21 Januari 2016

21 Januari 1999 : Kerjasama Dengan DAP Sebagai Strategi PAS Untuk Pilihanraya Umum Ke-10

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1999, Bendahari PAS Pusat yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Abdul Halim Abdul Rahman telah mendedahkan kepada media bahawa PAS akan membentuk kerjasama dengan parti-parti pembangkang termasuk DAP sebagai strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-10 yang jangka berlaku dalam tahun 1999. Sebelum ini, PAS tidak pernah membuat kerjasama politik dengan DAP terutama dalam pilihan raya.

Hubungan politik PAS-DAP mula terbentuk secara terbuka apabila PAS menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) pada 22 September 1998 untuk memperjuangkan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar kemanusiaan. Melalui hubungan dalam GERAK ini, ahli-ahli PAS mulai menerima DAP sebagai rakan politiknya. Setelah penubuhan Parti Keadilan National (PKN kini PKR) pada 4 April 1999, parti-parti pembangkang terdiri daripada PAS, DAP, PRM dan PKN telah mengatur kerjasama sehingga terbentuk Barisan Alternating (BA) pada 28 April 1999. 

Kenyataan peribadi Bendahari PAS pada 21 Januari 1999 ini pada mulanya menjadi polemik kerana manipulasi media yang mempersoalkan kerjasama PAS-DAP, tetapi telah dipertahankan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Menurut Mursyidul Am PAS itu, bahawa PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sanggup menerima dasar PAS termasuk DAP, malah dengan syaitan juga. Pandangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz disokong oleh pimpinan pembangkang, tetapi dijadikan isu oleh media kerana PAS kononnya mahu bekerjasama dengan syaitan.

Isu utama yang mencetuskan polemik dalam hubungan PAS-DAP ialah keengganan parti cauvinis Cina itu untuk menerima dasar Islam PAS, terutama matlamat PAS untuk menegakkan Negara Islam. Sejak awal memimpin DAP, Lim Kit Siang menolak konsep Negara Islam PAS sehingga Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Nor mempertegaskan pada 10 April 1999 bahawa matlamat utama PAS adalah menegakkan Negara Islam. Sedangkan Lim Kit Siang pada 24 April 1999 berkeras supaya kerjasama PAS-DAP hendaklah tidak membawa kepada menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam.

Bagi menjayakan strategi yang didedahkan oleh Bendahari PAS pada 21 Januari 1999 ini, PAS kemudiannya mengambil pendirian bahawa kerjasama BA adalah pakatan politik atas isu kemanusiaan ekoran penindasan politik yang berlaku sejak 1998, bukannya untuk menegakkan Negara Islam dengan mengambil model Half al-Fudhul. Tetapi PAS tetap bertegas bahawa Negara Islam kekal menjadi objektif utamanya, sedangkan pakatan BA hanya strategi jangka pendek PAS ke arah tersebut.

Tiada ulasan: