02 Jun 2016

02 Jun 1962 : Penguasaan Keluarga Ahmad Yatim Dalam Pilihanraya DUN Rantau Panjang

Pada hari ini dalam tahun 1962, pengasas PAS Kelantan, Ahmad Yatim telah berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau Panjang dalam satu pilihan raya kecil kerana kematian penyandangnya, Abdul Rahman Daud. Pilihan Raya Kecil DUN Rantau Panjang ini adalah pilihan raya kecil yang pertama di Kelantan selepas merdeka. Kemenangan Ahmad Yatim ini bukan sahaja mengekalkan penguasaan PAS di kerusi tersebut, tetapi turut mengekalkan penguasaan keluarganya dalam politik Kelantan.

Abdul Rahman Daud yang juga mertua kepada Ahmad Yatim telah menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut sejak 1955. Dalam Pilihan Raya Negeri 1955, Abdul Rahman telah memenangi kerusi Majlis Undangan Negeri Pasir Mas Tengah atas tiket Perikatan, tetapi menyertai PAS pada 1958 kerana menantunya adalah pengasas PAS Cawangan Pasir Mas yang ditubuhkan pada 23 Julai 1953. Dalam Pilihan Raya Umum 1959, Abdul Rahman memenangi kerusi DUN Rantau Panjang dan pada 9 Jun 1959 dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, sehingga beliau meninggal dunia pada 1962. Tempat beliau sebagai anggota Exco diganti oleh Mohd Amin Yaakob, Adun Bachok Tengah.

PAS telah menamakan Setiausaha PAS Cawangan Pasir Mas, Ahmad Yatim untuk menggantikan mertuanya dalam Pilihan Raya Kecil yang diadakan pada 2 Jun 1962 ini, dan berjaya mengalahkan calon Perikatan, Nik Yusof Nik Loding dengan kelebihan 1,051 undi. Kerusi ini kemudiannya dipertahankan oleh Ahmad Yatim dalam Pilihan Raya Umum 1964 dengan mengalahkan Wan Mahmud Wan Konok (Perikatan) sebanyak 1,757 undi. Pada 10 Mei 1964, Ahmad Yatim yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Dalam krisis kepemimpinan PAS Kelantan pada 1965, nama Ahmad Yatim disebut-sebut sebagai calon Pesuruhjaya PAS Kelantan, tetapi pada 10 November 1968, Ahmad Yatim telah ditahan ISA atas tuduhan terlibat dengan gerakan subversif di sempadan Malaysia-Thailand. Walaupun PAS menafikan tuduhan ini dan menganggapnya sabotaj terhadap imej PAS, namun ia tetap memberikan kesan buruk kepada PAS. Akibat penahanan ini, kerusi Dun Rantau Panjang telah jatuh ke tangan calon Perikatan, Hussein Ahmad pada 1969. Hussein Ahmad yang kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan telah mempertahankan Dun Rantau Panjang (mulai 1974 dikenali sebagai Gual Periok) sehingga 1982.

Bintang Ahmad Yatim yang juga besan kepada bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Senator Ustaz Amaluddin Darus (Ahli Dewan Negara 1959-1974) tidak lagi menyinar dalam politik Kelantan kerana beliau menyertai besannya itu membantah kepemimpinan Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 1975 dan menubuhkan Parti IMAM. Pada 1978, pemimpin IMAM telah bergabung dengan parti Berjasa yang ditubuhkan oleh Dato' Mohamed Nasir. Kerana pengaruh Ahmad Yatim, dua anaknya iaitu Daud Yatimee Ahmad dan Hanifa Ahmad (menantu Ustaz Amaluddin) telah dicalonkan oleh Berjasa masing-masing di kerusi Dun Tok Uban dan Meranti. Kerana memenangi kedua-dua kerusi ini, Daud Yatimee Ahmad dilantik sebagai Speaker Dun Kelantan (1978-1982) dan Hanifa Ahmad sebagai anggota Exco Kerajaaan Negeri Kelantan (1978-1982) dalam Kerajaan BN Kelantan.

Walaupun Daud Yatimee berjaya mempertahankan kerusi Dun Tok Uban hingga 1990, tetapi kerusi Meranti berjaya dirampas semula oleh PAS pada 1982, sebelum Adun PAS, Dato' Nik Man Nik Mat menyertai Hamim pada 1983. Setelah menyertai semula PAS dan berkhidmat dengan PKINK sejak 1991, Hanifa Ahmad telah dicalonkan oleh PAS dalam Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Pasir pada 6 Disember 2005, tetapi tewas tipis. Dalam Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008, Hanifa Ahmad telah berjaya menjadi Adun Pengkalan Pasir dan dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan kali kedua. Dato' Hanifa Ahmad mencipta sejarah sebagai satu-satunya Adun Kelantan yang menjadi anggota Exco dalam Kerajaan BN (1978-1982) dan Kerajaan PAS (2008-2016). Beliau juga menjadi satu-satunya rakyat Kelantan yang menjadi anggota Exco tiga keturunan bersama ayahnya, Ahmad Yatim (1964-1969) dan datuknya, Abdul Rahman Daud (1959-1962).

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: