26 Mei 2016

26 Mei 1953 : PAS Letakkan Islam Sebagai Asas Perlembagaan Malaya Merdeka

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah merangka garis-garis besar tentang bentuk negara Tanah Melayu dalam usaha menuntut kemerdekaan melalui pilihan raya segera dengan meletakkan Islam sebagai asas negara. Hal ini memperlihatkan komitmen PAS sejak diluluskan 'Program Politik PAS' dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953 untuk menegakkan negara Islam secara demokrasi. Garis-garis besar bentuk negara Tanah Melayu merdeka yang dinamakan sebagai 'Perlembagaan Malaya' ini digubal sebagai asas seluruh perundingan kemerdekaan melalui National Conference dan National Convention.

Semenjak PAS menetapkan komitmennya untuk memperjuangkan kemerdekaan dalam Program Politik PAS, pada 27 April 1953, PAS telah menyertai National Conference tajaan 16 orang kenamaan untuk menuntut pilihan raya segera ke arah kemerdekaan. Sebagai tindak balas, Umno menganjurkan Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu pada 14 Ogos 1953, sebelum Umno-MCA menganjurkan National Convention pada 23 Ogos 1953 yang turut melibatkan penyertaan PAS. Di sebalik persaingan politik antara Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra ini, PAS telah mengambil tindakan untuk menetapkan dasar-dasar tuntutan dalam pembentukan negara merdeka.

Dalam kerangka 'Perlembagaan Malaya' yang digubal oleh PAS pada 26 Mei 1953 ini, PAS telah menetapkan lima dasar dalam pembentukan negara merdeka, iaitu:

I. Nama negara dan Perlembagaan. Nama yang dianggap sesuai ialah Perlembagaan Persekutuan Semenanjung Tanah Melayu kerana ia adalah nama asal yang sesuai dengan bunyi, makna dan isinya, sedangkan nama Malaya adalah berbau kolonial;

II. Agama rasmi. Islam hendaklah menjadi agama rasmi seluruh Persekutuan termasuk di Negeri-negeri Selat (Melaka, Pulau Pinang, Seberang Perai dan Singapura) dan Islam menjadi dasar negara. Pentadbiran agama dipusatkan dan syariat dilaksanakan;

III. Bahasa rasmi. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi Persekutuan dan bahasa pengantar semua rakyat. Bahasa Inggeris hanya menjadi bahasa kedua untuk sementara waktu dan selepas tempoh tertentu ia tidak lagi digunakan dalam urusan rasmi;

IV. Corak kerajaan. Sebuah kerajaan bersekutu (federal) yang mengamalkan demokrasi, memiliki dewan perwakilan (parlimen) sebagai majlis tertinggi dan pentadbiran awam melalui kementerian-kementerian. Anggota perwakilan dipilih oleh rakyat sepenuhnya dan jemaah menteri yang bertanggungjawab kepada dewan perwakilan dalam menjalankan pentadbiran awam; dan

V. Kerakyatan. Kerakyatan adalah berasaskan Undang-undang Kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu 1948 (Pindaan 1952) yang menetapkan syarat kerakyatan yang ketat bagi imigran dan menolak jus soli.

Secara umum, lima asas kenegaraan ini jelas memperlihatkan keterbukaan PAS terhadap sistem pentadbiran moden, amalan demokrasi dan masyarakat majmuk dalam menegakkan negara Islam. PAS mempertahankan hak ketuanan bangsa Melayu, tetapi tidak mengenepikan hak bangsa lain, dalam masa yang sama PAS memilih jalan demokrasi dengan menerima kuasa rakyat dalam pilihan raya dan pemisahan kuasa dalam pentadbiran, manakala Islam dijadikan asas seluruh urusan kenegaraan.

Tiada ulasan: