01 Januari 2018

Sepuluh (10) Kaedah Dakwah Dalam Islam (Sheikh Dr. Jum'ah Amin)

Dakwah adalah suatu agenda yang sangat sinonim dengan kehidupan seorang Muslim yang hidup bersama Gerakan Islam. Bahkan, ia adalah merupakan suatu kewajipan hakiki yang harus difahami bagi setiap ahlinya, khususnya bagi mereka yang berintima' (terlibat) secara langsung dengan sebuah Jamaah Islam ini yang bersifat Harakah. Matlamat Gerakan Islam ini sememangnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan Islam berada di kedudukan yang tertinggi di hati masyarakat.

Dr. Jum’ah Amin, seorang penulis buku Fiqh Ad-Dakwah, telah menggariskan berberapa kaedah dakwah ini di dalam kitabnya, sebagaimana berikut:

Kaedah 1: Al-Qudwah Qabla Dakwah (menjadi contoh sebelum berdakwah)

Sebagaimanapun bagusnya seorang pendakwah di dalam berdakwah dan seluas apapun wawasannya mengenai agama, tapi tanpa ditunjang dengan akhlak yang dapat diteladani oleh umat, maka dakwah itu tidak akan pernah berhasil. Oleh kerana itu, perlu adanya keteladanan yang baik dari seorang pendakwah sebelum berdakwah.

Kaedah 2: At-Ta’lif Qabla Ta’rif (menjinak dan mengikat hati sebelum memperkenalkan)

Sering sekali seseorang itu akan tertarik pada sesuatu, setelah hatinya merasa senang terhadap hal tersebut. Setelah seseorang itu merasa senang, maka segala sesuatu yang ingin disampaikan oleh pendakwah menjadi mudah untuk dicerna oleh sasaran dakwah tersebut.

Kaedah 3: At-Ta’rif Qabla Taklif (memperkenalkan sebelum memberi tugasan)

Sebuah pepatah lama ada menyatakan, "tak kenal maka tak sayang, tak sayang maka tak cinta". Oleh kerana itu, berdakwah hendaklah dimulakan dengan mengenalkan perkara-perkara yang ringan (terlebih dahulu) dan tidak memberatkan. Perkenalkan diri kita terlebih dahulu sebagai pemula bicara.

Kaedah 4: At-Tadarruj Fi Taklif (bertahap dalam memberikan tugasan)

Adapun bertahap-tahap dalam pemberian tugasan adalah bertujuan untuk tidak memberatkan sasaran dakwah (mad'u). Kita perlulah mengambil iktibar daripada prinsip Al-Quran dalam merubah amalan jahiliyyah dahulu berdasarkan konsep tadarruj (bertahap-tahap). Seorang pendakwah harus mendekati mad'u dimulai mengikut tahap pemahaman seorang mad'u, bukanlah mengikut tahap pemahaman si pendakwah.

Kaedah 5: At-Taisir La At-Ta’sir (memudahkan bukan menyusahkan)

Sekiranya terdapat pilihan antara perkara yang berat dan yang ringan, maka pilihlah jalan yang lebih ringan. Prinsip umum yang dipegang oleh para sahabat Nabi SAW ialah tashil (memudahkan) dan musamahah (toleransi) dalam masalah furu'iyyah (perkara cabang). Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a, bahawa Nabi SAW bersabda: "Permudahkanlah, jangan dipersulit, besarkan hati jangan membuat orang lari." (HR. Bukhari)

Kaedah 6: Al-Usul Qabla Furu’ (memulakan perkara dasar sebelum perkara cabang)

Mulakan dakwah dengan perkara berkaitan aqidah telebih dahulu sebelum masuk kepada masalah-masalah yang berkait dengan taklifan (tanggungjawab) dan penetapan hukum-hakam di dalam Islam. Dr. Yusuf Qardhawi pernah berkata: "Di antara sesuatu yang harus dijauhi oleh para pemuda Islam adalah menyibukkan diri dengan masalah-masalah cabang, sementara meninggalkan masalah-masalah pokok yang besar dan berkaitan dengan kewujudan umat dan perjalanannya."

Kaedah 7: At-Targhib Qabla Tarhib (memberi harapan sebelum ancaman)

Seorang pendakwah hendaklah terlebih dahulu memberikan harapan atau khabar gembira kepada sasaran dakwah untuk beramal dengan ikhlas sebelum memberikan ancaman tentang bahaya riya' dan lain-lain ancaman maksiat di dalam Islam. Para pendakwah perlulah memberitahu kebaikan dan ganjaran pahala yang akan diperolehi jika berbuat amal kebaikan kepada mad'u agar mereka tertarik untuk melakukan amal tersebut.

Kaedah 8: At-Tafhim La At-Talqin (memberi kefahaman tidak menyampaikan semata-mata)

Dalam usaha untuk memberikan pemahaman sepenuhnya kepada sasaran dakwah (mad'u), para pendakwah tidak boleh hanya dengan menguasai dalil-dalil dan hukum-hakam semata-mata, tetapi harus melihat dan memikirkan bagaimana semua itu dapat diamalkan dan diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat. Pendakwah juga perlu melihat kepada bagaimana kondisi mad'u dan kesediaannya untuk menerima apa yang ingin disampaikan. Seorang pendakwah mestilah sentiasa mengutamakan kemaslahatan, bukan sekadar melaksanakan kerja semata-mata.

Kaedah 9: At-Tarbiyah La At-Ta’riyah (memberi pendidikan bukan menelanjangi keburukan)

Jika diperhatikan, sebahagian dari pendakwah seringkali memalukan sasaran dakwahnya di hadapan khalayak. Mereka lupa bahawa orang yang memerintahkan orang lain untuk melakukan kebaikan, hendaklah juga menggunakan cara atau kaedah yang baik. Kesalahan yang dilakukan oleh sasaran dakwah mestilah dirahsiakan. Cubalah kita mengambil ibrah daripada kisah Hassan r.a dan Hussin r.a dalam menegur seorang lelaki tua yang melakukan kesalahan dalam berwudhu'. Mereka berdua berjaya menegur kesalahan orang tua tersebut tanpa mengaibkannya.

Kaedah 10: Tilmizu Imam La Tilmizu Kitab (murid kepada guru bukan murid kepada buku)

Sebahagian pendakwah muda hanya mengambil nas-nas Al-Quran mahupun Hadith Nabi SAW secara langsung dan 'berguru' hanya kepada buku, tanpa mahu merujuk kepada para ulamak. Setiap pendakwah mestilah belajar dan membuat rujukan daripada para ulamak dan juga orang yang berpengalaman.

*********************

Sepuluh (10) kaedah dakwah dalam Islam di atas telah saya pelajari semasa di kampus (lapan tahun yang lalu), melalui berberapa siri usrah yang disampaikan oleh berberapa naqib jemputan. Para nuqaba' ini kebiasaannya terdiri daripada pimpinan Jemaah Islam Kampus (JIK) dari universiti-universiti terkemuka di Lembah Klang.

Moga kaedah-kaedah yang dinyatakan oleh Dr. Jumuah Amin di atas dapat diaplikasi ke atas gerak kerja dakwah kita di bumi Malaysia ini, Insha Allah! 

Tiada ulasan: