10 Mei 2016

10 Mei 1964 : Mohd Asri Haji Muda Dilantik Sebagai Menteri Besar Kelantan Kedua

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1964, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Asri Haji Muda telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang kedua selepas merdeka menggantikan Ustaz Dato' Ishak Lotfi Omar. Badan Perhubungan PAS Kelantan yang bermesyuarat bersama Adun-adun PAS Kelantan pada 3 Mei 1964 telah bersetuju menamakan Mohd Asri sebagai Ketua Kerajaan Negeri Kelantan yang baru untuk menyelesaikan krisis kepemimpinan yang timbul sejak 1961. Dalam Pilihan Raya Umum Kedua pada 25 April 1964, PAS berjaya mempertahankan Kerajaan Kelantan dengan menguasai 21 daripada 30 kerusi DUN.

Mohd Asri yang menyertai PAS sejak 1953 telah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja di Pejabat Agung PAS, Bukit Mertajam sebelum dipilih sebagai Setiausaha Kewangan PAS oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953 dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Tadbir (sekarang Jawatankuasa Harian) PAS pada 11 September 1953. Mulai 27 November 1954, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, kemudiannya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu mulai 14 Januari 1956 dan Pesuruhjaya PAS Kelantan bermula 28 Disember 1957 hingga 8 Januari 1962. Beliau juga merupakan Pengerusi Tetap PAS mulai 27 Disember 1958 sehingga dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS pada 6 Januari 1962.

Mohd Asri yang menggantikan anak saudaranya, Dato' Ishak Lotfi Omar (ibu Dato' Ishak Lotfi, Che Minah Haji Muda ialah kakak Mohd Asri) sebagai Menteri Besar Kelantan merupakan cucu kepada Dato' Maha Menteri Che Saad (Che Ha') bin Penghulu Che Ngah bin Che Tila Derasa, Perdana Menteri Kelantan (1890-1894) di sebelah ibunya, Che Puteh binti Dato' Che Ha'. Penghulu Che Ngah Penambang pula adalah cucu dari sebelah ibunya, Wan Bulat, kepada Dato' Wan Mahmud (Dato' Panglima Perang Lundang) bin Tuan Khamis (Mandur Mis, yang bergelar Engku Mendahari Seri Maharaja Wangsa). Tuan Khamis yang terlibat mengasaskan Dinasti Long Yunus sebagai pemerintah Kelantan pada 1762 telah dilantik sebagai Dato' Lundang, iaitu raja pemerintah Daerah Lundang oleh Sultan Long Yunus. Tuan Khamis sendiri adalah sepupu kepada Long Yunus bin Long Sulaiman bin Long Bahar, kerana ayahnya Tuan Kundur bin Long Bahar bin Wan Daim adalah anak Tuan Besar Long Bahar (Sultan Kelantan 1721-1733) menerusi isterinya, Raja Pah binti Sultan Omar, Sultan Dinasti Jembal terakhir (1675-1721).

Mohd Asri yang dilahirkan di Kampung Masjid, Kota Bharu pada 10 Oktober 1923 telah menerima didikan agama yang awal di kawasan Pondok Masjid Muhammadi kerana ayahnya, Haji Abdul Samad bin Mohd Salleh (terkenal sebagai Haji Muda) tinggal di sana, sebelum beliau memasuki Sekolah Majlis Ugama Islam Kelantan dan Sekolah Melayu Padang Garong. Setelah berkhidmat sebagai guru di Kota Bharu, pada zaman Jepun, beliau terpilih belajar di Marai Koa Kunrensyo, Melaka. Selepas Perang, beliau belajar agama dengan Sheikh Junid Thola di Kampung Lalang, Perak sebelum menjadi guru di Maahad Il Ihya as- Syariff, Gunung Semonggol. Setelah keadaan politik tenang akibat darurat 1948, beliau berkhidmat di Pejabat Agung PAS mulai 1953.

Kemunculan Mohd Asri dalam politik telah bermula sejak sebelum zaman Jepun di mana beliau terlibat dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) Kelantan yang dipimpin abangnya, As'ad Shukri Haji Muda, sebelum menyertai BSPK ketika pendudukan Jepun, kemudiannya aktif dalam Persatuan Melayu Kelantan (PMK) pada 1946 sebagai Penolong Setiausaha, selain menjadi pengarang majalah Penyedar dan wartawan akhbar Majlis. Beliau juga menyertai Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan mengetuai Angkatan Pemuda Insaf (API) Kelantan pada 1946-1947. Penglibatan dalam API membawa beliau berhijrah ke Perak dan aktif dalam Hizbul Muslimin selalu Setiausaha Dewan Pimpinan Hizbul Muslimin pada 1948. Kerana keadaan politik yang tegang, beliau aktif pula dalam bidang persuratan dan bahasa menerusi Lembaga Pembangunan Sastera Perak (LEPAS) mulai 1951.

Dengan latar belakang keluarga dan penglibatan politik yang begitu cemerlang, Mohd Asri yang mendaki kepemimpinan PAS sehingga dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS pada 6 Januari 1962, telah dinamakan oleh PAS pada 3 Mei 1962 sebagai calon Menteri Besar Kelantan yang baru. Sebagai Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, dalam Pilihan Raya Umum 1955, Mohd Asri telah bertanding di kerusi Majlis Undangan Persekutuan kawasan Kelantan Timor, tetapi tewas. Pada Pilihan Raya Umum 1959, beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Pasir Puteh dan Adun Kota Bharu Tengah, iaitu jawatan-jawatan yang kemudiannya berjaya dipertahankan dalam Pilihan Raya Umum 1964. Berikutan itu, pada 9 Julai 1959, beliau dilantik sebagai Speaker DUN Kelantan, sebelum PAS Kelantan pada 2 Julai 1961 menamakan beliau sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan sehingga 1964. Beliau kemudiannya mulai 10 Mei 1964 berkhidmat sebagai Menteri Besar Kelantan hingga 31 Disember 1972, di mana pada awal 1973, beliau dilantik sebagai Menteri Pusat.

Tiada ulasan: