Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

25 November 2023

Fon Telinga Nirwayar AirPods Pro 2 (2nd Generation) : Kini Semakin Popular Merentas Masa

Artikel asal oleh : Effi Saharudin (Amanz Media)

Pergi ke YouTube sekarang dan tonton video-video temuramah atas talian yang dilakukan dengan selebriti popular, penganalisa politik atau ahli politik yang dijemput untuk menyampaikan isu semasa. Dalam 80% situasi, anda pasti dapat melihat fon telinga putih dengan tangkai panjang pada telinga mereka.

Boleh dirumuskan pandemik Covid-19 adalah iklan percuma terbaik untuk Apple AirPods seperti mana ahli sukan popular menjadi duta percuma untuk Beats By Dre semasa sukan Olimpik Beijing 2008. Bagi mereka yang tidak pernah menggunakan AirPods popularitinya pasti membingungkan. Apa yang kerap kami dengar ialah AirPods menjual gaya dan bukannya kualiti audio sama seperti Beats by Dre.

10 September 2023

Jam Pintar Apple Watch Series 8 : Jam Tangan Pintar Terbaik Berprestasi Lancar

Artikel asal oleh : Fahim Zahar (Amanz Media)

Sebagai seorang yang mula menggunakan peranti boleh pakai dengan Mi Band dan beralih ke jam-jam Wear OS, pada awalnya saya sukar untuk percaya dakwaan orang ramai yang Apple Watch adalah jam tangan pintar terbaik di pasaran. Ini dakwaan yang sama dengan tablet, di mana iPad adalah yang terbaik.

Dakwaan ini terbukti apabila saya mula menggunakan Apple Watch Series 3, tukar ke Series 4 dan terus melompat ke Series 7 pada tahun 2021. Selepas menggunakannya untuk beberapa bulan yang lalu dan ia dibawa ketika menunaikan ibadah umrah. Apabila Apple Watch Series 8 tiba ke makmal Amanz, saya ingin melihat apakah perbezaannya jika ada atau lebih baik berhijrah terus ke Apple Watch Ultra?

01 September 2023

Telefon Pintar Apple iPhone 14 Pro Max : Adakah Masih Elok Apabila Lubang Menggantikan Takuk ?

Artikel asal oleh : Effi Saharudin (Amanz Media)

Ramalan mengenai penggunaan kamera bawah skrin pada iPhone 14 Pro Max tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pada kedua-dua model iPhone 14 Pro tahun ini, takuk besar yang wujud sejak iPhone X telah digantikan dengan Dynamic Island yang mengintegrasikan lubang besar di bahagian skrin dengan pelbagai sistem notifikasi peranti.

Tetapi adakah pengenalan Dynamic Island, pemproses yang lebih berkuasa dan kamera utama dengan sensor lebih besar akan dapat menjadikan iPhone 14 Pro Max peranti perlu dibeli untuk tahun 2022? Ini adalah pandang pertama Amanz untuk iPhone 14 Pro Max.

28 November 2021

Phablet Samsung Galaxy Note 20 : Antara Pilihan Profesional Masa Kini

Artikel asal oleh : Effi Saharudin (Amanz Media)

Selepas sembilan (9) tahun dengan 13 versi berbeza sebelum ini, Samsung Galaxy Note kembali lagi pada Tahun 2020 dengan tujuan memberikan pengalaman baharu berbanding tahun sebelumnya. Dengan pelancaran Samsung Galaxy Note 20, peranti yang dahulunya merevolusikan saiz skrin yang besar dan penggunaan stylus, ia sekali lagi cuba membuktikan bahawa ia adalah 'pengganti' komputer riba yang boleh diandalkan.

Untuk iterasi ke-14 siri Galaxy Note, Samsung kini lebih menumpukan perhatian kepada memperbaiki kekurangan yang dilaporkan oleh pengguna. Tiada lagi evolusi besar pada ciri dan pengenalan iterasi yang berguna diutamakan. Berdasarkan pandangan rakan-rakan Amanz Media yang mendapat akses awal untuk Samsung Galaxy Note 20 pada 5 Ogos 2020, ini ialah pandang pertama untuk phablet unggul yang ingin memikat hati pengguna profesional.

20 Januari 2021

Sepuluh (10) Tablet Pilihan Di Bawah RM1,000 Untuk Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)

Artikel asal oleh : Amy Maizuraa (Amanz Media)

Sepertimana yang dimaklumi, sesi persekolahan secara bersemuka hanya melibatkan murid yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sahaja. Sementara, semua murid sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu hingga empat pula diarahkan untuk mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Keputusan itu dibuat bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini. Pada masa sama, ia bertujuan untuk melindungi keselamatan anak-anak.

Enam (6) Komputer Riba Pilihan Sekitar RM2,000 Untuk Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)

Artikel asal oleh : Nazrin (Amanz Media)

Sekolah-sekolah rendah dan menengah baru sahaja memasuki tahun pengajian baru, dan dengan wabak COVID-19 yang masih lagi membelenggu negara dan dunia, ibu bapa dengan anak-anak yang masih lagi di alam persekolahan akan memerlukan sebuah peranti untuk digunakan buat tujuan tersebut. Sebelum ini, Amanz Media telah mengesyorkan 10 tablet mampu milik yang boleh dibeli pada harga di bawah RM1,000. Walaupun begitu, mereka sedar ada di antara kita yang lebih selesa menggunakan komputer riba, dan di dalam artikel ini mereka akan mengesyorkan enam (6) komputer riba pada harga sekitar RM2,000.

20 April 2020

Lima (5) Laman Web Menyemak Sama Ada Maklumat Akaun E-mel Digodam Atau Tertiris

Artikel asal oleh : Amy Maizuraa (Amanz Media)

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan isu melibatkan aplikasi mesyuarat maya iaitu Zoom yang mana didakwa menimbulkan pelbagai masalah keselamatan dan privasi. Aplikasi ini menerima kritikan hebat kerana dikatakan memiliki tahap keselamatan yang rendah. Terdapat banyak isu yang bersifat kontroversi seperti ribuan rakaman sesi persidangan video terdedah di laman web terbuka, data peribadi dan syarikat terdedah kepada orang tidak dikenali, tidak mempunyai penyulitan hujung-ke-hujung, digodam untuk kecurian kata laluan (aplikasi Zoom untuk Windows) dan sebagainya. Laporan terbaru pula mendedahkan sebanyak 500 ribu akaun Zoom telah dicuri oleh penggodam dan dijual di laman web gelap.

01 Oktober 2017

Telefon Pintar Vivo V7+ : Peranti Kamera Selfie 24 Mega Pixel Dengan Rekaan Hampir Semua Skrin

Artikel asal oleh : Effi Saharudin (Amanz Media)

LG V6, LG V30, Samsung Galaxy Note 8, Samsung Galaxy S8, Xiaomi Mi MIX 2 dan iPhone X adalah contoh peranti dengan rekaan hampir semua skrin. Ini adalah anjakan paradigma rekaan peranti utama untuk tahun 2017. Tetapi kesemua peranti di atas dijual pada harga yang kurang mampu milik. Bagi mereka yang mungkin kekurangan dana, Vivo V7+ akhirnya mendarat di Malaysia hari ini. Ia menawarkan rekaan hampir semua skrin pada harga yang lebih mesra akaun bank tanpa perlu mengikat perut. Berikut ialah pandang pertama kami untuk peranti Vivo V7+.

31 Januari 2014

Telefon Pintar Samsung Galaxy Note 3 : Phablet Terbaik Bagi Penghasilan Media Mobil

Artikel asal oleh : Effi Saharudin (Amanz Media)

Galaxy Note ialah peranti yang memulakan kegilaan phablet apabila ia muncul di pasaran tiga tahun yang lalu. Pada awal kemunculannya ramai yang mengatakan peranti phablet hanyalah gimik dan penggunaan stylus tidak lagi relevan. Tetapi jelas sekali Note mempunyai pasarannya tersendiri dengan jualan mencecah 40 juta unit setakat ini. Note 3 yang muncul bulan lalu dengan tujuan meneruskan kejayaan Samsung sebagai pengeluar phablet terbaik di pasaran. Adakah pembaharuan yang dibawa membuatkan anda harus membeli peranti ni ataupun tunggu sahaja versi tahun hadapan? Teruskan membaca untuk mengetahui pendapat kami.

Untuk generasi ketiga phablet ini, Samsung melakukan beberapa perubahan drastik bagi membuatkan rekaan Note 3 berbeza dari Note 2. Pertama sekali Note 3 kelihatan seperti sebuah Galaxy S2 yang dibesarkan dan tidak lagi mempunyai sisi yang bulat seperti sebuah Galaxy S3. Sebenarnya kami sudah agak bosan dengan rekaan peranti Galaxy Samsung yang menggunakan S3 sebagai acuan rekaan mereka. Ini membuatkan peranti keluarga Galaxy tidak mempunyai variasi yang ketara. Selain mempunyai bentuk yang lebih angular ,bahagian belakang Note 3 kini kelihatan seperti diperbuat daripada kulit lengkap dengan jahitan pada bahagian tepi. Berita baik disini ialah tekstur seakan kulit membuatkan peranti ini sedap dipegang di samping membuatkan menyukarkan peranti untuk tergelincir dari genggaman. Berita buruknya pula ialah panel belakang Note 3 ini tidak diperbuat daripada kulit asli tetapi sebenarnya masih diperbuat daripada plastik. Kami juga menyedari panel belakang ini agak mudah tercalar jadi jika anda membeli Note 3 adalah digalakkan untuk anda segera membeli sebuah casing.

Secara keseluruhan estetik baru yang digunakan pada Note 3 adalah jauh lebih baik dari mana-mana peranti Samsung Galaxy yang ada di pasaran sebelum ini. Kedudukan butang Note 3 masih mengekalkan rekaan lama Samsung. butang home fizikal masih lagi dikekalkan dan ianya dihimpit oleh butang kapasitif menu pada bahagian kiri dan butang kapasitif back pada bahagian kanan. Butang kuasa terletak pada bahagian kanan, butang suara pada bahagian kiri manakala port pengecas terletak pada bahagian bawah. Turun terletak pada bahagian bawah ialah pembesar suara mono peranti ini. Note 3 menggunakan port USB 3.0 dan akibatnya lubang port pada bahagian bawah peranti adalah agak besar. USB 3.0 digunakan kerana keperluan kelajuan pemindahan data yang besar dengan lebih pantas. Akhir sekali pada bahagian atas terdapat lubang jack fon kepala dan pemancar infra merah.

ANTARA MUKA

Sekali pandang tidak terdapat banyak perubahan pada antaramuka TouchWiz Samsung peranti ini. Ianya tidak banyak berbeza dari apa yang kami lihat digunakan pada Galaxy Mega.

Fungsi S Health, Air View, Smart Stay. Smart Pause, Smart Scroll, Air Gesture, Palm Motion, Group yang baru yang diperkenalkan oleh Samsung pada peranti ini boleh dilihat dengan melakukan tatalan dari bawah skrin ke atas. Secara automatik skrin My Magazine Samsung akan memenuhi ruang skrin Note 3. My Magazine bolehlah dikatakan sebagai jawapan Samsung kepada HTC Blinkfeed. Antaramuka My Magazine kelihatan seperti gabungan HTC Blinkfeed dan Flipboard. Terdapat tiga skrin utama pada My Magazine iaitu berita, media sosial dan peribadi. Tiga skrin ini boleh diakses denga melakukan tatalan ke kiri atau ke kanan. Dari My Magazine anda masih boleh mengakses butang telefon, khidmat pesanan ringkas, emel, kamera, Google Now, pelayar Internet dan talam aplikasi. Pada bila-bila masa anda boleh kembali kepada antaramuka telefon yang asal dengan menekan butang home.

FUNGSI KAWALAN SEBELAH TANGAN

Tahun ini skrin Note 3 dibesarkan dari 5.5″ kepada 5.7“. Pengguna phablet bersaiz melangkaui 5.5” sudah cukup arif dengan masalah kesukaran menggunakan peranti mereka menggunakan sebelah tangan. Pada Note 2 Samsung memperkenalkan papan kekunci mini yang boleh diaktifkan bagi memudah proses menaip. Tetapi fungsi ini masih belum sempurna bagi memudahkan penggunaan Note 2 dengan hanya menggunakan sebelah tangan secara menyeluruh. Untuk Note 3 fungsi baru “all screen use” pula diperkenalkan keseluruhan antaramuka peranti mengecil kepada saiz sebuah peranti 4″. Ini pada hemat kami ialah penyelesaian yang kreatif untuk masalah menggunakan peranti bersaiz besar dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Jika saiz 4″ adalah terlalu kecil anda boleh mengubah saiz skrin ini mengikut kehendak anda dengan menekan skrin pensaizan manual.

'AIR COMMAND' DAN STYLUS BAHARU

Air Command pula ialah pintasan untuk 5 fungsi menggunakan stylus setiap kali ianya dikeluarkan dari ruang penyimpanannya. Pintasan tersebut ialah S Finder, Action Memo, Scrap Booker, Screen Write dan Pen Window. S Finder memudahkan anda mencari semula nota, aplikasi, lakaran, emel ataupun gambar yang disimpan di dalam Note 3. Ia berfungsi seperti pencari fail yang ada pada PC ataupun Mac anda. S Finder juga boleh dilancarkan dengan menekan butang menu kapasitif selama beberapa saat. Action Memo berfungsi seperti sebuah stick it note yang boleh membaca tulisan anda. Dari apa yang ditulis anda boleh melakukan carian Google, menyimpan nombor ke dalam telefon atau melancarkan aplikasi Waze untuk mendapatkan panduan ke nama tempat yang ditulis. Scrap Booker mengambil gambar bahagian skrin yang anda tetapkan menggunakan stylus. Gambar tersebut kemudian diletakkan di dalam aplikasi S Memo secara automatik untuk kegunaan anda. Screen Write pula mengambil keseluruhan paparan skrin dan kemudian membenarkan anda menulis di atas screenshot ini secara terus. Akhir sekali ialah Pen Window dimana aplikasi mini boleh dibuka dengan melukis segi empat tepat pada skrin Note 3. Dalam kelima-lima fungsi di atas kami merasakan fungsi pen window adalah yang paling kurang kami gunakan kerana melancarkan aplikasi mini sepatutnya lebih mudah dari terpaksa melakar segi empat. Cara aplikasi mini dilancarkan pada peranti Sony Xperia adalah lebih mesra pengguna.

Kami menyedari stylus berteknologi Wacom Note 3 kali ini lebih sensitif berbanding versi tahun lalu. Lakaran dapat dilakukan dengan lebih tepat dan masalah sela masa yang dialami Note 2 berjaya dikurangkan. Aplikasi S Memo mengekalkan kesemua berus dan pen yang ada sebelum ini dan ini sedikit mengecewakan. Masih tiada sokongan melakar berdasarkan lapisan (layer) pada S Memo tetapi Samsung membenarkan anda memuat turun aplikasi Sketchbook oleh Autodesk secara percuma jika anda mahu melakar dengan sokongan lapisan.

Di akhir hari tiada peranti lain yang mempunyai sokongan stylus yang lebih baik dari Note 3 di pasaran buat masa ini. Ianya stylus yang paling jitu dengan pelbagai fungsi yang memudahkan urusan kerja dan melakukan lakaran. Fungsi-fungsi inilah yang membuatkan Note 3 raja segala phablet di pasaran buat masa ini.

KAMERA

Note 3 dilengkapi kamera sebesar 13 MP pada bahagian belakang lengkap dengan flash dan 2 MP pada bahagian hadapan. Kedua-dua kamera ini mampu mengambil video pada format HD penuh. Kamera utama Note 3 juga mempu mengambil video beresolusi 4K. Video yang diambil mempunyai keperincian yang tinggi dan amat jelas. Masalahnya sekarang tidak ramai pengguna mempunyai televisyen ataupun monitor komputer yang menyokong resolusi UHD ini. Kami juga perasan seperti majoriti video yang diambil menggunakan peranti mobil, masalah rolling shutter jelas kelihatan sekiranya anda melakukan gerakan yang pantas ketika video di ambil. Saiz video 4K yang diambil amat besar, oleh sebab itu Samsung membekalkan port dan kabel USB 3.0 pada peranti ini.

Dari segi fungsi pula Note 3 mempunyai kesemua fungsi kamera yang diperkenalkan pada Galaxy S4 sebelum ini. Antaramuka kamera peranti ini amat mudah digunakan dan mesra pengguna. Fungsi baru yang kami sedari adalah fungsi Surround Shot yang merupakan fungsi Photo Sphere peranti Nexus versi Samsung. Fungsi ini menarik tetapi harus diakui sukar untuk mendapatkan gambar surround shot yang sempurna.

Kami membezakan gambar yang diambil menggunakan Sony Xperia Z1 dengan gambar yang diambil menggunakan Note 3. Dari segi keperincian jelas kelihatan tidak banyak beza di antara gambar yang diambil kamera bersensor 13 MP dan 20.3 MP Sony. Perbezaan paling ketara hanyalah dari segi dedahan dimana gambar yang diambil menggunakan Note 3 adalah jauh lebih terang. Kepulan awan pada bahagian langit hilang apabila diambil menggunakan Note 3 berbanding pada Z1. Tetapi secara keseluruhan kami secara peribadi lebih menyukai gambar yang diambil menggunakan Note 3 kerana tidak banyak suntingan perlu dilakukan selepas gambar diambil. Bagi mereka yang memang mahukan sebuah kamera point and shoot pelbagai guna, kami rasakan kamera Note 3 adalah lebih baik secara keseluruhan berbanding Z1.

PENANDA ARAS

Kami menjalankan 3 ujian standard yang biasa kami lakukan bagi melihat kemampuan Note 3 berbanding peranti-peranti lain. Pada ujian Quadrant, Note 3 mencatatkan 14070 markah. Ini adalah lebih rendah dari 19795 yang dicatatkan oleh Xperia Z Ultra tetapi lebih tinggi dari 6850 yang dicatatkan Galaxy Mega .Pada ujian Antutu pula ia mencatat 29464 markah berbanding 33546 pada Z Ultra. Markah penanda aras yang secara konsisten jauh lebih rendah ini agak mengejutkan kerana Note 3 mempunyai pemproses yang lebih pantas (2.3 GHz Empat Teras Snapdragon 800) berbanding Z Ultra (2.2 GhzE mpat teras Snapdragon 800). Jumlah RAM pada Note 3 juga lebih besar iaitu 3 GB berbanding hanya 2 GB pada Z Ultra.

Tetapi dalam ujian Futuremark sebaliknya pula berlaku dengan Note 3 mencatatkan 18312 markah berbanding 17599 untuk Z Ultra.

Apa yang boleh kami simpulkan disini ialah ujian penanda aras bukan penentu sebenar kemampuan sesuatu peranti. Sepanjang penggunaan Note 3 kami gembira menyatakan kami tidak mengalami sebarang masalah kecil maupun besar. Kelajuan tatalan adalah pantas dan lancar. Penukaran aplikasi juga dapat dilakukan dengan mudah. Kemampuan 3D juga memuaskan. Kami menghabiskan banyak masa bermain Dead Trigger 2 pada peranti ini tanpa masalah sela masa ataupun program membeku secara tiba-tiba.

BATERI

Note 3 dibekalkan dengan bateri berkapasiti 3200 mAh. Ini adalah saiz bateri yang sama yang digunakan pada Samsung Galaxy Mega. Jangka hayat purata bateri apabila digunakan dengan kerap ialah sekitar 8 setengah jam. Pada penggunaan sederhana ia mencecah sehingga 13 jam. Ini bermakna jangka hayat bateri Note 3 hanya sedikit lebih baik dari Galaxy Mega. Prestasi bateri akan berkurangan sehingga 2 jam apabila Note 3 digunakan secara serentak dengan sebuah Galaxy Gear. Ketahanan bateri berkadar terus dengan jumlah notifikasi dan aplikasi yang memerlukan maklumat dihantar kepada Gear oleh Note 3.

KESIMPULAN

Pasaran sekarang semakin dipenuhi peranti dengan saiz skrin melebihi 5.5″. Kejayaan Samsung menjual peranti dari keluarga Note sejak 2011 menunjukkan ada permintaan untuk peranti phablet. Note 3 membawakan pelbagai pembaharuan yang memastikan ia kekal sebagai phablet yang terbaik yang ada di pasaran. Antaramuka tidak diberikan perubahan drastik dengan hanya fungsi baru My Magazine diperkenalkan. Kepada mereka yang mahukan fungsi seperti BlinkFeed pada peranti Samsung mereka, My Magazine memenuhi keperluan membaca berita dan kemaskini laman sosial dengan lebih mudah. Sebuah lagi fungsi baru yang kami rasakan sangat bagus pada Note 3 ialah moda penggunaan sebelah tangannya. Skrin 5.7″ peranti ini memang terlalu besar untuk digunakan dengan sebelah tangan dan penyelesaian elegan yang diperkenalkan Samsung berfungsi dengan cukup sempurna. Kami berharap fungsi sebegini akan muncul pada peranti-peranti lain dan bukan hanya terhad kepada Samsung.

Kemampuan kamera 13 Megapixel juga cukup mengagumkan kerana ia mampu mengambil video pada resolusi 4K. Fungsi ini memang menarik namun kami yakin tidak ramai pengguna di luar sana memiliki televisyen 4K untuk melihat hasilnya dengan sempurna. Gambar yang diambil jelas dengan tajam. Gambar yang diambil dalam keadaan gelap juga nampak jelas. Masalah yang ada hanyalah dari segi dedahan di mana keperincian sesetengah bahagian gambar hilang kerana dedahan yang terlalu tinggi. Fungsi -fungsi pratetapan yang diperkenalkan pada Galaxy S4 ditambah lagi dengan surround shot, animated photo dan golf. Sungguhpun begitu fungsi light trace yang diperkenalkan pada Galaxy Camera masih tidak kelihatan.

Tidak lengkap ulasan sebuah Note jika kami tidak membincangkan fungsi stylusnya. Keperincian stylus yang dibekalkan bersama peranti Note semakin baik dengan setiap model baru. Sela masa di antara penghasilan lakaran pada skrin dengan pergerakan stylus itu masih wujud tetapi ianya terlalu minima sehingga boleh dikatakan hampir tidak disedari. Fungsi Air Command diperkenalkan bagi melicinkan pengguna memilih fungsi stylus apa yang ingin mereka gunakan dengan mudah. Sungguhpun begitu pada pendapat kami fungsi pen window tidak mesra pengguna. Melancarkan aplikasi dengan melakar empat segi tidak semudah hanya menekan logo aplikasi seperti yang digunakan pada peranti Sony Xperia.

Dari sudut spesifikasi memang peranti ini mempunyai cukup kuasa untuk melakukan tugasan dan memainkan aplikasi permainan tanpa masalah. Ujian tanda aras menunjukkan ia mampu bersaing dengan Z1 dan Z Ultra yang pada ketika artikel ditulis mengungguli carta penanda aras. Jumlah RAM yang besar turut memastikan masalah sela masa tidak akan menghantui anda sepanjang tempoh pemilikan. Mungkin Samsung menyedari antaramuka Touchwiz mereka memang “berat” dan penambahan RAM sehingga 3 Gigabyte dapat menyelesaikan masalah sela masa yang sudah wujud sejak bertahun lamanya.

Kemampuan bateri adalah sepadan dengan majoriti peranti empat teras di luar sana. Ia mampu bertahan secara purata selama 8 setengah jam sebelum perlu dicas pada penggunaan berat. Harus dinyatakan hayat bateri akan berkurangan sekiranya Note 3 digunakan secara serentak dengan sebuah Galaxy Gear. 

Sebagai kesimpulan Samsung Galaxy Note mencipta pasaran untuk peranti Android berskrin besar dan dilengkapi stylus. Pada awal kewujudannya Samsung ditertawakan oleh laman web di negara barat kerana dikatakan peranti tanpa pasaran. Selepas 3 tahun kita kini melihat peranti keluarga Note semakin popular dan mengungguli carta jualan phablet dunia. Note 3 pada hemat kami ialah phablet paling berkuasa, mesra pengguna, mempunyai pelbagai fungsi unik dan terbaik untuk penghasilan media mobil. Tidak ada phablet sebaiknya di luar sana dan jika adapun ia mungkin sebuah Samsung Galaxy Note 4. Kami mengesyorkan anda membeli peranti ini kerana ianya masih raja segala phablet.

RINGKASAN: KELEBIHAN

1. Binaan yang kemas dengan bahagian belakang kelihatan seperti diperbuat daripada kulit. Ini jauh lebih baik dari panel plastik yang sebelum ini sinonim dengan kesemua produk peranti Android Samsung.

2. Pelbagai fungsi baru untuk mengambil nota, menghasilkan carta, melakukan lakaran dan stylus yang semakin responsif. Galaxy Note 3 ialah telefon pintar yang pada hemat kami mempunyai paling banyak fungsi yang berguna.

3. Spesifikasi pemproses dan RAM yang tinggi memastikan peranti berfungsi dengan amat lancar tanpa sebarang lengah masa. Markah dari penanda aras menunjukkan Note 3 ialah peranti paling berkuasa untuk masa ini.

4. Fungsi sebelah tangan mengecilkan antaramuka peranti kepada saiz skrin sebesar 4.5″. Akhirnya fungsi one handed yang benar-benar praktikal untuk sebuah phablet.

RINGKASAN: KEKURANGAN

1. Gambar yang diambil terang tetapi mengalami masalah dedahan berlebihan. Jika gambar awan di langit diambil, ianya tidak boleh dilihat pada gambar kerana masalah ini.

2. Slot sim dan mikroSD yang tidak berspring. Agak sukar untuk mengeluarkan SIM dan kad mikroSD.