06 Januari 2016

06 Januari 1983 : Aduan Disiplin PAS Kelantan Terhadap Tindakan Datuk Asri Muda

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1983, PAS Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah membuat aduan tatatertib terhadap bekas Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Mohd Asri Haji Muda dan para penyokongnya kerana melakukan kegiatan memecahbelahkan PAS setelah beliau meletak jawatan pada 23 Oktober 1982.

Datuk Mohd Asri dan pengikutnya telah menyerang kepemimpinan ulamak PAS, walaupun para ulamak PAS bertegas supaya parti Islam ini mesti kekal bergerak berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Antara tindakan pengikut Datuk Mohd Asri ialah menubuhkan organisasi haram dalam PAS bagi menimbulkan perpecahan dalam parti.

Mereka telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak yang diketuai oleh Datuk Nik Man Nik Mohamad, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan selaku Pesuruhjaya Jawatankuasa Bertindak tersebut, selain Abdul Hamid Saleh (Tim. Pesuruhjaya), Mohamad Mahmud (Setiausaha), Datuk Ishak Lotfi Omar (Bendahari) dan Haji Abdul Rahman Simpol (Ketua Dewan Ulamak). Jawatankuasa Bertindak ini telah menganjurksn perhimpunan-perhimpunan untuk menyokong Datuk Mohd Asri dan mewujudkan 'parti dalam parti' yang merosakan perpaduan PAS.

Ekoran kegiatan parti dalam parti ini, PAS Kelantan telah membuat aduan tatatertib dan mengemukakan laporan penuh tentang kegiatan yang merosakan parti ini dan mencadangkan tindakan disiplin diambil. Pada 8 Januari 1983, Dewan Pemuda PAS Pusat yang dipimpin oleh Cikgu Mustafa Ali turut mengambil keputusan untuk membuat aduan yang sama.

Hasil dari Laporan Tatatertib PAS Kelantan pada 6 Januari 1983 ini, Jawatankuasa Tatatertib PAS pada 23 Januari 1983 telah mengambil tindakan tatatertib terhadap 13 orang ahli PAS di mana dua orang telah dipecat, lapan orang digantung keahlian termasuk Datuk Mohd Asri dan tiga yang lain diberi amaran. Akibat dari tindakan ini, Datuk Mohd Asri dan pengikutnya telah menubuhkan parti serpihan, Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) pada 2 Julai 1983 dan sekali gus membebaskan PAS daripada masalah dalaman.

Tiada ulasan: