24 Oktober 2016

24 Oktober 1977 : 'Formula Mahathir' Cadangkan Pak Nik Lah Sebagai Menteri Besar Kelantan Baru

Pada hari ini dalam tahun 1977, Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan satu pelan yang dikenali sebagai "Formula Mahathir" untuk menyelesaikan krisis politik Kelantan. Formula ini dikemukakan dalam satu pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri itu dengan wakil PAS, Dr Haron Din, Dr Haji Abbas Alias dan Dr Daeng Sanusi Mariok yang diadakan di kediaman Ketua Polis Kelantan. Formula ini mencadangkan supaya kerajaan Dato' Mohamad Nasir meletakkan jawatan dan sebuah kerajaan baru diketuai oleh Ustaz Nik Abdullah Arshad ditubuhkan.

Krisis politik Kelantan tercetus sejak PAS menyertai BN pada 1 Jun 1974, di mana selepas Pilihan Raya Umum 1974, Pengerusi BN, Tun Abdul Razak Hussein yang juga Perdana Menteri telah menolak calon Menteri Besar yang dinamaka oleh PAS, Wan Ismail Ibrahim. Tun Abdul Razak Hussein yang dipengaruhi oleh Tengku Razaliegh Hamzah sebaliknya melantik Dato' Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan. Hal ini telah menimbulkan krisis kepemimpinan yang berpanjangan sehingga PAS Kelantan mendesak Dato' Mohamad Nasir meletak jawatan. Konflik ini berakhir dengan pemecatan keahlian PAS ke atas Menteri Besar Kelantan itu pada 10 Oktober 1977 dan diikuti oleh usul undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977. Kemudian berlaku rusuhan yang berkemuncak pada 22 Oktober 1977 di mana 5,489 orang anggota keselamatan dikerahkan untuk bertugas di Kelantan ketika ini.

Usaha menyelesaikan konflik ini telah dibuat dengan diadakan rundingan antara Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn dengan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 13 Oktober 1977, tetapi rundingan ini gagal. Kemudian, Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengemukakan Formula Mahathir untuk menyelesaikan krisis ini dalam rundingan pada 24 Oktober 1977. Antara formula yang dicadangkan ialah:

I. Kerajaan Dato' Mohamad Nasir meletakkan jawatan dan DUN tidak perlu dibubarkan;
II. Sebuah kerajaan baru dibentuk dengan syarat semua Exco PAS ditukar, dengan Dato' Ishak Lotfi Omar dan Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad tidak boleh terlibat, tetapi semua Exco Umno boleh dikekalkan; dan
III. Ustaz Nik Abdullah Arshad dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru.

Ustaz Nik Abdullah Arshad (1934-1996) adalah salah seorang tokoh awal PAS Kelantan yang menjadi ADUN Kota Bharu Pantai (1959-1974) dan ADUN Sering (1974-1982), yang juga merupakan bekas Speaker DUN Kelantan (1972-1974). Beliau yang pernah ditahan ISA pada 1964-1966 adalah Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (1962-1964), Yang Dipertua PAS Kota Bharu (1966-1971), Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan (1968-1971) dan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa sejak 1975. Beliau dinamakan oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai calon yang paling sesuai menjadi Menteri Besar untuk menamatkan krisis politik Kelantan, tetapi PAS Kelantan menolaknya pada 29 Oktober 1977 kerana tidak mahu sebuah "kerajaan patung" dibentuk di Kelantan seperti yang berlaku pada zaman Dato' Mohamad Nasir.

Dalam pada itu, Dr Mahathir Mohamad 'mengancam,' jika formula ini tidak diterima, satu pentadbiran darurat atau mageran akan diwujudkan dengan diketuai oleh seorang pegawai MCS yang bertanggungjawab kepada Perdana Menteri. Di sebalik penolakan PAS Kelantan terhadap formula ini, ia juga ditolak oleh PAS Pusat ketika Dr Haron Din melaporkan rancangan tersebut kepada Dato' Mohd Asri Haji Muda. Akhirnya, cadangan Dr Mahathir Mohamad untuk mendaruratkan Kelantan menjadi kenyataan apabila Rang Undang-undang Darurat (Kelantan) 1977 dibawa ke Dewan Rakyat pada 8 November 1977.

Disusun oleh: Arkib PAS


Tiada ulasan: