30 Jun 2016

30 Jun 1996 : PAS Setuju Putuskan Hubungan Dengan Parti Melayu Semangat 46

Pada hari ini dalam tahun 1996, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah sebulat suara bersetuju supaya PAS memutuskan hubungan dengan parti serpihan Umno, PMS46 setelah Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor memberikan keyakinan bahawa pemutusan ini tidak akan melumpuhkan kedudukan PAS di Kelantan. Hubungan PAS dengan PMS46 yang dibina sejak akhir 1988 telah mulai retak selepas Pilihan Raya Umum 1995 ekoran tindakan PMS46 menuntut kuota Exco Kerajaan Negeri parti Berjasa untuk mereka, selain bertindak menyokong calon DAP dalam perlantikan Ketua Pembangkang. Sejak itu, hubungan kedua-dua parti mulai dilandai konflik dan krisis.

Walaupun PAS masih membantu PMS46 dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Gua Musang yang ditandingi oleh Presiden PMS46, Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) pada 29 Ogos 1995, bibit kerenggangan telah timbul kerana pemimpin utama PAS tidak datang berkempen ekoran berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-41 pad 25-27 Ogos 1995. Sebelum itu, pada 16 Julai 1995, PAS telah menolak cadangan Ku Li supaya semua parti pembangkang, termasuk DAP bergabung bagi mengukuhkan barisan pembangkang, sebaliknya PAS hanya bersetuju supaya pembahagian kerusi dibuat awal untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Konflik sebenar timbul apabila anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan dari PMS46, Nik Mustapha Nik Loding menentang arahan kerajaan supaya persembahan kesenian dan hiburan tidak diadakan di sebelah malam dalam satu ekspo yang diadakan di Kota Bharu, yang kemudian mengundang campur tangan Timbalan Presiden PMS46, Datuk Dr Rais Yatim pada Oktober 1995. Setelah itu timbul pula beberapa isu yang melibatkan istana seperti penswastaan air kepada Kelantan Water Sendirian Berhad (KWSB), perlantikan Pengarah YIK dan projek pembangunan tebing Sungai Kelantan oleh syarikat Adorna Holding Sdn Bhd.

Ekoran isu-isu ini, PAS Pusat pada 14 Oktober 1995 telah dicadangkan untuk menyemak semula hubungan dengan PMS46, dan pada 20 Januari 1996, PAS Pusat menerima laporan yang menyimpulkan PMS46 sebagai liabiliti kepada PAS. Pada 2 Februari 1996, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mencabar PMS46 supaya mengkaji semula hubungan dengan PAS ekoran tindakan ahli-ahli mereka memboikot majlis angkat sumpah Ahli Majlis MPKB pada 30 Januari 1996. Sebaliknya, Ketua PMS46 Kelantan, Dato' Rozali Isohak meminta rundingan kedua-dua pihak diadakan.

Pada 19 Februari 1996, Ku Li telah mendedahkan bahawa PMS46 akan menghadiri majlis ulang tahun Umno ke-50 pada 11 Mei 1996, diikuti oleh pengakuan beliau untuk menyertai semula Umno pada 13 April 1996. Pada 7 April 1996, sekali lagi timbul isu program hiburan ekspo di Pasir Pekan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan yang membawa krisis ini kepada campur tangan istana. Pada 7 Mei 1996, sekali lagi Ku Li mengumumkan bahawa akan menyertai Umno selepas beliau berjumpa Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Ekoran hubungan kedua-dua parti telah begitu tegang, pada 5 Mei 1996, PAS Kelantan mengarahkan pimpinannya tidak membuat kenyataan terbuka kepada media, dan Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-42 pada 14-16 Jun 1996 tidak menyentuh soal hubungan dengan PMS46. Sebaliknya, beliau menyeru umat Islam bersatu atas nama Islam dan meninggalkan perjuangan Melayu. Setelah muktamar ini selesai, PAS Pusat yang mempertimbangkan krisis PAS-PMS46 pada 30 Jun 1996 telah bersetuju supaya PAS memutuskan hubungan dengan serpihan Umno itu. Pada 13 Julai 1996, Majlis Syura Ulamak PAS bersetuju dengan pendirian Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, diikuti oleh pemutusannya bermula 14 Julai 1996.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: