19 September 2015

Bai'ah Dan Sumpah Dari Sudut Siyasah Syar'iyyah

Mutakhir ini, isu Bai’ah wakil rakyat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah dirungkaikan oleh para asatizah yang kurang faqih dengan siyasah syar’iyyah. Bahkan, komen yang dibuat oleh para asatizah ini seolah-olah untuk menjaga kepentingan tertentu, hanya menyentuh tentang kifarah sumpah dan ia dilihat ‘menghalalkan’ perpindahan wakil-wakil rakyat yang diberi mandat atas tiket PAS ke parti-parti lain.

Saya berpendapat, lafaz bai’ah ini adalah satu KEPERLUAN dalam memastikan wakil rakyat PAS berkhidmat untuk Partinya, bukan untuk orang-orang lain yang berkepentingan. Bahkan, jika tidak berbai’ah sekalipun, ia tetap menjadi tanggungjawab wakil rakyat PAS untuk berkhidmat kepada PAS, demi meletakkan Islam di peringkat yang tertinggi, Insha Allah.

Bagi merungkaikan persoalan di atas, saya kongsikan penulisan Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi bin Awang untuk manfaat kita bersama:

FAHAMI MAKNA BAI'AH DAN SUMPAH
Oleh: Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang [Presiden PAS]

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran :
"Sesungguhnya orang-orang yang membeli perjanjian mereka dengan Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian di Hari Akhirat, Allah tidak berkata-kata Rahmat terhadap mereka, tidak juga menilik secara Kasihan kepada mereka, tidak juga memandang untuk memberi kesayangan terhadap mereka pada Hari Qiamat nanti dan tidak membersihkan mereka daripada dosa dan bagi mereka azab yang pedih. Dan sesungguhnya ada kalangan (ulamak ahli kitab itu) mereka yang mempermainkan lidah-lidah mereka dengan kitab (Allah) supaya menganggapnya hukum daripada kitab Allah, pada hal bukan daripada kitab Allah, dan mereka berkata lagi ini daripada Allah, pada hal bukan daripada Allah. Sebenarnya mereka berbohong terhadap Allah dalam keadaan mereka mengetahuinya."
(Surah Ali-Imran, ayat 77 - 78)
Ditafsirkan ayat ini oleh para ulamak salaf dan khalaf, yang perlu diketahui mafhumnya oleh ahli PAS yang istiqamah bersama Islam, supaya mengerti tujuan bai’ah dan sumpah. Ayat ini menggabungkan kedua-duanya, walaupun perkara bai’ah dan sumpah pada asalnya berbeza dan berasingan dan dilakukan dalam keadaan yang tidak sama. Namun, boleh dilakukan kedua-duannya bagi menambah keteguhannya dalam perkara yang besar dan mencabar, seperti perkara jihad dan amanah ummat, bahkan kadang-kadang dimasukkan pula laknat supaya tidak memandang mudah dalam perjuangan dan amanah itu, seterusnya supaya menjaga istiqamah apabila menghadapi cabaran yang besar.

Walaupun ayat ini sebabnya berkait dengan kisah golongan ahli kitab dengan nabi-nabi mereka yang meminta supaya mereka beriman dengan Nabi akhir zaman dan berjanji untuk berjuang bersamanya, namun pengajarannya wajib diikuti oleh kumpulan Islam yang berjuang menegakkan Islam. Maka Bai’ah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW bagi pengukuhan seseorang yang berada dalam saf perjuangan atau ditugaskan jadi pemimpin atau memegang jawatan penting. Di zamannya berlaku beberapa kali bai’ah yang berbeza keadaan dan mereka yang terlibat . Di antaranya ada Bai’ah ‘Aqabah, Bai’ah Nisaa dan Bia’ah Riduan (Hudaibiyyah) dan diteruskan selepasnya pula di zaman para sahabat dan tabi’ein. Ada pula ditambah dengan sumpah, bahkan digabungkan lagi di zaman mutaakhir dengan nazar, tolak dan laknat kerana dirasakan generasi kemudian lemah imannya dalam perkara yang ghaib saperti perhitungan dosa dan pahala atau berkat dan celaka, maka diikat lagi dengan perkara yang nyata di alam dunia seperti taklik, talak isteri dan sebagainya.

Maksud perjanjian dalam ayat tersebut ialah bai’ah yang berasal daripada perkataan bahasa arab "باع" (bermaksud menjual), kerana Allah membandingkan perjuangan menegakkan agamanya seperti membeli janji yang dijual oleh Allah dengan pahala yang besar. Laksana sesuatu yang dijual oleh Allah dengan bayaran pahala yang besar kerana besar pengorbanannya, sehingga Allah mengukuhkan janjinya saperti perjanjian menjual dan berhutang yang wajib dibayar, dengan janji pada Hari Qiamat yang merupakan ujian beriman kepada Allah, perkara Ghaib dan urusan Akhirat. Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang yang beriman itu diri mereka dan harta mereka."
(Surah At-Taubah, ayat 111)
Tujuannya, supaya dikorbankan bagi menegakkan Islam. Seterusnya Allah berfirman lagi:
"Barangsiapa yang menunaikan bai’ah (perjanjian jual belinya daripada Allah, maka bergembiralah dengan bai’ah yang kamu meteraikan itu. Itulah kemenangan yang sangat besar."
(Surah At-Taubah, ayat 111)
Allah juga berfirman dalam ayat yang lain berkaitan dengan perjuangan Islam juga laksana berhutang:
"Siapakah yang bersedia memberi hutang (pinjaman ) kepada Allah, pinjaman paling baik. Maka Allah berjanji membayarnya dengan berlipat kali ganda yang sangat banyak. Dan Allah boleh memegang dan membuka seluasnya dan kepadanya kamu dipanggil kembali (mengadapnya pada Hari Kiamat)."
(Surah Al-Baqarah, ayat 245)
Di atas perjanjian inilah maka diadakan bai’ah yang bermaksud perjanjin dengan Allah dalam perkara yang berkait dengan perjuangan Islam, di mana Allah yang menjual dan seseorang yang berjuang itu membelinya, seterusnya Allah membeli semula dengan keuntungan yang berlipat kali gandanya.

Ada pun sumpah yang disebut "يمين أيمان" (Aiman atau Yamin) daripada makna tangan kanan bermaksud mengukuhkan janji seperti memegang dengan tangan kanan yang terkuat, mengikut hukum Syarak dengan menyebut nama Allah (Demi Allah). Kebiasaannya dalam perkara kehakiman, sehingga diluaskan dalam perkara pergaulan hidup bermasyarakat yang wujudnya perselisihan biasa, sehinggalah bagi menegaskan janji membuat sesuatu atau meninggalkannya dilafazkan sumpah, sehingga akhirnya dimudah-mudahkan dalam perbualan dan gurauan , lalu Allah memberi amaran:
"Dan janganlah kamu jadikan Allah dipergunakan untuk bersumpah bagi menghalang kamu melakukan perkara kebajikan dan bertaqwa dan melakukan islah dikalangan manusia, dan Allah itu Maha mendengar lagi Maha Mengetahui)."
(Surah Al-Baqarah, ayat 224)

Maka Allah memberi kelonggaran supaya melanggar sumpah sekiranya lebih berkebajikan. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengharamkan perkara-perkara yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah kepada kamu dan janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang melampau. Dan makanlah daripada apa-apa yang Allah halalkan kepada kamu daripada yang baik-baik dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepadanya. Allah tidak menjadikan dosa dalam sumpah yang songsang (yang tidak berniat sumpah dalam perbualan biasa). Namun Allah mempertanggungjawabkan keatas kamu dalam sumpah yang kamu ucapkan bagi penegasan (niat sumpah) . Maka kaffarahnya (dendanya) ialah memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan yang sederhana yang menjadi kebiasaan kamu , atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan hamba sahaya . Barang siapa yang tidak mampu hendaklah berpuasa tiga hari. Itulah kaffarah terhadap sumpah yang kamu lakukan . Begitulah Allah menerangkan kepada kamu akan ayat-ayatnya supaya kamu bersyukur."
(Surah Al-Maidah, ayat 87 - 89)
Ayat-ayat ini sebab nuzulnya, berkaitan dengan adanya kalangan para sahabat yang bersumpah untuk jadi seperti paderi dan sami, beribadat selama-lamanya, bersembahayang, berpuasa dan lain-lain sehingga tidak mahu berkahwin, meninggalkan makanan yang baik dan lain-lain yang dihalalkan oleh Allah. Bahkan teguran Allah terhadap Rasulullah SAW di dalam Al-Quran :
"Wahai Nabi ! Mengapa kamu haramkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah kepadamu kerana semata-mata mahu merelakan hati isteri-isteri mu. Pada hal Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Allah telah menyatakan kepadakamu cara melepaskan diri daripada sumpah itu (menunaikan kaffarah). Allah sahaja Tuhan yang memelihara kamu. Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."
(Surah At-Tahrim, ayat 1 - 2)
Apabila digabungkan semuanya, yakni bai’ah, sumpah dan laknat, menjadikan berbeza dengan tujuan bersumpah sahaja, kerana bertujuan menguat bai’ah dan bertanggungjawab berkait di antara satu sama lain yang tidak boleh dipisahkan dan disamakan hukumnya secara bersumpah sahaja. Asasnya ialah bai’ah yang bertujuan perjanjian dengan Allah yang tidak boleh selesai dengan sumpah yang dibayar kaffarahnya.

Imam Ibnu Kathir menyebut dalam kitab karangannya "Al-Bidayah Wan Nihayah" dan Imam At-Tobari dalam kitabnya "At-Tarikh", "Bahawa bai’ah, sumpah, cerai taklik dan nazar, digabungkan semuannya, pernah dilakukan di zaman kerajaan Abbassiyah dengan pengesahan para ulama dizamannya”. Para Fuqaha Mazhab Hanafi pula menyebut perkara sumpah yang dimasukkan taklik talak, tetapi dalam perkara sumpah yang tidak ada kaitan dengan Bai’ah. Begitu juga Imam Ibnu Taimiyyah dan Imam Ibnu Qayyim serta juga ulamak mutaakhir saperti Mahmud Shaltut, Sayed Sabiq dan Al-Qardawi menyatakan hukum khilaf dalam perkara sumpah sahaja yang berasingan dengan bai’ah.

PAS telah mensyaratkan bai’ah yang dimasukkan di dalamnya sumpah dan laknat dengan penegasan lafaz Allah menjadi saksinya. Ada negeri yang memasukkan tolak tahlil, bukan bermakna merendahkan isteri, sebaliknya meninggikan kedudukannya sehingga dimasukkan bersama kecintaan kepada Allah walau pun tidak menyamainya. Bahkan para Sahabat RA bersumpah dengan menyebut "Demi Ayah dan Ibu" (kecintaan terhadap kedua-duannya tidak melebihi dengan kecintaan kepada Allah dan Rasul). Merupakan seni sastera arab bagi mengukuhkan ucapan dan ikrar.

Maka lafaz bai’ah dalam parti yang berjuang menegakkan Islam saperti PAS adalah beramal dengan Al-Quran, As-Sunnah dan Ijtihad para ulamak muktabar yang disahkan oleh Ahli Majlis Syura Ulamak yang sangat dihormati oleh semua pemimpin, ahli dan penyokong PAS yang istiqamah, walaupun pihak lain tidak berminat bukan sahaja bai’ahnya bahkan dasar Islamnya juga, sehingga ada pula yang meletakkan talak taklik mencerai isteri lebih utama daripada berjanji dengan Allah. Maka Tahaluf Siyasi dengan pihak lain yang temasuk dalam perkara strategi, tidak boleh mengatasi bai’ah kesetiaan kepada Aqidah, Dasar dan Matlamat perjuangan Islam.

Walaupun PAS berkali-kali menerima kekalahan pilihanraya, kerana kemenangan Aqidah dan matlamat Islam memimpin Negara, Syariat Allah didaulatkan tidak boleh tunduk kepada hala tuju yang dikehendaki oleh semua pihak walaupun rakan paling akrab. Firman Allah di dalam Al-Quran:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa kamu, saudara-saudara dan rakan-rakan kamu, wali-wali yang diberi kepercayaan (sehingga tidak berbelah bahagi dan tidak boleh dirungkai hubungannya), jika mereka meletakkan kecintaan terhadap kekufuran lebih daripada keimanan. Maka sesiapa yang berwalikan mereka dikalangan kamu, merekalah orang-orang yang zalim . Katakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) ! Jika sekiranya ayah-ayah kamu, anak-anak kamu, suadara mara dan sahabat handai, isteri-isteri dan keluarga kamu, harta benda yang kamu cari, perniagaan yang kamu bimbang melesetnya dan rumah kediaman yang kamu sayang, kamu anggap lebih penting daripada Allah dan Rasul dan jihad (perjuangan dengan pengorbanan) menegakkan agama Allah, maka tunggulah sehingga Allah menentukan perintah (hukumannya) dan Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang fasik."
(Surah At-Taubah, ayat 23 - 24)
Ahli-ahli PAS yang ditarbiyah dan menerima hakikat tasawwurnya daripada ayat-ayat tersebut terus beristiqamah di atas landasan yang ditetapkan kepada mereka. Bai’ah lebih mewajibkan PAS tidak menukar Aqidah perjuangan Islamnya atau dicabar kedudukan islam yang wajib memimpin negara, pelaksanaan syariat boleh dihalang atau dipertikai sewenang-wenang, jati diri ummat Islam dicalarkan, walaupun beberapa pelaksanaannya berkait dengan perkara cabang syariat, memerlukan masa dan jadual yang panjang.

PAS memahami semuanya tidak terpisah daripada Aqidah, dasar dan matlamat Islam yang menyeluruh. Maka semua hubungan dan kerjasama PAS dengan semua pihak haram menjual perkara asas tersebut dengan segala harga dialam dunia ini, kerana kita percaya semuanya tidak laku di alam akhirat kelak. Sejarah PAS mencipta Dr Burhanudin Al-Helmy yang mencerai isterinya daripada Singapura kerana tidak bersedia datang ke semenanjung, bersamanya menjadi pemimpin, PAS mencipta Profesor Ahmad Ibrahim meninggalkan jawatan besar di Singapura, datang berkhidmat di Semenanjung dan lain-lain. Menunjukkan pegangan mereka kepada Bai’ah, yang tidak ada kepada kalangan yang berwawasan dunia tanpa akhirat, atau yang berpegang kepada konsep "Political Animal".

Ahli PAS yang terdahulu melihat semua akibat di alam dunia sebelum akhirat, sesiapa yang mengkhianati bai’ah yang lebih penting atau melanggar sumpah yang dianggap kecil tidak penting. Semuanya menjadi peristiwa yang menjadikan kami semua lebih beristiqamah di atas landasan perjuangan Islam dan matlamatnya. Kepada mereka yang niatnya bersama PAS sekadar bermalam di hotel atau jambatan pendek menyeberangi cita-cita dunianya atau sekadar menjadi penonton, diucapkan selamat tinggal. Jangan beratkan bahtera kami dan membazirkan tenaga ahli PAS yang besar dan kecil dan bekalan kami yang dibekalkan oleh kalangan yang termiskin lebih ramai daripada yang kaya-raya.

Ada pun yang berpura-pura dengan bai’ahnya, ketahuilah bahawa kami beriman kepada kalam Allah SWT :
"Sesungguhnya mereka yang berbai’ah denganmu (wahai Muhammad), sebenarnya mereka berbai’ah dengan Allah, tangan Allah (yang tidak sama dengan makhluknya) di atas tangan-tangan mereka (yang melafazkan bai’ah itu). Maka sesiapa yang mengkhianatinya maka dia menanggung akibat menimpa dirinya, dan sesiapa yang setia menunaikan janjinya (daripada bai’ah itu), maka Allah mengurniakan kepadanya ganjaran yang besar."
(Surah Al-Fath, ayat 10)
Perkara talak taklik sahaja mungkin boleh diusahakan di Mahkamah Qadi dengan sistem yang memisahkan politik daripada agama. Ada pun hukuman terhadap mereka yang mengkhianati bai’ah terserah kepada mahkamah Allah Yang Maha Adil lagi Bijaksana, sama ada hukuman dunia atau akhirat terserah kepada-Nya. Bukannya di mahkamah ciptaan manusia yang ramai peguamnya, ada yang baik dan ada yang buruk. Akhirnya, marilah bersama kita menghayati satu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Ahmad :

"Tiga orang, aku menjadi musuhnya di Hari Akhirat. Seorang yang membuat perjanjian atas namaku, lalu dia memungkirinya. Seorang lagi menjual orang merdeka (bukan hambanya), lalu dia memakan harganya dan seorang lagi mempekerjakan orang lain, lalu tidak membayar gajinya."

18 September 2015

Nilai Sebuah Janji Yang Dipegang

Berbicara tentang janji, bai'ah atau ta'at setia, tidaklah ia terlepas daripada melihat pandangan sisi Allah Ta'ala dan ibrah dari Sirah Nabi SAW. Janji bukanlah sesuatu perkara yang boleh dibuat sesuka hati, bahkan, ia boleh dituntut sekiranya tidak ditunaikan. Itulah nilai bagi sebuah janji yang telah dibuat.

Saya memetik sedikit penulisan daripada Sohibussamahah Al-Fadhil Dr. Ust. Zulkifli bin Mohammad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan, tentang perihal janji ini.

Kata beliau, antara perkara yang terpenting nilai manusia adalah prinsip dan mauqifnya yang tidak boleh digugat sementelahan lagi apabila mereka benar-benar di atas jalan yang lurus. Mereka cuba mencari mardhatillah melalui ilmu, hikmah dan juga ibadat serta iman yang tinggi kepada Tuhannya. Mereka beristiqamah dalam agama Islam dan kefahaman iman yang sebenar yang diresapi dengan keyakinan yang jitu. Dengan sebab itulah tidak pelik apabila mereka sanggup berjanji (melalui bai’ah) kepada Rasulullah SAW dalam apa jua keadaan sekalipun.

Pada zaman Nabi Muhammad SAW, apabila seseorang memeluk Islam, dia menghulurkan tangannya kepada baginda SAW dan berjanji untuk mendengar dan taat kepada baginda sebagai seorang Nabi dan pemerintah. Mungkin kita semua masih ingat Perjanjian Aqabah yang pertama dan kedua di Makkah, Perjanjian Bai'ah al-Ridhwan, begitu juga perjanjian taat setia beberapa orang sahabat kepada Nabi SAW ketika mereka memeluk Islam. 

Contohnya, ucapan Ubadah bin al-Somit ra yang berkata;
بَايَعْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِى الْعُسْرِ وَالْيُسْر،ِ وَالْمَنْشَطِ وَالْمَكْرَهِ، وَعَلَى أَثَرَةٍ عَلَيْنَا، وَعَلَى أَنْ لاَ نُنَازِعَ الأَمْرَ أَهْلَهُ، وَعَلَى أَنْ نَقُولَ بِالْحَقِّ أَيْنَمَا كُنَّا، لاَ نَخَافُ فِى اللَّهِ لَوْمَةَ لاَئِمٍ 
"Kami mengikat janji taat setia kepada Rasulullah saw untuk mendengar dan patuh ketika susah dan senang, ketika suka dan tidak suka, mengutamakan orang lain, tidak akan merampas kuasa daripada orang yang layak dan mengatakan yang benar walau di mana kami berada. Kami tidak akan rasa takut kepada celaan manusia dalam melaksanakan perintah Allah.”
- riwayat al-Bukhari (6774), Muslim (1709), Malik (2/445-446), al-Nasaie (7/137-138) dan Ibn Majah (2866)
Dalam buku Fi al-Diini al-Khalis, 3/137 Sadiq Hussin Khan mengatakan:
“Dalam hadis ini terdapat bukti yang menunjukkan bahawa meminta para sahabat melakukan baiah adalah sunnah, demikian juga bai'ah yang diberikan oleh para sahabat adalah sunnah. Menunaikan sunnah bai'ah adalah wajib dan mencabulinya dengan sengaja adalah maksiat.”
Dalam mentafsirkan hadis berkenaan Ibn Hajar mengatakan:
“Dalam keadaan yang kita sukai atau kita benci, yakni dalam keadaan kita cergas dan dalam keadaan kita lemah untuk melakukan apa yang diperintahkan.”
Al-Daudi pula mengatakan:
“Maksudnya ialah sesuatu yang kamu benci.”
Ibn al-Tin pula berkata:
“Yang jelas maksud beliau ialah pada waktu malas dan kesusahan.”
Ibnul Juzi al-Makki pula mengatakan:
“Kita tidak harus menentang kerajaan (maksud beliau kerajaan Islam) sekalipun mereka zalim hinggalah ternyata pada mereka itu kekufuran yang jelas. Ketaatan wajib diberikan kepada mereka baik dalam perkara yang digemari atau dibenci, kecualilah mereka memerintahkan perkara maksiat. Dalam keadaan ini tidak wajib taat kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah.”
Setelah kewafatan Nabi SAW, orang ramai mestilah menyatakan perjanjian taat setia kepada orang yang menjadi pengganti Baginda dalam menguruskan hal ehwal umat Islam, menjaga kepentingan mereka dan menjalankan urusan pentadbiran negara Islam. Ia adalah untuk menggambarkan bahawa mereka terus berjanji setia kepada Nabi Muhammad SAW dan terus mentaati Baginda melalui ketaatan kepada para khalifah yang dilantik selepas baginda.

Justeru, marilah sama-sama kita menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah yang mempunyai prinsip yang jelas dan sikap dengan watak sakhsiyyah Islamiyyah yang mithali.

PENUTUP

Kesimpulannya, dalam apa jua janji yang kita materikannya dengan kerelaan hati hendaklah kita tunaikan seperti:

1. Dalam janji kita sebagai pemimpin atau ketua jabatan.
2. Dalam janji kita sebagai penjawat awam.
3. Dalam janji kita sebagai pekerja.
4. Dalam janji kita sebagai suami atau isteri.
5. Dalam janji kita sebagai ibu bapa.
6. Dalam janji kita sebagai orang Islam dan beriman.

Semoga dengan semangat yang tinggi dalam menunaikan janji sudah tentu memberi pengenalan yang jelas bahawa orang yang dithiqahi oleh masyarakat dan diredhai oleh Allah. Ingatlah bahawa lembu dipegang dengan talinya sedangkan manusia dipegang dengan janjinya. Semoga amanah janji yang kita lafazkan dan azamkan itu kita ‘wafa’kan dan tunaikannya dalam kehidupan kita yang layak menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk dan hidayat kepada kita.