31 Mei 2016

31 Mei 1955 : Pendaftaran PAS Diluluskan Oleh Pendaftar Pertubuhan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1955, pendaftaran PAS sebagai sebuah parti politik telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang sekali gus membolehkan PAS menyertai Pilihan Raya Umum 1955. Alamat pendaftaran PAS yang didaftarkan ialah "Arabic School, Kepala Batas" iaitu Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, iaitu Pejabat Agung PAS. Sekolah Arab ini adalah milik Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS. Selepas Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan meletak jawatan pada 26 September 1953, Pejabat Agung PAS telah berpindah dari Madrasah al-Masriah, Tanah Liat dan menumpang di Sekolah Arab tersebut.

Setelah PAS ditubuhkan secara rasmi pada 24 November 1951, PAS telah mengemukakan pendaftarannya pada 1952 di bawah Societies Ordinance 1949 dengan nombor pendaftaran sementara No. 34 in R of S. 26/52. Tetapi kerana isu-isu politik semasa seperti penangkapan pemimpin Hizbul Muslimin pada 1948, pembunuhan Hassan al-Banna di Mesir pada 1949, penahanan Abdul A'la al-Maududi pada 1949 dan pemberontakan Darul Islam di Indonesia pada 1948 telah menyebabkan British menangguhkan kelulusan pendaftaran PAS. Suasana darurat sejak 1948 di Tanah Melayu yang meningkatkan perhatian British telah berjaya diredakan dengan tindakan PAS menyertai National Conference pada 27 April 1953. National Conference menurut Ramlah Adam adalah ditaja oleh Sir Malcom MacDonald, Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara.

Penglibatan PAS dalam National Conference dan juga National Convention pada 1953-1954 adalah untuk menuntut pilihan raya segera. Ekoran itu, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954 telah memutuskan supaya PAS menyertai pilihan raya ini. Sedangkan parti-parti politik mesti berdaftar sebagai syarat menyertai pilihan raya. Atas asas ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 23 Januari 1955 ketika membincangkan rancangan pilihan raya PAS, telah menyerahkan kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias untuk menyelesaikan urusan pendaftaran PAS. PAS kemudiannya didaftarkan semula di bawah The Societies (Registration) Rules, 1953 di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Kuala Lumpur. Secara kebetulan pegawai pendaftar pertubuhan adalah kenalan Dr Haji Abbas berbangsa India yang pernah ditolong untuk mendapatkan pekerjaan pada zaman Jepun. Dengan bantuan pegawai tersebut, proses pendaftaran PAS telah dipermudahkan.

Pada 10 April 1955, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memperhalusi urusan pendaftaran PAS dan menyerahkan urusan ini kepada Dr Haji Abbas dan Cikgu Ahmad Awang, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Akhirnya pada 31 Mei 1955, Pendaftar Pertubuhan telah meluluskan pendaftaran PAS dengan nombor pendaftan 733 (Penang). Dalam banyak kajian, mengatakan PAS didaftarkan pada 14 Jun 1955 atau sehari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum 1955. Sebelum penamaan calon pada 15 Jun 1955, Pemangku Setiausaha Agung PAS, Ustaz Mohamad Hashim pada 9 Jun 1955 telah memaklumkan kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri dan Setiausaha-setiausaha PAS Cawangan tentang kelulusan pendaftaran PAS ini, dan mungkin maklumat ini hanya diterima seminggu kemudian. Atas sebab itu, ramai yang menyangka ia diluluskan menjelang penamaan calon tersebut.

30 Mei 2016

30 Mei 1972 : PAS Kelantan Tolak Perletakan Jawatan Timbalan Menteri Besar

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1972, Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan telah menolak perletakan jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohamed Nasir yang telah menyerahkan surat perletakan jawatannya pada 25 Mei 1972. Dato' Mohamed Nasir dalam surat perletakan jawatannya memaklumkan keadaan kesihatannya yang tidak baik menyebabkan beliau terpaksa berundur. Namun begitu, perletakan jawatan ini telah dijadikan isu oleh media massa seumpama PAS sedang menghadapi krisis kepemimpinan.

Dato' Mohamed Nasir pernah menjadi Timbalan Menteri Besar pada sesi 1959-1964 iaitu ketika Dato' Ishak Lotfi Omar menjadi Menteri Besar Kelantan, tetapi beliau tewas dalam Pilihan Raya Umum 1964, yang menyebabkan beliau berkhidmat sementara dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN), sebelum beliau kembali ke Dun Kelantan pada 1969. Mohamed Nasir yang merupakan lulusan Kolej Pertanian Serdang dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Pertanian Kelantan sebelum bersara pada 1958. Beliau juga mendapat pendidikan agama di bawah didikan Maulana Abdullah Nuh dan Maulana Mohamad Shah di Pasir Mas dan Machang, dan mula menyertai PAS pada 1954 setelah PAS ditubuhkan di Machang.

Selepas Pilihan Raya Umum 1969, Dato' Mohamed Nasir dinamakan semula oleh PAS Kelantan sebagai Timbalan Menteri Besar ketika Dato' Mohd Asri Haji Muda menjadi Menteri Besar Kelantan. Walau bagaimanapun, ekoran masalah kesihatan beliau yang berpanjangan dan beberapa kali ditahan di hospital, beliau telah menyerahkan surat perletakan jawatannya pada 25 Mei 1972.

Di sebalik perletakan jawatan ini, media massa telah menggembar-gemburkan isu ini seolah-olah PAS Kelantan sedang berkrisis. Walhal, ketika ini PAS sedang berunding dengan Perikatan untuk membentuk Kerajaan Campuran. Ekoran itu, PAS Kelantan pada 30 Mei 1972 telah menolak permintaan beliau dan memujuk Dato' Mohamed Nasir supaya menarik balik perletakan jawatannya serta bersetuju untuk memberi cuti kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan itu selama dua bulan. Faktor ini telah menyebabkan Dato' Mohamed Nasir tidak lagi dinamakan untuk jawatan kerajaan selepas 1974.

Dato' Mohamed Nasir yang kekal sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan sehingga 1974 telah tidak dinamakan untuk sebarang jawatan kerajaan oleh PAS Kelantan pada1974 kerana permintaan beliau sendiri yang mahu berundur, yang menyebabkan Wan Ismail Ibrahim dinamakan sebagai calon Menteri Besar Kelantan menggantikan Dato' Ishak Lotfi Omar. Namun begitu, Umno Kelantan telah mempengaruhi Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri untuk memilih Dato' Mohamed Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru pada 1974 yang menjadi punca krisis politik Kelantan kemudiannya.

29 Mei 2016

29 Mei 1974 : Dewan Ulamak PAS Berbincang Mengenai Penubuhan Barisan Nasional

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1974, Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengadakan satu perjumpaan yang melibatkan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat dan wakil-wakil Dewan Ulamak PAS Negeri-negeri dengan Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang diwakili oleh Dato' Mohd Asri Haji Muda, Dato' Abu Bakar Umar, Ustaz Baharuddin Abdul Latif dan Ustaz Hassan Shukri, yang turut disertai oleh wakil-wakil Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat. Pertemuan ini adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan merungkai kekeliruan berkait dengan penyertaan PAS dalam Barisan Nasional (BN) yang bakal ditubuhkan. Dewan Ulamak PAS Pusat pada 27 Januari 1974 mengambil pendirian bahawa harus PAS menyertai BN untuk menjayakan tujuan PAS.

Terdahulu, pada 1 Januari 1973, PAS telah membentuk Kerajaan Campuran dengan Perikatan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain turut menyertai Kerajaan Pusat. Walau bagaimanapun, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-19 pada 21-23 September 1973, Dewan Ulamak PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Pusat telah meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap perlaksanaan syariat Islam dalam kerajaan, walaupun PAS telah bersuara di Parlimen supaya Islam dijadikan dasar pemerintahan negara. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini juga, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah membayangkan kemungkinan PAS akan menyertai gabungan politik 'National Front' yang bakal ditubuhkan.

Dalam mesyuarat parti-parti politik yang bekerjasama dengan Perikatan pada 17 Januari 1974, telah dibincangkan kemungkinan membentuk sebuah pakatan politik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 1974, dan PAS secara umum bersetuju menyertainya. Ekoran itu, pada 26 Januari 1974, PAS Pusat mengarahkan Dewan Ulamak PAS Pusat membuat kajian terperinci tentang hukum PAS menyertai BN. Di sebalik pendirian Dewan Ulamak PAS Pusat pada 27 Januari 1974 yang menyatakan "penyertaan PAS dalam barisan kebangsaan itu dengan maksud-maksud yang khusus bagi menjayakan perjuangan mengisi tujuan-tujuan PAS dapat diterima" dan dengan syarat ia tidak menghilangkan identiti PAS sebagai parti Islam, masih terdapat perkara-perkara yang tidak jelas berkait pakatan politik tersebut.

Dewan-dewan Ulamak PAS Negeri juga walaupun secara umumnya bersetuju PAS menyertai BN kerana ia "adalah strategi baru yang membuka pintu bagi PAS untuk menduduki ulil amri di semua peringkat," tetapi berlaku banyak kesamaran yang perlu diselesaikan. Untuk menyelesaikan kesamaran ini, Dewan Ulamak PAS Pusat telah menganjurkan perjumpaan melibatkan pimpinan Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat serta Dewan-dewan Ulamak PAS Negeri dengan wakil Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Seramai 28 orang pimpinan Dewan Ulamak PAS termasuk wakil-wakil Dewan Pemuda dan Muslimat PAS telah hadir pada 29 Mei 1974 untuk mendengar taklimat Yang Dipertua Agung PAS sehingga semua yang hadir berpuas hati tentang erti BN yang akan ditubuhkan.

28 Mei 2016

28 Mei 1953 : 'National Conference' Kedua Tuntut Pilihanraya Segera Seawal Tahun 1956

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1953, PAS menyertai persidangan kedua National Conference yang memutuskan untuk menuntut satu pilihan raya segera ke arah kemerdekaan Tanah Melayu dengan pilihan raya diadakan pada tahun 1956. National Conference menolak pilihan raya pada tahun 1954 yang dicadangkan oleh Perikatan Umno-MCA kerana ia tidak sesuai.

National Conference dicadangkan dalam satu pertemuan anjuran 16 orang kenamaan termasuk tujuh Menteri Besar pada 12 Februari 1953, sebelum ia ditubuhkan secara rasmi pada 27 April 1953 yang turut disertai oleh PAS. Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja National Conference. Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang pada 2 Ogos 1953 menjelaskan bahawa penyertaan PAS dalam National Conference adalah bertujuan untuk memperjuangkan kemerdekaan berasaskan Islam.

Untuk menyertai persidangan pada 28 Mei 1953 ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Mei 1953 telah menggubal 'Perlembagaan Malaya' untuk menjadi garis panduan dalam perjuangan kemerdekaan. Ketika persidangan National Conference pada 28 Mei 1953, perbincangan adalah tertumpu kepada tuntutan pilihan raya Persekutuan yang mengambil pendirian supaya ia diadakan pada 1956 atas dua alasan, iaitu:

I. Pilihan raya tidak dapat diadakan pada 1954 kerana belum ada persediaan yang dibuat; dan
II. Semua negeri masih belum mengadakan pilihan raya negeri dan juga pilihan raya bandaran yang belum selesai di seluruh negara.

Oleh kerana pendirian persidangan ini berbeza dengan pendirian Perikatan Umno-MCA, National Conference telah melantik Datuk E.E Thuraisingham sebagai wakil untuk berunding dengan Perikatan Umno-MCA dalam menyelaraskan tuntutan-tuntutan berkaitan pilihan raya. Hasil dari persidangan ini, PAS telah berpegang dengan pendirian supaya pilihan raya perlu diadakan pada 1956. Walau bagaimanapun, ekoran penyertaan PAS dalam National Convention pada 23 Ogos 1953, PAS telah bersetuju supaya pilihan raya diadakan seawal mungkin. PAS menyokong tuntutan pilihan raya pada 1954, tetapi akhirnya pilihan raya tersebut hanya berlaku pada 27 Julai 1955.

27 Mei 2016

27 Mei 1997 : Ustaz Ahmad Yakob Dilantik Sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1997, Adun Pasir Pekan, Ustaz Ahmad Yakob telah mengangkat sumpah sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kelantan bersama Haji Hassan Abdullah (Pengkalan Pasir), Ustaz Abdullah Yaakob (Air Lanas) dan Ustaz Hassan Mohamad (Kemuning). Perlantikan ini sekali gus telah menamatkan krisis politik Kelantan sejak 14 Julai 1996 ekoran putusnya hubungan PAS dan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46). Krisis politik yang turut melibatkan Istana Kelantan ini telah menyebabkan empat orang anggota Exco dari PMS46 dilucutkan portfolio pada 19 Julai 1996, sebelum mereka meletakkan jawatan pada 28 November 1996 atas keputusan Majlis Tertinggi Umno.

Ustaz Ahmad Yakob yang dilahirkan di Kampung Berangan, Tumpat pada 1 Februari 1950 adalah anak kepada tokoh PAS Tumpat, Tuan Guru Haji Yakob Ishak. Selain pernah menjadi pemimpin PAS Tumpat, Tuan Guru Haji Yakob yang pernah ditahan ISA pada 27 Februari 1964, merupakan Mudir Pondok Berangan merangkap ahli Majlis Ulamak MAIK. Setelah mendapat pendidikan awal daripada ayahnya di Pondok Berangan, Ustaz Ahmad memasuki Sekolah Kebangsaan Berangan, sebelum ke Sekolah Agama Bustanul Arifin, Berangan dan Maktab Pengajian Islam, Jalan Bayam, Kota Bharu. Beliau telah menerima ijazah Aliyah dari Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), Nilam Puri, sebelum menerima ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari Universiti Ain Syam, Kahirah.

Setelah berkhidmat sebagai guru agama di Johor sejak 1980, beliau mula mengajar di beberapa sekolah di Kelantan mulai 1986 yang membuka peluang untuk beliau aktif dalam PAS. Beliau mula menjadi Pengarah MTD Sungai Pinang sejak 1986, selain pernah menjadi Bendahari PAS Tumpat, Ketua Penerangan PAS Tumpat dan Naib Yang Dipertua PAS Tumpat. Dalam Pilihan Raya Umum 1995, beliau telah dicalonkan oleh PAS bertanding di DUN Pasir Pekan dan berjaya mengalahkan calon BN, Saupi Daud dengan majoriti 2,735 undi. Beliau kemudiannya berjaya mengekalkan kerusi ini hingga sekarang. Dalam krisis politik pada pertengahan 1996 ekoran perpecahan PAS dengan PMS46 itu, pada 15 September 1996, Ustaz Ahmad telah dinamakan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai calon Exco menggantikan tempat wakil rakyat PMS46, tetapi ia tertangguh kerana krisis dengan Istana Kelantan. Setelah Sultan Kelantan memberi perkenan pada 6 Februari 1997, beliau masih tidak dapat mengangkat sumpah sehingga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1 April 1997 mendesak Istana Kelantan menyegerakan majlis angkat sumpah tersebut. Akhirnya, pada 27 Mei 1997, Ustaz Ahmad bersama tiga lagi Adun PAS berjaya mengangkat sumpah sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Ustaz Ahmad pada mulanya memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia sejak 27 Mei 1997, telah diberikan amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar selepas Pilihan Raya Umum 1999. Mulai 23 Mac 2004, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan, sebelum mengambil alih jawatan Ketua Kerajaan daripada Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz mulai 6 Mei 2013. Selain menjadi Menteri Besar Kelantan, Ustaz Ahmad juga merupakan Timbalan Persuruhjaya PAS Kelantan (2005-2013), Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (2009-2014), Pesuruhjaya PAS Kelantan mulai 2 Disember 2013, Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat mulai 25 Januari 2014 dan Timbalan Mursyidul Am PAS mulai 8 Mac 2015.

26 Mei 2016

26 Mei 1953 : PAS Letakkan Islam Sebagai Asas Perlembagaan Malaya Merdeka

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah merangka garis-garis besar tentang bentuk negara Tanah Melayu dalam usaha menuntut kemerdekaan melalui pilihan raya segera dengan meletakkan Islam sebagai asas negara. Hal ini memperlihatkan komitmen PAS sejak diluluskan 'Program Politik PAS' dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953 untuk menegakkan negara Islam secara demokrasi. Garis-garis besar bentuk negara Tanah Melayu merdeka yang dinamakan sebagai 'Perlembagaan Malaya' ini digubal sebagai asas seluruh perundingan kemerdekaan melalui National Conference dan National Convention.

Semenjak PAS menetapkan komitmennya untuk memperjuangkan kemerdekaan dalam Program Politik PAS, pada 27 April 1953, PAS telah menyertai National Conference tajaan 16 orang kenamaan untuk menuntut pilihan raya segera ke arah kemerdekaan. Sebagai tindak balas, Umno menganjurkan Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu pada 14 Ogos 1953, sebelum Umno-MCA menganjurkan National Convention pada 23 Ogos 1953 yang turut melibatkan penyertaan PAS. Di sebalik persaingan politik antara Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra ini, PAS telah mengambil tindakan untuk menetapkan dasar-dasar tuntutan dalam pembentukan negara merdeka.

Dalam kerangka 'Perlembagaan Malaya' yang digubal oleh PAS pada 26 Mei 1953 ini, PAS telah menetapkan lima dasar dalam pembentukan negara merdeka, iaitu:

I. Nama negara dan Perlembagaan. Nama yang dianggap sesuai ialah Perlembagaan Persekutuan Semenanjung Tanah Melayu kerana ia adalah nama asal yang sesuai dengan bunyi, makna dan isinya, sedangkan nama Malaya adalah berbau kolonial;

II. Agama rasmi. Islam hendaklah menjadi agama rasmi seluruh Persekutuan termasuk di Negeri-negeri Selat (Melaka, Pulau Pinang, Seberang Perai dan Singapura) dan Islam menjadi dasar negara. Pentadbiran agama dipusatkan dan syariat dilaksanakan;

III. Bahasa rasmi. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi Persekutuan dan bahasa pengantar semua rakyat. Bahasa Inggeris hanya menjadi bahasa kedua untuk sementara waktu dan selepas tempoh tertentu ia tidak lagi digunakan dalam urusan rasmi;

IV. Corak kerajaan. Sebuah kerajaan bersekutu (federal) yang mengamalkan demokrasi, memiliki dewan perwakilan (parlimen) sebagai majlis tertinggi dan pentadbiran awam melalui kementerian-kementerian. Anggota perwakilan dipilih oleh rakyat sepenuhnya dan jemaah menteri yang bertanggungjawab kepada dewan perwakilan dalam menjalankan pentadbiran awam; dan

V. Kerakyatan. Kerakyatan adalah berasaskan Undang-undang Kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu 1948 (Pindaan 1952) yang menetapkan syarat kerakyatan yang ketat bagi imigran dan menolak jus soli.

Secara umum, lima asas kenegaraan ini jelas memperlihatkan keterbukaan PAS terhadap sistem pentadbiran moden, amalan demokrasi dan masyarakat majmuk dalam menegakkan negara Islam. PAS mempertahankan hak ketuanan bangsa Melayu, tetapi tidak mengenepikan hak bangsa lain, dalam masa yang sama PAS memilih jalan demokrasi dengan menerima kuasa rakyat dalam pilihan raya dan pemisahan kuasa dalam pentadbiran, manakala Islam dijadikan asas seluruh urusan kenegaraan.

25 Mei 2016

25 Mei 1990 : PAS Lulus Usul Tubuhkan PAS Di Sarawak

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1990, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-36 telah dibuka oleh Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan tema 'Maju Bersama Islam' yang berlangsung pada 25-27 Mei 1990 di Taman Melewar telah bersetuju dengan usul PAS Kawasan Tawau supaya PAS berkembang ke Sarawak. Selain merupakan muktamar pertama setelah Ustaz Fadzil Mohd Noor dilantik sebagai pemimpin tertinggi PAS, muktamar ini juga adalah yang terakhir sebelum PAS menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990. Dalam muktamar ini, PAS telah membincangkan persiapan terakhir dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990 termasuk isu hubungan PAS-APU, kedudukan DAP dan juga pengembangan PAS di Borneo.

Sebelum ini, PAS telah beberapa kali merancang untuk berkembang di Sarawak, tetapi tidak menjadi kenyataan. Pada akhir 1961, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohammed telah membayangkan rancangan PAS untuk berkembang di Borneo, termasuk Sarawak. Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-10 pada 5-6 Januari 1962 pula bersetuju supaya PAS bergerak di Sabah dan Sarawak. Namun begitu, ketika PAS Sabah ditubuhkan pada Ogos 1964, PAS tidak berbuat demikian di Sarawak sehingga Konfrantasi Indonesia memuncak pada awal 1965. Perubahan politik Sabah ekoran kemenangan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 21 April 1985 telah mendorong Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 25 Mei 1985 memutuskan untuk membuka semula PAS Sabah dan pada September 1985, PAS mengumumkan untuk membuka sayapnya di Sabah dan Sarawak. Sehingga PAS Sabah berjaya ditubuhkan pada 19 Mei 1986, tidak ada sebarang usaha serius untuk menubuhkan PAS di Sarawak.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-36 pada 25-27 Mei 1990, PAS Kawasan Tawau yang melihat bahawa "tidak ada keupayaan badan-badan Islam untuk menangani masalah umat Islam di Sarawak," telah mendesak PAS supaya segera berkembang di Bumi Kenyalang itu. Penerimaan usul PAS Kawasan Tawau kemudiannya diperbaharui oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-39 pada 11-13 Jun 1993 untuk PAS segera masuk ke Sarawak. Hasilnya, sebuah Jawatankuasa Penaja PAS Sarawak telah ditubuhkan pada 1994 diketuai oleh Ustaz Mansor Din. Mulai sesi 1995, PAS Pusat telah melantik Pesuruhjaya PAS Sarawak secara rasmi dengan Cikgu Mohd Shokri Mohd Fauzi sebagai pesuruhjaya yang pertama.

PAS Sarawak kemudiannya mengorak langkah dengan melancarkan penubuhannya secara rasmi pada 26 Mei 1996. Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Chik di Hotel Impiana, Kuching ini menandakan bermulanya sejarah rasmi PAS Sarawak. Pendaftaran PAS Sarawak kemudiannya diluluskan pada 25 September 1996. Sejak ditubuhkan, PAS Sarawak telah dipimpin oleh beberapa pesuruhjaya iaitu Ustaz Mansor Din (Pesuruhjaya Penaja, 1994-1995), Cikgu Mohd Shokri Mohd Fauzi (1995-2003), Haji Adam Ahid (2003-2009 dan 2010-2015) dan Ustaz Othman Mustapha (2009-2010). Ekoran kematian Haji Adam Ahid pada 17 Ogos 2015, mulai 18 September 2015, Haji Jofri Jaraiee dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Sarawak yang baru.

PAS Sarawak yang mula berkembang pesat melalui penubuhan Dewan Pemuda PAS Sarawak pada 2001, diikuti oleh Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak PAS Negeri, telah pun mempunyai tujuh buah PAS Kawasan iaitu Petra Jaya, Barang Lupar, Sibu, Mukah, Miri, Bintulu dan Santubong. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999, buat pertama kali PAS bertanding di Sarawak di Parlimen Batang Lupar, sebelum PAS Sarawak menyertai Pilihan Raya Negeri pertama kali pada 25 September 2001. Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang terkini pada 7 Mei 2016, PAS Sarawak telah meletakkan 11 calon termasuk calon wanita dan bukan Islam.

24 Mei 2016

24 Mei 1965 : PAS Sifatkan Malaysia Bukan Sebuah Negara Islam

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1965, Jabatan Penerangan PAS Pusat menerusi risalah bulanannya, 'Kursus Politik dan Islam' telah menyifatkan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1963 adalah bukan sebuah negara Islam, sebaliknya adalah negara sekular kerana Perlembagaannya tidak menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan hukum tertinggi, selain turut memisahkan negara dari urusan agama. Penegasan ini adalah sebahagian daripada siri-siri penerangan tentang konsep politik Islam yang diterbitkan secara bulanan antara April hingga Disember 1965.

Persoalan tentang kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam telah timbul sejak 1957 kerana memorandum Perikatan kepada Suruhanjaya Reid telah mencadangkan supaya dipisahkan agama daripada negara dan mahukan supaya Tanah Melayu menjadi "negara keduniaan (secular state)." Bahkan, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra dalam penjelasannya di Parlimen pada 1958, telah mempertegaskan bahawa Persekutuan Tanah Melayu adalah bukan negara Islam. Ini berbeza dengan pendirian PAS sejak perundingan menuntut pilihan raya segera pada 1953 sudah mempertegaskan tentang kedudukan Islam dalam pemerintahan dan terus diperjuangkan sehingga Kongres Kebangsaan Melayu Kedua pada 4-7 Mei 1957 dalam usaha menjadikan Islam sebagai dasar negara.

Ketika Tanah Melayu di ambang kemerdekaan, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy dalam Ucapan Dasar Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keenam pada 24 Ogos 1957 telah menjelaskan, "Pengakuan (Islam sebagai agama Persekutuan) tidak terpakai pada sisi hukum Islam kalau sekadar hanya dituliskan sahaja Islam sebagai agama negara, tetapi baharulah boleh dipakai pengakuan agama Islam itu menjadi agama rasmi ialah apakala aturan-aturan dan hukum-hukum serta undang-undang asasi yang difikirkan oleh kerajaan itu dibina di atas undang-undang Islam dan daripada Islamlah keluar undang-undang itu dan dari Islamlah diambil sesuatu hukum dan pengambilan hukum juga dikembalikan kepada Islam, hakim (pemerintah) yang menyuruh dengan hukum Islam dan melarang pun dengan hukum Islam. Maka bagaimanakah sahnya Islam jadi agama rasmi, padahal pada tulisan sahaja, sedangkan undang-undang (adalah) rekaan manusia, pengambilan hukum dari undang-undang rekaan itu, mengembalikan hukum kepada undang-undang itu dan keputusan pun diletakkan atas undang-undang itu?"

Atas asas ini, Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat pada 25 Disember 1958 telah mempertegaskan kedudukan aqidah orang yang tidak melaksanakan hukum Allah dalam pemerintahan yang boleh menjadi fasiq, zalim atau kafir, dan mempertegaskan kewajipan PAS berjuang menegakkan negara Islam yang melaksanakan syariat Allah. Pendirian ini telah disahkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketujuh pada 25-27 Disember 1958. Ekoran itu, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Februari 1959 telah mengambil pendirian supaya PAS menjadikan pilihan raya sebagai wasilah untuk menguasai negara secara muwajhah silmiyah dan seterusnya menegakkan hukum Allah.

Untuk menerangkan kepada ahli-ahli PAS tentang pemikiran politik Islam ini, Jabatan Penerangan PAS Pusat mulai April 1965 telah menerbitkan 'Kursus Politik dan Islam' secara bersiri. Ia telah menjelaskan kewajipan adanya parti politik Islam untuk membolehkan umat Islam berpolitik secara Islam, sedangkan parti-parti yang berasaskan ideologi moden tersesat dari jalan Allah (April 1965), kewajipan menegakkan negara yang melaksanakan syariat (27 April 1965), kedudukan Malaysia sebagai bukan sebuah negara Islam (24 Mei 1965), perbuatan mempermainkan hukum syariat dengan menerima hukum ibadat, tetapi menolak undang-undang syariat adalah thoghut (12 Jun 1965), melarang orang Islam berketuakan orang kafir (30 Julai 1965), orang Islam tidak boleh tunduk kepada orang Islam yang tidak melaksanakan syariat (30 Ogos 1965) dan kewajipan umat Islam menegakkan negara baldatun tayyibatun warabbun ghafur. Siri-siri penerangan ini telah membentuk kefahaman ahli-ahli PAS tentang kedudukan politik umat Islam semasa.

23 Mei 2016

23 Mei 2010 : Dewan Himpunan Penyokong PAS Dilancarkan Secara Rasmi

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2010, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah melancarkan secara rasmi penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Dewan Pejabat Tanah Kelang, Kelang sebagai sebuah sayap baru PAS yang dianggotai oleh para penyokong yang bukan Islam. Ketika pelancaran ini dibuat, DHPP telah mempunyai lebih 20,000 ahli yang asalnya merupakan ahli Kelab Penyokong PAS (KPP). Sebelum ini, pada 10 Januari 2010, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah meluluskan rang Aturan dan Peraturan DHPP bagi membolehkan KPP dinaiktarafkan menjadi sebuah Dewan untuk ahli bukan Islam.

Isu keahlian bukan Islam dalam PAS telah dibincangkan sejak 3 Oktober 1956 lagi dan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohammed pernah mencadangkan pada 3 Disember 196 1 supaya PAS menerima bukan Islam sebagai ahli bersekutu. Namun begitu, atas faktor politik Melayu ketika itu, cadangan ini ditangguhkan sehingga Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-27 pada 17-19 April 1981 memutuskan supaya PAS mendekati bukan Islam sebagai strategi dakwah dan politiknya. Hasilnya, pada1985, PAS telah menubuhkan Chinese Consultative Council (CCC) sebagai wasilah PAS dengan masyarakat Cina, tetapi selepas Pilihan Raya Umum 1986, CCC telah berakhir.

Perubahan politik yang berlaku pada 1998 telah membawa kepada permintaan orang bukan Islam untuk menyertai PAS dan Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor berjanji untuk PAS mengkaji semula kedudukan ahli bersekutu. Sebagai langkah awal, mulai 1999 telah ditubuhkan Jabatan Antara Budaya yang kemudiannya diserapkan dalam Lajnah Perpaduan Nasional. Ekoran tindakan DAP meninggalkan Barisan Alternatif (BA) pada 2001, PAS mengambil langkah mewujudkan hubungan yang lebih rapat dengan orang Cina. Selepas pelancaran Dokumen Negara Islam (DNI) pada 12 November 2003, PAS telah mengadakan siri-siri penerangan tentang DNI yang turut melibatkan orang bukan Islam di Kelantan (12 Disember 2003), Terengganu (19 Disember 2003), Pahang (21 Disember 2003), Kedah (25 Disember 2003), Selangor (4 Januari 2004), Johor (25 Januari 2004) dan Perak (Februari 2004) sehingga akhirnya tertubuhnya Kelab Penyokong PAS (KPP). Antara program terawal melibatkan KPP ialah Majlis Muhibbah bersama Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat di Seremban pada 23 Februari 2004. Menjelang Pilihan Raya Umum 2004, Presiden PAS telah secara rasmi melancarkan KPP di Taman Melewar pada 11 Mac 2004.

Ketika KPP dilancarkan ini, kebanyakkan pendukung KPP adalah orang Cina. Kemudian, KPP berjaya diperluaskan kepada bangsa lain apabila KPP India ditubuhkan pada 2005, diikuti oleh KPP Iban (2006) dan KPP Siam (2007). Pada 11 September 2007, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melancarkan logo KPP dengan Tema "PAS For All". KPP terus berkembang apabila berjaya mengadakan Konvensyen KPP Pertama pada 2007 bertema "Kerajaan Berkebajikan Untuk Semua" dan Konvensyen KPP Kedua pada 2009 dengan tema "Stay United, Brave the Challenges."

Melihat kesungguhan orang bukan Islam mendukung perjuangan PAS ini, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 12 Oktober 2008 telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal yang diketuai oleh Ustaz Hassan Shukri untuk menggubal peraturan KPP sebagai sebuah Dewan. Dalam Retreat Pimpinan PAS Pusat di Langkawi pada 7-8 November 2008, sebuah cadangan dari Jawatankuasa Teknikal bertajuk "Keahlian Bukan Islam Dalam Organisasi PAS" telah diterima sebagai panduan, sebelum Jawatankuasa Kerja PAS Pusat meluluskan Aturan dan Peraturan DHPP pada 10 Januari 2010. Sejak itu, DHPP yang ketika ini dipimpin oleh Hu Phang Chow telah bergerak sehingga ia dilancarkan secara rasmi pada 23 Mei 2010.

22 Mei 2016

22 Mei 1952 : Dewan Ulamak PAS Adakan Perjumpaan Dengan Sekolah Agama Rakyat

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1952, Dewan Ulamak PAS telah menganjurkan satu Perjumpaan Sekolah-sekolah Agama Rakyat di Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas yang bertujuan untuk memperbaiki mutu sekolah agama rakyat di Malaya. Ini adalah program pertama Dewan Ulamak PAS sejak ia ditubuhkan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 3 April 1952. Dewan Ulamak PAS sejak ditubuhkan telah diketuai oleh Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Sheikh Abdullah Fahim.

Pertemuan Sekolah-sekolah Agama Rakyat yang dihadiri oleh pimpinan dari 38 buah sekolah agama rakyat ini meliputi kawasan Seberang Perai, Pulau Pinang, Kedah Selatan dan Perak Utara. Ia dipengerusikan oleh Sheikh Abdullah Fahim sendiri dengan dua tujuan utama, iaitu:

I. Menyusun untuk menyatukan pentadbiran dan sukatan pelajaran Sekolah-sekolah Agama Rakyat; dan
II. Berikhtiar untuk mengadakan satu kumpulan wang untuk membangunkan Sekolah-sekolah Agama Rakyat.

Dalam perjumpaan pada 22 Mei 1952 ini, semua pimpinan sekolah agama rakyat yang hadir telah bersetuju supaya Dewan Ulamak PAS dapat menyatukan sekolah agama rakyat dengan segera kerana masalah pentadbiran yang tidak selaras dan sukatan pelajaran yang berbeza telah menyebabkan lepasan sekolah agama rakyat tidak mempunyai kebolehan yang sama. Mereka juga bersetuju supaya satu dana pelajaran diwujudkan untuk membantu membangunkan sekolah agama rakyat dalam semua aspek. Ketika membahaskan perkara kumpulan wang untuk sekolah agama rakyat ini, seorang ulamak terkenal, Sheikh Ali Balderam mencadangkan supaya Dewan Ulamak PAS berunding dengan Raja-raja Melayu bagi mendapatkan dana tersebut, tetapi pandangan ini ditolak oleh Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan kerana berpandangan "kita tak usah minta pertolongan dan mengharap-harapkan bantuan Raja-raja Melayu kerana selalu permintaan kita itu hampa dan kecewa."

Kerana pendirian yang ambil dalam perjumpaan ini, Dewan Ulamak PAS telah mengadakan kutipan derma daripada umat Islam dan menjual tulisan khat untuk mengisi dana Sekolah Agama Rakyat. Pada 14 Jun 1952, Dewan Ulamak PAS telah mengadakan kutipan derma dan jualan tulisan khat dari kedai ke kedai di Bandar Pulau Pinang dengan disertai sendiri oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Sheikh Abdullah Fahim, selain Ustaz Haji Ahmad Maliki (Setiausaha Agung PAS), Haji Sulaiman Palestin dan Mohamad Hanif.

Usaha serius Dewan Ulamak PAS untuk membantu sekolah agama rakyat telah mendapat pujian dari media massa yang menyifatkan ini adalah bukti penubuhan PAS adalah "adalah untuk kepentingan Islam, bukan individu tertentu." Bertolak dari itu juga, terdapat suara-suara supaya PAS mengambil alih usaha penubuhan Kolej Islam Malaya. Pada 3 Julai 1952, seorang pembaca Warta Negara dari Melaka mencadangkan demikian setelah Jam'iyatul Dakwatul Islamiyah Singapura dan Umno gagal berbuat demikian. Dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 21-22 Februari 1950, isu penubuhan Kolej Islam Malaya ini telah menjadi salah satu resolusinya.

21 Mei 2016

21 Mei 2007 : Presiden PAS Dedahkan Usaha Barat Hancurkan Gerakan Islam

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2007, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mendedahkan peranan yang sedang dimainkan oleh Barat, terutama CIA menerusi Rand Corporation untuk melemahkan gerakan Islam di seluruh dunia, termasuk PAS. Beliau mendedahkan demikian dalam satu temuramah dengan wartawan Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan Mohd Rashidi Hassan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut. Presiden PAS itu memberi tahu, konflik kepemimpinan yang berlaku dalam PAS dan perebutan jawatan utama dalam parti adalah kesan dari tindakan "musuh-musuh Islam antarabangsa yang turut memainkan peranan aktif" terutama oleh badan yang ditaja oleh Barat, diwujudkan oleh CIA, iaitu Rand Corporation."

Rand Corporation adalah sebuah kumpulan pemikir dasar global Amerika Syarikat (AS) yang ditubuhkan pada 1948, kemudian menjadi pemikir utama dasar luar AS sejak berakhir Perang Dingin serta pertembungan baru Barat dan Islam dalam teori The Clash of Civilization. Dalam menghadapi kebangkitan gerakan Islam, laporan Rand Corporation pada 2003 yang bertajuk Civil Democratic Islam telah membahagikan umat Islam kepada empat golongan iaitu fundamentalis, tradisionalis, modernis dan sekularis. Mereka merancang untuk memperalatkan kelompok tradisionalis dan modernis bagi menghadapi fundamentalis, iaitu kumpulan yang dikatakan menentang budaya demokrasi Barat dan mahu menegakkan negara Islam yang melaksanakan syariat.

Pada 16 Mac 2006, Rumah Putih telah menerbitkan National Security Strategy yang menjelaskan strategi AS untuk menghadapi Islam. Pada 2007, Rand Corporation menerbitkan laporannya yang bertajuk Building Moderate Muslim Network yang mengatur strategi mengukuhkan kedudukan golongan moderate liberal dalam masyarakat Islam yang dikatakan tidak seimbang dalam menghadapi kemaraan gerakan Islam 'fundamentalis' yang mahu menegakkan Islam kaffah. Rand Corporation telah menyenaraikan ciri-ciri golongan Muslim moderat liberal yang akan mendukung rancangan mereka seperti pendukung demokrasi, pejuang hak asasi manusia, kebebasan agama dan kesetaraan gender, pendukung pluralisme, golongan yang menerima sumber hukum bukan mazhab dan penentang terorisme.

Antara strategi yang disusun oleh mereka ialah menyokong gerakan modernis Islam yang mempromosi fahaman Islam liberal, melagakan kelompok fundamentalis dengan golongan tradisional dalam isu agama termasuk mazhab, menentang perjuangan fundamentalis dalam menegakkan negara Islam dan mendukung sekularisme. Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Barat bertujuan untuk mewujudkan kebebasan demokrasi tanpa syariat kepada umat Islam seperti yang dilakukan terhadap negara komunis. Usaha Barat mewujudkan Islam moderat adalah untuk merosakkan aqidah dan syariat Islam melalui kelompok yang dipanggil Islam Liberal atau Post Islamism. Mereka mahu mewujudkan parti Islam yang didukung oleh Muslim sekular melalui parti Islam pro agenda demokrasi sekular Barat.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi turut mendedahkan bahawa sejak kebangkitan Islam pada awal 1990-an, golongan berpendidikan Barat mula bersama gerakan Islam termasuk PAS untuk tegakkan syariat secara menyeluruh. Barat bertindak balas dengan mewujudkan jurang ulamak dan bukan ulamak (profesional) yang akhirnya memecahkan kepemimpinan gerakan Islam. Beliau mengingatkan ahli-ahli PAS supaya peka dengan strategi Barat ini, kerana ahli-ahli yang tidak peka akan terpengaruh dan menjadi alat kepada strategi Barat ini. Tend perebutan jawatan utama dalam parti sejak alaf baru ini, menurut Presiden PAS itu juga adalah kesan dari strategi Barat ini.

20 Mei 2016

20 Mei 1964 : Dewan Rakyat Lulus Usul Takziah Kepada Prof. Zulkifli Mohammed

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1964, Dewan Rakyat telah menerima dan membahas usul Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra untuk merakamkan ucapan takziah dan berduka cita di atas kematian Ahli Parlimen Bachok, Prof Zulkifli Mohammed yang juga Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Dalam usulnya, Perdana Menteri menyifatkan kematian mengejut dalam kemalangan jalan raya ini sebagai satu kehilangan besar kepada negara kerana beliau telah memberikan sumbangan besar kepada kemajuan demokrasi berparlimen di Malaysia.

Prof Zulkifli Mohammed yang dilahirkan di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar pada 22 Mac 1927 telah mendapat pendidikan tinggi di Mesir dan pernah mengikuti pengajian haraki di bawah bimbingan asy-Syahid Ustaz Hassan al-Banna antara 1947-1949, sebelum menyertai PAS pada Mei 1955. Bekas Setiausaha dan Pensyarah Kolej Islam Malaya ini dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pada 25 Disember 1956 dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Bachok dalam Pilihan Raya Umum 1959. Dalam Pilihan Raya Umum pada 25 April 1964, beliau berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bachok, tetapi terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Gambang, Kuantan pada 6 Mei 1964 bersama isterinya, Ustazah Asiah Kamaruddin yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Kematian Prof Zulkifli Mohammed ini telah mengejutkan seluruh negara kerana beliau terkenal sebagai seorang ahli parimen yang lantang dan sangat komited dengan isu-isu rakyat. Beliau sangat fokus terhadap isu Islam, ketuanan Melayu, bahasa, pendidikan, industri kecil, pekebun getah, pembangunan luar bandar, ISA, Palestin, pelarian Algeria dan lain-lain. Beliau terkenal kerana ucapannya selama empat jam di Dewan Rakyat ketika membahaskan isu penubuhan Malaysia.

Mengenangkan pemergian beliau, pada 20 Mei 1964, Perdana Menteri telah mengemukakan satu usul takziah dan berduka cita kepada beliau. Turut membahaskan usul ini bagi melahirkan simpati dan takziah ialah Tan Siew Sin (MCA - Melaka Tengah) yang juga Menteri Kewangan, Dato' V.T Sambathan (MIC - Sungai Siput) merangkap Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekomunikasi, Lee Kwan Yew (PAP - Singapura) yang juga Perdana Menteri Singapura, Tan Chee Khoon (SF - Batu), D.R Seenivasagam (PPP - Ipoh), Dr Haji Megat Khas (Umno - Kuala Kangsar), Dr Lim Chong Eu (UDP - Tanjung), Wan Abdul Kadir Ismail (Umno - Kuala Terengganu Utara) dan Lim Huan Boon (Parti Buruh Singapura - Singapura).

Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Haji Muda (Pasir Puteh) ketika berucap mewakili PAS dalam membahaskan usul ini menyifatkan kematian Prof Zulkifli Mohammed sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada PAS, tetapi juga kepada seluruh Parlimen kerana beliau adalah Ahli Parlimen yang sangat bertanggungjawab dalam menjalankan tugas. PAS juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana prihatin dengan masa depan anak-anak beliau.

Usul ini kemudiannya diluluskan oleh Dewan Rakyat yang diikuti oleh tafakur kerana menghormati kematian beliau. Usul Dewan Rakyat berbunyi, "Bahawa Majlis ini berhasrat merakamkan perasaan kehilangan besar dan duka cita yang amat sangat atas kematian Enche' Zulkiflee bin Muhammad." Pada 11 Julai 1964, Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra telah menganugerahkan bintang Dato' Paduka Mahkota Kelantan (DPMK) yang membawa gelaran Dato'.

19 Mei 2016

19 Mei 1986 : PAS Sabah Ditubuhkan Semula

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1986, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa telah merasmikan penubuhan semula PAS Sabah, setelah Persatuan Islam Seluruh Sabah (PAS Sabah) yang ditubuhkan pada Ogos 1963 lumpuh kerana pelbagai faktor ketika itu. Penubuhan semula PAS di Sabah ini telah membolehkan PAS mengembangkan sayapnya ke Malaysia Timur di bawah pimpinan Haji Hamzah Abdullah selaku Pesuruhjaya PAS Sabah yang dilantik mulai 14 Jun 1986.

Penubuhan semula PAS di Sabah ini adalah bertolak dari isu Kristianisasi yang berkembang di Negeri Bawah Bayu ini setelah parti Berjaya tewas kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 1985. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 28 April 1985 telah memberikan perhatian kepada kedudukan tokoh Kristian, Joseph Pairin Kitingan yang dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah yang baru. Ekoran dari itu, pada 25 Mei 1985, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju supaya PAS dikembangkan semula di Sabah bagi menangani masalah Kristianisasi.

Sejak PAS Sabah ditubuhkan pada Ogos 1963, PAS Sabah telah menjadi badan gabungan PAS, tetapi kerana isu konfrantasi Indonesia dan tuntutan Macapagal, PAS agak sukar bergerak kerana PAS sendiri mempunyai pendirian menentang penubuhan Malaysia. Pada 16 Ogos 1969, Ketua Menteri, Tun Datu Mustapha Harun telah menubuhkan USIA yang memainkan peranan dakwah di Sabah yang sekali gus melemahkan pergerakan PAS. Penglibatan PAS dalam Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973 yang turut disertai oleh Perikatan Sabah kemudiannya melenyapkan PAS di Sabah.

Faktor Kristianisasi yang tercetus melalui kemenangan PBS pada 1985 telah menyebabkan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 13 April 1986 telah menghantar peninjau dan merundingkan penubuhan PAS di Sabah dengan segera. Setelah berjaya mengadakan penaja untuk menubuhkan PAS di Sabah, pada 19 Mei 1986, PAS Sabah berjaya dilancarkan secara rasmi oleh Pak Yusof Rawa. Pembentukan Badan Perhubungan PAS Sabah hanya dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14 Jun 1986 dengan mengesahkan perlantikan yang dibuat dalam perjumpaan ahli-ahli PAS Sabah pada 19 Mei 1986 ini.

Pada peringkat awal, perkembangan PAS di Sabah lebih tertumpu kepada beberapa kawasan utama seperti Tawau, Sandakan, Kudat dan Gaya, serta banyak digerakkan oleh ahli-ahli PAS dari Semenanjung yang bekerja di Sabah. Selepas 1998, PAS mulai berkembang di tempat-tempat lain di bawah pimpinan beberapa Pesuruhjaya PAS seperti Haji Hamzah Abdullah (1986-1989), Haji Mohamad Abdullah (1989-2001 dan 2004-2011), Dr Datu Bandira Datu Alang (2001-2004) dan Haji Aminuddin Aling sejak 2011.

18 Mei 2016

18 Mei 2015 : PAS Kemuka Usul Rang Undang-undang Persendirian Untuk Perkasakan Syariat Islam

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2015, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengemukakan satu usul untuk membolehkan beliau mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355. Pindaan ini bertujuan untuk membolehkan Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah yang wujud di Kelantan sejak 1993. Ini adalah kali kedua Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berbuat demikian setelah percubaan pertamanya dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 Mac hingga 9 April 2015 tidak sempat dibahaskan, walaupun pada 4 April 2015, Presiden PAS itu merayu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membolehkan PAS berbuat demikian.

Tindakan PAS mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 yang bersidang pada 18 Mei hingga 18 Jun 2015 ini adalah sebahagian dari langkah PAS untuk . melaksanakan syariat setelah Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 berjaya dipinda pada 19 Mac 2015. Melalui pindaan Akta 355, Kelantan dapat melaksanakan hukuman bagi empat daripada tujuh kesalahan hudud, manakala bakinya melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan juga Kanun Keseksaan.

Usul untuk membentangkan Rang Undang-undang Persendirian ini telah memberikan beberapa kesan kepada perjuangan PAS, terutama untuk melihat kesungguhan PAS dalam menegakkan syariat, menilai tahaluf siyasi Pakatan Rakyat dan kesetiaan ahli-ahli kepada perjuangan Islam. Antaranya tindakan empat individu - Mansoor Saat, Azie Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin - yang membawa isu ini ke mahkamah. Walau bagaimanapun, pada 9 November 2015, Mahkamah Tinggi telah memutuskan Ahli Parlimen Marang berhak mengemukakannya di Dewan Rakyat.

Berbanding cabaran dari luar, PAS turut menerima tekanan dari rakan Pakatan Rakyat apabila DAP yang berkeras menentang hudud sejak sekian lama, telah membuat keputusan dalam Persidangan Kebangsaan DAP pada 14 Disember 2014 untuk menolak hudud Kelantan sebulat suara. Ekoran itu, pada 8 Februari 2015, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat memutuskan supaya PAS mendapat kebenaran terlebih dahulu sebelum rang undang-undang ini dikemukakan di Parlimen. Sedangkan DAP telah menolaknya dalam siri-siri taklimat yang dibuat oleh PAS. Apabila DUN Kelantan meluluskan pindaan pada 19 Mac 2015, DAP telah bertindak menentangnya.

Bertindak daripada isu ini, sekumpulan ahli PAS telah berpegang bahawa hudud tidak perlu dilaksanakan lagi, dengan sokongan parti tertentu telah bertindak memburuk-burukkan Presiden PAS dalam satu kempen terancang. Akibatnya, berlaku pertembungan dalam kepemimpinan PAS antara kelompok yang bertegas mahu syariat dilaksanakan dengan kelompok yang berdolak-dalih terhadap syariat. Kemuncak pertembungan ini ialah pecahnya PAS selepas Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 di Kuala Selangor.

17 Mei 2016

17 Mei 1953 : PAS Bincang Adakan Kongres Pemuda Islam Bagi Tubuhkan Dewan Pemuda PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1953, Jawatankuasa Tadbir (sekarang Jawatankuasa Harian) PAS telah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan langkah-langkah ke arah mengadakan Kongres Pemuda Islam Se-Malaya bagi menubuhkan Dewan Pemuda PAS. Kongres ini direncanakan untuk diadakan pada 29 Ogos 1953, iaitu sehari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua di Madrasah al-Ulum as-Syar'iyah, Bagan Datoh, Perak, tetapi telah diawalkan ke 25 Ogos 1953 kerana PAS mengawalkan Mesyuarat Agung Tahunannya.

Bagi tujuan mengadakan kongres ini, pada 2 Julai 1953, Jawatankuasa Tadbir PAS telah mengadakan satu perjumpaan pemuda-pemuda Islam di Madrasah al-Khairiyah, Pokok Sena dan membentuk Panitia Kongres yang diketuai oleh Mudir Madrasah al-Ulum as-Syar'iyah, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad dengan pemuda-pemuda PAS Cawangan Hilir Perak dan Dewan Penuntut al-Ulum yang diketuai oleh Saim Yunus sebagai ahli-ahli jawatankuasanya. Pada 26 Julai 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan persiapan terakhir kongres ini dan meluluskan Peraturan Dewan Pemuda PAS untuk dibawa ke Kongres.

Sejarah Dewan Pemuda PAS telah bermula apabila Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah Fahim pada 23 Mac 1952 telah membawa usul kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil yang dinamakan sebagai Dewan Pemuda Islam bagi menggerakkan pemuda PAS. Jawatankuasa Kerja Agung PAS dalam mesyuarat pertamanya pada 3 April 1952 telah meluluskan cadangan ini dengan tujuan untuk menggalakkan pemuda Islam mengambil bahagian dalam kemasyarakatan, membentuk kesopanan dan akhlak Islam, menghidupkan kecintaan kepada agama dan menjadikan pemuda sebagai tulang belakang perjuangan PAS. Haji Ahmad Badawi kemudiannya dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda Islam.

Hasrat PAS untuk mewujudkan Dewan Pemuda PAS supaya "Persatuan Islam (PAS) akan dapat bergerak dengan luas dan lebih majunya" telah dimaklumkan kepada media massa pada 10 Disember 1952. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953 di Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, usul untuk menubuhkan Dewan Pemuda PAS telah diluluskan. Mesyuarat Agung Tahunan PAS itu juga telah memasukkan Dewan Pemuda PAS sebagai jentera penggerak utama perjuangan kemerdekaan negara dalam Program Politik PAS.

Atas asas yang kukuh inilah, Jawatankuasa Tadbir PAS pada 17 Mei 1953 menyusun rancangan untuk menganjurkan Kongres Pemuda Islam Se-Malaya yang berjaya diadakan pada 25 Ogos 1953, di mana pada 13 Julai 1953, Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang telah menghantar pekeliling kepada seluruh Cawangan PAS supaya "menghantar pemuda-pemuda berjiwa Islam" untuk menjayakan kongres yang disertai oleh 300 pemuda ini. Dalam kongres ini, dua agenda telah berjaya diselesaikan iaitu meluluskan Peraturan Dewan Pemuda PAS yang menandakan tertubuhnya Dewan Pemuda PAS secara rasmi dan melantik Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS. Ustaz Othman Abdullah dari Hilir Perak telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama.

16 Mei 2016

16 Mei 1956 : Wakil Rakyat PAS Bahas Penyata Razak Di Majlis Undangan Persekutuan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1956, wakil rakyat PAS Kawasan Krian, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah mengambil bahagian dalam membahaskan Penyata Razak, iaitu sebuah penyata pelajaran di Majlis Undangan Persekutuan. Dalam perbahasan ini, PAS telah menyokong cadangan Penyata Razak untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Selain melihat bahasa Melayu sebagai mekanisme perpaduan nasional, PAS juga mencadangkan supaya semua sekolah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Penyata Razak ialah sebuah penyata pelajaran yang bertujuan untuk menjadikan pendidikan sebagai alat penyatuan rakyat yang bersifat majmuk di negara ini, mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menjaga perkembangan bahasa lain. Jawatankuasa Penyiasat Pelajaran yang ditubuhkan oleh kerajaan ini diketuai oleh Menteri Pelajaran, Datuk Abdul Razak Hussein. Mereka telah membuat kajian semula terhadap Ordinan Pelajaran 1952 ekoran penolakan kaum-kaum terhadap Laporan Barnes 1951 dan Laporan Fenn-Wu 1952. Laporan Barnes 1951 telah ditolak oleh orang Cina dan India kerana mewujudkan satu sistem sekolah kebangsaan sahaja, sedangkan Laporan Fenn-Wu pula ditolak oleh orang Melayu kerana merendahkan kedudukan bahasa Melayu dalam pendidikan. Penyata Razak ini mencari formula untuk meredakan kemarahan semua kaum.

Dalam persidangan Majlis Undangan Persekutuan pada 14 Mac 1956, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah membangkitkan isu laporan kajian pelajaran yang dibuat oleh Jawatankuasa Razak, selain turut membangkitkan bantuan subsidi kepada sekolah agama rakyat. Hasil, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Penyiasat Bantuan Sekolah Agama ditubuhkan, diikuti oleh pembentangan Penyata Razak pada 15 Mei 1956 di dewan legislatif itu dengan tujuan untuk menggabungkan penyata ini dalam Sesyen 3, Ordinan Pelajaran 1952 dan membentuk Ordinan Pelajaran 1957.

Ketika membahaskan Penyata Razak ini, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin selaku wakil tunggal pembangkang di Majlis Undangan Persekutuan, tidak lagi membangkitkan isu sekolah agama rakyat yang telah ditangani oleh Jawatankuasa Penyiasat Bantuan Sekolah Agama walaupun wakil Perikatan seperti Raja Musa Raja Mahadi dan Sheikh Ahmad Hashim, sebaliknya wakil PAS itu telah membangkitkan beberapa perkara:

I. Menyokong Penyata Razak dalam mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan dan bahasa kebangsaan;
II. Mempertegaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan nasional;
III. Mencadangkan supaya semua sekolah diwajibkan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kerana bangsa imigran tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik; dan
IV. Mempersoalkan kegagalan kerajaan menyediakan bantuan subsidi kepada sekolah-sekolah persendirian terutsmanya yang menghadapi masalah kewangan dan bakal ditutup.

Mengingatkan Kerajaan Malaya tentang masalah pendidikan ini, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin menyebutkan, "we know in a sweet fruit, such as the chiku, they may be worms inside it which may destroy the seed. Here we must be really alert so that we may not suffer defeat in time to come." Setelah PAS menyokong Penyata Razak untuk diluluskan pada 16 Mei 1956, ia telah dikenali sebagai Ordinan Pelajaran 1957 dan terus menjadi dasar pelajaran negara sehingga Penyata Rahman Talib dikemukakan pada 1960. Tarikh 16 Mei ini juga dijadikan asas sembutan Hari Guru di Malaysia kerana memperingati Penyata Razak.

15 Mei 2016

15 Mei 1956 : Permit Akhbar Rasmi PAS 'Suara Islam' Diluluskan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1956, permit penerbitan lidah rasmi PAS, 'Suara Islam' telah diluluskan oleh Kerajaan Malaya untuk membolehkan PAS menyampaikan suara perjuangan Islam kepada rakyat. Sebelum ini, pada 1953, PAS pernah menerbitkan majalah 'PAS' sebanyak dua keluaran bermula 31 Mei 1953, tetapi terhenti kerana krisis kepemimpinan pada akhir 1953. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954, satu resolusi supaya PAS menerbitkan suara rasmi telah diluluskan.

Usul ini adalah lanjutan dari keputusan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953 yang mahukan PAS menerbitkan 'Suara PAS,' tetapi ekoran terhentinya penerbitan majalah PAS pada akhir 1953, mereka mahu Suara PAS diterbitkan semula. PAS kemudiannya telah beberapa kali memohon permit penerbitan kepada kerajaan, sehingga Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 13-14 Januari 1956 memutuskan nama lidah rasmi PAS ialah 'Suara Islam,' dan akan diterbitkan sebaik sahaja memperolehi permit dari kerajaan.

Setelah permohonan PAS diluluskan oleh Kerajaan Malaya pada 15 Mei 1956, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 30 Jun 1956 telah melantik Mohd Asri Haji Muda sebagai Pengurus merangkap Ketua Pengarang Suara Islam dengan pengawasan Jawatankuasa Penerangan PAS. Turut dilantik ialah Ustaz Amaluddin Darus sebagai Penolong Pengarang, sebelum Jemaah Pentadbir Suara Islam iaitu Ustaz Ishak Lotfi Omar (Bendahari), Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim, Mohd Daud Salleh dan Haji Mohd Nor Yusof (Anggota).

Untuk menerbitkan Suara Islam, Jemaah Pentadbir bukan sahaja menghadapi masalah kewangan yang bergantung kepada sumbangan ahli-ahli PAS, tetapi mereka juga menghadapi masalah percetakan kerana semua syarikat pencetak tidak sanggup mencetaknya. Akhirnya, PAS terpaksa mengadakan percetakannya sendiri. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima, telah diputuskan supaya PAS mendirikan percetakannya sendiri dengan sumbangan wajib setiap ahli PAS. Atas usaha bersungguh-sungguh dan pengalaman dalam dunia penerbitan yang dimiliki oleh Jemaah Pentadbir, akhirnya Suara Islam berjaya diterbitkan pada akhir 1956.

Edisi pertama Suara Islam diterbitkan pada 17 Disember 1956 dengan menyiarkan ucapan Prof Zulkifli Mohamed yang menggariskan dasar-dasar perjuangan PAS. Edisi keduanya diterbitkan pada 15 Januari 1957, manakala edisi ketiga yang diterbitkan pada 15 Februari 1957 telah membuat liputan terhadap Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima pada 23-25 Disember 1956, iaitu yang terakhir bagi Dr Haji Abbas Alias sebagai Yang Dipertua Agung PAS di mana Ucapan Dasar PAS 1956 itu disiarkan sepenuhnya. Akhbar bersaiz majalah telah diterbitkan sehingga 1962.

14 Mei 2016

14 Mei 1954 : Parti Perikatan Bertemu Lyttleton Untuk Segerakan Pilihanraya Dengan Sokongan PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1954, wakil National Convention (tajaan Umno-MCA), Tunku Abdul Rahman Putra, Datuk Abdul Razak Hussein dan T.H Tan telah bertemu dengan Setiausaha Tanah Jajahan British, Oliver Lyttleton di London untuk membincangkan soal pilihan raya segera dengan sokongan kuat daripada PAS. Rombongan Pilihan Raya ke London ini bertujuan untuk menuntut agar Kerajaan British mengadakan pilihan raya segera di Malaya ke arah pembentukan kerajaan sendiri sebelum mencapai kemerdekaan.

Rombongan ini mewakili National Convention yang turut disertai oleh PAS mulai 23 Ogos 1953, sebelum PAS berkecuali pada 25 Disember 1953. Walaupun PAS berkecuali, tetapi PAS mempunyai pendirian untuk menyokong tuntutan pilihan raya segera ini. Perjuangan menuntut pilihan raya segera ini telah menyebabkan PAS menyertai National Conference pada 27 April 1953 dan National Convention pada 23 Ogos 1953, tetapi Mesyuarat Agung Khas PAS pada 26 September 1953 memutuskan PAS bersama National Convention.

Penglibatan PAS bersama National Convention telah mengalami kebuntuan apabila tuntutan PAS tentang penambahan wakil ekonomi Melayu dalam Majlis Undangan Persekutuan dan menentang pemberian hak mengundi secara jus soli telah ditolak oleh National Convention pada 11 Oktober 1953. Ini menyebabkan PAS berkecuali dari National Convention tetapi kekal menyokong perjuangan menuntut pilihan raya segera. Sebagai sokongan kepada tuntutan ini, PAS telah mengemukakan satu memorandum kepada Rombongan ke London.

Menurut Setiausaha Penerangan PAS Pusat, Abdullah Akin pada 3 Mei 1954, walaupun PAS kecewa dengan pendirian National Convention, tetapi PAS menyediakan satu memorandum untuk dikemukakan kepada British. Menurut Pemangku Setiausaha Agung PAS, Mohd Asri Haji Muda, memorandum ini mengingatkan Rombongan ke London tentang hak ketuanan bangsa Melayu ke atas negara ini dan ia mesti dipertimbangkan dalam soal memberi hak kerakyatan dan hak mengundi secara jus soli. Setiausaha Rombongan ke London, T.H Tan mencatatkan bahawa PAS adalah antara parti politik yang menyokong tuntutan yang di bawa ke London ini.

Di sebalik penolakan National Convention terhadap cadangan PAS pada 11 Oktober 1953, apabila Jawatankuasa Khas 46 Anggota yang mengkaji soal pilihan raya segera mengemukakan laporannya (Kertas Putih Bil. 1, 1954) pada 1 Februari 1954 dengan 'persetujuan' Perikatan Umno-MCA, telah menerima tentangan kuat daripada ahli-ahli Umno sehingga Perikatan meminta untuk berunding semula dengan British. Pada 13 April 1954, British telah menolak permintaan Perikatan yang menyebabkan Umno mengadakan Mesyuarat Agung Khas pada 18 April 1954 dan bersetuju menghantar Rombongan ke London untuk berunding tentang pilihan raya segera. PAS mengambil kesempatan ini untuk memberi sokongan kepada rombongan tersebut dan menyerahkan memorandum nya sebelum rombongan ini bertolak ke London pada 21 April 1954 dan bertemu dengan Lyttleton pada 13 Mei 1954.

13 Mei 2016

13 Mei 1984 : PAS Lancar Kutipan Derma Untuk Pembinaan Markaz Tarbiyah PAS Pusat Di Taman Melewar

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1984, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah mengeluarkan senarai derma-derma yang telah berjaya dikumpulkan untuk tujuan pembinaan Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar kepada seluruh Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri, Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri-negeri, PAS Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan PAS di seluruh negara. Bagi tujuan pembinaan Kompleks Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini, PAS menganggarkan akan menelan belanja sebanyak RM75,000 yang akan diperolehi melalui sumbangan ahli-ahli PAS. Namun begitu, sehingga 21 Julai 1985, pembinaan ini telah menelan belanja sebanyak RM85,000 walaupun ia dibina secara gotong-royong oleh ahli-ahli PAS Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Markaz Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar ini telah bermula sejarahnya apabila tanah milik PAS Terengganu yang diperolehi sejak 1976 telah dicadangkan untuk dibangunkan sebagai pusat tarbiyah PAS, sebelum beberapa lot sekiranya dibeli oleh PAS untuk memperkasakan kawasan tersebut. Mengikut rancangan asal PAS sejak 1970-an, PAS bercadang memiliki sebuah Kompleks PAS di ibu kota, tetapi rancangan tersebut tidak dapat dilaksanakan sehingga PAS terpaksa menyewa dan berpindah-randah sekitar Jalan Pahang sejak akhir 1970-an.

Antara bangunan yang pernah dicadangkan untuk dijadikan Kompleks PAS ialah Rumah Awang Alak Betatar milik Kerajaan Brunei di Jalan Ampang, sebelum PAS merancang membina bangunan 17 tingkat berhampiran Pasar Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 1977, tetapi cadangan ini juga dibatalkan kerana PAS memerlukan kawasan yang lebih luas untuk kompleks tersebut. Tanah di Kampung Changkat (Taman Melewar) yang diperolehi serentak dengan tapak bangunan PAS di Chow Kit kemudiannya menjadi pilihan PAS. Untuk tujuan tersebut, tanah yang dimiliki atas nama Ustaz Harun Jusoh bagi pihak PAS Terengganu telah diserahkan kepada PAS Pusat.

Pada 6 November 1983, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah memulakan kutipan derma untuk satu projek pembinaan yang dianggap mustahak dan perlu disegerakan. Pembinaan markaz ini telah dimulakan sejak Jun 1984 secara gotong-royong dengan derma dan sumbangan ahli-ahli PAS serta pemantauan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS sehingga fasa pertama berjaya disiapkan pada awal 1987.

Menurut Ustaz Hassan Shukri, pada peringkat awal iaitu ketika masih dalam pembinaan pada 1984, markaz ini telah menjadi tapak ceramah PAS. Apabila fasa pertama siap, ia telah dijadikan venue Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33 pada 11-12 April 1987. Lima bulan kemudian, pada 5 September 1987, Pejabat Agung PAS yang terletak di Jalan Pahang Barat telah dipindahkan ke Markaz Tarbiyah PAS Pusat, diikuti oleh pejabat Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat. Pejabat Agung PAS kekal di markaz ini selama 20 tahun sebelum ia berpindah ke Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur mulai 23 Mac 2007.

Ekoran rancangan perpindahan Pejabat Agung PAS ini, sejak 2006, Dewan Ulamak PAS Pusat telah menubuhkan Majlis Pendidikan PAS Peringkat Kebangsaan (MPPPK) yang dipimpin oleh Dato' Ustaz Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat bagi merancang mengambil alih markaz ini untuk dijadikan sebuah pusat pendidikan Tinggi Islam yang dinamakan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamed (KUIZM). Pengubahsuaian markaz yang bermula sebaik sahaja perpindahan ini telah siap pada Jun 2010 dan memulakan pengambilan pelajar pada sesi Julai 2010. Kini Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini menempatkan dua institusi pendidikan PAS iaitu KUIZM dan Institut Latihan Kepemimpinan Dakwah Islamiyah (ILHAM).

12 Mei 2016

12 Mei 1990 : PAS Kaji Isu Tahalluf Dengan Orang Bukan Islam Ekoran Hubungan PAS Dengan DAP

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1990, Jawatankuasa Khas PAS untuk mengkaji hukum tahaluf dengan bukan Islam telah mengadakan perbincangan (muzakarah) untuk menentukan hubungan politik atau tahaluf siasi PAS dengan DAP. Jawatankuasa Pengkaji Tahaluf Siasi yang dipengerusikan oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri ini turut dianggotai oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Azizan Abdul Razak, Ustaz Harun Taib, Ustaz Mohd Akhir Yaakub dan Ustaz Ahmad Zaki Ibrahim. Jawatankuasa ini ditubuhkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS untuk mengkaji dengan teliti perkara tersebut.

Isu tahaluf dengan bukan Islam telah timbul ekoran pendirian PAS untuk membentuk kerjasama dengan serpihan Umno, Semangat 46, dan juga serpihan PAS, Berjasa dan Hamim melalui kerjasama PAS-APU sejak April 1989. Ketika proses pembentukan kerjasama ini sedang berjalan, Semangat 46 pada 9 Disember 1989 telah mengumumkan kerjasama mereka dengan DAP yang menyebabkan timbul polemik politik yang baru, bahawa PAS mempunyai hubungan politik tidak langsung dengan DAP. Keadaan ini memaksa Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 17 Februari 1990 untuk menganjurkan muzakarah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat berkait isu hubungan PAS-DAP ini pada 19-20 Mac 1990. Satu kertas akan dibentangkan bersama oleh ahli-ahli Majlis Syura Ulamak PAS iaitu Ustaz Hassan Shukri, Ustaz Azizan Abdul Razak, Ustaz Harun Taib, Ustaz Idris Omar dan Ustaz Mohd Akhir Yaakub. Muzakarah ini walau bagaimanapun gagal dilaksanakan kerana berlakunya Pilihan Raya Kecil DUN Pantai Merdeka pada 24 Mac 1990.

Kegagalan mengadakan muzakarah ini, telah menyebabkan Jawatankuasa Khas Pengkaji Tahaluf Siasi dibentuk untuk menentukan pendirian PAS. Pendirian asal PAS adalah menolak kerjasama atau dikaitkan dengan DAP termasuk dalam kerjasama dengan APU, tetapi Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mempertegaskan bahawa kerjasama dengan APU diteruskan. Ekoran konflik kerjasama Semangat 46-DAP dan PAS-APU ini, maka Jawatankuasa Khas Pengkaji Tahaluf Siasi telah mengadakan muzakarah pada 12 Mei 1990 di mana beberapa kertas kerja telah dibentangkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Mohd Akhir Yaakub, Ustaz Azizan Abdul Razak dan Ustaz Ahmad Zaki Ibrahim, sebelum dibuat komentar oleh Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Harun Taib. Seluruh perbincangan dan resolusi muzakarah ini kemudiannya telah dikemukakan secara bertulis kepada Majlis Syura Ulamak PAS oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas, Ustaz Hassan Shukri.

Di antara rumusan penting tentang hukum mengadakan tahaluf siasi dengan orang bukan Islam, termasuk DAP ialah:

I. PAS diharuskan bekerjasama dengan mana-mana orang bukan Islam dalam mempertahankan kebenaran, menolong orang-orang yang dianiaya, menjatuhkan sistem yang zalim dan mewujudkan keamanan dalam negara;

II. Tahaluf PAS dalam pilihan raya dengan bukan Islam dibolehkan dengan syarat berikut:
a. Orang bukan Islam tidak diberi hak membuat dasar,
b. PAS tidak boleh bertolak ansur dalam soal aqidah dan dasar,
c. PAS diberi peluang untuk menerangkan tentang Islam dan pemerintahan Islam,
d. Mereka (bukan Islam) akan menyokong calon PAS, dan
e. Kerjasama tidak boleh menimbulkan perpecahan dalaman PAS; serta

III. Tahaluf tidak langsung (halifulhalif) juga diharuskan bagi menjadikan mereka tidak bermusuhan dengan PAS dan membolehkan PAS memusatkan gerak kerja kepada musuh yang sama.

Ketika Laporan Jawatankuasa Khas Pengkaji Tahaluf Siasi ini dikemukakan kepada Majlis Syura Ulamak PAS, ia telah diterima sebagai dasar kerjasama PAS dengan tambahan syarat yang dibuat oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa sebarang kumpulan atau parti politik yang tidak bersedia menerima penubuhan negara Islam tidak boleh diterima sebagai rakan tahaluf sama ada halif atau halifulhalif.

11 Mei 2016

11 Mei 1952 : Aktivis UMNO Taja Parti Islam Baru Sekat Perkembangan PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1952, aktivis-aktivis Bahagian Agama Umno telah menaja penubuhan sebuah parti Islam yang baru di Selangor dalam rangka untuk membendung pengaruh PAS di Lembah Kelang. Orang Kaya Haji Pateh Akhir bin Dato' Penggawa Mohd Shah yang pada masa ini adalah Ketua Pejabat Agama Islam Selangor yang juga aktivis Bahagian Agama Umno telah memainkan peranan utama dalam usaha ini. Bahagian Agama Umno merancang untuk mewujudkan sebuah badan agama yang dikuasai Umno setelah gagal menguasai PAS yang ditubuhkan oleh para ulamak dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya anjuran Umno pada 23 Ogos 1951.

Sejak PAS mengadakan persidangannya di Bagan Tuan Kechil pada 24 November 1951, PAS mulai berkembang terutama setelah PAS membentuk hubungan dengan Persatuan Ulamak Kedah (PUK) pada 2 Februari 1952, diikuti oleh penubuhan PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang pada 9 Mac 1952. Apabila Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 3 April 1952 memutuskan supaya PAS segera menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh Malaya sebelum 31 Mei 1952, PAS telah berjaya menubuhkan PAS Cawangan Bukit Mertajam pada 20 April 1952 dan PAS Cawangan Perak di Kuala Kangsar pada 26 April 1952. Cawangan PAS kelima di Perlis telah ditubuhkan pada 8 Mei 1952.

Perkembangan pesat PAS ini telah membimbangkan Umno terutama di Kuala Lumpur kerana di sana terdapat beberapa tokoh agama Umno yang aktif bersama PAS. Antaranya termasuklah Faqih Haji Mohd Nor Mohd Zain (Naib Yang Dipertua Agung PAS), Tuan Guru Haji Mohd Nor Mahyudin (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS), Ustaz Abdul Wahab Mohd Nor (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) dan Haji Mas'ud Hayati, seorang aktivis politik kiri. Untuk menyekat perkembangan ini, Haji Pateh Akhir telah menaja satu perjumpaan pada 11 Mei 1952 untuk menubuhkan sebuah parti Islam yang baru, dinamakan sebagai Pertubuhan Kebajikan Islam Selangor.

Walau bagaimanapun, dalam pertemuan pada 11 Mei 1952 ini, seorang wakil umat Islam, Raja Yaakub telah membangkitkan isu perpecahan umat Islam dan mencadangkan supaya pertubuhan kebajikan Islam ini bergabung dengan PAS dan membentuk PAS Cawangan Selangor. Setelah dibahas panjang, usul ini telah ditolak kerana penganjur bermaksud untuk menyekat pengaruh PAS. Ketika mengulas penubuhan badan Islam yang baru ini, Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan mengatakan bahawa ia ditubuhkan dengan tujuan menyekat pengaruh PAS dari berkembang.

Walaupun Umno berusaha menyekat pengaruh PAS dari berkembang di Lembah Kelang, pada 13 Julai 1952, Faqih Mohd Nor telah menganjurkan satu pertemuan umat Islam di Kuala Lumpur dan berjaya menubuhkan PAS Cawangan Kuala Lumpur dengan diketuai oleh Haji Mas'ud Hayati. Bahkan, usaha Umno ini terus gagal apabila PAS berjaya menambahkan cawangannya di Kuala Lumpur dengan menubuhkan PAS Cawangan Sentul dan PAS Cawangan Sungai Penchala sebelum berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953.

10 Mei 2016

10 Mei 1964 : Mohd Asri Haji Muda Dilantik Sebagai Menteri Besar Kelantan Kedua

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1964, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Asri Haji Muda telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang kedua selepas merdeka menggantikan Ustaz Dato' Ishak Lotfi Omar. Badan Perhubungan PAS Kelantan yang bermesyuarat bersama Adun-adun PAS Kelantan pada 3 Mei 1964 telah bersetuju menamakan Mohd Asri sebagai Ketua Kerajaan Negeri Kelantan yang baru untuk menyelesaikan krisis kepemimpinan yang timbul sejak 1961. Dalam Pilihan Raya Umum Kedua pada 25 April 1964, PAS berjaya mempertahankan Kerajaan Kelantan dengan menguasai 21 daripada 30 kerusi DUN.

Mohd Asri yang menyertai PAS sejak 1953 telah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja di Pejabat Agung PAS, Bukit Mertajam sebelum dipilih sebagai Setiausaha Kewangan PAS oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953 dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Tadbir (sekarang Jawatankuasa Harian) PAS pada 11 September 1953. Mulai 27 November 1954, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, kemudiannya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu mulai 14 Januari 1956 dan Pesuruhjaya PAS Kelantan bermula 28 Disember 1957 hingga 8 Januari 1962. Beliau juga merupakan Pengerusi Tetap PAS mulai 27 Disember 1958 sehingga dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS pada 6 Januari 1962.

Mohd Asri yang menggantikan anak saudaranya, Dato' Ishak Lotfi Omar (ibu Dato' Ishak Lotfi, Che Minah Haji Muda ialah kakak Mohd Asri) sebagai Menteri Besar Kelantan merupakan cucu kepada Dato' Maha Menteri Che Saad (Che Ha') bin Penghulu Che Ngah bin Che Tila Derasa, Perdana Menteri Kelantan (1890-1894) di sebelah ibunya, Che Puteh binti Dato' Che Ha'. Penghulu Che Ngah Penambang pula adalah cucu dari sebelah ibunya, Wan Bulat, kepada Dato' Wan Mahmud (Dato' Panglima Perang Lundang) bin Tuan Khamis (Mandur Mis, yang bergelar Engku Mendahari Seri Maharaja Wangsa). Tuan Khamis yang terlibat mengasaskan Dinasti Long Yunus sebagai pemerintah Kelantan pada 1762 telah dilantik sebagai Dato' Lundang, iaitu raja pemerintah Daerah Lundang oleh Sultan Long Yunus. Tuan Khamis sendiri adalah sepupu kepada Long Yunus bin Long Sulaiman bin Long Bahar, kerana ayahnya Tuan Kundur bin Long Bahar bin Wan Daim adalah anak Tuan Besar Long Bahar (Sultan Kelantan 1721-1733) menerusi isterinya, Raja Pah binti Sultan Omar, Sultan Dinasti Jembal terakhir (1675-1721).

Mohd Asri yang dilahirkan di Kampung Masjid, Kota Bharu pada 10 Oktober 1923 telah menerima didikan agama yang awal di kawasan Pondok Masjid Muhammadi kerana ayahnya, Haji Abdul Samad bin Mohd Salleh (terkenal sebagai Haji Muda) tinggal di sana, sebelum beliau memasuki Sekolah Majlis Ugama Islam Kelantan dan Sekolah Melayu Padang Garong. Setelah berkhidmat sebagai guru di Kota Bharu, pada zaman Jepun, beliau terpilih belajar di Marai Koa Kunrensyo, Melaka. Selepas Perang, beliau belajar agama dengan Sheikh Junid Thola di Kampung Lalang, Perak sebelum menjadi guru di Maahad Il Ihya as- Syariff, Gunung Semonggol. Setelah keadaan politik tenang akibat darurat 1948, beliau berkhidmat di Pejabat Agung PAS mulai 1953.

Kemunculan Mohd Asri dalam politik telah bermula sejak sebelum zaman Jepun di mana beliau terlibat dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) Kelantan yang dipimpin abangnya, As'ad Shukri Haji Muda, sebelum menyertai BSPK ketika pendudukan Jepun, kemudiannya aktif dalam Persatuan Melayu Kelantan (PMK) pada 1946 sebagai Penolong Setiausaha, selain menjadi pengarang majalah Penyedar dan wartawan akhbar Majlis. Beliau juga menyertai Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan mengetuai Angkatan Pemuda Insaf (API) Kelantan pada 1946-1947. Penglibatan dalam API membawa beliau berhijrah ke Perak dan aktif dalam Hizbul Muslimin selalu Setiausaha Dewan Pimpinan Hizbul Muslimin pada 1948. Kerana keadaan politik yang tegang, beliau aktif pula dalam bidang persuratan dan bahasa menerusi Lembaga Pembangunan Sastera Perak (LEPAS) mulai 1951.

Dengan latar belakang keluarga dan penglibatan politik yang begitu cemerlang, Mohd Asri yang mendaki kepemimpinan PAS sehingga dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS pada 6 Januari 1962, telah dinamakan oleh PAS pada 3 Mei 1962 sebagai calon Menteri Besar Kelantan yang baru. Sebagai Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, dalam Pilihan Raya Umum 1955, Mohd Asri telah bertanding di kerusi Majlis Undangan Persekutuan kawasan Kelantan Timor, tetapi tewas. Pada Pilihan Raya Umum 1959, beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Pasir Puteh dan Adun Kota Bharu Tengah, iaitu jawatan-jawatan yang kemudiannya berjaya dipertahankan dalam Pilihan Raya Umum 1964. Berikutan itu, pada 9 Julai 1959, beliau dilantik sebagai Speaker DUN Kelantan, sebelum PAS Kelantan pada 2 Julai 1961 menamakan beliau sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan sehingga 1964. Beliau kemudiannya mulai 10 Mei 1964 berkhidmat sebagai Menteri Besar Kelantan hingga 31 Disember 1972, di mana pada awal 1973, beliau dilantik sebagai Menteri Pusat.

09 Mei 2016

09 Mei 2012 : PAS Tidak Bahas Cadangan Pilihanraya Kerajaan Tempatan Oleh DAP

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2012, PAS telah mengambil sikap untuk tidak membahaskan Rang Undang-undang Pilihan Raya Kerajaan Tempatan yang dikemukakan oleh Ahli Exco Pulau Pinang dari DAP, Chow Kon Yeow di DUN Pulau Pinang kerana menjaga keharmonian Pakatan Rakyat (PR). ADUN tunggal PAS di DUN Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man (ADUN Permatang Pasir) yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang telah diarahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali supaya tidak menyertai perbahasan untuk tidak menyokong atau menentang rang undang-undang tersebut kerana ia boleh menjelaskan hubungan PAS dengan rakan PR. PAS tidak mengambil pendirian untuk menyokong undang-undang tersebut di DUN Pulau Pinang kerana Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak terlebih dahulu memaklumkan perkara tersebut kepada PAS untuk mendapat persetujuan.

Isu pilihan raya kerajaan tempatan telah dibangkitkan oleh DAP sejak 1968. Pada awalnya, sejak 1 Disember 1951 telah diadakan pilihan raya kerajaan tempatan bermula di Georgetown City, Pulau Pinang dan ia mula ditangguhkan sementara pada Mac 1963 kerana Konfrantasi Indonesia, dan dimansuhkan melalui Peraturan Kecemasan (Penggantungan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan) 1965. Pada Jun 1965, Kerajaan Pusat telah menubuhkan Suruhanjaya Athi Nahappan untuk mengkaji kedudukan pilihan raya kerajaan tempatan, dan akhirnya pada 1970, Akta Kerajaan Tempatan 1960 dimansuhkan, diganti dengan Akta Kerajaan Tempatan 1973. Kerajaan kemudiannya telah menghapuskan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan yang menandakan Kerajaan Negeri tidak lagi berkuasa mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan, sebaliknya hendaklah melantik ahli-ahli majlis tempatan. Antara faktor utama penghapusan ini ialah konflik antara Dewan Bandaraya Georgetown yang dikuasai Sosialis Front dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam isu Hari Bebas Darurat 1960, diikuti isi rusuhan kaum di bandar pada 13 Mei 1969.

DAP yang menguasai undi orang Cina di bandar-bandar utama telah memperjuangkan isu ini setelah Singapura berpisah dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965. DAP yang mewarisi perjuangan PAP pada 15 Oktober 1968 telah menuntut pilihan raya kerajaan tempatan diadakan semula ketika kempen Pilihan Raya Kecil Segamat Utara. Kemudiannya pada 1 November 2006, Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh menimbulkan semula tuntutan pilihan raya ini sehingga ia dijadikan Manifesto DAP pada 2008. Ekoran pembentukan PR pada 1 April 2008, DAP pada 28 Oktober 2008 telah mengemukakan usul di DUN Selangor supaya diadakan pilihan raya kerajaan tempatan. Pada 23 Mac 2010, SPR telah membuat penjelasan kepada Kerajaan Selangor berkait isu ini. Akhirnya, pada 9 Mei 2012, tanpa mendapat persetujuan PAS sebagai rakan PR, DAP telah mengemukakan Rang Undang-undang Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012, yang kemudiannya pada 14 Ogos 2014, Mahkamah Persekutuan memutuskan enakmen ini tidak sah.

PAS walau bagaimanapun, pada 9 Mei 2012 telah mengambil sikap untuk tidak membantah rang undang-undang tersebut kerana menjaga keharmonian PR atas prinsip 'bersetuju untuk tidak bersetuju.' PAS sebenarnya semenjak awal tidak bersetuju dengan pilihan raya kerajaan tempatan kerana ia boleh menimbulkan perbalahan kaum, tetapi kerana menghormati perjuangan DAP, walaupun ia tidak dibincangkan bagi mendapatkan persetujuan PAS, PAS telah mengambil sikap berdiam diri. PAS tidak mahu isu ini menjadi sebab yang memecahkan PR, kerana beranggapan DAP berhak memperjuangkan agendanya dalam kerajaan yang ditadbir oleh mereka, sebagai sebahagian makna 'bersetuju untuk tidak bersetuju.'

Pendirian PAS dalam mempertahankan PR akhirnya tercabar pada hujung 2015 apabila DAP yang menolak hudud menentang secara terbuka Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan (Pindaan) 2015 walaupun telah beberapa kali diberi taklimat oleh PAS. Ekoran itu pada 15 November 2015, Presiden PAS telah membangkitkan sikap PAS yang menghormati DAP dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan, tetapi DAP tidak menghormati PAS dalam isu hudud. Berlanjutan daripada dua isu ini, akhirnya PAS dan DAP tidak persefahaman lagi sehingga DAP mengisytiharkan pembubaran PR pada September 2015.

08 Mei 2016

08 Mei 1964 : Pendaftaran PAS Singapura Ditolak

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1954, Pendaftar Pertubuhan Singapura telah menolak permohonan PAS untuk mendaftarkan PAS Cawangan Singapura yang dibuat sejak 1952. PAS Singapura adalah antara yang terawal berkembang kerana kedudukan Pulau Jajahan Mahkota British ini lebih bebas dan terbuka untuk perkembangan Islam. Beberapa pemimpin awal PAS adalah tokoh politik terkenal di Singapura seperti Ustaz Abdul Rahman Jamaluddin al-Jampuli yang merupakan Naib Yang Dipertua Agung PAS 1951-1953, Peguam Ahmed Mohamed Ibrahim (Tan Sri Prof Emeritus Ahmed Ibrahim), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS 1953-1954 dan Sheikh Fadhlullah Suhaimi, pengasas PAS.

Mereka yang menjadi penggerak awal PAS di Singapura telah memohon pendaftaran PAS Cawangan Singapura pada 1952 mengikut Ordinance of Society Singapore, tetapi kelulusannya tertangguh. Antara faktor yang menangguhkan kelulusan ini ialah kerana rusuhan isu Natrah di Singapura pada Disember 1950 yang menyebabkan dua tokoh utamanya, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Karim Ghani ditahan. Dr Burhanuddin al-Helmy adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Isu Natrah yang dibebaskan pada pertengahan 1952, telah dilantik sebagai ahli kehormat PAS Cawangan Johor Bahru pada 23 April 1954. Faktor ini dilihat mengancam kedudukan British di Singapura yang mengakibatkan British menolak permohonan PAS mendaftarkan cawangannya di Singapura pada 8 Mei 1954.

Tidak mengalah dengan keputusan British ini, ahli-ahli PAS Singapura, setelah dibentuk kerajaan rakyat melalui Pilihan Raya Umum Singapura 1955 dengan melantik David Paul Marshall sebagai Ketua Menteri, telah mengadakan pertemuan di rumah Ustaz Mohd Taha Suhaimi, anak Sheikh Fadhlullah Suhaimi pada 24 Februari 1957. Dalam pertemuan yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy ini, mereka telah bersetuju menubuhkan semula PAS Cawangan Singapura dan melantik Ustaz Mohd Taha sebagai Ketua PAS Cawangan Singapura. Pada 8 Ogos 1958, pendaftaran PAS Cawangan Singapura telah diluluskan oleh Kerajaan Singapura.

PAS Cawangan Singapura telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama pada 20 November 1958. Bekas Setiausaha Agung Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Singapura, Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah telah dilantik sebagai Ketua PAS Cawangan Singapura. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketujuh pada 25-27 Disember 1958, PAS Cawangan Singapura telah mendapat status autonomi dan PAS Cawangan Singapura diperakui setaraf dengan Perhubungan PAS Negeri di mana ketuanya adalah dengan sendiri menjadi Pesuruhjaya PAS Singapura.

Sepanjang sejarah PAS Singapura, ia telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Taha Suhaimi (1957-1958), diikuti oleh Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah (1958-1962). Setelah Ustaz Abdullah Zawawi dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS pada 1962, Ustaz Mohd Taha Suhaimi kembali memimpin PAS Singapura sehingga 1966. Ekoran pemisahan Singapura dari Malaysia pada 1965, Ordinance of Society Singapore telah menetapkan semua pertubuhan berdaftar di Singapura dilarang mempunyai hubungan dengan pertubuhan di luar dari negara Singapura. Ini menyebabkan PAS Cawangan Singapura terpaksa berpisah dengan PAS dan mula dikenali sebagai Angkatan Islam (AIS) yang dipimpin oleh Wan Jo Abu Bakar. Pada tahun 2011, AIS telah dikenali dengan nama baru Angkatan Islam Singapura (Angkasa).

07 Mei 2016

07 Mei 1960 : Ustaz Ahmad Azzam Dilantik Semula Sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu Selesaikan Krisis

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1960, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah melantik semula bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanafiah sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu "bagi tahun 1960" setelah Badan Perhubungan PAS Terengganu ditadbir oleh Jawatankuasa Darurat sejak 23 Oktober 1959. Perlantikan semula Ustaz Ahmad Azzam ini adalah langkah Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk menyelesaikan krisis kepemimpinan yang berlaku dalam Kerajaan PAS Terengganu selepas pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum 1959.

Dalam krisis kepemimpinan ini, telah berbangkit isu ekoran kegagalan Menteri Besar Terengganu, Mohd Daud Samad untuk melantik Ustaz Ahmad Azzam yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu sebagai Timbalan Menteri Besar. Sebelumnya, Badan Perhubungan PAS Terengganu pada 24 Jun 1959 telah bersetuju supaya Ustaz Ahmad Azzam dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Terengganu jika beliau tidak terpilih sebagai Menteri Besar, dan kemudiannya hendaklah mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar. Menteri Besar Terengganu sendiri dalam ucapan pertamanya pada 29 Jun 1959 telah berjanji untuk mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar yang akan diperuntukkan kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu itu.

Berlarutan dari isu tersebut, setelah selesai Pilihan Raya Umum Parlimen yang diadakan kemudian daripada Pilihan Raya Umum Negeri pada 1959, beberapa Cawangan PAS telah menentang kepemimpinan Ustaz Ahmad Azzam kerana masalah pemilihan calon Parlimen. PAS Cawangan Kuala Terengganu, Kemamang dan Dungun secara terbuka menentang Pesuruhjaya PAS itu. Pada 16 Oktober 1959, Badan Perhubungan PAS Terengganu telah mencadangkan supaya Ustaz Ahmad Azzam dilucutkan jawatan dan dibentuk Jawatankuasa Darurat. Cadangan ini kemudiannya disahkan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 25 Oktober 1959.

Jawatankuasa Darurat PAS Terengganu yang bentuk adalah terdiri daripada Wan Hussein Azmi Wan Abdul Kadir (Pengerusi), Da Abdul Jalil Awang (Timbalan Pengerusi), Tengku Bijaya Sura (Bendahari), Syed Abdullah Alwi (Setiausaha), Ngah Muhammad, Ustaz Omar Shukri Embong, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar, Syed Noah dan Wan Azizah sebagai Ahli-ahli Jawatankuasa, selain Yang Dipertua PAS Cawangan-cawangan. Bertindak balas terhadap tindakan tiga Cawangan PAS ini, Ustaz Ahmad Azzam telah memberi amaran kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS bahawa kegagalan menyelesaikan masalah ini boleh menyebabkan Kerajaan PAS Terengganu tumbang.

Ustaz Ahmad Azzam pada masa ini adalah ADUN Jeram merangkap anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 1958 menggantikan Mohd Asri Haji Muda, setelah sebelumnya beliau menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sejak 1954. Disebabkan ancaman beliau kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS, pada 30 Januari 1960, Badan Perhubungan PAS Terengganu telah bersetuju supaya beliau dilantik semula sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu untuk mengelakkan krisis yang boleh menumbangkan Kerajaan PAS di negeri tersebut. Pada 7 Mei 1960 telah bersetuju melantik semula beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu tanpa sebarang syarat, namun krisis yang berlanjutan ini akhirnya menumbangkan Kerajaan PAS Terengganu pada 30 Oktober 1961.

06 Mei 2016

06 Mei 1965 : Berita ADUN PAS Kota Bharu Timur Keluar Parti Tersebar Dalam Media Massa

Pada hari ini dalam tahun 1965, media massa telah menyiarkan berita desas-desus ADUN PAS Kota Bharu Timur, Saufi Idris telah keluar dari PAS setelah beliau bersama dua lagi ADUN, Ustaz Nik Abdullah Arshad dan Tuan Guru Che Hassan Ismail ditahan ISA sejak 24 Februari 1965 atas tuduhan "menimbulkan huru-hara di kalangan orang ramai" iaitu berkait isu kafir-mengkafir. Saufi Idris adalah bekas ahli Umno yang menyertai PAS, kemudian menjadi ADUN sejak 1959, sebelum ditahan ISA.

Dalam Pilihan Raya Umum Kedua pada 25 April 1964, beliau yang masih dalam tahanan tanpa bicara bersama dua lagi ADUN tersebut telah dicalonkan semula oleh PAS untuk mempertahankan kerusi masing-masing yang masyhur dengan cerita "calon Perikatan lawan songkok PAS" kerana calon berada dalam tahanan. Kerana dalam tahanan juga, beliau tidak menghadiri perjumpaan wakil-wakil rakyat PAS pada 4 Mei 1964 dan tidak mendengar 'Amanat Terakhir Prof Zulkifli Mohamad.' Dalam pilihan raya ini, beliau berjaya mengalahkan calon Perikatan, Wan Aziz Wan Umar dengan majoriti 1,884 undi. Pada 1959, beliau memenangi kerusi ini dengan majoriti 3,704 mengalahkan Mat Haji Ali (Perikatan), Ismail Daud (Negara) dan Tuan Man Tuan Salleh (Sosialis Front).

Menjelang Pilihan Raya Umum 1964, untuk melemahkan PAS, beberapa ADUN telah ditahan ISA, termasuk Saufi Idris. Beliau dikatakan telah dipujuk untuk diberikan jawatan penting jika berjaya menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan semasa berada dalam tahanan tanpa bicara itu. Pendekatan politik di luar batas demokrasi ini dilakukan dengan harapan untuk menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan seperti yang dilakukan di Terengganu pada 30 Oktober 1961, terutama setelah PAS mempertahankan Kerajaan Kelantan hanya dengan 21 daripada 30 kerusi. Perikatan selepas kes ini, telah menahan beberapa lagi ADUN, diikuti oleh penculikan beberapa ADUN lain yang hampir menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan pada Ogos 1968.

Dalaman PAS sendiri ketika ini menjadi agak tegang kerana media massa sejak April 1965 telah menimbulkan kononnya berlaku krisis kepemimpinan dengan mendakwa beberapa ADUN PAS termasuk Tuan Guru Haji Che Hassan Ismail dan Dato' Ishak Lotfi Omar akan keluar parti. Dengan tekanan mental dan tawaran jawatan tinggi serta strategi media menimbulkan krisis dalaman PAS ini, telah menyebabkan ADUN Kota Bharu Timur ini telah memohon untuk keluar parti pada 28 April 1965. Permohonan beliau kemudiannya diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 4 Mei 1965. Setiausaha Agung PAS kemudiannya membuat pemakluman kepada seluruh peringkat organisasi dan kepemimpinan PAS pada 5 Mei 1965. Keputusan Jawatankuasa Kerja Agung PAS ini mempunyai kaitan dengan latar belakang Saufi Idris yang dahulunya merajuk dari Umno pada 1959 kerana tidak dapat menjadi calon Perikatan, dan mula mensabotaj PAS setelah keluar ISA kerana mahu menjadi Timbalan Menteri Besar.

Pada 6 Mei 1965, akhbar-akhbar mulai menyiarkan berita tentang kedudukan Saufi Idris yang bertukar menjadi wakil Bebas. Untuk menjelaskan perkara sebenar, Pesuruhjaya PAS Kelantan pada 10 Mei 1965 telah membuat pengumuman rasmi bahawa Saufi Idris bukan lagi ahli PAS. Saufi Idris yang tidak segera menyertai Umno kekal sebagai ADUN Bebas sehingga peristiwa Turn About About Turn pada Ogos 1968, di mana beliau bersama beberapa ADUN PAS telah menyertai Umno. Selepas menyertai semula Umno dan menjadi dalang kepada penculikan wakil rakyat PAS dalam usaha menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan, beliau telah tewas dalam Pilihan Raya Umum 1969 di tangan calon PAS, Wan Hashim Wan Ahmad dengan majoriti 1,086 undi.

Disusun oleh: Arkib PAS