Memaparkan catatan dengan label Fikrah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fikrah. Papar semua catatan

11 Jun 2025

Isteri Di Balik Tabir Perjuangan

Isteri saya bukanlah jenis yang gemar ke depan. Senyumannya biasa, langkahnya sederhana. Lebih sebulan yang lalu, namanya ada disebut dalam satu majlis yang cukup besar ertinya sempena Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Pandan.

Saya menulis ini bukan untuk meninggikan, tetapi untuk menghargai. Jika ada yang sudi mengambil hikmah, saya berkongsi ini dengan penuh rendah hati.

Kerana pada saya — perkahwinan bukan insurans untuk gerak kerja dalam jamaah Islam PAS. Ia adalah vitamin. Ia menyegar, tetapi tidak menjamin.

07 Januari 2025

Zionis Merosakkan Konsep Madani


Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali (berhubungan dan bermasyarakat)! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
[Surah al-Hujurat: 13]
Berpandu kepada ayat ini, Ibn Khaldun RH menulis dalam al-Muqaddimah yang bermaksud:
“Manusia itu bercirikan masyarakat madani secara tabii (fitrah atau naluri).”
[Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun, Jld. 1 (al-Muqaddimah), Hlm. 54]
Manusia itu wajib bermasyarakat dan bertamadun bagi memenuhi keperluan hidup dan peranannya tanpa mengira bangsa dan agama.

01 Januari 2025

Dosa Sekularisme Lebih Besar Daripada Fitnah Dan Membunuh


Teori sekularisme yang memisahkan urusan kehidupan manusia daripada agama ialah ciptaan manusia dalam kalangan ahli falsafah bukan Islam, termasuk dalam syirik akbar yang menentang aqidah tauhid yang diperjuangkan oleh semua anbiya’. ‘Syirik Akbar’ ialah dosa yang tidak diampunkan oleh Allah dan ditutup pintu taubatnya selagi amalan syirik itu tidak dibatalkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya, Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia mengampunkan segala dosa yang selain (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar. Adakah kamu tidak memerhatikan orang yang menganggap diri mereka bersih? Sebenarnya, Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mereka tidak dizalimi sedikit pun. Perhatikanlah, betapa mereka mengada-adakan pendustaan terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang nyata (bagi mereka).”
[Surah al-Nisa’: 48–50]

01 Januari 2018

Sepuluh (10) Kaedah Dakwah Dalam Islam (Sheikh Dr. Jum'ah Amin)

Dakwah adalah suatu agenda yang sangat sinonim dengan kehidupan seorang Muslim yang hidup bersama Gerakan Islam. Bahkan, ia adalah merupakan suatu kewajipan hakiki yang harus difahami bagi setiap ahlinya, khususnya bagi mereka yang berintima' (terlibat) secara langsung dengan sebuah Jamaah Islam ini yang bersifat Harakah. Matlamat Gerakan Islam ini sememangnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan Islam berada di kedudukan yang tertinggi di hati masyarakat.

03 Januari 2016

Keikhlasan Terhadap Perjuangan Islam

Bukan mudah untuk kita menjadi ikhlas. Suatu ketika, saya ditanya oleh ayah saya, "Kamu masuk PAS ni, pergi mesyuarat ke sana sini, tak kan kamu tak dapat apa-apa elaun?".

Saya senyum dan faham terhadap soalan ayah. Beliau risaukan anaknya tak berduit, apatah lagi dengan keadaan kami yang telah berkeluarga. Saya pula, tidak pernah terfikir untuk meminta sesuatu Bahkan, duit yang diperolehi, biasanya diserahkan semula sebagai infak. Malu untuk saya ambil dengan amal islami yang tidak seberapa.

Perjuangan bukan mudah walaupun nampak seronok. Seorang pejuang boleh kalah dengan wang. Wang pula adalah keperluan.

KEIKHLASAN TERHADAP PERJUANGAN ISLAM
Oleh: Al-Fadhil Ustaz Nasrudin bin Hasan At-Tantawi [Ketua Penerangan PAS Pusat]

Keikhlasan adalah rahsia antara seorang pejuang dengan Tuhannya. Ia pula menjadi sumber utama yang menentukan nusrah (pertolongan) dalam mencapai kemenangan daripada Allah. Keikhlasan seorang pejuang merupakan jambatan utuh antara dirinya dengan Allah dan ini memudahkan urusan membina hubungan erat (taqarrub) yang berterusan. Melalui hubungan erat inilah pula akan disalurkan pertolongan dan kemenangan.

Masakan tidak, kerana keikhlasan melahirkan kesungguhan bekerja dan bertugas tanpa mengharapkan balasan atau imbuhan dunia yang sedikit. Kesungguhan tersebut pula akan menghasilkan kualiti perjuangan yang tinggi malah turut merningkatkan reputasi pejuang itu sendiri.

Keikhlasan turut berfungsi sebagai formula yang sangat berkesan untuk membunuh virus yang terbit dari sifat mazmumah (negatif) seperti:

1- Riya’ : bekerja untuk diperlihatkan kepada umum kononnya ia seorang yang rajin dan tekun sedang prestasinya merosot jika tiada orang melihat aksinya.

2- U’jub : bangga diri kerana telah banyak memberi sumbangan kepada jamaah dan merasakan orang lain tidak sepertinya.

3- Hubbu Riyasah : cinta jawatan sehingga mendorong berlakunya lobi melobi, politik cantas, gerakan sulit menjatuhkan rakan, membunuh karektor, fitnah) dan sebagainya yang merosakkan keikhlasan beramal dengan amal Islami.

Tanpa keikhlasan dalam perjuangan, biarpun sehebat mana pengaruh dan publisiti yang berjaya diraih kesannya sangat memudaratkan jamaah. Paling minima kesan yang bakal diterima ialah hilangnya keberkatan dan kemanisan berjuang. Seterusnya mencetuskan pelbagai konflik dalaman yang melambatkan perjalanan jamaah dan kemuncaknya ialah Allah swt membatalkan jadual kemenangan yang telah dijanjikan-Nya.

Terdapat berberapa tanda keikhlasan dalam perjuangan Islam :-

Petanda Satu : Nawaitu yang jelas dan tepat hanya kerana Allah, tidak kerana target nak jadi ketua atau seumpamanya sehingga melanggar disiplin amal Jama’ie atau membina imej diri sehingga merempuh sistem syura dalam amal Islami.

“Sesungguhnya amalan berasaskan niat dan sesungguhnya bagi setiap individu terpulang kepada apa yang diniatkan, maka barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kembali kepada Allah dan Rasul-Nya dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia (tujuan keduniaan) yang ingin diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya kembali kepada tujuan asal hijrah yang ia lakukan.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Nawaitu yang betul sangat diperlukan oleh seorang pejuang kerana ia kelak akan berfungsi sebagai senjata dan penangkis agar ia tidak gugur dari perjuangan suci ini sekalipun diuji dan digoncang perasaannya. Hasil nawaitu yang ikhlas ini mercerna 5 sifat positif bagi seorang pejuang iaitu ;

1. Jiwa yang tenang
2. Rohani yang kuat
3. Istiqamah terhadap tugas
4. Semua tugas menjadi ibadat
5. Beroleh ganjaran dalam tugas

Petanda Dua : Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan. Jawatan hanya menjadi alat dan pengagihan tugas, bukan platform amal. Sikap hanya aktif semasa memegang jawatan dan menghilangkan diri dikala tidak berjawatan adalah sikap negatif yang menzahirkan ketidakikhlasan dalam perjuangan. Contohilah Khalid ibn al-Walid yang menerima surat pemecatan di tengah medan perang dari Amir al-Mukminin Umar al-Khattab, tetapi Khalid al-Walid meneruskan perjuangan sehingga perang selesai, baharulah surat itu diwartakan kepada umum.

Lantas sahabat mempersoalkan kenapa Khalid al-Walid terus berperang walhal ia tidak lagi menjadi ketua turus tentera waktu itu. Khalid al-Walid mengemukakan jawapan yang cukup jelas mempamerkan keikhlasan seorang pejuang bahawa ia berjuang dan berperang bukan kerana Umar tetapi kerana Allah.

Petanda Tiga : Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran, kerana sikap ini bukan sahaja menyuburkan budaya At-Tanasuh (nasihat-menasihati) dikalangan anggota parti / jamaah malah menyemarakkan semangat keikhlasan berjuang. Justeru mereka yang memperjuangkan kepentingan peribadi dan merasakan hanya dirinya yang betul, pasti tidak akan memiliki sikap tersebut.

“Agama ialah nasihat, lantas kami bertanya; Bagi siapa? Rasulullah menjawab, bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin muslimin dan orang-orang awam mereka (Muslimin).”
[Riwayat Muslim]

Petanda Empat : Tidak bermain alasan untuk mengelak diri dari aktiviti jamaah. Sebaliknya gigih berikhtiar untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa. Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.”
[Surah al-Taubah : 44 - 45]

Petanda Lima : Bersedia menerima arahan dalam apa jua keadaan sungguhpun arahan itu tidak bersesuaian dengan keinginan diri. Sanggup mengenepikan kepentingan peribadi demi bukti sebuah keikhlasan.

Petanda Enam : Prihatin terhadap keperluan jamaah. Memberi tumpuan penuh dan serius terhadap jadual aktiviti dan keperluan semasa dengan rasa tanggungjawab, tidak hanya menanti surat jemputan atau arahan. Rasa terpanggil untuk menunaikan keperluan jamaah adalah sikap yang mempamerkan keikhlasan seorang pejuang.

Petanda Tujuh : Tolak ansur dalam mengendali gerak kerja dan masalah jamaah jua menjadi cermin ke arah melahirkan jiwa yang ikhlas. Tabiat mementingkan diri sendiri adalah jelas bertentangan dengan prinsip keikhlasan.

Petanda Lapan : Menghormati generasi terdahulu sekalipun mereka serba kekurangan kerana mereka sekurang-kurangnya menjadi mata rantai menyambung perjuangan suci ini.

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata; Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”
[Surah al-Hasyr : 10]

Petanda Sembilan : Post mortem dan muhasabah aktiviti yang telah dijalankan. Pejuang yang ikhlas tidak bersikap sambil lewa terhadap aktiviti jamaah yang dilaksanakan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”
[Surah al-Hasyr : 18]

Petanda Sepuluh : Mengakui dan menginsafi kesilapan yang dilakukan agar ia tidak berulang kembali. Pejuang yang ikhlas tidak teragak-agak dan malu untuk akui kesilapan malah segera insaf dan bertaubat.

Petanda Sebelas : Jaga rahsia jamaah, justeru ia suatu amanah yang mesti dipelihara oleh setiap anggota dan pimpinan. Perbuatan membocorkan rahsia jamaah seperti mendedahkan minit mesyuarat kepada mereka yang bukan ahli mesyuarat dan umum adalah merupakan perbuatan khianat yang tidak sewajarnya dilakukan oleh anggota atau peminpin jamaah.

Petanda Dua Belas : Menepati keputusan dan ketetapan jamaah. Ia merupakan kewajipan jamaei yang mesti dipatuhi. Mewujudkan jamaah dalam jamaah atau mesyuarat tidak rasmi selepas mesyuarat rasmi untuk merubah keputusan jamaah dan menyanggahinya adalah satu kesalahan serius dalam akhlak berjamaah.

19 November 2015

Jangan Khianat Dengan Jama'ah Islam

Hari ini, kita telah menyaksikan berberapa Ahli Parlimen Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengingkari arahan parti untuk berkecuali dalam menolak Belanjawan 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib bin Tun Abdul Razak pada 23 Oktober yang lalu. Mereka meyokong penolakan Belanjawan negara 2016, sekaligus meletakkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ke posisi 'government shutdown', sekaligus menjadikan ia sebagai suatu risiko yang membahayakan rakyat.

Mungkin juga ada di antara kita keliru mengapakah PAS bersikap berkecuali di dalam hal ini, PAS bukanlah sebuah parti politik baru seperti Parti Amanah Negara (PAN). Atas kefahaman kita terhadap keperluan thiqah terhadap pimpinan dan mempercayai pengalaman politik gerakan Islam ini, kita menerima dengan sikap terbuka. Dalam masa yang sama, kita bersyukur kerana pimpinan PAS tidak pernah membiarkan pendokong dan penyokongnya tertanya-tanya dengan keputusan itu, bahkan ia telah diperjelaskan oleh Timbalan Presiden PAS di dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah:

PAS tidak mahu menghantar mesej bahawa kami membantah gaji kakitangan dan pencen pegawai kerajaan dinaikkan dan begitu juga bonus yang diharapkan mereka untuk mengurangkan beban masa ini yang terdapat di dalam Bajet 2016. Begitu juga, hasrat golongan berpendapatan rendah yang kini boleh menikmati gaji minima dan manfaat yang bakal diperoleh warga penoreh getah dan FELDA melalui Bajet 2016.
PAS tidak bersetuju dengan BRIM, tapi pada masa yang sama, PAS dan pembangkang lain tiada kuasa untuk menghalang kenaikan tol dan sebagainya meskipun ia di negeri yang ditadbir pembangkang dan rakyat yang kesempitan memerlukan bantuan ini sehinggalah ada alternatif yang lain di PRU14 nanti. Dan sekiranya pembangkang mendapat cukup sokongan untuk menang usul tidak percaya pada Bajet 2016, apakah yang akan berlaku selepas itu?
Pengalaman Amerika Syarikat, bilamana berlaku "goverment shutdown", selepas bajet Obama ditolak sehingga menyusahkan rakyat serta kakitangan kerajaannya, namun Obama terus berkuasa. "Goverment Shutdown" menyebabkan 800 ribu kakitangan kerajaan persekutuan di Amerika Syarikat terpaksa mengambil cuti sementara dan 1.3 juta lagi terpaksa lapor diri ke tempat kerja tanpa diberitahu bila gaji mereka akan dibayar. Akhirnya, rakyat Amerika menyalahkan pembangkang.
Oleh itu, sekiranya bajet berjaya ditolak, ia hanya memeritkan keadaan urusan harian rakyat tergantung termasuk gaji kakitangannya yang tidak boleh dibayar akibat tindakan itu, akan tetapi langsung tidak mengancam kedudukan perdana menteri mahupun BN yang menjadi fokus untuk ditumbangkan kerana tidak amanah. Percayalah Najib tidak akan meletakkan jawatan walaupun bajetnya ditolak.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Berdasarkan kenyataan yang telah dibuat oleh pimpinan PAS, PAS telah dilihat sebagai sebuah parti yang sangat berprinsip dan berpandangan jauh, selari dengan pandangan Nabi SAW dalam memeterai perjanjian Hudaibiyah lebih kurang 1400 tahun yang lalu. Bezanya, kekesalan Umar r.a. tidak disertakan dengan pengingkaran, tetapi 'disulami' dengan taat. Bagi PAS pada masa kini, kekesalan terhadap keputusan PAS telah disertakan dengan pengkhianatan berberapa ahlinya.

Moga Allah jauhkan kita dari menjadi sebahagian daripada pengkhianat Islam.

Di sini, saya ingin kongsikan sebuah artikel tarbiah yang telah ditulis oleh seorang Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Pusat. Moga bermanfaat, insha Allah.

JANGAN KHIANAT DENGAN JAMAAH ISLAM
Oleh: Al-Fadhil Ustaz Mohd Azmir bin Maideen [Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Pusat]

Khianat ialah perbuatan terkutuk dan jahat yang bertujuan menganiayai atau mendatangkan kecelakaan dan kekecewaan kepada orang lain, dengan melakukan tipu-daya, perbuatan licik, curang, belot atau tidak setia sama ada kepada negara dan seumpamanya. Khianat juga bererti membantu menguatkan musuh untuk melemahkan jamaah Islam, membocorkan rahsia, merosakkan reputasi jamaah Islam agar sokongan berpihak kepada sebaliknya. Secara umumnya khianat itu bererti mengingkari tanggungjawab yang telah dipercayakan terhadap dirinya, baik datangnya daripada orang lain mahupun daripada Allah dan Rasul-Nya. Menurut Raghib al-Asfahaniy, khianat dan nifak adalah dua jenis sikap yang serupa bahkan orang khianat itu boleh dianggap munafik. Perbezaannya, khianat memiliki konotasi sabotaj terhadap janji (bai'ah) sesama manusia, sedangkan nifak memiliki konotasi sabotaj terhadap agama Allah. Justeru nifak mempunyai erti yang lebih luas dan umum.

Sabda Rasulullah SAW:
 آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا ائْتُمِنَ خَانَ 
“Tanda kemunafikan ada tiga; apabila berkata dusta, apabila berjanji memungkirinya dan apabila diberi amanah khianat.”
(Riwayat al-Bukhari)
Berkata Imam al-Baidhawi di dalam tafsirnya, khianat adalah lawan kepada sikap amanah. Firman Allah di dalam Surah al-Anfal, ayat 27:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَخُونُواْ اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُواْ أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
Dalam ayat ini Allah membicarakan mereka yang berlaku khianat itu jelas sebenarnya beriman kepada-Nya (yakni mengetahui perintah-perintah Allah dan rukun-rukun agama-Nya), justeru di akhir ayat ini disebut {وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ} yakni kamu mengetahui bahawa yang demikian itu adalah amanah tanpa ragu-ragu lagi. Bertepatanlah makna “Mukmin” itu sendiri yang juga bermaksud mereka yang memegang panji amanah (yakni amanah kepercayaan terhadap Allah dan Rasul).

Perkataan mengenai khianat di dalam ayat ini diulang sebut sebanyak dua kali, sebahagian mufassirin menyatakan bahawa ia menandakan terdapat dua bentuk pengkhianatan di sini, iaitu pengkhianatan terhadap Allah dan Rasul-Nya, dan juga pengkhianatan kepada amanah yang telah dipercayakan manusia ke atasnya. Mereka yang khianat kepada Allah dan Rasul akan diadili di mahkamah Allah di akhirat kelak, mereka yang khianat kepada amanah orang lain akan diadili di dunia lagi apatah lagi di akhirat nanti.

Oleh kerana itu, merujuk situasi hari ini ada di antara gerakan-gerakan Islam seperti Ikhwan al-Muslimin, HAMAS termasuklah PAS yang mensyaratkan sighah (lafaz) baiah terutamanya kepada saff kepimpinan yang telah ditaklifkan untuk beriltizam bersama ketua sama ada senang atau susah, selama tidak menyuruh kepada mungkar, dan semata-mata untuk menegakkan syariat Allah. Bahkan mensyaratkan suatu hukuman yang boleh dijatuhkan di dunia lagi dalam kandungan baiah kifa’iyah {بيعة كفائية} (janji khusus untuk sebahagian) bagi menangani situasi kritikal andainya berlaku pengkhianatan terhadap Gerakan Islam.

Hal itu dilakukan sebagai peringatan kepada saff kepimpinan bahawa dosa pengkhianatan adalah sangat terkutuk apalagi ia dilakukan bukan sekadar berdepan dengan pengadilan Allah tetapi juga seluruh umat Islam yang dikhianatinya. Menurut Syaikh Dr. Abd al-Rahman al-Barr, Baiat al-Ridhwan adalah salah satu contoh baiah kifa’iyah kerana ia tidak sekadar melibatkan perintah untuk dengar dan taat arahan Rasulullah saw, tetapi juga ada di kalangan sahabat yang menuturkan sighah baiahnya untuk mati mempertahankan Islam.

Pengamalan PAS terhadap bai'ah adalah kesinambungan kepada salah satu Sunnah Anbiya’, dan PAS Kelantan antaranya yang telah mengaplikasikan ‘keharusan’ sighah khusus itu, iaitu baiah kifa’iyah ketika rata-rata PAS negeri majoritinya mengamalkan baiah ‘ainiyah {بيعة عينية}, untuk sighah umum. Ini kerana PAS Kelantan memiliki sejarah pengkhianatan yang tragis apabila wujudnya pimpinan-pimpinan yang ‘lompat parti’. Justeru, untuk mengelakkan pengkhianatan demi pengkhianatan, sighah khusus ‘talak tiga’ dicadangkan oleh al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengelakkan tragedi pengkhianatan jijik berulang.

Tanpa paksaan dan desakan, wakil-wakil rakyat PAS yang dicalonkan di negeri Kelantan rela berikrar sepenuh hati melafazkan sighah khusus tersebut. Kini, apabila berlaku pengkhianatan tiba-tiba wakil rakyat yang ‘lompat parti’ bertempik-teriak mengatakan ‘talak tiga’ itu tidak betul! Sesungguhnya PAS tidak ada masalah untuk menerima dengan lapang dada hujjah-hujjah kalian itu, sesungguhnya PAS juga tidak rela meruntuhkan mana-mana institusi rumah tangga, bahkan jika ada ruang agar ia dipertahankan, pertahankanlah dengan cara yang benar-benar menunjukkan kalian sayangkan keluarga iaitu dengan tidak mengkhianati baiah yang telah kalian lafazkan.

Iya, 1001 macam alasan dan tuduhan boleh kalian kemukakan terhadap PAS, tetapi tanyalah kepada hati kalian dengan ‘jujur’; apakah jawaban pengkhianatan kalian nanti di hadapan Allah swt setelah berikrar dan melafazkan janji? Apakah kalian yakin bahawa rakyat yang pergi mengundi redha dengan pengkhianatan kalian?

Imam al-‘Alusiy berkata dalam Ruh al-Ma‘ani:
 أَصْلُ الْخَوْنِ النَّقْصُ كَمَا أَنَّ أَصْلَ الْوَفَاءِ الْإِتْمَامَ، وَاسْتِعْمَالُهُ فِي ضِدِّ الْأَمَانَةِ لِتَضَمُّنِهِ إِيَّاهُ 
"Dasar perkataan khianat itu ialah kekurangan sebagaimana asalnya menyempurnakan janji (melaksanakan kepercayaan orang lain dengan penuh dedikasi) kemudian perbuatannya bersalahan dengan sifat amanah yang patut olehnya (yakni tidak beramal dengan apa yang disuruh).”
Sebahagian mufassirin berkata bahawa ayat ini (surah al-Anfal, ayat 27-28) diturunkan ke atas Abu Lubabah Ibnu ‘Abd Munzir, seorang sahabat Nabi ketika beliau diutus Rasulullah saw kepada suku kaum Bani Quraizhah setelah mereka menyerah kalah dan dikepung selama 21 malam (riwayat lain menyebut 25 malam) oleh tentera Muslimin.

Pada awalnya Rasulullah SAW mensyaratkan agar Bani Quraizhah patuh dengan hukuman yang akan dikendalikan Sa’ad ibnu Mu’az, tetapi Bani Quraizhah enggan lantas mencadangkan kepada Rasulullah saw agar dikirimkan Abu Lubabah kepada mereka kerana harta, kaum keluarga dan anak-anak Abu Lubabah ada bersama mereka. Rasulullah SAW bersetuju, lantas mengutuskan Abu Lubabah agar bertemu dengan Bani Quraizhah.

Di perkampungan Bani Quraizhah, kaum Yahudi yang terkepung bertanya kepada Abu Lubabah:
يَا أَبَا لُبَابَةَ، مَا تَرَى أَنَنْزِلُ عَلَى حُكْمِ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ
“Wahai Abu Lubabah apakah pendapatmu, kalaulah tadi hukuman ini diputuskan sahaja oleh Saad bin Muaz?”
Lalu Abu Lubabah menunjukkan tangan ke batang lehernya, maksudnya bahawa Saad bin Muaz ra tetap akan memutuskan hukum bunuh ke atas kamu wahai kaum Yahudi, yakni janganlah kalian buat begitu. Walaupun perbuatan itu hanyalah berbentuk isyarat pergerakan tangan, perbuatan Abu Lubabah itu jelas dinyatakan Allah swt sebagai pengkhianatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Sebelum ayat dari surah al-Anfal; 27-28 diturunkan, Abu Lubabah telahpun menyedari kesilapannya dan berkata:
وَاللَّهِ مَا زَالَتْ قَدَمَايَ عَنْ مَكَانِهِمَا حَتَّى عَرَفْتُ أَنِّي قَدْ خُنْتُ اللَّهَ تَعَالَى وَرَسُولَهُ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ
“Demi Allah, belum sempat aku mengangkat kedua kakiku dari tempat itu, aku telah sedar bahawa perbuatanku tadi sebenarnya adalah pengkhianatan terhadap Allah dan Rasul-Nya SAW.”
Para mufassirin menyebutkan bahawa pengkhianatan Abu Lubabah yang tidak disengajakan itu berlaku kerana menjaga maslahah syakhsiah (maslahah peribadi), justeru ayat seterusnya daripada ayat 28 surah al-Anfal ini berbunyi:
وَاعْلَمُوا أَنَّمَآ أَمْوَلُكُمْ وَأَوْلَـدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.”
Diriwayatkan selepas daripada itu Abu Lubabah tertunduk menyesal dan bertaubat sehingga beliau kurus kering kerana mengikat dirinya di tiang masjid mengharapkan pengampunan daripada Allah. Abu Lubabah tidak makan dan minum sampai tujuh hari (ada riwayat mengatakan enam hari dan sembilan hari), kemudian baharulah Rasulullah SAW memberitakan kepada Abu Lubabah bahawa Allah telah menerima taubatnya, beliau gembira lantas berazam untuk menyedekahkan seluruh hartanya kepada fakir miskin dan memulaukan kaum kerabatnya. Mendengar kesungguhan itu Rasulullah SAW melarang Abu Lubabah menyedekahkan seluruh hartanya dan mensyaratkan hanya 1/3 sahaja. Kepada orang yang melakukan khianat, selama ia tidak bertaubat dan kembali kepada kebenaran, atau tidak menyesali perbuatannya yang jijik itu bahkan terus angkuh dan sombong, Allah melarang wujudnya daya umat Islam untuk membela dengan hujjah bagi melindungi orang-orang yang berbuat khianat, atau bermusuh dengan orang yang tidak bersalah semata-mata kerana mengasihani orang yang melakukan khianat:
وَلاَ تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
“Dan janganlah kamu menjadi pembela orang-orang yang khianat.”
(surah al-Nisa’: 105)
وَلاَ تُجَادِلْ عَنِ الَّذِينَ يَخْتَانُونَ أَنفُسَهُمْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ مَن كَانَ خَوَّانًا أَثِيما
“Dan janganlah kamu berbantah-bantah (untuk membela) orang-orang yang mengkhianati dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat lagi bergelumang dosa.”
(surah al-Nisa’: 107)
Kesimpulannya, perbuatan khianat tidak hanya dikutuk sebagai maksiat dalam hukum agama tetapi juga mengandungi bahaya terhadap kehidupan sosial manusia. Hal ini kerana perbuatan khianat boleh menimbulkan sikap curiga dan permusuhan dalam masyarakat, dan hubungan sesama individu menjadi retak akibat kekacauan yang ditimbulkan oleh sikap khianat.

Abdullah bin Ubai adalah watak yang popular dalam siri-siri pengkhianatan terhadap perjuangan Rasulullah SAW. Bahaya yang ditimbulkan Abdullah bin Ubai sangat jelas ketika menjelang Perang Uhud, dia menghasut jamaah Muslimin agar keluar dari barisan jihad dan berhujjah kononnya itulah kehendak Nabi saw pada asalnya. 1000 pasukan Muslimin di Uhud, menjadi berkurang sehingga 700 orang. 

Peranan mereka sewaktu peristiwa Uhud membuktikan pengkhianat sering wujud dalam kehidupan jamaah Muslimin. Nabi Adam dikhianati Iblis, Nabi Musa dikhianati Samiri, Nabi Isa dikhianati Bani Israel, dan Nabi Muhammad dikhianati kaum munafik! Moga kita semua dikurniakan Allah jiwa yang istiqamah untuk menegakkan agamanya.

19 September 2015

Bai'ah Dan Sumpah Dari Sudut Siyasah Syar'iyyah

Mutakhir ini, isu Bai’ah wakil rakyat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah dirungkaikan oleh para asatizah yang kurang faqih dengan siyasah syar’iyyah. Bahkan, komen yang dibuat oleh para asatizah ini seolah-olah untuk menjaga kepentingan tertentu, hanya menyentuh tentang kifarah sumpah dan ia dilihat ‘menghalalkan’ perpindahan wakil-wakil rakyat yang diberi mandat atas tiket PAS ke parti-parti lain.

Saya berpendapat, lafaz bai’ah ini adalah satu KEPERLUAN dalam memastikan wakil rakyat PAS berkhidmat untuk Partinya, bukan untuk orang-orang lain yang berkepentingan. Bahkan, jika tidak berbai’ah sekalipun, ia tetap menjadi tanggungjawab wakil rakyat PAS untuk berkhidmat kepada PAS, demi meletakkan Islam di peringkat yang tertinggi, Insha Allah.

Bagi merungkaikan persoalan di atas, saya kongsikan penulisan Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi bin Awang untuk manfaat kita bersama:

FAHAMI MAKNA BAI'AH DAN SUMPAH
Oleh: Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang [Presiden PAS]

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran :
"Sesungguhnya orang-orang yang membeli perjanjian mereka dengan Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian di Hari Akhirat, Allah tidak berkata-kata Rahmat terhadap mereka, tidak juga menilik secara Kasihan kepada mereka, tidak juga memandang untuk memberi kesayangan terhadap mereka pada Hari Qiamat nanti dan tidak membersihkan mereka daripada dosa dan bagi mereka azab yang pedih. Dan sesungguhnya ada kalangan (ulamak ahli kitab itu) mereka yang mempermainkan lidah-lidah mereka dengan kitab (Allah) supaya menganggapnya hukum daripada kitab Allah, pada hal bukan daripada kitab Allah, dan mereka berkata lagi ini daripada Allah, pada hal bukan daripada Allah. Sebenarnya mereka berbohong terhadap Allah dalam keadaan mereka mengetahuinya."
(Surah Ali-Imran, ayat 77 - 78)
Ditafsirkan ayat ini oleh para ulamak salaf dan khalaf, yang perlu diketahui mafhumnya oleh ahli PAS yang istiqamah bersama Islam, supaya mengerti tujuan bai’ah dan sumpah. Ayat ini menggabungkan kedua-duanya, walaupun perkara bai’ah dan sumpah pada asalnya berbeza dan berasingan dan dilakukan dalam keadaan yang tidak sama. Namun, boleh dilakukan kedua-duannya bagi menambah keteguhannya dalam perkara yang besar dan mencabar, seperti perkara jihad dan amanah ummat, bahkan kadang-kadang dimasukkan pula laknat supaya tidak memandang mudah dalam perjuangan dan amanah itu, seterusnya supaya menjaga istiqamah apabila menghadapi cabaran yang besar.

Walaupun ayat ini sebabnya berkait dengan kisah golongan ahli kitab dengan nabi-nabi mereka yang meminta supaya mereka beriman dengan Nabi akhir zaman dan berjanji untuk berjuang bersamanya, namun pengajarannya wajib diikuti oleh kumpulan Islam yang berjuang menegakkan Islam. Maka Bai’ah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW bagi pengukuhan seseorang yang berada dalam saf perjuangan atau ditugaskan jadi pemimpin atau memegang jawatan penting. Di zamannya berlaku beberapa kali bai’ah yang berbeza keadaan dan mereka yang terlibat . Di antaranya ada Bai’ah ‘Aqabah, Bai’ah Nisaa dan Bia’ah Riduan (Hudaibiyyah) dan diteruskan selepasnya pula di zaman para sahabat dan tabi’ein. Ada pula ditambah dengan sumpah, bahkan digabungkan lagi di zaman mutaakhir dengan nazar, tolak dan laknat kerana dirasakan generasi kemudian lemah imannya dalam perkara yang ghaib saperti perhitungan dosa dan pahala atau berkat dan celaka, maka diikat lagi dengan perkara yang nyata di alam dunia seperti taklik, talak isteri dan sebagainya.

Maksud perjanjian dalam ayat tersebut ialah bai’ah yang berasal daripada perkataan bahasa arab "باع" (bermaksud menjual), kerana Allah membandingkan perjuangan menegakkan agamanya seperti membeli janji yang dijual oleh Allah dengan pahala yang besar. Laksana sesuatu yang dijual oleh Allah dengan bayaran pahala yang besar kerana besar pengorbanannya, sehingga Allah mengukuhkan janjinya saperti perjanjian menjual dan berhutang yang wajib dibayar, dengan janji pada Hari Qiamat yang merupakan ujian beriman kepada Allah, perkara Ghaib dan urusan Akhirat. Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang yang beriman itu diri mereka dan harta mereka."
(Surah At-Taubah, ayat 111)
Tujuannya, supaya dikorbankan bagi menegakkan Islam. Seterusnya Allah berfirman lagi:
"Barangsiapa yang menunaikan bai’ah (perjanjian jual belinya daripada Allah, maka bergembiralah dengan bai’ah yang kamu meteraikan itu. Itulah kemenangan yang sangat besar."
(Surah At-Taubah, ayat 111)
Allah juga berfirman dalam ayat yang lain berkaitan dengan perjuangan Islam juga laksana berhutang:
"Siapakah yang bersedia memberi hutang (pinjaman ) kepada Allah, pinjaman paling baik. Maka Allah berjanji membayarnya dengan berlipat kali ganda yang sangat banyak. Dan Allah boleh memegang dan membuka seluasnya dan kepadanya kamu dipanggil kembali (mengadapnya pada Hari Kiamat)."
(Surah Al-Baqarah, ayat 245)
Di atas perjanjian inilah maka diadakan bai’ah yang bermaksud perjanjin dengan Allah dalam perkara yang berkait dengan perjuangan Islam, di mana Allah yang menjual dan seseorang yang berjuang itu membelinya, seterusnya Allah membeli semula dengan keuntungan yang berlipat kali gandanya.

Ada pun sumpah yang disebut "يمين أيمان" (Aiman atau Yamin) daripada makna tangan kanan bermaksud mengukuhkan janji seperti memegang dengan tangan kanan yang terkuat, mengikut hukum Syarak dengan menyebut nama Allah (Demi Allah). Kebiasaannya dalam perkara kehakiman, sehingga diluaskan dalam perkara pergaulan hidup bermasyarakat yang wujudnya perselisihan biasa, sehinggalah bagi menegaskan janji membuat sesuatu atau meninggalkannya dilafazkan sumpah, sehingga akhirnya dimudah-mudahkan dalam perbualan dan gurauan , lalu Allah memberi amaran:
"Dan janganlah kamu jadikan Allah dipergunakan untuk bersumpah bagi menghalang kamu melakukan perkara kebajikan dan bertaqwa dan melakukan islah dikalangan manusia, dan Allah itu Maha mendengar lagi Maha Mengetahui)."
(Surah Al-Baqarah, ayat 224)

Maka Allah memberi kelonggaran supaya melanggar sumpah sekiranya lebih berkebajikan. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengharamkan perkara-perkara yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah kepada kamu dan janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang melampau. Dan makanlah daripada apa-apa yang Allah halalkan kepada kamu daripada yang baik-baik dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepadanya. Allah tidak menjadikan dosa dalam sumpah yang songsang (yang tidak berniat sumpah dalam perbualan biasa). Namun Allah mempertanggungjawabkan keatas kamu dalam sumpah yang kamu ucapkan bagi penegasan (niat sumpah) . Maka kaffarahnya (dendanya) ialah memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan yang sederhana yang menjadi kebiasaan kamu , atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan hamba sahaya . Barang siapa yang tidak mampu hendaklah berpuasa tiga hari. Itulah kaffarah terhadap sumpah yang kamu lakukan . Begitulah Allah menerangkan kepada kamu akan ayat-ayatnya supaya kamu bersyukur."
(Surah Al-Maidah, ayat 87 - 89)
Ayat-ayat ini sebab nuzulnya, berkaitan dengan adanya kalangan para sahabat yang bersumpah untuk jadi seperti paderi dan sami, beribadat selama-lamanya, bersembahayang, berpuasa dan lain-lain sehingga tidak mahu berkahwin, meninggalkan makanan yang baik dan lain-lain yang dihalalkan oleh Allah. Bahkan teguran Allah terhadap Rasulullah SAW di dalam Al-Quran :
"Wahai Nabi ! Mengapa kamu haramkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah kepadamu kerana semata-mata mahu merelakan hati isteri-isteri mu. Pada hal Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Allah telah menyatakan kepadakamu cara melepaskan diri daripada sumpah itu (menunaikan kaffarah). Allah sahaja Tuhan yang memelihara kamu. Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."
(Surah At-Tahrim, ayat 1 - 2)
Apabila digabungkan semuanya, yakni bai’ah, sumpah dan laknat, menjadikan berbeza dengan tujuan bersumpah sahaja, kerana bertujuan menguat bai’ah dan bertanggungjawab berkait di antara satu sama lain yang tidak boleh dipisahkan dan disamakan hukumnya secara bersumpah sahaja. Asasnya ialah bai’ah yang bertujuan perjanjian dengan Allah yang tidak boleh selesai dengan sumpah yang dibayar kaffarahnya.

Imam Ibnu Kathir menyebut dalam kitab karangannya "Al-Bidayah Wan Nihayah" dan Imam At-Tobari dalam kitabnya "At-Tarikh", "Bahawa bai’ah, sumpah, cerai taklik dan nazar, digabungkan semuannya, pernah dilakukan di zaman kerajaan Abbassiyah dengan pengesahan para ulama dizamannya”. Para Fuqaha Mazhab Hanafi pula menyebut perkara sumpah yang dimasukkan taklik talak, tetapi dalam perkara sumpah yang tidak ada kaitan dengan Bai’ah. Begitu juga Imam Ibnu Taimiyyah dan Imam Ibnu Qayyim serta juga ulamak mutaakhir saperti Mahmud Shaltut, Sayed Sabiq dan Al-Qardawi menyatakan hukum khilaf dalam perkara sumpah sahaja yang berasingan dengan bai’ah.

PAS telah mensyaratkan bai’ah yang dimasukkan di dalamnya sumpah dan laknat dengan penegasan lafaz Allah menjadi saksinya. Ada negeri yang memasukkan tolak tahlil, bukan bermakna merendahkan isteri, sebaliknya meninggikan kedudukannya sehingga dimasukkan bersama kecintaan kepada Allah walau pun tidak menyamainya. Bahkan para Sahabat RA bersumpah dengan menyebut "Demi Ayah dan Ibu" (kecintaan terhadap kedua-duannya tidak melebihi dengan kecintaan kepada Allah dan Rasul). Merupakan seni sastera arab bagi mengukuhkan ucapan dan ikrar.

Maka lafaz bai’ah dalam parti yang berjuang menegakkan Islam saperti PAS adalah beramal dengan Al-Quran, As-Sunnah dan Ijtihad para ulamak muktabar yang disahkan oleh Ahli Majlis Syura Ulamak yang sangat dihormati oleh semua pemimpin, ahli dan penyokong PAS yang istiqamah, walaupun pihak lain tidak berminat bukan sahaja bai’ahnya bahkan dasar Islamnya juga, sehingga ada pula yang meletakkan talak taklik mencerai isteri lebih utama daripada berjanji dengan Allah. Maka Tahaluf Siyasi dengan pihak lain yang temasuk dalam perkara strategi, tidak boleh mengatasi bai’ah kesetiaan kepada Aqidah, Dasar dan Matlamat perjuangan Islam.

Walaupun PAS berkali-kali menerima kekalahan pilihanraya, kerana kemenangan Aqidah dan matlamat Islam memimpin Negara, Syariat Allah didaulatkan tidak boleh tunduk kepada hala tuju yang dikehendaki oleh semua pihak walaupun rakan paling akrab. Firman Allah di dalam Al-Quran:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa kamu, saudara-saudara dan rakan-rakan kamu, wali-wali yang diberi kepercayaan (sehingga tidak berbelah bahagi dan tidak boleh dirungkai hubungannya), jika mereka meletakkan kecintaan terhadap kekufuran lebih daripada keimanan. Maka sesiapa yang berwalikan mereka dikalangan kamu, merekalah orang-orang yang zalim . Katakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) ! Jika sekiranya ayah-ayah kamu, anak-anak kamu, suadara mara dan sahabat handai, isteri-isteri dan keluarga kamu, harta benda yang kamu cari, perniagaan yang kamu bimbang melesetnya dan rumah kediaman yang kamu sayang, kamu anggap lebih penting daripada Allah dan Rasul dan jihad (perjuangan dengan pengorbanan) menegakkan agama Allah, maka tunggulah sehingga Allah menentukan perintah (hukumannya) dan Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang fasik."
(Surah At-Taubah, ayat 23 - 24)
Ahli-ahli PAS yang ditarbiyah dan menerima hakikat tasawwurnya daripada ayat-ayat tersebut terus beristiqamah di atas landasan yang ditetapkan kepada mereka. Bai’ah lebih mewajibkan PAS tidak menukar Aqidah perjuangan Islamnya atau dicabar kedudukan islam yang wajib memimpin negara, pelaksanaan syariat boleh dihalang atau dipertikai sewenang-wenang, jati diri ummat Islam dicalarkan, walaupun beberapa pelaksanaannya berkait dengan perkara cabang syariat, memerlukan masa dan jadual yang panjang.

PAS memahami semuanya tidak terpisah daripada Aqidah, dasar dan matlamat Islam yang menyeluruh. Maka semua hubungan dan kerjasama PAS dengan semua pihak haram menjual perkara asas tersebut dengan segala harga dialam dunia ini, kerana kita percaya semuanya tidak laku di alam akhirat kelak. Sejarah PAS mencipta Dr Burhanudin Al-Helmy yang mencerai isterinya daripada Singapura kerana tidak bersedia datang ke semenanjung, bersamanya menjadi pemimpin, PAS mencipta Profesor Ahmad Ibrahim meninggalkan jawatan besar di Singapura, datang berkhidmat di Semenanjung dan lain-lain. Menunjukkan pegangan mereka kepada Bai’ah, yang tidak ada kepada kalangan yang berwawasan dunia tanpa akhirat, atau yang berpegang kepada konsep "Political Animal".

Ahli PAS yang terdahulu melihat semua akibat di alam dunia sebelum akhirat, sesiapa yang mengkhianati bai’ah yang lebih penting atau melanggar sumpah yang dianggap kecil tidak penting. Semuanya menjadi peristiwa yang menjadikan kami semua lebih beristiqamah di atas landasan perjuangan Islam dan matlamatnya. Kepada mereka yang niatnya bersama PAS sekadar bermalam di hotel atau jambatan pendek menyeberangi cita-cita dunianya atau sekadar menjadi penonton, diucapkan selamat tinggal. Jangan beratkan bahtera kami dan membazirkan tenaga ahli PAS yang besar dan kecil dan bekalan kami yang dibekalkan oleh kalangan yang termiskin lebih ramai daripada yang kaya-raya.

Ada pun yang berpura-pura dengan bai’ahnya, ketahuilah bahawa kami beriman kepada kalam Allah SWT :
"Sesungguhnya mereka yang berbai’ah denganmu (wahai Muhammad), sebenarnya mereka berbai’ah dengan Allah, tangan Allah (yang tidak sama dengan makhluknya) di atas tangan-tangan mereka (yang melafazkan bai’ah itu). Maka sesiapa yang mengkhianatinya maka dia menanggung akibat menimpa dirinya, dan sesiapa yang setia menunaikan janjinya (daripada bai’ah itu), maka Allah mengurniakan kepadanya ganjaran yang besar."
(Surah Al-Fath, ayat 10)
Perkara talak taklik sahaja mungkin boleh diusahakan di Mahkamah Qadi dengan sistem yang memisahkan politik daripada agama. Ada pun hukuman terhadap mereka yang mengkhianati bai’ah terserah kepada mahkamah Allah Yang Maha Adil lagi Bijaksana, sama ada hukuman dunia atau akhirat terserah kepada-Nya. Bukannya di mahkamah ciptaan manusia yang ramai peguamnya, ada yang baik dan ada yang buruk. Akhirnya, marilah bersama kita menghayati satu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Ahmad :

"Tiga orang, aku menjadi musuhnya di Hari Akhirat. Seorang yang membuat perjanjian atas namaku, lalu dia memungkirinya. Seorang lagi menjual orang merdeka (bukan hambanya), lalu dia memakan harganya dan seorang lagi mempekerjakan orang lain, lalu tidak membayar gajinya."

13 Julai 2015

Sikap Ahli PAS Terhadap Krisis Dalaman

Sejarah telah lama memberi ibrah (pengajaran) mengenai krisis dalaman sesuatu Jama'ah Islam. Malah, ia bukanlah sesuatu perkara kontemporari, tetapi, ia telah wujud sejak zaman Nabi SAW lagi. Sebagai seorang amilin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang ditarbiyah secara sistematik, permasalahan yang berlaku tidak mampu menggugat istiqamah kami sedikitpun atas kehendak Allah Ta'ala. Moga kita semua tetap teguh dengan pendirian kita, demi meletakkan Islam di tempat yang tertinggi, insha Allah.

Isu penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Mohamad bin Sabu, bekas Timbalan Presiden PAS, merupakan sebuah krisis yang telah lama 'tidur', tetapi 'dikejutkan' oleh segolongan 'umat'. Bahkan, bagi mereka yang mengetahui perancangan ini sejak sekian lama, permasalahan ini memberi kegembiraan kepada ahli PAS yang terus beristiqamah dan mendokong kepimpinan ulamak. Mana tidaknya, kewujudan GHB ini dilihat satu proses pemutihan secara besar-besaran, yang semestinya berlaku dengan takdir yang ditentukan oleh Allah Ta'ala.

Di sini, saya kongsikan sebuah artikel tarbiyah ditulis oleh Al-Fadhil Ustaz Marwan bin Shukrimun, seorang ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus untuk renungan kita bersama. Moga ada sedikit kefahaman sirah nubuwwah dan sirah zaman sahabat Nabi SAW kepada kita dalam menyelusuri isu yang berlaku pada hari ini.

SIKAP PENGIKUT DALAM KRISIS JAMA'AH ISLAM
Oleh: Al-Fadhil Ustaz Marwan bin Shukrimun [Exco Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus]

Mehnah dan tribulasi sering wujud dalam perjuangan para Nabi dan Rasul. Persoalannya, bagaimanakah sejarah perjuangan mereka itu turut mengajar kita tentang sikap yang sepatutnya dipamerkan sebagai pengikut sekaligus mewarisi perjuangan mereka.

Krisis Perang Tabuk

Selepas Perang Tabuk, tiga orang sahabat Nabi iaitu Murarah bin Rabi’, Hilal bin Umayyah dan Ka’ab bin Malik dijatuhkan hukuman pulau oleh Rasulullah SAW kerana tidak mematuhi arahan untuk keluar berperang.

Walaupun ketiadaan mereka tidaklah memberi kesan besar dalam peperangan tersebut, bahkan peperangan tersebut sebenarnya tidak pun berlaku, tetapi keberangkatan tentera Muslimin adalah bertujuan untuk berjaga-jaga andainya benar musuh-musuh Islam sedang menunggu di Tabuk. Kepulangan tentera Islam dari Tabuk ke Madinah dalam situasi tidak berperang, namun hukuman tetap dikenakan terhadap tiga orang sahabat ini bertujuan untuk mendidik para sahabat lain bahawa pentingnya soal mematuhi arahan.

Apabila Rasulullah SAW memerintahkan mereka bertiga dipulaukan dari Jama'ah Islam, semua sahabat akur tanpa bantahan. Walaupun ada di kalangan mereka adalah rakan karib, teman rapat dan seumpamanya, tetapi arahan Rasulullah SAW tetap dipatuhi. Ketiga-tiga orang itu langsung tidak ditegur oleh sesiapa. Mereka ke pasar, tiada yang mahu berurus niaga. Apabila bertemu, senyuman pun tidak diberikan. Rasulullah SAW juga enggan bersemuka dengan mereka setiap kali terserempak, termasuklah arahan agar mereka berjauhan dengan isteri sebagai hukumannya. Hubungan antara manusia, bahkan suami isteri sekalipun tidak dianggap lebih tinggi daripada arahan sebuah kepimpinan Islam yang ditunjangi Rasulullah SAW.

Walaupun ada yang merasa sedih, rasa keterlaluan dengan sikap pemulauan itu, arahan tetap arahan. Kemudian turunlah wahyu supaya pemulauan tersebut ditamatkan. Allah mengetahui mereka sudah insaf dengan perbuatannya. Para sahabat yang mendapat tahu berita pengampunan itu pantas berlari berjumpa ketiga-tiga orang sahabat yang dihukum itu untuk memaklumkan khabar gembira tersebut. Justeru kepatuhan para sahabat, maka anasir-anasir gangguan seperti melanggar keputusan pimpinan berjaya dirawat, seterusnya jamaah Islam berjaya dipertahankan.

Krisis Pengingkar-pengingkar Zakat

Zaman kekhalifahan Abu Bakar al-Siddiq r.a., timbul pula kumpulan umat Islam yang enggan membayar zakat. Mereka berpendapat, zakat hanya perlu dibayar kepada Rasulullah SAW sahaja. Wafatnya baginda, mereka mula menunjukkan taring penentangan terhadap syariat Islam. Mereka mendakwa tiada lagi keperluan untuk zakat selepas Rasulullah SAW wafat. Khalifah Abu Bakar mengambil keputusan tidak popular, iaitu berperang menghadapi pengingkar-pengingkar zakat. Pada mulanya Umar menyatakan ketidaksetujuan kerana berijtihad dengan pesanan Rasulullah SAW, bahawa sesama Islam tidak boleh diperangi.

Tetapi Abu Bakar ada hujjah syarak dan sebagai ketua, dia berhak menentukan tanpa dipengaruhi pendapat majoriti. Akhirnya Saidina Umar al-Khattab akur dan turut sama berperang. Walaupun Umar mempunyai pandangan peribadinya sendiri, beliau tahu sebagai pengikut, adalah lebih baik patuh daripada ingkar. Memerangi golongan yang benar-benar rosak kefahamannya terhadap Islam dan boleh mempengaruhi orang lain untuk turut serta dengan kepercayaan sesat mereka, lebih utama daripada berbantah-bantah tentang kebenaran sehingga mengakibatkan perpecahan dalam jama'ah Islam. Walaupun Nabi SAW pernah menyatakan:
Jika ada Nabi lagi selepasku nescayalah dia Umar al-Khattab.
(riwayat Ahmad, al-Tirmidzi, al-Hakim di dalam Mustadrak)
Tetapi, hal itu tidaklah menjadi alasan untuk Umar al-Khattab “syok sendiri”, mendakwa dia-lah sahaja penerus “legasi Rasulullah SAW” atau menentang keputusan Abu Bakar al-Siddiq. Sebaliknya mengenepikan pendapat peribadi dan kembali kepada keputusan pimpinan yang diterajui Abu Bakar.

Dengan kepatuhan umat Islam kepada Khalifah untuk memerangi penjenayah zakat, tidak sampai setahun kumpulan itu menyerah kalah dan kembali mengikut syariat Islam. Abu Bakar meninggalkan pemerintahan dalam keadaan berjaya menyelesaikan krisis murtad dan onar pengingkar zakat yang melanda jamaah Muslimin.

Krisis Pertelingkahan Para Sahabat Nabi

Di Zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib, ketika beliau baru sahaja dilantik sebagai khalifah, beliau berpandangan supaya difikirkan dahulu soal menyatukan kembali umat Islam yang bertelingkah. Namun sahabat-sahabat Nabi antaranya Muawiyah r.a., Talhah r.a., ibnu al-Zubair r.a. termasuklah isteri Nabi, Saydatina Aisyah r.ah tidak bersepakat dengan pandangan Saidina Ali. Mereka berijtihad, urusan qisas ke atas pembunuh Uthman mestilah dilaksanakan terlebih dahulu.

Keputusan Saidina Ali iaitu mengutamakan kesatuan umat Islam sebenarnya positif jika dilihat daripada situasi fitnah yang berlaku, lebih-lebih lagi apabila para pengikut Abdullah bin Saba’ (Saba’iyah) menyebarkan propaganda bahawa Khalifah Ali tidak bertanggungjawab terhadap isu pembunuhan Khalifah Uthman al-Affan di Madinah. Lagi pula mencari pembunuh Khalifah Uthman bukanlah mudah kerana ia dilakukan tidak secara individu, tetapi dirancang sulit oleh satu kumpulan jahat yang masing-masing mengaku sebagai pembunuh Khalifah. Benar, pembunuhan terhadap Khalifah Uthman adalah suatu mafsadah yang wajib ditangani, tetapi dalam soal umat Islam berpecah-belah sehingga menyukarkan keadilan itu ditegakkan maka maslahah penyatuan umat Islam mestilah dilakukan terlebih dahulu.

Justeru, situasi yang sebenar berlaku bukanlah kerana kebencian di antara sahabat-sahabat Rasulullah SAW, tetapi peristiwa fitnah yang melangkaui fikiran manusia untuk berfikir secara waras. Kerana itu baginda Nabi SAW pernah mengingatkan sebelum kewafatannya:
“Sesungguhnya akan berlaku fitnah orang yang duduk ketika itu lebih baik daripada orang berdiri. Manakala orang berdiri lebih baik daripada orang berjalan dan orang berjalan lebih baik daripada orang berlari (riwayat lain menunggang/ berkenderaan).”
(riwayat al-Tirmidzi)
Kata Saidina Ali bin Abi Talib (dalam Bidayah wa al-Nihayah, Ibnu Kathir):
“Sesungguhnya Allah telah memuliakan kita dengan Islam, diangkat martabat kita dan dijadikan kita semua bersaudara selepas fasa kehinaan, kekurangan (minoriti), kebencian dan permusuhan. umat manusia kekal dalam fasa kehinaan tersebut sampailah waktu yang ditentukan Allah (ikut Islam mulia, jauhi Islam hina). Islam adalah agama mereka dan kebenaran itu tegak di kalangan mereka, al-Quran pimpinan (panduan) mereka, sehinggalah musibah menimpa lelaki ini (Uthman Ibn Affan) yang didalangi suatu komplot syaitan untuk menghembuskan api permusuhan di tengah masyarakat umat. Ketahuilah, umat ini pasti berselisih sebagaimana perselisihan yang menimpa umat terdahulu. Kita berlindung kepada Allah dari keburukan yang akan terjadi.”
Jelasnya lagi:
“Sedarilah umat ini akan berpecah-belah menjadi 73 golongan. Golongan yg paling buruk adalah golongan yang menisbahkan kecintaan kepadaku, tetapi tidak mengikuti amal perbuatanku. Kalian telah menemukan dan melihat sendiri. Teguhlah di atas ajaran agama Islam, terokailah petunjuk Nabi dan teladanilah sunnah Nabi. Tinggalkan perkara sukar di atas diri kalian (menyebabkan kalian berbantah-bantah) sehinggalah kalian dapati penyelesaiannya di dalam al-Quran. Justeru, ambillah petunjuk al-Quran, apa jua perkara yang ditegakkan tegakkan, yang diingkari maka tolaklah, redhailah Allah sebagai tuhan (pemutus masalah kalian), Islam sebagai agama, Muhammad sebagai Nabi dan al-Quran sebagai sumber hukum dan dokongan.”
Kerana ingkar arahan kepimpinan, perpecahan umat Islam semakin dahsyat. Dari titik perselisihan antara pemimpin dan pengikut itulah akhirnya memunculkan kumpulan Khawarij dan Syiah. Kata ulama sirah, sejak pembunuhan Saidina Uthman, dunia Islam tidak pernah aman daripada fitnah. Ketidakpatuhan membiakkan lagi bahana fitnah ini.

KESIMPULAN

Daripada ketiga-tiga kisah di atas, syarak mengajar kita bagaimana umat Islam perlu patuh dengan keputusan pimpinan. Bukan soal lembut atau kasar, bukan soal peribadi siapapun yang memberikan arahan, tetapi soal prinsip ketaatan. Tiada lagi ijtihad apabila ketua pimpinan telah meletakkan satu keputusan.

Menurut kaedah fiqh; <حكم الحاكم يرفع الخلاف> yakni, keputusan pemimpin mengangkat atau menutup segala khilaf. Dalam isu Gerakan Harapan Baru (GHB), saff kepimpinan PAS telah menetapkan supaya ahli tidak menyertai GHB. Apabila ia adalah arahan, ia wajib dipatuhi. Untuk menyelesaikan kocakan yang berlaku mutakhir ini, ahli-ahli PAS mesti bersikap teguh mendokong keputusan presiden.

Walaupun pahit untuk ditelan, walaupun ketidakstabilan itu ditimbulkan oleh sahabat karib sendiri, kaum kerabat, keluarga atau orang tersayang, semua itu tidak boleh mendahului keputusan pimpinan demi maslahah yang lebih besar iaitu keberjayaan Islam. Jika tidak, akan berulanglah kisah pertelingkahan di zaman Saidina Ali. Perpecahan akan terus berlaku dan membarah sehingga menimbulkan firqah-firqah yang pelbagai.

Maka, ambillah panduan sirah yang telah diatur Allah. Ia panduan buat semua umat Islam terkemudian. Ini kerana, keutuhan Jamaah Islam bukan hanya bergantung kepada pimpinan, tetapi juga bergantung kepada tahap sikap para pengikut. Krisis jamaah di zaman Saidina Ali bukanlah kerana kelemahan peribadi khalifah (ketua), Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf Ali sebagai sahabat yang paling faqih. Saidina Umar ra juga pernah mengungkapkan sebagaimana riwayat Ibnu Abd al-Barr, “Jika tiada Ali, nescaya binasalah Umar”.

Krisis zaman perpecahan umat Islam berpunca daripada sikap para pengikut yang tidak mahu patuh kepada kepimpinan dan suka mengambil keputusan sendiri. Insafilah sabdaan Rasulullah SAW:

“Aku mewasiatkan kamu (umat Islam) agar bertakwa kepada Allah, dengar dan taat (kepada pimpinan) sekalipun perintah itu datang dari hamba Habshiy. Sesungguhnya sesiapa yang hidup (selepas kewafatan Rasulullah SAW) akan berlaku khilaf yang pelbagai, justeru wajiblah kamu menuruti Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ al-Rasyidin selepasku. Genggamlah erat-erat sekuatnya dengan gerahammu. Berwaspadalah terhadap perkara yang baharu...” (riwayat al-Hakim dalam Mustadrak)

21 Jun 2015

Bagaimana Kita Berintima' Dengan PAS ?

Saya merujuk kepada penulisan Yang Berhormat Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi di laman sesawang Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS baru-baru ini berkenaan Penggabungan Diri dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Berikut adalah penulisan beliau yang saya kongsikan kepada para pembaca untuk renungan kita bersama.

BAGAIMANAKAH INTIMA’ YANG KUKUH ?
Oleh : Al-Fadhil Ustaz Nasruddin Hassan at-Tantawi [Ketua Penerangan PAS Pusat]

Definisi Intima’ memberi makna ‘menyertai dengan satu ikatan’. Dalam ertikata yang lain, berintima’ dengan PAS bermaksud: menyertai PAS dengan satu ikatan. Namun, terdapat intima’ yang salah dan rapuh dengan maksud, mereka menyertai PAS dengan intima’ yang tidak kukuh dan mampu terputus bila-bila masa apabila diminta. Hanya terdapat satu sahaja jenis intima’ yang betul-betul benar, kukuh dan utuh.

INTIMA’ YANG SALAH

Intima’ yang rapuh, longgar dan salah ini sekurang-kurangnya ada 4 jenis :

1. Intima’ Syakhsi (إنتماء شخصي)

Menyertai PAS kerana ketokohan individu tertentu. Intima’ ini rapuh kerana hakikat seorang individu atau tokoh tertentu boleh hadir dan pergi. Jika tokoh yang menjadi idolanya meninggalkan PAS, maka ia juga akan turut meninggalkan PAS. Perjuangannya tidak mantap dan utuh. Pendiriannya juga tidak kukuh. Mungkin bertahan beberapa tahun mengikut ketahanan tokoh yang menjadi asbab kenapa ia menyertai PAS. Ada sepanjang hayatnya bersama PAS tetapi penghujung usianya berakhir di luar PAS.

Situasi ini pernah ditegaskan oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a.:
“Barangsiapa yang mengabdikan diri kepada Muhammad SAW maka sesungguhnya Muhammad SAW telah mati, dan barangsiapa yang mengabdikan diri kepada Allah SWT maka sesungguhnya Allah SWT hidup dan tidak mati.”
Saidina Abu Bakar al-Siddiq ra meneruskan membaca ayat Allah Ta’ala :
“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul. Apakah sekiranya ia mati atau terbunuh, kamu akan berpaling tadah memusing tumit kamu? Sesiapa yang berpaling memusingkan tumitnya, maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, sebaliknya Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur.”
(Surah Aali-Imran: Ayat 144)
2. Intima’ Maslahi (إنتماء مصلحي)

Menyertai PAS kerana kepentingan peribadi atau kelompok, dan ia mempunyai agenda tertentu yang ingin dicapai. Apabila gagal mencapai kepentingan yang diingini dan tidak berjaya melunaskan agenda yang dirancang, mereka akan mencari tapak yang lain untuk pelan ‘B’ dan seterusnya meninggalkan PAS. Ketahanan mereka berdasarkan sejauh mana atau selama manakah mereka perolehi kepentingan dan memiliki peluang menjayakan agenda mereka.

3. Intima’ Irtijaali (إنتماء ارتجالي)

Menyertai PAS secara spontan tanpa asas dan sebab yang kukuh. Ia sendiri tidak mengetahui kenapa ia menyertai PAS. Bakanya adalah baka PAS. Ayah dan ibunya PAS serta persekitaran ia membesar juga PAS. Justeru, ia tidak mempunyai jawapan yang konkrit kenapa ia menyertai PAS selain dari menyedari bahawa ia telah ‘PAS’ sejak awal. Pendirian mereka akan cepat goyang apabila PAS dilanda krisis dan mereka seperti ini tidak mempunyai jawapan yang mantap kenapa ia mesti terus berada dalam PAS yang sedang bergoncang dilanda gelombang. Akhirnya, ia lari meninggalkan PAS kerana tidak sanggup berdepan dengan apa jua kemungkinan.

4. Intima’ A’fawi (إنتماء عفوي) 

Menyertai PAS berasaskan kecenderungan dan simpati terhadap apa yang diperjuangkan oleh PAS yang juga teruk dibelasah oleh musuh. Intima’ jenis ini longgar serta rapuh kerana kecenderungan dan simpatinya akan berakhir terutama apabila didapati PAS tidak lagi menepati kemahuan dan kehendaknya. Tiada lagi simpati malah boleh bertukar menjadi benci. Tatkala benci menguasai diri, maka mereka akan mengangkat kaki meninggalkan PAS.

INTIMA’ YANG BENAR

Intima’ yang benar, kukuh, utuh dan mantap hanya satu iaitu:

Intima’ Aqidi - (إنتماء عقيدي)

Menyertai PAS berdasarkan tuntutan Aqidah al-Islamiyyah. Berdiri atas Iman kepada Allah Ta’ala dan Kitab-Nya yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW. Menunaikan perintah Allah SWT dengan penuh yakin dan optimis supaya berjuang menegakkan Syariat Allah SWT dengan harta dan jiwa raga.

Firman Allah Ta’ala:
“Pergilah kamu segera untuk berjuang pada jalan Allah, sama ada dengan keadaan ringan ataupun berat dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 44)

Intima’ yang kukuh ialah apabila kita meletakkan diri berjuang hanya untuk meninggikan kalimah Allah swt, menegakkan syariat dan segala syiar-Nya, mencari keredhaan Allah swt di dunia dan di akhirat. Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa terdapat A’rabi datang bertanya Nabi Muhammad SAW:
“Seorang pemuda (tokoh) yang berjuang kerana mahu memiliki harta rampasan, ada tokoh yang berjuang supaya namanya disebut-sebut, ada yang berjuang supaya dirinya berketerampilan dan terpandang. Maka siapa yang diiktiraf berjuang di jalan Allah SWT?”
Dalam riwayat yang lain:
“Ada yang berjuang kerana tunjuk berani, ada yang berjuang kerana mahu mendapatkan pelindungan, ada yang berjuang kerana semata-mata benci kepada musuh, maka siapa yang benar-benar diiktiraf sebagai pejuang dijalan Allah SWT?”
Lalu, Rasulullah SAW menjawab:
“Sesiapa yang berjuang untuk meninggikan kalimah Allah SWT (mengatasi ideologi ciptaan manusia) maka ia berada pada Jalan Allah SWT (fi Sabilillah).”
(muttafaqun ‘alaihi)

Mereka yang menyertai PAS dengan Intima’ yang rapuh pasti sahaja tidak akan mampu bertahan bersama PAS sebagai sebuah Gerakan Islam yang berjuang untuk menegakkan Kalimah (syariat) Allah SWT. Ujiannya terlalu getir, khasnya ujian dalaman yang boleh membawa kekecewaan dan patah hati. Hanya mereka yang menyertai PAS kerana aqidah sanggup berjuang dan mampu bertahan hingga ke denyut nadi yang terakhir. Sama ada menang atau syahid, namun untuk memalingkan tumit meninggalkan perjuangan adalah tidak sama sekali.

-------------
HARI INI, berikutan krisis yang berlaku kepada PAS dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), seorang aktivitis PAS, telah meninggalkan PAS dan mengumumkan penyertaannya ke parti sosialis itu. Amat malang meninggalkan Jama’ah Islam yang masih berada di atas landasan Al-Quran dan As-Sunnah, kemudian melantik pula orang-orang kafir sebagai pemimpin bagi perjuangan mereka. Moga saya dan keluarga sentiasa thabat bersama Jama’ah Islam PAS yang saya cintai.

Moga Allah sentiasa mengampuni kita atas sifat kejahilan dan kealpaan sebagai seorang manusia.

01 Julai 2012

PAS: Perlukah Pemisahan Identiti Parti Dan Jama'ah?

Segala Puji bagi Allah Ta'ala, berikutan Revolusi Rakyat Mesir bermula 25 Januari tahun lepas, Parti Kebebasan dan Keadilan (Freedom and Justice Party, FJP) telah memenangi Pilihanraya Parlimen pada 28 November 2011 dan juga Pilihanraya Presiden pada 24 Jun yang lepas. Pilihanraya tersebut sekaligus menjadi pilihanraya terbersih dan bebas yang pertama sejak daripada zaman Firaun. Dengan kemenangan itu, Dr. Mursi yang merupakan ahli Ikhwanul Muslimin telah mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir semalam.

Saya mengikuti perkembangan Mesir melalui siri Usrah bersama sahabat-sahabat, ada berberapa persoalan timbul berikutan penubuhan FJP sebagai 'proksi' kepada gerakan Islam Ikhwanul Muslimin di sana. Mereka tidak secara langsung menggunakan Ikhwan sebagai Parti, tetapi membentuk suatu organisasi tambahan (yang memisahkan) dalam usaha memperbaiki politik di tanah air mereka. Barangkali, nama Ikhwan dilihat agak ekstrimis bagi sebilangan rakyat Mesir, lantaran itu, mereka menubuhkan FJP sebagai satu nama yang lebih sejahtera.

GERAKAN ISLAM: PERLUKAH JAMA'AH DAN PARTI DIPISAHKAN?
Oleh: Dr. Abdul Fattah Yusof [Koordinator Kluster Perundangan, Pusat Penyelidikan PAS Pusat]

Ada pandangan bahawa model gerakan Islam yang bergerak atas identiti parti politik seperti PAS adalah tidak sesuai. Mereka berpandangan model pengasingan antara jamaah atau gerakan Islam dan parti politik adalah lebih mantap dan praktikal. Contoh yang diberi ialah Ikhwan dan sayap politiknya Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP). Alasannya, model penggabungan akan menyebabkan berlaku pertembungan antara bahasa dakwah dan bahasa siasah, lantas ia boleh menjejaskan sokongan politik. Selain itu wujud pertembungan antara keperluan untuk mempelopori kebebasan bersuara dalam jamaah melalui konsep demokrasi dengan keperluan untuk patuh kepada parti mengikut konsep amal jamai. Pandangan ini mempunyai asas dan hujah yang perlu ditelitikan.

Namun persoalan pokok yang perlu dilihat ialah: Apakah model gerakan Islam yang paling sesuai dari aspek entiti dan identity gerakan itu? Adakah gerakan Islam perlu wujud sebagai payung kepada organisasi-organisasi dalam bidang pelbagai seperti parti politik, badan pendidikan, badan kebajikan dan lain-lain? Atau lebih baik gerakan Islam itu sediri wujud sebagai satu organisasi yang menggabungkan semua urusan di dalam satu organisasi. Dalam konteks perbincangan ini persoalan lebih menjurus kepada entiti gerakan Islam dan entiti politik yang dinaunginya, adalah perlu berasingan atau bergabung.

Perlu diingat setiap model ada kebaikan dan kelemahan. Dan sesuatu model mungkin sesuai di sesebuah negara, tetapi tidak sesuai di nagara lain. Selain itu tidak ada model yang sesuai sepanjang zaman. Masa dan persekitaran boleh mengubah fakta kesesuaian model gerakan Islam dalam menerajui gerakan siasah. Namun dalam konteks Malaysia, saya berpandangan model yang diamalkan oleh PAS sekarang iaitu penggabungan entiti antara gerakan Islam dan badan siasah adalah model yang paling praktikal untuk mendepani politik semasa. Konsep pengasingan memang satu konsep yang ideal. Nampak cantik dan lancar. Namun ia mendatangkan masalah yang lain. Misalnya konflik yang lebih dahsyat akan timbul dalam menentukan tahap kawalan gerakan Islam ke atas parti itu. Jika terlalu longgar, ia membawa risiko pemisahan mutlak. Jika terlalu ketat, ia akan dianggap tidak demokratik.

Saya percaya Ikhwan dan FJP sedang berdepan dengan masalah ini. Bukan itu sahaja, rakyat pun boleh mempertikaikan ketelusan parti yang dibawah kawalan gerakan Islam itu. Jika parti terikat dengan sebuah organisasi lain yang lebih induk, tergambar kepada rakyat bahawa terdapat satu kuasa luar yang tidak tertakluk kepada pentas politik yang mengawal segala-galanya. Tentunya parti ini tidak digemari. Lebih teruk lagi jika parti itu memimpin kerajaan. Entiti yang mengawal parti akan dianggap campur tangan dalam urusan pemerintahan, dalam keadaan mereka tidak pernah terjun dalam pentas politik. Melihat kepada hipotesis ini, maka kewujudan gerakan Islam dan parti politik secara tercantum seperti PAS adalah lebih meyakinkan rakyat dan lebih telus dari sudut pandangan demokrasi.

Selain itu, pemisahan entiti gerakan Islam dan parti politik juga mendatangkan risiko masalah dan konflik dalam konteks pengurusan bakat dan kepimpinan pelapis. Gerakan Islam tentunya diberi berperanan untuk melahirkan pelapis kepada parti politik, namun pemimpin parti pula tentunya mempunyai kecenderungan tersendiri dalam menentukan pelapis mereka. Keadaan akan menjadi lebih kompleks jika ditetapkan bahawa anggota parti dilatih dan dilahirkan melalui satu entiti yang berasingan pula. Perlu diingat bahawa setiap entiti atau organisasi mempunyai budaya atau sub-budaya masing-masing.

Setiap peneraju dalam entiti yang berbeza pula mempunyai kecenderungan dan penilaian yang berbeza-beza. Hal ini akan membawa kepada konflik berpanjangan dalam menguruskan pertalian antara gerakan Islam selaku entiti induk dan parti politik serta badan latihan selaku entiti khusus. Walau pun kelihatan cantik di atas kertas, namun hakikat sebenar tidak lah seindah yang disangkakan. Selain itu penglibatan petugas Islam dalam demokrasi merupakan satu cabaran dunaiwi yang hebat. Orientasi demokrasi yang kadang-kadang boleh menyebabkan petugas Islam terpesong dari cita-cita perjuangan sebenar. Antara cabaran demokrasi yang boleh membawa pemesongan ialah:
  1. Orientasi pertembungan (adversarial) yang boleh menghakis jatidiri petugas Islam sebagai pendakwah;
  2. Orientasi mengejar kuasa yang boleh menggalakkan penyakit hub riyasah;
  3. Orientasi mengutamakan kebebasan dalam demokrasi boleh mendorong kepada perjuangan kebebasan yang melampau sehingga mengenepikan citra Islam dalam falsafah hak dan kebebasan;
  4. Orientasi propaganda politik yang boleh mengikis sikap mengakui kelemahan sendiri dan menghargai kebaikan pihak lawan; dan
  5. Orientasi mengejar populariti yang boleh menjejaskan kejernihan hati.
Oleh yang demikian, saya tidak bayangkan jika entiti politik dalam gerakan Islam dipisahkan dari gerakan Islam induk. Petugas Islam yang menggerakkan politik sepatutnya tidak boleh diasingkan. Mereka perlu berada dalam pelukan jamaah, melalui proses tarbawi yang secukupnya dan membina peribadi muslih seutuhnya.

Oleh itu model penggabungan seperti yang diamalkan PAS tentunya lebih bulat, utuh dan senang untuk mencapai muafakat. Dua kelemahan iaitu konflik antara bahasa dakwah dan bahasa siasah, serta masalah konflik antara demokrasi dan ketaatan, tidak dinafikan wujud. Namun kedua-dua kelemahan ini adalah cabaran yang perlu ditangani, bukannya penyebab untuk meninggalkan perjuangan PAS. Secara peribadi kunci kepada penyelesaian masalah ini ialah kejujuran. Politik Islam berasaskan kejujuran—iaitu tidak bercakap semata-mata untuk meraih sokongan, tetapi bercakap untuk menyatakan kebenaran disamping untuk mendidik rakyat. Memang terkadang gerak politik Islam kelihatan janggal dari kaca mata pertimbangan politik sekular, kerana politik sekular berpusatkan undi dan populariti.

Pendirian dan kenyataan pemimpin gerakan Islam dibuat berasaskan prinsip Islam, untuk tujuan dakwah dan siasah jangka panjang, kadang kala mendatangkan kesan buruk kepada undi dan populariti. Namun, inilah sebahagian dari pada cabaran yang perlu ditangani. Hakikat ini tidak bermakna undi dan populariti langsung tidak diambil peduli. Undi dan populariti penting dalam penglibatan demokrasi, namun ia tidak boleh mengatasi agenda besar perjuangan Islam untuk menyebarkan rahmat Islam kepada seluruh manusia. Selain itu pertembungan antara kebebasan bersuara dalam sesebuah organisasi yang menjadi teras kepada fahaman demokrasi, dan ketaatan kepada organisasi serta kepimpinan mengikut fahaman amal jamaie bukanlah satu pertentangan yang serius.

Asas kepada penyelesaian pertembungan ini ialah kebijaksanaan dalam menentukan garis ketaatan yang sesuai dengan prinsip Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahualaihi wasallam. Apabila gerakan Islam menerima demokrasi, ia tidak bermakna fahaman demokrasi itu yang mengatasi prinsip berorganisasi secara Islam. Bahkan demokrasi itu sendiri terlalu longgar untuk dianggap satu ‘prinsip’. Garis ketaatan dan kebebasan yang ada dalam sistem organisasi Islam sudah cukup untuk dijadikan sandaran dalam menentukan akhlak dan tatacara ahli serta pemimpin gerakan Islam. Tentunya kita yakin, prinsip Islam ini lebih adil, lebih tepat dan lebih berkesan berbanding apa sahaja sistem yang diberi nama oleh manusia.

Masalah yang wujud hari ini ialah kewujudan individu yang cenderung kepada pendekatan melampau yang menjejaskan keindahan sistem kepimpinan dan ketaatan dalam Islam. Masalah sikap yang melampau ini bukan sahaja wujud dalam kelompok Islam, bahkan juga ada di mana-mana organisasi termasuk yang dianggap sebagai badan demokratik. Ringkasnya, masalah sebenar bukanlah pertembungan antara pendekatan demokrasi dan prinsip amal jamaie, tetapi ia berkaitan dengan sikap dan kelemahan manusia yang memerlukan usaha pembetulan yang berterusan.

Kesimpulannya, kedudukan PAS sebagai sebuah gerakan Islam sekaligus berdaftar sebagai sebuah parti politik dan terlibat secara langsung dengan pilihan raya merupakan satu pilihan yang terbaik dalam realiti yang ada ini. Model ini mempunyai kelemahan dan cabaran yang tersendiri, namun ia tetap menjadi model yang paling berkesan dan mudah untuk ditangani. Bahkan model ini lebih serasi dengan sifat Islam yang bersifat syumul apabila kesyumulan Islam itu diterjemahkan dalam bentuk kesyumulan tanzim.

Mungkin juga perbahasan dari sudut sirah perjuangan Rasulullah juga dapat menyokong kebaikan model penggabungan ini. Rasulullah sallallahualaihi wasallam – begitu juga khulafa’ al-rasyidin selepasnya – adalah pemimpin politik, dan dalam masa yang sama menjadi pemimpin utama umat Islam. Namun demikian, penilaian berterusan, pembaharuan dan penambahbaikan model gerakan Islam ini tetap perlu bagi memastikan gerakan Islam sentiasa dapat bersaing mengikut perubahan zaman dan suasana.

09 Ogos 2009

PAS: Parti Tarbiyyah, Dakwah & Siyasah

Segala Puji bagi Allah Ta'ala serta Salawat dan Salam kepada Nabi SAW, saya telah berintima' dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) secara rasmi sebagai ahli ke 886,684 pada hari ini. Mungkin ada di antara rakan-rakan saya yang tertanya; Bukankah politik itu sesuatu yang kotor? Bagaimana perjuangan PAS sebenarnya?

Sebelum itu, marilah sama-sama kita berlapang dada dan cuba menyelusuri penulisan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Al-Fadhil Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi. Moga ada sedikit manfaat bagi mereka yang cuba mencari kebenaran:

BAGAIMANA PAS MEMPERJUANGKAN ISLAM DI MEDAN POLITIK ?
Oleh : Al-Fadhil Ustaz Nasruddin Hassan At-Tantawi [Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat]

Masih ada mereka yang gagal memahami, bagaimana PAS berjuang sehingga masih kedengaran suara yang mengatakan perjuangan PAS salah, bida'ah, sesat, tidak mengikut sunnah, bercanggah dengan syariat, hanya mementingkan politik, meragukan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS.

Terlebih dahulu saya akui bahawa PAS tidak sunyi daripada kelemahan dan kesilapan sebagai sebuah organisasi yang dipimpin oleh manusia. Namun kesilapan dan kelemahan itu tidaklah membawa PAS terbabas ke ‘gaung dalam’ yang membunuh aqidah dan mencederakan syakhsiyyah sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam .

Sebaliknya kelemahan dan kesilapan yang berlaku, bukan sahaja masih boleh diperbaiki dan disempurnakan tetapi nyata PAS mempunyai cara dan kaedah yang cukup baik untuk terus memantau perjalanan organisasinya agar menepati objektif dan ghayahnya (matlamat). Organisasi PAS juga mempunyai pelbagai medium untuk memastikan segala misi dan visi perjuangannya berjalan berasaskan syara’.

Kepimpinan Ulama’, Jawatan Kuasa Disiplin Parti, Muktamar Tahunan, Majlis Syura Ulama’, Mesyuarat Dewan Harian, Mesyuarat Bulanan, Mesyuarat Khas, Liqa’ Fikri, Tamrin, Mukhayyam, Kuliah Haraki, Usrah Mingguan, Konvensyen PAS Negeri, Ijtimak Pilihanraya, Kuliah Agama dan banyak lagi cara dan kaedah untuk PAS mengawal organisasinya berjalan melandasi syariat Ilahi dan sunnah an Nabawi.

Jika terdapat perbezaan dalam approach atau method perjuangan PAS berbanding kumpulan Islam yang lain, ini tidak bermakna PAS salah dan bercanggah dengan syariat dan sunnah. Secara umumnya, wajar saya tegaskan bahawa PAS bergerak dalam ruang orientasi yang saya pecahkan secara kasar kepada 3 ruang utama iaitu :
  1. Tarbiyyah dan Pengkaderan (pembinaan dan pembentukan);
  2. Dakwah (penerangan); dan
  3. Lapangan Siasah (politik)

Asas Pertama: Tarbiyah dan Pengkaderan

Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyyah dan pengkaderan yang menjadi nadi kepada pergerakkan PAS. Tarbiyah digerak dan diaktifkan untuk membina :
  • Aqidah yang benar berasaskan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah;
  • Fikrah yang syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam itu sendiri;
  • Syakhsiyah yang solehah berasaskan akhlak mahmudah bimbingan Rasulullah S.A.W.

Sementara pengkaderan pula berfungsi untuk membina :
  • Kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa;
  • Organisasi yang mantap dan hebat;
  • Tindakan yang strategik dan berkesan.

Memastikan perkara ini berlaku dalam PAS, Lajnah Tarbiyah dibentuk pada semua peringkat organisasi PAS, bermula dari peringkat Pusat, Negeri, Kawasan bahkan cawangan. Begitu juga di peringkat dewan-dewan seperti Dewan Ulama’, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut meletakkan Lajnah Tarbiyah antara Lajnah kanan yang diberi tumpuan utama.

Aktiviti asas bagi melaksanakan cita-cita tarbiyah banyak tertumpu kepada pembentukkan usrah di pelbagai peringkat (kepimpinan atau ahli), tamrin, liqa fikri dan pelbagai program atau aktiviti semasa yang dilihat perlu dari masa ke semasa dengan berbagai wajah yang menghormati kepentingan kepelbagaian approach.

Asas Kedua: Dakwah (Penerangan)

Berlandaskan perintah Allah yang mewajibkan setiap individu muslim menyampai dan menyebarkan Islam, dakwah telah menjadi aktiviti asas yang sangat prinsipal sifatnya. Biarpun PAS menghadapi aneka halangan dan ancaman yang menghalang kemaraan dakwah Islam ke tengah masyarakat, dakwah untuk menginsafkan ummah agar kembali kepangkuan Islam serta berjuang mendaulatkannya tetap diteruskan.

Ada dikalangan pemimpin PAS yang dibunuh, dipenjara, dibuang daerah dan dikenakan pelbagai tindakan kerana dakwah mereka. Namun, segalanya tidak menghalang PAS daripada terus melaksanakan amanah besar ini sebagai sebuah Gerakan Islam yang pastinya bertanggungjawab terhadap masa depan ummah.

Tugas dakwah ini digalas oleh semua, dari Presiden hinggalah ahli biasa dengan peranan masing-masing berasaskan keupayaan atau kemahiran mereka malah turut menghormati tahap keupayaan masing-masing.

Maudhu' (kandungan) dakwah PAS sangat jelas, menepati apa yang diajar oleh Allah Taala. Perkara ini dapat dipastikan pada Fasal 6 Perlembagaan PAS. PAS menggariskan usaha-usaha dakwah sebagai aktiviti teras dalam dalam perlembagaannya;
  • Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan; dan
  • Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
PAS mendekati semua lapisan masyarakat. Bermula dengan masyarakat yang tertindas hinggalah pemimpin yang menindas dan ummat yang lesu hinggalah ulama' yang bisu. Pelbagai pendekatan diketengahkan dalam membawa mesej perjuangan.

Dewan Pemuda PAS membawa pendekatan Pemuda sebagai Duta Kasih Sayang dan Penyelamat. Pendekatan dakwah PAS melengkapi 2 kategori utama :
  • Dakwah Ammah (umum); dan
  • Dakwah Fardiyah (khas)

Dakwah PAS tidak bermusim dan tidak juga tertakluk kepada kepentingan pengaruh individu dan politik. Biarpun nanti selepas tamatnya pilihanraya, PAS tetap meneruskan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat, demikian juga sehari selepas dibebaskan dari penjara pimpinan PAS terus melangsungkan dakwahnya. Inilah cita-cita PAS.

Sekalipun dakwah yang dibawa oleh PAS tidak popular malah menerima tentangan sengit daripada pelbagai pihak, PAS tetap menunaikan tanggungjawab dakwahnya dengan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya Negara kita melaksanakan undang-undang dan peraturan Islam itu.

Asas Ketiga : Lapangan Siasah (politik)

Islam adalah agama yang syumul, merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah politik. Mengasingkan politik dari perjuangan Islam ertinya mengurangkan sukatan perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

PAS meletakkan politik sebahagian dari tanggungjawab perjuangan yang mesti diperjuangkan. Kini kuasa politik berada ditangan UMNO dan BN yang enggan melaksanakan syariat meskipun berbuih mulut mereka mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam.

PAS berkewajipan mengambil tampuk kuasa politik dari golongan yang enggan melaksanakan syariat Islam dan PAS telah berijtihad untuk menggunakan pendekatan aman dan damai tanpa peperangan dan pertumpahan darah, dalam usaha PAS mahu mengambil alih kuasa politik tersebut.

Realiti ini membawa PAS mendaftarkan organisasinya di bawah Pendaftar Pertubuhan dan ia sah untuk bergerak di sisi undang-undang Negara waktu ini. Semua orang boleh mengakui bahawa Islam tidak boleh dilaksanakan tanpa kuasa politik. Justeru itu, penglibatan di bidang politik (siasah) adalah kewajipan besar untuk kembali mengangkat Islam ini ke tempat yang selayaknya sebagai agama suci.

KESIMPULAN

Saya tidak nampak alasan yang munasabah bagi pihak yang menolak dan meragui hala tuju perjuangan PAS. Mereka barangkali boleh untuk tidak menyertai PAS, tetapi untuk mereka menolak dan menafikan perjuangan PAS adalah suatu yang sangat tidak adil.

Kelemahan dan kesilapan boleh diperbaiki jika ada. Menolak dan menafikan atau meragui perjuangan sucinya memerlukan alasan yang konkrit dan dalil yang pasti, bukan beralaskan emosi dan sentimen perbezaan ideologi. Saya selalu menegaskan kepada umum, jika terdapat suatu yang dilakukan oleh PAS bercanggah dengan syariat dan sunnah, sila nyatakan! Jika ia berbentuk dakwaan, sila kemukakan bukti!

Kita mencari kebenaran. Andai benar atau ada PAS melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat atau terkeluar dari manhaj perjuangan Islam sehingga menimbulkan keraguan, saya dan seluruh ahli PAS yang ikhlas terhadap perjuangan pasti akan menyanggahinya. Namun begitu, janganlah tuduhan melulu tanpa lampiran bukti, dakwaan palsu tanpa kepastian dalil dan emosi berprasangka tanpa berlaku adil.