09 Jun 2016

09 Jun 1989 : PAS Kelantan Setuju Adakan Persefahaman Politik Untuk Tawan Kelantan

Pada hari ini dalam tahun 1989, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah meluluskan satu kertas cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman untuk membolehkan PAS merampas Kelantan dari BN melalui persefahaman politik. Kertas yang bertajuk 'At-Tafahum Siyasi: Persefahaman Politik Dalam Pilihan Raya' ini menggariskan strategi PAS Kelantan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Kesembilan setelah Umno diharamkan pada 4 April 1988. PAS melihat perpecahan Umno ini sebagai peluang terbaik untuk mengambil alih semula Kelantan yang menyebabkan PAS pada 9 Oktober 1988 mengambil strategi mendekati S46 dan Berjasa.

Terdahulu, setelah Umno diharamkan, Berjasa telah mengambil inisiatif mewujudkan gabungan politik Islam atas nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang turut disertai oleh S46, sebelum Hamim dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) turut berbuat demikian. Dalam PAS sendiri, sejak akhir November 1987 telah ada usaha yang dibuat oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS untuk menyatukan PAS dengan Team A Umno (Umno Baru) dalam 'Barisan Islamiyyah,' tetapi PAS pada 9 Oktober 1988 bersetuju menerima kertas cadangan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri, "Tinjauan Ringkas Politik Semasa dan Sikap Yang Perlu Diambil oleh PAS," yang mencadangkan PAS mendekati Team B Umno (kemudiannya dikenali sebagai S46). S46 yang kemudiannya membentuk APU bersama Berjasa, kemudiannya mula mengadakan persefahaman dengan PAS.

Di Kelantan secara khusus, keadaan politik menjadi lebih menarik kerana PAS bukan sahaja memiliki 10 daripada 39 kerusi DUN, tetapi kebanyakan kerusi yang diwakili Umno adalah kerusi marginal di bawah 1,000 undi majoriti. Perpecahan Umno telah membuka ruang kepada PAS di mana pada 12 Mac 1988, Adun Banggol, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman telah membuat usul undi tidak percaya kepada Tan Sri Mohammed Yaacob, Menteri Besar Kelantan, walaupun tidak disokong oleh Team B Umno. Tetapi, setelah Team B Umno menubuhkan S46 secara rasmi pada 3 Jun 1989, keadaan politik Kelantan telah berubah.

Menurut analisa Ustaz Abdul Halim dalam kertasnya, PAS telah menguasai sekitar 46 peratus undi popular di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum 1982 dan 1986, yang bermakna memerlukan lonjakan sekitar lima peratus untuk menguasai semula Kelantan. Berpandukan hukum tahaluf yang diharuskan seperti dalam kertas kerja Tuan Guru Hajj Abdul Hadi Awang pada 9 Oktober 1988, PAS Kelantan mencadangkan supaya satu tafahum siyasi (persefahaman politik) diwujudkan dengan APU tanpa PAS menyertainya. PAS melihat S46 mempunyai sejumlah penyokong di kalangan bekas ahli dan penyokong Umno, sedang Berjasa disokong oleh bekas ahli PAS. Persefahaman ini boleh melonjakkan undi popular PAS di Kelantan. Ustaz Abdul Halim juga mencadangkan supaya PAS memerintah negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah jika menang, Bulan Purnama kekal sebagai simbol PAS walaupun manifesto bersama.

Kertas kerja yang diluluskan oleh Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 9 Jun 1989 ini diterima sebagai strategi PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990, di mana PAS memenangi 24 daripada 39 kerusi dan bakinya dikuasai oleh S46 (14 kerusi) dan Berjasa (satu kerusi). Sejak kemenangan ini, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pesuruhjaya PAS Kelantan telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan dan PAS menerintah dengan dasar 'Membangun Bersama Islam' hingga hari ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: