31 Januari 2014

Telefon Pintar Samsung Galaxy Note 3 : Phablet Terbaik Bagi Penghasilan Media Mobil

Artikel asal oleh : Effi Saharudin (Amanz Media)

Galaxy Note ialah peranti yang memulakan kegilaan phablet apabila ia muncul di pasaran tiga tahun yang lalu. Pada awal kemunculannya ramai yang mengatakan peranti phablet hanyalah gimik dan penggunaan stylus tidak lagi relevan. Tetapi jelas sekali Note mempunyai pasarannya tersendiri dengan jualan mencecah 40 juta unit setakat ini. Note 3 yang muncul bulan lalu dengan tujuan meneruskan kejayaan Samsung sebagai pengeluar phablet terbaik di pasaran. Adakah pembaharuan yang dibawa membuatkan anda harus membeli peranti ni ataupun tunggu sahaja versi tahun hadapan? Teruskan membaca untuk mengetahui pendapat kami.

Untuk generasi ketiga phablet ini, Samsung melakukan beberapa perubahan drastik bagi membuatkan rekaan Note 3 berbeza dari Note 2. Pertama sekali Note 3 kelihatan seperti sebuah Galaxy S2 yang dibesarkan dan tidak lagi mempunyai sisi yang bulat seperti sebuah Galaxy S3. Sebenarnya kami sudah agak bosan dengan rekaan peranti Galaxy Samsung yang menggunakan S3 sebagai acuan rekaan mereka. Ini membuatkan peranti keluarga Galaxy tidak mempunyai variasi yang ketara. Selain mempunyai bentuk yang lebih angular ,bahagian belakang Note 3 kini kelihatan seperti diperbuat daripada kulit lengkap dengan jahitan pada bahagian tepi. Berita baik disini ialah tekstur seakan kulit membuatkan peranti ini sedap dipegang di samping membuatkan menyukarkan peranti untuk tergelincir dari genggaman. Berita buruknya pula ialah panel belakang Note 3 ini tidak diperbuat daripada kulit asli tetapi sebenarnya masih diperbuat daripada plastik. Kami juga menyedari panel belakang ini agak mudah tercalar jadi jika anda membeli Note 3 adalah digalakkan untuk anda segera membeli sebuah casing.

Secara keseluruhan estetik baru yang digunakan pada Note 3 adalah jauh lebih baik dari mana-mana peranti Samsung Galaxy yang ada di pasaran sebelum ini. Kedudukan butang Note 3 masih mengekalkan rekaan lama Samsung. butang home fizikal masih lagi dikekalkan dan ianya dihimpit oleh butang kapasitif menu pada bahagian kiri dan butang kapasitif back pada bahagian kanan. Butang kuasa terletak pada bahagian kanan, butang suara pada bahagian kiri manakala port pengecas terletak pada bahagian bawah. Turun terletak pada bahagian bawah ialah pembesar suara mono peranti ini. Note 3 menggunakan port USB 3.0 dan akibatnya lubang port pada bahagian bawah peranti adalah agak besar. USB 3.0 digunakan kerana keperluan kelajuan pemindahan data yang besar dengan lebih pantas. Akhir sekali pada bahagian atas terdapat lubang jack fon kepala dan pemancar infra merah.

ANTARA MUKA

Sekali pandang tidak terdapat banyak perubahan pada antaramuka TouchWiz Samsung peranti ini. Ianya tidak banyak berbeza dari apa yang kami lihat digunakan pada Galaxy Mega.

Fungsi S Health, Air View, Smart Stay. Smart Pause, Smart Scroll, Air Gesture, Palm Motion, Group yang baru yang diperkenalkan oleh Samsung pada peranti ini boleh dilihat dengan melakukan tatalan dari bawah skrin ke atas. Secara automatik skrin My Magazine Samsung akan memenuhi ruang skrin Note 3. My Magazine bolehlah dikatakan sebagai jawapan Samsung kepada HTC Blinkfeed. Antaramuka My Magazine kelihatan seperti gabungan HTC Blinkfeed dan Flipboard. Terdapat tiga skrin utama pada My Magazine iaitu berita, media sosial dan peribadi. Tiga skrin ini boleh diakses denga melakukan tatalan ke kiri atau ke kanan. Dari My Magazine anda masih boleh mengakses butang telefon, khidmat pesanan ringkas, emel, kamera, Google Now, pelayar Internet dan talam aplikasi. Pada bila-bila masa anda boleh kembali kepada antaramuka telefon yang asal dengan menekan butang home.

FUNGSI KAWALAN SEBELAH TANGAN

Tahun ini skrin Note 3 dibesarkan dari 5.5″ kepada 5.7“. Pengguna phablet bersaiz melangkaui 5.5” sudah cukup arif dengan masalah kesukaran menggunakan peranti mereka menggunakan sebelah tangan. Pada Note 2 Samsung memperkenalkan papan kekunci mini yang boleh diaktifkan bagi memudah proses menaip. Tetapi fungsi ini masih belum sempurna bagi memudahkan penggunaan Note 2 dengan hanya menggunakan sebelah tangan secara menyeluruh. Untuk Note 3 fungsi baru “all screen use” pula diperkenalkan keseluruhan antaramuka peranti mengecil kepada saiz sebuah peranti 4″. Ini pada hemat kami ialah penyelesaian yang kreatif untuk masalah menggunakan peranti bersaiz besar dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Jika saiz 4″ adalah terlalu kecil anda boleh mengubah saiz skrin ini mengikut kehendak anda dengan menekan skrin pensaizan manual.

'AIR COMMAND' DAN STYLUS BAHARU

Air Command pula ialah pintasan untuk 5 fungsi menggunakan stylus setiap kali ianya dikeluarkan dari ruang penyimpanannya. Pintasan tersebut ialah S Finder, Action Memo, Scrap Booker, Screen Write dan Pen Window. S Finder memudahkan anda mencari semula nota, aplikasi, lakaran, emel ataupun gambar yang disimpan di dalam Note 3. Ia berfungsi seperti pencari fail yang ada pada PC ataupun Mac anda. S Finder juga boleh dilancarkan dengan menekan butang menu kapasitif selama beberapa saat. Action Memo berfungsi seperti sebuah stick it note yang boleh membaca tulisan anda. Dari apa yang ditulis anda boleh melakukan carian Google, menyimpan nombor ke dalam telefon atau melancarkan aplikasi Waze untuk mendapatkan panduan ke nama tempat yang ditulis. Scrap Booker mengambil gambar bahagian skrin yang anda tetapkan menggunakan stylus. Gambar tersebut kemudian diletakkan di dalam aplikasi S Memo secara automatik untuk kegunaan anda. Screen Write pula mengambil keseluruhan paparan skrin dan kemudian membenarkan anda menulis di atas screenshot ini secara terus. Akhir sekali ialah Pen Window dimana aplikasi mini boleh dibuka dengan melukis segi empat tepat pada skrin Note 3. Dalam kelima-lima fungsi di atas kami merasakan fungsi pen window adalah yang paling kurang kami gunakan kerana melancarkan aplikasi mini sepatutnya lebih mudah dari terpaksa melakar segi empat. Cara aplikasi mini dilancarkan pada peranti Sony Xperia adalah lebih mesra pengguna.

Kami menyedari stylus berteknologi Wacom Note 3 kali ini lebih sensitif berbanding versi tahun lalu. Lakaran dapat dilakukan dengan lebih tepat dan masalah sela masa yang dialami Note 2 berjaya dikurangkan. Aplikasi S Memo mengekalkan kesemua berus dan pen yang ada sebelum ini dan ini sedikit mengecewakan. Masih tiada sokongan melakar berdasarkan lapisan (layer) pada S Memo tetapi Samsung membenarkan anda memuat turun aplikasi Sketchbook oleh Autodesk secara percuma jika anda mahu melakar dengan sokongan lapisan.

Di akhir hari tiada peranti lain yang mempunyai sokongan stylus yang lebih baik dari Note 3 di pasaran buat masa ini. Ianya stylus yang paling jitu dengan pelbagai fungsi yang memudahkan urusan kerja dan melakukan lakaran. Fungsi-fungsi inilah yang membuatkan Note 3 raja segala phablet di pasaran buat masa ini.

KAMERA

Note 3 dilengkapi kamera sebesar 13 MP pada bahagian belakang lengkap dengan flash dan 2 MP pada bahagian hadapan. Kedua-dua kamera ini mampu mengambil video pada format HD penuh. Kamera utama Note 3 juga mempu mengambil video beresolusi 4K. Video yang diambil mempunyai keperincian yang tinggi dan amat jelas. Masalahnya sekarang tidak ramai pengguna mempunyai televisyen ataupun monitor komputer yang menyokong resolusi UHD ini. Kami juga perasan seperti majoriti video yang diambil menggunakan peranti mobil, masalah rolling shutter jelas kelihatan sekiranya anda melakukan gerakan yang pantas ketika video di ambil. Saiz video 4K yang diambil amat besar, oleh sebab itu Samsung membekalkan port dan kabel USB 3.0 pada peranti ini.

Dari segi fungsi pula Note 3 mempunyai kesemua fungsi kamera yang diperkenalkan pada Galaxy S4 sebelum ini. Antaramuka kamera peranti ini amat mudah digunakan dan mesra pengguna. Fungsi baru yang kami sedari adalah fungsi Surround Shot yang merupakan fungsi Photo Sphere peranti Nexus versi Samsung. Fungsi ini menarik tetapi harus diakui sukar untuk mendapatkan gambar surround shot yang sempurna.

Kami membezakan gambar yang diambil menggunakan Sony Xperia Z1 dengan gambar yang diambil menggunakan Note 3. Dari segi keperincian jelas kelihatan tidak banyak beza di antara gambar yang diambil kamera bersensor 13 MP dan 20.3 MP Sony. Perbezaan paling ketara hanyalah dari segi dedahan dimana gambar yang diambil menggunakan Note 3 adalah jauh lebih terang. Kepulan awan pada bahagian langit hilang apabila diambil menggunakan Note 3 berbanding pada Z1. Tetapi secara keseluruhan kami secara peribadi lebih menyukai gambar yang diambil menggunakan Note 3 kerana tidak banyak suntingan perlu dilakukan selepas gambar diambil. Bagi mereka yang memang mahukan sebuah kamera point and shoot pelbagai guna, kami rasakan kamera Note 3 adalah lebih baik secara keseluruhan berbanding Z1.

PENANDA ARAS

Kami menjalankan 3 ujian standard yang biasa kami lakukan bagi melihat kemampuan Note 3 berbanding peranti-peranti lain. Pada ujian Quadrant, Note 3 mencatatkan 14070 markah. Ini adalah lebih rendah dari 19795 yang dicatatkan oleh Xperia Z Ultra tetapi lebih tinggi dari 6850 yang dicatatkan Galaxy Mega .Pada ujian Antutu pula ia mencatat 29464 markah berbanding 33546 pada Z Ultra. Markah penanda aras yang secara konsisten jauh lebih rendah ini agak mengejutkan kerana Note 3 mempunyai pemproses yang lebih pantas (2.3 GHz Empat Teras Snapdragon 800) berbanding Z Ultra (2.2 GhzE mpat teras Snapdragon 800). Jumlah RAM pada Note 3 juga lebih besar iaitu 3 GB berbanding hanya 2 GB pada Z Ultra.

Tetapi dalam ujian Futuremark sebaliknya pula berlaku dengan Note 3 mencatatkan 18312 markah berbanding 17599 untuk Z Ultra.

Apa yang boleh kami simpulkan disini ialah ujian penanda aras bukan penentu sebenar kemampuan sesuatu peranti. Sepanjang penggunaan Note 3 kami gembira menyatakan kami tidak mengalami sebarang masalah kecil maupun besar. Kelajuan tatalan adalah pantas dan lancar. Penukaran aplikasi juga dapat dilakukan dengan mudah. Kemampuan 3D juga memuaskan. Kami menghabiskan banyak masa bermain Dead Trigger 2 pada peranti ini tanpa masalah sela masa ataupun program membeku secara tiba-tiba.

BATERI

Note 3 dibekalkan dengan bateri berkapasiti 3200 mAh. Ini adalah saiz bateri yang sama yang digunakan pada Samsung Galaxy Mega. Jangka hayat purata bateri apabila digunakan dengan kerap ialah sekitar 8 setengah jam. Pada penggunaan sederhana ia mencecah sehingga 13 jam. Ini bermakna jangka hayat bateri Note 3 hanya sedikit lebih baik dari Galaxy Mega. Prestasi bateri akan berkurangan sehingga 2 jam apabila Note 3 digunakan secara serentak dengan sebuah Galaxy Gear. Ketahanan bateri berkadar terus dengan jumlah notifikasi dan aplikasi yang memerlukan maklumat dihantar kepada Gear oleh Note 3.

KESIMPULAN

Pasaran sekarang semakin dipenuhi peranti dengan saiz skrin melebihi 5.5″. Kejayaan Samsung menjual peranti dari keluarga Note sejak 2011 menunjukkan ada permintaan untuk peranti phablet. Note 3 membawakan pelbagai pembaharuan yang memastikan ia kekal sebagai phablet yang terbaik yang ada di pasaran. Antaramuka tidak diberikan perubahan drastik dengan hanya fungsi baru My Magazine diperkenalkan. Kepada mereka yang mahukan fungsi seperti BlinkFeed pada peranti Samsung mereka, My Magazine memenuhi keperluan membaca berita dan kemaskini laman sosial dengan lebih mudah. Sebuah lagi fungsi baru yang kami rasakan sangat bagus pada Note 3 ialah moda penggunaan sebelah tangannya. Skrin 5.7″ peranti ini memang terlalu besar untuk digunakan dengan sebelah tangan dan penyelesaian elegan yang diperkenalkan Samsung berfungsi dengan cukup sempurna. Kami berharap fungsi sebegini akan muncul pada peranti-peranti lain dan bukan hanya terhad kepada Samsung.

Kemampuan kamera 13 Megapixel juga cukup mengagumkan kerana ia mampu mengambil video pada resolusi 4K. Fungsi ini memang menarik namun kami yakin tidak ramai pengguna di luar sana memiliki televisyen 4K untuk melihat hasilnya dengan sempurna. Gambar yang diambil jelas dengan tajam. Gambar yang diambil dalam keadaan gelap juga nampak jelas. Masalah yang ada hanyalah dari segi dedahan di mana keperincian sesetengah bahagian gambar hilang kerana dedahan yang terlalu tinggi. Fungsi -fungsi pratetapan yang diperkenalkan pada Galaxy S4 ditambah lagi dengan surround shot, animated photo dan golf. Sungguhpun begitu fungsi light trace yang diperkenalkan pada Galaxy Camera masih tidak kelihatan.

Tidak lengkap ulasan sebuah Note jika kami tidak membincangkan fungsi stylusnya. Keperincian stylus yang dibekalkan bersama peranti Note semakin baik dengan setiap model baru. Sela masa di antara penghasilan lakaran pada skrin dengan pergerakan stylus itu masih wujud tetapi ianya terlalu minima sehingga boleh dikatakan hampir tidak disedari. Fungsi Air Command diperkenalkan bagi melicinkan pengguna memilih fungsi stylus apa yang ingin mereka gunakan dengan mudah. Sungguhpun begitu pada pendapat kami fungsi pen window tidak mesra pengguna. Melancarkan aplikasi dengan melakar empat segi tidak semudah hanya menekan logo aplikasi seperti yang digunakan pada peranti Sony Xperia.

Dari sudut spesifikasi memang peranti ini mempunyai cukup kuasa untuk melakukan tugasan dan memainkan aplikasi permainan tanpa masalah. Ujian tanda aras menunjukkan ia mampu bersaing dengan Z1 dan Z Ultra yang pada ketika artikel ditulis mengungguli carta penanda aras. Jumlah RAM yang besar turut memastikan masalah sela masa tidak akan menghantui anda sepanjang tempoh pemilikan. Mungkin Samsung menyedari antaramuka Touchwiz mereka memang “berat” dan penambahan RAM sehingga 3 Gigabyte dapat menyelesaikan masalah sela masa yang sudah wujud sejak bertahun lamanya.

Kemampuan bateri adalah sepadan dengan majoriti peranti empat teras di luar sana. Ia mampu bertahan secara purata selama 8 setengah jam sebelum perlu dicas pada penggunaan berat. Harus dinyatakan hayat bateri akan berkurangan sekiranya Note 3 digunakan secara serentak dengan sebuah Galaxy Gear. 

Sebagai kesimpulan Samsung Galaxy Note mencipta pasaran untuk peranti Android berskrin besar dan dilengkapi stylus. Pada awal kewujudannya Samsung ditertawakan oleh laman web di negara barat kerana dikatakan peranti tanpa pasaran. Selepas 3 tahun kita kini melihat peranti keluarga Note semakin popular dan mengungguli carta jualan phablet dunia. Note 3 pada hemat kami ialah phablet paling berkuasa, mesra pengguna, mempunyai pelbagai fungsi unik dan terbaik untuk penghasilan media mobil. Tidak ada phablet sebaiknya di luar sana dan jika adapun ia mungkin sebuah Samsung Galaxy Note 4. Kami mengesyorkan anda membeli peranti ini kerana ianya masih raja segala phablet.

RINGKASAN: KELEBIHAN

1. Binaan yang kemas dengan bahagian belakang kelihatan seperti diperbuat daripada kulit. Ini jauh lebih baik dari panel plastik yang sebelum ini sinonim dengan kesemua produk peranti Android Samsung.

2. Pelbagai fungsi baru untuk mengambil nota, menghasilkan carta, melakukan lakaran dan stylus yang semakin responsif. Galaxy Note 3 ialah telefon pintar yang pada hemat kami mempunyai paling banyak fungsi yang berguna.

3. Spesifikasi pemproses dan RAM yang tinggi memastikan peranti berfungsi dengan amat lancar tanpa sebarang lengah masa. Markah dari penanda aras menunjukkan Note 3 ialah peranti paling berkuasa untuk masa ini.

4. Fungsi sebelah tangan mengecilkan antaramuka peranti kepada saiz skrin sebesar 4.5″. Akhirnya fungsi one handed yang benar-benar praktikal untuk sebuah phablet.

RINGKASAN: KEKURANGAN

1. Gambar yang diambil terang tetapi mengalami masalah dedahan berlebihan. Jika gambar awan di langit diambil, ianya tidak boleh dilihat pada gambar kerana masalah ini.

2. Slot sim dan mikroSD yang tidak berspring. Agak sukar untuk mengeluarkan SIM dan kad mikroSD.

07 Januari 2014

Perkembangan Bayi Berusia Dua Belas (12) Bulan

Menurut pembacaan saya terhadap perkembangan bayi yang berusia dua belas (12) bulan di laman web BabyCenter.Com, berikut adalah berberapa perkara yang perlu anda tahu :

Langkah-langkah pertama bayi

Pencapaian bayi yang paling utama sudah hampir tiba – pada bila-bila masa di bulan ini bayi anda mungkin akan mula mengambil langkah-langkah pertamanya (sesetengah bayi tidak akan berjalan untuk beberapa minggu atau bulan lagi). Kebanyakan kanak-kanak mengambil langkah awal mereka dengan berjengket sambil mengarah kaki mereka ke luar. Sudah tentu anda tidak mahu terlepas peluang untuk mencatatkan saat ini, jadi bersedialah dengan kamera anda.

Pada waktu ini juga, bayi anda sudah pandai makan sendiri dan menggunakan sudu, walaupun belum begitu cekap dan makanan seringkali tidak sampai ke mulutnya.

Permainan baru bayi

Pada masa ini, permainan bayi anda mula berubah dari permainan yang membangunkan kemahiran motor halus (dia sudah mahir mencengkam dengan ibu jari dan jari telunjuknya) dan mula beralih kepada permainan yang melatih otot-otot yang lebih besar. Sesetengah kanak-kanak pada umur ini sudah boleh menumpukan perhatian kepada aktiviti-aktiviti yang senyap selama dua hingga lima minit – walaupun bayi anda mungkin lebih gemarkan permainan yang bukan jenis senyap.

Memang, bagi bayi anda, perbuatan menolak, membaling dan melanggar semua benda dan membuatnya jatuh merupakan satu perkara yang menyeronokkan.

Dia suka memberikan anda alat mainan tapi dia juga akan mengambil alat mainan daripada anda, dan dia juga suka meletakkan barang seperti bongkah ke dalam bekas dan mengeluarkan semuanya semula. Periuk dan kuali juga boleh digunakan untuk ini – dia pandai meletakkan periuk yang kecil ke dalam periuk yang lebih besar dan akan seronok mendengar bunyi bising yang terhasil apabila periuk dan kuali berlaga-laga.

Memudahkan waktu tidur

Salah satu perkara yang menyenangkan semasa membesarkan bayi ialah apabila sampai waktu untuk tidur - masa yang anda boleh gunakan untuk berehat dan mengembalikan tenaga anda. Tetapi, apabila bayi anda menghampiri hari jadi pertamanya dia akan semakin enggan untuk tidur di siang hari¸ dan kemahuan berdikari ini akan membuatkan bayi anda meragam semasa waktu tidur.

Mengikuti rutin tidur yang tetap, seperti mandian atau membaca buku cerita sebelum tidur, mungkin boleh membantu bayi anda tidur. Elok jika diadakan "urutan" yang konsisten bagi rutin tidur ini. Berikan bayi makan, mandikan dia, pakaikan pakaian tidur, bermainlah dengannya, atau bacakan buku cerita, atau nyanyikan lagu, mainkan muzik dan kemudian barulah baringkan dia di katilnya.

Apa sahaja langkah yang diambil, jadikan ia satu rutin yang tetap, yang juga memberikan anda dan bayi anda masa yang lebih panjang untuk bermesra dan berehat. Anda juga boleh bersilih ganti menjalankan rutin tidur ini bersama suami anda (anda mandikan bayi, suami anda membacakan buku cerita dan lain-lain cara) pada setiap malam, atau, untuk meringankan tugas dan membenarkan anda berdua berehat beberapa kali seminggu, cuba menidurkan bayi anda secara bergilir-gilir.

Sukar berpisah

Beberapa bulan kebelakangan ini, anak anda mungkin menunjukkan perangai meragam disebabkan bimbang berpisah. Ini perkara biasa: dia menyayangi anda dan memerlukan anda, jadi dia akan berasa tertekan apabila anda meninggalkannya. Untuk memudahkan proses pemisahan, cuba minta pengasuh datang lebih awal supaya bayi anda mempunyai masa untuk membiasakan diri dengannya. Tinggalkan dia secara bersahaja saja dan jangan menyulitkan keadaan dengan memanjangkan ucapan selamat tinggal anda; lakukannya dengan cepat, iaitu hanya dengan satu ciuman. Bayi anda akan berhenti menangis apabila anda hilang dari pandangannya.

Anda boleh membantu bayi anda untuk lebih berdikari dengan tidak menunggu dekatnya setiap masa. Jika dia bertatih ke bilik yang lain, tunggulah beberapa minit sebelum mengikutinya. Jika anda pergi ke bahagian lain dalam rumah anda, panggil bayi anda datang kepada anda apabila anda sudah berada di bilik itu – dan jangan bekejar-kejar kepadanya setiap kali dia menjerit.

Bukanlah perkara yang terbaik untuk bayi anda untuk mendapat kebebasan sepenuh daripada ayah dan ibu; anda tentu mahu dia memahami yang dia boleh bergantung kepada anda bila-bila masa, dan, walaupun dia menyedari kehadiran dan pemergian anda, ini tidak begitu mengganggukan dia.

Lebih memahami bahasa

Walaupun pada tahap ini bayi hanya boleh bertutur beberapa perkataan selain "mama" dan "dada", didapati kebanyakan bayi yang berusia satu tahun boleh menyebut ayat pendek dengan menggunakan nada yang betul walaupun kedengaran seperti bahasa asing.

Pada masa ini, bayi anda sudah boleh memberi respon kepada soalan dan arahan yang mudah, terutamanya jika anda membantunya dengan menggunakan pelbagai isyarat tangan. Contohnya, tanyalah "Di mana mulut kamu?" dan tunjukkan ke arah mulutnya. Atau cuba, "Tolong ambilkan cawan" dan tunjukkan ke arah objek itu. Bayi anda mungkin menjawab dengan caranya tersendiri, dengan menggunakan isyarat juga, seperti menggelengkan kepala untuk menyatakan "tidak".

Gunakan potensi penerimaan yang ada pada bayi anda sekarang untuk mula mengajarnya bersopan santun dan membina sikap suka membantu. Tekankan pentingnya kata-kata "sila" atau "boleh ke?" dan "terima kasih". Di samping itu, jadikan waktu mengemas alat mainan bayi anda satu masa yang menyeronokkan dengan menjadikannya satu aktiviti mainan. Walaupun bayi anda mungkin kurang faham akan maksud anda, bukanlah terlalu awal untuk membentuk tabiat ini.

Memberi nama kepada benda-benda

Anda memainkan peranan penting dalam membantu bayi anda menghubung kaitkan objek dan nama sesuatu objek itu - semakin kerap anda melakukannya, semakin cepat perbendaharaan kata bayi anda akan berkembang. Sentiasalah bercakap dengan bayi anda dan menamakan benda. Apabila menaiki tangga, kira bilangan tangga satu persatu dan jika berada di pasar raya tunjukkan nama dan warna buah-buahan dan sayur-sayuran yang ada. Bacakan buku bergambar dan minta dia tunjukkan atau namakan objek yang dikenalinya.

Pastikan anda memberikan dia pilihan sekali-sekala. Tanya bayi anda sama ada dia mahu memakai stoking berwarna merah atau biru; dia hendak bermain dengan bongkah atau gegelung bertingkatnya. Dia mungkin tidak akan menjawab, tetapi kemungkinan juga dia akan menggembirakan anda dengan menjawab apabila tidak dijangka.

KESIMPULAN

Ingatlah bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai tahap-tahap perkembangan fizikal yang utama mengikut masanya sendiri. Kemahiran-kemahiran yang ditetapkan merupakan panduan yang menunjukkan potensi yang boleh dicapai oleh bayi anda - jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan jika bayi anda dilahirkan pramatang, anda akan mendapati yang dia akan lambat untuk mencapai perkembangan tertentu tidak seperti kanak-kanak lain. Jangan risau, kebanyakan doktor akan menilai pembesaran bayi pramatang dari waktu yang dia sepatutnya dilahirkan dan menentukan pencapaiannya sewajarnya.