20 Januari 2016

20 Januari 1996 : PAS Terima Laporan Negatif Tentang Kerjasama Dengan Parti S46

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1996, PAS Pusat menerima laporan daripada Jawatankuasa Post Mortem Pilihan Raya Umum 1995 yang melaporkan bahawa wujudnya kesan negatif kepada PAS dalam kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), dan laporan tersebut telah mencadangkan supaya PAS bersendirian dalam Pilihan Raya akan datang. Jawatankuasa Post Mortem ini telah ditubuhkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 7 Mei 1995 untuk mengkaji secara menyeluruh prestasi PAS dalam Pilihan Raya Umum 1995 dengan diketuai oleh Cikgu Mustafa Ali.

Menurut laporan yang bertajuk "PAS dan Pilihan Raya: Satu Strategi," bahawa dalam Pilihan Raya Umum 1995, kerjasama PAS-PMS46 untuk memenangkan calon PAS bukan sahaja merosot, tetapi hampir tidak wujud di sesetengah negeri kerana parti serpihan Umno itu bukan sahaja tidak mempunyai jentera, tetapi mereka telah 'memperkudakan' PAS untuk kepentingan calon mereka.

Atas sebab itu, kebanyakkan PAS Negeri berpandangan lebih baik kerjasama ini ditamatkan dan menganggap PMS46 adalah liabiliti kepada PAS. Antara negeri yang PAS tidak mendapat kerjasama PMS46 kerana ketiadaan jentera ialah Pahang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Pulau Pinang. Pada umumnya, PMS46 hanya mempunyai pimpinan di peringkat Pusat dan Negeri sahaja, sedangkan organisasi Bahagian dan Cawangan telah lumpuh. Namun PMS46 tetap bertanding lebih banyak kerusi termasuk di tempat mereka tidak mempunyai jentera sama sekali, sekali gus menjadikan PAS sebagai jentera mereka.

Sebaliknya, di kerusi yang ditandingi oleh PAS, mereka tidak membantu dan tidak mempunyai jentera. Keadaan ini menyebabkan ahli-ahli PAS merasakan kerjasama ini telah membolehkan rakan politik memperalatkan PAS dan menjadi liabiliti kepada PAS.

Berasaskan dapatan kajian yang dibuat oleh Jawatankuasa Post Mortem ini, pada 20 Januari 1996, mereka mengemukakan laporan tersebut kepada PAS sebagai usulan dalam merangka strategi untuk Pilihan Raya Umum akan datang. Jawatankuasa ini mencadangkan supaya PAS menamatkan hubungan dengan PMS46 atas asas politik tersebut, tetapi Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Nor mempertegaskan bahawa kerjasama ini dibentuk berdasarkan syariat, dan dirombak juga berdasarkan syariat. Namun, kerana isu-isu yang berbangkit kemudiannya, pada 14 Julai 1996, hubungan dengan PMS46 telah diputuskan.

Tiada ulasan: