besar Kelantan melantik wakilnya ke mesyuarat Majlis Raja-raja ekoran krisis politik Kelantan ketika itu telah menyebabkan Sultan Kelantan yang menghadiri mesyuarat tersebut bersama Timbalan Menteri Besar II Kelantan, Dato' Mohamed Rozali Isohak telah tidak dibenarkan menyertainya.

Krisis politik Kelantan telah tercetus selepas Pilihan Raya Umum 1995 apabila Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) mula menimbulkan isu-isu yang mengeruhkan hubungan dengan PAS, sehingga akhirnya hubungan kedua-dua parti diputuskan pada 14 Julai 1996. Ekoran itu, PAS cuba memecat empat orang Exco (kemudian menjadi tiga kerana kematian ADUN Pulai Chondong pada 4 Disember 1996), tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana Sultan Kelantan enggan memberikan perkenan. Pada 19 Julai 1996, Menteri Besar Kelantan telah bertindak melucutkan semua portfolio Exco Kerajaan dari PMS46 kerana tidak mahu meletak jawatan setelah menjadi pembangkang. Dalam masa yang sama, beberapa kali permohonan Menteri Besar untuk mengadap Sultan Kelantan bagi menyelesaikan krisis ini telah ditolak oleh Istana.

Di sebalik anggapan umum bahawa Sultan Kelantan telah campur tangan dalam urusan politik, BN telah bertindak mendesak PAS membubarkan DUN Kelantan bagi membolehkan pilihan raya diadakan untuk PAS mendapat baru, kerana kononnya mandat lama diperolehi atas nama Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Pada 6 Oktober 1996, PMS46 dibubarkan bagi membolehkan ahli-ahlinya menyertai Umno. Mengambil langkah terhadap tindakan Istana Kelantan serta peranan PMS46 dan Umno dalam krisis ini, pada 24 Ogos 1996, Menteri Besar Kelantan telah berunding dengan Peguam Negara untuk meminda Perlembagaan Negeri Kelantan; serta usaha menggantung keahlian anggota Exco Kerajaan dari PMS46 melalui Jawatankuasa Khas DUN Kelantan, tetapi kedua-duanya telah menemui kegagalan. Sultan Kelantan pula terus memboikot Kerajaan PAS Kelantan dengan tidak menjemput wakil-wakil rakyat PAS dalam majlis-majlis pengurniaan di raja di jajahan-jajahan. Sementara itu, Umno terus menggunakan isu perlantikan Exco Kerajaan adalah hak Sultan Kelantan, dan mendakwa mereka tidak perlu meletak jawatan walaupun telah menyertai Umno.

Bertindak terhadap kedegilan Exco Kerajaan dari PMS46 yang tidak mahu meletak jawatan dan keengganan Sultan Kelantan menerima mengadap Menteri Besar selaku ketua kerajaan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah bertindak untuk tidak menandatangani surat pelepasan untuk membolehkan Sultan Kelantan diiringi oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato' Abdul Halim Abdul Rahman ke Mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-174. Sultan Kelantan yang enggan diiringi oleh Menteri Besar kerana krisis ini, dan juga gagal diiringi oleh Ustaz Dato' Abdul Halim Abdul Rahman kerana tidak diberi pelepasan oleh Menteri Besar, terpaksa membawa Timbalan Menteri Besar II, Dato' Mohamed Rozali Isohak sebagai pengiring dalam mesyuarat pada 6 November 1996 itu tanpa surat pelepasan Menteri Besar. Oleh kerana kedua-dua Timbalan Menteri Besar tersebut tidak diberikan surat pelepasan untuk mengiringi Sultan Kelantan, Baginda Sultan Kelantan telah 'dimalukan' kerana tidak dibenarkan menyertai mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-174 pada 6 November 1996 tanpa diiringi oleh Menteri Besar atau wakilnya.

05 November 2016

05 November 1989 : Majlis Syura Ulamak PAS Putuskan Wanita Tidak Boleh Jadi Wakil Rakyat

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1989, Majlis Syura Ulamak PAS Pusat telah mengambil satu keputusan dasar yang menetapkan bahawa wanita tidak sayugia menjadi ahli Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat dalam sistem perundangan di negara ini. Menurut keputusan Majlis Syura Ulamak PAS itu, wanita hanya dibenarkan menduduki dewan perundangan jika mereka memenuhi syarat-syarat yang ketat seperti yang ditetapkan oleh hukum syarak. Pendirian dasar PAS ini telah menghalang suara-suara yang cuba mendesak supaya wanita menjadi calon dalam pilihan raya, termasuk cadangan yang dibawa oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan (yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat) kepada PAS Kelantan pada 4 Oktober 1989 supaya wanita dipertimbangkan sebagai calon PAS dalam pilihan raya.

Isu calon wanita dalam pilihan raya ini timbul ekoran cadangan sekutu PAS, Semangat 46 yang mahu meletakkan calon wanita di Kelantan. Pada 2 Oktober 1989, pemimpin wanita Semangat 46, Hajah Ilani Dato' Isahak telah mempersoalkan sikap PAS yang dikatakan "masih ditakuk lama" dalam isu calon wanita, sedangkan menurut beliau, Islam mengharuskan perkara tersebut. Ekoran itu, isu calon wanita telah ini dibawa oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan untuk dibincangkan oleh Dewan Harian PAS Kelantan pada 4 Oktober 1989, tetapi mereka menyerahkannya kepada Majlis Syura Ulamak PAS untuk menetapkan dasar PAS dalam perkara ini kerana isu tersebut sedang dikaji oleh badan pembuat dasar PAS itu. Isu calon wanita ini merupakan antara isu kritikal dalam pembentukan kerjasama politik antara PAS dengan Semangat 46 kerana parti tersebut bercadang meletakkan calon wanita di Kelantan. Sebelum itu, pada 30 September 1989, Majlis Syura Ulamak PAS yang meneliti isu-isu berbangkit berkait calon wanita ini, telah membentuk sebuah jawatankuasa kecil untuk mengkajinya.

Jawatankuasa kecil yang dianggotai oleh Ustaz Idris Omar, Ustaz Ibrahim Abdullah dan Ustaz Azizan Abdul Razak ini telah ditugaskan untuk menyediakan sebuah kertas berkait dengan hukum wanita menjadi calon dan menjadi ahli dewan perundangan mengikut hukum syarak. Pada 29 Oktober 1989, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Dr Daeng Sanusi Mariok ketika mengulas isu ini telah memberi pandangan bahawa Islam tidak menggalakkan wanita berbuat demikian. Persoalan ini kemudiannya diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 5 November 1989 dengan ketetapan bahawa wanita tidak boleh menjadi ahli dewan perundangan di negara ini, dengan kekecualian bersyarat. Antara syarat-syarat pengecualian tersebut ialah:

I. Jika dewan perundangan di Malaysia menyerupai atau hampir menyerupai majlis syura Islam;

II. Jika ia mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi melaksanakan segala kebaikan dan mencegah segala kemungkaran;

III. Jika wanita itu mempunyai kelayakan yang diperlukan sebagai ahli majlis syura Islam; dan

IV. Jika tugas itu (sebagai calon dan wakil rakyat) tidak memaksa wanita itu bergaul secara bebas yang boleh menjejaskan agama, maruah dan sama'ahnya.

Bertolak dari pendirian Majlis Syura Ulamak PAS ini, semua perundingan PAS berkaitan dengan calon adalah dengan dasar tiada calon dan wakil rakyat wanita. Yang paling menarik adalah isu calon-calon wanita dari parti sekutu PAS terutama Semangat 46. Oleh kerana Semangat 46 mencadangkan Ketua Wanita Kelantannya, Hajah Ilani Dato' Isahak bertanding di Kota Bharu, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memaklumkan keputusan PAS Kelantan pada 5 Oktober 1990 untuk meletakkan calon PAS di mana-mana kerusi yang ditandingi oleh calon wanita dari Semangat 46. Walau bagaimanapun, kerana menghormati hak sekutunya, PAS tidak berbuat demikian semasa Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990, sebaliknya PAS telah melantik Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Ustazah Kalthum Othman sebagai Ahli Dewan Negara mewakili kaum wanita di dewan perundangan.

04 November 2016

04 November 1982 : Kepimpinan Baru PAS Dibentuk Pasca Pengunduran Asri Muda

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membentuk kepemimpinan baru PAS yang diketuai oleh ulamak bagi memulihkan semula organisasi PAS ekoran perletakan jawatan sekumpulan pimpinannya selepas 23 Oktober 1982. Pembentukan saf kepemimpinan baru PAS secara simboliknya telah memulakan era kepemimpinan ulamak dalam PAS, sekali gus menamatkan krisis kepemimpinan parti yang berlarutan sejak 1980 sehingga membawa kepada pertembungan pengaruh dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-27 pada 17-19 April 1981. Kali terakhir PAS diketuai oleh ulamak ialah di bawah pimpinan Prof Dr Burhanuddin al-Helmy sebelum beliau ditahan ISA pada 28 Januari 1965.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda yang menerima tekanan kuat dari para perwakilan yang mewakili ahli akar rumput PAS telah bertindak meletakkan jawatannya sebagai pemimpin utama PAS pada 23 Oktober 1982. Turut meletakkan jawatan kemudiannya ialah sekutu rapat Dato' Mohd Asri Haji Muda iaitu Ustaz Dato' Abu Bakar Umar (Setiausaha Agung PAS merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah), Haji Hassan Mohamad (Bendahari Agung PAS), Ustazah Datin Sakinah Junid (Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat) dan Wan Ismail Ibrahim (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS). Dengan perletakan jawatan lima orang pemimpin utama PAS ini telah menyebabkan PAS mengalami perpecahan kepemimpinan yang besar untuk kali kedua selepas krisis kepemimpinan pada 1977 yang membawa kepada tertubuhnya Berjasa.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang membincangkan masalah perletakan jawatan mereka dan langkah-langkah penyelesaiannya pada 4 November 1982, telah memutuskan untuk menerima semua perletakan jawatan tersebut dan melantik saf kepemimpinan yang baru. Oleh kerana Setiausaha Agung PAS, Dato' Abu Bakar Umar telah mengisytiharkan dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-28 bahawa Ustaz Haji Yusof Abdullah Rawa menjadi Pemangku Yang Dipertua Agung PAS mengikut Fasal 22(8) Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977, ekoran penerimaan muktamar terhadap perletakan jawatan Dato' Mohd Asri Haji Muda, maka jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS juga turut mengalami kekosongan. Jawatankuasa Kerja Agung PAS kemudiannya melantik Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor sebagai Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah. Bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias pula dilantik sebagai Pemangku Naib Yang Dipertua Agung PAS, manakala bekas Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS yang baru. Seorang lagi bekas Setiausaha Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad dilantik menggantikan Ustaz Haji Hassan Shukri sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat. Ada pun tempat yang dikosongkan oleh Wan Ismail Ibrahim sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah digantikan oleh Ustaz Twahir @ Tahir Daeng Mengati dari Johor. Turut terlibat dalam perlantikan baru ini ialah bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Salmah Sheikh Hussein yang diangkat sebagai Pemangku Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat menggantikan Datin Sakinah Junid.

Dengan terlantiknya saf kepemimpinan baru yang membentuk asas kepemimpinan ulamak dalam PAS, keseluruhan organisasi PAS telah berjaya dipulih dan diperkukuhkan. Elemen-elemen yang mewujudkan krisis dalam PAS telah tersingkir dari kepemimpinan utama PAS. Walaupun penyokong-penyokong Dato' Mohd Asri Haji Muda cuba melakukan 'kekacauan' dalam PAS melalui siri-siri perletakan jawatan terutama di Kelantan dan Kedah, kemudian diikuti oleh penubuhan sebuah Jawatankuasa Bertindak yang dipimpin oleh Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad, semua gerakan ini dapat dibendung apabila Jawatankuasa Tatatertib PAS pada 23 Januari 1983 telah mengambil tindakan tatatertib terhadap 13 orang penyokong Dato' Mohd Asri Haji Muda sehingga membawa kepada tertubuhnya parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) pada 24 Mac 1983, yang sekali gus menamatkan krisis kepemimpinan tersebut.

03 November 2016

03 November 1990 : PAS Tubuhkan Jawatankuasa Pemandu Awasi Pentadbiran Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1990, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) bagi merancang, menasihat dan mengawasi pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan. Jawatankuasa Pemandu ini dibentuk setelah PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) berjaya menguasai Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990 dengan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar. Jawatankuasa Pemandu ini berfungsi untuk membantu Kerajaan Kelantan dalam melaksanakan pentadbiran berasaskan Islam sebagai mana manifesto PAS 'Membangun Bersama Islam.'

Jawatankuasa Pemandu ini dianggotai oleh pemimpin-pemimpin kanan PAS yang terdiri daripada Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor (Yang Dipertua PAS Pusat), Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Timbalan Yang Dipertua PAS Pusat), Dr Daeng Sanusi Mariok (Naib Yang Dipertua PAS Pusat), Haji Mustafa Ali (Bendahari PAS Pusat), Ustaz Abdul Halim Arshad (Setiausaha Agung PAS), Ustaz Azizan Abdul Razak, Haji Wan Abdul Muttalib Embong dan Ustaz Nik Abdullah Arshad (Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat). Peranan utama mereka adalah untuk membantu Kerajaan PAS Kelantan merancang program-program pembangunan, perlaksanaan syariat dan pentadbiran Islam; menasihati dasar-dasar Kerajaan PAS Kelantan agar selari dengan Islam; serta mengawasi dasar dan pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan supaya selari dengan Islam dan dasar parti.

Setelah Jawatankuasa Pemandu ini dibentuk, pada 30 November 1990, mereka telah menubuhkan lima buah jawatankuasa kecil untuk menjalankan peranan Jawatankuasa Pemandu. Lima jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Hal Ehwal Luar, Hubungan, Bantuan dan Kepakaran; Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat; Jawatankuasa Pengesan Pentadbiran Kerajaan Negeri; Jawatankuasa Pembangunan Sosio-ekonomi; dan Jawatankuasa Perancangan Pendidikan dan Latihan. Pada 29 November 1990, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah menetapkan satu prinsip pentadbiran iaitu parti menguasai kerajaan dan Kerajaan PAS Kelantan dikehendaki melaksanakan semua dasar yang terkandung dalam Manifesto PAS dan Manifesto PAS Kelantan.

Jawatankuasa Pemandu yang dibentuk pada 3 November 1990 ini kemudiannya berjaya memainkan peranan membantu Kerajaan PAS Kelantan terutama dalam proses mewujudkan pentadbiran Islam dan perlaksanaan syariat. PAS pada peringkat awalnya mengambil langkah melaksanakan pentadbiran Islam dengan mewujudkan pentadbiran telus dan bebas rasuah, kerajaan tanpa riba serta kerajaan yang berjimat-cermat dan membudayakan gotong-royong. Kemudian rakyat diperkenalkan dengan budaya hidup Islam dan penghapusan budaya mungkar, sebelum agenda perlaksanaan syariat dikembangkan. Perlaksanaan syariat telah dimulakan dengan penutupan premis judi dan penghapusan riba hinggalah kepada penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993. Kelantan juga turut menjadi model dalam memperkenalkan perumahan tiga bilik, sistem gadaian Islam, cuti dua hari seminggu dan lain-lain, selain berjaya memaksa perlaksanaan sistem perbankan dan kewangan Islam di negara ini mulai 1994.

02 November 2016

02 November 1977 : PAS Diberi Lima Hari Buat Pendirian Terhadap Isu Darurat Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1977, Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn telah memberikan tempoh lima hari kepada PAS, iaitu sehingga 7 November 1977, sama ada menerima keputusan Perdana Menteri untuk mendaruratkan Kelantan, dalam pertemuan antara pemimpin Umno dan Jawatankuasa Perunding PAS. Isu darurat Kelantan timbul ekoran krisis politik Kelantan yang menyebabkan Menteri Besar, Dato' Mohamad Nasir dikenakan undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977. Akibatnya, telah berlaku rusuhan politik di Kota Bharu dan perintah berkurung dikeluarkan pada 19 Oktober 1977.

Untuk menyelesaikan krisis ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan rundingan dengan pemimpin PAS dan mencadangkan 'Formula Dr Mahathir' atau Kelantan didaruratkan jika enggan menerima formula ini. Antara formula yang dikemukakan oleh Dr Mahathir Mohamad ialah perletakan jawatan Menteri Besar dan semua anggota Exco Kerajaan Kelantan dari PAS dan sebuah kerajaan baru yang diketuai oleh Ustaz Nik Abdullah Arshad sebagai Menteri Besar ditubuhkan. Dr Mahathir Mohamad juga mencadangkan sebuah kerajaan sementara yang ditadbir oleh pegawai kanan Malaysian Civil Service (MCS) yang bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri ditubuhkan di bawah undang-undang darurat.

PAS Kelantan pada 29 Oktober 1977 kemudiannya telah menolak cadangan-cadangan Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya mengesyorkan supaya pegawai MCS yang dicadang untuk mentadbir negeri di bawah undang-undang darurat itu dijadikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sahaja. PAS Kelantan juga menolak rombakan seluruh anggota kerajaan dengan Menteri Besar baru yang dicadangkan oleh Dr Mahathir Mohamad kerana menganggapnya sebagai 'kerajaan patung.' PAS Kelantan mahukan sebuah kerajaan yang Menteri Besarnya dikuasai oleh parti, dan tidak mahu menerima calon-calon tajaan Umno untuk mengelakkan kelemahan pentadbiran Dato' Mohamad Nasir berulang. PAS Kelantan juga tidak mahu Kelantan daruratkan kerana ia membolehkan Umno menguasai Kelantan secara tidak demokratik.

Di sebalik pendirian PAS Kelantan ini, pada 2 November 1977, Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn telah menolak syor PAS Kelantan tentang kedudukan pegawai MCS yang dicadangkan oleh Dr Mahathir Mohamad. Beliau yang juga Pengerusi BN telah mengambil sikap untuk bertegas supaya Kelantan didaruratkan setelah Formula Dr Mahathir ditolak. PAS kemudiannya diberikan tempoh sehingga 7 November 1977 untuk memberikan jawapan ke atas keputusan Perdana Menteri itu. Dalam perjumpaan antara Dato' Hussein Onn (yang turut disertai pemimpin Umno iaitu Tengku Razaliegh Hamzah, Dato' Senu Abdul Rahman, Abdul Ghafar Baba, Datuk Aishah Ghani, Datuk Mokhtar Hashim, Datuk Mohd Adib Adam dan Datuk Mohd Ghazali Shafie) dengan pemimpinan PAS yang terdiri daripada Dato' Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Perunding PAS iaitu Dato' Ishak Lotfi Omar, Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad, Wan Ismail Ibrahim, Cikgu Mohd Zain Abdullah dan Ustaz Salahuddin Abdullah pada 2 November 1977 ini, Perdana Menteri telah memilih formulanya sendiri iaitu mendaruratkan Kelantan.

Pada 4 November 1977, sebelum PAS memberikan jawapan tentang cadangan Perdana Menteri itu, Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan di Parlimen mengenai cadangan pembentangan rang undang-undang bagi mendaruratkan Kelantan. Pada 6 November 1977, Dato' Hussein Onn telah memaklumkan bahawa rang undang-undang tersebut akan dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat pada 8-9 November 1977. Keadaan ini menyebabkan pendirian PAS diminta oleh Perdana Menteri sebelum 7 November 1977 menjadi tidak bermakna lagi. Pada 7 November 1977, Jawatankuasa Perunding PAS telah menolak cadangan Perdana Menteri yang tidak menghormati PAS, dan sebelum itu, pada 6 November 1977, Jawatankuasa Kerja Agung PAS memutuskan supaya semua Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen PAS meletak jawatan untuk menentang undang-undang ini.

01 November 2016

01 November 1965 : DAP Nyatakan Kesediaan Bekerjasama Dengan PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1985, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ketujuh yang dijangka akan diadakan dalam tahun 1986. Lim Kit Siang membuat kenyataan demikian setelah Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad mempertegaskan bahawa PAS akan menghapuskan sistem kuota kemasukan pelajar ke universiti jika PAS menguasai kerajaan. Kenyataan pemimpin PAS dilihat oleh DAP sebagai selari dengan dasar Malaysian Malaysia yang menekankan soal merit berbanding kuota.

Isu hubungan PAS-DAP telah berbangkit dalam PAS semenjak sebelum Pilihan Raya Umum 1982 lagi. Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 29 Januari 1981 pernah mencadangkan supaya PAS bekerjasama dengan DAP dalam Pilihan Raya Umum tersebut sebagai lanjutan daripada kerja sama PAS dengan MCA dan MIC ketika berada dalam BN. Tetapi pandangan ini ditentang keras oleh pimpinan dan ahli PAS, terutama Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu pada 14 Februari 1981 telah mengugut untuk meletak jawatan jika PAS bekerjasama dengan DAP demi memastikan "pengikut-pengikut PAS tidak terpesong dari aqidah Islam." Di kalangan ahli-ahli PAS di Kelantan dan Terengganu, mereka bukan sahaja membantah, tetapi 53 buah ranting PAS telah diancam dengan pembubaran.

Kegagalan hubungan dengan MCA, MIC dan Gerakan dalam BN, yang diikuti oleh penolakan ahli-ahli PAS terhadap DAP telah mendorong Muktamar Tahunan PAS Ke-29 pada 30 April - 1 Mei 1983 mengambil keputusan supaya PAS mendekati orang-orang bukan Islam, dan penegasan Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa dalam Ucapan Dasarnya pada muktamar ini supaya PAS memecahkan tembok pemisah di antara PAS dengan orang bukan Islam, telah membuka langkah baru PAS. Pada awalnya, PAS menawarkan dialog kepada MCA pada 15 Oktober 1984, tetapi tidak mendapat sambutan baik dari parti perkauman Cina itu. Ekoran itu, PAS menganjurkan Simposium Islam dan Persoalan Perpaduan Negara pada 10 Februari 1985, di mana Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menegaskan bahawa orang Cina boleh memimpin negara ini jika dia seorang Islam yang "wara' dan mempunyai kelayakkan sebagai pemimpin Islam.

Pada 10 Oktober 1985, dalam Simposium Negara Islam yang dianjurkan oleh PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menjelaskan bahawa kerajaan Islam yang didukung oleh PAS akan memberikan hak dan perlindungan kepada orang bukan Islam secara adil dalam semua perkara. Dalam pada itu juga, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad telah menjelaskan bahawa jika PAS memerintah, sistem kuota dalam pengambilan pelajar universiti akan dihapuskan supaya semua kaum mendapat hak secara seimbang. Pandangan-pandangan PAS yang berasaskan keadilan Islam tanpa sentimen perkauman ini telah perhatian para pemimpin DAP.

Memberi respon terhadap keterbukaan dan keadilan sistem pemerintahan Islam yang ditawarkan oleh PAS, pada 1 November 1985, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan kesediaan DAP untuk bekerjasama dengan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh. Terdahulu, pendirian PAS itu disokong oleh Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin, yang menyebabkan cadangan Lim Kit Siang supaya DAP dan PAS bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh turut didukung oleh Karpal Singh. DAP kemudiannya mengarahkan Timbalan Setiausaha Agungnya, P Patto agar mengaturkan dialog antara DAP dengan PAS dan PSRM bagi mencapai tujuan tersebut. Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa pada 24 Disember 1985 menyatakan kesediaan PAS terhadap kerjasama ini, tetapi ia tidak menjadi kenyataan sehingga tertubuhnya gabungan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) pada 14 Julai 1986.