30 Jun 2016

30 Jun 1996 : PAS Setuju Putuskan Hubungan Dengan Parti Melayu Semangat 46

Pada hari ini dalam tahun 1996, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah sebulat suara bersetuju supaya PAS memutuskan hubungan dengan parti serpihan Umno, PMS46 setelah Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor memberikan keyakinan bahawa pemutusan ini tidak akan melumpuhkan kedudukan PAS di Kelantan. Hubungan PAS dengan PMS46 yang dibina sejak akhir 1988 telah mulai retak selepas Pilihan Raya Umum 1995 ekoran tindakan PMS46 menuntut kuota Exco Kerajaan Negeri parti Berjasa untuk mereka, selain bertindak menyokong calon DAP dalam perlantikan Ketua Pembangkang. Sejak itu, hubungan kedua-dua parti mulai dilandai konflik dan krisis.

Walaupun PAS masih membantu PMS46 dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Gua Musang yang ditandingi oleh Presiden PMS46, Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) pada 29 Ogos 1995, bibit kerenggangan telah timbul kerana pemimpin utama PAS tidak datang berkempen ekoran berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-41 pad 25-27 Ogos 1995. Sebelum itu, pada 16 Julai 1995, PAS telah menolak cadangan Ku Li supaya semua parti pembangkang, termasuk DAP bergabung bagi mengukuhkan barisan pembangkang, sebaliknya PAS hanya bersetuju supaya pembahagian kerusi dibuat awal untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Konflik sebenar timbul apabila anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan dari PMS46, Nik Mustapha Nik Loding menentang arahan kerajaan supaya persembahan kesenian dan hiburan tidak diadakan di sebelah malam dalam satu ekspo yang diadakan di Kota Bharu, yang kemudian mengundang campur tangan Timbalan Presiden PMS46, Datuk Dr Rais Yatim pada Oktober 1995. Setelah itu timbul pula beberapa isu yang melibatkan istana seperti penswastaan air kepada Kelantan Water Sendirian Berhad (KWSB), perlantikan Pengarah YIK dan projek pembangunan tebing Sungai Kelantan oleh syarikat Adorna Holding Sdn Bhd.

Ekoran isu-isu ini, PAS Pusat pada 14 Oktober 1995 telah dicadangkan untuk menyemak semula hubungan dengan PMS46, dan pada 20 Januari 1996, PAS Pusat menerima laporan yang menyimpulkan PMS46 sebagai liabiliti kepada PAS. Pada 2 Februari 1996, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mencabar PMS46 supaya mengkaji semula hubungan dengan PAS ekoran tindakan ahli-ahli mereka memboikot majlis angkat sumpah Ahli Majlis MPKB pada 30 Januari 1996. Sebaliknya, Ketua PMS46 Kelantan, Dato' Rozali Isohak meminta rundingan kedua-dua pihak diadakan.

Pada 19 Februari 1996, Ku Li telah mendedahkan bahawa PMS46 akan menghadiri majlis ulang tahun Umno ke-50 pada 11 Mei 1996, diikuti oleh pengakuan beliau untuk menyertai semula Umno pada 13 April 1996. Pada 7 April 1996, sekali lagi timbul isu program hiburan ekspo di Pasir Pekan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan yang membawa krisis ini kepada campur tangan istana. Pada 7 Mei 1996, sekali lagi Ku Li mengumumkan bahawa akan menyertai Umno selepas beliau berjumpa Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Ekoran hubungan kedua-dua parti telah begitu tegang, pada 5 Mei 1996, PAS Kelantan mengarahkan pimpinannya tidak membuat kenyataan terbuka kepada media, dan Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-42 pada 14-16 Jun 1996 tidak menyentuh soal hubungan dengan PMS46. Sebaliknya, beliau menyeru umat Islam bersatu atas nama Islam dan meninggalkan perjuangan Melayu. Setelah muktamar ini selesai, PAS Pusat yang mempertimbangkan krisis PAS-PMS46 pada 30 Jun 1996 telah bersetuju supaya PAS memutuskan hubungan dengan serpihan Umno itu. Pada 13 Julai 1996, Majlis Syura Ulamak PAS bersetuju dengan pendirian Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, diikuti oleh pemutusannya bermula 14 Julai 1996.

Disusun oleh: Arkib PAS

29 Jun 2016

29 Jun 1959 : Mohd Daud Abdul Samad Menteri Besar Terengganu Pertama Selepas Merdeka

Pada hari ini dalam tahun 1959, ADUN Setiu, Mohd Daud Abdul Samad telah dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang pertama selepas merdeka ekoran kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Negeri Terengganu yang pertama pada 1959. Sebelum itu, tokoh- tokoh yang pernah mengetuai Kerajaan Negeri Terengganu pra merdeka ialah Dato' Sri Amar Ngah Muhammad Yusof (1911-1940), Tengku Omar Othman (1942-1945) Dato' Da Omar Mahmud (1942-1945), Tengku Muhamad ibni Sultan Ahmad Muadzam Shah (1945-1949) dan Dato' Seri Setia Raja Kamaruddin Idris (1949-1959). Selepas merdeka, Menteri Besar dipilih oleh rakyat.

Dalam pilihan raya umum yang diadakan pada 16 Mei 1959 ini, PAS telah memenangi 13 daripada 24 kerusi DUN, manakala Perikatan mendapat tujuh dan Parti Negara empat. Pada 24 Jun 1959, PAS Terengganu telah menamakan dua tokoh iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah (Jeram) dan Setiausaha PAS Terengganu, Mohd Daud Abdul Samad (Setiu) sebagai calon Menteri Besar Terengganu, tetapi Sultan Terengganu memilih Mohd Daud Abdul Samad. Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada 29 Jun 1959.

Mohd Daud yang berasal dari Jalan Pasir Akar, Jerteh, Besut telah dilahirkan pada 3 Julai 1924 dalam sebuah keluarga petani yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan. Setelah mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kampung Raja, beliau memasuki Sekolah Melayu Pasir Puteh, sebelum mengikuti pendidikan Inggeris di Sultan Ismail School (SIC sekarang) di Kota Bharu. Dalam bidang agama, beliau belajar di Madrasah al-Balaghul Mubin di Pasir Puteh dan menamatkan pengajian di Madrasah Diiniyah Ittifakiyah di Jerteh pada zaman Jepun. Dengan latar pendidikan Melayu, Inggeris dan agama ini, Mohd Daud berkhidmat sebagai pegawai di Jabatan Kerja Raya Terengganu sehingga 1952.

Selepas itu, beliau mula aktif dalam politik. Penglibatan awal beliau dalam KMM semasa berada di Pasir Puteh, telah mendorong beliau menyertai PKMM pada 1945 dan dilantik sebagai Setiausaha PKMM Ranting Jerteh. Pada 1955, beliau menyertai PRM selaku Ketua PRM Jerteh. Ekoran penyertaan Dr Burhanuddin al-Helmy ke dalam PAS pada akhir 1956 dan tertubuhnya PAS Cawangan Besut pada 1957, Mohd Daud telah menyertai PAS. Beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Besut (1958-1962), Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu (1959-1961) dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PAS Terengganu (1959), sebelum terpilih sebagai ADUN Setiu. Selain itu, Mohd Daud juga pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu (1961 dan 1966-1972), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1966-1972), Ahli Parlimen Besut (1964-1969) dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Selatan (1969-1974).

Era kepemimpinan Mohd Daud sebagai Menteri Besar telah diwarnai oleh krisis sehingga tiada pencapaian besar yang dibuat. PAS yang memimpin kerajaan minoriti terpaksa berhadapan dengan krisis kepemimpinan ekoran perebutan jawatan dalam kerajaan, pergolakan dalam parti dan peranan pembangkang (Perikatan dan Parti Negara) dalam menggugat Kerajaan PAS Terengganu. Akhirnya, pada 30 Oktober 1961, Kerajaan PAS Terengganu tumbang dalam usul undi tidak percaya dan Mohd Daud berundur dari jawatan Menteri Besar mulai 8 November 1961. Jawatan terakhir beliau dalam kerajaan ialah sebagai Ahli Jawatankuasa Penapis Filem (1974-1978) dan selepas itu beliau tidak aktif lagi dalam politik kerana mengidap sakit jantung. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 23 Oktober 1982 dengan meninggalkan seorang isteri, Ustazah Fatimah Ismail yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu (1973-1989).

Disusun oleh: Arkib PAS

28 Jun 2016

28 Jun 1999 : Mursyidul Am PAS Pertegaskan Negara Islam Tetap Jadi Agenda Perjuangan PAS

Pada hari ini dalam tahun 1999, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mempertegaskan bahawa perjuangan menegakkan negara Islam yang melaksanakan syariat Allah tetap menjadi agenda utama PAS. Beliau membuat penegasan demikian setelah satu kenyataan beliau tentang kesediaan PAS menggugurkan perkataan negara Islam pada 24 Jun 1999 bagi membolehkan manifesto bersama Barisan Alternatif (BA) dikeluarkan. Isu negara Islam ini menjadi pertikaian antara PAS dan DAP dalam BA.

Sejak terbentuknya BA pada 28 April 1999 yang menggabungkan PAS, PKN, PRM dan DAP, kesemua parti ini berusaha untuk meningkatkan kerjasama mereka dalam menegakkan keadilan di Malaysia. Antara strategi utama mereka ialah untuk tidak bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya umum. Isu utama dalam pakatan politik ini ialah hubungan PAS dan DAP yang tidak pernah terjalin sejak kedua-dua parti ditubuhkan kerana perbezaan ideologi. Pada 21 Februari 1999, pemimpin DAP, Lim Kit Siang mempertegaskan untuk menolak agenda negara Islam dalam pakatan pembangkang ini. Bagi mengurangkan pergeseran tersebut, Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 11 Mei 1999 menyatakan kesediaan PAS untuk bekerjasama dengan DAP walaupun parti itu berkeras menolak negara Islam.

Hasil daripada sikap mengalah PAS ini, akhirnya BA berjaya dibentuk, tetapi masalah berbangkit semula apabila DAP terus berkeras untuk menuntut menandingi 48 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum 1999 dan mempertegaskan sikapnya pada 18 Jun 1999 untuk tetap menolak kerajaan Islam. Kemarahan DAP terhadap PAS lebih parah apabila Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengemukakan dua rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk menghalang umat Islam dari murtad dan untuk mengawal propaganda agama bukan Islam ke atas umat Islam pada sidang Parlimen bermula Jun 1999.

Sikap keras DAP terhadap negara Islam dan perlaksanaan syariat hampir menggagalkan agenda BA, tetapi ia dijayakan oleh keterbukaan PAS apabila Mursyidul Am PAS mengambil ibrah dari peristiwa Perjanjian Hudaibiyah untuk menyatakan kesediaan PAS pada 24 Jun 1999 bagi menggugurkan slogan negara Islam. Walaupun keterbukaan ini menguntungkan BA, tetapi PAS terpaksa menghadapi kritikan ahli-ahlinya sendiri sehingga Mursyidul Am PAS pada 28 Jun 1999 mempertegaskan cita-cita PAS untuk menegakkan negara Islam tidak pernah berubah, tetapi PAS hanya mengambil strategi untuk tidak menggunakan slogan negara Islam bagi membolehkan pembangkang bersatu di bawah satu manifesto "Ke Arah Malaysia Yang Adil."

Keterbukaan PAS ini kemudiannya berhasil membawa kemenangan di Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum yang diadakan pada 29 November 1999. Namun begitu, apabila Kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu mahu meneruskan agenda perlaksanaan syariat secara demokrasi di dua negeri tersebut, ia telah menimbulkan kemarahan DAP. Pemimpin DAP, Karpal Singh, memberi amaran supaya PAS tidak menggunakan kemenangannya untuk melaksanakan syariat, sedangkan Lim Kit Siang melahirkan kebimbangan jika kemenangan PAS akan memaksa Umno melaksanakan agenda Islamimasinya di peringkat Pusat. Akibat sikap melulu DAP ini, akhirnya pada 7 Julai 2002, PAS mengambil pendirian untuk tidak lagi tunduk kepada desakan parti cauvanis itu sehingga DAP pada 22 September 2001 bertindak keluar dari BA kerana membantah hasrat PAS menegakkan negara Islam.

Disusun oleh: Arkib PAS

27 Jun 2016

27 Jun 1964 : Pilihan Raya Kecil Parlimen Bachok Ekoran Kematian Prof. Zulkifli Muhammad

Pada hari ini dalam tahun 1964, telah belangsung Pilihan Raya Kecil Parlimen Bachok ekoran kematian ahli parlimennya, Prof Zulkifli Mohamad pada 6 Mei 1964. Prof Zulkifli yang juga Timbalan Yang Dipertua Agung PAS telah memenangi semula kerusi Bachok dalam Pilihan Raya Umum Kedua pada 25 April 1964, kemudiannya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Gambang, Kuantan pada 5 Mei 1964 sebelum sempat mengangkat sumpah. Ekoran kematian ini, satu pilihan raya kecil diadakan pada 27 Jun 1964.

Prof Zulkifli yang merupakan pemimpin nombor dua PAS sejak akhir 1956 telah memenangi kerusi Parlimen Bachok dalam Pilihan Raya Umum 1959, dan mempertahankannya pada 1964. Beliau yang merupakan lepasan Universiti al-Azhar dianggap antara ahli parlimen terbaik di Malaysia ketika itu. Walaupun berasal dari Kuala Kangsar, Perak, PAS telah mencalonkan beliau di Bachok supaya beliau dapat berperanan di Dewan Rakyat. Kematian beliau pada 6 Mei 1964 dianggap satu kehilangan besar kepada penduduk Bachok.

Bagi menghadapi pilihan raya kecil ini, PAS telah menamakan Guru Besar Sekolah Menengah Izzuddin, Ipoh, Ustaz Abu Bakar Hamzah sebagai calonnya. Ustaz Abu Bakar Hamzah yang dilahirkan di Perlis pada 1925 adalah lepasan Madrasah Alawiyah, Arau dan Madrasah al-Huda, Pulau Pinang sebelum mengasaskan Perintis Akademi Islam di Pulau Pinang pada 1950. Beliau pernah menjadi pegawai polis (1946-1950) dan pegawai zakat Perlis, sebelum mengajar di Madrasah al-Akhlak al-Islamiyah, Masjid Tinggi.

Dalam politik, Ustaz Abu Bakar Hamzah yang merupakan bekas Ketua Pemuda Umno Perlis telah menyertai PAS pada 1955. Sebelum itu, beliau juga adalah Yang Dipertua Parti Nahdatul Ulamak yang ditubuhkan di Perak pada 1954. Setelah menyertai PAS, beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1958-1962), Setiausaha Jabatan Penerangan PAS Pusat (1960-1962) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1962-1964). Pada 1958, beliau mewakili PAS ke Persidangan Pemuda Afro-Asia di Kaherah dan mengambil kesempatan mengunjungi pimpinan Ikhwanul Muslimun di sana. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mewujudkan hubungan rasmi PAS-Ikhwanul Muslimun, termasuk menjadikan karya Hassan al-Banna sebagai teks tarbiyah PAS mulai 1963.

Dengan latar belakang beliau yang baik, termasuk boleh berbahasa Arab dan Inggeris dengan lancar, selain menguasai bahasa Cina dan Jepun, PAS telah melihat beliau setanding dengan keintelektualan Prof Zulkifli. Ustaz Abu Bakar Hamzah juga pernah belajar di Kolej Islam Malaya di bawah bimbingan Prof Zulkifli pada awal 1950-an. Dengan pencalonan Ustaz Abu Bakar Hamzah ini, pengundi di Bachok berpeluang memilih seorang wakil rakyat yang berkemampuan melanjutkan legasi Timbalan Presiden PAS itu.

Dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada 27 Jun 1964 ini, Ustaz Abu Bakar Hamzah telah berjaya memperolehi 11,900 undi mengalahkan calon Perikatan, Abdul Ghani Sulaiman yang mendapat 8,661 undi dengan majoriti 3,239 undi. Dengan kemenangan Ustaz Abu Bakar Hamzah ini, PAS telah mengekalkan kerusi Parlimen Bachok sehingga 1969 dan berjaya membawa isu-isu penting ke Dewan Rakyat.

Disusun oleh: Arkib PAS

26 Jun 2016

26 Jun 1977 : Mesyuarat Agung Tahunan PAS Bertukar Nama Menjadi Muktamar Tahunan PAS

Pada hari ini dalam tahun 1977, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah mengeluarkan pemakluman kepada seluruh PAS Negeri tentang perubahan nama mesyuarat agung PAS dari Mesyuarat Agung Tahunan PAS kepada Muktamar Tahunan PAS yang akan diguna pakai mulai Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-23 di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 23-25 Julai 1977. Perubahan nama ini adalah lanjutan daripada keputusan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-22 pada 5-6 Ogos 1976 yang menbuat pindaan terhadap Perlembagaan PAS. Pindaan ini kemudiannya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 21 Jun 1977.

Semenjak PAS ditubuhkan, PAS menggunakan nama mesyuarat agung untuk semua perhimpunan tahunannya iaitu mulai 1953. Sebelum itu, tiga perhimpunan ke arah menubuhkan PAS dikenali Persidangan Alim Ulamak iaitu pada 21-23 Februari 1950 di Muar dan 23 Ogos 1951 di Kuala Lumpur. Persidangan di Kuala Lumpur ini menubuhkan Persatuan Ulamak Malaya dan persatuan ini mengadakan Persidangan Persatuan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil pada 24 November 1951 yang menukar nama persatuan ini kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). PAS mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya kali pertama pada 3 Januari 1953. Sejak itu, seluruh himpunan tahunan PAS dikenali sebagai Mesyuarat Agung Tahunan PAS.

Pindaan Perlembagaan PAS yang diluluskan pada 21 Jun 1977 iaitu sebulan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-23 yang dijadualkan pada 23-25 Julai 1977 telah membolehkan ia dikenali sebagai Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-23. Turut terlibat dalam perubahan nama ini ialah Mesyuarat Agung Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat di peringkat Pusat dan Negeri. Namun begitu, mesyuarat agung tahunan di peringkat Kawasan, Dewan-dewan Pemuda dan Muslimat Kawasan serta Cawangan kekal dikenali sebagai Mesyuarat Agung Tahunan.

Perubahan nama ini mempunyai kaitan dengan kesedaran Islam yang semakin meluas ketika ini di seluruh dunia. Penglibatan kepemimpinan PAS dalam beberapa persidangan Islam antarabangsa sepanjang 1970-an yang biasanya dikenali sebagai muktamar Islam, telah memberi inspirasi kepada PAS untuk menggunakan istilah yang lebih Islamik dalam organisasinya. Lebih ketara lagi, ekoran kemasukan pimpinan baru di kalangan ulamak haraki dalam kepemimpinan PAS mulai 1975 seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Hassan Shukri, Ustaz Nakhaie Ahmad dan lain-lain telah meluaskan pengaruh gerakan Islam dalam PAS. Ketika pindaan Perlembagaan PAS 1973 dibuat dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-22, cadangan untuk menukar perkataan Mesyuarat Agung kepada Muktamar telah diterima dan diluluskan.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-23 telah mencipta sejarah kerana inilah kali pertama ia dikenali sebagai Muktamar Tahunan PAS. Surat Setiausaha Agung PAS kepada Setiausaha-setiausaha PAS Negeri pada 26 Jun 1977 yang memaklumkan perubahan ini telah melakar sejarah baru mesyuarat agung PAS. Walaupun muktamar ini diadakan dalam suasana politik kepemimpinan PAS sedang berkrisis ekoran isu Dato' Mohamad Nasir di Kelantan, namun PAS tetap mempertegaskan komitmennya untuk menegakkan negara Islam dan PAS sanggup berpecah dengan BN jika gabungan parti-parti itu melanggar perjanjian dengan PAS. Sejak dari Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-23 ini sehingga hari ini, persidangan tahunan PAS dikenali sebagai Muktamar Tahunan PAS.

Disusun oleh: Arkib PAS

25 Jun 2016

25 Jun 1989 : PAS Bekerjasama Dengan Angkatan Dalam Pilihanraya Kecil DUN Teluk Pasu

Pada hari ini dalam tahun 1989, telah berlangsung Pilihan Raya Kecil DUN Teluk Pasu, Terengganu yang menyaksikan calon PAS, Ustaz Harun Taib telah berjaya mengalahkan calon BN, Abdul Rahman Mohamad dengan majoriti 141 undi. Pilihan raya kecil ini diadakan dalam keadaan Umno sedang menghadapi kemelut perpecahan ekoran pengharaman Umno pada 4 Februari 1988 dan serpihannya telah menubuhkan parti S46. S46 kemudian membentuk pakatan politik dengan serpihan PAS, Berjasa dalam Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Sejak akhir 1988, Angkatan berusaha membentuk kerjasama politik dengan PAS.

Selepas pengharaman Umno dan pendaftaran Umno Baru, tokoh-tokoh Team B Umno yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah telah mengisytiharkan perang kepada BN dan membentuk parti serpihan, S46. Dalam tempoh ini telah berlaku tiga pilihan raya kecil iaitu Johor Bahru (Ogos 1988), Parit Raja (Oktober 1988) dan Ampang (Januari 1989) di mana serpihan Umno ini memberikan saingan sengit kepada calon BN, termasuk kejayaan mereka mempertahan kerusi Parlimen Johor Bahru yang dikosongkan dan ditandingi semula oleh Datuk Shahrir Abdul Samad. Kemunculan S46 yang disokong oleh pengasas-pengasas Umno telah menggugat kedudukan Umno-BN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan yang dijangka pada tahun 1990.

Memanfaatkan kesempatan ini, sejak Oktober 1988, PAS telah mengatur langkah untuk mendekati serpihan Umno tersebut sebagai satu strategi politik. Pada 23 Disember 1988, Tengku Razaliegh dan Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor dalam satu majlis makan malam di Kelana Jaya. Ketika kerjasama PAS-Angkatan mulai positif, PAS terpaksa berhadapan dengan penentangan ahli-ahlinya sendiri yang membentuk Kumpulan Islah di Kelantan dan juga sekumpulan ahli PAS di Kuala Selangor dan Parit Buntar. Ketika PAS sedang berhadapan dengan penentangan ini, belaku kematian ADUN Teluk Pasu, Ismail Yusof pada April 1989.

Pada 20 Mei 1989, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengarahkan PAS Terengganu untuk mengadakan kerjasama dengan S46 dalam menghadapi pilihan raya kecil yang diadakan pada 25 Jun 1989 ini. Hasil kerjasama ini, calon PAS telah berjaya mendapat 3,671 undi mengalahkan calon BN yang mendapat 3,530. Kejayaan PAS dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Pasu telah berjaya mengukuhkan usaha menjalinkan kerjasama PAS-Angkatan. Hasil dari perkembangan ini, pada 20 Ogos 1989, Hamim telah bertindak keluar dari BN dan menyertai Angkatan. Dalam Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990, pakatan PAS-Angkatan telah berjaya merampas semula Kelantan dari BN.

Disusun oleh: Arkib PAS

24 Jun 2016

24 Jun 2010 : Politik Murahan UMNO Kaitkan PAS Dengan Jemaah Islamiyyah

Pada hari ini dalam tahun 2010, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan isu Jemaah Islamiyah (JI) yang cuba dikaitkan dengan PAS sebagai satu gimik politik murahan Umno. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendakwa polis telah mengusir 10 anggota JI tetapi belum ada tangkapan ISA yang dibuat. Tan Sri Musa mendakwa JI telah mulai aktif semula menggerakkan kader mereka di beberapa universiti tempatan. Media pro Kerajaan BN telah cuba mengaitkan isu JI ini dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

JI adalah sebuah pertubuhan Islam yang didakwa sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat. Pertubuhan yang ditubuhkan oleh Ustaz Abu Bakar Basyir pada 27 Julai 2008 ini dikatakan berpusat di Indonesia dan mempunyai hubungan dengan kumpulan Islam Moro, MILF dan Abu Sayaf, selain Rajah Sulaiman Movement (RSM) dan juga al-Qaeda. Kumpulan ini mulai terkenal dan dianggap pengganas ekoran pengeboman Bali pada 12 Oktober 2002. Sejak tahun 2000, ahli kumpulan ini telah ditahan di Filipina, Singapura dan Indonesia, di mana beberapa rakyat Malaysia termasuk Dr Azahari Husin dan Nordin Mat Top dikatakan terlibat sama.

Pada Oktober 2000, Timbalan Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menghadiri satu Kongres Makasar di Sulawesi, Indonesia. Kongres Islam dikatakan bertujuan menyatukan tindakan para mujahidin dalam perjuangan menegakkan syariat Islam. Kongres yang berlangsung sebelum Peristiwa 11 September 2001 ini turut dihadiri oleh Ustaz Abu Bakar Basyir, pemimpin JI dan Agus Dwikarna, pemimpin Laskar Jundullah ketika mereka belum diisytiharkan sebagai pengganas. Kongres anjuran Universitas Hassanudin, Makasar ini dikatakan menjemput Timbalan Presiden PAS kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Terengganu yang sedang berusaha melaksanakan syariah.

Di sebalik isu ini, pada Jun 2009, seorang Menteri Persekutuan dikatakan mengadakan pertemuan sulit dengan pemimpin Israel di Paris. Isu hubungan Malaysia-Israel berlanjutan hingga 29 Mei 2010, apabila seorang ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) telah mendedahkan penglibatan syarikat Yahudi, Apco Worldwide sebagai perunding Kerajaan Malaysia dan slogan 1Malaysia didakwa ditiru dari Israel. Turut menggemparkan negara ketika ini adalah isu kapal selam, kecurian enjit jet, royalti petroleum Kelantan, judi bola, kerugian Felda dan lain-lain. Keadaan Kerajaan BN telah tersepit dengan isu yang bertalu-talu sehingga memaksa BN mencari isu baru untuk mengalih tumpuan rakyat.

Ketika isu hubungan Malaysia dengan negara haram Yahudi sedang diperkatakan dengan meluas, tiba-tiba Ketua Polis Negara mengejutkan rakyat dengan isu JI di Malaysia. Media massa kemudiannya mengaitkan Presiden PAS dengan JI atas sebab kehadiran beliau dalam kongres di Makasar yang turut dihadiri oleh Ustaz Abu Bakar Basyir. Mengulas perkara ini, Mursyidul PAS pada 24 Jun 2010 telah menyifatkannya sebagai gimik politik Umno untuk menutup isu hubungan dengan Israel. Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengatakan sejak dahulu Umno menuduh pemimpin PAS terlibat dengan keganasan dan menahan mereka di bawah ISA. Tetapi kerajaan tidak pernah membuktikannya, melainkan untuk menjadi isu politik murahan sahaja.

Disusun oleh: Arkib PAS

23 Jun 2016

23 Jun 2002 : Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor Meninggal Dunia

Pada hari ini dalam tahun 2002, Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor yang juga Ketua Pembangkang telah meninggal dunia di Hospital UKM, Cheras setelah mengalami komplikasi jantung akibat pembedahan yang dilakukan pada 10 Jun 2002. Beliau terkena serangan jantung ketika menghadiri satu seminar tentang perlaksanaan hudud di Terengganu pada 11 Mei 2002 telah dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu sebelum beliau menghadiri Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-48 pada 31 Mei hingga 2 Jun 2002 di Putik, Kota Bharu. Pada 8 Jun 2002, beliau menjalani pemeriksaan di Hospital UKM sebelum membuat pembedahan saluran jantung pada 10 Jun 2002 yang menyebabkan beliau diserang stroke dan tidak sedarkan diri.

Ustaz Fadzil Mohd Noor yang dilahirkan di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah pada 13 Mac 1937 merupakan cicit kepada ulamak terkenal, Tuan Guru Haji Idris al-Jarumi atau lebih dikenali sebagai Tok Sheikh Jarum. Beliau mendapat pendidikan di Maktab Mahmud, Alor Setar (1951-1959) dan Universiti al-Azhar, Mesir (1963-1967) dalam bidang syariah sebelum menjadi pensyarah UTM sehingga 1978. Selepas bersara dari dunia akademik beliau terlibat dalam kepemimpinan PAS sepenuh masa. Beliau yang lahir dari tarbiyah PAS sejak 1954 telah menjadi ahli PAS sebaik sahaja pulang dari Mesir pada 1967.

Bakat kepemimpinan beliau telah menonjol sejak di Maktab Mahmud lagi apabila menjadi pemimpin pelajar peringkat Alor Setar dan Kedah, selain turut terlibat dalam Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) sebelum ke Mesir pada 1963. Di Mesir, beliau memimpin Persatuan Melayu Mesir (PMM) sebagai Timbalan Presiden. Sejak pulang ke Malaysia, beliau telah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) (1974-1976), Setiausaha Perkim Kedah (1973-1975), Timbalan Presiden ABIM (1974-1978) dan memangku jawatan Presiden ABIM ketika Anwar Ibrahim ditahan ISA (1975-1977).

Penglibatan aktif beliau dalam PAS bermula 1978 apabila beliau menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum menentang Datuk Senu Abdul Rahman. Mulai 1979 beliau mula menjadi Yang Dipertua PAS Kuala Kedah dan Ahli Badan Perhubungan PAS Kedah. Beliau kemudian dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1978-1979), Naib Yang Dipertua Agung PAS (1979-1982), Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (1982-1989) dan Presiden PAS mulai 1989. Beliau turut menjadi ADUN Bukit Raya (1982-1999), ADUN Anak Bukit (1999-2002) dan Ahli Parlimen Pendang (1999-2002). Pada 1999, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Ustaz Fadzil terkenal dengan politik tahaluf siyasinya telah berjaya menggerakkan pembangkang melalui pakatan politik Angkatan Perpaduan Ummah (1989-1996) dan Barisan Alternatif (1999-2008). Beliau juga mengetuai gerakan rakyat di bawah Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang ditubuhkan pada 22 September 1998 ekoran penahanan ISA Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan kematian beliau pada 23 Jun 2002, Timbalan Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu telah mengambil alih jawatan Presiden PAS dan juga Ketua Pembangkang.

Disusun oleh: Arkib PAS

22 Jun 2016

22 Jun 1999 : PAS Kelantan Tidak Terancam Walaupun Tengku Razaliegh Pimpin UMNO Kelantan

Pada hari ini dalam tahun 1999, Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap perlantikan bekas Presiden PMS46, Tengku Rezaliegh Hamzah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan bukanlah satu ancaman besar kepada PAS, khususnya Kerajaan PAS Kelantan setelah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) berpecah ekoran pembubaran PMS46 pada 18 Ogos 1996. Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno melantik Tengku Razaliegh sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan dalam usaha mereka merampas Kelantan dari PAS pasca Angkatan.

PAS berjaya membentuk kerajaan di Kelantan pada 21 Oktober 1990 hasil kerjasama politik PAS-Angkatan. Angkatan adalah gabungan parti-parti PMS46, Berjasa, Hamim dan Kimma yang dibentuk pada 1989. Walau bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum 1995, hubungan PAS dan PMS46 mulai retak dan pemimpin serpihan Umno itu membubarkan parti mereka pada 18 Ogos 1996, sedangkan PAS mengekalkan kerjasama dengan Berjasa dan Hamim. Pada 2 September 1998, Perdana Menteri telah bertindak memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan diikuti oleh pemecatan beliau dari Umno sehingga berlaku gerakan Reformasi dan penubuhan Majlis Gerakan Rakyat Malaysia (GERAK) pada 22 September 1998 yang dipimpin oleh PAS. Melihat perubahan politik ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 20 Jun 1999 telah mengumumkan perlantik Tengku Razaliegh sebagai Ketua Umno Kelantan.

Tengku Razaliegh Hamzah atau lebih terkenal dengan panggilan Ku Li merupakan kerabat diraja Kelantan yang terkenal kerana peranan beliau merampas semula Kelantan dari tangan PAS pada 1978. Sejak pulang dari England pada 1962, nama Ku Li telah menonjol dalam politik dan juga pembangunan ekonomi. Pada 1967, beliau dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan sehingga 1984. Dalam tempoh ini, dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Kewangan, beliau telah mencaturkan konflik dalam Kerajaan BN Kelantan yang dipimpin oleh PAS antara 1974 hingga akhir 1977. Pada 11 Mac 1978, BN berjaya menguasai Kelantan dengan strategi politik Ku Li. Walau bagaimanapun, pada 1988, beliau yang tewas dalam pemilihan Presiden Umno 1987 telah mula mendekati PAS sehingga terbentuk kerjasama PAS-Angkatan kemudiannya. Ku Li juga dikatakan arkitek yang menjatuhkan Umno di Kelantan pada 1990.

Umno melihat penyertaan semula Ku Li ke dalam Umno seperti yang diumumkan oleh Dr Mahathir pada 8 Jun 1996 dan kenyataan Ku Li pada 5 Julai 1999 tentang kesediaan membantu Umno menumbangkan PAS di Kelantan, sebagai peluang untuk mengulangi peristiwa 1978. Jika Ku Li boleh berperanan pada 1978 dan 1990 dalam mengubah kerajaan di Kelantan, Umno berharap Ku Li boleh mengulanginya pada Pilihan Raya Umum 1999. Di sebalik sikap optimis Umno melalui perlantikan Ku Li ini, pada 22 Jun 1999, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan mempertegaskan bahawa kedudukan PAS tidak terancam dengan perlantikan Ku Li tersebut. Telahan Menteri Besar Kelantan itu benar kerana dalam Pilihan Raya Umum pada 29 November 1999, PAS menang besar di Kelantan apabila memenangi kesemua 41 kerusi yang ditandinginya.

Disusun oleh: Arkib PAS

21 Jun 2016

21 Jun 1960 : PAS Hantar Ustaz Abu Bakar Hamzah Damaikan Kemelut PAS Terengganu

Pada hari ini dalam tahun 1960, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan untuk menghantar Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Hamzah ke Terengganu bagi menyelesaikan krisis kepemimpinan yang timbul dalam parti dan kerajaan sejak Jun 1959. Krisis yang timbul ini telah menggugat kedudukan Kerajaan PAS Terengganu yang dibentuk pada 29 Jun 1959 setelah PAS memenangi Pilihan Raya Negeri Terengganu 1959. Kerana beberapa isu berkait perlantikan Menteri Besar Terengganu, PAS Terengganu telah mengalami krisis yang berpanjangan sehingga hujung 1961.

Kejayaan PAS memenangi 13 daripada 24 kerusi DUN Terengganu telah membolehkan PAS membentuk kerajaan di Terengganu di mana pada 24 Jun 1959, PAS telah bersetuju menamakan dua calon iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah dan ADUN Setiu, Mohd Daud Abdul Samad sebagai calon Menteri Besar, tetapi Sultan Terengganu telah memilih Mohd Daud Abdul Samad. Beliau yang mengangkat sumpah pada 29 Jun 1959 telah berjanji akan mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar yang dikatakan akan diserah kepada Ustaz Ahmad Azzam.

Selepas Pilihan Raya Umum Pertama berakhir pada pada 19 Ogos 1959 di mana PAS memenangi empat daripada lima kerusi Parlimen di Terengganu, telah timbul bantahan Cawangan-cawangan PAS terhadap Ustaz Ahmad Azzam dalam isu pemilihan calon. PAS Cawangan Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun bukan sahaja membantah Pesuruhhaya PAS itu, tetapi turut memboikot Badan Perhubungan PAS Terengganu. Pada 16 Oktober 1959, mereka telah bertindak menubuhkan Jawatankuasa Darurat PAS Terengganu yang dipengerusikan oleh Wan Hussein Azmi Abdul Kadir. Apabila PAS Pusat mengiktiraf Jawatankuasa Darurat PAS Terengganu ini pada 25 Oktober 1959, maka Ustaz Ahmad Azzam bukan lagi ketua PAS di Terengganu, yang menyebabkan beliau mengancam kemungkinan Kerajaan PAS Terengganu akan jatuh. Ekoran itu, pada 7 Mei 1960, PAS Pusat telah melantik semula Ustaz Ahmad Azzam sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu. Pada 20 Mei 1960, timbul pula krisis yang baru apabila Speaker DUN Terengganu yang juga ADUN Marang, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar mengkritik pimpinan Kerajaan Negeri yang asyik berebut jawatan tetapi tidak mempedulikan usaha membela rakyat. Ini menyebabkan PAS Cawangan Dungun bertindak memecat keahlian ADUN Marang itu pada 29 Mei 1960.

Pada 20 Mei 1960 juga, PAS Terengganu telah bertindak untuk tidak melantik Pesuruhjayanya, Ustaz Ahmad Azzam sebagai anggota Suruhanjaya Penyusunan Semula Kerajaan Terengganu, sehingga beliau disifatkan tidak lagi mendapat kepercayaan ahli-ahli PAS Terengganu. Bertindak terhadap isu ini, Ustaz Ahmad Azzam telah mendesak supaya Jawatankuasa Kerja Agung PAS bertindak segera untuk melantik Timbalan Menteri Besar Terengganu, yang menyebab timbul krisis baru dalam kepemimpinan kerajaan.

Untuk meredakan keadaan ini, pada 13 Jun 1960, Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohammad telah menghantar Ustaz Othman Abdullah, Mohd Asri Haji Muda, Ahmad Abdullah Perai dan Ustaz Amaluddin Darus ke Terengganu untuk menyelesaikan krisis bagi mengelakkan Kerajaan PAS Terengganu tumbang. Bagi menyelamatkan Kerajaan PAS Terengganu ini, pada 21 Jun 1060, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menghantar Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga Setiausaha Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Hamzah dengan tujuan mengambalikan muhibbah, membuang yang keruh, mengambalikan yang jernih, mewujudkan perdamaian yang bersih dan memperkemaskan PAS Terengganu.

Dalam laporannya, Ustaz Abu Bakar Hamzah memaklumkan beliau berjaya memastikan 12 ADUN PAS akan kekal mempertahankan Kerajaan PAS Terengganu, tetapi Ustaz Ahmad Azzam akan keluar parti jika isu Timbalan Menteri Besar tidak diselesaikan segera. Bagi mengukuhkan semula kerajaan, pada 28 Jun 1960, PAS Pusat mengisytiharkan pemecatan Ustaz Mohd Taib Sabri sebagai tidak sah. Ternyata usaha PAS Pusat ini tidak berkesan apabila Ustaz Ahmad Azzam pada 27 Jun 1960 meminta PAS Pusat menyusun semula Kerajaan PAS Terengganu, memecat Ustaz Mohd Taib Sabri atau mengisi segera jawatan Timbalan Menteri Besar, atau beliau akan keluar dari PAS. Akhirnya, setelah pelbagai usaha gagal, pada 15 Julai 1960 beliau telah bertindak keluar dari PAS sehingga membawa kepada kejatuhan Kerajaan PAS Terengganu pada 30 Oktober 1960.

Disusun oleh: Arkib PAS

20 Jun 2016

20 Jun 1995 : PAS Cadang Kerajaan Pusat Tubuhkan Segera Universiti Di Kelantan

Pada hari ini dalam tahun 1995, Ahli Parlimen PAS Kawasan Tumpat, Ustaz Wan Mohd Jamil Wan Mahmood telah mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menyegerakan pembinaan universiti di Kelantan untuk meningkatkan kemudahan pendidikan tinggi di negeri yang diperintah oleh PAS itu. Ustaz Wan Mohd Jamil membangkitkan perkara ini dalam Mesyuarat Pertama Parlimen Pertama Penggal Kesembilan Dewan Rakyat. Beliau mengemukakan soalan bertulis kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak tentang status universiti yang dijanjikan oleh BN dan tapak universiti yang telah diluluskan sejak lebih 10 tahun lalu.

Isu penubuhan universiti di Kelantan telah berbangkit semula semasa kempen Pilihan Raya Umum 1995 dalam usaha BN menawan semula Kelantan. Mereka menjadikan cadangan penubuhan universiti awam di Kelantan sebagai manifesto BN Kelantan, ekoran tindakan Kerajaan PAS Kelantan menubuhkan semula institusi pendidikan tinggi Islam, Maahad Dakwah wal Imamah pada 1 Jun 1994.

Cadangan penubuhan universiti di Kelantan telah menjadi isu sejak 1978 apabila BN mahu menawan Kelantan. Mereka telah berjanji untuk menubuhkan universiti di Kelantan jika dapat mengambil alih Kelantan dari PAS. Walau bagaimanapun, setelah BN mengambil alih Kelantan pada 11 Mac 1978, Kerajaan BN hanya meluluskan pengambilalihan tapak universiti di Tangok, Bachok tanpa membina universiti tersebut. Sebaliknya, pada 1 April 1981, Kerajaan BN Kelantan telah menyerahkan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri yang ditubuhkan oleh Kerajaan PAS Kelantan pada Oktober 1965 kepada Universiti Malaya untuk dijadikan cawangan Akademi Pengajian Islam universiti tersebut.

Apabila PAS mengambil alih semula Kelantan pada 21 Oktober 1990, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Dakwah wal Imamah untuk menggantikan YPTIK. Pada 1 Ogos 1999, Maahad Dakwah wal Imamah telah dinaikkan taraf dan dikenali sebagai Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Kini KIAS merupakan sebuah pusat pendidikan tinggi Islam yang terkemuka setanding dengan YPTIK, sedangkan Universiti Malaya telah menjadikan bekas YPTIK sebagai Pra Akademi Pengajian Islam yang setaraf dengan pengajian matrikulasi atau asasi sahaja.

Dalam jawapan bertulis Menteri Pendidikan kepada Ahli Parlimen Tumpat pada 20 Jun 1995, Datuk Seri Mohd Najib telah memberi tahu Dewan Rakyat bahawa Kerajaan Pusat tidak bercadang untuk menubuhkan universiti di Kelantan, walaupun Ustaz Wan Mohd Jamil telah membangkit tentang tapak universiti yang telah diluluskan sejak 10 tahun dahulu. Sebaliknya, Menteri Pendidikan menjelaskan bahawa kerajaan akan memfokuskan untuk mengembangkan universiti-universiti awam sedia ada. Jawapan Menteri Pendidikan ini jelas memperlihatkan pembohongan manifesto BN, sedangkan PAS terus berusaha memajukan KIAS untuk menjadi sebuah kolej universiti. Menyedari tindakan progresif Kerajaan PAS Kelantan ini, bagi menjayakan usaha BN menguasai semula Kelantan selepas 2004, akhirnya pada 31 Mac 2006, Kerajaan Pusat telah mengumumkan penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk membuktikan janji mereka.

19 Jun 2016

19 Jun 2009 : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Mahu PAS Tamatkan Isu Kerajaan Perpaduan

Pada hari ini dalam tahun 2009, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengadakan pertemuan dengan Dato' Dr Haron Din (Timbalan Mursyidul Am PAS), Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin (Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS) dan Ustaz Ahmad Awang (Ahli Majlis Syura Ulamak PAS merangkap Pesuruhjaya PAS Perak) di Rumah Sri Kelantan, Jalan Stonor, Kuala Lumpur kerana membincangkan isu kerajaan perpaduan (UG) yang hangat diperkataan. Dalam pertemuan ini, Mursyidul Am PAS itu telah mengarahkan supaya isu UG ditamatkan kerana ia telah dimanipulasikan oleh media dalam suasana Pilihan Raya Kecil Manek Urai yang akan berlangsung pada 15 Julai 2009.

Isu UG ini menjadi hangat semula selepas kematian Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaakob pada 22 Mei 2009. Sebelum itu, dalam sidang media pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55 di Shah Alam pada 5 Jun 2009, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mempertahankan idea UG yang dikemukakan oleh beliau pada Februari 2009 sebagai langkah terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik negara. Pandangan beliau ditolak oleh Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa yang menganggapnya sebagai tidak menguntungkan parti dalam satu kenyataan media yang lain pada hari yang sama. Pada 6 Jun 2009, Presiden PAS pula mendakwa idea ini telah dikemukakan dan dipersetujui oleh Majlus Pimpinan Pakatan Rakyat (PR), tetapi pemimpin PKR dan DAP menafikan di luar mesyuarat.

Gagasan UG ini asalnya ditimbulkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi setelah rancangan Kerajaan 16 September 2008 gagal ekoran keengganan PAS menyokong kerajaan minoriti Islam. Pendirian Presiden PAS ini telah menimbulkan kemarahan 'penyokong Kerajaan 16 Sept. 08' sehingga mewujudkan dua kem dalam kepemimpinan PAS. Dalam satu temuramah yang disiarkan olrh tabloid Siasah pada 1-7 Mac 2009, Presiden PAS mencadangkan agar ditubuhkan sebuah kerajaan perpaduan yang melibatkan semua parti politik kerajaan dan pembangkang seperti Kerajaan B.J Habibie di Indonesia pada 1998. Menurut Presiden PAS, UG ialah sebuah konsep negara tanpa pembangkang dan bila tiba pilihan raya setiap parti boleh bertanding seperti biasa, di mana parti-parti pembangkang perlu menggunakan peluang untuk untuk membaiki sistem pilihan raya agar tidak disalah guna oleh BN.

Pemimpin PAS yang menyokong Kerajaan 16 Sept. 08 telah melancarkan fitnah dengan mendakwa ia adalah "Kerajaan Perpaduan PAS-Umno," walaupun berkali-kali diperjelas oleh Presiden PAS. Akibatnya, pada 21 April 2009, Presiden PAS telah menarik balik cadangan UG kerana ahli-ahli PAS belum memahaminya. Tetapi pada 5 Jun 2009, walaupun beliau menarik balik cadangan UG, tetapi mempertahankan ia sebagai langkah terbaik untuk menstabilkan politik negara dan mengukuhkan pembangkang.

Pendirian Tuan Guru Haji Abdul Hadi ini telah mendapat tentangan keras Penyokong Kerajaan 16 Sept. 08 dan juga pemimpin DAP, tetapi Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak pada 7 Jun 2009 menyatakan keterbukaan Umno terhadap cadangan Presiden PAS itu. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sejak 9 Jun 2009 telah digunakan oleh penentang Presiden PAS untuk menyerang idea UG sehingga beliau menyuruh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menyertai Umno. Ekoran itu, pada 10 Jun 2009, Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar telah menjelaskan bagi pihak PAS Pusat bahaw tiada sebarang kerjasama antara PAS dan Umno. Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Harun Taib pada 18 Jun 2009 pula memperjelaskan UG ialah perpaduan semua parti termasuk PKR dan DAP untuk memerintah, bukannya perpaduan PAS-Umno. Keadaan bertambah hangat apabila 10 Ahli Parlimen PAS pada 10 Jun 2009 menolak cadangan UG tersebut.

Krisis yang timbul ini akhirnya memaksa Mursyidul Am PAS mengadakan pertemuan pada 19 Jun 2009 dengan Timbalan Mursyidul Am PAS dan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS untuk membolehkan satu pendirian tentang UG dibuat dan isu ini dihentikan. Pads 22 Jun 2009, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah bertemu dengan Jawatankuasa Harian PAS Pusat untuk menetapkan pendirian tersebut. Pada hari yang sama, Majlis Pimpinan PR bertemu di Bangunan Parlimen untuk mengambil pendirian serupa, diikuti oleh keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 28 Oktober 2009 untuk menutup isu UG tersebut.

Namun di sebalik pendirian-pendirian tersebut, Penyokong Kerajaan 16 Sept. 08 terus menyerang dan memfitnah Presiden PAS kononnya PAS akan bergabung dengan Umno atau menyertai BN yang berlanjutan sehingga Jun 2015. Walaupun gagasan Presiden PAS ditolak, tetapi pada 26 Januari 2014, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencadangkan kerajaan Konsensus Nasional melibatkan PR dan BN, diikuti oleh cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada 23 Mac 2015 supaya Kerajaan Campuran dibuat antara PR dengan BN, di mana cadangan-cadangan mereka menyerupai cadangan Presiden PAS.

Disusun oleh: Arkib PAS

18 Jun 2016

18 Jun 1995 : PAS Minta Penjelasan Daripada Tengku Razaliegh Kerana Membelakangkan Pendirian Angkatan

Pada hari ini dalam tahun 1995, PAS telah memutuskan untuk bersemuka dengan Presiden PMS46 bagi membincangkan tindakan parti itu membelakangkan pendirian Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dalam isu perlantikan Ketua Pembangkang di Parlimen. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengarahkan Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor supaya bertemu dengan pemimpin utama PMS46 itu pada 19 Jun 1995 sebelum PAS membuat keputusan berkait status hubungan kedua-dua parti tersebut. Isu ini telah menjadi titik mula krisis antara PAS dan PMS46 selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum 1995.

Selepas Pilihan Raya Umum 1999, PAS mendapat enam kerusi dan PMS46 tujuh kerusi Dewan Rakyat, manakala DAP pula mempunyai sembilan kerusi. PBS yang mempunyai lapan kerusi di Dewan Rakyat, pada 18 Mei 1995 telah mencadangkan supaya pemimpin Angkatan yang menggabungkan PAS, PMS46, Berjasa, Hamim dan Kimma mengetuai pembangkang kerana Angkatan mempunyai 13 kerusi. Pada 6 Jun 1995, Tengku Razaliegh telah menarik diri dari dicalonkan, dan PAS mencalonkan Timbalan Presidennya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Sebelum itu, pada 4 Jun 1995, PAS telah memaklumkan kepada Tengku Razaliegh tentang pencalonan Tuan Guru Haji Abdul Hadi setelah Presiden PMS46 enggan memegang jawatan itu.

Walau bagaimanapun, ketika pengundian dimulakan pada 7 Jun 1995 antara calon Angkatan, Tuan Guru Haji Abdul Hadi dengan calon DAP, Lim Kit Siang, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Zahir Ismail pada 15 Jun 1995 mengumumkan Lim Kit Siang terpilih ekoran sokongan PBS dan PMS46. Tindakan PMS46 menyokong calon DAP adalah sikap tidak setia kawan setelah dipersetujui supaya PAS mewakili Angkatan dalam pemilihan Ketua Pembangkang.

Bertolak dari sikap PMS46 ini, PAS mula mengkaji hubungannya dengan parti itu kerana sejak Pilihan Raya Umum 1995 ada beberapa isu tercetus yang telah menjejaskan hubungan kedua-dua parti seperti isu perlantikan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di mana PAS telah menyerahkan kuota Berjasa kepada PMS46 dan juga isu perjanjian bertulis antara PAS dengan Angkatan berkait dasar-dasar kerajaan yang dituntut oleh PMS46. Dengan berlakunya isu perlantikan Ketua Pembangkang ini, PAS pada 18 Jun 1995 telah mengambil sikap untuk bersemuka dahulu dengan pemimpin tertinggi PMS46 sebelum pendirian PAS diputuskan.

Pada 19 Jun 1995, Presiden PAS telah bersemuka dengan Tengku Razaliegh untuk mendapat penjelasan tentang tindakan PMS46 tersebut. Antara sebab PAS memilih jalan berunding dengan PMS46 ialah kerana peranan parti itu dalam memenangkan PAS di Kelantan dan PAS tidak mahu memulakan perpecahan. PAS tidak mahu PMS46 kembali kepada Umno kerana ia akan mengukuhkan semula parti kebangsaan sekular itu. PAS berpegang supaya jika perpecahan ini berlaku, biarkan kerana dimulakan oleh PMS46, di mana ia berakhir apabila parti itu akhirnya mengumumkan untuk dibubarkan dan bergabung semula dengan Umno. Ekoran itu, PAS mengalihkan isu dalam pertemuan pada 19 Jun 1995 daripada membincangkan tindakan PMS46 dalam pemilihan Ketua Pembangkang kepada isu petisyen pilihan raya dan isu-isu semasa, yang menyebabkan krisis ini reda seketika.

Disusun oleh : Arkib PAS

17 Jun 2016

17 Jun 2011 : Pemuda PAS Serah Bantahan Kepada Utusan Malaysia Kerana Karikatur Hina Hukum Islam

Pada hari ini dalam tahun 2011, Dewan Pemuda PAS Pusat telah menghantar bantahan kepada Ketua Pengarang Utusan Malaysia kerana akhbar milik Umno itu menyiarkan dua karikatur yang menghina hukum Islam. Karikatur pertama yang dilukis oleh kartunis Miki berkenaan rakaman video tidak boleh menjadi alat bukti kes rogol kepada Tuan Qadhi dan karikatur kedua yang tentang penerimaan polis terhadap alat bukti tersebut yang disiarkan pada 15 Jun 2011 dengan tajuk "Kekeliruan Kes Rogol." Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Hassan at-Tantawi menyifatkan penyiaran karikatur itu sebagai menghina Islam dan memperlekehkan pentadbiran agama.

Isu rakaman video untuk pembuktian zina ini timbul ekoran tindakan tiga orang Datuk yang menggelarkan diri mereks sebagai "Datuk T" yang mendedahkan satu video lucah yang didakwa oleh sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Mac 2011. Ekoran itu, pimpinan utama PAS termasuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mempertahankan bahawa video tidak boleh dijadikan pembuktian dalam kes zina, melainkan ada empat orang saksi yang adil. Sejak dari tarikh itu hingga Jun 2011, pelbagai pihak mula memperkatakan tentang kaedah pembuktian kes zina dalam Islam sehingga muncul karikatur yang dilukis oleh Miki tersebut.

Memberi respon terhadap tindakan Utusan Malaysia ini, Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 17 Jun 2011 menyifatkan Utusan Malaysia bertindak seperti akhbar Denmark yang menghina Islam melalui penyiaran karikatur yang tidak bertanggungjawab. Ketua Penerangan PAS Pusat pada 18 Jun 2011 telah mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan panel khas pengawasan syariah terhadap media massa supaya tidak melanggar batas keharmonian agama. Menurut Pesuruhjaya PAS Pahang itu, karikatur ini bukan sahaja menghina Islam dan menggugat keharmonian agama, tetapi juga turut mengancam aqidah dan mengelirukan umat Islam.

Pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat yang berhimpun di perkarangan pejabat Utusan Malaysia untuk membuat bantahan telah berjaya menyerahkan bantahannya kepada wakil Ketua Pengarang, Suffian Abu Bakar. Dalam kenyataannya, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu mendesak Utusan Malaysia memohon maaf kepada umat Islam dalam masa tujuh hari atau Pemuda PAS akan bertindak lebih lanjut. Pada 24 Jun 2011, Dewan Pemuda PAS telah menganjurkan demonstrasi di seluruh negara kerana membantah sikap biadap Utusan Malaysia terhadap hukum Islam.

Disusun oleh: Arkib PAS

16 Jun 2016

16 Jun 1996 : Muktamar PAS Arah Sediakan 'Blue Print' Negara Islam Di Bawah PAS

Pada hari ini dalam tahun 1996, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-42 di Taman Melawar telah memutuskan supaya PAS menyediakan sebuah kertas dasar (blue print) tentang negara Islam yang akan dilaksanakan oleh PAS. PAS Pusat dalam resolusi muktamar ini diminta supaya menjelas dan menghuraikan dasar-dasar negera berasaskan Islam, termasuk kaedah perlaksanaan undang-undang Islam yang akan dilaksanakan oleh PAS setelah PAS memerintah nanti. Pendirian PAS ini adalah lanjutan daripada Ucapan Dasar Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor pada 14 Jun 1996 yang bartajuk "Tegakkan Ketuanan Islam."

Persoalan menegakkan negara Islam yang melaksanakan hukum syariat mulai dirasakan oleh PAS setelah kerjasama politik yang dibentuk bersama Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) mulai terjejas ekoran pengumuman Tengku Razaliegh Hamzah pada 13 April 1996 bahawa PMS46 akan kembali kepada Umno. PAS mengahadapi masalah kegagalan Kelantan melaksanakam hukum syariat kerana konflik dengan PMS46 dan ketiadaan kerjasama Kerajaan Pusat setelah enam tahun PAS menguasai Kelantan. Walaupun PAS telah berjaya menggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, tetapi perlaksanaannya masih belum berjaya.

Ekoran isu penyatuan politik Melayu yang digembar-gemburkan oleh PMS46 untuk menjustifikasikan penyertaan semula mereka dalam Umno, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor telah menekankan supaya orang Melayu meninggalkan konsep ketuanan Melayu dan menerima konsep ketuanan Islam. Melalui ketuanan Islam, yakni Islam memerintah negara, bukan sahaja Islam dapat mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan orang Melayu, bahkan orang bukan Melayu juga akan menikmati keadilan Islam. Sedangkan selama ini pemerintahan Melayu Umno telah menyebabkan kedudukan Islam telah merosot dengan teruk. Bagi merungkai masalah ini, PAS mahu supaya ketuanan Islam ditegakkan sebagai satu kuasa pemerintahan di Malaysia.

Bertolak dari Ucapan Dasar Presiden PAS ini dan juga pengalaman PAS mentadbir Kelantan selama enam tahun, Muktamar PAS melihat kelemahan yang timbul kerana PAS tidak mempunyai blue print yang jelas tentang negara Islam. PAS perlu menyatakan pendirian PAS tentang dasar-dasar negara Islam dalam semua aspek dan kaedah perlaksanaan dasar-dasar tersebut sehingga rakyat memahami konsep negara Islam yang dibawa oleh PAS.

Sebelum ini, PAS hanya menyebut dalam manifestonya untuk melaksanakan pemerintahan Islam, perlaksanaan hukum Islam, mewujudkan kehakiman Islam dan seumpamanya. Tetapi setelah PAS memerintah Kelantan, barulah perancangan dasar untuk melaksanakan pemerintahan Islam dibuat, yang menyebabkan PAS menghadapi banyak halangan dan dituduh berpolitik terhadap perlaksanaan syariat. Untuk mengelakkan hal yang sama selepas PAS menguasai negara ini, maka Muktamar PAS Kali Ke-42 pada 14-16 Jun 1996 ini memutuskan supaya PAS menyediakan dahulu blue print negara Islam tersebut.

Disusun oleh: Arkib PAS

15 Jun 2016

15 Jun 2012 : PAS Rakam Takziah Atas Pemergian Ustaz Yahya Othman

Pada hari ini dalam tahun 2012, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mewakili seluruh ahli PAS mengucapkan takziah kepada keluarga Ustaz Yahya Othman ekoran kematian tokoh itu pada petang Khamis, 14 Jun 2012. Ustaz Yahya yang merupakan Murabbi PAS telah disifatkan oleh Presiden PAS sebagai "guru dan kawan" yang berjasa besar dalam bidang tarbiyah jamaah. Beliau meninggal dunia pada usia 73 tahun di rumahnya di Labok setelah uzur beberapa tahun.

Ustaz Yahya Othman yang dilahirkan di Kampung Dewan, Labok, Kelantan pada 22 September 1939 telah mendapat pendidikan agama di Darul Ulum ad-Diiniyah, Mekah (1947-1958) dan belajar di Baghdad dan Damsyik selama dua tahun sebelum ke Mesir pada 1960 dan mendapat ijazah syariah wal qanun pada 1966 dari Universiti al-Azhar. Pada 1970, beliau mendapat ijazah sarjana dalam siasah syar'iyah di universiti yang sama. Ketika berada di luar negeri beliau menjadi Penolong Setiausaha Jawatankuasa Belia Kelantan di Mekah, kemudian sejak 1961 menjadi pimpinan Persatuan Melayu Mesir (PMM) dan Nadi Talabah Wafidin mulai 1963.

Beliau dilantik sebagai pensyarah Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) pada 1967, sebelum menjadi Dekan Fakulti Syariah wal Qanun YPTIK dan akhirnya sebagai Timbalan Pengetua YPTIK. Pada 1978, beliau meletak jawatan kerana dicalonkan oleh PAS untuk bertanding di Parlimen Pasir Puteh. Apabila Maahad Dakwah wal Imamah ditubuhkan pada 1992, beliau menjadi penyelia sehingga tertubuhnya Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Dalam PAS, Ustaz Yahya lebih banyak berperanan dalam bidang tarbiyah sejak 1970 dan menjadi pengasas tarbiyah haraki pada pertengahan 1970-an. Ketika ini beliau turut menjadi Ahli Jawatankuasa WAMY (1973-1975), selain menduduki Majlis Syura ABIM. Ustaz Yahya Othman telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mulai 1983 hingga 1999 dan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS sejak 1987 dan pernah menjadi Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS (1993-1998). Selain menduduki kepemimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat dan Perhubungan PAS Kelantan, beliau juga merupakan Yang Dipertua PAS Machang (1971-1991).

Semenjak bertanding di Pasir Puteh pada 1978, beliau menumpukan seluruh kegiatannya bersama PAS terutama setelah Anwar Ibrahim menyertai Umno pada 1982. Beliau menggerakkan tarbiyah dalam PAS dan bertanding pada 1986 tetapi tewas di DUN Banggol Judah. beliau menjadi ADUN Banggol Judah (1990-1999) dan dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan penggal 1990-1994 selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah.

Sumbangan terbesar beliau kepada PAS ialah dalam dunia tarbiyah. Beliau yang menghasil beberapa buku tarbiyah dan berpuluh-puluh kertas kerja tarbiyah, pembinaan dan perkaderan parti sejak 1970 hingga akhir hayatnya. Pada saat terakhir hayatnya, beliau sedang menyiapkan sebuah buku tarbiyah yang tidak sempat dicetak. Beliau juga mengasaskan Institut an-Nur dan dinobatkan sebagai Murabbi PAS. Dengan sumbangan besar inilah, Presiden pada 15 Jun 2012 menyifatkan beliau sebagai tokoh tarbiyah PAS yang sangat berjasa dan kematian beliau pada 14 Jun 2012 adalah kehilangan besar kepada PAS.

Disusun oleh: Arkib PAS

14 Jun 2016

14 Jun 2010 : Mantan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri Meninggal Dunia

Pada hari ini dalam tahun 2010, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri telah meninggal dunia secara mengejut setelah terkena serangan jantung. Beliau yang berusia 71 tahun ketika meninggal dunia baru pulang dari menghadiri Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-56 pada 11-13 Jun 2010 di Kota Bharu dan mengadu sakit dada. Beliau meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang pada jam 2 petang setelah dimasukkan ke ICU pada pagi tersebut, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh 2, Gombak setelah disolatkan di Markaz Tarbiyah PAS Pusat.

Ustaz Hassan Shukri yang berketurunan Banjar dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 10 November 1939. Beliau mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Sabak Bernam dan Madrasah Irsyadunnas, Sabak Bernam sebelum memasuki Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas, Perak pada 1952. Antara guru beliau yang terkenal ialah Ustaz Othman Abdullah (bekas Ketua Pemuda PAS Pusat) dan Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh (bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat). Pada 1964, beliau mendapat biasiswa Kerajaan Iraq untuk mendalami ilmu syariah dan bahasa Arab di Universiti Baghdad sehingga 1968.

Beliau yang pernah menjadi guru di Madrasah Yahyawiyah (1958-1964) adalah pemimpin Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) (1954-1958) dan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) (1956-1958), sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Melayu Iraq (1964-1968). Kerana bencikan aktiviti judi loteri dan funfair anjuran Umno, Ustaz Hassan menjadi ahli PAS sejak akhir 1952 dengan nombor keahlian 12,016. Beliau bersama gurunya, Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh (Ketua PAS Kuala Kangsar) bertanggungjawab mengembangkan PAS di Padang Rengas, Kuala Kangsar dan Hulu Perak sejak tertubuhnya PAS Cawangan Perak di Kuala Kangsar pada 26 April 1952. Saban hari dan malam beliau bergerak ke seluruh Kuala Kangsar dan Padang Rengas untuk mengembangkan PAS sehingga beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Perak (1960-1964).

Setelah pulang dari Baghdad pada 1968, Ustaz Hassan terus dilantik sebagai Ketua Jabatan Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Pusat sehingga 1971. Ekoran pemergian Ustaz Jaiz Anwar ke London pada 1971, beliau memangku jawatan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, sebelum dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat pada sesi 1971-1973. Pada 1973, beliau menjadi Setiausaha Agung PAS (1974-1979), diikuti oleh Ketua Penerangan PAS Pusat (1979-1981) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1982-1983). Pada era kepemimpinan ulamak, beliau kembali dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS (1982-1989), Naib Presiden PAS (1989-2003), Timbalan Presiden PAS (2003-2005) dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (2005-2010).

Ustaz Hassan yang pernah menjadi Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS pada sesi 1990-1993, kekal sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS hingga 2010, selain pernah dua kali menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor hingga 2003 dan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (1993-1995). Beliau juga adalah Timbalan Yang Dipertua YADIM (1974-1978), Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) (1974-1979), Ahli Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan (1974-1979) dan Naib Yang Dipertua Jam'iyatul Dakwah Selangor. Di peringkat antarabangsa, beliau merupakan pengasas WAMY dan menjadi Ahli Jawatankuasa WAMY sesi pertama 1971-1973 sebelum diganti oleh Ustaz Yahya Othman. Beliau juga menjadi delegasi gerakan Islam antarabangsa menemui Presiden Saddam Hussein ketika Krisis Teluk dan dilantik mengetuai Sekretariat Gerakan Islam dalam isu Teluk di Amman pada 1989-1990.

Selain aktif dalam kepemimpinan, Ustaz Hassan juga turut bertanding dalam pilihan raya. Pada 1969, beliau menjadi calon PAS di DUN Sungai Besar dan Parlimen Sabak Bernam. Pada 1978 dan 1982 beliau bertanding lagi di Parlimen Sabak Bernam, sebelum berpindah ke Parlimen Batu pada 1986. Walaupun tewas dalam semua pilihan raya, pada tahun 2000, beliau dilantik sebagai Senator mewakili DUN Terengganu ke Dewan Negara sehingga 2006. Tokoh PAS yang dikenali kerana menguasai sejarah perjuangan dan Perlembagaan PAS ini telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor pada 2009. Pada 2005, beliau ditawarkan untuk menerima ijazah kehormat doktor falsafah (kepemimpinan politik) dari sebuah umiversiti terkemuka di Jerman, tetapi beliau menolak. Beliau diakui sebagai orang yang bertanggungjawab memulakan tahaluf siasi dengan S46 yang membolehkan PAS memerintah Kelantan, dikenali sebagai "Arkib PAS," "Perlembagaan Bergerak," dan pengasas sebenar Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Pada saat terakhir hidupnya, beliau menghabiskan langkah istiqamah di Kota Bharu pada 9 Jun 2010 dengan menghadiri Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada petangnya dan Majlis Perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS di PUTIK pada malamnya. Pada 10 Jun 2010, beliau menyertai Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat di MADU dan malamnya menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Selepas menghadiri Perasmian Muktamar Tahunan PAS di PUTIK pada pagi 11 Jun 2010, beliau memberikan taklimat Perlembagaan PAS kepada tetamu muktamar di JKR 10 pada 12 Jun 2010. Beliau kembali ke Kuala Lumpur setelah muktamar berakhir pada 13 Jun 2010. Setelah menghabiskan seluruh usianya untuk perjuangan Islam, Muktamar Tahunan PAS Ke-56 menjadi saksi terakhir perjuangan istiqamah beliau yang berakhir pada 14 Jun 2010.

Disusun oleh: Arkib PAS

13 Jun 2016

13 Jun 1974 : Dewan Ulamak PAS Luluskan Usul Keharusan PAS Sertai Barisan Nasional

Pada hari ini dalam tahun 1974, Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat meluluskan usul keharusan hukum untuk PAS menyertai BN sebagai sebuah pakatan politik bagi mencapai cita-cita untuk menegakkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Terdahulu, berdasarkan pendirian awal Dewan Ulamak PAS Pusat tentang hukum kerjasama politik ini, PAS telah turut serta dalam penubuhan BN yang didaftarkan pada 1 Jun 1974. BN merupakan pakatan politik lanjutan yang disertai oleh PAS setelah terbentuknya Kerajaan Campuran PAS-Perikatan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain penglibatan PAS dalam Kerajaan Pusat mulai 1 Januari 1974.

Bagi memperkukuhkan kekuatan politik umat Islam pasca 13 Mei 1969, PAS pada17 Januari 1974 telah bersetuju menyertai pakatan politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1974. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Januari 1974 telah mengarahkan supaya Dewan Ulamak PAS Pusat membuat kajian hukum yang terperinci tentang penyertaan PAS dalam BN, dan pada 27 Januari 1974, Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengambil pendirian bahawa harus PAS menyertai BN untuk mencapai matlamatnya dengan syarat PAS dapat mengekalkan identitinya sebagai sebuah gerakan Islam. Berasaskan pendirian Dewan Ulamak PAS Pusat ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil langkah proaktif sehingga tertubuhnya BN pada 1 Jun 1974.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-20 pada 13-15 Jun 1974, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dalam ucapan dasarnya telah menggariskan sebab PAS perlu menyertai BN iaitu:

I. Untuk Menjamin keutuhan kuasa dan pimpinan politik kita (umat Islam) dalam menghadapi masyarakat majmuk;
II. Objektif BN tidak sedikit pun dapat menyekat kebebasan PAS untuk mengembang dan memperjuangkan konsep dan prinsipnya, iaitu Islam. Antara objektif BN ialah "menegakkan Islam sebagai agama Persekutuan," dan
III. BN adalah sebuah konfederasi (gabungan) politik yang tidak mengikat identiti PAS, walaupun menyertai pilihan raya menggunakan simbol yang sama.

Selepas Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS yang disampaikan pada pagi 13 Jun 1974, di sebelah siangnya, Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat telah bersidang. Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat telah meluluskan usul keharusan PAS menyertai BN dengan alasan "... Barisan Kebangsaan (BN) dari sudut pembentukannya, tujuan-tujuannya dan memerhatikan dengan jauh dan cermat keadaan suasana negara kita Malaysia ini serta perkembangan-perkembangan politiknya dan politik negara sekitarnya, dipadankan dengan petunjuk-petunjuk daripada nas al-Quran dan as-Sunnah serta berpandu kepada kaedah-kaedah fiqh, maka kesimpulan dari muzakarah (muktamar ini) sepakat dari ijtihad kami bahawa penyertaan PAS ke dalam BN itu harus jua adanya." Dalam masa yang sama, Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat turut meluluskan usul untuk menerima penyertaan PAS dalam BN.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-20 pada 13-15 Jun 1974 ini kemudiannya meluluskan usul Dewan Pemuda PAS Pusat untuk membolehkan PAS menyertai BN dengan disokong oleh Dewan Ulamak PAS Pusat. PAS menyertai BN sebagai satu strategi politik antara tahun 1974 hingga akhir 1977 adalah berpandukan keharusan syarak, bukannya bertindak di atas keperluan politik semata-mata sesuai dengan kedudukan PAS sebagai sebuah parti Islam.

Disusun oleh: Arkib PAS

12 Jun 2016

12 Jun 2002 : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Pangku Jawatan Presiden PAS

Pada hari ini dalam tahun 2002, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah melantik Timbalan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Pemangku Presiden PAS ekoran kesihatan Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor yang tidak stabil setelah melakukan pembedahan jantung di Hospital UKM, Cheras pada 10 Jun 2002. Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang juga Menteri Besar Terengganu terpaksa menjalankan tugas-tugas Dato' Fadzil Mohd Noor dalam parti kerana Presiden PAS itu belum sedar sejak menjalani pembedahan bahkan turut mengalami beberapa komplikasi lain.

Pada 11 Mei 2002, Ustaz Fadzil Mohd Noor yang juga Ketua Pembangkang telah dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu setelah diserang sakit jantung ketika menghadiri satu seminar tentang perlaksanaan hudud di Terengganu. Setelah ditahan selama lima hari di hospital beliau dibenarkan pulang, dan beliau telah menghadiri Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-48 pada 31 Mei hingga 2 Jun 2002. Ketika menyampaikan ucapan penangguhan muktamar ini, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah meluahkan isi hatinya, "... kalau boleh saya tak nak berhenti bercakap sebab saya bercakap dengan orang yang saya kasihi dan sayang..." ketika menutup muktamar tersebut. Pada 8 Jun 2002, beliau dimasukkan ke Hospital UKM untuk menjalani pemeriksaan jantung dan menjalani pembedahan saluran jantung pada 10 Jun 2002. Pembedahan ini walau bagaimanapun telah menyebabkan beliau diserang stroke dan beliau tidak sedarkan diri.

Ekoran keadaan Ustaz Fadzil Mohd Noor yang semakin kritikal, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 12 Jun 2002 telah melantik Timbalan Presiden PAS untuk memangku tugas-tugas Presiden PAS sehingga beliau sihat. Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang dilahirkan pada 20 Oktober 1947 dan berkelulusan dari Universiti Madinah dan Universiti al-Azhar mula menjadi pimpinan PAS sejak 1975 bermula dengan jawatan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu (1975-1979), Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat (1977-1983), Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat (1979-1983) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1979-1981). Pada 1981, beliau dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS sehingga beliau dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (kemudian Timbalan Presiden PAS) pada 1989.

Setelah 11 hari memangku jawatan Presiden PAS, pada pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah meninggal dunia dan dikebumikan di Kuala Nerang, Kedah. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 24 Jun 2002 telah secara rasmi melantik Tuan Guru Haji Abdul Hadi sebagai Pemangku Presiden PAS. Dalam ucapan pertama beliau sebagai Pemangku Presiden PAS pada 24 Jun 2002, Tuan Guru Haji Abdul Hadi menyebutkan, "... pengganti Almarhum tidak sama dengan Almarhum, tetapi kepemimpinan jama'ie sangat penting untuk menang dan mendapatkan keredhaan Allah." Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dipilih secara rasmi sebagai Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-49 pada 12-14 September 2003.

Disusun oleh: Arkib PAS

11 Jun 2016

11 Jun 1993 : PAS Pertegas Hasrat Untuk Melaksanakan Syariat Islam

Pada hari ini dalam tahun 1993, Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mempertegaskan hasrat dan cita-cita PAS untuk melaksanakan hukum syariat, khususnya hudud di Kelantan jika PAS terus diberikan kepercayaan oleh rakyat. Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar yang bertajuk "Pertahan Syakhsiyah Ummah" pada perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-39 di Markaz Tarbiyah PAS Pusat pada 11 Jun 1993. Muktamar yang berlangsung pada 11-13 Jun 1993 ini dijangka sebagai muktamar terakhir sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Kesepuluh.

Sejak PAS memerintah Kelantan pada 21 Oktober 1990, PAS telah mewujudkan Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat pada 30 November 1990. Pada 26 Februari 1991, Jawatankuasa Pemandu Kerajaan Kelantan telah merancang untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah termasuk hudud, qisas dan takzir. Ekoran itu, pada 30 Mei 1991, Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menjelaskan bahawa kajian terhadap aspek teknikal untuk menggubal hukum syariat telah selesai dan akan dibentangkan di DUN Kelantan segera. Pada 18 Oktober 1991, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertegaskan sikap kerajaan yang akan memberi keutamaan terhadap perlaksanaan undang-undang syariat mulai tahun 1992.

Di sebalik kesungguhan PAS berusaha melaksanakan undang-undang syariat, terdapat sesetengah pihak dalam PAS yang mengkritik kegagalan Kerajaan Kelantan menyegerakan perlaksanaan syariat. Sedangkan di luar PAS, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed pada 16 April 1992 menyatakan kesediaan untuk membenarkan Kelantan melaksanakan hudud sehingga menimbulkan kemarahan parti Gerakan. Keadaan ini telah menimbulkan polemik dan perbincangan panjang tentang hukum syariah, termasuk ada pihak yang menuduh PAS tidak serius melaksanakan syariat dan menjadikannya isu politik.

Ekoran itu, Presiden PAS dalam ucapan dasarnya pada 14 Ogos 1992 menjelaskan, "Pihak yang takut dengan perlaksanaan undang-undang Islam ini telah memutarbelitkan bahawa perlaksanaan hudud yang kita rancang telah dianggap sebagai permainan politik. Tidaklah perlu kita mempedulikan sangat tuduhan-tuduhan sumbang seperti itu kerana perlaksanaan syariat Islam termasuk hudud adalah dasar yang telah dan sedang diperjuangkan oleh PAS sejak sekian lama. Bahkan di dalam manifesto pilihan raya PAS 1990 yang lalu telah pun diterangkan begitu jelas hasrat untuk melaksanakan hukum Allah ini." Bahkan, dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-38 pada 14-16 Ogos 1992 meluluskan usul menyokong Kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah.

Pada 7 November 1992, Majlis Syura Ulamak PAS telah meluluskan draf Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, tetapi belum dapat dikemukakan ke sidang DUN Kelantan pada November 1992, Januari 1993 dan Jun 1993. Bagi merungkai kegusaran umat Islam di atas dakwaan pelbagai pihak bahawa PAS bermain politik dalam soal perlaksanaan hukum syariat ini, pada 11 Jun 1993, Presiden PAS telah mempertegaskan dalam ucapan dasarnya tentang hasrat PAS melaksanakan syariat. "Apa yang sedang ditunggu-tunggu oleh rakyat Kelantan ialah perlaksanaan perundangan Islam, hudud adalah sebahagian daripadanya. Insya Allah ia akan menjadi kenyataan. Dan apabila ia terlaksana nanti, ia adalah hasil penyertaan kita dalam pilihan raya." Akhirnya, pada 23 November 1993, Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 telah berjaya diluluskan oleh DUN Kelantan.

Disusun oleh: Arkib PAS

10 Jun 2016

10 Jun 1990 : PAS Kaji Penyertaan Dalam Angkatan Perpaduan Ummah

Pada hari ini dalam tahun 1990, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil keputusan untuk mengkaji dan meneliti Perlembagaan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sebelum menyertai gabungan tersebut. PAS yang mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, S46 dan serpihan PAS, Berjasa bermula sejak Dewan Pemuda PAS menganjurkan Majlis Makan Malam Pemikir Ummah di Kelana Jaya pada 23 Disember 1988 yang mempertemukan pemimpin Team B Umno, Tengku Razaliegh Hamzah dengan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor. Akhbar Watan pada 3 Januari 1989 menyifatkan kerjasama PAS-S46 sebagai satu alternatif kepada Umno-BN.

Dalam masa yang sama, pemimpin Team B Umno turut berunding dengan Berjasa sejak 4 November 1987 untuk merangka pakatan baru politik Melayu bagi mengalahkan Umno dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan. Mereka bersetuju menjadikan PAS sebagai rakan politik dalam hal ini, sedangkan Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan tegas menyatakan kerjasama ini hanya boleh berlaku jika S46 menerima Islam sebagai asas perjuangan. Ketika rundingan teknikal sedang berlangsung antara pakatan Berjasa-S46 sedang berlangsung, pada Februari 1989, pakatan kedua-dua parti tersebut telah merancang mendaftarkan sebuah gabungan parti politik yang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Pada 12 Februari 1989, PAS menegaskan sikap untuk tidak menyertai APU sehingga semua hal teknikal diselesaikan.

Namun begitu, serentak dengan itu juga, PAS telah bekerjasama secara tidak rasmi dalam beberapa Pilihan Raya Kecil di Ampang (28 Januari 1989), Teluk Pasu (25 Jun 1989), Pantai Merdeka (24 Mac 1990) dan Kijal (1 Ogos 1990), selain menganjurkan beberapa program dengan "peraduan ummah" seperti Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam (21 Ogos 1988), Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (9-10 September 1988) dan Seminar Perpaduan Ummah (28 Oktober 1988). Tujuan utama tindakan PAS ini adalah untuk mengekal mementum politik ummah, selain mengelakkan S46 membentuk kerjasama dengan pihak lain yang merugikan PAS.

Di peringkat dasar, PAS telah mengkaji strategi politik dalam menghadapi perubahan ini dengan kertas Ustaz Hassan Shukri pada 9 Oktober 1988 dan kertas Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman pada 9 Jun 1989 yang mencadangkan PAS mewujudkan kerjasama politik ini. Pada 9 Oktober 1988 juga, PAS telah menerima kertas dasar tahaluf siyasi oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Walau bagaimanapun, dalam kertas Ustaz Abdul Halim, telah dicadangkan supaya PAS mengekalkan identiti dengan simbol Bulan Purnama dan PAS mewujudkan tafahum siyasi (persefahaman politik) dengan APU tanpa menyertai pakatan tersebut. Dalam kata lain diwujudkan kerjasama PAS-APU dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990.

Pada awal Jun 1990, S46 dan Berjasa telah mendaftarkan APU tanpa penyertaan PAS. Sebaliknya, PAS pada 10 Jun 1990 mengambil sikap untuk tidak menyertai APU dan akan mengkaji terlebih dahulu kedudukan Perlembagaan APU dan implikasinya kepada PAS. Di sebalik sikap PAS itu, pada 20 Ogos 1989, serpihan PAS, Hamim telah keluar dari BN untuk menyertai APU. Walau bagaimanapun, APU yang turut disertai oleh KIMMA pada 1990 telah kekal sebagai sebuah pakatan politik longgar dan tidak rasmi apabila Pendaftaran Peertubuhan pada 10 Julai 1989 menolak pendaftaran APU kerana ia memerlukan sekurang-kurangnya tujuh anggota. Sejak itu, kerjasama PAS-APU berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990.

Disusun oleh: Arkib PAS

09 Jun 2016

09 Jun 1989 : PAS Kelantan Setuju Adakan Persefahaman Politik Untuk Tawan Kelantan

Pada hari ini dalam tahun 1989, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah meluluskan satu kertas cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman untuk membolehkan PAS merampas Kelantan dari BN melalui persefahaman politik. Kertas yang bertajuk 'At-Tafahum Siyasi: Persefahaman Politik Dalam Pilihan Raya' ini menggariskan strategi PAS Kelantan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Kesembilan setelah Umno diharamkan pada 4 April 1988. PAS melihat perpecahan Umno ini sebagai peluang terbaik untuk mengambil alih semula Kelantan yang menyebabkan PAS pada 9 Oktober 1988 mengambil strategi mendekati S46 dan Berjasa.

Terdahulu, setelah Umno diharamkan, Berjasa telah mengambil inisiatif mewujudkan gabungan politik Islam atas nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang turut disertai oleh S46, sebelum Hamim dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) turut berbuat demikian. Dalam PAS sendiri, sejak akhir November 1987 telah ada usaha yang dibuat oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS untuk menyatukan PAS dengan Team A Umno (Umno Baru) dalam 'Barisan Islamiyyah,' tetapi PAS pada 9 Oktober 1988 bersetuju menerima kertas cadangan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri, "Tinjauan Ringkas Politik Semasa dan Sikap Yang Perlu Diambil oleh PAS," yang mencadangkan PAS mendekati Team B Umno (kemudiannya dikenali sebagai S46). S46 yang kemudiannya membentuk APU bersama Berjasa, kemudiannya mula mengadakan persefahaman dengan PAS.

Di Kelantan secara khusus, keadaan politik menjadi lebih menarik kerana PAS bukan sahaja memiliki 10 daripada 39 kerusi DUN, tetapi kebanyakan kerusi yang diwakili Umno adalah kerusi marginal di bawah 1,000 undi majoriti. Perpecahan Umno telah membuka ruang kepada PAS di mana pada 12 Mac 1988, Adun Banggol, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman telah membuat usul undi tidak percaya kepada Tan Sri Mohammed Yaacob, Menteri Besar Kelantan, walaupun tidak disokong oleh Team B Umno. Tetapi, setelah Team B Umno menubuhkan S46 secara rasmi pada 3 Jun 1989, keadaan politik Kelantan telah berubah.

Menurut analisa Ustaz Abdul Halim dalam kertasnya, PAS telah menguasai sekitar 46 peratus undi popular di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum 1982 dan 1986, yang bermakna memerlukan lonjakan sekitar lima peratus untuk menguasai semula Kelantan. Berpandukan hukum tahaluf yang diharuskan seperti dalam kertas kerja Tuan Guru Hajj Abdul Hadi Awang pada 9 Oktober 1988, PAS Kelantan mencadangkan supaya satu tafahum siyasi (persefahaman politik) diwujudkan dengan APU tanpa PAS menyertainya. PAS melihat S46 mempunyai sejumlah penyokong di kalangan bekas ahli dan penyokong Umno, sedang Berjasa disokong oleh bekas ahli PAS. Persefahaman ini boleh melonjakkan undi popular PAS di Kelantan. Ustaz Abdul Halim juga mencadangkan supaya PAS memerintah negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah jika menang, Bulan Purnama kekal sebagai simbol PAS walaupun manifesto bersama.

Kertas kerja yang diluluskan oleh Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 9 Jun 1989 ini diterima sebagai strategi PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990, di mana PAS memenangi 24 daripada 39 kerusi dan bakinya dikuasai oleh S46 (14 kerusi) dan Berjasa (satu kerusi). Sejak kemenangan ini, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pesuruhjaya PAS Kelantan telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan dan PAS menerintah dengan dasar 'Membangun Bersama Islam' hingga hari ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

08 Jun 2016

08 Jun 1976 : PAS Cadang Tubuhkan Barisan Nasional Sabah Selesaikan Krisis Politik

Pada hari ini dalam tahun 1976, Dewan Harian PAS Pusat telah bersetuju untuk mencadangkan satu formula kerjasama parti-parti politik di Sabah bagi menyelesaikan krisis kepemimpinan yang berlanjutan sejak awal 1971 lagi. PAS mencadangkan supaya dua parti utama Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) diterima sebagai anggota BN dan dibentuk Kerajaan Campuran Berjaya-Usno atau Kerajaan BN Sabah bagi menstabilkan politik negeri itu. Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 14 April 1976, Berjaya telah mendapat 28 daripada 48 kerusi, sedangkan 20 kerusi lagi dimenangi oleh Usno.

Krisis politik Sabah tercetus apabila Tun Datu Mustapha Datu Harun, Ketua Menteri Sabah menuntut hak ekonomi Sabah dalam isu balak dan minyak pada 1971, yang menyebabkan Kuala Lumpur campur tangan dalam urusan Sabah. Selain menghantar Syed Kechik al-Bukhary ke Sabah, Kuala Lumpur turut menggunakan Datuk Abdul Rahman Yaakub, Ketua Menteri Sarawak dan Datuk Harris Salleh, Setiausaha Agung Usno untuk menjatuhkan Tun Datu Mustapha. Pada 23 April 1976, Tun Datu Mustapha telah membentangkan kertas "Kedudukan Sabah dan Masa Depan Sabah Dalam Malaysia," yang mencemaskan Kuala Lumpur sehingga Datuk Mohamad Said Keruak dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah pada 1 November 1975.

PAS yang mempunyai sikap menyokong Usno di Sabah menyedari krisis politik ini adalah berpunca daripada tindakan Tun Abdul Razak Hussein untuk menjatuhkan Tun Datu Mustapha. Tun Abdul Razak telah menaja kerjasama serpihan Usno, Datuk Harris Salleh dengan bekas parti UPKO pimpinan Tun Mohd Fuad Stephen bagi membentuk Berjaya pada 15 Julai 1975. Akibatnya, Berjaya dapat mengalahkan Usno dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 14 April 1976. Sedangkan ketika ini, Usno dan Sabah Chinese Association (SCA) yang membentuk Perikatan Sabah sejak 1967 merupakan parti komponen BN sejak penubuhannya BN pada 1 Jun 1974. Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda berbeza pendapat dengan Tun Abdul Razak dalam soal ini kerana PAS mengambil kira kedudukan Usno sebagai komponen BN, sedangkan Tun Abdul Razak melihat ancaman Tun Datu Mustapha terhadap Kuala Lumpur.

Sikap PAS terhadap Usno dan Tun Datu Mustapha dipengaruhi oleh peranan Tun Datu Mustapha terhadap perkembangan Islam di Sabah. Tindakan Tun Datu Mustapha memajukan Islam menerusi penubuhan United Sabah Islamic Association (USIA) pada 1969 dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada 1971 serta kejayaan meletakkan Islam sebagai agama negeri Sabah pada 23 September 1971, telah menyebabkan PAS 'menyerahkan' kepada Usno untuk membangunkan Islam di Sabah, termasuk membiarkan PAS Sabah yang ditubuhkan pada Ogos 1964 terkubur supaya ia tidak bersaing dengan USIA. Sokongan PAS kepada Usno juga sangat penting kerana ketika ini gerakan Kristianisasi sedang pesat berkembang di Filipina dan Sarawak, di mana mereka meletakkan Sabah sebagai sasarannya. Banyak kajian mengatakan kejatuhan Tun Datu Mustapha pada 1975 bukan semata-mata kerana krisis dengan Kuala Lumpur, tetapi terdapat gerakan antarabangsa menjatuhkan beliau kerana kegiatan dakwah Islam di Sabah.

Ketika krisis politik Sabah memuncak ekoran saingan Berjaya terhadap Usno, PAS pada 15 Januari 1976 telah mencadangkan supaya BN menerima keahlian Usno, tetapi menolak keahlian Berjaya yang dilihat mengancam Usno. Setelah DUN Sabah dibubarkan, PAS pada 17 Mac 1976 memutuskan untuk menghantar jentera pilihan raya ke Sabah bagi membantu Usno, tetapi ditangguhkan oleh PAS pada 24 Mac 1976 untuk mengelakkan salah faham parti komponen BN. Pendirian PAS dalam soal Sabah ternyata meletakkan Islam lebih ke hadapan, berbanding kepentingan politik kepartian. Bagi PAS, Kerajaan Perikatan Sabah yang diketuai Tun Datu Mustapha telah memberi kelebihan kepada Islam.

Walau bagaimanapun, ekoran kekalahan Usno dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 14 April 1976, sikap PAS terhadap Berjaya telah berubah untuk menyelamatkan Islam. PAS sedar walaupun dua pemimpin utama Berjaya, Tun Mohd Fuad Stephen (Presiden) dan Datuk Harris Salleh (Timbalan Presiden) beragama Islam, tetapi bekas ahli UPKO yang membentuk Berjaya majoritinya bukan Islam. Ini terbukti daripada 28 kerusi yang dimenangi Berjaya, hanya tiga kerusi sahaja mewakili kawasan Bumiputera Islam iaitu Lahad Datu, Papar dan Kawang. PAS juga bersetuju dengan pendirian Dewan Pemuda PAS Pusat pada 6 Jun 1976 yang melihat peranan Berjaya "menodai Islam" di Sabah. Sebagai jalan tengah untuk menyelesaikan kekusutan ini, pada 6 Jun 1976, PAS telah mencadangkan supaya Berjaya dan Usno membentuk Kerajaan Campuran atau kedua-dua parti diterima sebagai anggota BN dan membentuk Kerajaan BN Sabah bagi membolehkan Usno mengimbangi pengaruh bukan Islam dalam kerajaan.

Disusun oleh: Arkib PAS

06 Jun 2016

06 Jun 1995 : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Dicalonkan Sebagai Ketua Pembangkang

Pada hari ini dalam tahun 1995, Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang telah dicalonkan oleh PAS sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen mewakili Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Ini adalah kali pertama pemimpin PAS dicalonkan semula sebagai Ketua Pembangkang selepas PAS menyertai kerajaan pada 1 Januari 1973. Dalam surat Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdul Halim Arshat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Zahir Ismail pada 6 Jun 1995, PAS telah menamakan Ahli Parlimen Marang sebagai calon Ketua Pembangkang menggantikan Ahli Parlimen Tanjong, Lim Kit Siang dari DAP.

Kegagalan DAP mempertahankan 20 kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum 1990 telah menjadikan kedudukan parti-parti pembangkang seimbang dengan DAP sembilan, PBS lapan, PMS46 tujuh dan PAS enam. PAS yang mempunyai kerjasama politik dengan PMS46 atas tiket APU menguasai 13 kerusi mengatasi DAP, sedangkan pemimpin PMS46 dilaporkan oleh media pada 6 Jun 1995 telah menarik diri dari jawatan Ketua Pembangkang, manakala PBS pula pada 18 Mei 1995 menyatakan sokongan supaya APU mengetuai pembangkang. PAS sendiri pada 4 Jun 1995, telah memaklumkan kepada Presiden PMS46, Tengku Razaliegh Hamzah tentang cadangan pencalonan ini.

Semenjak pilihan raya diadakan pada 1955, jawatan ketua pembangkang wujud secara tidak rasmi sehingga pasca 13 Mei 1969. Pada mulanya jawatan "Mr Opposition" dipegang oleh Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (1955-1959), kemudian PAS menyerahkan kepada pemimpin Parti Negara (PN), Dato' Sir Onn Jaafar (1959-1962). Setelah kematian Dato' Onn pada 12 Januari 1962, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy mengetuai pembangkang sehingga 1964, sebelum pemimpin Parti Buruh (PB) yang mewakili Sosislis Front (SF), Dr Tan Chee Koon menjadi Mr Opposition sehingga 1969. Selepas tragedi 13 Mei 1969, kerajaan telah mewujudkan jawatan Ketua Pembangkang secara rasmi, dan parti-parti pembangkang bersetuju jawatan tersebut digilirkan antara parti-parti PAS, DAP dan SNAP, manakala Gerakan dan PPP telah menyertai kerajaan melalui Kerajaan Campuran di Pulau Pinang dan Perak.

Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang pertama mulai 23 Februari 1971. Walau bagaimanapun, pada 1 Januari 1973, PAS telah menyertai Kerajaan Campuran PAS-Perikatan yang menyebabkan Dato' Mohd Asri dilantik sebagai menteri. Ekoran itu, mulai 17 April 1973, pemimpin DAP, Lim Kit Siang mengetuai pembangkang sehingga Pilihan Raya Umum 1974. Selepas itu, pemimpin SNAP, James Wong Kim Min menjadi Ketua Pembangkang yang baru, tetapi beliau ditahan ISA pada 30 Oktober 1974 dan diganti oleh seorang lagi pemimpin SNAP, Edmund Langgu anak Saga sehingga 5 November 1975. Sejak itu, Lim Kit Siang kembali menjadi Ketua Pembangkang sehingga Pilihan Raya Umum 1995. Dalam pilihan raya ini, DAP hanya memperoleh sembilan kerusi sahaja yang menyebabkan kedudukan mereka sebagai Ketua Pembangkang tergugat.

Ekoran adanya dua calon Ketua Pembangkang iaitu Tuan Guru Haji Abdul Hadi (PAS) dan Lim Kit Siang (DAP), pada 7 Jun 1995, Speaker Dewan Rakyat telah mengarahkan 30 Ahli Parlimen Pembangkang membuat undian sulit sehingga 14 Jun 1995. Pada 15 Jun 1995, Lim Kit Siang diumumkan sebagai Ketua Pembangkang bagi penggal 1995-1999 setelah wakil rakyat PMS46 dan PBS turut mengundi calon DAP. Kegagalan PMS46 menyokong calon PAS merupakan detik awal perpecahan PAS-PMS46. PAS walau bagaimanapun berjaya mengambil semula jawatan Ketua Pembangkang apabila Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor dilantik ke jawatan itu pada 1999, sebelum diganti oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi mulai 23 Jun 2002 hingga Pilihan Raya Umum 2004.

Disusun oleh: Arkib PAS

05 Jun 2016

05 Jun 1975 : Dato' Muhammad Nasir Jawab Kecaman Pemuda PAS Dalam Isu Menteri Besar

Pada hari ini dalam tahun 1975, Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohamad Nasir telah mengemukakan sebuah kertas kerja untuk menjawab kecaman Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan berkaitan isu Menteri Besar yang tersiar dalam beberapa media massa. Kertas kerja yang bertajuk "Jawapan Dato' Haji Mohamad Nasir Atas Kecaman Dewan Pemuda PAS Kelantan Terhadap Wawancara Beliau Kepada Wartawan BERNAMA Seperti Yang Tersiar Dalam Beberapa Akhbar Tanggal 8 Mei 1975," ini bertujuan menjawab isu yang dibangkitkan oleh Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Isu ini timbul ekoran satu temuramah antara Menteri Besar Kelantan itu dengan Abdul Ghani Ismail, wartawan BERNAMA pada 8 Mei 1975. Dalam temuramahnya, Dato' Mohamad Nasir telah membuat beberapa kenyataan yang merugikan Kerajaan PAS Kelantan dan parti sendiri seperti masalah pengurusan balak, rasuah, pembangunan Ulu Kelantan dan sokongan PAS kepada beliau sebagai Menteri Besar. Ekoran itu, pada 10 Mei 1975, Dewan Pemuda PAS Kelantan telah menyediakan memorandum yang menyenaraikan tujuh kenyataan yang mengelirukan dan merugikan parti dalam temuramah tersebut. Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan kenyataan Dato' Mohamad Nasir itu akan mempengaruhi keputusan mahkamah, mendedahkan rahsia kerajaan, membolehkan kerajaan diheret ke mahkamah dan menakutkan pelabur ke Kelantan, selain turut meretakkan hubungan PAS dengan Umno, menuduh pemimpin PAS mengamalkan rasuah dan menunjukkan beliau tidak percaya kepada dasar perjuangan PAS.

Memorandum ini kemudiannya dikemukakan kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 15 Mei 1975. Dalam Mesyuarat Khas Badan Perhubungan PAS Kelantan itu, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Halim Isa mendakwa Dato' Mohamad Nasir menganggap dirinya dilantik oleh Umno, sedangkan semua pimpinan PAS mahu menyingkirkannya. Hal ini dijangka akan merosakkan hubungan PAS-Umno dan merugikan perjuangan Islam di Malaysi. Dewan Pemuda PAS Kelantan mengusulkan supaya Menteri Besar Kelantan memberikan jawapan bertulis tentang perkara ini dan meletakkan jawatan sebagai ketua kerajaan.

Bertolak daripada keputusan Badan Perhubungan PAS Kelantan ini, Dato' Mohamad Nasir membuat kenyataan tentang kesediaannya untuk meletak jawatan dan akan menyediakan jawapan terhadap isu tersebut. Pada 27 Mei 1975, Menteri Besar Kelantan itu telah menerima surat daripada Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan berkait itu tersebut, sedangkan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Ishak Lotfi Omar pula, pada 31 Mei 1975 telah mengemukakan laporan kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri berhubungan konflik ini.

Kegagalan Menteri Besar Kelantan itu membuat penjelasan kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan pads 29 Mei 1975, telah menyebabkan Badan Perhubungan PAS Kelantan mengambil pendirian bahawa beliau tidak layak memimpin kerajaan dan perlu diganti dengan segera. Tiga sebab yang dikemukakan oleh PAS Kelantan untuk menggugurkan Dato' Mohamad Nasir ialah suka membuat janji yang menyusahkan wakil rakyat, menyalahgunakan kuasa Menteri Besar untuk membekukan kawasan balak dan melakukan tindakan yang merugikan BN termasuk bersekongkol dengan Kumpulan Revolusi 14 Mac 1974.

Ekoran tekanan yang memuncak ini, pada 5 Jun 1975, Dato' Mohamad Nasir telah mengemukakan jawapan bertulis kepada Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, di samping turut menyediakan kertas kerja untuk menjawab dakwaan Dewan Pemuda PAS Kelantan. Dalam kertas kerjanya, Dato' Mohamad Nasir menyifatkan Dewan Pemuda PAS Kelantan terlalu berprasangka, melulu dan melampau, selain mendakwa Dewan Pemuda PAS tidak matang dalam membuat gugatan dan PAS Kelantan tidak bijaksana dalam mengambil tindakan terhadap ahli-ahli. Selain mengharapkan usaha pengislahan, beliau juga mahukan tindakan ruhama dalam menyelesaikan isu ini.

Disusun oleh: Arkib PAS