31 Mei 2016

31 Mei 1955 : Pendaftaran PAS Diluluskan Oleh Pendaftar Pertubuhan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1955, pendaftaran PAS sebagai sebuah parti politik telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang sekali gus membolehkan PAS menyertai Pilihan Raya Umum 1955. Alamat pendaftaran PAS yang didaftarkan ialah "Arabic School, Kepala Batas" iaitu Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, iaitu Pejabat Agung PAS. Sekolah Arab ini adalah milik Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS. Selepas Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan meletak jawatan pada 26 September 1953, Pejabat Agung PAS telah berpindah dari Madrasah al-Masriah, Tanah Liat dan menumpang di Sekolah Arab tersebut.

Setelah PAS ditubuhkan secara rasmi pada 24 November 1951, PAS telah mengemukakan pendaftarannya pada 1952 di bawah Societies Ordinance 1949 dengan nombor pendaftaran sementara No. 34 in R of S. 26/52. Tetapi kerana isu-isu politik semasa seperti penangkapan pemimpin Hizbul Muslimin pada 1948, pembunuhan Hassan al-Banna di Mesir pada 1949, penahanan Abdul A'la al-Maududi pada 1949 dan pemberontakan Darul Islam di Indonesia pada 1948 telah menyebabkan British menangguhkan kelulusan pendaftaran PAS. Suasana darurat sejak 1948 di Tanah Melayu yang meningkatkan perhatian British telah berjaya diredakan dengan tindakan PAS menyertai National Conference pada 27 April 1953. National Conference menurut Ramlah Adam adalah ditaja oleh Sir Malcom MacDonald, Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara.

Penglibatan PAS dalam National Conference dan juga National Convention pada 1953-1954 adalah untuk menuntut pilihan raya segera. Ekoran itu, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954 telah memutuskan supaya PAS menyertai pilihan raya ini. Sedangkan parti-parti politik mesti berdaftar sebagai syarat menyertai pilihan raya. Atas asas ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 23 Januari 1955 ketika membincangkan rancangan pilihan raya PAS, telah menyerahkan kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias untuk menyelesaikan urusan pendaftaran PAS. PAS kemudiannya didaftarkan semula di bawah The Societies (Registration) Rules, 1953 di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Kuala Lumpur. Secara kebetulan pegawai pendaftar pertubuhan adalah kenalan Dr Haji Abbas berbangsa India yang pernah ditolong untuk mendapatkan pekerjaan pada zaman Jepun. Dengan bantuan pegawai tersebut, proses pendaftaran PAS telah dipermudahkan.

Pada 10 April 1955, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memperhalusi urusan pendaftaran PAS dan menyerahkan urusan ini kepada Dr Haji Abbas dan Cikgu Ahmad Awang, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Akhirnya pada 31 Mei 1955, Pendaftar Pertubuhan telah meluluskan pendaftaran PAS dengan nombor pendaftan 733 (Penang). Dalam banyak kajian, mengatakan PAS didaftarkan pada 14 Jun 1955 atau sehari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum 1955. Sebelum penamaan calon pada 15 Jun 1955, Pemangku Setiausaha Agung PAS, Ustaz Mohamad Hashim pada 9 Jun 1955 telah memaklumkan kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri dan Setiausaha-setiausaha PAS Cawangan tentang kelulusan pendaftaran PAS ini, dan mungkin maklumat ini hanya diterima seminggu kemudian. Atas sebab itu, ramai yang menyangka ia diluluskan menjelang penamaan calon tersebut.

Tiada ulasan: