19 September 2010

Mencari Pelengkap Agama

Segala Puji bagi Allah Ta’ala, Nur Hazirah binti Tarmizi menerima taqdim saya sebagai bakal imam dan cintanya selepas Allah dan Rasulullah SAW pada hari ini. Segalanya bermula lebih kurang 8 minggu yang lalu.

22 Julai 2010 : Pra-Taqdim

22 Julai 2010, saya nekad. Pada waktu itu, saya baru sahaja selesai mengulangkaji subjek 'Strategic Management' yang diajar oleh Prof. Madya Azizah memandangkan peperiksaan pertengahan semester hampir bermula. Lantas, saya mengambil telefon bimbit dan terus menghubungi Nurul Iman untuk menyatakan hasrat.

"Enta serius ke?" nada Nurul Iman sewaktu itu antara tidak percaya dan adakalanya seperti sudah mengagak apa yang berlaku. Ternyata, jangkaannya tepat terhadap rakan baiknya itu yang bakal berbaitul muslim seperti dirinya. Saya mengangguk melalui talian walaupun panggilan yang dibuat bukanlah panggilan melalui video, tetapi sekadar mendengar suara menghela nafas. "Nanti enti tolong bagi tahu dia, ana tunggu tarikh".

Nurul Iman memang seorang yang boleh dipercayai. Saya yakin, petang itu juga, pasti mesej daripada saya ini akan sampai ke telinga beliau. Apatah lagi isu ini berkaitan jodoh pertemuan, sudah pasti ia tidak akan dilewat-lewatkan oleh seorang sahabat yang mengharap. Silap haribulan, jika saya lewat atau apabila Nurul Iman terlupa, "Maaf Iman, saya baru selesai taaruf dengan muslimin semalam dan saya terima seadanya". Melepas.

9 Ogos 2010 : Persiapan Majlis Ta'aruf

Pada 9 Ogos 2010, saya dihubungi semula oleh Nurul Iman mengenai proses Baitul Muslim saya dan muslimat itu. Pihak muslimat bersetuju untuk diadakan satu Majlis Taaruf secara ‘sirr’ (rahsia), asalkan tidak menganggu jadual kerja Jamaah. Sempat juga Nurul Iman berseloroh kepada saya, memberitahu keadaan muslimat sewaktu memaklumkan taqdim saya terhadapnya. Sedikit ketawa mengiringi penceritaan beliau apabila dia mengenangkan ‘keterkejutan’ sahabat baiknya itu. Bukan terkejut kerana soalan terlalu awal dan tidak sesuai untuk ditanya, tetapi ketidaksangkaan beliau tentang orang yang bakal ‘memetik bunga’ Puan Hashimah dan Encik Tarmizi adalah datang daripada saya, ‘rakan gaduh’ di dalam mesyuarat pimpinan persatuannya sendiri.

Kadang-kadang betul juga kata sesetengah cendiakawan, “Jika kita membenci seseorang secara berlebihan, boleh jadi orang yang dibenci itu akan disayangi suatu hari nanti, jika kita mencintai seseorang secara berlebihan pula, boleh jadi orang yang dicintai itu akan dibenci juga suatu hari nanti”. Walau apapun, sayanglah sahabat itu adalah semata-mata kerana Allah, bukan berlebih-lebihan kasih terhadap makhluk-Nya. Bagi saya, itulah sahaja jalan yang tidak membolak-balikkan hati dari membenci orang yang dicintai.

15 Ogos 2010 : Majlis Ta'aruf

15 Ogos 2010 adalah tarikh yang diberi untuk Majlis Ta'aruf. Beliau mencadangkan melalui Nurul Iman untuk menjadikan Ustaz Ahmad Fathi dan isterinya sebagai panel. Saya setuju. Lagipun, kredibiliti ustaz dalam menguruskan baitul muslim sahabat-sahabat kampus memang telah lama kami sedia maklum. Pasangan ustaz-ustazah dari Kelantan ini sebelum ini juga telah berjaya disatukan tanpa percintaan sebelum nikah melalui panel mereka (juga pasangan ustaz-ustazah), dan mereka berjaya membuktikan kebahagiaan rumahtangga mereka sehingga hari ini. Ini menambahkan keyakinan dan thiqah kami terhadap panel yang dilantik.

Majlis dicadang untuk diadakan di rumah Ustaz Fathi, Lubuk China, Melaka. Sepanjang majlis berjalan, soalan yang diajukan beliau lebih banyak kepada persediaan majlis perkahwinan berbanding sesi suaikenal yang biasanya ditanya bagi mana-mana pasangan yang menyertai Majlis Taa’ruf pertama kali. Ustaz Fathi tersenyum, barangkali dia dapat melihat tanda-tanda awal penerimaan pihak muslimat sebagaimana yang disedari oleh saya melalui gerak hati.

Saya seperti biasa, menganggap seolah-olah tidak menyedari apa-apa yang belaku terhadap apa-apa soalan yang diajukan. Tujuan saya satu, memastikan akses maklumat pihak muslimat terhadap saya telus, tidak ada unsur-unsur ‘bias’ yang biasa orang kata, "Semua lelaki itu berlakon sewaktu bercinta, nak tahu lelaki sebenar adalah dengan melihatnya selepas berkahwin".

Mungkin bagi beliau, seorang muslimin mempunyai berberapa ta’adib dan peraturan ikhtilat yang perlu dijaga, bukan lelaki biasa. Entah, ini sekadar sangkaan saya pada waktu itu. Saya tak pasti jika istilah lelaki dan muslimin memang ada beza dari sudut pandangan seorang muslimat.

“Ana tak ada apa-apa nak tanya dah, kak..” sapa beliau kepada Kak Zainu, isteri Ustaz Fathi. Ustaz Fathi mengajukan soalan kepada saya jika ada apa-apa soalan tambahan yang hendak diajukan. “Tak ada”, jawab saya secara ringkas.

Kebiasaannya, sekiranya tiada apa-apa soalan yang hendak diajukan, pihak panel akan meminta cadangan tarikh untuk memberi keputusan ta’aruf. "Dua bulan, boleh?"

Akal merenung jauh dari satu sudut, memikirkan kebarangkalian masa yang merubah fikiran. Saya yakin, masalah tidak timbul atas kepercayaan saya pada istisyarah dan pra-istikharah yang telah saya lakukan sebelum ini, apatah lagi bilamana sayalah yang memulakan. Hati sedikit gentar memerhati beliau dengan penuh berhati-hati terhadap ikhtilat yang terbatas. Mimik mukanya tenang, tidak ada tanda girang atau ‘hati berbunga’ seperti kebiasaan wanita yang ada bibit-bibit cinta. Mungkinlah itu sikap mujahidah yang sebenar. Mampu menahan mimik muka dari ditafsir pemuda yang mentaqdim. Setahu saya, bukan semua tulang kiri Adam mampu beradab sebegitu, apatah lagi di hadapan bakal suaminya.

Sebelum Majlis Taaruf kami berakhir, berberapa perjanjian dimeterai secara sukarela serta tanpa makluman. Kami seolah-olah telah meletakkan satu kesepakatan untuk mengikuti peraturan-peraturan baitul muslim sahabat-sahabat yang terdahulu. Tidak boleh meletakkan tanda ‘smiley’ pada sebarang mesej pesanan ringkas, tiada panggilan suara, dan had masa berkomunikasi tentang baitul muslim melalui mesej dengan sistem 7-7 (yang bermaksud ; had berkomunikasi terhad dari pukul 7.00 pagi hingga ke pukul 7.00 malam).

17 September 2010 : Natijah Ta'aruf

Pagi yang indah, angin Pantai Kundur, Melaka pada 17 September 2010 betiup-tiup sepoi bahasa, seolah-olah melayan jiwa-jiwa mutmai’nnah kami pada waktu itu. Lajnah Kebajikan dibawah kendalian Fatma Haniza dan Nur Shahidah telah mengadakan Rehlah bagi meraikan bakal-bakal graduan seperti kami. Pelbagai aktiviti dijalankan dengan lancar tanpa sebarang permasalahan rumit. Pada waktu itu juga, Ustaz Fathi dan isterinya, selaku tetamu jemputan turut hadir bagi meraikan. “Rasanya, masih belum 2 bulan, terlalu awal untuk di‘follow up’ keputusan”, saya bermonolog tak berbunyi. Mengharap tidak ada yang perasan jelingan saya waktu itu, saya merenung si muslimat itu dari jauh berhampiran sahabat baiknya,Iman. Rupanya, beliau juga sekali-sekala menjeling, tetapi terus berpaling malu-malu muslimah ‘syadid’, lantas menyorok senyuman dari pandangan saya. Taujihat ustaz Fathi berkenaan 'Alumni Jama'ah & Alam Rumahtangga’ pada waktu itu, “Mungkin segan bila mengingat diri dah ‘dipetik’ ”, saya mengagak.

Seusai program tamat, semua muslimin ditugaskan mengemas barang-barang perkhemahan dan mengutip sampah sarap. Ustaz Fathi sangat baik orangnya, sudi bersama kami menyelesaikan tugas. Semasa mengutip longgokan sampah terakhir di suatu sudut pokok, Ustaz Fathi menegur dengan senyuman, “ Fariq, bila enta nak belanja ana ni?”. Entah kenapa maksud ‘belanja’ Ustaz Fathi itu, seolah-olah dapat mengagak apakah maqasid sebenar bagi pertanyaan itu. “Akhi, bukan lagi sebulan ke?”, saya tersengih menafsir perkataan ‘belanja’ dengan berlapik.

Positif. Itu maksud Ustaz Fathi yang sebenar ingin disampaikan. “Tak semestinya, syeikh. Bergantung pada muslimat. Ana tak tanya enta sebab bukan ana yang ‘matching’kan entum, tapi enta yang taqdim. Jadi tunggu jawapan beliau je pun dah cukup”.

Alhamdulillah. Moga perancangan Baitul Muslim kami diredhai Allah untuk selamanya.