14 Januari 2016

14 Januari 1956 : Jawatankuasa Politik PAS Ditubuhkan, Gariskan Dasar PAS Tentang Merdeka

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1956, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Politik PAS yang mempunyai peranan khusus untuk merangka dasar-dasar politik PAS terutamanya dalam menghadapi perjuangan kemerdekaan. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Dr Haji Abbas Alias, Yang Dipertua Agung PAS dan Abdul Hamid Syarif sebagai Setiausaha, manakala Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin, Prof Zulkifli Mohamad, Ustaz Othman Abdullah dan Musa Ma Jinu sebagai ahli-ahli.

Selepas Pilihan Raya Umum 1955, Perikatan telah menguasai Majlis Undangan Persekutuan dengan Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Ketua Menteri. Usaha menuntut kemerdekaan dipertingkatkan, dan PAS memainkan peranan untuk memastikan kedudukan Islam Dan ketuanan Melayu dijamin oleh Perlembagaan.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keempat pada 26-28 Disember 1955, Dr Haji Abbas telah menggariskan asas tuntutan kemerdekaan PAS, iaitu:

i. Merdeka tidak lewat dari 1959;
ii. Melayu sebagai kebangsaan tunggal dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi;
iii. Islam menjadi panduan pentadbiran negara berasaskan Al-Quran dan Sunnah; dan
iv. Menghapuskan jawatan Penasihat British.

Antara langkah penting yang dilaksanakan terhadap penegasan Dr Haji Abbas dalam memperjelaskan dasar politik tentang kemerdekaan ialah dengan menubuhkan Jawatankuasa Politik PAS. Jawatankuasa ini kemudiannya telah berjaya menyediakan memorandum 18 perkara pada 22 April 1956 bertajuk "Maklumat Jus Soli." Memorandum ini bertujuan untuk membantah tuntutan orang bukan Melayu supaya kerakyatan diberi secara jus soli (berdasarkan tempat lahir) kepada orang asing. PAS menyerahkan pandangannya ini kepada Pesuruhjaya Tinggi British, Penasihat-penasihat Inggeris, Raja-raja Melayu dan ahli-ahli Majlis Undangan Persekutuan.

Kedua, pada 14 Julai 1956, PAS telah menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Reid berkaitan cadangan PAS dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Cadangan Jawatankuasa Politik PAS ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 1 Jun 1956 sebelum diangkat kepada Suruhanjaya Perlembagaan itu.

Keberkesanan Jawatankuasa Politik PAS yang ditubuhkan pada 14 Januari 1956 ini telah membolehkan PAS mengemukakan gagasan yang kukuh dalam perjuangan kemerdekaan walaupun pandangan PAS gagal mempengaruhi Suruhanjaya Reid dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: