18 Oktober 2016

18 October 1999 : Timbalan Presiden PAS Kemuka Rang Undang-Undang Persendirian Tangani Murtad

Pada hari ini dalam tahun 1999, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang telah mengemukakan lima usul rang undang-undang persendirian ahli bukan kerajaan di Dewan Rakyat bagi menangani gejala murtad yang sedang berlaku. Ini adalah kali kedua rang undang-undang tersebut dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul setelah ia dilakukan kali yang pertama pada 12 Julai 1999, tetapi gagal dibentangkan. Dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Kesembilan yang bermula 18 Oktober hingga 10 November 1999, usul-usul tersebut diangkat kali yang kedua.

Isu murtad telah menggemparkan negara sejak 1996 apabila berlaku kes pertukaran agama kepada bukan Islam secara terbuka. Kes yang paling terkenal ialah kes Hartina Kamaruddin yang memeluk agama Hindu pada Mac 1996 dan kes Nor Aishah Bokhari yang memeluk agama Kristian pada November 1997. Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Shaari Bustamah dalam satu kenyataannya menyebutkan terdapat 4,776 kes permohonan menukar nama kepada nama bukan Islam dan 516 kes murtad di Wilayah Persekutuan sehingga 1998. Gejala ini telah menular di kalangan umat Islam kerana tidak ada undang-undang yang mengawal penyebaran agama lain ke atas umat Islam.

Bertindak terhadap gejala ini, PAS bukan sahaja menubuhkan jawatankuasa khas menangani isu murtad dan mewakili keluarga di mahkamah, tetapi pada 21 Mac 1998, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah memutuskan supaya Ahli Parlimen Marang membawa usul persendirian untuk mewujudkan undang-undang kawalan murtad. Pada 25 Mac 1998, Timbalan Presiden PAS itu telah mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat untuk membincangkan isu murtad, tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Zahir Ismail. Lanjutan dari itu, pada 18 April 1998, PAS telah menghantar delegasi terdiri daripada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Marang), Dr Daeng Sanusi Mariok (Rantau Panjang), Ustaz Wan Mohd Jamil Mahmood (Tumpat), Ustaz Mohd Amar Abdullah (Pengkalan Chepa) dan Senator Jamilah Ibrahim bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan masalah murtad ini.

Setelah usaha-usaha PAS tidak mendapat sambutan yang memuaskan daripada Kerajaan BN, pada 12 Julai 1999, Timbalan Presiden PAS telah mencadangkan rang undang-undang persendirian bagi maksud tersebut, tetapi ia gagal dibentangkan sehingga sesi sidang tersebut berakhir. Pada sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Kesembilan yang berlangsung mulai 18 Oktober 1999 hingga 10 November 1999, sekali lagi usul rang undang-undang persendirian ini dikemukakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Lima usul rang undang-undang persendirian ini bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan, meminda Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan), meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), meminda Akta Kesalahan Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) dan mencadangkan Rang Undang-undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) sebagai undang-undang baru.

Kelima-lima usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Marang adalah bertujuan mewujudkan peraturan untuk mengawal perbuatan murtad dan menghalang agama bukan Islam disebarkan kepada orang Islam. Walaupun usul ini telah diangkat kepada Dewan Rakyat pada 18 Oktober 1999, tetapi ia gagal dibentangkan kerana pada 11 November 1999, Parlimen telah dibubarkan yang menyebabkan persidangan Dewan Rakyat terhenti pada 10 November 1999. Pada tahun 2011, telah tercetus pula isu Lina Joy yang mendorong PAS menerusi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mengemukakan usul rang undang-undang persendirian untuk mengawal murtad pada 9 Ogos 2011, tetapi juga gagal dibentangkan.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: