PENGENALAN BLOG

AKAUNTAN merujuk kepada kerjaya seorang profesional, yang difahami sebagai seorang pengamal ilmu perakaunan. Kebiasaannya, seorang akauntan mempunyai kepakaran dalam melaksanakan pengukuran kualiti dan kuantiti, pendedahan sesuatu kandungan, kepastian terhadap maklumat kewangan yang membantu para pengurus, pelabur, atau mana-mana penguasa cukai membuat keputusan terhadap sumber-sumber yang diperuntukkan.

HARAKI pula berasal daripada perkataan arab 'Taharruk', boleh didefinisikan sebagai 'sesuatu yang bergerak'. Dalam memahami istilah 'Haraki' yang digunapakai dalam Fiqh Gerakan Islam, istilah ini didefinisi sebagai seseorang individu muslim yang bergerak dalam melakukan kerja-kerja dakwah, dengan melalui keputusan atau arahan sesuatu Gerakan Islam (yang diperakui sahih mengikut acuan Ahli Sunnah Wal Jama'ah) sama ada melalui idea, tenaga ataupun harta-benda yang dimiliki oleh sesorang muslim tersebut.

AKAUNTAN HARAKI™ menggabungkan kedua-dua elemen ini, sekaligus mendefinisikan istilah ini sebagai seorang pengamal perakaunan profesional yang melakukan gerak kerja dakwah melalui sesuatu Gerakan Islam. Ini sesuai dengan identiti pengasas blog ini, di mana beliau merupakan seorang akauntan bertauliah yang berdaftar di bawah Institut Akauntan Malaysia (MIA) sejak 1 Julai 2014. Beliau juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, dengan iltizam untuk berintima' (menggabungkan diri) sepenuhnya dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), insha Allah.

Atas kredebiliti yang dilihat melalui penggabungan terminologi ini, nama AKAUNTAN HARAKI™ telah dipilih secara rasmi sebagai nama blog yang baru bermula 1 Oktober 2016 bersamaan 1 Muharram 1438 Hijrah. Nama tersebut telah digunapakai bagi menggantikan nama asal, iaitu FULL TIME MUSLIM™ [Pautan asal masih kekal: http://full-timemuslim.blogspot.com] kerana mengambil kira penggunaan nama tersebut kepada sebuah syarikat pembekal baju-T muslim yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan blog ini. Nama AKAUNTAN HARAKI™ ini telah kekal digunakan sehingga ke hari ini.

AKAUNTAN HARAKI™ juga telah memilih tema 'Profesional Istiqamah Dengan Islam'. Antara justifikasi utama pemilihan tema ini adalah untuk menyanggah anggapan sesetengah masyarakat awam mengenai kekurangan ahli profesional muslim yang bersama dalam gerak kerja dakwah Islam secara tanzim (berorganisasi) dan melalui manhaj-manhaj (sistem-sistem) tertentu.

Gerak kerja Islam ini dilihat hanya fokus kepada usaha para agamawan dan kebanyakannya dipelopori oleh para asatizah dan ulama'. Anggapan ini lebih merisaukan, apabila terdapat sebilangan ahli profesional PAS berideologi Islam Demokrat (atau Liberal) telah melakukan pengkhianatan secara terang-terangan dengan menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN), kononnya sebagai satu Gerakan Islam alternatif yang melibatkan sebilangan besar golongan profesional Islam. Situasi ini memperlihatkan seolah-olah Gerakan Islam PAS ini tidak lagi relevan bagi keahlian di kalangan profesional muslim.

Biarpun PAS bukanlah satu-satunya Jama'ah Islam di Malaysia ini, kami melihat PAS adalah satu-satunya Jama'ah Islam yang relevan untuk memimpin perubahan ke arah Malaysia yang sejahtera sejak dari tahun 1955. Anggapan mengenai 'Agamawan hanya untuk PAS' ini adalah tidak tepat dan sengaja dibuat oleh sebilangan besar musuh-musuh Islam. Ia menimbulkan suatu persepsi yang semestinya kurang enak kepada gologan bukan Islam, seolah-olah mereka yang kekal istiqamah dengan perjuangan PAS tidak akan mampu mentadbir negara kerana ketiadaan golongan profesional dan teknokrat.

Atas dasar itu, kami mengambil inisiatif untuk memperkenalkan terminologi ini sebagai satu asas kewujudan Profesional yang masih istiqamah dengan gerak kerja dakwah Islam. Semoga kita semua sentiasa beristiqamah hingga kemenangan, insha Allah!

"PROFESIONAL ISTIQAMAH DENGAN ISLAM"
Inilah Penyelesaian Kita