31 Oktober 2016

31 Oktober 1987 : PAS Pertegas Pendirian Terhadap Salah Guna ISA Oleh Kerajaan BN

Pada hari ini dalam tahun 1987, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri telah membuat satu kenyataan kepada akhbar untuk menjelaskan sikap PAS terhadap tindakan zalim Kerajaan BN yang menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mengekalkan kekuasaan regim BN. Kenyataan ini dikeluarkan ekoran tindakan zalim Kerajaan BN yang memperalatkan ISA bagi menahan pemimpin politik, aktivis sosial dan ahli akademik dalam Operasi Lalang sejak 27 Oktober 1987. Seramai 106 orang telah ditahan dalam operasi ini, termasuk 15 orang ahli PAS.

Kedudukan BN telah terjejas dengan teruk selepas Pilihan Raya Umum 1986 ekoran perpecahan dalaman yang berlaku dalam Umno dan juga pergeseran politik secara terbuka antara Umno dan MCA. Umno juga melanjutkan isu Memali yang tercetus pada 19 November 1985 sebagai akibat isu kafir-mengkafir sehingga ada ahli PAS terlibat dengan gerakan bawah tanah, Jundullah. Beberapa pendedahan Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa tentang kegiatan Kritianisasi juga dijadikan asas kononnya PAS telah terlibat dalam isu-isu perkauman, sedangkan Majlis Syura Ulamak PAS pada 20 Oktober 1987 telah memutuskan bahawa PAS tidak boleh terlibat dengan mana-mana gerakan atau perhimpunan yang bersifat perkauman.

Isu sebenar di sebaliknya krisis ini ialah perpecahan Umno setelah Team A berjaya mengalahkan Team B dalam pemilihan Umno pada 27 April 1987, di mana Team B telah membawa kes ini ke mahkamah. Melihat perpecahan besar dalam Umno, orang-orang Cina telah menjadikan isu guru besar Melayu di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) sebagai isu perkauman dengan dimotori oleh MCA, Gerakan dan DAP, selain Dong Jiao Zhong dan Dong Zhong yang mempertikaikan hak istimewa orang Melayu dan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bersama pada 8 Oktober 1987. Pada 11 Oktober 1987, mereka mengadakan himpunan orang Cina di Tokong Thean Hou. Kemuncak pertembungan ini ialah Pergerakan Pemuda Umno yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dan Datuk Mohd Najib Abdul Razak telah merancang perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur pada 17 Oktober 1987 untuk mempertahankan hak istimewa orang Melayu.

Pertembungan besar antara Team A dan Team B Umno, yang diikuti oleh pergeseran Umno dengan MCA telah hampir memecahkan BN. Bagi menangani isu ini, Menteri Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah menyalahgunakan ISA untuk menahan pemimpin pembangkang, sedangkan pemimpin Umno dan MCA yang ditahan beberapa kerat sahaja. Semua pemerhati politik mengatakan isu sebenar dalam soal ini ialah perbalahan kaum yang hanya melibatkan Umno dan pemimpin Cina dari MCA, Gerakan dan DAP sahaja. Ahli-ahli akademik, aktivis sosial dan pemimpin PAS tidak terlibat, tetapi mereka ditahan atas alasan-alasan yang diadakan. Beberapa media massa seperti The Star, The Sunday Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan telah ditarik balik permit penerbitannya dalam isu ini, selain mengharamkan semua perjumpaan politik. Kerajaan BN kemudiannya menjadikan isu ini sebagai sebab untuk mewujudkan Akta Percetakan dan Mesin Cetak 1987.

Ekoran manipulasi yang dilakukan oleh BN dalam menahan pemimpin pembangkang, aktivis sosial dan ahli akademik yang tidak terlibat dalam perkauman ini, pada 31 Oktober 1987, PAS menerusi Setiausaha Agungnya telah menegaskan pendiriannya yang menentang penahanan zalim ini dan menuntut semua tahanan dibebaskan tanpa syarat atau didakwa di mahkamah terbuka. PAS turut mendakwa bahawa para pemimpin BN dari Umno dan MCA sengaja menimbulkan isu perkauman yang membawa kepada ketegangan kaum bagi membolehkan pemimpin pembangkang ditahan, kegiatan politik disekat dan media massa dikawal, yang menatijahkan pengekalan kuasa BN ketika mereka sedang berpecah. Ekoran itu juga, pada 19 November 1987, PAS telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri untuk menjelaskan sikap PAS dalam soal ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

30 Oktober 2016

30 Oktober 1961 : Kerajaan PAS Terengganu Tumbang Dengan Usul Undi Tidak Percaya

Pada hari ini dalam tahun 1961, Kerajaan PAS Terengganu telah tumbang dalam satu usul undi tidak percaya yang dikemukakan di Dewan Undangan Negeri Terengganu setelah berlaku krisis kepemimpinan yang berpanjangan dalam PAS Terengganu sejak 1959. Usul undi tidak percaya yang dikemukakan oleh ADUN Parti Negara, Wan Daud Wan Ahmad telah berjaya menjatuhkan Kerajaan PAS Terengganu yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad selaku Menteri Besar sejak 29 Jun 1959. PAS membentuk kerajaan di Terengganu pada 1959 ekoran kejayaan PAS menguasai 13 daripada 24 kerusi DUN Terengganu dalam Pilihan Negeri Terengganu pada 16 Mei 1959.

Kerajaan PAS Terengganu terbentuk dengan Mohd Daud Abdul Samad menjadi Menteri Besar dan beberapa ADUN PAS mengangkat sumpah pada 29 Jun 1959 sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri yang terdiri daripada Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah (Jeram), Abu Bakar Salleh (Sura), Ismail Yusof (Ulu Terengganu Dengan), Omar Abdul Rahman (Ulu Terengganu Barat), Ustaz Omar Shukri Embong (Ulu Dungun) dan Mohd Senari Yunus (Kampong Raja). Ekoran keluarnya Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah dan pemecatan keahlian PAS ke atas Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar oleh PAS Cawangan Dungun, pada 6 Ogos 1960, satu usul undi tidak percaya telah dibuat ke atas Kerajaan PAS Terengganu, tetapi ia digagalkan oleh Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah yang menyokong Kerajaan PAS. Bagi mengukuhkan kerajaan, pada 8 Oktober 1960, ADUN Langkap, Ismail Abbas yang menyertai PAS dari Parti Negara telah dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Krisis kepemimpinan yang berpanjangan dalam PAS Terengganu kemudiannya menjelaskan Kerajaan PAS ekoran keluar masuk ADUN Jeram dan Marang dalam PAS. Ketika keadaan politik sedang bergolak ini, pemimpin Parti Negara yang marah dengan penyertaan ADUN Langkap ke dalam PAS telah bertindak membawa tiga ADUN Parti Negara menyertai Umno. Dalam pada itu, pada 19 Jun 1961, dua ADUN PAS, Tuan Guru Haji Wan Said Mohd Noor (Kuala Besut) dan Tuan Guru Haji Abdul Kadir Mohamad (Kuala Terengganu Tengah) dilaporkan hilang diculik. Pada 21 Jun 1961, akhbar melaporkan tiga ADUN PAS dari Kuala Besut, Kuala Terengganu Tengah dan Marang telah menyertai Umno bersama tiga bagi ADUN Parti Negara.

Dengan penyertaan tiga ADUN PAS dan tiga ADUN Parti Negara ke dalam Umno, komposisi ADUN telah berubah di mana Perikatan mempunyai 13 ADUN, sedangkan PAS hanya mempunyai 11 ADUN. Ini menyebabkan PAS tidak lagi mempunyai majoriti untuk memimpin kerajaan negeri. Dalam sidang DUN Terengganu pada 30 Oktober 1961, ADUN Parti Negara yang menyertai Umno, Wan Daud Wan Ahmad telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dan Kerajaan PAS Terengganu Dengan disokong oleh ADUN Perikatan, Tengku Mohsien Abdul Kadir. Dalam undian ini, usul tersebut mendapat 13 sokongan iaitu tujuh Perikatan, tiga Parti Negara, dua bekas ADUN (Kuala Besut dan Kuala Terengganu Tengah) dan satu ADUN PAS (Jeram). Dua lagi ADUN PAS iaitu Ustaz Hussin Jusoh dan Muhammad Ismail telah berkecuali, sedangkan anggota Exco, Omar Abdul Rahman telah diperintahkan keluar Dewan ketika pengundian dijalankan. Dengan hanya mendapat sokongan lima undi, Kerajaan PAS Terengganu telah tumbang pada 30 Oktober 1961 dan pada 8 November 1961, Mohd Daud Abdul Samad telah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Disusun oleh: Arkib PAS

29 Oktober 2016

29 Oktober 1984 : MCA Sedia Terima Tawaran Berdialog Dengan PAS Dengan Syarat

Pada hari ini dalam tahun 1984, PAS telah menerima surat jawapan daripada MCA tentang tawaran dialog yang dikemukakan oleh PAS kepada parti Parlimen Cina itu sebelumnya. Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chew Hock Thye dalam surat jawapannya kepada Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad telah menyatakan kesediaan bersyarat MCA untuk berdialog dengan PAS dalam isu-isu politik dan agama di negara ini. Terdahulu, pada 15 Oktober 1984, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad yang juga Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat melalui sepucuk surat telah mengajak MCA berdialog dengan PAS.

Isu dialog PAS-MCA ini timbul ekoran keputusan Muktamar Tahunan PAS Ke-29 pada 29 April - 1 Mei 1983 yang mahu PAS mendekati orang bukan Islam secara langsung sebagai strategi dakwah yang baru. Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa dalam ucapan dasarnya pada muktamar itu turut menyeru supaya PAS memecahkan tembok yang menghalangi PAS dari mendekati orang bukan Melayu, khususnya orang Cina. Pendirian PAS ini mempunyai kaitan yang rapat dengan kegagalan pendekatan politik melalui BN pada dekad 1970-an dan keengganan PAS berkerjasama dengan parti cauvenis seperti DAP yang telah berbangkit semasa Pilihan Raya Umum 1982. Gerakan dakwah secara langsung dengan orang bukan Islam adalah lebih berkesan bagi PAS, berbanding pendekatan melalui kerjasama politik sebelumnya.

Atas asas ini, pada 6 Oktober 1983, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya usaha dibuat untuk mendekati orang bukan Islam, termasuk mengadakan seminar-seminar berkaitan. Pada 15 Oktober 1984, Ustaz Nakhie Ahmad telah membuat tawaran bertulis kepada MCA untuk berdialog dengan PAS, sedangkan dalam satu tindakan politik yang lain, PAS mencabar Umno berdebat dalam isu-isu negara Islam. Mengambil langkah berhati-hati terhadap pelawaan PAS ini, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chew Hock Thye pada 29 Oktober 1984 telah menjawab tawaran dialog tersebut dengan memberikan persetujuan bersyarat. Antara syarat yang ditetapkan oleh MCA sebelum berdialog ialah PAS mesti menyatakan sikap dan pendirian dalam perkara berikut:

I. Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara sekular;
II. Kedudukan Malaysia sebagai negara perlbagai kaum;
III. Jaminan pemeliharaan hak dan kepentingan setiap kaum;
IV. Penerusan sistem perlembagaan beraja dan demokrasi berparlimen; dan
V. Keperluan melandaskan perubahan dan pembangunan mengikut iklim Malaysia.

Menjawab syarat-syarat MCA yang mahu mengetahui terlebih dahulu pendirian PAS dalam soal tersebut, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad pada 10 November 1984, menyatakan lebih baik semua persoalan itu dijawab dalam sesi dialog yang akan diadakan kelak. Pada 6 Disember 1984, Setiausaha Agung Pemuda MCA dalam jawapan balasnya bertegas bahawa dialog dengan MCA hanya dapat diadakan jika PAS terlebih dahulu menyatakan pendiriannya terhadap perkara berbangkit. Walaupun proses mempertemukan kedua-dua parti terus berlangsung, namun krisis kepemimpinan yang melanda MCA kemudiannya telah menggagalkan rancangan dialog kedua-dua parti ini. Kegagalan mendapatkan persetujuan MCA bagi membolehkan PAS berdialog dengan mereka dalam soal politik dan agama, jelas tidak melemahkan PAS.

Sebaliknya PAS telah mengambil langkah proaktif pada tahun 1985 apabila ia memulakan hubungan dengan orang Cina menerusi Chinese Consultative Council (CCC). Pada 10 Februari 1985, PAS menganjurkan simposium "Islam dan Persoalan Perpaduan Negara" di Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Daripada simposium inilah, PAS membuka langkahnya mendekati orang bukan Islam sehingga terbentuknya CCC.

Disusun oleh: Arkib PAS

28 Oktober 2016

28 Oktober 1988 : Dewan Ulamak PAS Pusat Mengadakan Seminar Tentang Perpaduan Ummah

Pada hari ini dalam tahun 1988, Dewan Ulamak PAS Pusat telah menganjurkan Seminar Perpaduan Ummah di Masjid Pulau Melaka, Kota Bharu sebagai satu langkah menghimpunkan para ulamak bagi merumuskan formula mengatasi perpecahan umat Islam di negara ini. Seminar sehari ini telah dihadiri oleh bekas-bekas pemimpin Umno yang terlibat secara lansung dalam perpecahan politik setelah Umno diharamkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 8 Ogos 1988. Konflik politik yang tercetus di antara Umno dan PAS pasca Tragedi Memali pada akhir 1985, telah diburukkan lagi oleh perpecahan dalaman Umno ekoran pergeseran di antara Team A dan Team B Umno pada pemilihan parti nationalis itu pada 1987.

Pergolakan dalaman Umno sebagai parti politik Melayu terbesar di negara ini ketika itu telah mewujudkan Team A Umno yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Team B Umno yang diketuai oleh Tengku Razaliegh Hamzah. Dalam pemilihan Umno pada 27 April 1987, Team B Umno telah tewas dan bertindak membawa kes mereka ke mahkamah, sehingga akhirnya Umno diharamkan. Team B Umno kemudiannya telah menubuhkan Semangat 46 dan mengadakan kerjasama dengan serpihan PAS, Berjasa di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan).

Perpecahan Umno dilihat sebagai satu perpecahan besar umat Islam, dan PAS segera mengambil langkah menangani fenomena ini. PAS telah menganjurkan Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam di Kuala Lumpur pada 21 Ogos 1988 dan diikuti oleh Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Rusila pada 9-10 September 1988. Tujuan utama kedua-dua persidangan perpaduan ini diadakan adalah untuk membolehkan PAS memimpin usaha mewujudkan semula perpaduan umat Islam setelah ia terpecah ekoran pengharaman Umno.

Pada 28 Oktober 1988, Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengadakan Seminar Perpaduan Ummah di Masjid Pulau Melaka untuk merumuskan formula-formula bagi menyatukan semula umat Islam. Beberapa pemimpin serpihan Umno seperti Ibrahim Ali (Ketua Pemuda Semangat 46), Ustaz Ibrahim Azmi Hassan (Ahli Parlimen Kuala Nerus), Dato' Ariffin Saleh (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan) dan Wan Omar Wan Abdul Majid (Ahli Parlimen Pasir Puteh) telah hadir dalam seminar ini mewakili Semangat 46. Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor ketika merasmikan seminar ini mempertegaskan bahawa hanya dengan Islam seluruh perpecahan umat dapat diselesaikan dan perpaduan ummah dapat diwujudkan. Beliau menyeru para ulamak supaya memainkan peranan sebagai pembimbing ummah dalam mewujudkan perpaduan berasaskan al-Quran dan Sunnah.

Mengambil semangat daripada agenda perpaduan dalam seminar ini, PAS telah mengadakan siri-siri taklimat kepada PAS Negeri-negeri antara 22 November hingga 7 Disember 1988 untuk menjelaskan hasrat PAS mengembalikan perpaduan ummah dengan mengadakan kerjasama politik dengan Berjasa dan Semangat 46. Pada 23 Disember 1988, satu Majlis Makan Pemikir Ummah telah diadakan di Kelang Jaya yang mempertemukan Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan Tengku Razaliegh Hamzah, pemimpin Semangat 46. Kerjasama antara PAS-Angkatan kemudiannya membawa keuntungan politik kepada PAS apabila Kelantan dapat dikuasai semula dalam Pilihan Tata Umum pada 21 Oktober 1990.

Disusun oleh: Arkib PAS

27 Oktober 2016

27 Oktober 1987 : 15 Pemimpin PAS Ditahan Bawah ISA Dalam Operasi Lalang

Pada hari ini dalam tahun 1987, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melancarkan gerakan Operasi Lalang bagi menangani isu perkauman yang sedang hangat diperkatakan ketika itu. Dalam operasi ini, seramai 106 orang pemimpin politik, aktivis sosial, ahli akademik dan pejuang hak asasi manusia, termasuk 15 orang pemimpin PAS telah ditahan di bawah ISA. Krisis perkauman yang timbul ini adalah ekoran perpecahan dalam Umno sejak pertembungan Team A dan Team B dalam Umno pada April 1987, yang diikuti oleh isu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) yang digerakkan oleh Dong Jiao Zong, yang akhirnya membawa kepada pergeseran antara Umno dan MCA.

Isu asal yang membawa kepada krisis perkauman ini ialah arahan Kementerian Pendidikan supaya dua guru Melayu bertugas sebagai guru besar di SRJKC. Bantahan Dong Jiao Zong kemudiannya didukung oleh MCA, Gerakan dan DAP melalui Jawatankuasa Bertindak Bersama yang dianggotai oleh 18 pertubuhan Cina. Bertindak balas terhadap gerakan orang Cina ini, Pergerakan Pemuda Umno yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dan Datuk Mohd Najib Razak telah mengaturkan perhimpunan Melayu di Stadium TPCA, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru dengan seruan membawa 'pisau' dan 'mancis.' Sultan Selangor pula telah bertindak menarik balik gelaran Dato' daripada Presiden MCA, Lee Kim Sai, sedangkan dalam masa yang sama berlaku amukan Prebet Adam yang menembak mati dua orang Cina di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang membatalkan perhimpunan yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno Ke-41 tidak menamatkan krisis ini. Sebaliknya ia bertukar menjadi alasan untuk menahan musuh-musuh politik Umno-BN dalam menangani perpecahan dalaman mereka. PAS sendiri pada 19 Oktober 1987, telah membuat pendirian bahawa semua pimpinan dan ahlinya tidak akan terlibat dalam mana-mana himpunan yang berasaskan asobiyah dan perkauman yang sempit. Pendirian ini disahkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 20 Oktober 1987. Namun begitu, pendirian PAS ini tidak dapat melepaskan ahli-ahlinya dari menjadi mangsa keganasan ISA setelah Operasi Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987. Seramai 15 orang pimpinan dan ahli PAS yang ditahan, di mana sebahagiannya dituduh terlibat dengan "Jundullah," sebuah pergerakan bawah tanah yang tiada kaitan dengan PAS.

Antara pemimpin PAS yang ditahan ISA dalam Operasi Lalang ini ialah Ustaz Abdul Halim Arshat (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Abdul Khalid Samad (Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat), Mohamad Sabu (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat), Mahfuz Omar (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat), Suhaimi Said (Penasihat Undang-undang PAS), Tuan Guru Haji Mohd Arif Yaakob (Dewan Ulamak PAS Perak), Ustaz Abdul Latif Mohamad (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat), Mohd Yusof Husein (Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah), Mohd Ali Hanafiah Ismail dan Nawawi Yusof. Yang ditahan atas tuduhan terlibat dengan Jundullah ialah Ustaz Buniyamin Yaakob, Zainuddin Abdullah, Tengku Shukri Tengku Zainal, Kamarulzaman Ismail dan Ustaz Omar Khalid.

Ekoran penahanan ISA yang dibuat tanpa dibuktikan bersalah ini, pada 21 November 1987, PAS Pusat telah menghantar rombongan terdiri daripada Pak Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Wan Muttalib Embong, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Haji Ahmad Subky Abdul Latif untuk menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Hanif Omar. Setelah dua bulan Operasi Lalang dijalankan, semua pempinan PAS yang ditahan telah ditempatkan di Kem Tahanan Kemunting untuk tahanan selama dua tahun kecuali Ustaz Abdul Halim Arshat, Tuan Guru Haji Mohd Arif Yaakub, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Mohd Ali Hanafiah Ismail dan Nawawi Yusof yang dibebaskan selepas ditahan selama dua bulan.

Disusun oleh: Arkib PAS

26 Oktober 2016

26 Oktober 2009 : Setiausaha Agung PAS Cadang Muktamar Khas PAS Bincang Isu Kerajaan Perpaduan

Pada hari ini dalam tahun 2009, Setiausaha Agung PAS, Dato' Haji Mustafa Ali telah mengumumkan bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan mengadakan satu mesyuarat khas atas permintaan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi membincangkan keperluan PAS mengadakan muktamar khas. Isu muktamar khas ini timbul ekoran satu kenyataan yang dibuat oleh Mursyidul Am PAS yang mengkritik "dua tiga kerat" pemimpin PAS yang dikatakan bermasalah dan ia perlu diselesaikan melalui Muktamar Khas PAS. Isu ini adalah berlanjutan daripada kekalahan PAS dalam Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan pada 11 Oktober 2009.

Beberapa pemimpin PAS telah mengaitkan kekalahan dalam pilihan raya kecil tersebut dengan usaha yang dibuat oleh Exco Kerajaan Selangor, Dato' Dr Hassan Mohd Ali untuk mengawal premis yang menjual arak di negeri tersebut, selain isu siasatan Selcat. Mereka kemudiannya mengaitkan isu Dato' Dr Hassan Mohd Ali dengan isu Kerajaan Perpaduan (UG) yang telah pun ditutup sebelumnya oleh Mursyidul Am PAS dan Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 22 Jun 2009. Keadaan menjadi lebih parah apabila kolumnis Sinar Harian, Prof Dr Abdul Aziz Bari pada 19 Oktober 2009 telah membuat ulasan dengan menyebut nama Dato' Dr Hassan Mohd Ali bersama Ustaz Nasharudin Mat Isa (Timbalan Presiden PAS) dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) sebagai individu yang terbabit dalam isu kawalan arak di Selangor, yang kemudiannya memberi kesan terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang.

Isu UG asalnya digagaskan oleh Presiden PAS dalam temuramahnya pada Februari 2009 dan disiarkan oleh Siasah keluaran 1-7 Mac 2009 setelah Kerajaan 16 September '08 tajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal. Presiden PAS itu mencadangkan sebuah kerajaan tanpa pembangkang diwujudkan, di mana semua parti termasuk pembangkang terlibat dalam kerajaan tanpa menyertai BN, tetapi timbul fitnah bahawa Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mahu membawa PAS menyertai BN. Oleh kerana isu UG tidak difahami oleh sesetengah pimpinan dan ahli PAS, pada 21 April 2009, ia telah ditarik balik oleh Presiden PAS. Isu ini berbangkit semula dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-55 di Shah Alam apabila Presiden PAS pada 5 Jun 2009 membuat kenyataan bahawa UG adalah cara terbaik menstabilkan politik negara. Walaupun ia dibantah oleh Dato' Husam Musa, Naib Presiden PAS, tetapi pada 7 Jun 2009, Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menyambut baik cadangan tersebut. Pada 10 Jun 2009, 10 orang ahli Parlimen PAS telah membantah UG, dan Mursyidul Am PAS telah membuat kenyataan mengkritik keras Timbalan Presiden PAS dalam isu ini. Akhirnya, pada 22 Jun 2009, dalam pertemuan antara Mursyidul Am PAS dengan Jawatankuasa Harian PAS Pusat, satu persetujuan untuk menutup isu UG telah dibuat.

Namun begitu, dengan mengambil kesempatan daripada tulisan Dr Abdul Aziz Bari ini, ada pihak yang memperalatkan Mursyidul Am PAS untuk membuat kenyataan pada 21 Oktober 2009 yang mengkritik pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden PAS, Timbalan Presiden PAS dan Setiausaha Agung PAS, selain Dato' Dr Hassan Mohd Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor sebagai individu-individu yang bermasalah dalam PAS. Mereka disifatkan "dua tiga kerat" pemimpin yang bermasalah dan telah menjatuhkan populariti PAS sehingga perlu diadakan satu Muktamar Khas PAS bagi menggugurkan mereka daripada kepemimpinan tertinggi PAS. Alasan yang digunakan oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ialah teguran-teguran Allah terhadap Rasulullah SAW yang menunjukkan pemimpin perlu ditegur. Oleh kerana isu "pemimpin yang pro-Umno" yang ditimbulkan oleh Dr Abdul Aziz Bari, Mursyidul Am PAS itu menyebut beberapa nama yang dikatakan mahu PAS bekerjasama dengan Umno ke arah UG. Beliau mahu Muktamar Khas PAS yang dicadangkan ini membersihkan PAS dari pimpinan yang dikatakan "bermasalah" tersebut.

Ekoran kenyataan terbaru Mursyidul Am PAS ini, Setiausaha Agung PAS pada 26 Oktober 2009 telah mengumumkan bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas pada 28 Oktober 2009 bagi membincangkan keperluan mengadakan Muktamar Khas PAS. Dalam mesyuarat pada 28 Oktober 2009 itu, tiga keputusan telah diambil, iaitu:

I. Memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Satu seminar memperkasakan PAS akan diadakan menggantikan Muktamar Khas PAS;
II. Jawatankuasa Tatatertib yang diketuai oleh Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man akan menyiasat dakwaan terhadap pemimpin PAS Selangor; dan
III. Isu UG ditutup sepenuhnya dan tidak berbangkit lagi.

Disusun oleh: Arkib PAS

25 Oktober 2016

25 Oktober 1969 : Prof Dr. Burhanuddin Al-Helmy Mohd Noor Meninggal Dunia

Pada hari ini dalam tahun 1969, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy Mohd Noor telah meninggal dunia setelah lebih empat tahun menderita sakit dan berulang-alik ke hospital akibat deraan yang dialami ketika ditahan ISA sejak awal 1965. Menurut Dr Burhanuddin al-Helmy sendiri lewat surat-surat peribadinya, beliau telah menerima tekanan, seksaan dan deraan fizikal dan mental sepanjang tahanan tersebut yang menyebabkan beliau menderita sepanjang hayat. Beliau dituduh tanpa bukti bahawa terlibat dalam satu rancangan menubuhkan sebuah kerajaan dalam buangan di Karachi yang menyebabkan beliau ditahan ISA pada awal 1965, walaupun beliau berulang-ulang kali menafikannya.

Prof Dr Burhanuddin al-Helmy dilahirkan di Changkat Tualang, Perak pada 29 Ogos 1911 dengan campuran Minang-Arab. Bapanya seorang ulamak lulusan Mekah yang berasal dari Tanah Datar, Sumatera Barat. Beliau mendapat pendidikan tinggi di India, Singapura, England, Pakistan, Bangladesh dan Kanada dalam bidang falsafah Islam dan perubatan homeopathy sehingga diberikan gelaran profesor oleh California Homeopathic Medical College bagi mengiktiraf sumbangan beliau dalam memgembangkan ilmu homeopathy di Tanah Melayu. Beliau adalah doktor homeopathy berbangsa Melayu yang pertama dan telah membuka kolej homeopathy di Singapura, Kuala Lumpur dan Gunung Semanggol selepas 1952, selain menjadi Yang Dipertua-Pengasas Persatuan Homeopathy Malaya (PHM). Nama beliau mulai terkenal kerana menulis sebuah buku, "Asuhan Kesihatan" ketika berusia 18 tahun pada 1929.

Dalam dunia politik, beliau mula terlibat dengan politik kiri bersama Sarekat Islam ketika belajar di Indonesia pada 1924, kemudian mengikuti gerakan Liga Muslim ketika berada di Aligarh Muslim University, India pada 1929-1930. Beliau juga pernah ditahan oleh British di Palestin pada 1936 kerana terlibat dalam bantahan isu Perjanjian Belfour, sebelum aktif sebagai Setiausaha Jam'iyatul Dakwah Singapura yang dipimpin oleh Sheikh Abbas Taha. Pada 1937, beliau terlibat dalam debat isu jilatan anjing di Kelantan sehingga beliau mula dikenali sebagai tokoh kaum muda. Pada 1938, beliau terlibat dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM), tetapi dipenjara oleh British di Singapura kerana tulisannya, "Taman Bahagia." Ketika menyiapkan tesis PhD-nya di Fakulti Psikologi, Aligarh Muslim University (1942-1943), beliau mula mendalami ilmu tasawuf sehingga terkenal beliau sebagai tokoh tasawuf di negara ini.

Ketika Perang Dunia Kedua sedang tercetus, beliau telah dilantik sebagai Penasihat Adat Istiadat Melayu di Gunseikanbu, Markaz Tentera Jepun Singapura pada 1943, sebelum berpindah ke Markaz Besar Tentera Jepun di Taiping pada 1944. Selain menyusun Persidang Majlis Agama Malai-Sumatera di Kuala Kangsar, beliau juga telah menggubal draf perlembagaan Tanah Melayu merdeka "Piagam Taiping," pada 1945, tetapi kemerdekaan gagal diisytiharkan. Menerusi Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS) beliau memimpin pergerakan politik bersama Ibrahim Haji Yaakob pada akhir zaman Jepun, dan kemudiannya memimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), mengetuai Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan mempengerusikan kerjasama PUTERA-AMCJA antara 1946-1948. Pada 1950, beliau memimpin Jawatankuasa Bertindak Isu Natrah yang menyebabkan beliau ditahan selama 18 bulan di Singapura, sebelum beliau terlibat mengasaskan Parti Rakyat Malaya (PRM) pada 1955.

Penglibatan beliau dalam gerakan politik Islam di Indonesia dan India sebelum ini, telah mendorong beliau mengatur penubuhan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 sebelum ia menubuhkan Hizbul Muslimin pada 1948. Ketika PAS ditubuhkan, Dr Burhanuddin al-Helmy berada dalam tahanan British. Selepas dibebaskan pada 1952, beliau tidak menyertai mana-mana parti politik, tetapi menerima perlantikan sebagai Ahli Kehormat PAS Johor Bahru pada 1954, sebelum menjadi ahli PAS secara rasmi pada 14 Disember 1956. Pada 25 Disember 1956, beliau diangkat sebagai Yang Dipertua Agung PAS ketiga menggantikan Dr Haji Abbas Alias. Ahli Parlimen Besut (1959-1964) ini memimpin PAS sehingga beliau ditahan ISA pada 28 Januari 1965. Tokoh yang dikenal sebagai "Putera Setia Melayu Raya" ini kemudiannya hanya menjadi pemimpin de jure PAS kerana sekatan politik yang dikenakan ke atasnya sejak 14 Mac 1966 sehingga 22 September 1969. Pembebasan ini ada sebahagian dari strategi Perikatan untuk mendekati PAS selepas Tragedi 13 Mei 1969. Tetapi, sebulan kemudian, iaitu pada 25 Oktober 1969, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah meninggal dunia dan Dato' Mohd Asri Haji Muda memangku jawatan beliau sehingga krisis politik berakhir pada 1971.

Disusun oleh: Arkib PAS

24 Oktober 2016

24 Oktober 1977 : 'Formula Mahathir' Cadangkan Pak Nik Lah Sebagai Menteri Besar Kelantan Baru

Pada hari ini dalam tahun 1977, Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan satu pelan yang dikenali sebagai "Formula Mahathir" untuk menyelesaikan krisis politik Kelantan. Formula ini dikemukakan dalam satu pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri itu dengan wakil PAS, Dr Haron Din, Dr Haji Abbas Alias dan Dr Daeng Sanusi Mariok yang diadakan di kediaman Ketua Polis Kelantan. Formula ini mencadangkan supaya kerajaan Dato' Mohamad Nasir meletakkan jawatan dan sebuah kerajaan baru diketuai oleh Ustaz Nik Abdullah Arshad ditubuhkan.

Krisis politik Kelantan tercetus sejak PAS menyertai BN pada 1 Jun 1974, di mana selepas Pilihan Raya Umum 1974, Pengerusi BN, Tun Abdul Razak Hussein yang juga Perdana Menteri telah menolak calon Menteri Besar yang dinamaka oleh PAS, Wan Ismail Ibrahim. Tun Abdul Razak Hussein yang dipengaruhi oleh Tengku Razaliegh Hamzah sebaliknya melantik Dato' Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan. Hal ini telah menimbulkan krisis kepemimpinan yang berpanjangan sehingga PAS Kelantan mendesak Dato' Mohamad Nasir meletak jawatan. Konflik ini berakhir dengan pemecatan keahlian PAS ke atas Menteri Besar Kelantan itu pada 10 Oktober 1977 dan diikuti oleh usul undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977. Kemudian berlaku rusuhan yang berkemuncak pada 22 Oktober 1977 di mana 5,489 orang anggota keselamatan dikerahkan untuk bertugas di Kelantan ketika ini.

Usaha menyelesaikan konflik ini telah dibuat dengan diadakan rundingan antara Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn dengan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 13 Oktober 1977, tetapi rundingan ini gagal. Kemudian, Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengemukakan Formula Mahathir untuk menyelesaikan krisis ini dalam rundingan pada 24 Oktober 1977. Antara formula yang dicadangkan ialah:

I. Kerajaan Dato' Mohamad Nasir meletakkan jawatan dan DUN tidak perlu dibubarkan;
II. Sebuah kerajaan baru dibentuk dengan syarat semua Exco PAS ditukar, dengan Dato' Ishak Lotfi Omar dan Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad tidak boleh terlibat, tetapi semua Exco Umno boleh dikekalkan; dan
III. Ustaz Nik Abdullah Arshad dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru.

Ustaz Nik Abdullah Arshad (1934-1996) adalah salah seorang tokoh awal PAS Kelantan yang menjadi ADUN Kota Bharu Pantai (1959-1974) dan ADUN Sering (1974-1982), yang juga merupakan bekas Speaker DUN Kelantan (1972-1974). Beliau yang pernah ditahan ISA pada 1964-1966 adalah Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (1962-1964), Yang Dipertua PAS Kota Bharu (1966-1971), Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan (1968-1971) dan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa sejak 1975. Beliau dinamakan oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai calon yang paling sesuai menjadi Menteri Besar untuk menamatkan krisis politik Kelantan, tetapi PAS Kelantan menolaknya pada 29 Oktober 1977 kerana tidak mahu sebuah "kerajaan patung" dibentuk di Kelantan seperti yang berlaku pada zaman Dato' Mohamad Nasir.

Dalam pada itu, Dr Mahathir Mohamad 'mengancam,' jika formula ini tidak diterima, satu pentadbiran darurat atau mageran akan diwujudkan dengan diketuai oleh seorang pegawai MCS yang bertanggungjawab kepada Perdana Menteri. Di sebalik penolakan PAS Kelantan terhadap formula ini, ia juga ditolak oleh PAS Pusat ketika Dr Haron Din melaporkan rancangan tersebut kepada Dato' Mohd Asri Haji Muda. Akhirnya, cadangan Dr Mahathir Mohamad untuk mendaruratkan Kelantan menjadi kenyataan apabila Rang Undang-undang Darurat (Kelantan) 1977 dibawa ke Dewan Rakyat pada 8 November 1977.

Disusun oleh: Arkib PAS


23 Oktober 2016

23 Oktober 1983 : Dato' Mohd Asri Muda Letak Jawatan Yang Dipertua Agung PAS

Pada hari ini dalam tahun 1983, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah meletakkan jawatannya sebagai pemimpin tertinggi PAS, yang sekali gus menamatkan krisis kepemimpinan dalam PAS yang tercetus sejak 1981. Perletakan jawatan ini juga menjadi batu tanda permulaan era kepemimpinan ulamak dalam PAS apabila Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi memangku jawatan tertinggi PAS.

Dato' Mohd Asri Haji Muda merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan kepemimpinan PAS iaitu semenjak 1965 hingga 1971 sebagai Pemangku Yang Dipertua Agung PAS dan mulai 1971 hingga 1982 sebagai Yang Dipertua Agung PAS. Dato' Mohd Asri Haji Muda yang memulakan karier politiknya bersama PAS sejak 1953 sebagai Setiausaha Kerja PAS, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Kewangan PAS (1954-1955), Pesuruhjaya PAS Pantai Timur (1954-1955), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1955-1962), Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu (kemudian Kelantan sahaja) (1956-1962), Naib Yang Dipertua Agung PAS (1962-1964) dan Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (1964). Ketika beliau sedang memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS (1964-1971), pada 28 Januari 1965, Dato' Mohd Asri Haji Muda yang juga Menteri Besar Kelantan terpaksa memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS kerana Prof Dr Burhanuddin al-Helmy ditahan ISA. Selepas Dr Burhanuddin al-Helmy dibebaskan dengan dikenakan sekatan politik 1966, beliau terus memangku jawatan utama PAS sehingga berakhirnya sekatan politik ke atas Dr Burhanuddin al-Helmy, iaitu sebulan sebelum kematian Yang Dipertua Agung PAS itu. Sejak 1971, Dato' Mohd Asri mengambil alih kepemimpinan tertinggi secara rasmi.

Krisis kepemimpinan dalam PAS mula terserlah apabila Pak Yusof Rawa mengalahkan Dato' Abu Bakar Umar sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dalam pemilihan parti 1981. Dato' Mohd Asri Haji Muda kemudiannya melantik Dato' Abu Bakar Umar dan Haji Hassan Mohammad masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung PAS yang mendatangkan kritikan daripada kebanyakkan pimpinan PAS. Di Kelantan, perlantikan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan pada 1981 telah bertukar menjadi konflik dalam soal pemilihan calon ketika menghadapi Pilihan Raya Umum 1982 apabila Pesuruhjaya PAS Kelantan itu tidak dilantik dalam Jawatankuasa Pemilihan Calon bagi negeri Kelantan. Kemuncak kepada konflik ini, Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengadakan Muktamar Tahunannya lebih awal di Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam pada 31 Julai hingga 2 Ogos 1982. Ia dianggap sebagai satu usaha untuk meminggirkan Dato' Mohd Asri Haji Muda. 

Dalam majlis pembukaan Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada pagi 22 Oktober 1982, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah bertindak untuk tidak hadir menyampaikan ucapan dasarnya atas alasan ia tidak lagi mustahak kerana Dewan Pemuda PAS telah bermuktamar. Pada keesokannya (23 Oktober 1982), Dato' Mohd Asri Haji Muda telah menyampaikan satu ucapan dasar tanpa tema (kemudian diberikan tema oleh pengikutnya sebagai "Ukhuwah Bukan 'Adawah"), yang memuji dasar Islamisasi BN dan mengkritikan golongan ulamak dalam PAS. Ini telah menyebabkan beliau menerima kritikan dan di"boo" oleh sesetengah ahli PAS. Beliau mendakwa ada pihak tertentu yang melaung slogan "Marakbar Asri!" Bertolak dari kritikan keras ke atas kepemimpinan beliau ini, pada petang 23 Oktober 1982, dengan dorongan beberapa pengikut utamanya, beliau telah mengemukakan surat perletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS.

Surat perletakan jawatan yang dibacakan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Abu Bakar Umar ini telah disambut dengan laungan takbir oleh para perwakilan, walaupun pada awalnya Dato' Mohd Asri Haji Muda menjangkakan satu usul untuk memberikan semula mandat kepada beliau akan dibuat oleh satu perwakilan dari Kelantan, tetapi ia tidak berlaku. Oleh kerana tidak ada perwakilan yang membantah perletakan jawatan Yang Dipertua Agung PAS ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang mengadakan mesyuarat khas pada hari itu juga telah memutuskan untuk menerima perletakan jawatan tersebut, sekali gus menamatkan era kepemimpinan Dato' Mohd Asri Haji Muda sejak awal 1965.

Disusun oleh: Arkib PAS

22 Oktober 2016

22 Oktober 1990 : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Kelantan

Pada hari ini dalam tahun 1990, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru, setelah BN gagal mempertahankan Kerajaan Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990. Dengan perlantikan Menteri Besar Kelantan yang baru ini, ia telah mengembalikan semula Kerajaan Kelantan ke tangan PAS setelah ia jatuh ke tangan BN dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan pada 12 Mac 1978. Menteri Besar Kelantan dari BN, Tan Sri Mohamed Yaacub telah memimpin Kelantan selama 12 tahun mulai 1978 hingga 1990.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang tokoh agama lulusan Darul Ulom, Deoband dan Universiti al-Azhar, Mesir adalah ADUN Semut Api sejak 1986. Sebelum itu beliau merupakan Ahli Parlimen Kelantan Hilir (1967-1974) dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (1974-1986). Sejak 1986, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang di DUN Kelantan, sebelum menjadi Ketua Kerajaan selaku Menteri Besar mulai 22 Oktober 1990. Beliau adalah Menteri Besar Kelantan yang keenam selepas merdeka mengikuti pendahulunya Ustaz Dato' Haji Ishak Lotfi Omar (1959-1964 dan 1973-1974), Dato' Mohd Asri Haji Muda (1964-1972), Dato' Mohamad Nasir (1974-1978) dan Tan Sri Dato' Haji Mohamed Yaacub (1978-1990).

Kedudukan Kerajaan BN di Kelantan telah tergugat sejak tercetusnya krisis kepemimpinan Umno pada 1987. Kekalahan Tengku Razaliegh Hamzah dalam pemilihan Umno pada 27 April 1987 telah menyebabkan parti itu berpecah dan diharamkan oleh mahkamah. Serpihan Umno atau Team B Umno yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah telah menubuhkan Semangat 46 sebelum mereka membentuk pakatan politik dengan serpihan PAS, Berjasa di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). PAS sendiri pada 12 Mac 1988 telah mengemukakan usul undi tidak percaya melalui ADUN Banggol, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman terhadap Kerajaan BN Kelantan ekoran pengharaman Umno ini, tetapi ia tidak mendapat sokongan ADUN BN yang pro Team B Umno. Sejak akhir 1988 juga, PAS mulai membentuk persefahaman politik dengan Angkatan, di mana PAS telah diberikan hak untuk mentadbir Kelantan jika kerjasama PAS-Angkatan berjaya menguasai Kelantan.

Hasil daripada persefahaman politik yang dibentuk bersama antara PAS dengan Angkatan yang dianggotai oleh Berjasa, Semangat 46 dan Hamim, dalam Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990, gabungan politik ini berjaya menguasai Kelantan. Persefahaman PAS-Angkatan telah menyapu bersih kesemua 13 kerusi Parlimen dan 39 kerusi DUN, di mana PAS memenangi sebanyak 24 kerusi, Semangat 46 mendapat 13, Berjasa satu dan Hamim satu (atas tiket Semangat 46). Dengan kemenangan ini, pada 22 Oktober, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru. Turut mengangkat sumpah selepas itu ialah Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (Banggol), Ustaz Idris Ahmad (Tawang), Ustaz Yahya Othman (Banggol Judah) dan Dato' Abdul Halim Mohamad (Bunut Payung) sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco).

Disusun oleh: Arkib PAS

21 Oktober 2016

21 Oktober 1961 : Tiga ADUN PAS Terengganu Keluar Parti Setelah Diculik

Pada hari ini dalam tahun 1961, tiga orang ADUN PAS dari Terengganu telah mengumumkan keluar parti dan menyertai Umno, sekaligus mengakhirkan krisis politik Terengganu dengan kejatuhan Kerajaan PAS Terengganu yang dibentuk pada 29 Jun 1959. Konflik kepemimpinan yang bertukar menjadi krisis politik ini berpunca dari kemenangan tipis PAS dalam Pilihan Raya Negeri Terengganu 1959 di mana PAS hanya menguasai 13 daripada 24 kerusi DUN. Pergolakan yang berlaku sejak proses melantik Menteri Besar Terengganu itu telah menyebabkan ADUN Jeram, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah dan ADUN Marang, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar keluar masuk PAS sejak Jun 1960, selain tindakan Senator Tuan Guru Haji Abbas Mohamad yang turut keluar parti pada 22 Julai 1960.

PAS telah mengambil beberapa langkah untuk mengukuhkan parti dan kerajaan setelah Kerajaan PAS Terengganu dikenakan usul undi tidak percaya pertama kali pada 6 Ogos 1960, di mana Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah, bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu yang sudah keluar parti, mengundi mempertahankan Kerajaan PAS. Antara langkah yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS ialah sama ada membentuk sebuah kerajaan campuran dengan Parti Negara yang mempunyai empat ADUN atau menarik mana-mana ADUN Parti Negara menyertai PAS. Ketika proses perundingan pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Parti Negara berada di peringkat terakhir, ADUN Langkap dari Parti Negara, Ismail Abbas telah mengumumkan penyertaannya dalam PAS, sekali gus menggagalkan proses rundingan kerajaan campuran.

Kegagalan rundingan kerajaan campuran dan penyertaan ADUN Langkap ke dalam PAS ini telah menyebabkan PAS menghadapi dua musuh serentak iaitu Perikatan dan Parti Negara. Perikatan yang dipimpin oleh Ibrahim Fikri Mohamad telah menyusun langkah mensabotaj kerajaan PAS, termasuk menculik ADUN PAS sehingga kerajaan dapat dijatuhkan. Sedangkan pemimpin Parti Negara, Wan Daud Wan Ahmad pula berusaha menarik dua lagi ADUN Parti Negara supaya menyokong Perikatan. Dua ADUN PAS, Tuan Guru Haji Wan Said Mohd Noor (Kuala Besut) dan Tuan Guru Haji Abdul Kadir Mohamad (Kuala Terengganu Tengah) telah hilang kerana diculik, setelah tersiar di akhbar-akhbar sejak 19 Jun 1961 bahawa ADUN Marang, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar akan keluar parti. Jika PAS kehilangan tiga ADUN ini bersama Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah, kerusi PAS di DUN Terengganu akan berkurang dari 14 (termasuk ADUN Langkap yang menyertai PAS), kepada 10 dari 24 kerusi DUN.

Di sebalik misteri kehilangan dua ADUN dan desas-desus keluarnya ADUN Marang dari PAS, pada 21 Oktober 1961, media massa telah menyiarkan berita bahawa enam ADUN Terengganu telah menyertai Umno, iaitu tiga ADUN PAS (Kuala Besut, Kuala Terengganu Tengah dan Marang) dan tiga ADUN Parti Negara, sekali gus menjadikan jumlah ADUN Perikatan bertambah dari tujuh kepada 13 orang. Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 21 Oktober 1961 telah menerima laporan kehilangan ADUN PAS dan pengumuman mereka menyertai Umno, dan telah mengambil keputusan supaya pimpinan tertinggi PAS diketuai Mohd Asri Haji Muda segera ke Terengganu untuk menyelesaikan masalah ini sebelum DUN Terengganu bersidang pada akhir Oktober 1961. Akibatnya, pada 30 Oktober 1961, Kerajaan PAS Terengganu pimpinan Mohd Daud Abdul Samad selaku Menteri Besar Terengganu telah tumbang dalam satu usul undi tidak percaya.

Disusun oleh: Arkib PAS

20 Oktober 2016

20 Oktober 1987 : Mesyuarat Pertama Majlis Syura Ulamak PAS Memulakan Era Kepimpinan Ulamak

Pada hari ini dalam tahun 1987, Majlis Syura Ulamak PAS telah mengadakan mesyuarat pertamanya sejak ia ditubuhkan dengan membuat beberapa keputusan penting berkait dasar dan perjawatan parti. Majlis Syura Ulamak PAS adalah institusi terbaru yang dibentuk oleh PAS selepas krisis kepemimpinan dalam tahun 1982. Institusi yang telah berusia 29 tahun ini menjadi rujukan dan pemutus segala dasar PAS supaya ia sentiasa mematuhi sumber-sumber hukum PAS iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias, sekali gus membentuk institusi kepemimpinan ulamak secara rasmi dalam PAS.

Majlis Syura Ulamak PAS merupakan institusi kepada kepemimpinan ulamak dalam PAS telah ditubuhkan hasil dari keputusan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982. Usul Dewan Pemuda PAS Pusat yang diterima oleh Muktamar PAS itu menghendaki PAS menginstitusikan kepemimpinan ulamak. Hasilnya, satu kajian untuk meminda Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977 telah dibuat bagi memperkasakan semula organisasi PAS dan pada 31 Ogos 1983, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah meluluskan cadangan-cadangan yang dikemukakan, termasuk cadangan menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS. Majlis Syura Ulamak PAS yang dianggotai oleh 12 orang ulamak dengan diketuai oleh seorang Mursyidul Am adalah bertanggungjawab mengawal dasar dan tatatertib parti, selain berkuasa menafsirkan Perlembagaan PAS. Cadangan ini telah diluluskan kemudiannya oleh Muktamar Tahunan PAS Ke-29 pada 30 April - 1 Mei 1983.

Setelah cadangan pindaan ini diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Ke-29, pada 18 Mac 1987, Pendaftar Pertubuhan telah mengesahkan pindaan tersebut, sekali gus membolehkan PAS mewujudkan Majlis Syura Ulamak PAS. Pada 21 Jun 1987, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah bersetuju supaya PAS menubuhkan segera Majlis Syura Ulamak PAS dan melantik empat orang Ahli Majlis Syura Ulamak PAS iaitu Ustaz Haji Yusof Rawa, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad. Kemudian, Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat telah melantik empat lagi Ahli Majlis Syura Ulamak PAS iaitu Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Tuan Guru Haji Azhari Abdul Razak dan Ustaz Yahya Othman. Dengan perlantikan lapan daripada 12 orang Ahli Majlis Syura Ulamak PAS ini, badan tertinggi PAS tersebut telah mulai boleh berfungsi menjalankan tugas-tugas yang digariskan oleh Perlembagaan PAS (Pindaan) 1987.

Pada 20 Oktober 1987, Majlis Syura Ulamak PAS yang mempunyai lapan anggota ini telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama. Antara keputusan yang ditetapkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS ialah melarang PAS terlibat dengan perhimpunan perkauman dan asobiyah yang dianjurkan oleh mana-mana pihak sekalipun. Keputusan ini adalah berkaitan pergeseran politik antara Umno dan MCA yang menyebabkan kedua-dua parti mengadakan perhimpunan perkauman, dan ia berakhir dengan penahanan 106 orang ahli politik di bawah ISA dalam Operasi Lalang. Umno sendiri yang sedang menghadapi perpecahan antara Team A pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dengan Team B yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah telah masing-masing cuba menjuarai perjuangan kebangsaan Melayu.

Selain menetapkan dasar PAS berkait isu perkauman tersebut, mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak PAS telah membuat tiga perlantikan iaitu:

I. Melantik empat lagi Ahli Majlis Syura Ulamak PAS terdiri daripada Ustaz Haji Harun Taib, Ustaz Dr Daeng Sanusi Mariok, Ustaz Idris Omar dan Ustaz Mohd Akhir Yaakub;
II. Melantik Ustaz Haji Hassan Shukri sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS; dan
III. Melantikan Jawatankuasa Tatatertib PAS yang terdiri daripada Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor sebagai pengerusi, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Haji Wan Muttalib Embong, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Ustaz Haji Hassan Shukri sebagai ahli-ahlinya.

Walaupun keseluruhan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS telah dilantik pada 20 Oktober 1987, namun perlantikan ini tidak melibatkan jawatan Mursyidul Am PAS. Mursyidul Am PAS yang pertama, Ustaz Haji Yusof Rawa hanya dilantik pada 16 November 1987, iaitu dalam mesyuarat mereka yang kedua. Pada 30 Oktober 1988, Majlis Syura Ulamak PAS telah menerima perletakan jawatan oleh Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad, dengan Prof Dr Haji Haron Din telah dilantik menggantikan beliau. Paling menarik dalam mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak PAS ini ialah kerana ia diadakan bertepatan dengan ulang tahun kelahiran Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kali ke-40. Dan sehingga kini, beliaulah satu-satunya Ahli Majlis Syura Ulamak PAS yang kekal menduduki majlis tersebut selama 29 tahun berturut-turut.

Disusun oleh: Arkib PAS

19 Oktober 2016

19 Oktober 1953 : Pejabat Agung PAS Berpindah Dari Bukit Mertajam Ke Kepala Batas

Pada hari ini dalam tahun 1953, Pejabat Agung PAS yang terletak di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam telah berpindah ke pejabat yang baru di Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas, Pulau Pinang. Ini adalah kali keempat ia berpindah setelah menumpang sementara di rumah Sheikh Abdullah Fahim sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 24 November 1951. Pejabat Agung PAS kemudiannya beralamat di No. 721, Kepala Batas (sekarang Jalan Kedah) iaitu menumpang di rumah Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Ahmad Maliki. Selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953, Cikgu Ahmad Awang dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS, dan Pejabat Agung PAS ditempatkan di Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam, iaitu sekolah agama milik Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, Yang Dipertua Agung PAS.

PAS tidak menghadapi sebarang masalah dengan Pejabat Agungnya di Bukit Mertajam kerana Yang Dipertua Agung PAS adalah mudir madrasah tersebut. PAS juga mempunyai Setiausaha Kerja sepenuh masa di sini iaitu bekas pemimpin Hizbul Muslimin, Mohd Asri Haji Muda. Namun begitu, dalam usaha PAS menuntut kemerdekaan melalui tuntutan pilihan raya segera, telah timbul krisis kepemimpinan. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan cenderung untuk membawa PAS mendukung tuntutan National Conference tajaan 16 orang kenamaan, sedangkan sebahagian pimpinan PAS yang lain mahu PAS bersama National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA. Akhirnya pada 26 September 1953, Mesyuarat Agung Khas PAS di Madrasah al-Masriyah telah memutuskan supaya PAS bersama National Convention.

Keputusan Mesyuarat Agung Khas PAS ini kemudiannya telah menyebabkan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan meletakkan jawatan dan keluar dari PAS kerana beliau berpendapat keputusan PAS tidak selari dengan pendiriannya. Setelah beliau berundur dari PAS, beliau telah meminta supaya PAS tidak lagi berpejabat agung di madrasahnya. Ekoran itu, pada 8 Oktober 1953, Jawatankuasa Tadbir PAS telah membincangkan kedudukan Pejabat Agungnya. Mudir Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah telah menawarkan supaya Pejabat Agung PAS menumpang di madrasahnya sementara mendapat pejabat yang lebih baik. Perpindahan ini ditetapkan akan dibuat dalam tempoh 10 hari dan mulai 19 Oktober 1953, Pejabat Agung PAS yang baru adalah bertempat di Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas.

Perpindahan yang berkuatkuasa mulai 19 Oktober 1953 ini telah menyebabkan proses pendaftaran PAS yang dikendalikan oleh Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias telah menamakan madrasah ini sebagai Pejabat Agung PAS yang berdaftar. Walaupun selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketiga pada 12-14 Ogos 1954 yang memutuskan isu disiplin parti, di mana Ustaz Haji Ahmad Badawi telah memilih kekal bersama Umno dan memaksa Pejabat Agung PAS berpindah lagi ke sebuah rumah kedai berhampiran, namun nama madrasah ini kekal dalam pendaftaran PAS. Ketika pendaftaran PAS sebagai parti politik diluluskan pada 31 Mei 1955, ia mencatatkan alamat PAS ialah Arabic School, Kepala Batas dengan merujuk kepada Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah.

Disusun oleh: Arkib PAS

18 Oktober 2016

18 October 1999 : Timbalan Presiden PAS Kemuka Rang Undang-Undang Persendirian Tangani Murtad

Pada hari ini dalam tahun 1999, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang telah mengemukakan lima usul rang undang-undang persendirian ahli bukan kerajaan di Dewan Rakyat bagi menangani gejala murtad yang sedang berlaku. Ini adalah kali kedua rang undang-undang tersebut dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul setelah ia dilakukan kali yang pertama pada 12 Julai 1999, tetapi gagal dibentangkan. Dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Kesembilan yang bermula 18 Oktober hingga 10 November 1999, usul-usul tersebut diangkat kali yang kedua.

Isu murtad telah menggemparkan negara sejak 1996 apabila berlaku kes pertukaran agama kepada bukan Islam secara terbuka. Kes yang paling terkenal ialah kes Hartina Kamaruddin yang memeluk agama Hindu pada Mac 1996 dan kes Nor Aishah Bokhari yang memeluk agama Kristian pada November 1997. Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Shaari Bustamah dalam satu kenyataannya menyebutkan terdapat 4,776 kes permohonan menukar nama kepada nama bukan Islam dan 516 kes murtad di Wilayah Persekutuan sehingga 1998. Gejala ini telah menular di kalangan umat Islam kerana tidak ada undang-undang yang mengawal penyebaran agama lain ke atas umat Islam.

Bertindak terhadap gejala ini, PAS bukan sahaja menubuhkan jawatankuasa khas menangani isu murtad dan mewakili keluarga di mahkamah, tetapi pada 21 Mac 1998, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah memutuskan supaya Ahli Parlimen Marang membawa usul persendirian untuk mewujudkan undang-undang kawalan murtad. Pada 25 Mac 1998, Timbalan Presiden PAS itu telah mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat untuk membincangkan isu murtad, tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Zahir Ismail. Lanjutan dari itu, pada 18 April 1998, PAS telah menghantar delegasi terdiri daripada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Marang), Dr Daeng Sanusi Mariok (Rantau Panjang), Ustaz Wan Mohd Jamil Mahmood (Tumpat), Ustaz Mohd Amar Abdullah (Pengkalan Chepa) dan Senator Jamilah Ibrahim bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan masalah murtad ini.

Setelah usaha-usaha PAS tidak mendapat sambutan yang memuaskan daripada Kerajaan BN, pada 12 Julai 1999, Timbalan Presiden PAS telah mencadangkan rang undang-undang persendirian bagi maksud tersebut, tetapi ia gagal dibentangkan sehingga sesi sidang tersebut berakhir. Pada sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Kesembilan yang berlangsung mulai 18 Oktober 1999 hingga 10 November 1999, sekali lagi usul rang undang-undang persendirian ini dikemukakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Lima usul rang undang-undang persendirian ini bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan, meminda Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan), meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), meminda Akta Kesalahan Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) dan mencadangkan Rang Undang-undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) sebagai undang-undang baru.

Kelima-lima usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Marang adalah bertujuan mewujudkan peraturan untuk mengawal perbuatan murtad dan menghalang agama bukan Islam disebarkan kepada orang Islam. Walaupun usul ini telah diangkat kepada Dewan Rakyat pada 18 Oktober 1999, tetapi ia gagal dibentangkan kerana pada 11 November 1999, Parlimen telah dibubarkan yang menyebabkan persidangan Dewan Rakyat terhenti pada 10 November 1999. Pada tahun 2011, telah tercetus pula isu Lina Joy yang mendorong PAS menerusi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mengemukakan usul rang undang-undang persendirian untuk mengawal murtad pada 9 Ogos 2011, tetapi juga gagal dibentangkan.

Disusun oleh: Arkib PAS

17 Oktober 2016

17 Oktober 1977 : Speaker DUN Kelantan Serah Undi Tidak Percaya Pada Pemangku Sultan

Pada hari ini dalam tahun 1977, Speaker DUN Kelantan, Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad telah mengemukakan keputusan DUN Kelantan yang telah membuat undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohamad Nasir pada 15 Oktober 1977 kepada Pemangku Raja Kelantan. Keputusan DUN Kelantan terhadap usul ini telah diangkat kepada Tengku Mahkota Kelantan yang juga Pemangku Raja, Tengku Ismail Petra ibni Sultan Yahya Petra untuk membolehkan pihak Istana Negeri mengambil tindakan setelah Menteri Besar Kelantan itu gagal mendapat sokongan majoriti daripada ADUN-ADUN. Usul undi tidak percaya ini merupakan kemuncak kepada krisis politik Kelantan yang tercetus sejak 1974.

Konflik dalam kepemimpinan PAS Kelantan yang berpunca dari krisis pentadbiran kerajaan berlaku apabila PAS menamakan Wan Ismail Ibrahim sebagai calon Menteri Besar Kelantan, telah ditolak oleh Pengerusi BN, Tun Abdul Razak Hussein atas percaturan Umno Kelantan selepas Pilihan Raya Umum 1974. Perdana Menteri itu sebaliknya menamakan Dato' Mohamad Nasir, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan (1959-1964) sebagai Menteri Besar yang baru mulai 22 September 1974. Bertolak dari masalah ini, pada 13 Mac 1975, sejumlah ADUN PAS Kelantan telah melahirkan ketidakpuasan hati terhadap Dato' Mohamad Nasir yang dikatakan lebih dekat dengan Umno dan tidak melaksanakan keputusan parti. Pada 8 Mei 1975, Menteri Besar Kelantan itu telah membuat satu kenyataan kepada media yang menimbulkan kemarahan pimpinan PAS berkait isu balak dan pentadbiran negeri, sehingga Dewan Pemuda PAS Kelantan pada 15 Mei 1975 menggesa beliau meletakkan jawatan. Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 29 Mei 1975 pula memutuskan bahawa Dato' Mohamad Nasir tidak layak memimpin kerajaan dan beliau perlu digantikan.

Selepas kematian Tun Abdul Razak Hussein pada 14 Januari 1976, Dato' Mohamad Nasir telah memaklumkan secara bertulis kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 20 November 1976 bahawa beliau akan meletakkan sebagai Menteri Besar mulai 31 Ogos 1977. Dengan percaturan Umno, beliau gagal berbuat demikian pada tarikh tersebut sehingga memaksa semua ADUN PAS mendesak beliau meletak jawatan sebelum 28 September 1977, sebaliknya Badan Perhubungan PAS Kelantan mahu beliau berundur sebelum 20 September 1977 atau dikenakan tindakan tatatertib. Pada 26 September 1977, Jawatankuasa Kerja Agung PAS memutuskan supaya Menteri Besar Kelantan tidak membuat kenyataan kepada media dan berundur dari jawatan sebelum 29 September 1977.

Ekoran kegagalan Dato' Mohamad Nasir mematuhi keputusan parti, pada 4 Oktober 1977, beliau telah dipecat dari menjadi ahli PAS, dan keputusan ini disahkan semula pada 10 Oktober 1977 selepas keputusan sebelumnya menghadapi masalah teknikal. Ekoran itu, pada 15 Oktober 1977, satu usul undi tidak percaya telah dikemukakan di DUN Kelantan dengan sokongan majoriti.

Kesan daripada keputusan DUN Kelantan ini telah menyebabkan Dato' Mohamad Nasir telah kehilangan sokongan di DUN dan pihak Istana Kelantan perlu melantik menteri besar yang baru. Pada 17 Oktober 1977, Speaker DUN Kelantan telah mengangkat keputusan DUN Kelantan ini kepada Pemangku Raja, walaupun Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn meminta Dato' Mohamad Nasir kekal sebagai Menteri Besar. Sedangkan pada 15 Oktober 1977, selepas dikenakan undi tidak percaya, Dato' Mohamad Nasir telah mengadap Pemangku Raja untuk meminta DUN dibubarkan. Sebaliknya, ia berakhir dengan Kelantan diisytiharkan darurat pada 8 November 1977.

Disusun oleh: Arkib PAS

16 Oktober 2016

16 Oktober 2003 : Zaid Ibrahim Gesa EKJS Terengganu 2002 Tidak Diwartakan

Pada hari ini dalam tahun 2003, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mohd Zaid Ibrahim telah menggesa Kerajaan PAS Terengganu supaya jangan mewartakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan kesahihan undang-undang serupa yang digubal oleh DUN Kelantan pada 1993. Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu merupakan seorang peguam yang terkenal dan lantang mengkritik perlaksanaan syariat di negara ini. Pada 12 Julai 2002, beliau telah bertindak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan untuk memohon deklarasi bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 sebagai tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perlaksanaan undang-undang jenayah syariah telah menjadi isu di negara ini sejak 1992 apabila Kerajaan PAS Kelantan memulakan langkah penggubalan undang-undang tersebut sehingga ia berjaya diluluskan oleh DUN Kelantan pada 23 November 1993. Apabila PAS berjaya menguasai Terengganu selepas Pilihan Raya Umum 1999, Kerajaan PAS Terengganu pula mengemukakan undang-undang jenayah syariah ke DUN Terengganu pada 7-8 Julai 2002. Di sebalik tindakan media pro BN memanipulasikan isu hudud ini, Ketua Umno Bahagian Kota Bharu telah bertindak membawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 ke Mahkamah Persekutuan pada 12 Julai 2002 dengan maksud untuk menghalang proses penggubalan undang-undang tersebut di Terengganu. Umno Kelantan sendiri pada 28 Julai 2002 telah dimaklumkan bahawa kabinet dan Majlis Tertinggi Umno tidak bersetuju dengan tindakan Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang menyebabkan Umno dituduh menolak hudud dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Pendang dan DUN Anak Bukit sepanjang Julai 2002.

Selepas berjaya menggubal Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 26 September 2003 telah mengumumkan bahawa Kerajaan PAS Terengganu akan mewartakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 pada 27 Oktober 2003. Beliau turut mempertegaskan bahawa Kerajaan PAS Terengganu akan tetap melaksanakan undang-undang jenayah syariah walaupun tidak mendapat kerjasama polis. Pengumuman ini telah menghangatkan semula isu hudud sehingga mendorong pemimpin Umno seperti Datuk Mohd Zaid Ibrahim bertindak. 

Memberi respon terhadap pengumuman oleh Pemangku Presiden PAS yang juga Ketua Pembangkang itu, Datuk Mohd Zaid Ibrahim pada 16 Oktober 2003 telah membuat satu kenyataan untuk menggesa Kerajaan PAS Terengganu supaya tidak mewartakan enakmen jenayah syariah itu sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 terlebih dahulu. Lanjutan dari itu, pada 22 Oktober 2003, Datuk Mohd Zaid Ibrahim dilaporkan mengemukakan satu lagi permohonan ke mahkamah untuk menghalang undang-undang jenayah syariah dari dilaksanakan di Terengganu. Menyokong usaha Datuk Mohd Zaid Ibrahim ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 27 Oktober 2003 telah memberi amaran bahawa Kerajaan PAS Terengganu akan dikenakan tindakan jika melaksanakan enakmen tersebut yang dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Disusun oleh: Arkib PAS

15 Oktober 2016

15 Oktober 1961 : PAS Adakan Mesyuarat Agung Khas Bincang Penubuhan 'Melayu Raya'

Pada hari ini dalam tahun 1961, PAS telah mengadakan satu Mesyuarat Agung Khas bagi membincangkan isu penubuhan Melayu Raya yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra. Perdana Menteri Tanah Melayu itu membuat cadangan tersebut di dalam satu majlis bersama media di Singapura pada 27 Mei 1961. Tujuan utama cadangan penubuhan negara baru yang mencantumkan wilayah-wilayah jajahan British ini adalah untuk menangani pengaruh komunis, mengimbangi kaum, mengukuhkan ekonomi dan mempercepatkan kemerdekaan wilayah British.

Cadangan Tunku Abdul Rahman Putra ini adalah untuk menubuhkan sebuah negara baru, Melayu Raya dengan menggabungkan Tanah Melayu yang telah merdeka dengan Brunei, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura. Cadangan Perdana Menteri itu mendapat reaksi yang berbeza-beza terutama bagi negara jiran seperti Indonesia dan Filipina. Walaupun secara umumnya cadangan ini diterima oleh rakyat dari wilayah-wilayah tersebut, namun Tanah Melayu menghadapi tekanan politik dengan kempen "Ganyang Malaysia" oleh Indonesia dan tuntutan ke atas Sabah oleh Presiden Macapagal dari Filipina. PAS sendiri sebagai pembangkang terbesar belum mempunyai pendirian dalam soal ini.

Pada 26-28 September 1961, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan tentang sikap PAS dalam soal ini. PAS telah memutuskan supaya pendirian PAS ditentukan oleh Mesyuarat Agung Khas PAS. Satu Mesyuarat Agung Khas PAS akan diadakan di Kuala Lumpur dalam bulan Oktober 1961. Jawatankuasa Kerja Agung PAS juga telah memutuskan supaya satu kertas kerja tentang cadangan Melayu Raya dikemukakan dalam Mesyuarat Agung Khas itu, di mana Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohamad akan mengemukakan kertas tersebut. Mesyuarat Agung Khas PAS itu kemudiannya dipercepatkan kepada 15 Oktober 1961 ekoran persidangan Parlimen yang akan berlangsung pada 16 Oktober 1961. Perdana Menteri dijangka pada 16 Oktober 1961 itu akan membentangkan Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 1961 bagi membolehkan Melayu Raya ditubuhkan.

Dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 15 Oktober 1961 itu, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy dalam Ucapan Dasarnya telah menghuraikan tentang sejarah dan konsep Melayu Raya serta perjuangan beliau dalam mewujudkan Melayu Raya yang mencantumkan seluruh Alam Melayu sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Prof Zulkifli Mohamad pula dalam kertas kerjanya menghuraikan tentang ancaman ke atas orang Melayu dengan penubuhan Melayu Raya cadangan Tunku Abdul Rahman Putra ini. Beliau menjelaskan bahawa orang bukan Melayu dari Singapura berjumlah 1,384,100 bersama 500,000 lagi dari Borneo Utara, Brunei dan Sarawak akan menjadi rakyat negara ini, sedangkan orang Melayu dari wilayah-wilayah tersebut hanya berjumlah sekitar 977,300 orang sahaja. Menurut beliau, "Melayu akan tenggelam" kerana jumlah orang Melayu nanti hanya seramai 3.2 juta orang, sedangkan orang bukan Melayu berjumlah 4.7 juta orang.

Mesyuarat Agung Khas PAS itu telah menolak cadangan percantuman Tanah Melayu dengan Singapura sahaja, tetapi bersetuju supaya Tanah Melayu turut bercantum dengan Borneo Utara, Brunei, Sarawak dan Singapura. Dalam membahaskan percantuman yang kedua ini, Mesyuarat Agung Khas PAS telah bersetuju supaya Indonesia, Filipina dan kepulauan-kepulauan Melayu yang lain turut menyertai percantuman ini.

Ekoran keputusan Mesyuarat Agung Khas PAS pada 15 Oktober 1961 ini, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy yang mengemukakan satu usul persendirian pada 16 Oktober 1961 di Dewan Rakyat bagi meminda usul Perdana Menteri untuk memasukkan Indonesia, Filipina dan Kepulauan Melayu dalam usul penubuhan Malaysia. Kerana usul ini telah ditolak, pada 1 Mei 1962, Yang Dipertua Agung PAS itu sekali lagi mengemukakan usul di Dewan Rakyat berkait penubuhan Malaysia yang berbunyi "hendaklah memasukkan di dalam rancangan Melayu Raya itu daerah-daerah Indonesia dan Filipina." Namun begitu usul ini juga ditolak dengan undian yang kemudiannya menyebabkan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 tanpa penyertaan negara-negara tersebut.

Disusun oleh: Arkib PAS

14 Oktober 2016

14 Oktober 1984 : PAS Anggap Malaysia Adalah Negara Sekular Dan Bukan Sebuah Negara Islam

Pada hari ini dalam tahun 1984, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan dengan panjang lebar tentang status dan kedudukan negara Malaysia mengikut kaca mata politik Islam, dan memutuskan Malaysia bukanlah sebuah negara Islam, sebaliknya adalah sebuah negara sekular. Sejak mencapai kemerdekaan, secara undang-undang, Malaysia adalah sebuah negara sekular kerana Perikatan (Umno, MCA dan MIC) dalam memorandum mereka kepada Suruhanjaya Reid telah menuntut supaya Malaysia dikekalkan sebagai "negara keduniaan (secular state)" walaupun Islam menjadi agama bagi Persekutuan. Inilah pendapat yang dipegang oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu. Atas sebab itu PAS menolak Penyata Reid pada 2 Mei 1957 dan Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy menganggap kemerdekaan yang dicapai adalah masih kosong.

Isu status Malaysia adakah sebagai sebuah negara Islam atau tidak telah timbul kerana kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 25 Ogos 1984 yang mahu berdebat dengan PAS tentang status negara ini. Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam Asiaweek keluaran 24 Ogos 1984. Dalam temuramahnya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, Umno tidak bersedia untuk bersemuka dengan PAS bagi menyelesaikan masalah perpecahan orang Melayu-Islam. Kenyataan ini berkait dengan isu penahanan ISA ke atas tiga pemimpin Dewan Pemuda PAS Pusat pada 10 Julai 1984, yang dianggap oleh PAS sebagai usaha untuk menyekat perjuangan PAS menubuhkan negara Islam. Dalam memorandum kepada Menteri Dalam Negeri pada 14 Ogos 1984, PAS mendakwa Umno yang menganut sekular menjadi punca perpecahan umat Islam. Sementara itu, pimpinan PAS seperti Ustaz Nakhaie Ahmad pula menganggap fahaman kebangsaan yang dibawa oleh Umno adalah bertentangan dengan Islam.

Menyahut cabaran Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang juga Presiden Umno ini, pada 25 Ogos 1984, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah menyatakan kesediaan PAS untuk berdebat dengan Umno. PAS mencadangkan supaya lima pemimpin tertinggi kedua-dua parti bertemu dan Umno perlu membuktikan kebenaran terhadap tuduhan mereka bahawa PAS memutarbelitkan ayat-ayat al-Quran. Walau bagaimanapun cadangan PAS ini tidak mendapat maklum balas daripada Umno, sehinggalah Presiden Umno itu pada 15 September 1984 mengulangi cabaran kepada PAS untuk berdebat, dan Umno hanya menunggu kesediaan PAS untuk berbuat demikian. Kali ini, Umno mengalihkan isu perdebatan mereka dari isu perpecahan orang Melayu kepada isu PAS mengkafirkan ahli-ahli Umno. Sedangkan PAS masih mengekalkan asas yang sama iaitu faham kebangsaan sekular yang dianut dan diamalkan oleh Umno yang menjadikan negara ini sebagai bukan sebuah negara Islam, sekali gus menjadi punca perpecahan umat. Media massa pula menjadikan isu fatwa 'orang Umno kafir' sebagai asas perdebatan Umno-PAS. Cabaran Umno kali ini dijawab oleh PAS pada 17 September 1984 yang menyatakan kesediaan PAS berdebat dengan Umno.

Ekoran daripada cadangan Debat Umno-PAS ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14 Oktober 1984 telah mengambil pendirian bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, bukannya sebuah negara Islam. Pendirian ini sangat penting sebagai asas kepada semua persoalan yang berbangkit dalam perdebatan nanti, sama ada soal perpecahan Melayu atau fatwa mengkafirkan ahli Umno. PAS juga mengarahkan sebuah jawatankuasa kecil terdiri daripada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ustaz Harun Taib, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Hassan Saleh dan Syed Ibrahim Abdul Rahman bagi menyusun hujah-hujah wakil PAS dalam perdebatan tersebut. Pada 15 Oktober 1984, surat PAS telah dijawab oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Sanusi Junid yang mencadangkan debat diadakan di atas isu PAS mendakwa ahli Umno adalah kafir dan barang siapa yang menentangnya, jika mati, adalah syahid. Kedua-dua pihak kemudiannya bersetuju debat diadakan pada 11 November 1984 dengan PAS diwakili oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Ustaz Harun Taib, manakala Datuk Wan Mokhtar Ahmad, Anwar Ibrahim dan Ustaz Ibrahim Azmi Hassan mewakili Umno. Pada 8 November 1984, debat ini dibatalkan oleh Majlis Raja-raja dan pandangan PAS kekal bahawa negara ini bukan sebuah negara Islam.

Disusun oleh: Arkib PAS

13 Oktober 2016

13 Oktober 2001 : PAS Kutuk Dan Bantah Serangan Amerika Syarikat Ke Atas Afghanistan

Pada hari ini dalam tahun 2001, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil sikap mengutuk dan membantah tindakan Amerika Syarikat menyerang dan mencerobohi Afghanistan sejak 7 Oktober 2001. PAS bertindak mengutuk pencerobohan Amerika Syarikat dan tindakan negara-negara jiran Afghanistan, seperti Pakistan yang membenarkan Amerika Syarikat menggunakan pengkalan tentera mereka untuk mencerobohi Afganistan. PAS turut mengarahkan supaya diadakan satu tunjuk perasaan besar-besaran di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat bagi membantah tindakan biadap negara tersebut.

Perang Afghanistan yang tercetus pada 7 Oktober 2001 adalah berlanjutan daripada tragedi 11 September 2001 di mana dua buah pesawat telah merempuh bangunan berkembar World Trade Center (WTC) di New York. Amerika Syarikat mendakwa serangan ini dilakukan oleh para pengganas Islam, yang dinamakan oleh mereka sebagai kumpulan al-Qaeda pimpinan Osama ben Ladin. Amerika Syarikat mendakwa al-Qaeda bersekutu dengan kumpulan Taliban yang memerintah Afghanistan yang juga diisytiharkan oleh Amerika Syarikat sebagai pengganas. Atas alasan untuk menangkap Osama ben Ladin dan menghapuskan pengganas, Amerik Syarikat telah menyerang Afghanistan pada 7 Oktober 2001. Dengan sokongan NATO, Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush mendesak Kerajaan Taliban Afghanistan menyerahkan Osama ben Ladin dan menghapuskan al-Qaeda. Kerana Taliban tidak mengikuti arahan Amerika Syarikat itu, serangan telah dilakukan pada 7 Oktober 2001 dan ia hanya berakhir pada 28 Disember 2014.

Serangan Amerika Syarikat ke atas Afghistan ini adalah yang kedua setelah mereka menyerang Iraq pada 2 Ogos 1991. PAS melihat campur tangan ini akan merugikan umat Islam, selain pencabulan ke atas kemanusiaan. Ekoran itu, PAS mengambil pendirian pada 13 Oktober 2001 untuk mengutuk dan membantah serangan tersebut. Sebagai bantahan terhadap tindakan pencerobohan itu, PAS telah menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Pakistan sejak September 2001 lagi kerana membenarkan penempatan tentera Amerika Syarikat di negara tersebut. Dalam pada itu juga, Timbalan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 29 September 2001 telah mempersoalkan tindakan Amerika Syarikat dan mencabar kuasa besar dunia itu untuk menunjukkan bukti sebelum menyerang Afghanistan. Di sebalik siri-siri kutukan dan bantahan ini, pada 7 Oktober 2001, serangan telah dilancarkan ke atas Kabul.

Ekoran itu, pada 8 Oktober 2001, PAS telah membuat kenyataan mengutuk perbuatan yang dianggap melampau ini. Ia diikuti oleh tindakan Dewan Pemuda PAS Pusat pada 9 Oktober 2001 yang menyerahkan memorandum bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di atas kegagalan mereka menyekat keganasan Amerika Syarikat yang menyerang Afghanistan tanpa resolusi Majlis Keselamatan PBB. Pada 10 Oktober 2001, PAS menyerahkan satu memorandum serupa kepada Kedutaan Amerika Syarikat. Para pemimpin PAS, termasuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyeru supaya umat Islam berjihad ke atas Amerika Syarikat. Menangani kemarahan umat Islam ini, pada 13 Oktober 2001, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah menetap pendirian rasmi PAS yang mengutuk serangan tersebut dan memutuskan supaya satu demonstrasi diadakan bagi membantahkan serangan ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

12 Oktober 2016

12 Oktober 1988 : PAS Akan Bersendirian Kerana GERAK Bukan Pakatan Politik

Pada hari ini dalam tahun 1998, media massa arus perdana telah menyiarkan berita kemungkinan besar PAS yang menyertai Pilihan Raya Umum Ke-10 yang dijangka diadakan pada 1999 secara bersendirian, setelah pakatan politik PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) telah berpecah pada 1996. Media massa memetik beberapa kenyataan Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor sebelum itu yang bertegas bahawa PAS pada prinsipnya akan menyertai Pilihan Raya Umum Ke-10 secara bersendirian kerana PAS tidak membentuk atau menyertai mana-mana pakatan politik selepas 1996. Menurut Presiden PAS itu, Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang ditubuhkan pada 22 September 1998 bukanlah sebuah pakatan politik pilihan raya, walaupun ia turut disertai oleh DAP dan PRM, sebaliknya ia adalah kerjasama dalam memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan.

Semenjak PAS mengambil pendirian yang mengharuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) pada 9 Oktober 1988, PAS telah mengadakan persefahaman politik dengan Angkatan yang dianggotai oleh Berjasa, Semangat 46, Hamim dan Kimma. Persefahaman PAS-Angkatan telah membolehkan PAS mengambil alih Kerajaan Kelantan pada 22 Oktober 1990 dengan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik sebagai Menteri Besar. Walau bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum 1995, hubungan PAS dan Semangat 46 telah mengalami keretakan sehingga akhirnya pada 14 Julai 1996, PAS memutuskan hubungan dengan parti tersebut. Putusnya hubungan antara kedua-dua parti ini turut meruntuhkan Angkatan, dan PAS mula bersendirian dalam politik.

Pembubaran PMS46 dan penyertaan semula Tengku Razaliegh Hamzah ke dalam Umno pada 20 November 1996 telah menanaskan politik Umno. Pada pertengahan tahun 1998, krisis kepemimpinan Umno telah sampai ke kemuncaknya apabila pertembungan antara Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dengan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berlaku secara terbuka dalam Perhimpunan Agung Umno pada 18-21 Jun 1998. Pada 2 September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dilucutkan semua jawatan kerajaan, diikuti oleh pemecatan beliau dari Umno. Beliau kemudiannya melancarkan gerakan Reformasi di seluruh negara sehingga membawa kepada penahan ISA ke atas beliau bersama 16 lagi penyokong utamanya.

Menangani konflik politik ini, pada 22 September 1998, PAS telah memanggil parti-parti pembangkang, badan-badan bukan kerajaan dan individu ternama untuk membincangkan krisis politik yang sedang berlaku. Hasilnya, telah ditubuhkan GERAK yang dipengerusikan oleh Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor. Pada dasarnya, GERAK hanyalah sebuah gabungan parti politik dan NGO untuk memperjuangkan keadilan kepada rakyat akibat kezaliman politik yang berlaku ketika itu. Penglibatan DAP dan PRM adalah kerana dukungan kepada perjuangan keadilan. Atas asas ini, Ustaz Fadzil Mohd Noor mempertegaskan bahawa PAS kekal bersendirian dalam menghadapi pilihan raya umum kelak.

Merespon terhadap peningkatan mendadak pengaruh PAS selepas penubuhan GERAK, media massa pada 12 Oktober 1998 memanipulasi kedudukan PAS yang bersendirian tanpa pakatan politik untuk melemahkan keyakinan rakyat kepada PAS. Dari satu sudut, PAS bertegas untuk bersendirian dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 kerana GERAK bukan platform pilihan raya, tetapi dalam masa yang sama, melalui GERAK, PAS merapatkan kerjasama politik bersama DAP dan PRM. Penubuhan Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 4 April 1999 telah membolehkan empat buah parti ini menyusun langkah bersama bagi menghadapi pilihan raya umum sehingga terbentuknya Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 11 April 1999, maka PAS turut mengasaskan BA pada 28 April 1999 sekali gus PAS tidak bersendirian dalam Pilihan Raya Umum 1999.

Disusun oleh: Arkib PAS

11 Oktober 2016

11 Oktober 1953 : PAS Sertai National Convention Dengan Berberapa Tuntutan

Pada hari ini dalam tahun 1953, PAS telah menyertai perhimpunan National Convention tajaan Umno MCA dengan menghantar Setiausaha Kewangan PAS, Mohd Asri Haji Muda dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Mohamad Hanif sebagai wakil. Perhimpunan sangat penting bagi PAS kerana ia akan mengemukakan beberapa tuntutan dalam rangka mendapatkan pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri. Sebelum ini, PAS telah menyertai National Conference sejak 27 April 1953 dan National Convention pada 23 Ogos 1953. Namun begitu, Mesyuarat Agung Khas PAS pada 26 September 1953 memutuskan PAS hanya terlibat dengan National Convention sahaja.

Ekoran dari keputusan yang menyebabkan Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan meletakkan jawatan ini, Jawatankuasa Tadbir PAS telah mengadakan mesyuarat pada 8 Oktober 1953 untuk mengkaji Penyata National Convention, sebelum menyertai perhimpunannya pada 11 Oktober 1953. Jawatankuasa Tadbir PAS memutuskan wakil PAS ke National Convention ialah Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Mohamad Hanif. Jika Setiausaha Agung PAS berhalangan, akan diganti oleh Bendahari Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, atau jika beliau juga berhalangan diganti oleh Mohd Asri Haji Muda. Akhirnya, Mohamad Hanif dan Mohd Asri Haji Muda menjadi wakil PAS pada himpunan 11 Oktober itu.

Setelah mengkaji Penyata National Convention, PAS memutuskan untuk mengemukakan empat tuntutan utama iaitu:

I. Menolak pemberian hak mengundi secara jus soli;
II. Mesyusun semula keanggotaan Majlis Undangan Persekutuan;
III. Menubuhkan suruhanjaya menghadkan kawasan (sempadan) pilihan raya yang bebas dan berkecuali; dan
IV. Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Majlis Undangan Persekutuan.

Empat tuntutan PAS ini adalah berasaskan usaha PAS untuk memperkasakan kedudukan orang Melayu Islam di Tanah Melayu. Memberi hak mengundi kepada rakyat British secara jus soli bererti memberi hak mengundi kepada orang Cina, India dan Eurasian yang belum menjadi rakyat, sekali gus melemahkan hak politik orang Melayu dan membuka kecurangan demokrasi. Sedangkan dalam masalah penyusunan anggota Majlis Undangan Persekutuan, PAS menuntut supaya dikurangkan wakil lombong (Cina) dan getah (Eropah), sebaliknya ditambah wakil hidupan, tanaman dan padi (Melayu). Kebimbangan PAS terhadap proses persempadanan pilihan raya yang merugikan Melayu mendorong PAS menuntut sebuah suruhanjaya yang bebas dan berkecuali, sedangkan dalam soal bahasa, PAS mahu bahasa Melayu diberikan peranan dalam penggubalan undang-undang di samping bahasa Inggeris.

Keempat-empat tuntutan PAS ini telah dikemukakan dalam himpunan National Convention pada 11 Oktober 1953, tetapi dua usul pertama telah ditolak dengan lebihan undi, sedangkan dua usul lagi diterima. Dr Ismail Abdul Rahman, wakil Umno menjelaskan bahawa usul tersebut perlu ditolak kerana penolakan itu lebih demokratik. Dalam pengundian tersebut, usul PAS kalah kerana Umno-MCA mempunyai 28 wakil, sedang parti-parti lain hanya boleh menghantar dua wakil sahaja. Pengundian tidak adil ini telah mengalahkan usul PAS yang hanya mendapat empat undi termasuk dua undi Partai Melayu Semenanjung (PMS). PAS berpendapat pendirian National Convention merugikan politik orang Melayu dan tidak mahu terikat dengan keputusan tersebut.

Pada 30 Oktober 1953, Jawatankuasa Tadbir PAS telah menerima laporan keputusan National Convention, tetapi tidak mengambil keputusan tentangnya sehingga Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias pulang dari Mekah. Jawatankuasa Tadbir PAS mengambil tindakan untuk tidak lagi menghantar wakil ke National Convention sehingga PAS mengambil pendirian tentangnya. Pada 26 Disember 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang dipimpin oleh Dr Haji Abbas Alias telah memutuskan supaya PAS berkecuali dari National Convention kerana ia bertentangan dengan dasar-dasar PAS. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketiga pada 12-14 Ogos 1954, telah diambil ketetapan secara bahawa PAS berkecuali dari National Convention, tetapi kekal menyokong sebarang usaha menuntut pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri.

Disusun oleh: Arkib PAS

10 Oktober 2016

10 Oktober 1967 : Warna Hijau Ganti Kalimah 'Allah' Dan 'Muhammad' Pada Bendera PAS

Pada hari ini dalam tahun 1967, PAS telah mengambil keputusan supaya semua kalimah "Allah Muhammad" pada bendera dan pingat PAS dipadamkan dan digantikan dengan berwarna hijau pada bulatan di bendera dan pingat itu. Bendera asal PAS yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953, ialah bendera Sang Saka Merah Putih dengan hujung di sebelah atas warna merah mempunyai satu bulatan hijau yang tertulis kalimah "Allah Muhamad" berwarna putih. Bendera dan pingat ini juga telah ditetap oleh Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1956 dan Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1963. Fasal 38(a) Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1963 mencatatkan "bendera PAS ialah berwarna merah terletak di atas warna putih yang sama lebarnya dan di pangkal sebelah atas terletak satu bulatan warna hijau yang bertulis kalimah 'Allah Muhamad' dengan warna putih."

Dalam menyekat kemaraan PAS yang memperjuangkan tertegaknya Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan negara, Perikatan berusaha menghalang PAS menggunakan Islam dalam perjuangannya. Memanipulasikan isu kafir-mengkafir yang tercetus sejak 1964, penggubalan Akta Pertubuhan 1966 cuba menghalang agama dari menjadi asas perjuangan politik. Dengan alasan yang berbau sekular, bahawa "agama hendaklah tidak dimasukkan ke dalam politik, teristimewanya di dalam Malaysia yang mengandungi rakyat daripada berbagai-bagai agama," Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Chin Hon Hian pada 24 Ogos 1967 telah mengarahkan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah supaya PAS memadamkan kalimah "Allah Muhamad" pada bendera PAS. Bahkan, bendera Sang Saka Merah Putih yang kosong juga tidak dibenarkan untuk digunakan oleh PAS kerana menyerupai bendera negara asing (Indonesia), kecuali ada tambahan seperti bendera asal yang mempunyai bulatan hijau. Arahan pengharaman kalimah "Allah Muhamad" yang kemudiannya diikuti oleh pengharaman simbol "Bulan Bintang" adalah bertujuan supaya PAS dapat dipisahkan daripada unsur-unsur ke-Islaman.

Tekanan yang dikenakan ke atas PAS ini mempunyai kaitan dengan kejayaan PAS bertahan di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum 1964 walaupun pelbagai usaha memburukkan PAS telah dibuat. Perikatan cuba memgaitkan PAS dengan Konfrantasi Indonesia dan menuduhkan PAS mengkhianati negara sehingga Yang Dipertua Agung PAS ditahan ISA pada 28 Januari 1965. Sedangkan sebelum itu mereka mendakwa Prof Dr Burhanuddin al-Helmy di mahkamah sehingga beliau hilang kelayakan sebagai ahli parlimen semata-mata kerana satu kesalahan teknikal dalam pentadbiran sebuah syarikat perkapalan. Peningkatan sokongan para ulamak kepada PAS dan isu kafir-mengkafir yang timbul pada 1964 pula telah membawa sejumlah ulamak PAS ke dalam ISA, sedangkan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Pasir Mas Hulu pada 19 Ogos 1967, PAS masih mampu mempertahankan kerusi yang kosong akibat pembunuhan Abdul Samad Ghul Ahmad Mianji, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Salah satu kekuatan PAS ialah perjuangan Islam yang didukungnya. Mengambil ruang dari Akta Pertubuhan 1966 ini, Perikatan telah bertindak mengharamkan kalimah "Allah Muhamad" pada bendera dan pingat PAS. Ekoran itu, pada 10 Oktober 1967, PAS telah mengambil keputusan untuk mengarahkan semua peringkat parti untuk memadamkan kalimah tersebut. Dalam surat Setiausaha Agung PAS yang bertarikh pada 11 Oktober 1967 kepada Setiausaha Perhubungan PAS Negeri-negeri dan Setiausaha PAS Cawangan-cawangan, telah mengarahkan supaya "menghapuskan (kalimah) itu dari papan-papan tanda masing-masing" dengan cara "catkan warna hijau dahulu sebagai ganti tempat yang dipadamkan itu." Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-15 dan 16 pada 19-22 April 1968, telah diputuskan bahawa tempat kalimah "Allah Muhamad" pada bendera dan pingat PAS dikosongkan sahaja dengan tidak diganti oleh suatu yang lain sehingga PAS mencapai kemenangan.

Disusun oleh: Arkib PAS

09 Oktober 2016

09 Oktober 1988 : PAS Setuju Rundingan Politik Bersama Berjasa Dan Semangat 46

Pada hari ini dalam tahun 1988, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil dua keputusan penting yang mengubah pendekatan politik PAS sehingga ia menjadi parti yang berpengaruh di arena politik di negara ini. Dua keputusan tersebut ialah PAS menerima kertas kerja Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bertajuk "Tahaluf," sebelum PAS bersetuju untuk Lajnah Politik PAS Pusat menerokai tahaluf ini dengan mengadakan rundingan kerjasama bersama parti-parti lain. Dua buah parti yang menjadi sasaran PAS ialah serpihan PAS, Berjasa dan serpihan Umno, Semangat 46.

Sebelum itu, Berjasa dan Semangat 46 telah membentuk kerjasama melalui Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Kertas kerja Tahaluf yang dikemukakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menggariskan asas-asas perjanjian persefahaman politik untuk saling bantu-membantu bagi menghadapi parti lawan. Antara syarat utama yang membolehkan tahaluf ialah:

I. Membawa maslahat dan tidak mengikat PAS hingga menjejaskan prinsip;
II. Mengakui kepemimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan PAS;
III. Tidak berwala' kepada rakan pakatan dan tidak redha dengan pegangan mereka.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam saranannya menekanan bahawa PAS mesti "mengutamakan persefahaman dengan kumpulan Islam" berbanding "kumpulan bukan Islam", "jangan terikat dengan janji yang akan menghalang penubuhan negara Islam," dan "membuat ikatan-ikatan longgar yang tidak akan membelenggu PAS di belakang hari." Setelah cadangan tahaluf besertakan dengan garis-garis panduan perlaksanaan ini diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 9 Oktober 1988, mereka kemudiannya telah memberikan keizinan kepada Lajnah Politik PAS Pusat untuk mengadakan rundingan-rundingan kerjasama dengan beberapa parti politik orang Islam seperti Berjasa dan Semangat 46.

PAS menggariskan tiga alternatif tahaluf dengan Berjasa dan Semangat 46 iaitu membentuk barisan parti-parti pembangkang atau mengadakan persefahaman dengan parti-parti pembangkang atau membentuk barisan parti-parti pembangkang Islam yang kemudiannya mengadakan persefahaman dengan parti-parti pembangkang yang lain. PAS turut mensyaratkan supaya semua perkembangan rundingan dengan parti-parti lain dimaklumkan kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan semua keputusan ditentukan oleh mereka. Hasil daripada pendirian PAS tentang tahaluf ini, ia telah membuka langkah politik baru dalam sejarah PAS.

PAS kemudiannya telah membentuk persefahaman politik dengan Angkatan berdasarkan cadangan PAS Kelantan pada 9 Jun 1989 dalam kertas kerja Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman yang bertajuk "Persefahaman Politik Dalam Pilihan Raya," di mana ia menggariskan bahawa PAS tidak terlibat dalam Angkatan, tetapi mempunyai persefahaman politik dengan gabungan ini. Persefahaman ini bertujuan untuk memencilkan Umno dari kumpulan politik Melayu Islam yang lain dan melemahkan Umno melalui persefahaman dengan Semangat 46. Menjelang Pilihan Raya Umum 1990, PAS telah berjaya memperkukuhkan persefahaman politik ini terutama apabila sebuah lagi serpihan PAS, Hamim turut menyertai Angkatan pada Jun 1990 sehingga akhirnya persefahaman PAS-Angkatan berjaya menguasai Kerajaan Kelantan pada 21 Oktober 1990.

Disusun oleh: Arkib PAS