Bukan mudah untuk kita menjadi ikhlas. Suatu ketika, saya ditanya oleh ayah saya, "Kamu masuk PAS ni, pergi mesyuarat ke sana sini, tak kan kamu tak dapat apa-apa elaun?".
Saya senyum dan faham terhadap soalan ayah. Beliau risaukan anaknya tak berduit, apatah lagi dengan keadaan kami yang telah berkeluarga. Saya pula, tidak pernah terfikir untuk meminta sesuatu Bahkan, duit yang diperolehi, biasanya diserahkan semula sebagai infak. Malu untuk saya ambil dengan amal islami yang tidak seberapa.
Perjuangan bukan mudah walaupun nampak seronok. Seorang pejuang boleh kalah dengan wang. Wang pula adalah keperluan.
KEIKHLASAN TERHADAP PERJUANGAN ISLAM
Keikhlasan adalah rahsia antara seorang
pejuang dengan Tuhannya. Ia pula menjadi sumber utama yang menentukan
nusrah (pertolongan) dalam mencapai kemenangan daripada Allah.
Keikhlasan seorang pejuang merupakan jambatan utuh antara dirinya dengan
Allah dan ini memudahkan urusan membina hubungan erat (taqarrub) yang
berterusan. Melalui hubungan erat inilah pula akan disalurkan
pertolongan dan kemenangan.
Masakan
tidak, kerana keikhlasan melahirkan kesungguhan bekerja dan bertugas
tanpa mengharapkan balasan atau imbuhan dunia yang sedikit. Kesungguhan
tersebut pula akan menghasilkan kualiti perjuangan yang tinggi malah
turut merningkatkan reputasi pejuang itu sendiri.
Keikhlasan
turut berfungsi sebagai formula yang sangat berkesan untuk membunuh
virus yang terbit dari sifat mazmumah (negatif) seperti:
1- Riya’ : bekerja untuk diperlihatkan kepada umum kononnya ia seorang yang rajin
dan tekun sedang prestasinya merosot jika tiada orang melihat aksinya.
2- U’jub : bangga diri kerana telah banyak memberi sumbangan kepada jamaah dan merasakan orang lain tidak sepertinya.
3- Hubbu Riyasah : cinta jawatan sehingga mendorong berlakunya lobi melobi, politik
cantas, gerakan sulit menjatuhkan rakan, membunuh karektor, fitnah) dan
sebagainya yang merosakkan keikhlasan beramal dengan amal Islami.
Tanpa
keikhlasan dalam perjuangan, biarpun sehebat mana pengaruh dan
publisiti yang berjaya diraih kesannya sangat memudaratkan jamaah.
Paling minima kesan yang bakal diterima ialah hilangnya keberkatan dan
kemanisan berjuang. Seterusnya mencetuskan pelbagai konflik dalaman yang
melambatkan perjalanan jamaah dan kemuncaknya ialah Allah swt
membatalkan jadual kemenangan yang telah dijanjikan-Nya.
Terdapat berberapa tanda keikhlasan dalam perjuangan Islam :-
Petanda Satu :
Nawaitu yang jelas dan tepat hanya kerana Allah, tidak kerana target
nak jadi ketua atau seumpamanya sehingga melanggar disiplin amal Jama’ie
atau membina imej diri sehingga merempuh sistem syura dalam amal
Islami.
“Sesungguhnya
amalan berasaskan niat dan sesungguhnya bagi setiap individu terpulang
kepada apa yang diniatkan, maka barangsiapa yang berhijrah kerana Allah
dan Rasul-Nya maka hijrahnya kembali kepada Allah dan Rasul-Nya dan
barangsiapa yang berhijrah kerana dunia (tujuan keduniaan) yang ingin
diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya maka
hijrahnya kembali kepada tujuan asal hijrah yang ia lakukan.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Nawaitu
yang betul sangat diperlukan oleh seorang pejuang kerana ia kelak akan
berfungsi sebagai senjata dan penangkis agar ia tidak gugur dari
perjuangan suci ini sekalipun diuji dan digoncang perasaannya. Hasil
nawaitu yang ikhlas ini mercerna 5 sifat positif bagi seorang pejuang
iaitu ;
1. Jiwa yang tenang
2. Rohani yang kuat
3. Istiqamah terhadap tugas
4. Semua tugas menjadi ibadat
5. Beroleh ganjaran dalam tugas
Petanda Dua :
Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan. Jawatan hanya menjadi alat
dan pengagihan tugas, bukan platform amal. Sikap hanya aktif semasa
memegang jawatan dan menghilangkan diri dikala tidak berjawatan adalah
sikap negatif yang menzahirkan ketidakikhlasan dalam perjuangan.
Contohilah Khalid ibn al-Walid yang menerima surat pemecatan di tengah
medan perang dari Amir al-Mukminin Umar al-Khattab, tetapi Khalid
al-Walid meneruskan perjuangan sehingga perang selesai, baharulah surat
itu diwartakan kepada umum.
Lantas
sahabat mempersoalkan kenapa Khalid al-Walid terus berperang walhal ia
tidak lagi menjadi ketua turus tentera waktu itu. Khalid al-Walid
mengemukakan jawapan yang cukup jelas mempamerkan keikhlasan seorang
pejuang bahawa ia berjuang dan berperang bukan kerana Umar tetapi kerana
Allah.
Petanda Tiga : Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran, kerana sikap ini bukan sahaja menyuburkan budaya At-Tanasuh (nasihat-menasihati) dikalangan anggota parti / jamaah malah
menyemarakkan semangat keikhlasan berjuang. Justeru mereka yang
memperjuangkan kepentingan peribadi dan merasakan hanya dirinya yang
betul, pasti tidak akan memiliki sikap tersebut.
“Agama
ialah nasihat, lantas kami bertanya; Bagi siapa? Rasulullah menjawab,
bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin muslimin dan orang-orang awam
mereka (Muslimin).”
[Riwayat Muslim]
Petanda Empat : Tidak
bermain alasan untuk mengelak diri dari aktiviti jamaah. Sebaliknya
gigih berikhtiar untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah dalam apa
jua keadaan sekalipun.
“Orang-orang
yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin
kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa
mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang
bertaqwa. Sesungguhnya
yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman
kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu.
Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.”
[Surah al-Taubah : 44 - 45]
Petanda Lima :
Bersedia menerima arahan dalam apa jua keadaan sungguhpun arahan itu
tidak bersesuaian dengan keinginan diri. Sanggup mengenepikan
kepentingan peribadi demi bukti sebuah keikhlasan.
Petanda Enam :
Prihatin terhadap keperluan jamaah. Memberi tumpuan penuh dan serius
terhadap jadual aktiviti dan keperluan semasa dengan rasa tanggungjawab,
tidak hanya menanti surat jemputan atau arahan. Rasa terpanggil untuk
menunaikan keperluan jamaah adalah sikap yang mempamerkan keikhlasan
seorang pejuang.
Petanda Tujuh :
Tolak ansur dalam mengendali gerak kerja dan masalah jamaah jua menjadi
cermin ke arah melahirkan jiwa yang ikhlas. Tabiat mementingkan diri
sendiri adalah jelas bertentangan dengan prinsip keikhlasan.
Petanda Lapan :
Menghormati generasi terdahulu sekalipun mereka serba kekurangan kerana
mereka sekurang-kurangnya menjadi mata rantai menyambung perjuangan
suci ini.
“Dan
orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa
dengan) berkata; Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa
saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah
Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap
orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat
Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”
[Surah al-Hasyr : 10]
Petanda Sembilan :
Post mortem dan muhasabah aktiviti yang telah dijalankan. Pejuang yang
ikhlas tidak bersikap sambil lewa terhadap aktiviti jamaah yang
dilaksanakan.
“Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan
suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri
melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya)
untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan):
Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi
Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”
[Surah al-Hasyr : 18]
Petanda Sepuluh :
Mengakui dan menginsafi kesilapan yang dilakukan agar ia tidak berulang
kembali. Pejuang yang ikhlas tidak teragak-agak dan malu untuk akui
kesilapan malah segera insaf dan bertaubat.
Petanda Sebelas :
Jaga rahsia jamaah, justeru ia suatu amanah yang mesti dipelihara oleh
setiap anggota dan pimpinan. Perbuatan membocorkan rahsia jamaah seperti
mendedahkan minit mesyuarat kepada mereka yang bukan ahli mesyuarat dan
umum adalah merupakan perbuatan khianat yang tidak sewajarnya dilakukan
oleh anggota atau peminpin jamaah.
Petanda Dua Belas :
Menepati keputusan dan ketetapan jamaah. Ia merupakan kewajipan jamaei
yang mesti dipatuhi. Mewujudkan jamaah dalam jamaah atau mesyuarat tidak
rasmi selepas mesyuarat rasmi untuk merubah keputusan jamaah dan
menyanggahinya adalah satu kesalahan serius dalam akhlak berjamaah.