Memaparkan catatan dengan label Memanah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Memanah. Papar semua catatan

02 Mei 2016

Teknik Asas Dalam Memanah

Artikel asal oleh : Zairol Daud (Pengasas Ar-Rouha Archery)

Memanah adalah salah satu dari tiga jenis sukan yang digalakkan oleh Nabi SAW (selain daripada aktiviti berkuda dan aktiviti berenang). Memanah juga merupakan sukan yang terkenal di kalangan agamawan dan para ulamak. Terdapat banyak kelab memanah yang telah ditubuhkan oleh para asatizah di Malaysia. Aktiviti memanah juga bukanlah suatu yang mudah dipelajari dalam waktu yang singkat, ia memerlukan satu waktu khusus untuk kita mendalaminya agar benar-benar menjadi seorang pemanah Islam yang berbakat.

Berdasarkan buku karangan Mc Kinney (1917), terdapat berberapa prinsip mekanikal yang harus diketahui oleh para pemanah. Ini adalah bertujuan untuk memastikan kaedah memanah dapat dipraktikkan secara konsisten. Secara ringkasnya, terdapat sembilan (9) teknik yang perlu dipraktikkan oleh pemanah menurut penulis, iaitu sebagaimana berikut:

1. Stance (sikap atau cara berdiri);
2. Nocking (memasang ekor panah);
3. Extend (mengangkat lengan);
4. Drawing (menarik tali busur);
5. Anchoring (menegangkan tali penarik);
6. Tighten/Hold (menahan tali penarik);
7. Aiming (membidik dengan fokus);
8. Release (melepaskan anak panah); dan
9. After hold (menahan sikap memanah).

Manakala di dalam buku karangan Kesik Lee (2007) pula, terdapat dua belas (12) teknik yang perlu dipraktikkan di dalam aktiviti memanah. Langkah-langkah memanah ini akan saya perincikan sebagaimana berikut:

Langkah #1:
Stance (Sikap atau Cara Berdiri)

Stance adalah sikap atau posisi kaki di saat berdiri di atas lantai atau tanah sewaktu memanah. Posisi kaki yang baik pada saat berdiri memiliki dua (2) syarat, sebagaimana berikut:

1. Titik berat badan ketika berdiri hendaklah ditampung oleh kedua-dua kaki secara seimbang, dengan peratusan 60% hingga 70% daripada berat badan tertumpu kepada hujung kaki, manakala selebihnya tertumpu kepada tumit; dan

2. Posisi tubuh harus seimbang dan berdiri tegak. Pemanah tidak boleh membongkok ke hadapan, atau mendada ke belakang atau berada di posisi menyenget di sebelah kiri atau kanan.
Dalam usaha untuk memastikan tubuh kita mencapai kedudukan yang seimbang dan berada di dalam posisi berdiri yang betul, terdapat tiga (3) perkara yang harus diperhatikan oleh pemanah, sebagaimana berikut:

1. Jarak antara kedua-dua belah kaki haruslah selebar bahu pemanah;

2. Hujung kaki haruslah seolah-olah menghadap garis khayalan di bahagian tengah sasaran panah; dan

3. Kedua-dua lutut berada di dalam keadaan yang tidak tegang.

Terdapat empat (4) cara kedudukan kaki seorang pemanah, sebagaimana berikut:

Square/Parallel stance: Kedudukan kaki sejajar dengan lantai. Kedudukan dada ke sasaran haruslah membentuk sudut 90°.

Open stance: Kedudukan kaki ke atas lantai sedikit terbuka lebar. Dalam erti kata yang lain, posisi kaki kanan dihadapankan dari kedudukan kaki kiri selari dengan sasaran, tetapi sedikit serong ke arah kiri. Posisi badan pula membentuk sudut 60°.

Close stance: Kedudukan kaki ke atas lantai sedikit tertutup. Dalam erti kata yang lain, bahagian hujung kaki kanan menyentuh garis khayalan dan bahagian tumit kaki kiri bersentuhan juga dengan garis khayalan atau selari dengan kaki kanan. Kedudukan dada pula membentuk sudut 120°.

Oblique stance: Sebagaimana kaedah Close Stance, tetapi bahagian hujung kaki kanan sejajar dengan bahagian hujung kaki kiri dengan arah menyerong menuju ke arah sasaran. Kedudukan dada membentuk sudut 45°.

Langkah #2:
Nocking (Memasang Ekor Panah)

Nocking adalah gerakan memanah dengan menempatkan atau memasukkan ekor atau hujung panah ke tempat anak panah (nocking point) pada tali busur serta meletakkan gandar (shaft) pada sandaran yang telah disediakan.

Dalam usaha untuk memastikan langkah ini dibuat secara baik, ada tiga (3) perkara yang perlu diberi perhatian:

1. Bulu indeks pada bahagian ekor panah haruslah menjauhi sisi jendela busur;
2. Ekor panah haruslah tepat masuk ke tali panah; dan
3. Anak panah haruslah bertepatan untuk dimasukkan ke nock.

Apabila anak panah terlalu besar dan longgar, ia akan menganggu pergerakan anak panah menuju ke sasaran.

Langkah #3:
Hooking & Gripping The Bow (Memposisikan Jari Pada Busur)

Hooking and Gripping the Bow ialah gerakan memanah dengan menempatkan atau mengaitkan jari di tali setelah anak panah atau nocking point terpasang dengan tepat. Posisi jari harus ditempatkan pada tali dan tali harus diposisikan di sendi pertama, atau lebih tepatnya adalah pada bahagian sendi atas jari telunjuk, di bawah jari tengah dan di belakang sendiri jari manis. Perlu diingatkan agar tidak cuba meletakkan tali pada sendi pertama di bagian jari atas dan bawah. Hal ini boleh membahayakan perkembangan sendi.

Sebelum membidik anak panah, seorang pemanah harus mengecek terlebih dahulu tab tali antara nocking point dengan posisi jari di tab. Dalam memastikan proses bidikan anak panah bergerak dengan lancar, maka adalah lebih baik para pemanah menggunakan pembatas jari sehingga jari akan berada pada posisinya dengan betul dan lebih merehatkan. Sekiranya tidak menggunakan pembatas jari, maka jari akan terasa cenderung melebar sehingga boleh menggangu proses bidikan.

Langkah #4:
Mindset (Ketetapan Hati)

Mindset adalah aspek yang harus dipenuhi oleh seorang pemanah yang hebat, baik dalam keadaan fizikal mahupun taktikal. Ia adalah langkah yang paling penting berbanding langkah-langkah memanah yang lain. Ini adalah kerana seorang pemanah harus bersifat tenang dan tidak tergopoh-gapah ketika membidik panahannya ke sasaran.

Seorang pemanah juga harus melatih dirinya untuk fokus terhadap sebarang aktiviti memanah yang dilaksanakan kerana ini akan menjadikan dirinya seorang pemanah yang lebih baik dan mampu menepati sasaran yang dikehendaki.

Langkah #5:
Set Up (Persediaan Tetapan Tarikan Tali Busur)

Set-up adalah istilah yang hampir sama dengan pre-draw, iaitu gerakan tarikan awal. Ia merujuk kepada kekuatan tekanan jari tangan pada tali sewaktu tarikan penuh (full-draw) dibuat, kira-kira 30% tekanan jari, manakala pada jari tengah pula adalah sekitar 50% hingga 60%, dan jari manis pula adalah sekitar 20%.

Posisi yang tepat bagi langkah set up ini adalah posisi yang tungkai lurus, tidak memaksa, dan berat badan pula ditumpu dengan kedua-dua belah kaki, di mana permukaan kaki dan tumit masing-masing adalah di antara 60% hingga 70% atau 30% hingga 40%.

Postur tubuh pada bahagian atas badan (upper body) harus dimulai dari pinggul, kemudian bahu hendaklah diluruskan dengan tepat mengenai sasaran. Pinggul pula sedikit dipusingkan agar selari dengan sasaran panah di hadapannya.

Jika pemanah mengggunakan kaedah open stance, pinggul dengan sendirinya akan terbuka ke arah sasaran. Dalam masa yang sama, para pemanah harus menghindari dari menyelarikan pinggul sebaris dengan bahu kerana ia akan menyebabkan ketegangan otot.

Untuk menghasilkan kestabilan yang baik, tulang dada (stenum) hendaklah ditekan manakala otot pula perlulah ditahan. Beberapa kesalahan yang sering terjadi oleh pemanah adalah: badan terlalu condong ke arah sasaran yang mengakibatkan bahagian leher bahu menjadi terlalu tegang. Apabila ini dilakukan terus menerus, maka ia akan mengakibatkan kepala selalu menengadah ke belakang.

Langkah #6:
Drawing (Menarik Tali Busur)

Drawing adalah teknik memanah dengan melakukan gerakan menarik tali busur sehingga menyentuh bahagian dagu, bibir dan hidung serta dilanjutkan dengan menjangkarkan tangan penarik tali ke dagu. Ada sembilan (9) perkara yang perlu diambil perhatian apabila menggunakan teknik drawing, sebagaimana berikut:

1. Menarik nafas ketika melakukan drawing. Ketika busur diangkat, tarik nafas dengan teknik diafragma.

2. Menarik dengan lurus bersesuaian dengan lintasan tali, hingga menyentuh dagu sebagaimana teknik set-up sekitar 2 hingga 3 inci di bawah anchor point. Pastikan kekal tenang sehingga anak panah dilepaskan ke sasaran.

3. Untuk mendapatkan perasaan tenang, tarik nafas secara perlahan-lahan ketika menarik tali busur.

4. Sudut tangan kanan di bahagian belakang haruslah berada di dalam keadaan stabil. Pemanah diingatkan supaya tidak memusingkan tangan sewaktu melakukan bidikan kerana ia boleh membuatkan torque tali menjadi lebar.

5. Dua perkara perlu diperhatikan, iaitu lengan penarik dan jari penarik. Dua perkara ini harus dilakukan secara optimum sewaktu menarik tali busur. Jika tidak, ia akan menyebabkan ketidakselesaan kepada pemanah.

6. Sewaktu melakukan bidikan, pandangan sasaran harus dilihat tepat di atas garisan lurus. Ini bertujuan untuk menaikkan lengan panahan busur sebagai tanda bidikan.

7. Sewaktu menarik busur, bahu tetap berada pada posisinya, tidak terlalu rendah dan menonjol.

8. Sewaktu lengan panahan busur diluruskan, hujung bahu berada di dalam keadaan membentuk huruf 'V'. Hal ini dapat dibentuk sekiranya otot trisep pada lengan panahan busur dikeraskan agar membantu bahu busur tidak terlalu menonjol.

9. Gunakan otot bahu sewaktu menarik busur, iaitu otot deltoideus posterior, tere major, rhomboideus dan travezius.

Langkah #7:
Achoring (Menegangkan Tarikan Tali Busur)

Anchoring adalah gerakan teknik memanah dengan menjangkarkan tangan penarik pada bahagian dagu atau rahang.

Langkah #8:
Loading / Transfer to holding (Menahan Tarikan Tali Busur)

Langkah #9:
Aiming and Expansion (Membidik Dengan Fokus)

Aiming and Expension adalah suatu gerakan teknik memanah untuk meletakkan pandangan sasaran secara tepat berada pada titik sasaran. Ada tiga (3) perkara yang perlu diperhatikan sewaktu membidik, iaitu: teknik memanah yang konsisten, string alignment yang konsisten dan tidak membidik sasaran terlalu lama.

Aiming baru boleh dibuat semula sekiranya fasa Transfer to holding berjaya dicapai. Tempoh idealnya adalah antara 1 hingga 3 saat bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

Langkah #10:
Release (Melepaskan Tarikan Busur)

Release adalah gerakan memanah untuk melepaskan jari-jari daripada penarik tali agar anak panah dapat diterbangkan dengan jitu. Teknik ini juga memainkan peranan yang penting bagi memastikan anak panah tepat mengenai sasaran di hadapan.

Ada dua (2) model teknik release yang dapat digunakan dalam teknik memanah, di antaranya:

1. Dead release: Suatu teknik memanah di saat tali lepas meninggalkan anchoring. Akan tetapi, tangan penarik tetap menempel pada dagu sebagaimana sebelum tali busur dilepaskan.

2. Action/active release: Suatu teknik memanah di mana ketika busur dilepaskan, posisi tangan melewati atau menelusuri dagu dan leher pemanah.

Dari dua model teknik release di atas, kebanyakan para pemanah akan menggunakan teknik active release kerana mudah dan iramanya dapat diterapkan dengan baik.

Langkah #11:
Follow-through (Mengawal Sikap Panahan)

Follow through adalah sebahagian daripada teknik release kerana ia boleh digunakan secara semula jadi dan tidak berlebihan. Follow through yang berlebihan akan menyebabkan gangguan kepada bidikan. Seorang pemanah harus mengawal panahan dan fokusnya sewaktu bidikan dibuat.

Langkah #12:
Feedback (Menganalisis Panahan)

Feedback adalah suatu teknik di mana pemanah tidak bersikap emosi dalam menganalisis suatu masalah yang datang dari aktiviti memanah yang dilaksanakan. Pemanah juga dilatih untuk bertanggungjawab terhadap hasil panahannya dan memastikan panduan serta teknik-teknik yang dipelajari telah dititikberatkan semasa aktiviti memanah dilakukan.

KESIMPULAN

Seorang pemanah harus mempunyai disiplin yang tinggi dalam mengaplikasi teknik-teknik tersebut sewaktu aktiviti memanah dilaksanakan. Maka, tidak hairanlah apabila Nabi SAW sangat menggalakkan umatnya melibatkan diri dalam aktiviti ini; kerana aktiviti ini mengajar umat Islam menjadi seorang yang sangat berdisiplin!

01 Mei 2016

Kepelbagaian Busur Tradisional

Sejak kebelakangan ini, saya telah 'jatuh cinta' dengan aktiviti memanah tradisional. Sebenarnya, saya memang menginginkan suatu hobi (atau aktiviti sukan) yang memerlukan kemahiran yang tinggi sejak dari kecil. Bermula dengan sukan badminton, bola sepak, bowling dan sukan-sukan lain, semuanya tidak 'menambat' hati saya dalam tempoh yang lama. Oleh kerana itu, saya telah memilih aktiviti memanah ini sebagai hobi saya, lantas saya telah mengambil peluang untuk membeli peralatan-peralatan yang berkaitan bagi memenuhi kehendak ini.

Aktiviti memanah tradisional dilihat memerlukan kemahiran yang tinggi dan tersendiri (perlu dituntut). Ia agak mencabar (kerana menguji fokus dan kekuatan), tetapi agak menarik (berdasarkan ciri-ciri yang diketahui). Saya mengambil peluang ini dengan membeli sebuah busur Turki sebagai permulaan.

Terdapat banyak reka bentuk busur tradisional yang diberi nama mengikut negara, bangsa dan puak tertentu; seperti Turki, Monggol, Han, Avar, Assyria, Parsi, Mesir, Tartar, Cina, Manchu, Rum, Hungary (Magyar), Skitia, India, Bashkir, Korea (Hwarang), Jepun (Yumi) dan sebagainya. Sukar untuk membuat penilaian ke atas busur-busur ini berdasarkan nama mereka sahaja melainkan dengan melihat kepada bahan-bahan dan kaedah pembuatan busur-busur itu sendiri.

Semua busur tradisional yang dihasilkan pada hari ini, adalah satu bentuk interpretasi oleh tukang-tukang busur terhadap bentuk-bentuk busur zaman lampau, melalui bahan-bahan bertulis dan arkib sejarah, untuk menghasilkan semula busur-busur rekabentuk tertentu dengan bahan dan kaedah baru, atau lama, atau gabungan kedua-duanya. Misalnya, busur Monggol buatan Toth Zoltan berbeza kaedah pembuatan, bahan-bahan, kemasan dan rupa luarannya berbanding yang dibuat oleh Grozer Csaba, apatah lagi kalau dibandingkan dengan buatan tukang di Mongolia.

Dengan pembahagian kepada kategori-kategori berikut, perbezaan dapat dilihat dengan lebih ketara, dan seterusnya dapat dibuat penilaian lanjut tentang pro dan kontra sesuatu busur itu, dari segi kualiti pembuatan (bahan-bahan, ketahanan, kemasan), kualiti panahan (rasa tarikan; di permulaan dan tarikan maksimum (stacking)), prestasi (kelajuan anak panah, panjang tarikan maksimum), berat dan saiz, rupa-bentuk dan keaslian sesuatu busur yang terhasil.

Busur Asas (Self Bow)

Binaannya hanya dari sekeping kayu atau buluh. Pembuatan melibatkan proses memotong, mengetam dan mengikis, di samping proses membentuk dan meluruskan secara rawatan haba/api. Biasanya bahan dipilih dari jenis kayu tumpat/teras (heartwood). Busur paling terkenal adalah busur Nabi Muhammad SAW yang tersimpan di Muzium Topkapi di Turki yang diperbuat dari buluh. Kerana memerlukan saiz yang panjang, maka ia tidak sesuai digunakan untuk memanah berkuda. Selain itu, ia juga adalah sejenis busur lurus, dan tidak termasuk ke dalam kategori busur refleks yang lebih canggih.

Busur PVC (PVC Bow)

Secara rekabentuk busur ini adalah busur tradisional instinktif, walaupun bahan asasnya adalah sejenis plastik. PVC adalah sejenis termo-plastik resin, yang lembut apabila dipanaskan. Cara pembuatan adalah dengan mengambil paip PVC yang boleh dibeli di kedai-kedai logam dan dipanaskan menggunakan pistol haba (heat gun), seterusnya dibentuk kepada bentuk yang diingini apabila bahan telah menjadi lembut. Busur ini biasanya dipasarkan sebagai busur murah untuk bermula memanah, walaubagaimanapun, ia mempunyai kekurangan yang sangat ketara, iaitu jangka-hayat yang terhad disebabkan kelemahan bahan PVC. PVC adalah reaktif kepada ulangan regangan dan tekanan semasa memanah. Secara progresif, ia melemahkan ikatan molekul PVC sehingga akhirnya menyebabkan retakan mikroskopik dan menghasilkan kepanasan pada titik paling regang. Ini dikenali sebagai ‘material fatigue’ di dalam ilmu sains bahan dan akan menyebabkan busur mudah patah.

Busur Logam (Metal Bow)

Sejarah busur logam adalah sangat pendek, ianya bermula apabila teknologi pembuatan busur refleks bio-komposit tradisional telah mencapai kemuncaknya dan sehingga datangnya era senjata api. Hari ini, boleh dikatakan tiada tukang busur yang masih membuat busur logam dan ianya adalah ilmu yang telah pupus. Karakteristik unik busur jenis ini adalah ia mempunyai profil yang hampir sama sebelum dan selepas tali busur dipasang, kerana sifat daya lentur bahan logam yang tinggi.

Bahan asas busur logam adalah besi, tembaga atau campuran aloi. Busur jenis ini muncul di sekitar rantau Indo-Parsi dan jarang-jarang ditemui. Disebabkan ia diperbuat dari bahan logam, busur yang asal masih terpelihara dalam keadaan baik dan mempunyai harga yang tinggi dalam pasaran barangan antik.

Busur Resin Gentian Kaca (Resin Fibre Glass Bow)

Untuk busur jenis ini, tukang-tukang busur menggunakan E-fiberglass yang dibentuk di dalam acuan dan resin sintetik sebagai gam, untuk menghasilkan keseluruhan badan busur (bahagian pemegang, lengan atas dan bawah) secara tunggal. Subjektif kepada rekabentuk, ia kemudiannya disambung dengan siyah dari kayu pada kedua-dua hujung. Bahagian yang diperbuat dari gentian-kaca kemudiannya ditutupi dengan lapisan kulit dan dihias. Kerana pembuatannya lebih mudah, kebiasaannya, busur dari jenis ini dijual dengan harga yang paling murah berbanding lain-lain jenis busur tradisional komersil. Busur jenis ini agak lasak dan mempunyai prestasi panahan yang baik.

Walaupun begitu sesetengah tukang busur seperti Grozer membuat busur resin gentian-kaca dengan tarikan yang agak ketat, menjadikannya kurang sesuai untuk yang baru bermula memanah. Busur jenis ini kebiasaannya mempunyai panjang tarikan maksimum sehingga 29 inci atau kurang sahaja. Lengan-lengan busur kompaun yang berprestasi tinggi adalah diperbuat menggunakan kaedah ini, jadi ia tidak boleh dikatakan sebagai teknik pembuatan yang tidak bermutu. Busur tradisional dari jenis ini adalah busur Toth Zoltan, busur Toth Istvan, busur Tamas Kovacs dan juga busur asas Grozer (basebow).

Busur Kayu Berlapis (Wooden Laminated Bow)

Kebanyakan busur tradisional dengan kualiti yang lebih baik adalah terdiri dari jenis ini. Bahan asas adalah lapisan-lapisan kayu sebagai teras utama yang digamkan di bawah tekanan berselang-seli dengan bahan gentian-kaca. Jenis kemasan selalunya mengikut jenis kayu pada lapisan paling luar; seperti Ash, Zebrano, Mahogany, Yew, Black Poplar, Indian Cherry dan sebagainya, manakala teras utama hanya dari jenis kayu tertentu sahaja. Selain kemasan kayu semula-jadi, ada juga kemasan cat atau disudahi dengan elemen dekoratif dan motif tradisional.

Di samping itu, ia dilengkapi dengan aksesori tambahan pada busur menggunakan bahan dari kulit dan tanduk binatang. Busur kayu berlapis dikenali kerana mempunyai tarikan lembut dan lancar. Walaupun berada di tangga kedua pada hirarki harga, ia sebenarnya sangat disarankan untuk bermula dalam memanah. Terdapat busur jenis ini, seperti busur Oszkar dari Hungary yang dijual lebih murah berbanding busur resin gentian-kaca. Busur kayu berlapis boleh mempunyai panjang tarikan maksimum antara 30-33 inci, bergantung kepada teknik pembuatan dan rekabentuk. Ratio campuran dan jenis bahan gentian-kaca dan resin sintetik yang digunakan adalah rahsia utama tukang-tukang busur yang dijaga rapi kerana ia mempengaruhi kelembutan tarikan busur. Disebabkan faktor ini, busur Saluki mendapat perhatian ramai dan dijual dengan harga yang sangat tinggi.

Busur tradisional dari jenis ini adalah busur Oszkar, Kassai, Grozer, Szaloki, Saluki, Vegh, Akos, Tarvei dan lain-lain. Busur Kaya dari Korea berada di dalam kategori yang sedikit terasing dan boleh diletakkan di dalam kategori hibrid moden kerana meletakkan bahan karbon di lapisan dalaman, iaitu pada perut busur. Ia juga satu-satunya jenis busur yang menggunakan bahan fabrik sebagai kemasan luar. Busur tradisional barat; seperti busur Panjang (Long bow) dan busur tradisional Amerika (American traditional bow) juga adalah dari busur jenis kayu berlapis ini.

Busur Tanduk Bio-Komposit (Bio-Composite Horn Bow)

Busur jenis ini adalah lebih mahal dan baik dari jenis sebelumnya, dengan karakteristik tarikan yanng sangat lembut dan lancar. Ia pada asasnya adalah juga sejenis busur kayu berlapis. Ia terdiri dari bahan kayu sebagai teras utama (middle core layer), sinew termampat (tendon binatang) pada lapisan luar (outer layer) dan tanduk termampat pada lapisan dalaman (inner layer) iaitu bahagian perut busur. Lapisan tanduk ini adalah sama ada dari tanduk kerbau air, biri-biri liar (Bighorn), kambing gunung (Ibex) dan juga lembu Kelabu Hungary (Steppe cattle). Kesemua lapisan ini dilekatkan di bawah tekanan, menggunakan gam epoxy atau resin sintetik yang diperkuat dengan gentian-kaca yang fleksibel. Kemasan akhir boleh jadi lapisan sinew di luar lengan dan tanduk di perut busur sahaja, atau ditutupi dengan lapisan kulit (ikan, ular atau lembu) dengan atau tanpa diberikan dekorasi motif tradisional.

Lain- lain komponen busur pada bahagian pemegang dan siyah adalah diperbuat dari tanduk, kayu, kulit dan tulang. Kadang-kadang lapisan sinew digantikan dengan lain-lain bahan sintetik moden, menjadikannya di bawah jenis sub-kategori busur tanduk komposit sintetik. Kerana penggunaan tanduk pada lapisan dalaman, busur jenis ini juga dipanggil busur tanduk (horn bow). Sesetengah busur kayu berlapis biasa ada meletakkan lapisan hiasan/pelindung dari tanduk pada bahagian siyah, ini tidak menjadikannya sejenis busur tanduk. Busur tanduk bio-komposit boleh mempunyai panjang tarikan maksimum antara 31-35 inci, bergantung kepada teknik pembuatan dan rekabentuk. Busur tradisional dari jenis ini adalah busur buatan Kassai, Grozer dan Saluki, di samping tukang-tukang tradisional yang lain.

Busur Tanduk Replika Sejarah (Historical Replica Horn Bow)

Busur ini adalah busur tanduk bio-komposit yang menggunakan 100% bahan pembuatan klasik semula-jadi. Bahan-bahan utama adalah kayu, sinew dan tanduk. Kemasan selalunya adalah dengan lapisan kulit (ikan, ular atau lembu) yang dihiaskan dengan elemen dekoratif tradisional mengikut tema rekabentuk busur, sementara lain-lain komponen busur diperbuat daripada tanduk, kayu dan tulang. Lapisan-lapisan kayu, sinew dan plat tanduk dilekatkan dengan kaedah lama melalui pulasan tali menggunakan gam yang hanya boleh direbus atau diekstrak dari perut ikan sturgeon, yang kini diklasifikasikan sebagai hidupan yang terancam. Tukang-tukang yang mahir dengan kaedah lama ini amat sedikit, sekaligus membataskan pengeluaran busur ini.

Kalau di Korea dan di Jepun, tukang-tukang lama ini diberikan status “National Living Treasure” untuk mengiktiraf kemahiran dan pengetahuan mereka di dalam seni pembuatan busur. Busur tanduk replika sejarah menggunakan bahan pembuatan klasik semula-jadi ditambah kaedah pembuatan yang asli. Teknik pembuatan adalah menggunakan kaedah atau olahan kaedah dari abad dahulu-kala berdasarkan kajian kepada sejarah dan rekod penulisan lampau. Disebabkan itu, proses pembuatan busur ini boleh mengambil masa yang panjang (antara 10-12 bulan) dan menjadi mahal. Busur tradisional dari jenis ini adalah busur Grozer dan Saluki, di samping busur buatan tukang-tukang tradisional Turki, China, Mongolia, Korea dan lain-lain.

* Sumber asal mengenai jenis-jenis busur tradisional: Arramy.com