Artikel asal oleh : Dr. Wan Faizah binti Wan Abdul Rahman (Universiti Sains Malaysia)
Mahu tidak mahu kita semua perlu menerima kehadirannya. Mengubah cara hidup dengan serta merta untuk menyekatnya dari terus mara membuat rantaian demi rantaian. Begitu pantas ia merebak dari individu kepada individu yang lain. Hanya penjarakan sosial dan pendisiplinan diri mampu menyekat penularan wabak ini. Virus ini pada awalnya dikenali sebagai ‘Wuhan Coronavirus’ kerana asalnya dari sebuah pasar basah di Wuhan, China yang menjual pelbagai jenis hidupan liar yang dipelihara dan disembelih di situ. Keadaan haiwan yang berada rapat antara satu sama lain membolehkan virus ini berjangkit dari satu spesies kepada spesies yang lain. Sehingga kini masih belum dapat dipastikan sumber sebenar virus ini. Kemungkinan besar adalah daripada kelawar yang kemudiannya menjangkiti haiwan-haiwan lain yang dijual di pasar yang padat itu.