11 Januari 2016

11 Januari 2011 : Presiden PAS Nafi Laporan Akhbar Yang Memanipulasi Isu 'Negara Islam'

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2011, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menafikan dengan kekesalan terhadap laporan akhbar The Star berkaitan isu negara Islam yang dimanipulasikan untuk mengelirukan rakan-rakan PAS dalam Pakatan Rakyat. Penafian ini dibuat ekoran laporan The Star pada 10 Januari 2011 yang bertajuk "PAS won't bow to presure from any quater, says Hadi" yang dianggap oleh PAS sebagai tersasar dan tidak benar.

Pada asalnya, Presiden PAS dalam ucapannya di Majlis Suai Kasih anjuran PAS Titiwangsa pada 9 Januari 2011, telah menegaskan bahawa PAS melihat perkembangan yang sangat positif di kalangan rakan-rakan Pakatan Rakyat dalam memahami maksud Islam yang diperjuangkan oleh PAS. PAS bermaksud untuk melaksanakan Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang dipertahankan oleh semua parti Pakatan Rakyat.

Paradigma ini, menurut Presiden PAS, akan memperkukuhkan lagi kerjasama erat PAS dalam Pakatan Rakyat, bertepatan dengan semangat dalam dasar bersama yang dipersetujui melalui Dasar Bersama Muafakat Rakyat. Penegasan Presiden PAS ini adalah rentetan dari ucapan beliau dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua pada 19 Disember 2010 di Pulau Pinang, di mana PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini.

Walau bagaimanapun, The Star pada 10 Januari 2011 telah mendakwa bahawa PAS tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana parti dalam melaksanakan agenda negara Islam. Ini akan menimbulkan pergeseran parti-parti Pakatan Rakyat. Atas manipulasi media ini, pada 11 Januari 2011, Presiden PAS telah menyatakan kekesalannya dan menafikan laporan yang mengelirukan itu.

Tiada ulasan: