01 Jun 2016

01 Jun 1974 : PAS Turut Serta Asaskan Barisan Nasional

Pada hari ini dalam tahun 1974, PAS telah turut serta dalam mengasaskan sebuah pakatan politik nasional yang baru, Barisan Nasional (BN) yang telah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966. BN didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti-parti politik untuk membentuk sebuah pakatan politik kuat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1974. Pakatan politik sebelumnya, Perikatan hampir tewas dalam Pilihan Raya Umum Ketiga pada 1969 yang telah menggugat kestabilan politik negara.

Hubungan politik antara PAS dengan parti-parti lain terbentuk kesan dari tragedi 13 Mei 1969, di mana PAS telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain menyertai Kerajaan Pusat mulai 1 Januari 1973. Pada 17 Januari 1974, parti-parti yang terlibat dalam Kerajaan Campuran telah membincangkan kerjasama mereka dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1974, dan PAS mengambil sikap awal bersetuju untuk bekerjasama dalam pilihan raya tersebut, tetapi tidak bersetuju dengan penggunaan simbol yang sama. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Januari 1974 telah dimaklumkan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda tentang pendirian parti-parti tersebut untuk bertanding atas nama "Front National".

Bertindak atas perkara tersebut, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Januari 1974 telah mengarahkan Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS Pusat supaya membuat kajian dari sudut politik dan juga Perlembagaan BN, manakala Dewan Ulamak PAS Pusat diarahkan membuat kajian terperinci tentang hukum kerjasama tersebut dari sudut syarak. Pada 27 Januari 1974, Dewan Ulamak PAS Pusat mengambil pendirian harus PAS menyertai BN untuk mencapai matlamat PAS dengan syarat mengekalkan identiti PAS sebagai sebuah parti Islam, manakala Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS Pusat pada 16 Februari 1974 pula bersetuju PAS menyertai BN sebagai sebuah 'gabungan parti politik,' bukannya 'pertubuhan politik.' Dengan pendirian ini, PAS telah bersetuju menyertai pakatan politik yang baru dan PAS telah mencadangkan supaya ia dinamakan sebagai 'Barisan Nasional.' PAS turut mencadangkan supaya simbol 'Kapal Layar' ditukar kepada 'Dacing' sebelum contoh simbol tersebut dilukis oleh Abdul Ghafar Baba, Naib Presiden Umno. Sebagai langkah permulaan, pada 20 April 1974, satu rapat umum bersama antara Yang Dipertua Agung PAS dengan Presiden Umno, Tun Abdul Razak Hussein diadakan di Temerloh, Pahang yang dihadiri oleh lebih 80,000 pendengar.

Akhirnya, pendaftaran BN yang dikemukakan oleh parti-parti tersebut telah diluluskan pada 1 Jun 1974 dengan dianggotai sembilan buah parti iaitu Umno, MCA, MIC, PAS, Gerakan, PPP, SUPP, PBB dan Perikatan Sabah. Pada 13 Jun 1974, Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat telah meluluskan usul keharusan PAS menyertai BN dengan alasan "...Barisan Kebangsaan (BN) dari sudut pembentukannya, tujuan-tujuannya dan memerhatikan dengan jauh dan cermat keadaan suasana negara kita Malaysia ini serta perkembangan-perkembangan politiknya dan politik negara sekitarnya, dipadankan dengan petunjuk-petunjuk daripada nas al-Quran dan as-Sunnah serta berpandu kepada kaedah-kaedah fiqh, maka kesimpulan dari muzakarah (muktamar ini) sepakat dari ijtihad kami bahawa penyertaan PAS ke dalam BN itu harus jua adanya." Dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS pada 13 Jun 1974, sebelum Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat dilangsungkan, Dato' Mohd Asri telah menjelaskan tiga sebab besar PAS perlu berada dalam BN, iaitu:

I. Untuk Menjamin keutuhan kuasa dan pimpinan politik kita (umat Islam) dalam menghadapi masyarakat majmuk; dan

II. Objektif BN tidak sedikit pun dapat menyekat kebebasan PAS untuk mengembang dan memperjuangkan konsep dan prinsipnya, iaitu Islam. Antara objektif BN ialah "menegakkan Islam sebagai agama Persekutuan."

III. BN adalah sebuah konfederasi (gabungan) politik yang tidak mengikat identiti PAS, walaupun menyertai pilihan raya menggunakan simbol yang sama.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-20 pada 13-15 Jun 1974 kemudiannya meluluskan usul Dewan Pemuda PAS Pusat untuk membolehkan PAS menyertai BN dengan disokong oleh Dewan Ulamak PAS Pusat. PAS berada dalam BN sehingga ia dipecat dari pakatan politik itu pada 13 Disember 1977 ekoran krisis politik Kelantan.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: