04 Mei 2016

04 Mei 1964 : Amanat Terakhir Prof. Zulkifli Mohamad Kepada Wakil Rakyat PAS Di Kota Bharu

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1964, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohamad telah menyampaikan amanat terakhir beliau kepada wakil-wakil rakyat PAS di Kota Bharu sebelum dijemput mengadap Ilahi pada Subuh 6 Mei 1964. Beliau berucap di hadapan wakil-wakil rakyat di Dewan Bangunan PAS Kelantan (sekarang Dewan Zulkifli Mohamad), Jalan Dato' Pati, Kota Bharu setelah selesai Pilihan Raya Umum Kedua pada 25 April 1964. Prof Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Bachok mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil rakyat dalam rancangan menyusun semula Kerajaan PAS Kelantan selepas lima tahun memerintah.

Dalam Pilihan Raya Umum 1964 ini, PAS telah berjaya mempertahankan Kerajaan Kelantan dengan memenangi 21 daripada 30 kerusi DUN. PAS telah menamakan bekas Speaker DUN dan bekas ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Asri Haji Muda sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru menggantikan Dato' Ishak Lotfi Omar yang tidak dilantik semula. Isu peralihan kepemimpinan ini telah timbul semenjak 1961 dan PAS Kelantan mengambil kesempatan pilihan raya ini untuk menyusun semula kerajaan.

Bagi menjelaskan isu perubahan kepemimpinan yang akan dibuat ini, satu pertemuan dengan wakil-wakil rakyat telah dibuat pada 4 Mei 1964, di mana Prof Zulkifli telah menyampaikan ucapan yang kemudiannya dikenali sebagai 'Amanat Terakhir Prof Zulkifli Mohamad.' Antara kandungan amanat beliau ialah:

I. Jawatan adalah amanah dan bukan bermakna yang menjadi wakil rakyat adalah orang terbaik;
II. Jangan ada pemimpin PAS menjadi sombong kerana merasa dirinya sudah pandai, lalu menjauhi al-Quran dan Sunnah;
III. Perjuangan Islam dibina atas kesungguhan dan keikhlasan. Orang bodoh yang ikhlas lebih baik daripada orang cerdik yang sombong;
IV. Perjuangan memerlukan pengorbanan. Jika wakil rakyat PAS tidak mahu menegakkan hukum Allah, ia akan digantikan oleh Allah dengan orang lain;
V. Kemenangan dalam pilihan raya bukan atas nama peribadi tetapi kerana dicalonkan oleh parti. Kita tidak menang dengan kekuatan peribadi, tetapi kerana mewakili Islam;
VI. Tujuan sesebuah kerajaan apabila diteguhkan kedudukannya oleh Allah atas muka bumi ialah untuk mendirikan solat (menjaga kedaulatan agama), menunaikan zakat (menjaga perkhidmatan kepada masyarakat) serta menyuruh yang baik dan mencegah mungkar (melaksanakan hukum-hukum syariat); dan
VII. Lima tahun akan datang tidak sama dengan lima tahun dahulu, ujian perjuangan akan bertambah besar dan Kerajaan PAS mesti mencapai sasaran yang lebih besar.

Selepas menyampaikan ucapan ini, Prof Zulkifli telah bertolak ke kampung halamannya di Kuala Kangsar bersama isteri dan anak-anaknya. Ketika berada di Gambang, Kuantan pada malam 5 Mei 1964, telah berlaku kemalangan yang menyebabkan isterinya, Ustazah Asiah Kamaruddin, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat mati di tempat kejadian. Prof Zulkifli pula menghembus nafas terakhirnya pada pagi 6 Mei 1964. Mereka berdua disemadikan di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak.

Tiada ulasan: