31 Ogos 2016

31 Ogos 1983 : Pindaan Perlembagaan PAS Dimuktamadkan Tubuh Majlis Syura Ulamak

Pada hari ini dalam tahun 1983, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bersama wakil-wakil Badan Perhubungan PAS Negeri telah memuktamadkan pindaan Perlembagaan PAS dalam satu mesyuarat khas di Kuala Lumpur. Tujuan utama pindaan Perlembagaan PAS ini adalah untuk membolehkan PAS menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS sebagai institusi tertinggi yang mengawal dasar parti. Ia adalah manifestasi daripada keputusan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 yang menggagaskan konsep kepemimpinan ulamak yang menjadi teraju perjuangan PAS.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982, satu usul Dewan Pemuda PAS Pusat untuk PAS mempelopori dan mengamalkan konsep kepemimpinan ulamak telah diluluskan, bersama usul supaya Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977 dipinda untuk menubuhkan sebuah 'Majlis Ulamak' yang menjadi tempat rujukan dan berkuasa memutuskan setiap urusan PAS. Ekoran itu, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 4 November 1982 telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Pemangku Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri bagi mengkaji pindaan Perlembagaan PAS, untuk diangkat ke Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 dalam tahun 1983. Jawatankuasa Khas ini telah menyusunkan beberapa perkara sebagai cadangan kepada pindaan Perlembagaan PAS tersebut, antaranya:

I. Perubahan nama jawatan-jawatan utama PAS seperti Yang Dipertua Agung PAS kepada Presiden PAS;
II. Mewujudkan satu jawatan baru dalam Jawatankuasa Kerja Agung PAS iaitu Ketua Penerangan PAS;
III. Mengubah fungsi Dewan Ulamak PAS kepada tanggungjawab tarbiyah dan pendidikan;
IV. Mengawal kuasa Yang Dipertua Agung PAS dalam melantik pegawai utama parti, iaitu mesti dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS;
V. Penubuhan Majlis Syura Ulamak PAS sebagai manifestasi daripada konsep kepemimpinan ulamak. 

Berbeza dengan cadangan-cadangan lain yang bertujuan memperkemas dan menambah baik organisasi PAS sedia ada, cadangan menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS adalah langkah radikal dalam memperkasakan peranan para ulamak dalam PAS. Pindaan ini menggariskan tiga kuasa Majlis Syura Ulamak PAS iaitu:

i) menafsirkan Perlembagaan PAS,
ii) mengawal dasar parti, dan
iii) mengawal tatatertib atau disiplin ahli PAS.

Majlis ini kelak akan diketuai oleh seorang Mursyidul Am, sedangkan ahli-ahlinya seramai 12 orang adalah terdiri dari para ulamak. Badan ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Yang Dipertua Agung PAS dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS dengan tujuan memastikan "penentuan dasar PAS itu lebih terjamin dari segi sandarannya kepada kehendak-kehendak syariat Islam." Cadangan-cadangan yang digariskan oleh Jawatankuasa Khas telah diperhalusi oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 12 April 1983, sebelum ia diangkat kepada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 pada 30 April hingga 1 Mei 1983.

Cadangan Jawatankuasa Khas ini telah diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS, tetapi isu perubahan nama jawatan-jawatan utama telah diubah dari cadangan "Presiden PAS" kepada "Yang Dipertua PAS Pusat," dengan ketetapan ia mesti dikaji semula oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS bersama tiga wakil Badan Perhubungan Negeri. Setelah melepasi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 8 Mei 1983 dan 20 Ogos 1983, maka Jawatankuasa Kerja Agung PAS bersama wakil-wakil Badan Perhubungan PAS Negeri pada 31 Ogos 1983 kemudiannya telah mengesahkan pindaan baru ini, sebelu dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Disusun oleh: Arkib PAS

30 Ogos 2016

30 Ogos 1955 : 'Mr. Opposition' PAS Mengangkat Sumpah Sebagai Ahli Majlis Undangan Persekutuan

Pada hari ini dalam tahun 1955, wakil rakyat tunggal pembangkang mewakili PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Undangan Persekutuan (Federal Legislative Council) setelah memenangi Pilihan Raya Umum pada 27 Julai 1955. Beliau merupakan satu-satu calon bukan Perikatan yang menang bagi kerusi Krian daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya tersebut untuk mengisi salah satu kerusi Majlis Undangan Persekutuan yang mempunyai 98 ahli itu. Dengan berlangsungnya majlis mengangkat sumpah ini, maka rasmilah Bendahari Agung PAS itu sebagai wakil pembangkang tunggal, yang kemudiannya lebih dikenali sebagai "Mr Opposition" di kalangan anggota majlis perundangan tersebut.

Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin merupakan seorang ulamak terkenal di utara Semenanjung. Beliau adalah salah seorang ulamak yang berkerja keras dalam mengasaskan PAS, walaupun pada awalnya merupakan aktivis Umno. Ulamak keturunan Banjar ini adalah anak kepada Tuan Hussin Kedah, ulamak besar yang tersohor itu dan beliau mendapat pendidikan tinggi di Mekah, sebelum menjadi Mudir Madrasah al-Khairiyah, Pokok Sena, Seberang Perai. Di dalam PAS, beliau pernah dilantik sebagai Bendahari Agung PAS, Ahli Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Ketua Dewan Ulamak PAS dan Ahli Jawatankuasa Agung PAS. Pada 23 Disember 1956, beliau mewakili Dr Haji Abbas Alias menyampaikan Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima.

Dengan terlantiknya Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin sebagai Ahli Majlis Undangan Persekutuan secara rasmi pada 30 Ogos 1955, maka beliau telah memainkan peranan penting dalam membawa suara Islam ke majlis perundangan itu. Bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda mencatatkan peranan beliau, "sebagai seorang ulamak terkenal dan mempunyai ketokohan dan kedudukan yang terhormat dalam masyarakat, maka kehadiran beliau (Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin) dalam Majlis Undangan Persekutuan itu merupakan titik tolak penting dalam sejarah PAS." Sepanjang empat tahun (1955-1959) beliau berada dalam Majlis Undangan Persekutuan, beliau telah membangkitkan isu-isu masyarakat, kedudukan Islam, bahasa Melayu, ketuanan Melayu, pelajaran dan juga isu antarabangsa. Sejak mula dicalon oleh PAS, beliau telah difitnah oleh Umno kononnya Majlis Undangan bukan tempat "membaca doa nasi kunyit" atau mengajar hadis, bahkan mendakwa beliau tidak dapat berfungsi kerana "tidak tahu berbahasa Inggeris."

Semua fitnah ini tertolak apabila beliau dicatatkan tidak pernah 'memonteng' sidang Majlis Undangan Persekutuan dan berperanan aktif. Bermula dengan membangkit isu rakyat seperti bantuan nelayan, ganti rugi penanam padi, kedudukan pesara kerajaan, penglibatan lepasan sekolah dalam perkhidmatan awam, hinggalah masalah penubuhan Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan ancaman komunis. Antara sumbangan besar beliau ialah cadangan berkait sekolah-sekolah agama rakyat yang dibangkitkan pada 14 Mac 1956, dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Penyiasat Sekolah Agama. Hasilnya, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Menimbang Bantuan Kewangan Kepada Sekolah Agama Bukan Kerajaan yang turut dianggotai oleh beliau, dengan diketuai Abdul Rahman Talib. Kerana cadangan mereka, kerajaan memasukkan bantuan sekolah agama dalam Ordinan Pelajaran 1957. Pada 16 Mei 1956, Tuan Guru Haji Ahmad telah berucap menyokong Penyata Pelajaran Razak dengan menekankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, lalu tarikh penerimaan Penyata Razak 1956 ini (16 Mei) dijadikan 'Hari Guru.' Dalam perbahasan Belanjawan 1957 pada 13 November 1956, beliau telah mencadangkan supaya jualan arak dihapuskan dan cadangan penghapusan judi laga binatang pada 15 Ogos 1957.

Peranan terpenting Tuan Guru Haji Ahmad di Majlis Undangan Persekutuan ialah apabila beliau memberi pandangan tentang Penyata Reid atau Kertas Putih Perlembagaan pada 10 Ogos 1957. Ucapan beliau terfokus kepada beberapa isu seperti Perlembagaan ini "will not benefit to the Malay," kerana soal kebangsaan tunggal, hak ketuanan Melayu dan kerakyatan jus soli akan "melenyapkan dan menanggalkan hak mutlak bangsa Melayu di dalam tanah airnya sendiri." Dalam soal Islam sebagai agama Persekutuan yang sekular, beliau menegaskan "but this would be lower the dignity of Islam, for Islam cannot, under modern condition, be associated with the State." Ini selari dengan pandangan PAS yang menegaskan "... (Islam) ialah agama yang menjadi panduan kepada hidup negeri ini, dan kepada pemerintahan negeri ini dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya." Bagi beliau, isu ini timbul kerana Perlembagaan Persekutuan digubal tanpa penglibatan rakyat, melainkan Perikatan, Raja-raja Melayu dan British sahaja.

Disusun oleh: Arkib PAS

29 Ogos 2016

29 Ogos 1953 : Pimpinan Dewan Pemuda PAS Sesi Pertama Dibentuk

Pada hari ini dalam tahun 1953, Dewan Pemuda PAS sesi yang pertama, 1953-1956 telah dibentuk setelah Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Othman Abdullah mengumumkan kepada media senarai barisan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS sebaik sahaja Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953 selesai. Dalam Kongres Pemuda Islam Se-Malaya yang menubuhkan Dewan Pemuda PAS pada 25 Ogos 1953, telah dilantik Ustaz Othman Abdullah sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS, tetapi menyerahkan kepada Ketua Dewan Pemuda PAS itu untuk melantik semua pegawai (ahli jawatankuasa kerja) sayap pemuda PAS itu. Media massa seperti Utusan Melayu telah menyiarkan senarai penuh pimpinan Dewan Pemuda PAS sesi pertama ini.

Pada 29 Ogos 1953, Utusan Melayu menyiarkan senarai pimpinan Dewan Pemuda PAS seperti berikut: Ustaz Othman Abdullah (Ketua), Cikgu Ahmad Awang (Wakil Ketua), Ustaz Abdul Kadir Kamal (Setiausaha), Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki, Haji Jaafar, Haji Ahmad Ali, Ustaz Muhammad Noh, Ismail, Ustaz Ishak Baharom dan Tarmizi (Ahli Jawatankuasa). Ketua Dewan Pemuda PAS yang diangkat oleh Kongres Pemuda Islam Se-Malaya itu adalah seorang lepasan bidang syariah dari Universitas Muhammadiyah, Padang, Sumatera Barat. Beliau yang menjadi guru agama di Chikus, Hilir Perak adalah bekas pegawai berpangkat kapten dalam pasukan Hizbullah, sayap tenteta Masyumi selepas Perang Dunia Kedua. Pada mulanya beliau aktif dalam Umno di Sabak Bernam sebelum menyertai PAS pada 1951. Selain menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS, beliau turut menjawat jawatan Naib Yang Dipertua Agung PAS serentak, serta pernah menjadi Setiausaha Agung PAS dan Ketua Penerangan PAS.

Pasukan Dewan Pemuda PAS generasi pertama ini turut diperkukuhkan oleh beberapa pemuda yang agresif seperti Cikgu Ahmad Awang, Ustaz Abdul Kadir Kamal, Ustaz Amaluddin Amini Marzuki dan Haji Ahmad Ali. Wakil Ketua Dewan Pemuda PAS, Cikgu Ahmad Awang adalah guru besar di Sekolah Melayu Kepala Batas, seorang lepasan Sultan Idris Training College (SITC, sekarang UPSI) yang kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS sesi 1953-1954. Jawatan tertinggi beliau dalam PAS ialah Timbalan Yang Dipertua Agung dan Ahli Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS pada zaman Dr Haji Abbas Alias. Ustaz Abdul Kadir Kamal, Setiausaha Dewan Pemuda PAS pula merupakan seorang guru kanan di Madrasah ad-Daeratul Wathaniyah, Kepala Batas yang menjadi tenaga penting PAS di Seberang Perai Utara itu. Sedangkan Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki pula adalah guru di Maktab Mahmud, Kedah yang aktif dalam program tarbiyah pelajar di Kedah. Beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) pada 1954, selain pernah menjadi Wakil Ketua Dewan Pemuda PAS pada zaman Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad.

Tokoh yang lain yang ternama ialah Haji Ahmad Ali dari Perak yang banyak terlibat dalam kepemimpinam PAS pada dekad 1950-an, sedangkan Ustaz Ishak Baharum, seorang guru muda di Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam tidak begitu menonjol kerana beliau ke India untuk menyambung pengajian di Darul Ulum, Deoband pada akhir 1953. Jawatan terakhir beliau ialah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS selepas dipecat dari jawatan Mufti Selangor pada 1998. Walaupun Dewan Pemuda PAS mempunyai tokoh-tokoh yang hebat ketika ini, tetapi organisasinya hampir tidak bergerak disebab krisis dalaman PAS yang berlaku selepas perletakan jawatan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan pada 26 September 1953. Boleh dikatakan hampir seluruh tenaga pemuda ketika ini ditumpukan untuk mengukuhkan PAS dan menggerakan pelajar melalui KPAS. Organisasi Dewan Pemuda PAS kembali aktif selepas diadakan Kongres Dewan Pemuda PAS Kedua pada 23 Disember 1956 yang melantik Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang baru.

Disusun oleh: Arkib PAS

28 Ogos 2016

28 Ogos 1993 : PAS Sertai Pilihanraya Kecil DUN Batu Talam Ekoran Kematian Dato' Mazlan (BN)

Pada hari ini dalam tahun 1993, PAS telah menyertai Pilihan Raya Kecil DUN Batu Talam, Pahang ekoran kes pembunuhan ADUN kawasan tersebut, Dato' Mohd Mazlan Idris pada 2 Julai 1993. Tragedi pembunuhan yang melibatkan seorang bomoh, Mona Fendi ini adalah tragedi melibatkan ahli politik yang paling terkenal sepanjang dekad 1990-an. Wakil rakyat BN ini dikatakan dibunuh dan dipotong 18 keratan, sebelum ditanam di dalam sebuah lubang sedalam 1.8 meter yang disimen di Felda Ulu Dong, Raub. Mona Fendi bersama suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantunya, Juraimi Hussin didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 9 Februari 1995 dan dijatuhkan hukuman gantung.

Ekoran pembunuhan Dato' Mohd Mazlan Idris pada 2 Julai 1993, dan misteri kehilangannya terbongkar pada 13 Julai 1993 dengan penahanan Juraimi Hussin sehingga mayat Dato' Mohd Mazlan Idris ditemui pada 23 Julai 1993, SPR telah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Batu Talam. Setelah kekosongan kerusi DUN Batu Talam ini, pada 8 Ogos 1993, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memutuskan untuk bertanding di kerusi tersebut setelah penetapan tarikh pengundian untuk pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 28 Ogos 1993 oleh SPR.

PAS telah menamakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Raja Puji Tengku Abdul Hamid sebagai calonnya menentang calon BN, Syed Ali Syed Mohamad. Beliau yang lebih dikenali sebagai Tengku Puji yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat adalah berasal dari keluarga yang ternama di daerah Raub. Moyangnya, Tengku Khairul Alam dikatakan merupakan Tengku Mahkota Padang Nonang, Sumatera Barat, tetapi berhijrah ke Pahang sekitar 200 tahun lalu. Kerana jasanya dalam pembentukan negeri Pahang, beliau dan keturunanannya dilantik sebagai Dato' Setia Lela, iaitu Orang Besar Lapan Pahang oleh Sultan Pahang, Sultan Wan Ahmad. Sejak menyertai PAS, Tengku Puji pernah dicalonkan oleh PAS untuk Parlimen Raub pada 1982 dan 1986, selain menjadi calon PAS di DUN Batu Talam pada 1990.

Di sebalik isu pembunuhan kejam ini, tersebar isu bahawa pimpinan Umno menggunakan bomoh untuk kepentingan politik mereka. Pada hari berlangsungnya Pilihan Raya Kecil DUN Batu Talam, calon PAS, Tengku Puji Tengku Abdul Hamid telah berjaya memperoleh 2,635 undi, tetapi tewas kepada calon BN, Syed Ali Syed Mohamad yang mendapat 5,355 undi. Kekalahan calon PAS dengan majoriti 2,990 undi membolehkan BN mengekalkan kerusi yang dimenangani oleh Dato' Mohd Mazlan Idris pada 1990 dengan majoriti 1,980 undi mengalahkan calon PAS, Raja Puji.

Disusun oleh: Arkib PAS

27 Ogos 2016

27 Ogos 1995 : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Pertegaskan Sifat Istiqamah Nadi Kejayaan PAS

PADA hari ini dalam tahun 1995, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mempertegaskan bahawa sifat istiqamah merupakan nadi utama dalam menentukan kejayaan perjuangan PAS pada masa akan datang. Beliau membuat penegasan demikian semasa menggulung perbahasan Ucapan Dasar Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-41. Muktamar ini berlangsung di Markaz Tarbiyah PAS Pusat pada 25-27 Ogos 1995 dengan tema 'Menyanggah Fikrah Maddiyah.' Beliau mengulas isu fikrah kebendaan (maddiyah) yang menjadi cabaran kepada ahli-ahli PAS untuk terus bersama perjuangan Islam, dan ia hanya boleh ditangani oleh sifat istiqamah sahaja.

Ketika menyampaikan Ucapan Dasarnya pada 25 Ogos 1995, Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor telah menyentuh masalah fikrah maddiyah atau metarialisme yang dikembangkan oleh golongan sekular sehingga ia menjadi aqidah baru orang Melayu. Beliau menyebutkan bahawa Islam tidak menolak benda, tetapi menentang fahaman kebendaan yang sanggup mengenepikan syriat Allah. Golongan metarialis mempertimbangkan sesuatu hanya mengikut logik akal, sehingga kemuliaan manusia ditentukan oleh pangkat dan harta. Wawasan mereka juga menurut beliau hanya sekadar kemajuan ekonomi sahaja, tidak sampai kepada kejayaan di akhirat.

Mengulas ancaman ini kepada PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi pada 27 Ogos1995 telah berkata, "ahli PAS yang tidak istiqamah mudah terpesong sekali gus membawa mereka ke arah yang merugikan diri sendiri." "Istiqamah yang ditunjukkan oleh ahli-ahli PAS itu membuatkan PAS berdaya maju serta dapat membentuk fikrah yang jitu," tegas beliau. Antara contoh yang merosakkan istiqamah kerana berfikrah maddiyah menurut Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan Kepemimpinan PAS Pusat itu ialah "sikap cepat melenting, melatah dan membantah keputusan yang telah dibuat (oleh jamaah)...." Kata Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang lagi, persoalan fikrah kebendaan (maddiyah) yang dikemukakan oleh Presiden PAS ini membuktikan betapa pentingnya istiqamah dalam perjuangan Islam, kerana manusia sangat mudah terjebak dengan godaan jawatan, kuasa, harta dan lain-lain.

Sebelum itu, pada 24 Ogos 1995, ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Kali Ke-36, Timbalan Presiden PAS itu telah menekankan kepentingan istiqamah yang menjadi rahsia kejayaan perjuangan PAS. Selain menjelaskan istiqamah dalam perjuangan adalah satu amanah besar yang wajib dipertahankan, beliau menyebut tentang pengorban untuk membolehkan ahli-ahli PAS terus istiqamah. Kesanggupan untuk tidak mendapat kuasa, lambat mencapai kemenangan, syahid di medan perjuangan, dikenakan pelbagai tindakan, kehilangan kepentingan dunia dan seumpamanya adalah contoh pengorbanan yang mesti dibuat untuk mencapai istiqamah.

Ketika memgungkapkan makna istiqamah, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mempertegaskan bahawa istiqamah adalah perbuatan dan sikap yang berterusan berada di atas jalan yang betul, iaitu bersama al-Quran dan Sunnah. "PAS mempunyai rahsia ketahanan iaitu istiqamah; kerana itulah PAS terus berada di jalan yang betul, mempertahankan aqidah; perkembangan PAS adalah hasil daripada istiqamah." Adapun orang-orang yang tidak istiqamah akan gugur di tengah jalan atau lari dalam perjuangan. Hanya golongan yang istiqamah sahaja mampu bertahan untuk terus berjuangan mendaukatkan pemerintahan Islam, tegas beliau.

Disusun oleh: Arkib PAS

25 Ogos 2016

26 Ogos 1953 : Dato' Panglima Bukit Gantang Rasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-2

Pada hari ini dalam tahun 1953, Menteri Besar Perak, Dato' Panglima Bukit Gatang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz telah membuka dengan rasminya Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua di Madrasah al-Ulum as-Syar'iyyah, Batu 20 Bagan Datoh, Perak. Mesyuarat Agung Tahunan PAS yang berlangsung pada 26-27 Ogos 1953 ini diadakan dalam suasana PAS sedang menghadapi polemik sama ada menyokong Dato' Onn Jaafar yang memimpin National Conference atau bersama Tunku Abdul Rahman yang mengetuai National Convention. Dato' Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab adalah Pengerusi National Conference yang ditubuhkan pada 12 Februari 1953.

Dato' Panglima Bukit Gamtang Abdul Wahab yang dilahirkan pada 4 Mei 1905 di Sayong, Perak adalah seorang peguam lulusan Inner Tample adalah cucu Dato' Panglima Bukit Gantang Mahmud Taib. Pada 1928, beliau menjadi Presiden Persatuan Anak-anak Melayu Great Britain, sebelum dilantik sebagai Dato' Panglima Bukit Gantang pada 1936 dan Ahli Dewan Undangan Negeri Perak pada 1937. Pada 27 Januari 1946, beliau mengasaskan Perikatan Melayu Perak, sebelum bergabung menubuhkan Umno pada 11 Mei 1946. Jawatan utama beliau dalam Umno ialah Setiausaha Agung, Naib Yang Dipertua Agung, Timbalan Yang Dipertua Agung, Ahli Jawatankuasa Agung dan Pengerusi Umno Perak. Beliau mula menjadi Menteri Besar pada 1948 hingga 1957.

Dato' Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab telah berkrisis dengan Tunku Abdul Rahman kerana beliau memyokong Dato' Onn Jaafar dan membentuk serpihan Umno pada 1951 ketika Umno berpecah membentuk PAS dan IMP. Beliau mengasaskan Parti Kebangsaan Perak (NAP) sebagai sekutu IMP. Kerana penglibatan dalam NAP dan memimpin National Conference, beliau dipecat dari Umno pada April 1953. PAS yang merupakan anggota National Conference telah turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa National Conference pada 27 April 1953. Dengan kedudukan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai Ahli Jawatankuass National Conference, beliau menjemput Menteri Besar Perak yang dipecat dari Umno itu untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS yang dihadiri oleh wakil 12 buah Cawangan PAS ini, Dato' Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab menegaskan supaya PAS benar-benar berjuangan kerana rakyat dalam mencapai kemerdekaan. Yang lebih penting kata beliau, PAS diharapkan dapat menegakkan syariat Islam di negara ini. Beliau turut menyentuh perjuangan National Conference untuk menuntut pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri. Atas ucapan beliau supaya PAS dapat berjuang menegakkan syariat, wakil Hilir Perak telah mengemukakan usul supaya PAS berjuangan "melaksanakan hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam dalam kehidupan orang seorang dan masyarakat menuju keredhaan Ilahi."

Disusun oleh: Arkib PAS

24 Ogos 2016

24 Ogos 1957 : Dr. Burhanuddin Sampaikan Ucapan Dasar Pertama Menjelang Kemerdekaan

Pada hari ini dalam tahun 1957, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy Mohd Noor telah menyampaikan Ucapan Dasar pertama sebagai pemimpin tertinggi PAS semenjak beliau dipilih mengetuai parti Islam ini dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keenam pada 25 Disember 1956. Ucapan Dasar ini disampaikan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketujuh pada 24-25 Ogos 1957. Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketujuh ini diadakan menjelang kemerdekaan negara, bagi membolehkan PAS memberikan pandangan-pandangan berkait dengan kemerdekaan negara yang akan diproklamasikan pada 31 Ogos 1957.

Dr Burhanuddin al-Helmy adalah Yang Dipertua Agung PAS yang ketiga selepas Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953) dan Dr Haji Abbas Alias (1953-1956). Beliau adalah seorang doktor homeopathy yang memegang ijazah PhD dalam bidang psikologi Islam. Tokoh yang dilahirkan di Changkat Tualang, Perak ini adalah bekas pemimpin Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS), Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan gabungan PUTERA-AMCJA, selain turut terlibat mengasaskan Umno, Hizbul Muslimin dan Parti Rakyat. Beliau yang menjadi Penasihat Agama dan Adat Istiadat Melayu di Markaz Tentera Jepun di Taiping dan dipenjara beberapa kali oleh penjajah kerana perjuangannya, sehingga muncul sebagai tokoh politik yang terkenal di peringkat antarabangsa dan dikenali sebagai tokoh pejuang kemerdekaan yang digelar "Putera Terbesar Tanah Air."

Setelah beliau memimpin PAS pada akhir 1956, selain mengukuhkan organisasi PAS, beliau telah menggunakan Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS yang disampaikan pada 24 Ogos 1957 ini untuk mempertegaskan pegangan-pegangan PAS dalam menghadapi kemerdekaan. Beliau mempertegaskan bahawa seluruh perjuangan PAS adalah di atas cita-cita Islam yang berbentuk tiga segi iaitu bangsa, nusa dan agama, tetapi "dikembalikan kepada Allah semua urusan." Bagi memperkukuhkan cita-cita Islam ini, Dr Burhanuddin al-Helmy menggariskan tujuh strategi iaitu menerapkan ilmu pengetahuan, mengukuhkan sistem organisasi PAS, meningkatkan disiplin dan rasa tanggungjawab ahli-ahli, meningkatkan gerak kerja penerangan dan mubaligh kepada masyarakat, menggerakan Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS sebagai jentera perjuangan dan ahli-ahli mestilah berkorban dengan ikhlas dalam perjuangan Islam.

PAS, menurut Dr Burhanuddin al-Helmy adalah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu. Kemerdekaan penuh menurut beliau ialah negara ini mesti berkebangsaan Melayu, diakui secara undang-undang bahawa orang Melayu adalah tuan punya negeri ini, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini, Islam menjadi agama rasmi dan kerakyatan secara jus soli mestilah ditolak. Beliau menegaskan bahawa PAS tidak berbau komunis atau penjajah seperti yang dituduh oleh musuh-musuhnya, tetapi PAS berbau kebangsaan Melayu dengan cita-cita Islam. PAS adalah "ummatan wasatan" dan menjadi "khair ummah" kerana PAS tidak pro Blok Barat atau Blok Timur, tetapi PAS berpegang dengan al-Quran dan Sunnah. Untuk perjuangan ini, PAS menolak segala bentuk kekerasan dan paksaan dalam mendapatkan kemerdekaan, sebaliknya mendukung pendekatan demokrasi yang aman.

Mengulas tentang Perlembagaan Persekutuan, beliau berpendapat bahawa perlembagaan yang disusun oleh Suruhanjaya Reid gagal mencapai tujuan perjuangan PAS. Umno sendiri telah menjadi "menggunting dalam lipatan" yang diperalatkan oleh British sehingga bukan sagaja menggelap masa depan orang Melayu dan bahasa Melayu, tetapi juga telah merendahkan martabat Islam. Pada pandangan PAS, kemerdekaan yang akan dicapai pada 31 Ogos 1957 adalah kemerdekaan yang kosong kerana ia telah menafikan hak ketuanan Melayu dan ketertinggian Islam di negara ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

23 Ogos 2016

23 Ogos 1951 : Ulamak Tekad Tubuhkan Parti Islam Untuk Perjuangkan Islam Sebagai Dasar Hidup

Pada hari ini dalam tahun 1951, Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua yang berlangsung di Sultan Sulaiman Klab, Kampung Baru Kuala Lumpur telah meluluskan dua usul, termasuk bersetuju menubuhkan sebuah parti politik Islam, Persatuan Ulamak Malaya yang bertujuan memperjuangkan agama Islam sebagai dasar hidup. Persidangan yang menerima 22 usul dari seluruh negara ini hanya membincangkan dua usul sahaja. Satu lagi usul yang diluluskan ialah untuk merayu kepada Raja-raja Melayu bagi menyelaraskan pentadbiran agama, sedang isu berkaitan dengan Loteri Umno tidak dibincangkan langsung kerana mereka berpandangan isu ini akan diselesai melalui penubuhan Persatuan Ulamak Malaya, setelah Umno tidak mahu tunduk kepada hukum Allah.

Kedua-dua usul yang diputuskan oleh persidangan selama sehari pada 23 Ogos 1953 ini dicadangkan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, Mudir Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam atas kedudukan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno. Setelah para ulamak yang berjumlah 65 orang dalam persidangan ini berbahas, mereka bersetuju dengan masalah yang ditimbulkan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad bahawa suara ulamak tidak dipedulikan oleh Umno kerana ulamak tidak bersatu. Pada 15 Jun 1951, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad telah menyuarakan keluhan beliau dalam Suara Umno dengan tulisan yang bertajuk "Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan." Rungutan beliau inilah yang menjadi sebab Umno menganjurkan Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua ini. Atas asas ini pula, para ulamak mengambil persetujuan untuk menerima dan meluluskan usul Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno itu bagi menubuhkan sebuah persatuan ulamak sebagai parti politik berasaskan Islam.

Setelah cadangan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad diluluskan, Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua ini mengambil beberapa ketetapan berkait persatuan tersebut, iaitu:

I. Sebuah Jawatankuasa yang dianggotai lima ahli ditubuhkan untuk menaja dan merangka undang-undang tubuh persatuan ini;
II. Melantik Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja, dengan Syed Mohamad Syafie (Kuala Lumpur) dan Haji Ayub (Perak) sebagai ahli. Dua lagi ahli yang dinamakan oleh Pengerusi Jawatankuasa ialah Haji Mohamad Amin Amran (Johor) dan Sardon Jubir (Singapura);
III. Jawatankuasa ini bertanggungjawab "menjalankan pekerjaan menubuhkan" Persatuan Ulamak Malaya;
IV. Persidangan Persatuan Ulamak Malaya hendaklah diadakan di Pulau Pinang tidak lewat dari Disember 1951 untuk menubuhkan persatuan ini; dan
V. Bahawa Persatuan Ulamak Malaya adalah tidak terikat dengan Umno dan persidangan di Pulau Pinang "tidak di bawah pentadbiran Umno" dan semua perbelanjaan ditanggung oleh pertubuhan yang menyertainya. Sumbangan sebanyak $200.00 telah dikutip untuk membiayai persidangan tersebut.

Dengan keputusan para ulamak untuk menubuhkan Persatuan Ulamak Malaya ini, maka tertubuhlah secara rasmi sebuah parti politik Islam yang baru menggantikan Hizbul Muslimin yang lumpuh pada Ogos 1948 ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat 1948. Dalam Persidangan Persatuan Ulamak Malaya di Seberang Perai pada 24 November 1951, telah dipersetujui supaya persatuan ini dinamakan secara rasmi sebagai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Pada 14 Ogos 1954, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga telah bersetuju menetapkan bahawa 23 Ogos 1951 sebagai tarikh rasmi penubuhan PAS dan ia perlu diadakan sambutan peringatan secara tahunan.

Disusun oleh: Arkib PAS

22 Ogos 2016

22 Ogos 1951 : Usul Hukum UMNO Terima Wang Loteri Diangkat Ke Persidangan Alim Ulamak Malaya

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1951, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah mengemukakan dua usul atas nama Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno kepada Jawatankuasa Sambutan Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua yang akan bersidang pada 23 Ogos 1951. Usul paling kritikal yang dikemukakan oleh Pengerusi Bahagian Agama Umno itu ialah tentang Loteri Umno yang sedang hangat diperkatakan oleh para ulamak kerana ia adalah satu jenis perjudian, sedangkan judi diharamkan oleh hukum syarak. Satu lagi usul beliau ialah mencadangkan penubuhan sebuah persatuan ulamak yang dapat menyatukan suara ulamak dalam membela agama di negara ini.

Isu judi loteri telah lama diperkatakan oleh para ulamak dalam Umno. Pada 7 September 1946, seorang ahli Umno, Haji Rejab Kedah telah bertanya kepada Pengerusi Pejabat Perkara Agama Umno tentang hukum loteri, diikuti oleh pertanyaan Setiausaha Agung Perikatan Melayu Perak tentang hal yang sama pada 10 Februari 1947. Pertanyaan-pertanyaan ini mempunyai kaitan dengan penganjuran Loteri MCA sebagai satu cara mengumpul dana politik. Walau bagaimanapun, pada 3 Oktober 1946, Pejabat Perkara Agama Umno yang diketuai oleh Ustaz Salleh Othman telah mengeluarkan fatwa bahawa judi loteri adalah haram pada pandangan Islam.

Walau bagaimanapun, pada 1949, Umno telah merancang untuk memindahkan Pejabat Agungnya dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Pembinaan Rumah Umno di Batu Road (sekarang Jalan Tuanku Abdul Rahman) dijangka menelan kos sebanyak $200,000. Untuk mengumpulkan dana ini, telah timbul cadangan supaya Umno menganjurkan loteri, tetapi ditentang oleh para ulamak. Ekoran itu, cadangan menganjurkan judi loteri ini di bawa ke Mesyuarat-mesyuarat Agung Umno. Misalnya, pada 5 Januari 1951, akhbar Warta Negara menyiarkan keputusan Umno Kelantan yang bersetuju dengan undian untuk menghalalkan penganjuran Loteri Umno. Ekoran persetujuan cawangan-cawangan Umno ini, Loteri Umno telah dilaksanakan pada pertengahan 1951 dengan mengambil konsep kelab-kelab lumba kuda.

Marah dengan tindakan Umno ini, Persatuan Ulamak Kedah yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Hussin Che Dol yang juga Pengerusi Umno Kedah telah membuat ketetapan bahawa Loteri Umno adalah adalah haram di sisi Islam, dan memaklumkan pendirian ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno pada 30 Julai 1951. Pada 19 Ogos 1951, satu Persidangan Khas Alim Ulamak Pulau Pinang dan Seberang Perai yang dipengerusikan oleh Mufti Pulau Pinang, Sheikh Abdullah Fahim telah memutuskan bahawa Loteri Umno adalah haram. Pada 20 Ogos 1951, Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor, Ungku Ismail Abdul Rahman pula menegaskan amalan judi yang dianjurkan oleh Umno sebagai menunjukkan Umno telah tergelincir dari al-Quran dan Sunnah. Sehingga Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang merupakan anggota gabungan Umno dalam mesyuarat agungnya sebelum itu telah menegaskan supaya Umno kembali kepada dasar Islam.

Ekoran desakan keras dari pelbagai pihak ini, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad yang juga Mudir Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam telah mengangkat satu usul yang berbunyi "(Hukum) Loteri Umno" pada 22 Ogos 1951 kepada Persidangan Alim Ulamak Malaya. Usul yang dikemukakan atas nama Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Umno ini adalah salah satu daripada 22 usul yang diterima oleh Jawatankuasa Sambutan Persidangan untuk dibahas oleh Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 23 Ogos 1951. Usul ini menjadi usul yang paling panas dan mendapat perhatian para ulamak ekoran tindakan Umno menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah.

21 Ogos 2016

21 Ogos 1988 : Persidangan Agung Perpaduan & Politik Islam Bincang Strategi Politik Baru Umat Islam

Pada hari ini dalam tahun 1988, Dewan Pemuda PAS Pusat menganjurkan satu persidangan yang dikenali sebagai Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur untuk membincangkan strategi baru politik umat Islam di negara ini. Perubahan politik yang berlaku pasca Pilihan Raya Umum 1986 telah menyaksikan perpecahan Umno setelah parti kebangsaan sekular itu diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988. Pada asasnya PAS mempunyai pilihan sama bersama-sama Umno (Baru) pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad atau bersama Semangat 46 yang diketuai oleh Tengku Razaliegh Hamzah, kerana kedua-dua parti tinggalan mendiang Umno ini berminat membentuk kerjasama dengan PAS.

Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa, dalam Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-34 pada 9 April 1988 tidak memberi fokus kepada perubahan politik Umno ini, tetapi menggesa ahli-ahli PAS memperkukuhkan parti Islam ini sebagai hizbullah, kerana PAS adalah "golongan Islam tulen." PAS sebaliknya pada 2 Mei 1988 bersetuju membentuk kesepakatan politik dengan badan-badan Islam. Setelah melihat Team A Umno (Umno Baru) dan Team B Umno (Semangat 46) sangat sukar untuk bersatu kembali, Majlis Syura Ulamak PAS mengambil pendirian bahawa PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dengan syarat perpaduan dan kerjasama dibuat berlandaskan ajaran Islam.

Dalam konteks ini, berlaku pertembungan pandangan antara Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad dengan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri. Ustaz Nakhaie Ahmad cenderung supaya PAS bersama-sama dengan Umno Baru, sedangkan Ustaz Hassan Shukri mahu PAS membentuk kesepakatan politik dengan Semangat 46. Pertembungan ini mengakibatkan kedua-dua tokoh PAS ini meletak jawatan. Pada 5 Mei 1988, Ustaz Hassan Shukri melepaskan semua jawatannya dalam parti, tetapi ditolak oleh PAS Pusat. Sebaliknya, cadangan Ustaz Nakhaie Ahmad sejak Januari 1988 supaya PAS bekerjasama dengan Umno Baru tidak diterima oleh pimpinan PAS Pusat yang menyebabkan beliau menarik balik cadangannya dalam Majlis Syura Ulamak PAS pada 4 Julai 1988, diikuti oleh perletakan semua jawatan beliau pada 20 Ogos 1988.

Di celah-celah konflik ini, Dewan Pemuda PAS Pusat telah menganjurkan Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam pada 21 Ogos 1988 di mana dua Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membentangkan kertas kerja mereka. Ustaz Nakahie Ahmad membentangkan kertas bertajuk "Pendekatan Baru Politik Umat Islam Malaysia di Era Perubahan," di mana beliau mencadangkan supaya diadakan Perhimpunan Umat Melayu Kali Kedua untuk menghadapi perubahan politik setelah Umno diharamkan. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pula membawa tajuk "Perpaduan Menurut Perspektif Islam: Satu Kupasan Dari Sudut Realiti dan Keperluan di Malaysia."

Walaupun persidangan ini tidak mengambil sebarang ketetapan yang menjadi pendirian PAS, namun begitu PAS mula mengambil langkah strategik dalam mendepani perubahan ini. Pada 18 September 1988, Lajnah Politik PAS Pusat telah bersetuju dengan cadangan Ustaz Hassan Shukri supaya PAS membentuk persepakatan politik dengan Semangat 46 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan yang dijangka pada 1990. PAS Pusat pada 9 Oktober 1988 kemudiannya mengesahkan cadangan Ustaz Hassan Shukri dan meluluskan cadangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bertajuk "Tahaluf" yang membolehkan PAS menjadikan kerjasama politik sebagai strategi terbaru PAS dalam menghadapi perubahan politik dan sekali gus membolehkan PAS menguasai Kelantan pada 1990.

Disusun oleh: Arkib PAS

20 Ogos 2016

20 Ogos 1951 : Ungku Ismail Gesa Ulamak Tubuhkan Parti Muslimin Malaya Melalui Surat Terbuka

Pada hari ini dalam tahun 1951, Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman telah menggesa para ulamak supaya berpisah daripada Umno dan menubuhkan sebuah parti politik Islam, Parti Muslimin Malaya untuk mengatasi malasah pemimpin Umno yang tidak patuh kepada hukum Islam. Gesaan Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman yang berbentuk sebuah surat terbuka telah disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu pada 20 Ogos 1951, semuka penuh pada halaman 6 akhbar tersebut. Gesaan beliau kepada para ulamak ini, terutama yang berada dalam Bahagian Agama Umno pimpinan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan adalah ekoran tindakan Umno menganjurkan judi Loteri Umno pada 1951 bagi menyelesaikan isu dana Rumah Umno.

Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman yang dilahirkan pada 1901 merupakan cicit kepada Temenggung Ibrahim Daing Abdul Rahman, pengasas Kesultanan Johor Moden, yang berpangkat cucu saudara kepada Sultan Abu Bakar Johor. Selepas mendapat pendidikan Inggeris di Johor Bahru dan Perth, Australia, beliau memasuki Jamiah Osmaniah di Beirut atas tajaan Kerajaan Othmaniyah pada 1914. Tetapi kerana meletusnya Perang Dunia Pertama, beliau menghabiskan pengajian di Syrian Protestant College of Beirut pada 1920. Selepas 21 tahun berkhidmat dalam pentadbiran Kerajaan Johor, pada 1943 beliau dilantik sebagai Majestret Kelas Pertama dan akhirnya menjadi Yang Dipertua JAIJ (1950-1954), Pegawai Daerah Johor Bahru (1954-1956) dan Timbalan Menteri Besar Johor (1956-1960).

Sebagai pegawai tadbir negeri Johor yang lahir dalam Istana Johor, Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman adalah ahli Umno semenjak 1946 tetapi mulai mempersoalkan perjuangan Umno ekoran isu judi pada 1950 dan juga krisis Dato' Onn Jaafar sebagai Yang Dipertua Agung Umno pada 1951. Ekoran kegagalan Dato' Onn Jaafar menjadikan orang bukan Melayu sebagai ahli Umno pada 1951, menyebabkan pengasas Umno itu mengumumkan untuk meninggalkan Umno mulai 26 Ogos 1951. Ketika Umno kehilangan pemimpin utamanya, beberapa cawangan Umno telah mengemukakan nama Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman sebagai calon Yang Dipertua Agung Umno, selain Tunku Abdul Rahman Putra, C.M Eusoff dan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan.

Ketika namanya dicalonkan sebagai bakal Yang Dipertua Agung (sekarang Presiden) Umno menggantikan Dato' Onn Jaafar, Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman bukan sahaja menarik diri, tetapi beliau menulis surat terbuka kepada ulamak yang disiarkan pada 20 Ogos 1951 supaya para ulamak menubuhkan sebuah parti Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah serta bebas daripada Umno. Gesaan beliau adalah berasaskan kenyataan beliau bahawa perjuangan Umno telah tergelincir daripada al-Quran dan Sunnah setelah Umno bertindak menganjurkan Loteri Umno pada 1951. Dalam Utusan Melayu, 20 Ogos 1951, beliau menulis,

"Pada faham saya bagi memperbaiki hal ehwal orang Islam, sampailah masanya kita menubuhkan Parti Muslimin Malaya yang bertanggungjawab atas hal ehwal orang-orang Muslimin. Sekiranya parti ini ditubuhkan, tidak dapat tidak ahli-ahlinya mengandungi alim ulamak... Tatkala Parti Muslimin telah berdiri terbitlah satu soalan: Adakah satu pertubuhan yang berpandu dan berdasarkan al-Quran dan Hadis Nabawi mesti bernaung di bawah Pertubuhan Kebangsaan (Melayu Bersatu) (Umno) yang terikat dengan undang-undang yang tidak boleh meliputi kehendak-kehendak al-Quran dan Hadis?"

Pandangan Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman ini adalah selari dengan pendapat Persatuan Ulamak Kedah yang dikuasai oleh ulamak Umno dan juga Persidangan Khas Alim Ulamak (Umno) Seberang Perai pada 19 Ogos 1951 yang memandang tindakan Umno sebagai bercanggah dengan hukum Allah. Persidangan Khas Alim Ulamak Umno itu juga turut mencadangkan supaya ulamak menubuhkan Persekutuan Muslimin Malaya, sedangkan seorang ulamak Singapura, Sheikh Fadhlullah Suhaimi mencadangkan agar ulamak menubuhkan Majlis A'la lil Syau'un ad-Diiniah Malaya. Seluruh cadangan ini sebenarnya ditujukan kepada Persidangan Alim Ulamak Malaya Kali Kedua anjuran Umno yang akan berlangsung pada 23 Ogos 1951.

Disusun oleh: Arkib PAS

19 Ogos 2016

19 Ogos 1963 : Prof. Zulkifli Perjelas 4 Jam Di Dewan Rakyat Sebab Menolak Penubuhan Malaysia

Pada hari ini dalam tahun 1963, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Profesor Zulkifli Mohamad telah menyampaikan ucapan selama empat jam di Dewan Rakyat ketika membahas usul penubuhan Malaysia. Ahli Parlimen Bachok itu mencipta sejarah dengan menyampaikan ucapan yang begitu panjang dalam menghuraikan sikap yang menentang penubuhan Malaysia. Di hujung perbahasannya, beliau mempertegaskan kaedah fekah "menolak kejahatan lebih bagus daripada maslahah" sebagai sebab kenapa PAS mengambil pendirian tersebut.

Pendirian PAS terhadap penubuhan Malaysia telah diambil dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 15 Oktober 1961 di mana PAS menolak cadangan penggabungan Tanah Melayu dengan Borneo Utara (Sabah), Brunei, Sarawak dan Singapura, sebalik PAS mencadangkan Melayu Raya yang turut melibatkan Indonesia, Filipina dan semua gugusan pulau-pulau Melayu. PAS mengemukakan cadangan Melayu Raya ke Dewan Rakyat dua kali iaitu pada 16 Oktober 1961 dan 1 Mei 1962, tetapi gagal. Setelah melalui beberapa proses, pada 14 Julai 1963, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil keputusan bahawa "PAS adalah menentang rancangan dan gagasan Malaysia..." kerana ia "membahayakan terhadap orang-orang Melayu."

Pada 11 Ogos 1963, Jawatankuasa Kerja Agung PAS memutuskan supaya Prof Zulkifli Mohamad mengusulkan bahawa Kerajaan Perikatan tidak mendapat mandat rakyat untuk menandatangani Perjanjian Malaysia di London pada 9 Julai 1963, tetapi usul ini ditolak. Ekoran itu, beberapa Ahli Parlimen PAS iaitu Mohd Asri Haji Muda (Pasir Puteh) dan Dato' Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani (Pasir Mas Hulu) telah menyokong pindaan usul yang dibuat oleh Tan Phock Kin (Tanjong) berkaitan perjanjian tersebut. Di luar Parlimen, PAS telah menghantar memorandum kepada pelbagai pihak termasuk Filipina, Indonesia, PBB, Negara-negara Arab dan Afro-Asia untuk menyatakan sikap PAS dan sebabnya.

Rang Undang-undang Malaysia 1963 yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein pada 14 Julai 1963, telah dibangkang oleh Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy (Besut) pada 15 Ogos 1963, Penasihat Undang-undang PAS, Wan Mustafa Ali (Kelantan Hilir) pada 17 Ogos 1963. Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohamad telah berucap membangkang rang undang-undang ini pada 19 Ogos 1963. Namun akhirnya, Rang Undang-undang Malaysia diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 20 Ogos 1963, sebelum Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.

Dalam ucapannya selama empat jam pada 19 Ogos 1963 itu, Prof Zulkifli Mohamad telah menjelaskan sebab-sebab PAS menolak penubuhan Malaysia. Beliau telah menyentuh beberapa persoalan antaranya tentang masa depan orang Melayu, layanan istimewa kepada Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Perjanjian 20 Perkara, bahasa kebangsaan bagi negeri-negeri baru, kerakyatan mudah bagi Singapura, jumlah perwakilan Sabah, Sarawak dan Singapura di Dewan Rakyat, masalah pengurusan kewangan dan proses pilihan raya di negeri-negeri tersebut. Dalam ucapannya pada 19 Ogos 1963 ini, Prof Zulkifli Mohamad menyifatkan penubuhan Malaysia akan membahayakan masa depan orang Melayu.

Disusun oleh: Arkib PAS

18 Ogos 2016

18 Ogos 2001 : PAS Umum Pertemuan Dengan Timbalan Perdana Menteri Berkaitan Sekatan Politik

Pada hari ini dalam tahun 2001, media massa telah mendedahkan kepada umum bahawa pimpinan PAS akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ekoran tindakan kerajaan menyekat kebebasan bersuara rakyat dengan tidak membenarkan ceramah politik diadakan. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Dalam Negeri dianggap bertanggungjawab mengarahkan kepada pihak polis supaya membekukan semua permit ceramah, bahkan menghalang ceramah-ceramah yang dianjurkan. Pada 17 Julai 2001, polis telah mengumumkan untuk memperketatkan syarat-syarat bagi mengadakan ceramah politik terbuka, sedangkan sebelumnya parti politik hanya perlu memohon kebenaran berhimpun mengikut Akta Polis tanpa sebarang sekatan.

Kekalahan BN, khususnya Umno dalam Pilihan Raya Umum pada 29 November 1999 di banyak kerusi Parlimen dan DUN yang telah menyebabkan BN berusaha menyekat pengaruh PAS. Selain merampas royalti minyak Terengganu, Kerajaan BN turut mengurangkan permit Harakah, berusaha mengharamkan perkataan Islam pada nama PAS, mengaitkan PAS dengan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) dan sebagainya. Sekatan politik yang berterusan ini bertujuan untuk membendung pengaruh PAS ekoran peningkatan mendadak sokongan orang Melayu ke atas PAS dalam pilihan raya tersebut. Umno telah kehilangan banyak banyak kerusi Parlimen dan DUN di Perlis, Kedah, Perak, Pahang dan Selangor, selain tewas di Kelantan dan Terengganu.

Salah satu langkah penting yang diambil oleh BN ialah menyekat suara PAS dengan mengurangkan permit pengeluaran Harakah dari lapan kali kepada dua kali sebulan, dan menyekat ceramah-ceramah politik yang menjadi media antara PAS dan rakyat. Pada 18 Julai 2001, polis telah mengumumkan langkah-langkah untuk menghalang ceramah politik dengan memperketatkan syarat-syarat permit. Pada 18 Julai 2001, Timbalan Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu telah membuat penegasan bahawa ceramah politik akan diteruskan seperti biasa, seperti mana keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 15 Julai 2001. PAS turut membawa usul tergempar di Dewan Rakyat pada 17 Julai 2002 ekoran sekatan ini. Serentak dengan itu, PAS telah meneruskan ceramah politik seperti biasa sehingga beberapa pemimpinnya ditahan polis.

Antara pemimpin PAS yang ditahan polis kerana menghadiri ceramah tanpa permit ialah Mohamad Sabu, Mazlan Aliman, Salahuddin Ayub, Ustaz Suhaimi Ahmad dan Ustaz Taib Azimuddin Mohd Taib dan sejumlah ahli PAS yang hadir. Memberi reaksi terhadap tindakan PAS ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengatakan PAS sengaja melakukan provokasi untuk membolehkan mereka menuduh Kerajaan BN tidak demokratik. Sedangkan PAS melihat kebenaran berhimpun, mengadakan ceramah politik dan menerbitkan akhbar adalah sebahagian daripada maksud demokrasi. Ekoran siri-siri pengangkapan ini, PAS Pusat pada 12 Ogos 2001 telah memutuskan supaya ceramah-ceramah perlu diteruskan tetapi hendaklah mengelak dari bertembung dengan polis. Berlanjutan dari itu, pada 2-4 Ogos 2001, 10 orang termasuk ahli PAS ditahan ISA kerana didakwa terlubat dengan KMM. Ekoran tekanan politik berterusan ini, PAS Pusat pada 12 Ogos 2001 telah memutuskan untuk bertemu dengan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai. Rancangan PAS ini telah didedahkan oleh media massa kepada umum pada 18 Ogos 2001.

Disusun oleh: Arkib PAS

17 Ogos 2016

17 Ogos 1984 : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Pertegas Nasionalisme Bercanggah Dengan Islam

Pada hari ini dalam tahun 1984, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mempertegaskan bahawa perjuangan nasionalisme berasaskan kebangsaan yang sempit adalah bercanggah dengan ajaran dan aqidah Islam. Perjuangan kebangsaan yang didukung oleh Umno sehingga menzalimi orang bukan Melayu adalah satu perjuangan kebangsaan yang sempit yang ditolak oleh Nabi Muhammad SAW. Islam adalah yang ajaran yang mengutamakan keadilan kepada semua, termasuk terhadap musuh, dan PAS mendukung Islam sebagai dasar perjuangannya, sedangkan Umno bertunjangkan ideologi kebangsaan.

Nasionalisme atau perjuangan kebangsaan yang sempit dengan mengutamakan bangsa sendiri dan sanggup menzalimi kumpulan lain adalah terkeluar dari ajaran Islam. Dalam pemikiran Islam, perjuangan kebangsaan yang sempit dikenali sebagai asobiyyah atau taksub kepada kumpulan sehingga membenarkan kezaliman ke atas bangsa atau kumpulan lain. Perjuangan membela hak bangsa adalah berbeza dengan kefahaman hanya bangsa atau kumpulannya sahaja yang benar sehingga sanggup menzalimi bangsa lain. Kebenaran adalah apa yang diajarkan oleh al-Quran dan Sunnah.

Dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa pada 14 April 1984, telah menggariskan tema 'Menggempur Pemikiran Asobiyyah.' Dalam ucapannya, Pak Yusof Rawa mempertegaskan bahawa golongan munafiqin menggunakan strategi Masjid Dhirar untuk melemahkan perjuangan Islam, dan tindakan memperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam adalah strategi Masjid Dhirar zaman moden. Bahkan, strategi Fir'aun menghukum ahli sihir yang beriman turut diamalkan untuk menyekat kebangkitan Islam. Bagi Yang Dipertua Agung PAS itu, Umno adalah "golongan nasionalis asobiyyah sekular" yang mengamalkan "asobiyah zalim" sehingga ia mesti ditentang dan dihancurkan kerana ia menjadi punca kelemahan umat Melayu Islam.

Pada 10 Julai 1984, tiga orang pemimpin Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Mohamad Sabu telah ditahan ISA kerana menolak Islamisasi dalam kerangka sekular yang diperkenalkan oleh Kerajaan BN. Pada 6 Ogos 1984, pihak polis telah membekukan seluruh kebenaran mengadakan perhimpunan dan ceramah politik. Sedangkan pada awal 1984, Kerajaan BN telah mewujudkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi mengawal percetakan media yang tidak pro kerajaan. Tekanan politik yang berterusan ini disifatkan oleh PAS sebagai terjemahan terhadap kezaliman asobiyah atau nasionalisme yang didukung oleh Umno. "Orang-orang Melayu menjadi mundur kerana amalan sistem asobiyah zalim," tegas Pak Yusof Rawa.

Disebabkan tindakan berterusan yang dilakukan oleh Umno terhadap kebangkitan PAS selepas 1980, dan sesuai dengan penegasan Pak Yusof Rawa, pada 17 Ogos 1984, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya kepada media telah menyifatkan perbuatan zalim Umno tersebut adalah kesan dari fahaman kebangsaan yang sempit dan mempertegaskan bahawa perjuangan nasionalisme ini adalah bercanggah dengan Islam. Dalam satu kenyataan lain kepada majalah Asiaweek, Naib Yang Dipertua Agung PAS itu mendakwa Umno takut untuk bersemuka dengan PAS secara hujah yang ilmiah, kerana itu di atas semangat kebangsaan yang sempit mereka melakukan kezaliman terhadap PAS yang menegur tindak-tanduk mereka. Atas sebab inilah, Umno akhirnya menyatakan kesanggupan untuk mengadakan Debat Umno-PAS.

Disusun oleh: Arkib PAS

16 Ogos 2016

16 Ogos 2000 : Presiden PAS Bersebab Tidak Hadir Saksikan Lakonan Semula Rompakan Al-Ma'unah

Pada hari ini dalam tahun 2000, Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor telah menjelaskan sebab beliau tidak menghadiri sesi lakonan semula rompakan senjata di Perak oleh Kumpulan al-Ma'unah. Lakonan semula yang dibuat oleh pihak Kerajaan Pusat ini adalah kerana Ketua Pembangkang itu mendakwa rompakan tersebut adalah sandiwara yang direka oleh pihak kerajaan. PAS yang dipalitkan secara langsung dengan tragedi ini melihat ia adalah sebuah sandiwara oleh pihak pemerintah untuk menjatuhkan imej PAS setelah parti Islam ini mencatat kejayaan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999.

Peristiwa Kumpulan al-Ma'unah ini berlaku pada 2-6 Julai 2000 di mana mereka telah merompak 119 laras senjata automatik dan 5,000 butir peluru di Pos Tentera Askar Wataniyah, Kuala Sungai Rui dan Kem Batalion 304 Askar Wataniyah Grik. Kumpulan al-Ma'unah yang diketuai oleh Mohd Amin Mohd Razali, seorang bekas anggota tentera bersama 14 lagi ahli kumpulannya telah melakukan rompakan pada 2 Julai 2000, kemudian berkubu di Bukit Jenalek, Sauk, Perak sehingga ditumpaskan pada 6 Julai 2000. Dalam tragedi ini, dua anggota polis telah terbunuh dan dua cedera, selain penculikan ke atas tiga orang pekebun durian. Media melaporkan bahawa Kumpulan al-Ma'unah yang menyerah diri pada 6 Julai 2000 adalah bermatlamat menggulingkan kerajaan dan menentang Yang di-Pertuan Agong.

Di sebalik peristiwa berdarah ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mendakwa Kumpulan al-Ma'unah mempunyai hubungan dengan PAS. Menurut Perdana Menteri itu, bahawa kebanyakan anggota Kumpulan al-Ma'unah adalah ahli PAS dan mereka menentang kerajaan kerana terpengaruh dengan dakyah PAS. Media juga mendakwa Kumpulan al-Ma'unah telah mempelawa ahli PAS menyertai kumpulan mereka melalui iklan yang dibuat dalam lidah rasmi PAS, Harakah keluaran 9 Oktober 1998. Mohd Amin Mohd Razali, ketua kumpulan ini juga didakwa berasal dari keluarga PAS dan telah terpengaruh dengan PAS.

Ekoran serangan yang dilakukan oleh media dan Umno ke atas PAS, ia telah menyebabkan tindakan PAS menjadi defensif, dan Presiden PAS secara terbuka menganggap peristiwa di Bukit Jenalek ini hanyalah satu sandiwara kerajaan, yang bertujuan untuk mengaitkan PAS dengan keganasan. Tindakan Presiden PAS ini telah menimbulkan kemarahan kerajaan sehingga mengugut untuk mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan ke atas beliau. Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor menjawab dengan sinis ugutan ini dengan berkata "Takkan tanya pun tak boleh?" Terdesak dengan dakwaan balas Presiden PAS ini, Kerajaan Pusat telah mengarahkan tentera melakonkan semula bagaimana senjata api dirompak dalam jumlah yang besar. PAS telah memgambil sikap untuk menolak lakonan semula ini kerana menganggap lakonan semula ini masih tidak menjawab bagaimana rompakan ini boleh berlaku. Atas alasan ini, Presiden PAS yang tidak menghadiri sesi lakonan semula tersebut dan pada 16 Ogos 2000, dengan alasan tersebut menjelaskan kenapa beliau tidak menghadiri sesi lakonan semula tersebut.

Disusun oleh: Arkib PAS

15 Ogos 2016

15 Ogos 1989 : PAS Umum Tolak Gesaan Kerjasama Dengan UMNO

Pada hari ini dalam tahun 1989, akhbar Utusan Malaysia telah menyiarkan satu wawancara dengan Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor tentang isu politik semasa terutama berkait perpaduan orang Melayu. Dalam wawancaranya, Ustaz Fadzil Mohd Noor yang juga ADUN Bukit Raya, Kedah telah secara terbuka menolak gesaan pelbagai pihak supaya PAS membentuk kerjasama dengan Umno bagi mewujudkan perpaduan orang Melayu, sebaliknya beliau menegaskan bahawa PAS lebih berminat untuk bekerjasama dengan serpihan Umno, Semangat 46. Menurut beliau, PAS lebih selesa bersama Semangat 46 yang telah bersetuju menjadikan Islam sebagai landasan kerjasama, berbanding Umno yang mendukung kebangsaan sekular dan mahu membentuk kerjasama atas nama Melayu.

Isu kerjasama PAS-Umno ini timbul ekoran pengharaman Umno oleh mahkamah pada 4 Februari 1988 yang menyebabkan Umno berpecah dua. Team A yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed telah membentuk Umno (Baru), sedangkan Team B yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah membentuk Semangat 46. Kedua-dua parti bekas ahli Umno ini bersaing pengaruh dan cuba mendekati PAS. Hubungan PAS dengan Team B Umno telah terbentuk sejak akhir 1988 apabila pemimpin PAS dan Team B Umno bertemu dalam Majlis Makan Malam Pemikir Ummah pada 23 Disember 1988. Ekoran itu, pada 6 April 1989, Timbalan Presiden Umno, Abdul Ghafar Baba telah mendedahkan kesediaan Umno yang mahu berunding untuk bekerjasama dengan PAS. Memberi respon terhadap kenyataan pemimpin nombor dua Umno (Baru) itu, Ustaz Fadzil Mohd Noor pada 6 April 1989 berkata PAS sedia untuk berunding jika dijemput.

Isu kerjasama PAS-Umno ini telah berbangkit dalam sejak awal 1987 ketika Umno sedang dibicarakan di mahkamah. Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad telah mencadangkan supaya PAS bekerjasama dengan Umno membentuk Barisan Islamiyah, kemudian pada 21 Ogos 1988, beliau sekali lagi membuat seruan yang sama dalam Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat, tetapi cadangan beliau tidak mendapat sambutan daripada PAS. Sebaliknya, pada 9 Oktober 1988, PAS bersetuju menerima cadangan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri supaya PAS membentuk kerjasama dengan Team B Umno, yang membawa kepada berlangsungnya Majlis Makan Malam Pemikir Ummah pada akhir 1988. Persetujuan PAS ini membawa kerjasama tidak rasmi dengan Semangat 46 dalam pilihan raya kecil di Ampang (28 Januari 1989) dan Teluk Pasu (25 Jun 1989), selain penganjuran Seminar Perpaduan Ummah (20 Oktober 1988) dan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (28 Oktober 1988).

Pendirian Ustaz Fadzil Mohd Noor yang disiarkan pada 15 Ogos 1989 ini adalah berkait rapat dengan keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 12 April 1989 yang menolak kerjasama dengan Umno kerana parti sekular itu gagal menyatakan dengan jelas isu yang hendak dirundingkan, lebih-lebih lagi ketika itu PAS sedang berunding dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), sebuah gabungan politik Semangat 46 dan Berjasa. PAS turut melihat bahawa rundingan dengan Umno tidak memberi banyak manfaat kerana dasar nasionalisme dan pragmatisme yang diamalkan oleh Umno. Dalam wawancaranya yang disiarkan pada 15 Ogos 1989 itu, Ustaz Fadzil Mohd Noor menjelaskan sikap PAS yang menolak kerjasama dengan Umno walaupun parti itu lebih kuat dari Semangat 46. PAS menghargai kesediaan Semangat 46 untuk menerima Islam sebagai asas kerjasama, sedangkan PAS sedar bahawa Umno tidak akan tunduk kepada kehendak PAS kerana mereka adalah parti pemerintah. Serentak dengan pernyataan sikap PAS ini, sebuah lagi serpihan PAS, Hamim telah mengumumkan pada 15 Ogos 1989 ini untuk meninggalkan BN dan bergabung dalam APU.

Disusun oleh: Arkib PAS

14 Ogos 2016

14 Ogos 1953 : PAS Sertai Persidangan Melayu Untuk Bincang Soal Pilihanraya Segera

Pada hari ini dalam tahun 1953, PAS telah menyertai satu Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu yang dianjurkan oleh Umno untuk membincangkan isu tuntutan orang Melayu bagi diadakan pilihan raya segera. Persidangan yang diadakan di Ibu Pejabat Umno di Johor Bahru ini merupakan tindakan balas Umno terhadap usaha Dato' Onn Jaafar melalui National Conference yang menuntut supaya pilihan raya diadakan pada 1956. Melalui persidangan ini, Umno mengharapkan satu pendirian orang Melayu terhadap pilihan raya segera, kerana National Conference yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar dan Dato' Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab adalah turut melibatkan orang Cina, India, Cylonese dan Eurosian.

Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu ini asalnya adalah 'konflik peribadi' antara Tunku Abdul Rahman Putra, Yang Dipertua Agung Umno dengan Dato' Onn Jaafar, Yang Dipertua Agung IMP selepas pengasas Umno itu keluar parti pada 26 Ogos 1951. Dato' Onn Jaafar telah mengambil langkah politik dengan menyatukan semua pertubuhan politik di bawah National Conference, sehingga ia mencabar kedudukan Umno. Dalam satu perbincangan antara Tunku Abdul Rahman dengan Dato' Dr Ismail Abdul Rahman, mereka bersepakat menganjurkan persidangan Melayu untuk memberi mesej kepada Dato' Onn Jaafar bahawa orang Melayu bersama Umno. Tujuan Umno adalah untuk menjadi induk kepada semua parti Melayu, sekali gus mengenepikan Dato' Onn Jaafar dan Dato' Panglima Bukit Gantang. Kerana itu, Umno menjemput semua pertubuhan Melayu menyertai persidangan ini.

Umno telah memanipulasikan isu tuntutan pilihan raya untuk menarik sokongan pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan mencadangkan agar ia diadakan pada 1954. Sedangkan PAS sendiri pada 23 Mei 1953 telah bersetuju pilihan raya diadakan pada 1956, iaitu selaras dengan tuntutan National Conference. Pada 26 Jun 1953, PAS mengambil pendirian terbuka dengan bersedia menerima jemputan sesiapa sahaja termasuk Umno untuk membincangkan tentang tuntutan pilihan raya, seperti mana PAS menerima jemputan IMP. Atas pendirian ini, pada 25 Julai 1953, Tunku Abdul Rahman Putra telah menjemput PAS menyertai Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu.

Persidangan yang berlangsung pada 14 Ogos 1953 ini telah disertai oleh 10 pertubuhan Melayu iaitu Umno, PAS, Persatuan Melayu Semenanjung (PMS) A, PMS B, Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK), Gabungan Persekutuan Pemuda Melayu Kelantan, Kesatuan Melayu Singapura (KMS), Lembaga Kesatuan Melayu Johor (LKMJ), Kesatuan Melayu Johor (KMJ) dan Malay Graduate Association (MGA). Persidangan ini pada asasnya tiada sambutan, kecuali dua pertubuhan dari Kelantan dan PAS, sedangkan yang lain adalah dari Johor Bahru dan Singapura. Prof Ramlah Adam menyifatkan persatuan yang menyertai persidangan ini "adalah kecil, terpencil dan bersifat tempatan dan masih baru ditubuhkan" sehingga "kekuatan sokongan itu (kepada Umno ) tidak jelas."

PAS yang menghantar Yang Dipertua Agungnya, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Mohamad Hanif sebagai wakil telah hadir hanya untuk bertukar-tukar fikiran dan memanfaatkan persidangan ini untuk melonjakkan kedudukan PAS dalam persada politik nasional. Yang lebih penting, Umno mula mengiktiraf PAS sebagai sebuah parti yang sama taraf dengan mereka. Ternyata persidangan ini telah gagal mengemukakan satu pandangan yang konkrit, melain sekadar membolehkan Umno mendakwa mereka mewakili orang-orang Melayu, walhal tiada pertubuhan Melayu yang hadir melainkan pertubuhan yang telah menjadi anggota gabungan Umno. Pada umumnya, persidangan Melayu pada 14 Ogos 1953 ini tidak membuat apa-apa keputusan, melainkan hanya bertukar-tukar fikiran sahaja.

Disusun oleh: Arkib PAS

13 Ogos 2016

13 Ogos 1955 : PAS Gesa Persidangan Pertubuhan Melayu Untuk Pertahankan Bahasa

Pada hari ini dalam tahun 1955, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil satu ketetapan terhadap tuntutan golongan ultra Cina dengan cadangan menganjurkan satu persidangan pertubuhan-pertubuhan Melayu bagi mempertahankan kedudukan bahasa Melayu. Persidangan ini bertujuan untuk membincangkan isu tuntutan persatuan-persatuan Cina dan merangka memorandum kepada kerajaan untuk mempertahankan kedudukan bahasa Melayu. PAS melihat tindakan yang dibuat oleh golongan ultra Cina ini telah mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa peribumi, sedangkan orang-orang Melayu sedang berusaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Perjuangan PAS terhadap hak orang Melayu telah tergambar daripada tuntutan PAS dalam National Convention pada 11 Oktober 1953, di mana PAS menuntut supaya bahasa Melayu menjadi bahasa pertama dalam Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954, PAS telah mengambil keputusan supaya Melayu dijadikan bahasa pertama dalam pentadbiran kerajaan, sedangkan Kongres Pemuda Melayu yang turut disertai pimpinan PAS pada 10 April 1955 telah mengambil ikrar "Satu Bahasa, Satu Negara dan Satu Kebangsaan Melayu." Sumbangan PAS terhadap perjuangan memartabatkan bahasa Melayu ini turut diperakui oleh Dr Burhanuddin al-Helmy sebelum beliau menyertai PAS. Dalam Kongres Parti Rakyat pada 24 Disember 1955, Dr Burhanuddin menyifatkan "PAS pun bekerja keras" untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Isu bahasa Melayu ini timbul kerana tindakan 144 buah persatuan orang Cina di Perak yang mengemukakan satu tuntutan kepada kerajaan supaya bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi dan ia digunakan di Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Desakan orang Cina ini mempunyai kaitan dengan peranan mereka dalam memenangkan calon-calon Umno dalam Pilihan Raya Umum 1955. Pertama, orang Cina telah memberi bantuan kewangan kepada Umno menerusi MCA untuk membiayai jentera pilihan raya mereka, dan kedua, orang Cina telah mengundi Perikatan dalam pilihan raya tersebut. Atas asas ini orang Cina mahu mereka diberikan hak sama rata termasuk soal kerakyatan dan bahasa Cina. Selain 144 buah persatuan Cina di Perak yang membuat tuntutan, Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Seluruh Malaya pada 14 Ogos 1955 juga bertindak menuntut supaya bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi di samping bahasa Melayu dan Inggeris.

Tindakan golongan ultra Cina ini telah mendapat respon negatif daripada PAS Kelantan pada 9 Ogos 1955, yang memaksa Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang bersidang pada 12-13 Ogos 1955 memutuskan untuk menganjurkan persidangan pertubuhan Melayu. Persidangan yang turut dihadiri oleh parti politik, NGO dan badan persuratan Melayu telah dianjurkan oleh PAS pada 28 Ogos 1955. Persidangan ini dihadiri oleh 16 buah pertubuhan dan 500 pemerhati di mana Ahli Majlis Undangan Persekutuan, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah memberikan taklimat tentang isu kedaulatan bahasa Melayu serta kepentingan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Beliau turut menyentuh soal tuntutan orang Cina supaya bahasa Cina dan Tamil turut digunakan di Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Persidangan pada 28 Ogos 1955 yang dianjurkan oleh PAS telah menerima cadangan Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu Semenanjung (KPGMS) iaitu:

I. Melantik sebuah Jawatankuasa Bebas untuk menyusun memorandum kepada Raja-raja Melayu, Ketua Menteri, Menteri Pelajaran dan Pesuruhjaya Tinggi British; dan
II. Bertemu dengan Ketua Menteri dan Menteri Pelajaran dalam soal ini.

Jawatankuasa Bebas ini terdiri daripada Cikgu Mohd Nor Ahmad (KPGMS) sebagai Pengerusi, Basir Udoh sebagai Setiausaha, Cikgu Ahmad Awang (PAS) sebagai Bendahari, Cikgu Harun Mohd Amin (Kongres Pemuda Melayu), Mohd Asri Haji Muda (PAS), Haji Azmir (Lembaga Pembangunan Sastera - LEPAS), Abdul Ghani Ishak (Lembaga Pelajaran Kebangsaan Malaya) dan Amin ar-Rahim (Asas Utama) sebagai ahli-ahli. Mereka telah mengemukakan memorandum kepada kerajaan. Satu badan yang sependapat dengan PAS dalam soal ini ialah Kongres Pelajaran Melayu Malaya pimpinan Aminuddin Baki yang bersidang pada 15 Ogos 1956.

Disusun oleh: Arkib PAS

12 Ogos 2016

12 Ogos 1954 : Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-3 Tentukan Halatuju PAS Secara Jelas

Pada hari ini dalam tahun 1954, PAS telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ketiga berakhir 14 Ogos 1954 di Madrasah at-Tahzib ad-Diiniyah, Titi Serong, Perak dan dibuka dengan rasmi oleh Orang Besar Jajahan Kerian, Orangkaya Setia Toh Muda Haji Jaafar. Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954 ini sangat penting kerana ia telah menentukan hala tuju perjuangan PAS sebagai sebuah parti Islam di negara ini. Ia dihadiri oleh para perwakilan dari 16 buah cawangan PAS dari seluruh Tanah Melayu dan Ucapan Dasar Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias telah dibacakan oleh Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang.

Beberapa perkara pokok yang diambil ketetapan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini antaranya ialah menetapkan tujuan sebenar perjuangan PAS secara jelas, iaitu untuk "memperjuangkan cita-cita Islam dalam masyarakat dan urusan pemerintahan negara." Sebelum ini, persoalan negara Islam tidak disebut oleh PAS kerana suasana politik yang tidak mengizinkan terutama selepas Hizbul Muslimin dilumpuhkan ekoran cita-cita "Darul Islam"nya. Serentak dengan itu juga, PAS mempertegaskan bahawa tujuan utama jangka pendeknya adalah untuk "menegakkan kemerdekaan negara dan umat Islam" sebagai strategi terpenting untuk membentuk negara Islam. Bertolak dari tujuan ini, mereka mengambil ketetapan untuk "menyokong mana-mana pertubuhan untuk kemerdekaan Malaya."

Salah satu isu besar yang timbul sejak hari pertama penubuhan PAS ialah disiplin parti. Pimpinan dan ahli-ahli PAS menyedari bahawa persoalan wala' (kesetiaan) akan menjadi barah kepada organisasi jika pimpinan PAS dibenarkan menganggotai lebih dari sebuah parti. Ketika Persatuan Ulamak Malaya bersidang pada 24 November 1951, mereka memutuskan supaya diadakan disiplin parti, tetapi kerana faktor-faktor tertentu, Undang-undang Tubuh PAS 1951 terpaksa dipinda. Isu disiplin atau tatatertib ini telah menyebabkan PAS menerima kritikan keras pada peringkat awal, terutama apabila terdapat pimpinan PAS yang turut menjadi ahli Umno dan IMP serentak. Dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 26 September 1953, faktor pertindanan keahlian ini telah menyebabkan PAS berpecah. Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini telah menetapkan semua pimpinan PAS tidak boleh menjadi ahli parti lain, diikuti oleh ketetapan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keempat pada 24-25 Disember 1955 bahawa semua ahli PAS tidak boleh lagi menjadi ahli parti lain serentak.

Persoalan disiplin parti ini telah berbangkit kerana krisis yang timbul pada 26 September 1953. Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan mahu PAS bersama National Conference yang dikuasai oleh Dato' Onn Jaafar, sedangkan Haji Ahmad Badawi mahu PAS menyokong National Convention yang dikuasai Tunku Abdul Rahman. Jika Mesyuarat Agung Khas PAS itu menolak National Conference, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga ini memutuskan supaya PAS berkecuali dari National Convention setelah mendapati tuntutan mereka merugikan orang Melayu, namun kekal menyokong tuntutan pilihan raya segera dan kemerdekaan. Kesan dari disiplin parti dan berkecuali dari National Convention, para pimpinan PAS yang memilih kekal bersama Umno telah berundur. Namun ia memberi dampak positif apabila tokoh-tokoh Hizbul Muslimin dan pimpinan politik kiri mula menyertai PAS secara besar-besaran termasuk Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Prof Zulkifli Mohamad.

Krisis kepemimpinan yang timbul akibat perletakan jawatan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai Yang Dipertua Agung PAS juga telah berakhir dengan pemilihan Dr Haji Abbas Alias sebagai Yang Dipertua Agung PAS kedua. Dr Haji Abbas Alias yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS sejak 27 November 1953 terpaksa membentuk Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS yang terdiri dari Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, Cikgu Ahmad Awang dan Tuan Guru Haji Mansor Hassan JP pada akhir Mei 1954 kerana beliau sering bertugas di luar negara. Selain itu, Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini juga telah meminda Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1953 untuk membolehkan Pesuruhjaya PAS Daerah dilantik bagi mengemaskan organisasi di peringkat negeri. Salah ketetapan yang penting diambil oleh mesyuarat agung ini ialah supaya PAS mengambil jalan demokrasi dalam perjuangannya menegakkan Islam di mana PAS akan menyertai pilihan raya yang akan diadakan pada tahun 1955.

Disusun oleh: Arkib PAS

11 Ogos 2016

11 Ogos 1965 : PAS Kemuka Usul Menjamin Hak Bumiputera Di Dewan Rakyat

Pada hari ini dalam tahun 1965, Ahli Parlimen Pasir Mas Hilir, Abdul Samad Ghul Ahmad Mianji telah mengemukakan satu usul kepada Dewan Rakyat supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menjamin hak-hak Bumiputera dalam semua lapangan. Abdul Samad Ghul Ahmad Mianji yang juga Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat telah membawa usul ini ke persidangan Dewan Rakyat dan telah diterima untuk dibahaskan. Beliau membangkit masalah "undang-undang kerakyatan yang longgar dan jumlah penduduk-penduduk yang bukan Bumiputera melebihi peratusnya daripada Bumiputera sendiri adalah unsur-unsur yang maha penting yang menjadi atas kembimbangan (kaum Bumiputera di Malaysia)."

Dalam persidangan Dewan Rakyat pada 5 Oktober 1962, PAS pernah membawa usul untuk mempertegas bahawa "Tanah Melayu ini ialah dipunyai oleh bangsa Melayu," tetapi usul ini tidak berkesan kerana mereka menuduh PAS sebagai perkauman. Sedangkan kebimbangan PAS telah diluahkan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy bahawa pembentukan Malaysia kelak "membahayakan kedudukan bangsa Melayu" dan "sedikit demi sedikit akan tenggelam di dalam tanah airnya sendiri." Kemasukan besar-besaran bangsa asing melalui penubuhan Malaysia dianggap oleh PAS sebagai "satu helah politik yang halus" bertujuan untuk "menenggelamkan bangsa Melayu."

Di sebalik ingatan-ingatan PAS ini, pembentukan Malaysia telah membawa masuk hampir dua juta orang bukan Melayu dari Sabah, Sarawak dan Singapura sehingga jumlah orang bukan Melayu mengatasi orang Melayu. Untuk mengimbanginya, Kerajaan Perikatan menggunakan istiah "Bumiputera" iaitu penduduk asal Sabah dan Sarawak yang dicantumkan bersama orang Melayu. Ia kemudiannya memberi kesan politik yang besar apabila pemimpin Singapura mulai meluaskan pengaruh mereka ke Semenanjung serta Sabah dan Sarawak yang membawa kepada penubuhan Malaysian Solidarity Convention (MSC) pada 9 Mei 1965 dengan slogan 'Malaysian Malaysia' dan bertindak mempertikaikan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tentang hak istimewa orang Melayu. Parti-parti yang terlibat menubuhkan MSC ialah Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari Singapura, United Democratic Party (UDP), People's Progressive Party (PPP), Sarawak United People Party (SUPP) dan Machinda Party dari Sarawak.

Pada 25 Mei 1965, Lee Kwan Yew telah membawa idea Malaysian Malaysia ke Dewan Rakyat kerana sejak penubuhan MSC mereka mengatakan Malaysia mengamalkan dasar "bully non-Malay." Ekoran tindakan chauvinis yang berterusan sehingga menggugatkan kestabilan negara, pada 9 Ogos 1965, Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia. Ekoran itu, serpihan PAP di Malaysia dikenali sebagai DAP. Keluarnya Singapura pada 9 Ogos 1965 ini menandakan bahawa MSC telah berakhir, tetapi perjuangan PAP terhadap agenda Malaysian Malaysia diteruskan oleh DAP. Walaupun pada prinsipnya PAS mahu Singapura kekal menjadi milik orang Melayu, tetapi terpaksa bersetuju melepaskan Singapura kerana tindakan chauvinis bangsa asing yang memudharatkan negara. Dalam sidang Dewan Rakyat pada 9 Ogos 1965 ketika membahas usul mengeluarkan Singapura, Dato' Mohd Asri Haji Muda, Pemangku Yang Dipertua Agung PAS memulangkan paku buah keras kepada Kerajaan Perikatan yang meremehkan pandangan PAS dahulu termasuk menahan Dr Burhanuddin al-Helmy di bawah ISA.

Melihat ancaman yang berterusan terhadap hak-hak Bumiputera inilah, pada 11 Ogos 1965, PAS mengemukakan usul di Dewan Rakyat supaya diberi jaminan oleh Perlembagaan Persekutuan terhadap semua hak Bumiputera termasuk lapangan politik, ekonomi, pelajaran dan kebudayaan. Usul Abdul Samad Ghul Ahmad Mianji ini telah disokong oleh wakil-wakil PAS seperti Dato' Mohd Asri Haji Muda (Pasir Puteh), Ustaz Abu Bakar Hamzah (Bachok), Ahmad Abdullah (Kelantan Hilir) dan Mohd Daud Abdul Samad (Besut). Walau bagaimanapun, usaha PAS untuk menjamin hak-hak Bumiputera telah tewas dalam pengundian, di mana Dr Mahathir Mohamad (Kota Setar Selatan) menyifatkan pembelaan terhadap Bumiputera melalui jaminan hak ini akan menjadikan orang Melayu seperti Red Indian di Amerika Syarikat. Namun, ternyata sesudah itu, tercetus tragedi perkauman yang berdarah pada 13 Mei 1969 akibat kelemahan dasar Kerajaan Perikatan dalam memperkukuhkan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.

Disusun oleh: Arkib PAS

10 Ogos 2016

10 Ogos 1986 : PAS Shah Alam Dakwa Ulamak Sebagai Punca Kekalahan Teruk Pilihanraya Umum Ke-7

Pada hari ini dalam tahun 1986, PAS Kawasan Shah Alam dalam satu laporan tentang post mortem Pilihan Raya Umum Ketujuh telah mendakwa ulamak menjadi salah satu punca utama kekalahan teruk PAS dalam pilihan raya tersebut. PAS Kawasan Shah Alam yang dipimpin oleh seorang tokoh IRC, Ir Mustafa Abdul Kadir telah mengemukakan sebuah sebuah laporan kepada Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri, bertajuk "Pilihan Raya Umum 1986: Analisis Prestasi PAS." Semua Badan Perhubungan PAS Negeri telah membuat analisis dan post mortem tentang Pilihan Raya Umum 1986 ini.

Pilihan Raya Umum Ketujuh yang telah berlangsung pada 3 Ogos 1986 telah menyaksikan PAS menampilkan 98 orang calon Parlimen dan 265 orang calon DUN. Sepanjang kempen pilihan raya ini berjalan, beberapa isu utama terpaksa dihadapi oleh PAS antaranya isu tentang tragedi Memali, kafir-mengkafir, debat Umno-PAS, hubungan PAS-CCC, pertemuan sulit PAS-Umno di Seri Perdana, PAS akan hapuskan hak-hak istimewa orang Melayu dan sebagainya, termasuk isu akhir iaitu 'PAS Parti Allah.' Akibat daripada manipulasi isu-isu ini, PAS akhirnya hanya mendapat satu kerusi Parlimen iaitu Pengkalan Chepa menerusi Ustaz Nik Abdullah Arshad dan 15 kerusi DUN iaitu 10 di Kelantan, tiga di Kedah dan dua di Terengganu.

Di peringkat dalaman PAS, kekalahan ini telah mendorong pelbagai pihak membuat analisis dan bedah siasat tentang puncanya. Bedasarkan laporan-laporan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak, didapati berberapa punca kekalahan PAS, antaranya ialah kekurangan ahli dan cawangan, kelemahan jentera parti, kesilapan strategi dalam membentuk kerjasama melalui Harakah Keadilan Rakyat (HAK) yang terlalu hampir dengan pilihan raya sehingga bertembung sesama sendiri, kekusutan hubungan PAS-CCC akibat pertemuan sulit di Seri Perdana dengan Umno, selain beberapa kenyataan kontraversi berkaitan hak istimewa Melayu, kedudukan orang bukan Islam sebagai pemimpin dan lain-lain.

Berbeza dengan laporan-laporan lain, laporan PAS Kawasan Shah Alam bertarikh 10 Ogos 1986 telah mendakwa salah satu punca ulamak kekalahan PAS ialah kerana kepemimpinan ulamak. Mereka mendakwa para ulamak perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap kekalahan ini, iaitu kekalahan yang dikatakan lebih teruk daripada tahun 1982 ketika zaman Dato' Mohd Asri Haji Muda. PAS Kawasan Shah Alam juga telah mencadangkan supaya ulamak tidak lagi dilibatkan dalam kancah politik moden yang mempunyai banyak putar-belit, sebaliknya mahukan supaya ulamak hanya bertindak sebagai pemandu dan pentafsir hukum sahaja. Dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-32 pada 27-28 September 1986, seorang pemimpin PAS Kawasan Shah Alam, Abdul Khalid Samad telah mengusulkan supaya sebahagian Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS berkait strategi pilihan raya ditolak, yang mengakibatkan Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa meletakkan jawatan.

Ternyata dakwaan yang mengatakan kekalahan PAS berpunca daripada kepemimpinan ulamak adalah tidak benar, kerana faktor kepemimpinan ulamaklah yang membolehkan PAS menguasai Kelantan pada 1990. Perubahan strategi-strategi politik PAS selepas 1983 terutama tahaluf siyasi dan program memasyarakatkan PAS yang dibuat oleh PAS telah melonjakkan pengaruh PAS selepas 1990. Keterbukaan para ulamak dalam membentuk kerjasama politik, membenarkan wanita menjadi calon, membuka keahlian kelab penyokong untuk bukan Islam, di samping penglibat serius PAS dalam masyarakat menerusi program pendidikan, khidmat masyarakat, Unit Amal dan sebagai telah membawa PAS ke tengah medan dakwah sebenar. Ia kemudian menghasil kejayaan dalam setiap pilihan selepas 1986.

Disusun oleh: Arkib PAS

09 Ogos 2016

09 Ogos 2005 : Pesuruhjaya PAS Sabah Terbunuh Dalam Kemalangan Jalan Raya Di Tawau

Pada hari ini dalam tahun 2005, Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr Datu Bandira Datu Alang telah terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di km. 22 Tawau, Sabah pada jam 1.20 pagi. Beliau bersama dua rakan dan seorang anak lelakinya yang berusia enam tahun mengalami kemalangan selepas kereta yang dipandu Pakcik Norbin terbabas dan melanggar penghadang jalan raya. Dr Datu Bandira baru pulang dari menghadiri satu mesyuarat parti di Bukit Garam, Kinabatangan pada malam 8 Ogos 2004 dan dalam perjalanan menuju ke Tawau kerana dijadualkan akan merasmikan satu program di PASTI Tawau pada pagi 9 Ogos 2004.

Dr Datu Bandira Datu Alang yang berasal dari Kampung Peladuk, Kota Belud telah dilahirkan pada 3 Januari 1958, telah menyertai PAS pada 1999 setelah mendapati perjuangan beliau bersama Umno sebagai sia-sia kerana parti tersebut dipenuhi amalan rasuah. Beliau pernah menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Tawau, sebelum bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Kota Belud. Setelah tewas dalam pemilihan parti kerana politik wang, beliau memilih untuk berjuang bersama PAS dan dicalonkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1999 di Parlimen Kota Belud menentang Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Said. Pada Pilihan Raya Umum 2004, beliau tewas kepada Tan Sri Pandikar Amin Mulia di DUN Tempasuk.

Sewaktu krisis dalaman Umno memuncak pada 1998 dan ramai ahli Umno menyertai Parti Keadilan Nasional (PKN) yang ditubuhkan pada 1999, Dr Datu Bandiri telah memilih berjuang bersama dengan PAS. Menurut beliau, minatnya bersama PAS timbul sejak PAS mula bertapak di Sabah pada 1986 lagi, dan telah mula menghantar anak-anaknya ke PASTI, walaupun beliau menjadi pemimpin Umno. “Melihat keadaan di Sabah ketika itu, majoriti ahli-ahlinya (PAS) dari Semenanjung, maka terdetik di hati saya bahawa penyertaan saya akan membawa erti yang besar terutama dalam diri saya yang amat cintakan gerakan Islam,” getus Dr Datu Bandiri ketika mengenang penyertaan beliau dalam PAS. Pada 2001, beliau telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah menggantikan Haji Mohammad Abdullah, setelah menjadi Ketua Penerangan PAS Sabah (1999-2001).

Beliau mendapat pendidikan awal di Kota Belud sebelum ke Sekolah Menengah Syed Ahmad, Arau dan mendapat ijazah dalam bidang sejarah di USM. Beliau kemudiannya belajar al-Manaf International, Manila, Filipina sehingga mendapat MA dan PhD dari Louisiana State University. Setelah berkhidmat sebagai guru dan pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah, beliau terlibat dalam banyak kajian, penulisan, pembentangan kertas kerja tentang kajian kesusasteraan dan sejarah orang Melayu Iranun. Satu buku beliau, Iranun: Sejarah dan Adat Tradisi telah diterbitkan oleh DBP. Beliau aktif dalam kegiatan bahasa dan persuratan sehingga menjadi Yang Dipertua BAHASA Tawau dan Ahli Jawatankuasa BAHASA Sabah, selain turut menjadi Presiden Persatuan Bumiputera Iranun Sabah dan Pengurus Persatuan Usahawan Islam Malaysia.

Kerana sumbangan besar beliau dalam bidang persuratan, bahasa dan kebudayaan, beliau dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat Persuratan (D.Litt) oleh Sto Nino Collegio, Mindanao. Setelah berhenti dari DBP, beliau menyertai Felda sebagai Pegawai Sumber Manusia sehingga 1984 dan bersara pada 1999 sebagai Pengurus Besar Sabah Fish Marketing (SAFMA). Persaraan ini membolehkan beliau terlibat dengan PAS yang berakhir dengan kematian mengejut beliau dalam kemalangan jalan raya pada pagi 9 Ogos 2004.

Disusun oleh: Arkib PAS

08 Ogos 2016

08 Ogos 1955 : Sheikh Taqiyuddin Qandil, Murabbi PAS Seru Bina Masyarakat Dengan Islam

Pada hari ini dalam tahun 1955, akhbar Warta Negara telah menyiarkan seruan tokoh Islam terkenal di utara Semenanjung Tanah Melayu, Sheikh Taqiyuddin Qandil supaya orang Melayu membina masyarakat dengan Islam. Sheikh Taqiyuddin Qandil yang juga Murabbi PAS dianggap antara tokoh pendakwah yang progresif pada dekad 1950-an terutama di Perlis dan Kedah di mana beliau sentiasa mengajak umat Islam kembali kepada al-Quran dan Sunnah untuk mengembalikan kemuliaan bangsa yang beragama Islam. Pemikiran dan perjuangan beliau amat bertentangan dengan arus perdana pemikiran bangsa Melayu pasca Perang Dunia Kedua yang cenderung sama ada untuk mempertahankan faham kebangsaan sekular yang liberal pro penjajah atau menganut faham sosialisme yang anti penjajah. Sedangkan beliau menyeru umat ini kembali kepada Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Sheikh Taqiyuddin Qandil sebenarnya berasal dari Kaherah, Mesir. Beliau terpaksa berhijrah ke Tanah Melayu dan mendapat suaka politik negara ini sejak 1950, ekoran peristiwa pembunuhan as-Syahid Ustaz Hassan al-Banna pada 12 Februari 1949. Sheikh Taqiyuddin Qandil merupakan bekas Setiausaha Ikhwanul Muslimin Kaherah dan pernah menjadi Pengarah Penerangan Ikhwanul Muslimin Kaherah sebelum Presiden Gamal Nasir mengharamkan Ikhwanul Muslimin pada 1948. Di Tanah Melayu, beliau mula mengajar di Madrasah Alawiyah, Arau dan Maktab Mahmud, Kedah sebelum dilantik sebagai Nazir Sekolah-sekolah Agama Perlis. Pada 1955, beliau mengajar di Kolej Islam Malaya di samping turut menjadi pensyarah di 'Kursus Perguruan Islam' di Maahad Il Ihya as-Syariff, Gunung Semanggol. Dengan jasanya yang besar, beliau pernah dianugerahkan pingat yang membawa gelaran 'Tan Sri' oleh Kerajaan Persekutuan.

Sebagai seorang tokoh yang berpendidikan dari Universiti al-Azhar dan mendapat sentuhan tarbiyah dari Ustaz Hassan al-Banna, beliau sangat aktif berdakwah menyampai fikiran-fikiran yang progresif kepada orang Melayu terutama untuk memodenkan pendidikan agama bagi melahirkan umat rabbani, memperjuangkan kemerdekaan dan membentuk generasi ulul albab. Beliau pernah berselisih pendapat dengan Qadhi Kuala Kangsar, Haji Ghazali Abdullah, bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dalam isu hukum pancaragam pada 1955. Beliau mendukung pandangan-pandangan Ustaz Hassan al-Banna dalam soal politik dan tarbiyah, terutama usaha membentuk semula masyarakat, negara dan khalifah. Inilah yang tergambar dalam seruannya pada 8 Ogos 1955 bahawa Islam adalah agama yang membawa kemajuan kepada rakyat dan negara.

Antara peranan besar beliau terhadap PAS ialah memulakan tarbiyah model Ikhwanul Muslimin sejak 1954. Ketika berada di Maktab Mahmud, beliau menjadi murabbi kepada pergerakan pelajar PAS iaitu Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK) dan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS). Antara pimpinan PAS yang lahir gerakan tarbiyah beliau ialah Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki (bekas Wakil Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Ustaz Abu Bakar Hamzah (bekas Naib Yang Dipertua Agung PAS), Ustaz Jaiz Anwar (bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Prof Zulkifli Mohamad (bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS) dan Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor (bekas Presiden PAS). Melalui Ustaz Abu Bakar Hamzah selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1958-1962), dalam lawatan ke Kaherah pada 1958, PAS telah membina hubungan rasmi dengan Ikhwanul Muslimin. Pada 29 Disember 1964, Dewan Pemuda PAS telah secara rasmi menjadikan karya-karya Hassan al-Banna sebagai teks tarbiyahnya.

Disusun oleh: Arkib PAS

07 Ogos 2016

07 Ogos 2008 : Mursyidul Am PAS Persoal Forum Majlis Peguam Bahas Kesan Negatif Memeluk Islam

Pada hari ini dalam tahun 2008, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mempersoalkan tindakan Majlis Peguam yang bercadang menganjurkan satu forum awam bertajuk "Memeluk Islam" untuk membahaskan persoalan kesan negatif terhadap keluarga akibat memeluk Islam di negara ini. Menurut Menteri Besar Kelantan ini, persoalan memeluk Islam tidak perlu dibesarkan kerana telah berjuta-juta orang memeluk Islam sejak sekian lama, dan ia tidak menjadi masalah. Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz juga berkata, bahawa Majlis Peguam tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menganjurkannya dan ia tidak sewajarnya diteruskan. Pelbagai pihak termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Pekida, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan parti politik telah membantah forum yang dianggap akan mencetuskan hubungan tegang antara kaum dan agama.

Isu memeluk Islam ini adalah akibat gerakan yang dibuat oleh beberapa pihak yang membangkitkan kes-kes keluarga apabila salah seorang antara suami isteri memeluk Islam. Dalam isu ini, tiga kes rujukan yang ditimbulkan oleh mereka iaitu kes wanita Jerman yang berkahwin dengan dua lelaki Islam, kes R. Shubashini dan kes S. Shamala yang suami mereka telah memeluk Islam. Isu yang ditimbulkan oleh mereka adalah masalah perebutan anak dan juga jenazah. Majlis Peguam menganggap ia adalah masalah penguatkuasaan undang-undang. Tetapi pelbagai kesal kerana Majlis Peguam sangat membela hak-hak orang bukan Islam, tetapi meminggirkan secara halus hak-hak orang Islam.

Majlis Peguam merancang menganjurkan forum awam ini pada 9 Ogos 2008 di Pejabat Majlis Peguam, Lebuh Pasar, Kuala Lumpur dengan objektif untuk menjernihkan beberapa kekeliruan yang timbul dalam agama yang melibatkan bukan Islam tetapi membabitkan agama Islam. Mereka membariskan beberapa ahli panel dalam forum ini termasuk Dr Wan Azhar Ahmad (IKIM) serta tiga pengamal undang-undang iaitu Ravi Nekoo, R. Shanmuga dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla. Bekas Hakim Syarie, Dr Naim Mokhtar telah menarik sebagai panel, manakala Zarizana Abdul Aziz dari Pusat Bagi Perubahan Wanita sebagai moderator.

Mengulas tentang forum ini, Menteri Besar Kelantan itu pada 7 Ogos 2008 sependapat dengan kebanyakkan pemimpin NGO Islam bahawa forum ini bukan sahaja melibatkan sensitiviti agama, tetapi untuk memberikan imej buruk kepada Islam. Tuan Guru Haji Nik Aziz berkata, lebih baik menganjurkan forum antara agama untuk menilai ajaran agama mana yang lebih benar di antara Islam dengan agama bukan Islam. Ia lebih baik dan lebih bermanfaat, berbanding membangkitkan perkara remeh akibat seseorang memeluk Islam. Ketika forum ini diadakan pada 9 Ogos 2008, ia telah diserbu oleh lebih 3,000 demonstran yang menyebabkan ia terpaksa ditamatkan lebih awal.

Disusun oleh: Arkib PAS