15 Jun 2016

15 Jun 2012 : PAS Rakam Takziah Atas Pemergian Ustaz Yahya Othman

Pada hari ini dalam tahun 2012, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mewakili seluruh ahli PAS mengucapkan takziah kepada keluarga Ustaz Yahya Othman ekoran kematian tokoh itu pada petang Khamis, 14 Jun 2012. Ustaz Yahya yang merupakan Murabbi PAS telah disifatkan oleh Presiden PAS sebagai "guru dan kawan" yang berjasa besar dalam bidang tarbiyah jamaah. Beliau meninggal dunia pada usia 73 tahun di rumahnya di Labok setelah uzur beberapa tahun.

Ustaz Yahya Othman yang dilahirkan di Kampung Dewan, Labok, Kelantan pada 22 September 1939 telah mendapat pendidikan agama di Darul Ulum ad-Diiniyah, Mekah (1947-1958) dan belajar di Baghdad dan Damsyik selama dua tahun sebelum ke Mesir pada 1960 dan mendapat ijazah syariah wal qanun pada 1966 dari Universiti al-Azhar. Pada 1970, beliau mendapat ijazah sarjana dalam siasah syar'iyah di universiti yang sama. Ketika berada di luar negeri beliau menjadi Penolong Setiausaha Jawatankuasa Belia Kelantan di Mekah, kemudian sejak 1961 menjadi pimpinan Persatuan Melayu Mesir (PMM) dan Nadi Talabah Wafidin mulai 1963.

Beliau dilantik sebagai pensyarah Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) pada 1967, sebelum menjadi Dekan Fakulti Syariah wal Qanun YPTIK dan akhirnya sebagai Timbalan Pengetua YPTIK. Pada 1978, beliau meletak jawatan kerana dicalonkan oleh PAS untuk bertanding di Parlimen Pasir Puteh. Apabila Maahad Dakwah wal Imamah ditubuhkan pada 1992, beliau menjadi penyelia sehingga tertubuhnya Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Dalam PAS, Ustaz Yahya lebih banyak berperanan dalam bidang tarbiyah sejak 1970 dan menjadi pengasas tarbiyah haraki pada pertengahan 1970-an. Ketika ini beliau turut menjadi Ahli Jawatankuasa WAMY (1973-1975), selain menduduki Majlis Syura ABIM. Ustaz Yahya Othman telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mulai 1983 hingga 1999 dan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS sejak 1987 dan pernah menjadi Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS (1993-1998). Selain menduduki kepemimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat dan Perhubungan PAS Kelantan, beliau juga merupakan Yang Dipertua PAS Machang (1971-1991).

Semenjak bertanding di Pasir Puteh pada 1978, beliau menumpukan seluruh kegiatannya bersama PAS terutama setelah Anwar Ibrahim menyertai Umno pada 1982. Beliau menggerakkan tarbiyah dalam PAS dan bertanding pada 1986 tetapi tewas di DUN Banggol Judah. beliau menjadi ADUN Banggol Judah (1990-1999) dan dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan penggal 1990-1994 selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah.

Sumbangan terbesar beliau kepada PAS ialah dalam dunia tarbiyah. Beliau yang menghasil beberapa buku tarbiyah dan berpuluh-puluh kertas kerja tarbiyah, pembinaan dan perkaderan parti sejak 1970 hingga akhir hayatnya. Pada saat terakhir hayatnya, beliau sedang menyiapkan sebuah buku tarbiyah yang tidak sempat dicetak. Beliau juga mengasaskan Institut an-Nur dan dinobatkan sebagai Murabbi PAS. Dengan sumbangan besar inilah, Presiden pada 15 Jun 2012 menyifatkan beliau sebagai tokoh tarbiyah PAS yang sangat berjasa dan kematian beliau pada 14 Jun 2012 adalah kehilangan besar kepada PAS.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: