19 Januari 2026

Krisis Kebankrapan Rakyat Malaysia 2025 : Realiti Dan Harapan

Di sebalik angka kebankrapan yang dibentangkan di dalam Program Literasi Kewangan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (“MdI”) baru-baru ini, kita perlu mengakui bahawa ada individu dan keluarga yang bekerja dengan masa depan yang teruji.

Sehingga Disember 2025, fakta menunjukkan bahawa lebih 100,000 rakyat Malaysia telah diisytiharkan bankrap. Daripada jumlah ini, Selangor merekodkan kes kebangkrapan tertinggi (hampir 20,000 kes), mengatasi negeri-negeri lain termasuk Johor, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang. Ini adalah satu isyarat jelas tekanan kewangan yang semakin menekan rakyat di bandar dan pinggir bandar.

Lebih meruntun hati, MdI melaporkan bahawa golongan guru merupakan kumpulan paling ramai terlibat dalam kes kebankrapan. Mereka ini bukan golongan yang culas, bukan juga golongan yang boros tanpa sebab. Mereka adalah insan yang mendidik anak bangsa, yang memikul amanah negara, namun akhirnya terjerat dalam beban kewangan yang melebihi kemampuan hidup mereka.

Data MdI juga turut menunjukkan bahawa 46.83% kes kebankrapan berpunca daripada pinjaman peribadi, diikuti pinjaman perniagaan (19.43%), pinjaman perumahan (8.21%) dan sewa beli kenderaan (8.30%). Angka ini menceritakan satu realiti yang pahit bahawa akses mudah kepada pinjaman (khususnya bagi golongan berpendapatan tetap) telah menjadi ‘pedang bermata dua’ jika tidak disertai dengan pengurusan kewangan yang kukuh dan perlindungan kewangan sistemik yang mencukupi.

Walaupun begitu, Dasar Peluang Kedua yang diperkenalkan oleh MdI telah menyaksikan 200,000 individu telah dilepaskan daripada status bankrap sepanjang tahun 2025. Namun, tanpa menafikan kelebihan dasar yang diperkenalkan, Kerajaan juga perlu berani menilai semula dasar yang bersifat mendidik. Institusi kewangan perlu memikul tanggungjawab sosial yang lebih besar. Masyarakat harus dibimbing untuk membina budaya kewangan yang lebih berdisiplin dan saling menyokong. Kita tidak mahu ada rakyat yang dilepaskan dari kebankrapan di satu pintu, tetapi rakyat baharu terus ditolak masuk ke dalam perangkap hutang di pintu yang lain.

Punca utama kebankrapan masih didominasi oleh pinjaman berbentuk peribadi (seperti kemudahan kad kredit, Buy Now Pay Later, dsb.) khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan tetap seperti penjawat awam. Ini bukan berlaku dalam ‘vakum’. Ia berlaku dalam suasana kos sara hidup yang meningkat, tangga gaji yang tidak berubah kepada yang lebih baik, dan sistem kredit yang terlalu mudah meluluskan pinjaman tanpa kawalan mencukupi.

Oleh itu, dasar yang dilaksanakan hendaklah bertujuan untuk melindungi sebelum menghukum, mendidik sebelum meminjamkan dan memulihkan sebelum meminggirkan. Kita mesti memastikan bahawa di Malaysia, selain memastikan tiada rakyat yang dibiarkan jatuh sendirian dalam permasalahan ini hanya kerana mereka gagal sekali dalam hidup, dasar yang mengecilkan risiko kebankrapan juga perlu diimplementasikan dalam masyarakat. Sebuah negara yang benar-benar kuat bukan diukur melalui angka pertumbuhan semata-mata, tetapi melalui keupayaannya menjaga yang paling rapuh dengan penuh ihsan dan keadilan.

Tiada ulasan: