08 Jun 2016

08 Jun 1976 : PAS Cadang Tubuhkan Barisan Nasional Sabah Selesaikan Krisis Politik

Pada hari ini dalam tahun 1976, Dewan Harian PAS Pusat telah bersetuju untuk mencadangkan satu formula kerjasama parti-parti politik di Sabah bagi menyelesaikan krisis kepemimpinan yang berlanjutan sejak awal 1971 lagi. PAS mencadangkan supaya dua parti utama Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) diterima sebagai anggota BN dan dibentuk Kerajaan Campuran Berjaya-Usno atau Kerajaan BN Sabah bagi menstabilkan politik negeri itu. Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 14 April 1976, Berjaya telah mendapat 28 daripada 48 kerusi, sedangkan 20 kerusi lagi dimenangi oleh Usno.

Krisis politik Sabah tercetus apabila Tun Datu Mustapha Datu Harun, Ketua Menteri Sabah menuntut hak ekonomi Sabah dalam isu balak dan minyak pada 1971, yang menyebabkan Kuala Lumpur campur tangan dalam urusan Sabah. Selain menghantar Syed Kechik al-Bukhary ke Sabah, Kuala Lumpur turut menggunakan Datuk Abdul Rahman Yaakub, Ketua Menteri Sarawak dan Datuk Harris Salleh, Setiausaha Agung Usno untuk menjatuhkan Tun Datu Mustapha. Pada 23 April 1976, Tun Datu Mustapha telah membentangkan kertas "Kedudukan Sabah dan Masa Depan Sabah Dalam Malaysia," yang mencemaskan Kuala Lumpur sehingga Datuk Mohamad Said Keruak dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah pada 1 November 1975.

PAS yang mempunyai sikap menyokong Usno di Sabah menyedari krisis politik ini adalah berpunca daripada tindakan Tun Abdul Razak Hussein untuk menjatuhkan Tun Datu Mustapha. Tun Abdul Razak telah menaja kerjasama serpihan Usno, Datuk Harris Salleh dengan bekas parti UPKO pimpinan Tun Mohd Fuad Stephen bagi membentuk Berjaya pada 15 Julai 1975. Akibatnya, Berjaya dapat mengalahkan Usno dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 14 April 1976. Sedangkan ketika ini, Usno dan Sabah Chinese Association (SCA) yang membentuk Perikatan Sabah sejak 1967 merupakan parti komponen BN sejak penubuhannya BN pada 1 Jun 1974. Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda berbeza pendapat dengan Tun Abdul Razak dalam soal ini kerana PAS mengambil kira kedudukan Usno sebagai komponen BN, sedangkan Tun Abdul Razak melihat ancaman Tun Datu Mustapha terhadap Kuala Lumpur.

Sikap PAS terhadap Usno dan Tun Datu Mustapha dipengaruhi oleh peranan Tun Datu Mustapha terhadap perkembangan Islam di Sabah. Tindakan Tun Datu Mustapha memajukan Islam menerusi penubuhan United Sabah Islamic Association (USIA) pada 1969 dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada 1971 serta kejayaan meletakkan Islam sebagai agama negeri Sabah pada 23 September 1971, telah menyebabkan PAS 'menyerahkan' kepada Usno untuk membangunkan Islam di Sabah, termasuk membiarkan PAS Sabah yang ditubuhkan pada Ogos 1964 terkubur supaya ia tidak bersaing dengan USIA. Sokongan PAS kepada Usno juga sangat penting kerana ketika ini gerakan Kristianisasi sedang pesat berkembang di Filipina dan Sarawak, di mana mereka meletakkan Sabah sebagai sasarannya. Banyak kajian mengatakan kejatuhan Tun Datu Mustapha pada 1975 bukan semata-mata kerana krisis dengan Kuala Lumpur, tetapi terdapat gerakan antarabangsa menjatuhkan beliau kerana kegiatan dakwah Islam di Sabah.

Ketika krisis politik Sabah memuncak ekoran saingan Berjaya terhadap Usno, PAS pada 15 Januari 1976 telah mencadangkan supaya BN menerima keahlian Usno, tetapi menolak keahlian Berjaya yang dilihat mengancam Usno. Setelah DUN Sabah dibubarkan, PAS pada 17 Mac 1976 memutuskan untuk menghantar jentera pilihan raya ke Sabah bagi membantu Usno, tetapi ditangguhkan oleh PAS pada 24 Mac 1976 untuk mengelakkan salah faham parti komponen BN. Pendirian PAS dalam soal Sabah ternyata meletakkan Islam lebih ke hadapan, berbanding kepentingan politik kepartian. Bagi PAS, Kerajaan Perikatan Sabah yang diketuai Tun Datu Mustapha telah memberi kelebihan kepada Islam.

Walau bagaimanapun, ekoran kekalahan Usno dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 14 April 1976, sikap PAS terhadap Berjaya telah berubah untuk menyelamatkan Islam. PAS sedar walaupun dua pemimpin utama Berjaya, Tun Mohd Fuad Stephen (Presiden) dan Datuk Harris Salleh (Timbalan Presiden) beragama Islam, tetapi bekas ahli UPKO yang membentuk Berjaya majoritinya bukan Islam. Ini terbukti daripada 28 kerusi yang dimenangi Berjaya, hanya tiga kerusi sahaja mewakili kawasan Bumiputera Islam iaitu Lahad Datu, Papar dan Kawang. PAS juga bersetuju dengan pendirian Dewan Pemuda PAS Pusat pada 6 Jun 1976 yang melihat peranan Berjaya "menodai Islam" di Sabah. Sebagai jalan tengah untuk menyelesaikan kekusutan ini, pada 6 Jun 1976, PAS telah mencadangkan supaya Berjaya dan Usno membentuk Kerajaan Campuran atau kedua-dua parti diterima sebagai anggota BN dan membentuk Kerajaan BN Sabah bagi membolehkan Usno mengimbangi pengaruh bukan Islam dalam kerajaan.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: