16 Januari 2016

16 Januari 1957 : PAS Kelantan Dan Terengganu Susun Strategi Kuasai Terengganu

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1957, Badan Perhubungan PAS Kelantan dan Terengganu yang dipimpin oleh Mohd Asri Haji Muda selaku Pesuruhjaya telah mengadakan mesyuarat bagi menyusun dan merancang pergerakan organisasi PAS yang sekali gus meluaskan pengaruh PAS di Terengganu. Sebelum ini, semenjak 1954, Mohd Asri telah memimpin PAS Daerah Pantai Timur yang meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang, tetapi PAS belum berkembang di Terengganu.

Setelah PAS berjaya menyertai Pilihan Raya Umum 1955 di Kelantan dan Pahang, PAS telah mengecilkan wilayah pentadbiran Mohd Asri kepada Kelantan dan Terengganu sahaja mulai 1956. Hasilnya, pada 6 Julai 1956, PAS berjaya menubuhkan cawangan yang pertama di Terengganu dengan tertubuhnya PAS Cawangan Dungun pimpinan Tuan Guru Haji Zainal Abidin Aman. Berbeza dengan negeri lain, Terengganu adalah negeri yang terakhir di Semenanjung yang menerima pengaruh PAS. Tetapi pada akhir 1956, Terengganu telah menerima penghijrahan beberapa pimpinan utama PAS seperti Dr Haji Abbas Alias, Ustaz Zabidi Ali dan Ustaz Ahmad Azam Hanifah yang bertugas di Terengganu. Turut bersama PAS ialah beberapa bekas pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) seperti Tuan Guru Haji Abbas Mohamad dan Mohd Daud Abdul Samad, selain Su Mahmud Dato' Amar, anak bekas Menteri Besar Terengganu.

Bertolak dari perkembangan ini, Badan Perhubungan PAS Terengganu menyusun langkah meluaskan pengaruh PAS sehingga dapat ditubuhkan PAS Cawangan Kuala Terengganu (1956), Kemaman (1957), Besut (1957), Kuala Berang (1958) dan Kuala Terengganu Utara (1959). Perkembangan PAS berlaku dengan pesat mulai 1957 sehingga PAS mempunyai cawangan dan cabang di seluruh Terengganu menjelang Pilihan Raya Umum 1959.

Kesan dari perkembangan pesat ini, dalam Pilihan Raya Umum 1959, PAS telah berjaya memenangi 13 dari 24 kerusi DUN Terengganu, sedangkan Perikatan dan Parti Negara (PN) masing-masing mendapat tujuh dan empat sahaja. Ini membolehkan PAS membentuk kerajaan yang diketuai Mohd Daud Abdul Samad yang diangkat sebagai Menteri Besar pada 29 Jun 1959. PAS juga turut menguasai kerusi Dewan Rakyat di Terengganu apabila tokoh-tokoh utama PAS seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Khadijah Sidek dan Ustaz Hassan Adli yang masing-masing telah memenangi kerusi Parlimen Besut, Dungun dan Kuala Terengganu. Turut menang dengan kerjasama PAS ialah memimpin PN, Dato' Onn Jaafar di Kuala Terengganu, selain seorang lagi calon PAS, Harun Pilus yang menang di Hulu Terengganu.

Perancangan Badan Perhubungan PAS Kelantan dan Terengganu pada 16 Januari 1957 untuk meluaskan pengaruh PAS di Terengganu melalui gerakan pengukuhan organisasi ini telah berjaya mengembangkan pengaruh PAS sehingga Terengganu menjadi kubu terkuat PAS semenjak 1959 hingga kini.

Tiada ulasan: