19 Januari 2016

19 Januari 1993 : PAS Sikap Berkecuali Dalam Isu Imuniti Raja-raja Melayu

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1993, PAS telah mengambil sikap berkecuali di Dewan Rakyat dalam isu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan imuniti Raja-raja Melayu.Krisis Raja-raja Melayu ini berlarutan dari pergeseran Istana Kelantan dengan Kerajaan BN Kelantan yang membawa kepada kemenangan PAS-APU pada 21 Oktober 1990, diikuti oleh isu kereta Lambogini Diablo yang diimport oleh Sultan Kelantan pada 19 Mac 1992, hinggalah meletus isu antara Istana Johor dengan jurulatih hoki, Douglas Gomez pada akhir 1992.

Pergeseran antara Umno dengan Raja-raja Melayu ini telah menyebabkan wujud usaha untuk melucutkan kekebalan (imuniti) Raja-raja Melayu, yang kemudiannya dipersetujui oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Ulamak PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz atas asas imuniti tidak selari dengan hukum Islam. Namun begitu, Presiden Semangat 46, Tengku Razaliegh Hamzah menentangnya kerana menganggap ia akan melemahkan kedaulatan raja dan menjejaskan ketuanan Melayu.

Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 12 Disember 1992 telah menyokong usaha menghapuskan imuniti ini kerana Islam tidak membezakan sesiapa. Walau bagaimanapun, pada 13 Januari 1993, Majlis Syura Ulamak PAS dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil pendirian bahawa PAS menyokong penghapusan imuniti ini dan mengarahkan ahli-ahli Parlimen PAS supaya mengemukakan pandangan Islam di Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 18 dan 19 Januari 1993. Tetapi PAS juga mengambil sikap untuk mengundi di Dewan Rakyat mengikut pendirian Majlis Raja-raja yang bersidang pada 16 Januari 1993, di mana Sultan Kelantan telah menolak usul ini, begitu juga sikap Semangat 46.

Ekoran sikap Sultan Kelantan ini, pada 18 Januari 1993, Timbalan Presiden PAS telah berucap di Dewan Rakyat untuk menyokong usul tersebut menurut pandangan Islam, tetapi ketika Undian Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 1993 pada 19 Januari 1993, PAS telah mengambil sikap berkecuali untuk menjaga hubungan baik PAS dengan Raja-raja Melayu dan juga Semangat 46, terutama dalam konteks Kerajaan Kelantan yang diperintah oleh PAS.

Tiada ulasan: