23 Jun 2016

23 Jun 2002 : Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor Meninggal Dunia

Pada hari ini dalam tahun 2002, Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor yang juga Ketua Pembangkang telah meninggal dunia di Hospital UKM, Cheras setelah mengalami komplikasi jantung akibat pembedahan yang dilakukan pada 10 Jun 2002. Beliau terkena serangan jantung ketika menghadiri satu seminar tentang perlaksanaan hudud di Terengganu pada 11 Mei 2002 telah dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu sebelum beliau menghadiri Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-48 pada 31 Mei hingga 2 Jun 2002 di Putik, Kota Bharu. Pada 8 Jun 2002, beliau menjalani pemeriksaan di Hospital UKM sebelum membuat pembedahan saluran jantung pada 10 Jun 2002 yang menyebabkan beliau diserang stroke dan tidak sedarkan diri.

Ustaz Fadzil Mohd Noor yang dilahirkan di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah pada 13 Mac 1937 merupakan cicit kepada ulamak terkenal, Tuan Guru Haji Idris al-Jarumi atau lebih dikenali sebagai Tok Sheikh Jarum. Beliau mendapat pendidikan di Maktab Mahmud, Alor Setar (1951-1959) dan Universiti al-Azhar, Mesir (1963-1967) dalam bidang syariah sebelum menjadi pensyarah UTM sehingga 1978. Selepas bersara dari dunia akademik beliau terlibat dalam kepemimpinan PAS sepenuh masa. Beliau yang lahir dari tarbiyah PAS sejak 1954 telah menjadi ahli PAS sebaik sahaja pulang dari Mesir pada 1967.

Bakat kepemimpinan beliau telah menonjol sejak di Maktab Mahmud lagi apabila menjadi pemimpin pelajar peringkat Alor Setar dan Kedah, selain turut terlibat dalam Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) sebelum ke Mesir pada 1963. Di Mesir, beliau memimpin Persatuan Melayu Mesir (PMM) sebagai Timbalan Presiden. Sejak pulang ke Malaysia, beliau telah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) (1974-1976), Setiausaha Perkim Kedah (1973-1975), Timbalan Presiden ABIM (1974-1978) dan memangku jawatan Presiden ABIM ketika Anwar Ibrahim ditahan ISA (1975-1977).

Penglibatan aktif beliau dalam PAS bermula 1978 apabila beliau menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum menentang Datuk Senu Abdul Rahman. Mulai 1979 beliau mula menjadi Yang Dipertua PAS Kuala Kedah dan Ahli Badan Perhubungan PAS Kedah. Beliau kemudian dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1978-1979), Naib Yang Dipertua Agung PAS (1979-1982), Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (1982-1989) dan Presiden PAS mulai 1989. Beliau turut menjadi ADUN Bukit Raya (1982-1999), ADUN Anak Bukit (1999-2002) dan Ahli Parlimen Pendang (1999-2002). Pada 1999, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Ustaz Fadzil terkenal dengan politik tahaluf siyasinya telah berjaya menggerakkan pembangkang melalui pakatan politik Angkatan Perpaduan Ummah (1989-1996) dan Barisan Alternatif (1999-2008). Beliau juga mengetuai gerakan rakyat di bawah Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang ditubuhkan pada 22 September 1998 ekoran penahanan ISA Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan kematian beliau pada 23 Jun 2002, Timbalan Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu telah mengambil alih jawatan Presiden PAS dan juga Ketua Pembangkang.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: